Khamis, 11 April 2013

Calon Berani Mati

BUKAN BERANI MATI TETAPI MENYAKINI PRU13 MENJANJIKAN PERUBAHAN

Antara perkara menarik menjelang hari penamaaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) ialah pengumuman awal beberapa tokoh politik yang akan bertanding di kawasan baru. Kawasan baru yang merupakan kawasan yang selesa bagi parti lawan dalam beberapa PRU terakhir, disertai dengan kawasan yang ditinggalkan adalah kawasan selamat dan memberi kemenangan bergaya sebelum ini.

Tiga tokoh dari Pakatan Rakyat; Lim Kit Siang, Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa, mencetuskan nostalgia tahun 1970an dan 1980an. Tokoh bertemu tokoh, dalam pertandingan hidup mati. 

Dalam PRU5 (PRU 1978), Yang Dipertua (sekarang Presiden), Dato' Mohd Asri Haji Muda, meninggalkan kubunya di Kelantan, setelah kejatuhan kerajaan Pas Kelantan dalam Pilihan Raya Negeri, 1978. Medan baru Pas ialah di Kedah. Beliau menentang Menteri Besar Kedah, Dato' Syed Ahmad Shahabuddin di kerusi Parlimen Padang Terap. Perlawanan satu lawan satu, the battle of the giants di Padang Terap menjadikan tajuk utama berita panas PRU tahun itu. Beliau tewas, setelah mengumpul 12,000 undi berbanding undi Syed Ahmad, 14,747 undi. 

Dalam PRU6 (PRU 1982) yang menyaksikan usaha pemulihan dan peningkatan suara masyarakat Tionghua dalam kerajaan yang diwakili oleh MCA. Untuk memperkukuhkan peranan MCA mewakili orang Cina, di samping menyaingi Parti Gerakan dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina, pemimpn-pemimpin utama MCA bertanding di kawasan majoriti Cina, bukan kawasan campuran.

PRU6 adalah pengesahan mandat untuk Perdana Menteri baru, Dr Mahathir Mohamad. Sokongan orang Melayu dan masyarakat luar bandar kepada BN melalui UMNO adalah mempertajamkan status quo sejak PRU4. Untuk mengikis prasangka masyarakat bukan Melayu, orang Cina khususnya, memerlukan MCA membuktikan sokongan tinggi pengundi Cina untuk BN. Kepimpinan MCA berkorban

Dato' Lee San Choon, Presiden MCA, meninggalkan kawasan Parlimen Segamat yang ditandinginya sejak PRU1, satu kawasan selamat tradisi Perikatan/BN. Beliau mencabar Dr Chen Man Hin, penyandang kerusi Parlimen Seremban, yang merupakan pengasas dan Pengerusi Nasional DAP. Pertandingan antara dua ketua parti utama berasaskan masyarakat Cina.  Sungguhpun Dr Chen menang selesa dalam PRU5, dengan 8,073 undi, tapi kali ini beliau akur dengan kekalahan 845 undi atau 1.85 peratus. 

Dr Ling Liong Sik pertahan kerusi Mata Kuching (sekarang Bagan) kawasan majoriti Cina, dengan majoriti besar 12,156 undi atau 29.08 peratus. Tan Koon Swan menang di kerusi Parlimen Damansara, dengan selesa 14,522 undi atau 26.54 peratus. Beliau meninggalkan kerusi campuran, Parlimen Raub yang dimenanginya dengan mudah dalam PRU5.Dr Neo Yee Pan pertahan kerusi Parlimen Muar dengan peratusan majoriti yang besar 38.38 peratus.

Kerusi Parlimen Segamat, diberi kepada MIC, di mana S.Subramanian, Timbalan Presiden MIC, menang selesa dengan peratusan majoriti 35.67 peratus. PRU6 mempamirkan sokongan padu masyarakat Cina dan juga Melayu, merestui mandat kepada Perdana Menteri baru, Dr Mahathir Mohamad.

Berbeza dengan PRU, empat tahun kemudiannya. Dalam PRU7, DAP mewakili masyarakat bandar, orang Cina khususnya berjaya membuat satu medan baru dalam politik tanah air. Sebagai memenuhi inspirasi rakyat kota khasnya inginkan perubahan dan perlunya tenaga pembangkang yang berkesan. Hasilnya DAP berjaya memenangi 24 kerusi Parlimen dan menjadikan ianya parti politik bersifat nasional yang paling berkesan, setelah berjaya melahirkan Ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak. Menerusi projek Tanjong 1, berjaya mencabar kekuatan kerajaan negeri Pulau Pinang, setelah berjaya memenangi 10 kerusi DUN berbanding BN, 23 kerusi.

Dr Chen Man Hin, meninggalkan kerusi tradisinya, yang dimenangi sejak 1965, menerusi satu pilihan raya kecil, bertanding di kawasan campuran dan luar bandar, Peradong. Beliau kalah dengan majoriti kecil, 348 undi. Kerusi asalnya Rahang, di tengah-tengah bandar Seremban dimenangi oleh calon DAP  lain, Lee Yow Fong, dengan majoriti besar, 6,122 undi atau 40.67 peratus. Namun, beliau berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Seremban.

Di kerusi Parlimen Tanjung, Setiausaha Agung DAP yang meninggalkan kerusi selamatnya di Kota Melaka, mengalahkan penyandang kerusi tersebut, Dr Koh Tsu Koon, dengan majoriti 11,690 undi atau 26.85 peratus. Kota Melaka diberikan kepada anaknya, Lim Guan Eng yang mengalahkan calon BN, bintang sepak bola negara, Soh Chin Aun, dengan peratusan majoriti besar, 34.15 peratus atau 17,606 undi.

Ling Liong Sik meninggalkan kawasan majoriti Cina, untuk ke Labis, kawasan campuran. 

Episod battle of the giants siri ketiga berlangsung di kerusi negeri Padang Kota, dalam PRU8  (PRU 1990). Menerusi projek Tanjong II, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP mengalahkan Presiden Gerakan dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Lim Chong Eu, dengan 706 undi. Dalam DUN Pulau Pinang, kedudukan kerusi: BN 19, DAP 14. 

2 orang Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub akan bertanding di kawasan yang dimenangi BN dengan majoriti besar dalam PRU terakhir (PRU12). Husam akan bertanding di P125 Putrajaya, kerusi Parlimen eksklusif, pengundinya kakitangan awam dan 94 peratus Melayu. Atas sifatnya sebagai Pengarah Road Map to Putrajaya, wajarlah beliau memilih P125 untuk ditandingi. Dalam PRU12 lalu, calon BN, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Tengku Adnan Mansor, pungut 4,038 undi, untuk mengalahkan calon Pas, dengan majoriti besar 2,734 undi atau 51.37 peratus. Dalam PRU11, beliau mengalahkan calon PKR, di mana calon PKR hilang wang pertaruhan.

Sebagaimana diduga PRU13 adalah PRU yang paling sengit dalam sejarah negara kita, amatlah wajar beliau meninggalkan kawasan yang disandangnya dan selesa, kerusi DUN N12 Salor. Di N12, beliau menang majoriti 3,232 undi atau peratusan majoriti 27.5 peratus. 

Sementara Salahuddin Ayub akan mencuba di kerusi Parlimen P161 Pulai. Dalam PRU12, calon BN, Datuk Nur Jazlan, menang dengan majoriti besar, 20,449 undi. Beliau meninggalkan kerusi Parlimen P24 Kubang Kerian, yang dimenanginya dengan majoriti selesa, 10,642 undi. Kerusi P161 adalah kawasan campuran dengan 51 peratus pengundi Melayu.

Lim Kit Siang akan bertanding di P162 Gelang Patah. Dalam PRU12, calon BN, Tan Ah Heng menang dengan majoriti 8,851 undi, di mana 33.0 peratus pengundi adalah Melayu., dan 54 peratus Cina. Sejak PRU3, Lim Kit Siang bertanding di kawasan majoriti Cina, lebih 80 peratus pengundi Cina: Kota Melaka, Petaling, Tanjung, Bukit Bendera, Ipoh Timur. Beliau hanya kalah di Bukit Bendera (1990). 

Ini kalilah, buat julung kalinya, tokoh DAP ini bertanding di kawasan campuran, dalam tawaran untuk menjernihkan DAP adalah parti berbilang kaum.

Putrajaya mewakili kawasan bandar majoriti Melayu, Pulai dan Gelang Patah,  kawasan campuran serta faktor Johor (simpanan tetap BN), menggambarkan kawasan yang selamat untuk BN dan sukar digugat. Tindakan Pakatan Rakyat meletakkan tokoh-tokoh, pemimpin tertinggi parti, bertanding di kerusi seumpama itu, menyatakan kesungguhan serta keyakinan di tahap tinggi, perubahan besar akan berlaku dalam PRU13. Kata-kata  "jom ubah",  "ini kalilah", "Pakatan Harapan Rakyat", bukanlah sekadar kata-kata untuk provokasi pihak lawan, tetapi ianya berpaksikan di atas roh keyakinan.

Sanjungan tinggi harus dilontarkan kepada pemimpin parti berkenaan, di atas pengorbanan besar, demi mempastikan perancangan menjadi realiti. Bukanlah sekadar impian demi memperlengkapkan agenda untuk menyaingi musuh. Inilah realiti politik masa depan, memerlukan insan yang berani, ikhlas, telus dan jujur kepada agenda organisasi. Hasratnya politik pragmatik dan opportunis akan semakin terhakis demi menyuburkan nilai-nilai kejujuran dalam membangunkan masyarakat dan jemaah.

Tindakan mereka ini, bukanlah satu percubaan berani mati atau bergantung nasib; untung sabut timbul. Diharapkan ianya satu nilai mulia, membuktikan penglibatan dalam demokrasi kepilihanrayaan bukan satu ruang demi kepentingan diri dan bukanlah satu perjuangan mencari keuntungan jangka pendek.

Inilah unik dan anehnya PRU13. PRU13 adalah pengesahan mandat untuk Perdana Menteri baru, yang belum diuji hasil pilihan umum rakyat, di mana BN akan hadapi laluan mudah sebagaimana PM lalu; Tun Abdul Razak (PRU4), Tun Hussien (PRU5), Dr Mahathir (PRU6) dan Tun Abdullah (PRU11). Bagi DS Najib, mandat sebagai PM disambut dengan sebutan "PRU13 paling getir", hadapi agenda tukar kerajaan Persekutuan oleh pakatan pembangkang. Pemimpin pembangkang meninggalkan kubu dalam merealitikan keberkatan "Menuju Putrajaya" di samping melengkapkan serta melanjutkan tsunami politik hingga ke selatan Semenanjung.    





Khamis, 4 April 2013

Peningkatan Pengundi PRU13

PENINGKATAN MENDADAK JUMLAH PEMILIH DALAM PRU13



Alhamdullilah, jam 11.30 pagi, Rabu 03/04/13, PM DS Najib Tun Razak umumkan pembubaran parlimen ke 12, untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Jam 10.15 pagi tadi, (Jumaat 05/04/13), DS Azizan Abdul Razak, umumkan pembubaran DUN Kedah, merupakan dewan legislatif terakhir dibubar.


Salah satu aspeks menarik bagi PRU13 ialah daftar pemilih dan operasi pendaftaran pemilih. Aspeks ini menjadi satu strategi bagi parti yang memegang kuasa untuk mempertahankan kuasa. Sebaliknya, menjadi satu karenah bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdepan pihak yang tidak berkuasa di peringkat Persekutuan mempersoalkan mekanisme daftar pemilih yang melahirkan daftar pemilih yang dipersoalkan.


Dari rekod SPR, mencatatkan jumlah pemilih dalam pilihan raya pertama, Pilihan Raya Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu, 1955: 1,280,000 orang.(rujuk SPR; Laporan Pilihan Raya Umum ke 12, 2008, halaman 13).  Perbandingan dengan jumlah pemilih dalam PRU1 (PRU 1959), peningkatan seramai 891,097 kepada 2,171,097 orang atau peningkatan 69.62 peratus.

Dari jumlah 1.28 juta pemilih dalam pilihan raya 1955, 85 peratus adalah pengundi Melayu, sementara dengan peningkatan 69.62 peratus pemilih menjadikan peratusan pengundi Melayu di bawah 55 peratus dalam PRU1. Sebelum Merdeka, pengundi Melayu menguasai majoriti mutlak senarai pemilih, sebaliknya lepas Merdeka, menjadikan pengundi Melayu cuma mengatasi kaum lain, dengan simple majority. Kejatuhan peratus pengundi Melayu adalah secara langsung kesan dari pengeluaran kad pengenalan kepada bukan warganegara dan British Nationals, sebaik saja Merdeka diisytiharkan pada 31 Ogos 1957.

Sehingga kini, peratusan pengundi Melayu di Semenanjung, tidak pernah melepasi 60 peratus. Dalam PRU12, jumlah pemilih di Semenanjung ialah 9,181,040 di mana 58.93 adalah Melayu.

Selepas PRU1, pilihan raya pertama selepas Merdeka, berlaku pertambahan pengundi dengan kadar yang lebih rendah. Dalam PRU2 (PRU 1964), jumlah pemilih bertambah seramai 591,980 orang atau 27.27 peratus. PRU2, tidak melibatkan kawasan-kawasan pilihan raya dari Sabah, Sarawak dan Singapura, sungguhpun negeri-negeri tersebut menyertai Persekutuan Malaysia, 1963. Keanggotaan Parlimen Malaysia, ialah 169: 104 dari Semenanjung yang dipilih menerusi PRU2, bakinya dilantik, 15 dari Singapura, 16 Sabah dan 24 Sarawak.

Dalam PRU3 (PRU 1969), melibatkan 3,843,782 pemilih iaitu peningkatan seramai 1,080,705 orang atau 39.11 peratus, berbanding dengan pemilih dalam PRU2,  kerana PRU3 melibatkan pilihan raya secara langsung seluruh negara kecuali DUN Sabah, yang sudah adakan pilihan negeri dalam tahun 1967. Justeru itu, dalam PRU4 (PRU 1974), pertambahan pemilih dengan PRU sebelumnya; PRU3, cuma peningkatan sebanyak 7.50 peratus atau 288,250 orang pemilih sahaja.

Selepas itu, dalam enam siri PRU terakhir, kadar pertambahan pengundi di Malaysia, dalam tempoh berakhir setiap penggal Parlimen, tidaklah setinggi atau mengatasi angka pertambahan bagi kes PRU1 dan PRU3, yang agak luar biasa. PRU1 kerana perolehan kad pengenalan warga bukan Melayu dan PRU3 kerana pendaftaran masuk warga Sabah dan Sarawak dalam daftar pemilih induk SPR.

Contohnya: kadar pertambahan pemilih antara PRU6 (1982) dengan PRU7 (1986) adalah 14.52 peratus, dan seterusnya beza PRU semasa dengan PRU terakhir sebelumnya: PRU8 (1990) 14.41 peratus, PRU9 (1995) 13.10 peratus, PRU10 (1999) 6.12 peratus, PRU11 (2004) 7.53 peratus, dan PRU12 (2008) 6.20 peratus.

Angka daftar pemilih yang digunakan dalam PRU12 ialah 10,922,139. Rekod terkini daftar pemilih yang diwartakan pada 22/02/2013 ialah 13,291,385 orang iaitu peningkatan seramai 2,369,246 pemilih atau 21.69 peratus. Paling tinggi dalam tempoh 30 tahun.

Peningkatan peratusan pemilih yang paling tinggi dalam tempoh 30 tahun ini, menggambarkan PRU13 satu PRU yang amat menarik yang boleh dianggap luar biasa, dilihat dari sudut kecenderungan khalayak rakyat mempastikan mereka terlibat dalam politik kepilihanrayaan. Justeru itu, munasabahlah dan ada rationaliti kukuh menyebut: PRU ibu segala PRU, PRU paling getir, PRU paling mencabar, PRU yang menjanjikan serba kemungkinan. Yang paling mencabar ialah PRU  penentu hidup mati UMNO.

SPR yang disifatkan oleh setengah pihak ada peranan pengadil berat sebelah yang memihak untuk parti pemerintah melangsungkan kuasanya, main peranan tambahan berbanding PRU-PRU lepas, untuk meningkatkan angka pendaftaran pemilih.

Hasil PRU12 yang menyaksikan bermulanya kemerosotan undi BN, bermulanya kejatuhan beberapa negeri yang dikuasai BN, memberi petunjuk kepada SPR sebagai pihak yang bertanggugjawab, parti pemerintahan, parti pembangkang dan pihak lain yang berminat, peri pentingnya operasi dan kerja-kerja pendaftaran pemilih dan tingkatkan jumlah pengundi di sesuatu kawasan.

Peningkatan bilangan pemilih 3 kali ganda berbanding 3 PRU terakhir memperlihatkan perhatian, tumpuan dan kenderungan khalayak rakyat kepada PRU13. Seandainya peningkatan 3 kali ganda iaitu 21.69 peratus itu, satu kejayaan kesedaran serta tahap pendidikan kepilihanrayaan di kalangan rakyat.

Impaks dari PRU12, mendorong kepada peningkatan begitu besar angka pertambahan pemilih. Wakil-wakil rasmi SPR membantu SPR mendaftar pemilih iaitu Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) mewakili parti-parti politik, paling aktif meningkatkan pendaftaran pemilih. SPR mengeluarkan bilangan pendaftaran pemilih berdasarkan kerja-kerja wakil parti politik selaku PPP. Paling aktif ialah oleh anggota DAP. Ini diikuti oleh UMNO dan Pas. Dalam kerja-kerja pendaftaran, UMNO bernasib baik kerana banyak dibantu oleh agensi kerajaan.

Secara langsung, penglibatan parti-parti politik memperlihatkan pendaftaran terancang demi memperkukuh sasaran undi dan sasaran kemenangan dalam pilihan raya.

Imbas kembali kes pendaftaran memuncak di Sabah, khususnya di awal tahun 1990an. Dalam PRU8 (1990) jumlah pemilih di Sabah ialah 503,612 orang, meningkat seramai 103,107 orang atau 18.96 peratus dalam PRU9 (1995). Peningkatan kadar pengundi di Sabah mengatasi kadar peningkatan di seluruh negara, di mana ianya cuma meningkat sebanyak  13.10 sahaja dalam tempoh berkenaan.

Selepas tahun 1995, peningkatan kadar pemilih di Sabah tidaklah sebesar angka itu. Dalam tempoh 1995-1999, meningkat seramai 72,412 orang atau 11.98 peratus; 1999-2004, 49,812 orang pemilih atau 6.92 peratus dan antara 2004-2008, 38,919 orang iaitu 5.06 peratus peningkatan.

Paparan ini hendaklah menjelaskan peranan peningkatan kadar pemilih yang beragenda. Usaha di Sabah antara tempoh 1990-1994, menyaksikan kejatuhan kerajaan negeri pimpinan PBS, dalam Pilihan Raya DUN Sabah 1994.

Jika di Sabah diriuhkan dengan pendaftaran  serta penganugerahan kad pengenalan kepada pendatang asing, khususnya Filipina, menyaksikan peningkatan kadar pertambahan tinggi, mengatasi purata peratusan pendaftaran nasional dan memberi kesan besar keputusan pengundian dalam pilihan raya.

Apakah peningkatan daftar pemilih yang akan digunakan dalam PRU13 nanti iaitu 3 kali ganda berbanding kadar pertambahan pengundi dalam tiga PRU terakhir, lanjutan dari agenda Sabah 1990-1994?