Ahad, 19 Februari 2017

Himpunan RUU355

RUMUSAN HIMPUNAN RUU355

Himpunan RUU355 di Padang Merbok semalam memberikan berbagai perpsepsi jika dilihat dari berbagai sudut dan kepentingan. Himpunan yang berjaya menghimpunan satu jumlah khalayak yang cukup besar tetapi diberikan gambaran yang berbeza oleh pihak yang berbeza. Dikhabarkan laporan rasmi dari pihak keselamatan, himpunan ini menghimpunkan khalayak 20,000, jauh dari sasaran asal penganjur iaitu 300,000 orang.  Saya hadir himpunan yang bermula jam 2.00 petang, pada pemerhatian saya, angka 20,000 amat jauh dari dari mata kasar. Jika disebut, 100,000 orang agak munasabah. Walau apapun, himpunan ini jauh lebih besar berbanding dengan himpunan baju merah. Malah himpunan Bersih 5.0, tahun lepas yang jauh mengatasi himpunan baju merah, bolehlah menyaingi himpunan RSS 355 dari sudut kepadatan dan kesesakan pesertanya. 

Kecuali Bersih 5.0, himpunan Bersih sebelum PRU13 dan PRU12, yang melibatkan penyertaan berbilang bangsa dan agama, berjaya menghimpunan penyertaan yang besar, amat jauh dari angka rasmi dan angka laporan media arus perdana. Menariknya himpunan ini, himpunan kelompok Melayu dan Islam yang terbesar di negara ini memberikan satu manifestasi kekuatan politik yang didokongi atau disokong oleh etnik Melayu dan penganut Islam. Rata-ratanya secara kasar, apa yang saya tonton ialah wajah-wajah penyokong dan simpatisan Pas yang menguasai khalayak. Sungguhpun, perhimpunan ini sebagai satu himpunan umat Melayu untuk membuktikan dan kesungguhan sokongan agar menarik perhatian Ahli Parlimen meluluskan RUU 355 yang dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen terdekat iaitu dalam bulan depan. Himpunan raksaksa umat Melayu Islam yang berjaya mengumpulkan dari segenap pelusuk tanah air menggambarkan betapa tinggi dan besarnya harapan umat keperluan RUU 355. 

Jika dilihat kepada kehadiran dan kejayaan mengumpulkan rakyat dari berbagai bangsa menerusi beberapa siri himpunan Bersih, sebagai gambaran jelas kehendak dan keinginan rakyat yang menuntut perubahan. Kejayaan himpunan tersebut telah berjaya diterjemahkan di peti undi, di mana dalam PRU12 dan PRU13, memberikan pengalaman yang cukup pahit kepada Barisan Nasional. Himpunan Bersih yang disokong oleh parti-parti pembangkang utama, memperlihatkan tanda-tanda awal sebelum PRU, sokongan rakyat beralih ke parti pembangkang.

Himpunan sokongan RUU 355, yang digerakkan oleh Pas, dengan kehadiran bahagian besar peserta. Walaupun tiada tentangan, gertakan dan kempen memulau dari UMNO berbanding himpunan Bersih, tak nampak penyokong UMNO sertai himpunan ini. Pada mata kasar, rata-ratanya adalah penyokong dan simpatisan Pas yang mendominasi himpunan dari awal hingga akhir. Amat senang membezakan antara penyokong Pas dengan penyokong UMNO, contohnya dari kalangan wanita. Semasa mana-mana hari penamaan calon atau hari pembuangan undi atau sepanjang tempoh berkempen, sama ada pilihan raya kecil (PRK) atau PRU, tanpa melihat kepada logo atau bendera, mudah kenal identiti penyokong Pas dan penyokong UMNO. Dalam himpunan RUU 355 semalam, tak nampak yang mekap tebal, gincu dan rambut perang.

Secara langsung, menampakkan Pas masih relevan dalam politik tanah air, walaupun menerima kecaman dan provokasi dalam berbagai bentuk, terutamanya dari DAP dan serpihan Pas, Parti Amanah Negara (PAN @ Amanah). Jika sebagaimana ditunjukkan dalam himpunan semalam, Pas masih mampu mengekalkan peranannya dan pengaruhnya sebagaimana PRU lepas. Menjawab soalan apa Pas dapat dari himpunan RUU 355, Pas mampu mengekalkan peranan dan prestasi dengan penyokong setianya, tambahan pula himpunan semalam menyaksikan penglibatan anak-anak muda. Dalam dua PRU terakhir, anak-anak muda adalah deteminant factor yang mencorakkan  pola pengundian dan mencatur keputusan di peti undi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan