Jumaat, 28 Februari 2014

PRK Kajang 1: agenda MCA

MENJELANG PENAMAAN CALON PRK KAJANG: AGENDA UNTUK MCA

Pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi N25 Kajang ekoran perletakan jawatan ADUN berkenaan, Lee Chin Cheh dari PKR, bulan lepas. Perletakan jawatan tersebut membuka laluan untuk satu PRK, yang akan diadakan pada 23/03/2014, kiranya berlaku pertandingan ekoran penamaan calon pada 11/03/2014.

Perletakan jawatan ini menghasilkan berbagai tafsiran dan ulasan berbagai pihak, yang menjurus kepada tidak meraikan pilihan rakyat yang belum pun cukup setahun. Terlalu awal bagi seorang wakil rakyat, mengembalikan mandat kepada rakyat dalam tempoh 8 bulan. Namun begitu, tindakan beliau lebih bermoral berbanding dengan rakan-rakannya di Sabah yang melompat parti beberapa bulan selepas dipilih rakyat.

Sunggpuhpun hasrat perletakan jawatan tersebut untuk memberi laluan kepada tokoh lain memasuki DUN, hasil dari tindakan, aktiviti dan penampilan memperlihatkan PKR berhasrat memberi ruang kepada Ketua Umumnya, DS Anwar Ibrahim. Apakah tujuan kemasukan DS Anwar ke dalam DUN, khalayak umum belum dapat kepastian, sama ada untuk membantu kerajaan Pakatan Rakyat yang sedia ada, atau mengetuai kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Apa pun, sistem demokrasi kepilihanrayaan amalan kita mengizinkan tindakan mengosongkan kerusi untuk memberi ruang pengundi memilih seorang ADUN baru, tanpa menunggu tempoh dewan lagislatif berakhir.

Sebaliknya, BN telah pun secara rasmi mengumumkan calonnya, dengan mengekalkan status quo, kerusi Kajang adalah peruntukan untuk MCA. DP Chew Mei Fun, Naib Presiden MCA adalah pilihan parti. Hasil pengumuman Mei Fun, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bekas Ketua Wanita MCA Pusat, dapatlah dipaparkan 4 perkara untuk jadi perhatian;

1. Media masa mula melancarkan kempen sebelum hari penamaan calon dengan mengingatkan pengundi Kajang memilih rakyat Selangor sebagai wakil rakyat mereka. Perlu dingatkan Anwar dan Mei Fun, dilahir, dibesar dan menerima pendidikan dasar di Pulau Pinang. Kedua-dua anak Pulau Pinang. Bezanya Mei Fun pernah menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

2. Justeru sudah dibayangi calon PKR adalah  Anwar Ibrahim, pemimpin utama PKR, sepatutnya MCA menurunkan calon "five stars", Presiden parti. Kepimpinan politik Cina biasa mengamalkan politik berani mati seperti pertembungan Presiden MCA dengan Pengerusi DAP dalam PRU 1982 dan Setiausaha Agung DAP mencabar Presiden Gerakan dalam PRU 1990. Mungkin Presiden MCA, DS Liow Tiang Lai, tidak beralamat tetap dalam negeri Selangor dan Mei Fun, pemimpin MCA paling kanan tinggal di Selangor. Ini lantaran, seseorang calon yang bertanding dalam mana-mana pilihan raya negeri (DUN) mesti beralamat dalam negeri berkenaan. Tempoh yang panjang antara tarikh kekosongan dengan hari mengundi, seolah-olah menyediakan ruang secukupnya parti yang bakal bertanding mengambil tindakan untuk memenuhi peraturan pilihan raya termasuk alamat tempat tinggal bakal calon.

3. Faktor Mei Fun sebagai calon wanita seolah-olah mengkambinghitamkan beliau demi survival sebuah parti politik yang alami prestasi buruk dalam PRU lepas. Satu cubaan kurang berani meletakkan wanita untuk menentang seorang tokoh besar. Apakah pencalonan Mei Fun, sebagai ulangan pilihan raya kecil parlimen Seremban 1983, di mana MCA tidak yakin akan pertahan kerusi, meletakkan calon wanita menentang Pengerusi dan pengasas DAP, Dr Chen Man Hin. Apakah pencalonan Mei Fun sebuah lakonan semula episod 30 tahun lalu.

Mungkin dari perhitungan politik, rekod Mei Fun dengan prinsip moralnya pada 08/04/2010, meletakkan semua jawatan dalam kerajaan dan politik, mengotakan janjinya hasil pemilihan DS Dr Chua Soi Lek sebagai Presiden MCA, diambil kira dalam pertarungan Kajang kali ini. Kecekalan dan aspirasi pragmatisme politik Mei Fun menjadi sandaran dalam saingan "all stars" nanti.

Namun begitu, jawatan Mei Fun sebagai mantan timbalan menteri tidak harus diraikan seistimewanya. Ini lantaran, jawatan menerusi senatorship, tidak memberikan harga mahal di pasaran politik. Sewajarnya lantikan orang politik ke jawatan pentadbiran  perlu atas nama "elected representative", kecuali mereka yang diangkat dari bidang lain. 

Mampukah simpatisan sebagai calon wanita, dan berkorban demi prinsip, menarik sokongan untuk Mei Fun, setelah undi BN menerusi MCA, merosot peratusannya dalam dua PRU terakhir.

4. Mesyuarat Agung Khas MCA pada 23/02/2014 lepas, mengambil keputusan suara majoriti, parti kembali menyertai kerajaan di semua peringkat. Satu keputusan tanpa menempuhi gelombang, seolah-olah menarik balik tindakan yang tidak menguntungkan. Samalah tindakan sama diambil setelah kemerosotan prestasi MCA dalam PRU 1969. Tindakan yang tidak sensasi, bagi sebuah parti yang tunjangnya kapitalisme. Asas penubuhannya, himpunan kaum pemodal, menerusi Dewan Perniagaan Cina. Mana tahan ujian dan lasak, kalau asas perjuangan demi perut dan poket. Justeru itu, apakah nasib MCA, seandainya pengundi masih menolak MCA dalam PRK Kajang.

Keputusan MCA mengambil harga yang mahal dan risiko tinggi mengadakan EGM untuk dapatkan mandat berlembut, menyertai semula kerajaan setelah merajuk, sebelum PRK Kajang, seolah PRK Kajang satu episod terancang dari MCA, demi masa depannya, bukan PKR yang merangka pentas.

Dalam PRU 2008, calon PKR, Lee Kim Sin merampas kerusi MCA ini dengan majoriti 3,268 undi mengalahkan calon MCA, bila beliau perolehi 13,220 undi atau 57.04 peratus dari jumlaj undi sah. Calon MCA, Law Loe Long cuma dapat 9,952 undi atau 42.94 peratus. 

Sementara dalam PRU 2013, calon PKR, Lee Chin Cheh, memungut 19,571 undi atau 57.98 peratus, untuk mengalahkan 5 calon lain dengan majoriti meningkat, 6,824 undi. Calon MCA yang mewakili BN, hanya perolehi 37.77 peratus undi sahaja.

PRK Kajang sebenarnya untuk menilai peranan, imej dan keterlibatan  MCA menerusi BN. Mengutarakan Mei Fun dalam persaingan "all stars"  bersama DS Anwar Ibrahim, dan kemungkinan Dato' Zaid Ibrahim (Pengasas & Presiden parti KITA) dan Dato' S. Nallakaruppan (Pengasas & Presiden, Malaysian United Indians Party), menjadikan PRK ini satu catatan isitmewa dalam diari demokrasi kepilihanrayaan tanah air kita. Keempat-empat "Dato'" ini asalnya sama-sama berkubang dan bergelumang dalam lopak BN satu masa dulu.


 


 







Sabtu, 22 Februari 2014

Kassim Ahmad

KASSIM AHMAD DENGAN ANTI HADITHNYA

Cetusan kontroversi Dr Kassim Ahmad hasil sebuah wacana ilmu minggu lepas; mengaitkan istilah serta konsep ulamak dengan struktur kelas dalam kepadrian serta kepimpinan geraja dan aurat rambut wanita. Kassim, bukan sahaja satu watak yang mencipta nama sebagai pemikir tamadun, juga pengkritik sastera dan tokoh politik satu masa dahulu.

