Rabu, 29 Jun 2016

PRU14 awal

PRU14  LEBIH AWAL

Momentun dari kemenangan dengan majoriti besar dari Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar serta PIlihan Raya Negeri Sarawak ke 11 (PRN11) memberikan satu tenaga baru kepada BN, setelah kejutan dipersembahkan oleh parti-parti pembangkang menerusi persepakatan pilihan raya dalam Pilihan Raya Umum ke 12 dan ke 13. Sebelum ini, sudah ada persepakatan dalam mengatur calon dan kerusi, tetapi terhad dan berkesan di kawasan majoriti Melayu sahaja, tetapi persepakatan dalam PRU12 dan PRU13 lebih meluas dan bersifat nasional, memberikan kesan yang besar, keputusan pilihan raya yang menggusarkan BN, selaku peneraju kuasa sejak lebih 60 tahun.

Hasil yang dipamirkan menerusi PRN11 Sarawak dan dua PRK terakhir, menukar arus yang memihak kepada BN. PRN11 bukan sahaja membolehkan BN mempertahankan kuasa, tetapi lebih menonjol ialah peningkatan peratusan undi popular di samping penambahan kerusi. Undi popular BN meningkat ke 62.11% berbanding 55.36% dalam PRN10. Penguasaan peratusan undi bagi sebuah kerajaan melebihi 60% adalah satu kedudukan yang cukup mantap dan mampu membentuk pemerintahan yang stabil dalam tempoh penggal badan perundangan semasa. 

Dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, dengan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah berbanding dengan PRU13, namun BN berjaya mencipta kejayaan yang lebih baik diukur dari angka majoriti undi kemenanganKebiasaannya dalam mana-mana PRK di Malaysia, peratusan keluar mengundi memberi kesan kepada pencapaian calon atau parti yang bertanding. Jika peratusan mengundi besar, bila peratus keluar mengundi dalam PRK lebih besar dari PRU terakhir, peluang untuk BN menguasai undi lebih besar. 

Dalam PRK, dengan sumber kewangan dan tenaga jentera pilihan raya yang besar memberi ruang jentera parti mengenalpasti pengundi yang tidak keluar mengundi dalam PRU. Bahagian besar yang tak keluar mengundi adalah berada di luar kawasan. Dengan sumber kewangan dan jentera yang mengcukupi mampu mempastikan pengundi keluar mengundi, khususnya mereka yang tinggal berjauhan. Kelebihan dan kekuatan sumber ini menyebelahi pihak BN. Bila pengundian ditutup, SPR umumkan peratusan keluar mengundi, jika peratusan keluar mengundi tinggi, sudah dapat dijangka BN akan menang besar atau jika kawasan yang disandang pembangkang, keputusannya sengit dan berlaku kejutan. 

Dalam kedua-dua kes Kuala Kangsar dan Sungai Besar, dengan peratusan keluar mengundi yang lebih kecil, tetapi BN berjaya meningkatkan peratusan undi popular, adalah satu pencapaian yang cukup baik. Di Kuala Kangsar, peratusan keluar mengundi ialah 71.36% sahaja berbanding 84.30% dalam PRU13. BN berjaya meningkatkan undi popularnya dari 51.14% kepada 54.36%. Di Sungai Besar, BN berjaya menambah peratusan undi dari 50.53% ke 53.65%, dalam peratusan keluar mengundi cuma 74.29% berbanding  88.30% dalam PRU13. 

Peratusan keluar mengundi yang rendah adalah kegagalan semua pihak, terutamanya BN yang memiliki sumber kewangan yang kukuh, memujuk pengundi yang bekerja atau tinggal di luar kawasan pulang mengundi. Di samping itu, kegagalan juga untuk menarik keluar pengundi yang boikot mengundi atau bosan dengan kemelut yang mendepani semua parti sama ada kerajaan atau pembangkang hari ini.  SPR pula gagal menyakinkan dan mendidik orang ramai sebagai pemilih yang bertanggungjawab serta melaksanakan hak dan amalan demokrasi berparlimen. 

Dalam PRN11, jelas keretakan dalam pakatan pembangkang baru, Pakatan Harapan, bila berlaku pertindihan calon dan kerusi, di samping bekas sekutu persefakatan pembangkang, Pas bertanding bersendiri, membolehkan penurunan sokongan dan keyakinan pemilih kepada parti pembangkang. Peralihan sokongan ini berlaku di semua kawasan sama ada yang dikuasai oleh masyarakat Islam, pemilih Cina dan pemilih bukan Islam. 

Di kalangan pemilih Cina, yang menjadi faktor penentu sama ada di Sarawak atau di seluruh negara, dalam mana-mana pilihan raya selepas PRU12 (PRU 2008), ayungan sokongan Cina beralih ke BN. Di 16 kawasan pilihan raya majoriti Cina (asalnya 15 sebelum persempadanan semula 2014), BN memperolehi 45.95% undi popular berbanding 37.30% dalam PRN10 (2011). Peningkatan sokongan ini membolehkan BN merampas 5 kerusi yang disandang DAP. Alihan sokongan pemilih Cina ini lebih berkesan meningkatkan keseluruhan sokongan atau undi popular ke BN, walaupun di kawasan masyarakat Islam dan Bumiputera lain juga turut meningkat. 

Dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, walaupun peratus keluar mengundi berkurangan tetapi alihan sokongan pemilih Cina di beberapa daerah mengundi, ayungan dari pembangkang dalam PRU13 ke BN kali ini. 

Peralihan sokongan pemilih Cina ke BN, sebenarnya sudah berlaku sebelum perpecahan pakatan pembangkang, iaitu semasa Pas masih bersama DAP dan PKR. Dalam PRK Parlimen Teluk Intan, dua tahun lepas, BN berjaya merampas kerusi itu dari penyandang iaitu DAP yang memenangi dengan majoriti lebih 7,000 undi dalam PRU13, kesan ayungan undi Cina. 

Justeru BN berjaya mempertahankan kemenangan dalam PRU 1990 dan PRU 1999, walaupun berlaku pergerakaan undi Melayu kepada pembangkang, undi pemilih Cina banyak membantu BN. Faktor undi Cina yang semakin memihak kepada BN memberikan satu keyakinan baru kepada BN dan komponennya untuk berdepan dengan PRU14. 

Dalam suasana trend sokongan kepada BN semakin meningkat berasaskan beberapa pilihan raya terakhir, UMNO mengambil tindak berisiko memecat TS Mahyuddin Yassin dan Datuk Mukhriz Mahathir serta pergantungan DS Safie Afdal. Lebih diyakini apa yang dipertontonkan oleh beberapa pilihan raya terakhir, tindakan ke atas pemimpin kanan parti tidak memberi kesan besar. Tambahan pula, penglibatan Tun Mahathir Mohamad, dalam kedua-dua PRK tersebut, bolehlah disifatkan kegagalan membentuk sikap dan pendirian pemilih. Secara langsung tanda-tanda awal sudah terbentuk bagi BN memanggil PRU14 lebih awal daripada penggal Parlimen semasa yang akan berakhir dalam Jun 2018. 

Sepatutnya PRU14 diadakan setelah pewartaan persempadanan kawasan pilihan raya baru, kerana peruntukan perundangan membenarkan selepas 8 tahun, semakan persempadanan dilakukan. Semakan persempadanan perlu kerana perubahan saiz penduduk dan perubahan pembangunan fizikal. Persempadanan terakhir ialah dalam tahun 2003, yang digunakanpakai kawasan pilihan raya dalam 3 PRU; PRU11 (2004), PRU12 (2008) dan PRU13 (2013). 

Dari rekod, satu persempadanan kawasan pilihan raya digunakan sama ada untuk 2 PRU atau 3 PRU sahaja. Persempadanan 1958 digunakan untuk PRU1(1959), PRU2 (1964) dan PRU3 (1969), persempadanan 1973 digunakan untuk PRU4 (1974), PRU5 (PRU 1978) dan PRU6 (1982), persempadanan 1983 digunakan PRU7 (1986) dan PRU8 (1990), persempadanan 1993 untuk PRU9 (1995) dan PRU10 (1999). Persoalannya apa hasrat dan kepentingan politik tersembunyi mengapa sempadan kawasan pilihan raya semasa terpaksa digunakan untuk 4 kali PRU, seandainya PRU14 diadakan lebih awal dan belum habis tempoh penggal Parlimen semasa, dalam kepesatan pertumbuhan kependudukan dan kepesatan pembangunan fizikal negara. 





     
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan