Rabu, 28 Disember 2016

Satu Logo Lawan BN

SATU LOGO UNTUK LAWAN BN

Persefahaman yang dipersetujui Pakatan Harapan yang dibarisi DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), bersama Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersepakat meletakan satu calon untuk satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14, antara yang termeterai dalam perjanjian bersama, minggu lepas. 

Menjelang PRU13, DAP dalam dilema berisiko tidak dapat bertanding berikutan status pendaftaran yang di dalam tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS). DAP sudah mengambil keputusan akan menggunakan logo "bulan purnama" Pas di negeri-negeri Tanah Melayu dan logo PKR di Sabah dan Sarawak, di kerusi atau kawasan yang diperuntukan oleh persefahaman Pakatan Rakyat. Tindakan berani DAP menggunakan logo lambang Islam yang mengukuhkan tuduhan MCA dan Gerakan, bahawa DAP adalah kuda tunggangan Pas. Musuh DAP mempropagandakan DAP menggadai maruah, bekerjasama dengan Pas demi memberi laluan pelaksanaan hukum syariah khususnya hudud. Apatah lagi DAP sanggup mengunakan logo bulan purnama demi mencapai cita-cita menewaskan BN. 

Di kala pihak Pas sedang menyiapkan surat kebenaran menggunakan logo bulan purnama kepada calon-calon DAP, ROS membenarkan DAP bertanding menggunakan lambang roket, pada malam menjelang hari penamaan calon. Apakah pada perkiraan strategi politik pilihanraya BN, BN menerusi MCA dan Gerakan akan dapat keuntungan politik bila DAP tidak guna logo bulan purnama, yang mengesahkan DAP menjadi alat untuk Pas melaksanakan cita-citanya.

Bila DAP bertanding gunakan logo bulan purnama adalah satu penafian tuduhan DAP sebagai parti rasis, berbanding parti-parti komponen BN walaupun logo bersama tetapi masng-masing dengan perjuangan perkauman mewakili kepentingan ras tertentu. Dengan alihan sokongan pengundi bukan Melayu kepada pembangkang bermula PRU12 serta peningkatan dalam PRU13, bila calon-calon DAP berlogo bulan purnama menang di kawasan majoriti bukan Melayu, adalah satu manifestasi penolakan politik perkauman dan politik Malaysia berarah ke perpaduan, kesejagatan dan kematangan. Kecenderungan pemikiran politik yang bukan lagi berselindung dengan fahaman perkauman yang sempit dan terkongkong telah mula dirasai. 

Sewajarnya DAP menggunakan logo seragam seluruh negara dengan menggunakan logo PKR, di mana wajah PKR dilihat lebih keterbukaan penerimaan masyarakat berbagai kaum. Tindakan tidak menggunakan logo PKR, sebaliknya logo Pas, mungkin melihat kepada dominan dan pengaruh Pas dalam menguasai pengundi Melayu berbanding PKR. 

Rintisan ke arah menggunakan satu logo yang dominan, sebelum ROS membuat keputusan kedudukan DAP menjelang hari penamaan calon PRU13, memperlihatkan usaha menggunakan satu logo dah bermula. Mungkinkah kewajaran DAP menggunakan logo bulan purnama akan mengurangkan kepelbagaian logo dalam pakatan pembangkang membina keputusan ROS menjelaskan status DAP tersebut, di mana tersirat legislatif menguasai eksekutif. 

Usaha menggunakan satu logo di pihak pakatan pembangkang sudah tercetus bila pakatan pembangkang Melayu merancang membentuk satu gabungan parti-parti menjelang PRU8 (PRU 1990). Kuasa eksekutif menerusi ROS mengadakan satu peraturan baru pendafataran sesebuah gabungan parti memerlukan sekurang-kurangnya 7 buah parti politik. Peraturan ini menghalang pakatan pembangkang menggunakan satu logo. Justeru itu, persefahaman pilihan raya Semangat 46, Pas dan Berjasa bertanding atas logo masing-masing. Begitu juga pakatan pembangkang kedua yang mewakili kawasan bukan Melayu; DAP, PBS, PRM menggunakan logo sendiri. Sementara, HAMIM dan IPF bertanding guna logo Semangat 46. 

Pakatan pembangkang semasa yang membentuk Pakatan Harapan, hasil kerjasama ; DAP, PKR dan Amanah, bersama Bersatu bersetuju menggunakan satu logo, satu manifesto untuk PRU14. Penggunaan satu logo sama ada menerusi pembentukan sebuah gabungan yang memerlukan 7 buah parti politik atau satu logo common, salah satu parti gabungan, demi menggambarkan ke arah amalan sistem dua parti. Umumnya yang tersurat ialah dua logo bersaing dalam PRU14, yang membentuk minda pemilih, persaingan lebih sengit dan seimbang antara pihak yang pertahan kerajaan dengan pihak yang mendokongi "government-in-waiting". 

Hasil dua PRU terakhir, memberikan kita ruang baru dalam masa depan politik Malaysia iaitu ke arah sistem dua parti, yang lebih memberi keyakinan dan keterbukaan rakyat menghayati demokrasi menerusi pilihanraya. Kedua-dua PRU tersebut membentuk persepsi, sudah sampai masanya amalan sistem dua parti yang menyaksikan kesepaduan dalam pasukan parti pemerintah dan kesepaduan dalam pasukan pembangkang. 

PRU13 yang memperlihatkan BN yang menggabungkan 14 buah parti politik cuma menguasai 47% undi untuk menguasai Putrajaya. Secara langsung yang tersiratnya, pengundi memerlukan sistem dua parti, di mana pembangkang yang menguasai 52% undi popular memerlukan persepakatan demi meraikan suara rakyat yang membentuk undi popular. 

Setelah sekian lama, BN menguasai kerajaan hasil rakyat yang membentuk pilihan yang bercempara kerana demokrasi mereka didedahkan dengan kepelbagaian pilihan. Dua PRU terakhir juga membentuk kematangan politik baru di mana parti-parti pembangkang utama menjadi pilihan sementara parti-parti pembangkang yang lain sekadar menghiasi dan memeriahkan medan demokrasi saja. Parti-parti baru yang terhasil dari serpihan parti-parti induk dan popular memerlukan tempat bernaung demi survival, tidak mampu untuk bersendirian. 

Fenomena dan pengalaman lampau mengajak keperluan membentuk paradigma acuan satu lawan satu di padang tak rata dengan BN. Rasionalnya, acuan paling tepat ialah satu logo lawan satu logo. Atas kebijaksanaan parti-parti pembangkang utama merealisasikan impian ini sebagai strategi yang lebih matang dan bertenaga berdepan BN yang didokongi sokongan eksekutif dan birokrasi.

Isnin, 19 Disember 2016

Memperlekeh Agong

MEMPERLEKEH BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG

Satu posting dalam media sosial menerusi penadaritanahmelayu.blogspot.com, yang bermaksud mencabar Baginda Yang di-Pertuan Agong meletak jawatan. Penulis yang dikenalpasti seorang doktor pelatih, Mohd Faiz, mengungkapkan; "kalau sekadar jadi ahli ibadah letak jawatan saja jawatan Agong". Dalam postingnya memaparkan Mohd Faiz seorang aktivitis aktif  Parti Amanah Negara. 

Penulis blog berkenaan begitu lantang mempersenda kemunculan Agong baru yang mencetuskan satu perubahan budaya Malaysia, sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berpelembagaan. Apa yang disuarakan oleh pemilik blog ini, memperolokkan penampilan perwatakan Baginda Agong ke 15, yang cuba menerapkan mendekatkan masyarakat dengan tradisi ningrat, di mana keluarga di raja terpisah dengan kelompok besar masyarakat oleh pemisahan tembok istana. Pemisahan ini merenggangkan dan menjarakkan lompang hubungan raja selaku pemerintah dengan rakyat. 

Harus disedari bahawa apa yang dibawa oleh Baginda Agong baru ini yang merupakan Sultan Kelantan, yang mengenali dunia pentadbiran di zaman Kelantan dalam rangka melakukan perubahan pentadiran dan pengurusan kerajaan yang dirintis oleh Allahyarham Tok Guru selaku Menteri Besar. 100 perubahan dicetus bila Tok Guru mengetuai kerajaan. Sikap humble, santai dan kurangkan protokol mewarisi pemerintah kerajaan Islam bermula zaman Rasullullah, yang dibawa Tok Guru lebih mendekati keperluan tuntutan agama, agar tiadanya pemisahaan antara pentadbiran dan pengurusan negara dengan garisan agama. 

Mohd Faiz menerusi blognya memperlekeh Baginda Agong berjubah dan mengunjungi rumah Allah tanpa protokol. Baginda berjubah lebih menampakkan kesederhaan seorang makhluk, begitu juga pembawaan Tok Guru. Tok Guru tiada diiringi pengawal keselamatan, malah rumah kediamannya tiada pagar, apatah lagi tidak perlu pengawal jaga pintu keluar masuk. Ini lebih memudah rakyat bertemu pemimpin tanpa protokol dan kawalan birokrasi. Apakah salahnya Agong baru ini mengamalkan apa yang dipraktikkan kerajaan "Membangun Bersama Islam" di negeri ini, untuk diterapkan sebagai budaya baru di Putrajaya, dari sebuah kerajaan negeri ke sebuah kerajaan Persekutuan.

Apa yang dirintis oleh pentadbiran di bawah Tok Guru, menjadi ikutan kerajaan Persekutuan, yang telah menjadikan Kelantan sebagai "guru politik Malaysia". 100 perubahan pentadbiran Tok Guru menjadi ikutan, walaupun awalnya diejek, diperlekeh dan diperli oleh pendokong dan pemimpin Pusat. Bermula dari penarikan semua akaun kerajaan dari bank konvensional, membuahkan hampir semua bank perdagangan konvensional terpaksa membuka kaunter perbankan Islam. Sungguhpun perbankkan Islam, mula diperkenal kerajaan Pusat menerusi penubuhan Bank Islam dalam tahun 1983, tetapi keperluan kepada perbankkan Islam sudah disedari setelah Kelantan ditadbir oleh Tok Guru.

Bila Kelantan memperkenalkan Sabtu sebagai cuti mingguan, dengan menjadi hari Jumaat untuk mencari ilmu dan Sabtu untuk keluarga, pemimpin pusat mengejek dengan alasan merugikan sektor industri, menyemai sikap malas dan tidak produktif. Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) tidak ikut amalan kerajaan negeri, ikut kerajaan Pusat dengan mengkalkan Sabtu sebagai hari bekerja. Akhirnya, Putrajaya buat keputusan menjadi Sabtu sebagai cuti minggu di samping Ahad atau Jumaat. 

Bila Tok Guru buat keputusan dalam pentadbiran negeri memberi cuti 60 hari untuk cuti bersalin, kemudian naik ke 90 hari, bukan main kepimpinan Pusat mencemuh atas alasan membantut jentera eksekutif dan mutu produktiviti. Akhirnya Pusat terpaksa belajar dari Kelantan, keperluan wanita bersalin memerlukan masa rehat dan masa untuk bayi yang lebih panjang. 

Baginda Agong ke 15 ini, tidak terlibat dalam aktiviti perniagaan, sebagaimana lazim keluarga di raja adalah kaya raya, mewah, setengahnya tersenarai dalam senarai orang terkaya di Malaysia. 

Sebagai Ketua Agama Islam mengikut Perlembagaan di negeri-negeri tidak beraja Melayu, wajar Baginda Agong bersahaja, tanpa pengiring, mengunjungi masjid bila tiba waktu solat. Itulah amalan Baginda semasa menjadi Sultan Kelantan. Tak ada pun, mana-mana orang yang mencaci atau mencela gaya hidup begini, Raja berjiwa rakyat. Atau apakah penulis blog, Pena Dari Tanah Melayu, terkejut bila laungan "Allahu Akbar" bergema di Istana Negara, yang lazimnya "Daulat Tuanku".

Sebagai Agong paling muda serta dengan penampilan berbeza yang menggusarkan setengah orang. Allahyarham Tok Guru, masa baru memegang ketua kerajaan negeri, banyak terima cemuhan, ejekan dan kata-kata pesimis. Ada sebut ulamak lebih layak menetap dan mengurus sekolah pondok, kerana mentadbir sebuah kerajaan negeri memerlukan pengalaman dan perwatakan yang mampu bersaing dengan ketua-ketua kerajaan lain. Ada sebut, Tok Guru cuma boleh bertahan setakat 3 bulan saja di puncak kuasa. Setelah diberi peluang mentadbir 5 penggal, apa yang yang diperli, diperlekeh dan diejek, menjadi ikutan kerajaan yang lebih besar, iaitu kerajaan Persekutuan yang menguasai Putrajaya.  Kelantan yang melahirkan sifar rasuah di kalangan jentera legislatif dan eksekutif, tidak mampu ditiru Putrajaya. 

Malah dalam bidang pengurusan sukan, terpaksa ikut apa yang Kelantan laksanakan. Jadual perlawanan bola sepak Liga Premier dalam bulan Ramadhan, tidak diberi laluan kerajaan negeri, dan perlawanan di venue negeri-negeri lain tidak dapat sambutan menyebabkan FAM tidak menjadualkan lagi bagi tahun 2016. 

Penampilan Baginda Agong ke 15, mungkin asing dan bertentangan dengan kelaziman protokol ningrat di luar pagar istana, kalau ikut pengalaman penampilan Tok Guru sebagai ketua sebuah kerajaan negeri, memerlukan masa dan jangka masa.    

Terbaru, penulis blog ini, Mohd Faiz memohon maaf. Beliau tidak sepatutnya mengambil keputusan memohon maaf dalam masa singkat dengan beberapa patah perkataan. Jika beliau ada prinsip, seorang yang bertanggungjawab berani mencabar institusi utama negara, sepatutnya perlu berhujah dengan alasan yang konkrtik mempertahankan pendiriannya. Seorang aktivitis parti yang tidak tahan diuji dan lekas mengalah, hanya mampu mencipta kata-kata kesat dan kurang matang untuk menzahirkan isihati kebencian, tidak mampu pergi jauh dalam dunia politik, yang memerlukan sahsiah yang tabah, jujur, berani, sabar dan mampu terima risiko. Justeru itu, ada tokoh politik, dalam usia mudah  sudah beberapa kali lompat parti, dan ada pemimpin kanan parti benukar haluan bila tercabar.