Peringkat awalnya sebagai sasterawan. Hasil penanya yang popular, puisi  "Sidang Roh" dan "Kemarau Di Lembah", yang popular dalam tahun 1960an. Kritikan sosial menerusi lontaran dalam bentuk hasil sastera mempertontonkan aliran pemikirannya dianggap sebagai anti-establishment, immoral dan non-protocol. 

Aliran pembawaannya mendekati perjuangan menegakkan keadilan dan kemanusiaan menerusi Partai Rakyat Malaya (kemudiannya ditukar kepada Partai Sosialis Rakyat Malaya). Mengambil alih kepimpinan parti dalam tahun 1967, bersama Datuk Kampo Radjo (bekas ADUN UMNO) bila pengasasnya Ahmad Boestamam meninggalkan parti, lantaran asakan darah baru dalam parti,

Apabila Pas menyertai penubuhan Barisan Nasional dalam tahun 1974, meninggalkan 'vaccum' pembangkang Melayu mewakili suara masyarakat desa, PSRM mengisi ruang ini. Dalam Pilihan Raya Umum 1974, PSRM menjadi pencabar BN, kecuali Kelantan. Di Kelantan, BN ditentang oleh gabungan calon-calon bebas yang dikenali "Barisan Bebas Bersatu". Calon-calon bebas yang terdiri dari penyokong Pas yang tidak setuju penyertaan Pas dalam BN, bertanding atas satu platform yang sama. Mereka menggunakan lambang yang sama; lambang bas. 

Di Terengganu, BN ditentang calon-calon PSRM, satu lawan satu di semua kerusi sama ada kerusi DUN atau Parlimen, kecuali beberapa kawasan melibatkan sama calon-calon bebas. Pemimpin-pemimpin utama PSRM; Datuk Kampo Radjo, Kassim Ahmad, Satar Haji Dahan dan Siti Noor Hamid Tuah bertandang ke Terengganu dan bertanding. 

Ayat akhir di rangkap terakhir sajak Kassim "Sidang Roh";  dan Tuhan sudah mati., menjadi senjata utama oleh pihak BN dalam kempennya  dengan ditumpukan kepada masyarakat luar bandar Terengganu. Mempersoalkan akidah dan kepercayaan agama Kassim selaku pemimpin PSRM. Media arus perdana, sudah pun main peranan membantu BN sejak tahun 1970an lagi. Rangkap "dan Tuhan sudah mati", amat popular dalam kempen PRU 1974. Pertarungan yang paling sengit dalam PRU 1974 ialah Terengganu. Serangan ke atas PSRM difokuskan kepada Kassim dan sajaknya.

Tahun 1976, perebutan kuasa dalam UMNO selepas kematian Tun Razak, memperlihatkan tindakan balas dendam ke atas musuh-musuh politik kepimpinan baru pasca Tun Razak. Pada 03/11/1976, 2 orang Timbalan Menteri dari UMNO, Dato' Abdullah Ahmad dan Dato' Abdullah Abdul Majid ditahan di bawah ISA. 4 orang pemimpin politik dari parti lain dikambinghitamkan dan ditahan bersama: Lim Kean Sen (MCA), Chin Heng Kai dan Chan Kok Chit (DAP) dan Kassim Ahmad (PSRM).  Sebelumnya, 22/06/1976, wartawan A.Samad Ismail dan Samani Mohd Amin ditahan di bawah ISA. Berikutnya, seorang ADUN Sarawak dari SUPP, Anthony Teo juga diISAkan. 

Dalam bulan Mei 1977, kedua-dua Abdullah buat pengakuan di kaca tv;  terlibat dengan kegiatan subversif. Ahli MCA mengaku tapi tidak mahu buat pengakuan menerusi tv. Ahli DAP dan Kassim tidak mengaku. Selepas buat pengakuan, pada 21/05/1977, kedua-dua Abdullah dipecat dari UMNO. Mereka terus ditahan.

Selepas dibebaskan dalam tahun 1981, Kassim meninggalkan PSRM dan menyertai UMNO, dalam tahun 1984. Penyertaan Kassim ke dalam UMNO diterima, sebagai satu agenda mengimbangi kemasukan Anwar Ibrahim, beberapa hari menjelang PRU 1982. Dalam perhimpunan agung UMNO 1984, Anwar memenangi kerusi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan dilantik menteri penuh. Penerapan nilai-nilai Islam sedang berjalan, didokongi pula oleh young bloods yang dibawa bersama Anwar, yang sudah menjadi satu ancaman baru dalam kepimpinan UMNO. 

Semasa dalam UMNO, Kassim melontarkan anti-hadithnya. Justeru beliau sudah berada di dalam UMNO, beliau terlindung dan terpelihara. Secara langsung tidaklah dilihat sebagai satu bentuk ancaman. Ianya disimpulkan sebagai percambahan ilmu untuk dikongsi. Kemuraman doktrin sosialisme universal banyak membantu Kassim menukar pengkalan baru menerusi parti Islam nombor tiga terbesar dalam dunia (idea mantan Setiausaha Agung UMNO, TS Sanusi Junid).

Ruang dan peluang yang digunakan oleh Kassim menerusi platform siasah, yang merupakan tunjang parti pemerintah, adalah satu elemen popular dan tidak dicabar. Secara langsung mewakili suara dan budaya khalayak pendokongnya. Apakah bila Kassim berada dalam wadah baru, bersama kelompok penguasa, terampun dosa mengungkap "dan Tuhan sudah mati", walaupun ianya sebuah nukilan kreatif yang ditafsirkan mengikut kepentingan yang berbeza.

 

Sabtu, 15 Februari 2014

Ulasan buku: Pas & Pilihanraya

ULASAN BUKU: PAS & PILIHANRAYA

Terima kasih buat Sdr Mohd Hasbie Muda yang menghadiahkan saya buku terbarunya; Pas & Pilihanraya. Usaha beliau menghasilkan sebuah analisa pencapaian Pas dalam demokrasi pilihan raya, bermula pilihan raya pertama 1955 hingga kini, bolehlah dibanggakan.

Buku setebal 163 halaman termasuk rujukan dan lampiran ini yang dipersembahkan dalam bentuk analisis fakta memerlukan pandangan pembaca secara ikhlas demi kesuburan ilmu. 

Dalam Bab 1, Sdr Hasbie memperkenalkan Pas, dari sudut sejarah, kepimpinan dan penyertaan politik kepilihanrayaan. Olahannya yang mudah difahami amat sesuai untuk tatapan masyarakat awam, menjadikannya sebuah hasil karya dalam linkungan bacaan umum, tidak diberatkan kepada liputan akademik. 

Bab 2 merumuskan pencapaian Pas di peringkat parlimen, sementara Bab 3 difokuskan kepada pencapaian di peringkat negeri. Suka saya menurunkan beberapa kesilapan fakta dalam kedua-dua bab ini, yang boleh menjejaskan kemurnian ilmu serta tanggapan khalayak pembaca yang mencintai percambahan idea.

Di halam 17, beliau mengaitkan Ahmad Boestamam dengan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Sejarah mencatatkan Ahmad Boestamam adalah Ketua Umum Partai Rakyat Malaya semenjak penubuhan dalam tahun 1955. Bila beliau keluar tahanan ISA, 1967, setelah ditahan semenjak 1964, beliau keluar parti kerana pertentangan pendapat dengan young turks dalam parti dan digantikan oleh Kassim Ahmad. Partai Rakyat di bawah kepimpinan Kassim mengubah ideologi parti kepada sosialisme saintifik, asas penubuhannya oleh Boestamam adalah ideologi marhaenisme. Boestaman ke luar negara melanjutkan pelajaran dan pulang dalam tahun 1969 menubuhkan Partai Marhaen Malaysia. Kassim keluar PSRM, kemudian sertai UMNO, diambilalih oleh Dr Syed Husin Ali, dalam tahun 1984. Dalam tahun 1990, perkataan "sosialisme" digugurkan dari nama parti dan kembali sebagai Partai Rakyat, dan perkataan "Malaya" ditukar kepada "Malaysia", 

Kemenangan cemerlang Perikatan serta kemerosotan Pas dan parti pembangkang lain dalam PRU 1964, di samping faktor penahanan pemimpin pembangkang, faktor lompat parti di kalangan wakil rakyat Pas, yang menjatuhkan kerajaan Pas Terengganu (1961) memberi kesan sokongan dalam PRU berkenaan, di samping keluar parti pemimpin tertinggi parti, Setiausaha Agung Pas dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Othman Abdullah. Tahanan ISA ke atas Yang Dipertua (YDP), Dr Burhanuddin Mohd Noor (Ahli Parlimen Besut), Naib YDP, Raja Abu Hanifah (Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu), Ustaz Nik Abdullah Arshad (ADUN Kota Bharu Pantai), Saufi Idris (ADUN Kota Bharu Timur) dan Tuanguru Haji Hassan (ADUN Tendong), membantu menjejaskan prestasi Pas. Faktor yang paling dominan, saya kira adalah faktor mandat kepada kerajaan Perikatan yang mengetuai kerajaan baru dibentuk; Malaysia, dan faktor keselamatan negara ekoran ancaman konfrantasi. Kedua-dua faktor terakhir ini, lebih memihak kepada Perikatan.

Ulasan mengenai prestasi Pas dalam PRU 1969, faktor persefahaman pilihan raya untuk mengelakkan perpecahan undi di kalangan parti pembangkang sebagaimana dua PRU sebelumnya, hanya beri impaks di luar Kelantan. Kes lompat parti di kalangan ADUN dan cubaan undi tak percaya, 1968, sedikit sebanyak ada kesan sokongan kepada Pas. Secara langsung menunjukkan krisis dalaman di Kelantan.

Di muka surat 29,  SNAP hanya menang 9 kerusi parlimen dalam PRU 1974, bukan 13 kerusi. 

Sdr Hasbie menganalis hasil pencapaian Pas dalam PRU 1986 di halaman 35 hingga 37, yang merumuskan pencapaian terburuk Pas dalam sejarah demokrasi kepilihanrayaan di Malaysia. Secara peribadi, saya melihat berdasarkan pemerhatian sebelum dan semasa PRU berkenaan dijangkakan prestasi Pas akan lebih baik berbanding PRU 1982. Kerjasama pilihan raya Pas dengan parti-parti kecil yang tidak berpengaruh, kegagalan menarik undi Cina, walaupun dari segi undi popular Pas bertambah baik tetapi gagal menambah kerusi. Kesan persempadanan semula kawasan pilihan raya, 1983, yang digunapakai dalam PRU ini memberi kesan yang besar kepada Barisan Nasional.

Sdr Hasbie melihat kejayaan cemerlang hasil kerjasama Pas dengan Parti Semangat 46, Berjasa dan Hamim menerusi Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dalam PRU 1990, hanya di Pantai Timur sahaja. Undi APU menerusi Pas atau Semangat 46, terutama di sebelah utara; Kedah, Perlis dan Perak, tidak memberangsangkan, malah di setengah kawasan undi calon Pas dan calon Semangat 46, lebih rendah berbanding perolehan calon Pas yang bertanding di kawasan sama dalam PRU 1986. 

Di halaman 39, dalam PRU 1995, Semangat 46 hanya menang 6 kerusi parlimen sahaja bukan 8 kerusi, bila gagal pertahan kerusi Kuala Terengganu dan Peringat (dulunya Kok Lanas).

Halaman 40 hingga 41 mengetengahkan kejayaan besar Pas dalam PRU 1999, menerusi kerjasama dalam Barisan Alternatif, dengan faktor utama; ayungan tinggi pengundi Melayu dari BN ke Pas dan Parti Keadilan Nasional (KeADILan). Sebaliknya, undi Cina bersama BN, dan menyaksikan pencapaian DAP paling rendah, kesan kerajaan Persekutuan memenuhi beberapa tuntutan komuniti Cina. Kerajaan BN terdesak  melayani tuntutan kaum itu menerusi MCA, di atas sokongan masyarakat Cina kepada BN, setelah pengundi Melayu menolak BN untuk membantu menubuhkan sebuah kerajaan di Kelantan (1990). 

Sdr Hasbie tidak mengambil faktor persempadanan kawasan pilihan raya 2003 yang menfokus kepada mewujudkan lebih banyak kawasan campuran, kerana pengalaman PRU 1990, PRU 1995 dan PRU 1999, menyaksikan BN tidak boleh lagi bergantung kepada pengundi Melayu dan luar bandar, sunggupun UMNO itu kampungan sifatnya. Justeru pengundi Melayu kembali ke pangkuan BN, sementara pengundi bukan Melayu mengekalkan sokongan, memberikan kemenangan besar kepada BN dan Pas hilang banyak kerusi dan sebuah kerajaan negeri. PRU 2008, bentuk persempadanan kawasan pilihan raya 2003, memberi kesan buruk kepada BN bila pengundi bukan Melayu berubah angin.

Di halaman 59, dalam PRU 1986, calon Pas yang menang di kerusi Langgar ialah Sheikh Muhammad Abdullah, menewaskan Cikgu Saad Yasin, mewakili BN. Saad adalah ADUN kawasan berkenaan yang menang menerusi tiket Pas dalam PRU 1982. Beliau dikenakan tindakan tatatertib dan dipecat dari Pas, dan kemudian masuk UMNO.

Analisis beliau mengenai pencapaian Pas di Terengganu, di halaman 67 hingga 70 mencatat 3 kesilapan maklumat. ADUN Batu Buruk 1969-1974 ialah Ismail Mat Daud, bukan Mat Yasin Daud.

Dalam PRU 1990, Pas menang 8 kerusi, bukan 7. Sdr Hasbie tidak menyebut kemenangan Pas di kerusi Bukit Payong menerusi Ustaz Baharuddin Mohamad. Baharuddin menjadi ADUN untuk tempoh 1 tahun 5 bulan kerana terlibat dengan petisyen pilihan raya yang membawa kepada pilihan raya kecil pada 21.04.1992. Beliau kalah dalam PRK dengan 389 undi kepada calon BN, yang ditewaskannya dengan 17 undi dalam PRU 1990.

Dalam PRU 1995, Pas cuma pertahan 4 kerusi; Wakaf Mempelam, Manir, Batu Buruk dan Rhu Rendang, dan hilang 4 kerusi: Bandar, Jerteh, Jabi dan Bukit Payong. Berjaya tambah 3 kerusi; Tepoh, Telok Pasu dan Alor Limbat. Dalam PRU 1995, Pas menang 7 kerusi negeri bukan 5 sebagaimana catatan Sdr Hasbie. Kerusi Alor Limbat yang dimenangi menerusi Yahya Ali, tidak tersenarai.

Di halaman 74, salah satu kerusi yang dimenangi Pas dalam PRU 1974 menerusi BN ialah Lubok Merbau bukan Gunong Kerbau, oleh Mohamed Junid (adik ipar Dato' Mohd Asri).

Di muka surat 77, calon Pas yang memeangi kerusi Tahan dalam PRU 1999 ialah Abdul Malik Yusoff, bukan Abdul Halim Yunan. Arwah Abdul Malik adalah mantan Setiausaha Pas Pahang.

Lampiran yang disertakan di muka surat 120 - 145, lebih elok disertakan sepenuhnya calon-calon Pas yang menang dalam pilihan raya parlimen dan negeri 1955-2013. Ketiadaan senarai bagi negeri Kelantan dan Terengganu bagi beberapa PRU, tidak melengkapkan buku untuk dijadikan sebuah bahan rujukan bagi pengulas, penggemar dan pemerhati politik. Di samping itu beberapa kesilapan fakta yang boleh memberikan reputasi yang negatif, contohnya Dato' Asri dicatatkan menang dengan majoriti 1,405 undi di kerusi parlimen Pasir Puteh dalam PRU 1959, yang sebetulnya 5,654 undi. Tiada calon parlimen Pas menang kurang dari 3,000 undi di Kelantan, masa itu.   

Cikgu Hashim Gera menang kerusi parlimen Parit dengan majoriti 505 undi, untuk mengalahkan Setiausaha Agung UMNO, Dato' Hussien Mohd Nordin. Sungguhpun Cikgu Hashim, kemudiannya dikenakan tindakan tatatertib dan dipecat dari Pas, kejayaannya tersebut perlu dihormati.

Syabas di atas kesungguhan dan komitmen Sdr Hasbie mengusahakan penerbitan ini, demi memeriahkan dunia ilmu yang memerlukan kepada ketepatan fakta, butiran yang bertanggungjawab dan kupasan yang adil. Semoga buku ini boleh dijadikan bahan rujukan yang amat berguna untuk semua pihak.