Selasa, 10 Disember 2013

Persempadanan semula 5: demi survival

ADA AGENDA DALAM MELAKSANAKAN PERSEMPADANAN  KAWASAN PILIHAN RAYA

 Persempadanan semula kawasan pilihan raya (delineation exercises) pastinya akan berlaku, sesuatu yang tak dapat dielakkan (unevitable). Bayangan mantan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, sebelum bersara, menyatakan exercise ini akan dilaksanakan akhir tahun ini, setelah Parlimen melulukan rang undang-undang berkenaan (kenyataan beliau pada 08/06/2013).

Menariknya, TS Abdul Rashid Abdul Rahman, individu yang cukup lama terlibat persempadanan kawaan pilihan, sebagai Setiauaha SPR (1979-1999) dan Pengerusi SPR (2000-2008), mendedahkan pengalamannya. Portal The Malaysian Insider pada 25/11/2013, melaporkan TS Rashid dalam satu forum anjuran Perkasa, beliau terlibat dengan 3 kajian semula berkenaan (1983, 1992 dan 2003). Kerja-kerja persempadanan kawasan pilihan raya adalah beragendakan untuk mengekalkan kuasa politik orang Melayu. 

Kenyataan TS Rashid itu dianalisiskan sebagai satu agenda politik secara sah dan teliti untuk mengekalkan kuasa UMNO.  Ini berasaskan kepada penambahan kerusi baru atau pembentukan kawasan pilihan raya parlimen khususnya, dalam ketiga-tiga kerja persempadanan semula tersebut demi mempastikan penambahan kerusi milik UMNO. Kawasan yang kelabu atau hitam bagi UMNO, dinafikan dengan berbagai alasan teknikal. 

Contohnya di Terengganu, tiada persempadanan kawasan pilihan raya semasa semakan 1992 dan 2003, sedangkan kawasan parlimen Kuala Terengganu dan Marang memiliki pengundi yang lebih tinggi berbanding dengan kawasan baru wujud parlimen Setiawangsa, yang juga kawasan bandar. 

Dalam PRU13 lepas, pengundi di parlimen Kuala Terengganu ialah 94,561 orang dan 90,926 pengundi di parlimen Marang. Di parlimen Setiawangsa, jumlah pemilihnya cuma 55,388 orang dan di parlimen Titiwangsa ialah 62,350 orang. Pemilih di Kuala Terengganu ialah 89.12 peratus adalah Melayu, di Marang 97.62 peratus Melayu, 68.05 peratus pengundi Melayu di Titiwangsa, dan 56.23 peratus di Setiawangsa. Dalam persempadanan 2003, di mana keputusan PRU 1999 dijadikan sebahagian ciri diambil kira, oleh kerana Pas memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu dan Marang, dan UMNO menang di Titiwangsa, maka kawasan parlimen Setiawangsa diwujudkan dengan memecahkan kawasan parlimen Titiwangsa dan parlimen Segambut. Pengwujudan kawasan parlimen demi memperbanyakkan kawasan campuran, kerana trend pengundi Melayu menyokong Barisan Alternatif dalam PRU 1999. 

Pemilih dalam PRU 1999 di Kuala Terengganu terdapat 63,893 pemilih dengan 86.17 peratus adalah Melayu dan di Marang, jumlah pengundinya 58,535 pemilih dengan 97.63 peratus Melayu. Di Segambut, jumlah pemilih 60,110 dengan 39.68 peratus Melayu, di Titiwangsa, 59.57 peratus daripada jumlah 53,694 pemilih adalah Melayu.  Perbandingan dari sudut infrastruktur, geografi dan demografi, Setiawangsa dan Titiwangsa jauh lebih terkedepan berbanding Kuala Terengganu dan Marang, malah sebahagian kawasan Marang adalah pinggir bandar dan luar bandar sifatnya. Kuala Terengganu dan Marang yang lebih luas dan lebih ramai pengundi, sewajarnya membentuk kerusi parlimen ketiga.

Justeru kawasan parlimen, kawasan majoriti pengundi Melayu, di negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis tidak dilibatkan dalam persempadanan kawasan pilihan raya 2003. Di empat negeri ini, terdapat 40 kerusi parlimen dengan 35 kerusi adalah kerusi mutlak pengundi Melayu, di mana pengundi Melayu menguasai lebih 70 peratus komposisi pengundi setiap kawasan. Kulim Bandar Baru, 63 peratus, sementara Alor Star, Merbok, Sungai Petani dan Padang Serai, di bawah 60 peratus. Di 35 kawasan 70 peratus pengundi Melayu tersebut: Pas menang 25 kerusi, Keadilan 4 kerusi dan BN 11 kerusi.

Di Kedah contohnya, kawasan pilihan raya yang disusun dalam persempadanan 1993, menghasilkan keseragaman jumlah pemilih. Dalam PRU 1999, jumlah pengundi di parlimen Pokok Sena ialah 68,125, Alor Star: 68,678; Kuala Kedah: 61,114; Baling: 64,234; Padang Serai: 64,294. 

Persempadan semula 2003, tidak menambah kerusi atau kawasan pilihan raya sama ada parlimen atau negeri, tetapi kawasan pilihan raya dirombak dan disusun semula, demi membanyakkan kawasan campuran serta mengurangkan peratusan pengundi Melayu di sesuatu kawasan pilihan raya. Parlimen Pokok Sena, Kuala Kedah dan Baling dimenangi Pas, sementara BN menerusi MCA menang di Alor Star dan Padang Serai, dalam PRU 1999. Daerah mengundi majoriti Melayu dari parlimen Alor Star dipindahkan ke Kuala Kedah dan Pokok Sena, dan dari Padang Serai ke Baling. Justeru itu, dalam PRU 2004, jumlah pengundi di 5 kerusi berkenaan tidak lagi seimbang, jumlah pengundi Kuala Kedah: 78,791; Baling: 74,808; Alor Star: 57,313 dan Padang Serai: 53,925. Kesannya dengan trend sokongan semua kaum kepada BN, dalam tahun 2004, semua kerusi itu dimenangi mudah oleh BN. 

Angka pemilih yang digunakan dalam PRU13 lalu, pola ketidakseimbangan sama seperti 2004, pengundi di Baling; 93,168 orang; Kuala Kedah: 95,328, berbanding Alor Star hanya 69,018 dan Padang Serai; 74,095 pemilih. Ketidakseimbangan pemilih antara kawasan luar bandar seperti Baling, Kuala Kedah dan Padang Serai (luar bandar dan pinggir bandar) dan Alor Star sebuah bandaraya, menampakkan satu kerja yang tidak adil yang menjelaskan agenda demi survival kuasa menerusi kerja-kerja persempadanan kawaan pilihan raya. Oleh kerana, perubahan kecenderungan pola pengundian dalam dua PRU terakhir, pembentukan kawasan pilihan raya menerusi persempadanan 2003 tidak menguntungkan BN. 

Parlimen Baling, sebuah kawasan luar bandar yang luas dengan pengundi melebihi 90,000 orang, amatlah tidak adil dihukumkan oleh SPR kerana memilih Pas dalam PRU 1999, berbanding keistimewaan beberapa kawaan parlimen di Perak yang rata-ratanya memiliki jumlah pengundi di bawah 34,000 orang seperti Gerik, Lenggong, Padang Rengas (dulunya Chenderoh) dan Kuala Kangsar dan Parit, yang merupakan kerusi tradisi UMNO sejak dulu (kecuali Parit dimenangi Pas dalam PRU 1969 dan PRU 1999, dan Gerik menerui Gerakan dalam PRU 2008). 

Daripada daftar pemilih PRU 1999, pengundi Melayu di parlimen Baling ialah 89.60 peratus berbanding: 66.36 peratus di parlimen Gerik, 73.38 peratus di Chenderoh, 63.13 peratus di Kuala Kangsar dan 76.06 peratus di Parit. Dalam persempadanan semula 2003, kawasan parlimen Gerik dan Chenderoh disusun semula untuk mewujudkan 3 kawasan pilihan raya parlimen: Gerik, Lenggong dan Padang Rengas.

Dalam PRU 1999, kerusi parlimen Bukit Mertajam mempunyai 66,607 pemilih (77.6 peratus bukan Melayu) dan Nibong Tebal, 53,267 pemilih (61.4 peratus bukan Melayu) dicantumkan dalam persempadanan 2003, untuk mewujudkan sebuah kerusi parlimen: Batu Kawan. Dalam PRU 2004, Batu Kawan dimenangi BN. Apa beza Kuala Terengganu dan Marang dengan Bukit Mertajam dan Nibong Tebal. Malah Kota Bharu, 63,010 pemilih (78.4 peratus Melayu) boleh dicantum dengan Pengkalan Chepa, 42,808 pemilih (97.3 peratus Melayu) untuk mewujudkan sebuah kerusi parlimen baru. Pasir Puteh, 56,773 pemilih (97.7 peratus Melayu) boleh dicantum dengan Bachok, 51,363 pemilih (98.3 peratus Melayu). Semuanya dinafikan, mungkin sebarang penambahan kerusi di kawaan berkenaan, akan menambahkan kerusi parlimen yang berpotensi dimenangi Pas. 

Kawasan parlimen Lipis dengan jumlah pemilih 42,585 dalam PRU 1999, dengan 53.5 peratus Melayu, dipecahkan untuk mewujudkan kerusi parlimen Cameron Highlands demi mewujudkan sebuah kerusi parlimen majoriti bukan Melayu, dalam persempadanan 2003. Dalam PRU 2004, jumlah pemilih di parlimen Cameron Highlands 23,061 dan 28,083 orang di Lipis. Angka ini amat rendah berbanding dengan pemilih di kawasan luar bandar Kedah, Terengganu dan Kelantan. Contoh jumlah pemilih dalam PRU 2004, selepas persempadanan 2003: Kuala Krai (45,259), Hulu Terengganu (45,258), Setiu (48,161), Pendang (57,180).

Kenyataan TS Rashid bahawa persempadanan adalah untuk mengukuhkan kuasa Melayu mungkin tepat berdasarkan kepada persempadanan semula 1974, sebelum beliau terlibat dengan SPR. Persempadanan 1974 menambah 10 kerusi parlimen: 9 luar bandar dan satu kawasan bandar. Dalam PRU 1974, semua kerusi ini dimenangi BN menerusi UMNO (7), Pas (2) dan MCA (1). 

Dalam kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya 1983, 1992 dan 2003 yang secara langung melibatkan TS Rashid, berdasarkan pemerhatian awam, kajian semula berkenaan adalah memihak, tidak adil serta lebih berfokus satu agenda terancang mempastikan kuasa Melayu menerusi UMNO terus bertahan. Kajian-kajian semula tersebut lebih bersifat langkah-langkah mengatasi kelemahan, kemerosotan dan pencapaian parti pemerintahan dalam pilihan raya umum. 

Dari kutipan beberapa data sekadar perbandingan dan rujukan di atas, kesangsian dan kritikan terhadap tataurus pilihan raya di negara kita, mempunyai alasan yang kukuh dan bermatlamat. Asas utama bagi penonton geraklaku politik ialah impian kepada demokrasi yang memberi keadilan demi hak dan keakmaan sosial.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 21/10/2013, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DS Shahidan Kassim menjelakan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan keperluan mengadakan rundingan bagi melaksanakan kajian semula persempadanan dengan  mana-mana parti politik. (Sinar Harian, 22/10/2013, halaman 10).

Sungguhpun ada ruang menerusi Bahagian 2, Jadual ke 13, Perlembagaan Persekutuan memberi ruang untuk cadangan atau bantahan dari orang awam dan pihak berkuasa tempatan dan negeri, tetapi sebagaimana pendedahan TS Rashid itu menceritakan senario di belakang tabir sebenarnya.