Isnin, 30 Disember 2019

2020


WAJAH BARU 2020

Kita akan melangkah ke tahun baru 2020 dengan berbagai pembaharuan di bawah kerajaan Malaysia Baru. Terpandang angka 2020, terlintas imbauan 29 tahun lalu bila Perdana Menteri ke 4, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Wawasan 2020. Tidak terbayang masa itu, dalam tahun 1991, Tun masih segar bugar malah memimpin semula pentadbiran negara dalam tahun 2020. Khayalannya, apakah masih relevan idea Tun, apakah wajah negara Malaysia 29 tahun kemudian. 

Allahyarham Dato' Fadzil Mohd Noor, Presiden Pas (1989-2002) dan Ketua Pembangkang Parlimen (1999-2002) semasa hayatnya pernah mendokakan Tun Dr Mahathir dilimpahkan kurniaan lanjut usia supaya Tun dapat menyaksikan kesan jangka panjang dasar yang diperkenalkannya. 

Asasnya Wawasan 2020, sebuah wawasan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ke 4 (1981-2003), yang bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Wawasan ini bermaksud bukan sahaja kemajuan dalam bidang ekonomi, tetapi merangkumi bidang-bidang politik, sosial, kerohanian, serta perpaduan nasional. Matlamat akhirnya meningkatkan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, maruah bangsa dan keyakinan. 


Dalam penyampaian kertas kerjanya, Laluan ke Depan (The Way Forward), kepada Majlis Perniagaan Malaysia, pada 28/02/1991, Tun Dr Mahathir telah menghuraikan sembilan matlamat utama Wawasan 2020:
  1. Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
  2. Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
  3. Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.
  4. Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.
  5. Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
  6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.
  7. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.
  8. Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.
  9. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Tun Dr Mahathir telah menggariskan sembilan cabaran strategik yang Malaysia mesti atasi untuk mencapai Wawasan 2020.
  • Cabaran 1: Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu.
  • Cabaran 2: Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan.
  • Cabaran 3: Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang.
  • Cabaran 4: Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika.
  • Cabaran 5: Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi.
  • Cabaran 6: Membina masyarakat yang maju dan saintifik.
  • Cabaran 7: Mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang.
  • Cabaran 8: Menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya.
  • Cabaran 9: Memupuk dan membina masyarakat makmur.
  •  
    Apabila Tun kembali semula ke kerusi ketua kerajaan sebagai Perdana Menteri ke 7 bermula 08/05/2018, beliau menegaskan Wawasan 2020 gagal mencapai matlamatnya kerana kerajaan yang mengambil alih bermula 2003, gagal memberi fokus ke arah pencapaian status negara maju. 
    Tun yang menjadi PM bermula 16/07/1981, menyandang jawatan selama 22 tahun  dikenali sebagai "Bapa Pemodenan" atas kejayaan menukarkan Malaysia dari negara pertanian kepada negara perindustrian moden. Agak mengecewakan beliau apabila disifatkan gagal mencapai sasaran lantaran  perkembangan dalam tempoh 15 tahun selepas beliau meletak jawatan pada 31/10/2003, tidak  menjuruskan kepada landasan yang betul. 
    Tumpuan kepada pendapatan tinggi tanpa usaha menjadikan negara maju menjadikan matlamat Wawasan 2020 gagal, justeru  itu pentadbiran di bawah Malaysia Baru menerusi PM terkini menetapkan sasaran baru bagi menjadi negara maju menerusi satu agenda pembangunan baru, melanjutkan sasaran Wawasan 2020 yang diilhamkannya hampir 30 tahun lalu. Seolah pengisian sasaran Wawasan 2020 terbantut di bawah pentadbiran Islam Hadhari dan 1Malaysia demi memantapkan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
    Allah Maha Besar, dikembalikan hambanya dalam usia melewati lebih 90 tahun memimpin semula kerajaan di kala ilhamnya membina Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berada di penghujung sasaran. Kehadiran Tun untuk menilai semula agendanya 29 tahun lalu. Bagi Tun, tiada usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran. Justeru itu, beliau melancarkan lanjutan tempoh menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) pada 05/10/2019 lalu. 

Selamat Tahun Baru 2020. 


Tiada ulasan:


Catat Ulasan

Rabu, 25 Disember 2019

Konflik Pilihan Raya PBT 2

sambungan

APA PERLUNYA PILIHAN RAYA KERAJAAN TEMPATAN DI MALAYSIA

Bahagian (ii)

Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan kerajaan Pulai Pinang untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan, pada 14/08/2014. Permohonan kerajaan negeri Pulai Pinang dibuat susulan pewartaan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulai Pinang dan Seberang Prai) 2012. 

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Pulau Pinang yang mahu mengistiharkan Seksyen 10 dan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 tidak sah dan tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah mengambil ketegasan bahawa Seksyen 10 dan Seksyen 15 adalah berpelembagaan dan Parlimen yang menggubal perkara tersebut di bawah kuasa yang diperuntukan kepadanya mengikut Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan keseragaman undang-undang dan dasar berkaitan dengan kerajaan tempatan yang turut merangkumi pilihan raya kerajaan tempatan. 

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi menterinya, Zuraida Kamaruddin menyasarkan pilihan raya kerajaan tempatan akan dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun lagi. Beliau menjelaskan demikian dalam satu sidang media di Georgetown, pada 17/08/2019 lalu. KPKT akan menghasilkan model dan kertas cadangan lengkap untuk dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh 3 tahun. 

Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama mengikut KPKT bakal mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan. Persediaan yang sudah ada di negeri ini, memudahkan pilihan raya ini menjadi printis pilihan raya peringkat tempatan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menolak usaha mewujudkan pilihan raya kerajaan tempatan di Malaysia. Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan tidk akan melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan kerana ia mungkin membawa kepada konflik khususnya isu perkauman di bandar. 

Data semasa menunjukkan terdapat 16 PBT bertaraf bandar raya, yang mentadbir kawasan bandar yang besar;
4 Dewan Bandaraya: Kuala Lumpur, Kuching Utara, Johor Bahru, Kota Kinabalu;
12 Majlis Bandaraya: Ipoh, Miri, Kuching Selatan, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Shah Alam, Petaling Jaya, Melaka, Alor Setar, Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Seberang Perai. 


Sebanyak 39 buah bandar ditadbir oleh Majlis Perbandaran: Johor (6): Batu Pahat, Kluang, Kulai, Muar, Segamat, Pengerang;
Kedah (4):  Kubang Pasu, Kulim, Langkawi, Sungai Petani;
Kelantan (1): Kota Bharu;
Melaka (3): Alor Gajah, Jasin, Hang Tuah Jaya;
Negeri Sembilan (4): Seremban, Nilai, Port Dickson, Jempol;
Pahang (3): Kuantan, Temerloh, Bentong;
Perak (4): Kuala Kangsar, Manjung, Taiping, Teluk Intan;
Perlis (1): Kangar;
Sabah (3): Sandakan, Tawau, Kudat;
Sarawak (2): Padawan, Sibu;
Selangor (6): Ampang Jaya, Kajang, Klang, Selayang, Sepang, Subang Jaya;
Terengganu (2): Kemaman, Dungun.

Sebanyak 90 buah Majlis Daerah yang merupakan sebuah kawasan kerajaan tempatan atau pihak berkuasa tempatan  yang mentadbir kawasan luar bandar di Malaysia. Taburan Majlis Daerah mengikut negeri adalah; Johor (7), Kedah (6), Kelantan (11), Negeri Sembilan (4), Pahang (8), Perak (10), Sabah (20), Sarawak (20), Selangor (4), Terengganu (4). 

Di samping itu, PBT khas diwujudkan yang merupakan satu badan khas yang diberi peranan mentadbir satu kawasan khas sebagai kerajaan tempatan. Kawasan tersebut biasanya sebuah kawasan penempatan baru dirancang yang tidak sesuai untuk diklasifikasikan sebagai Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran. Ada 7 PBT khas;
- Lembaga Bandaran Johor Tengah
- Lembaga Kemajuan Bintulu
- Lembaga Pembangunan Tioman
- Perbadanan Labuan
- Perbadanan Putrajaya
- Pihak Berkuasa Tempatan Pengerang
- PBT Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim.

Sesebuah PBT yang mempunyai penduduk melebihi 500,000 penduduk, pendapatan tidak kurang dari RM100 juta setahun disokong oleh kemudahan ekonomi dan perkhidmatan layak diberi taraf bandaraya. Sementara kawasan bandar atau PBT yang mempunyai penduduk tidak kurang dari 150,000 orang serta pendapatan tahunan RM20 juta, layak mendapat status perbandaran.

Dalam urusan rasmi pentadbiran diklasifikasikan 56 buah bandar utama di Malaysia iaitu 16 bandaraya, 39 perbandaran dan Putrajaya. Daripada 16 bandar utama atau pentadbiran Dewan Bandaraya atau Majlis Bandaraya, hanya ada 3 bandaraya mempunyai majoriti pengundi Melayu; Kuala Terengganu, Shah Alam dan Alor Star. Di samping itu, Johor Bahru dan Pasir Gudang digambarkan kawasan campuran. Baki 11 bandaraya, adalah kawasan monopoli  Melayu/bukan Bumiputera. Komposisi penduduk tersebut berasaskan nisbah pengundi mengikut kaum kawasan bandaraya yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lepas.

Bagi perbandaran di bawah Majlis Perbandaran sejumlah 16 bandar memiliki dominasi Melayu. 16 bandar berkenaan; Muar, Pengerang, Kota Bharu, Kulim, Sungai Petani, Alor Gajah, Jasin, Hang Tuah Jaya, Jempol, Kuantan, Temerloh, Kuala Kangsar, Kangar, Sepang, Kemaman, Dungun.

Jika dijumlahkan daripada jumlah 56 buah bandar utama (termasuk Putrajaya), 20 buah bandar sahaja yang mempunyai majoriti penduduknya atau lebih 60 peratus adalah orang Melayu. Jumlah ini hanya 35 peratus bandar utama di Malaysia didominasi orang Melayu. 

Dari awal lagi, semasa masih dalam Pakatan Rakyat, DAP telah memulakan langkah merealisasikan usaha pilihan raya kerajaan tempatan, iaitu mengembalikan semula kuasa sebelum ianya digantung dalam tahun 1965. Kelantangan suara keperluan kerajaan ketiga dipilih oleh rakyat berterusan dalam suasana kerajaan Pakatan Harapan sedang menunaikan janji manifesto pilihan raya. 

Jika agenda mengembalikan kepada rakyat menentukan pentadbiran kerajaan tempatan menjadi realiti, kita akan bakal saksikan perubahan wajah 152 kerajaan tempatan. Berikutan kuatkuasa Akta 171, kerajaan tempatan dibentuk atas kuasa kerajaan negeri kecuali Wilayah Persekutan yang ditentukan oleh kerajaan Persekutuan. Setiap PBT dianggota oleh seramai 24 orang ahli mesyuarat. Sebelum tahun 1990, ketua pentadbir atau Yang Dipertua majlis PBT dilantik oleh kerajaan negeri. Bermula 1990, Yang Dipertua dan Setiausaha dilantik dari anggota perkhidmatan awam Persekutuan atau negeri, sementara 24 ahli mesyuarat diangkat mewakili parti yang memerintah di negeri masing-masing.

Sebelum pilihan raya PBT dimansuhkan pada tahun 1965, PBT kawasan bandar dikuasai oleh parti pembangkang utama iaitu Fron Sosialis (gabungan Partai Rakyat Malaya dan Partai Buruh Malaya) di Pantai Barat Semenanjung, sementara parti PPP menguasai bandar Ipoh, dan kerajaan negeri dikuasai parti Perikatan.  Sementara di kawasan bandar majoriti Melayu seperti Kota Bharu dan Kuala Terengganu dikuasai oleh Perikatan, dan Pas menguasai kerajaan negeri. 

Parti-parti gabungan Pakatan Harapan yang menguasai kerajaan Persekutuan selain Parti Peribumi Malaysia Bersatu (PPBM), memberikan kenyataan positif pelaksanaaan pilihan raya PBT. DAP awal lagi menyuarakan sejak mengambil alin pentadbiran Pulau Pinang hasil PRU12. PKR menerusi kenyataan menteri yang bertanggungjawab dalam urusan kerajaan tempat di atas. Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad dalam kenyataannya pada 11/12/2018 mencadangkan pilihan raya PBT boleh dibuat percubaan di Shah Alam, sebagai respons pandangan Perdana Menteri yang memberi alasan pencetusan isu perkauman kiranya pilihan raya berkenaan diadakan. 

Semasa merasmikan seminar pengurusan PBT peringkat kebangsaan di Putrajaya, hujung tahun lepas, Perdana Menteri, mengulangi penolakan pilihan raya kerajaan tempat berfokus isu perkauman dan keseimbangan bandar-luar bandar. Dalam seminar berkenaan, menteri portfolio kerajaan tempatan menyebut pilihan raya PBT akan diadakan dan memerlukan masa pelaksanaan. 

Prinsip asas demokrasi ialah kebebasan bersuara menuntut keadilan dan kesakmaaan. Dalam setengah amalan demokrasi, pemilihan kuasa legislatif menerusi pilihan raya di semua peringkat, dari peringkat terendah mengurus sebuah pentadbiran tempatan hingga ke penggubal perundangan nasional. Di awal kemerdekaan, kita mengamalkan demokrasi dalam membentuk badan legislatif peringkat kerajaan tempatan, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dalam sistem federalisme. Di kawasan bandar, penduduk memilih ahli mesyuarat Majlis Bandaran, di pekan kecil, mereka memilih ahli mesyuarat Majlis Tempatan, sehinggalah dimansuhkan dalam tahun 1965. 

Seandainya dikembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan untuk memilih ahli majlis PBT, dengan hanya 35 peratus bandar memiliki majoriti pengundi Melayu secara langsung mengubah senario status quo pengurusan keseluruhan PBT yang akan dikuasai majoritinya kalangan bukan Melayu. Sesebuah PBT bertanggungjawab menyediakan, merancang dan memantau prasarana, perkhidmatan, pembangunan fizikal dalam kawasan atau sempadan operasi. Oleh itu, PBT bertanggungjawab mengurus dana menerusi pungutan cukai perkhidmatan dan pembayaran perkhidmatan lain. Sungguhpun PBT bersifat berdikari tetapi ada peruntukan dana dari kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bergantung kepada status PBT dan status keupayaan. 

Kebimbangan Perdana Menteri mewakili PPBM, dengan kuasa autonomi PBT menerusi perancangan terancang pembangunan fizikal dalam sesebuah bandar yang boleh mengganggu kepentingan kaum. Peraturan atau undang-undang kecil yang gubal oleh PBT berkemungkinan bercanggah dengan dasar sesebuah negeri, kerana menerusi pilihan raya tempatan, setengah PBT dikuasai oleh parti berlainan dengan parti yang menguasai kerajaan negeri. Hari ini, perlantikan keahlian ahli mesyuarat PBT dibuat oleh kerajaan negeri, sebaliknya menerusi pilihan raya PBT, terdedah kepada kemungkinan krisis antara kerajaan tempatan dengan kerajaan negeri. Krisis ini boleh membantut perjalanan dan perancangan sesebuah PBT. 

Masing-masing PBT dengan kuasa autonomi boleh membantut perancangan pembangunan ekonomi berbanding amalan semasa yang mempunyai dasar yang selari antara kerajaan negeri dengan kerajaan tempatan. Menerusi pilihan raya kerajaan tempatan, PBT yang dibentuk oleh perlbagai parti, akan membentuk pembangunan yang tidak seimbang antara bandar dengan desa. 

Secara langsung, apabila majoriti bandar didominasi oleh orang bukan Melayu, khususnya Cina, akan membentuk kuasa membentuk dasar awam, yang boleh mengganggu nisbah penjawat awam atau pembuat dasar awam antara orang Melayu/Bumiputera dengan bukan Melayu/non-Bumiputera yang dituntut oleh perlembagaan Persekutuan. Pilihan raya kerajaan tempatan yang diagenda oleh kerajaan hari ini, akan memberikan peranan orang bukan Melayu lebih menonjol, lebih diiktiraf dan bermatlamat menandingi orang Melayu yang menguasai sektor eksekutif dan legislatif. 

Zaman pemerntahan Barisan Nasional selama 60 tahun, memperlihatkan orang Melayu menguasai sektor politik, sementara orang bukan Melayu menguasai sektor ekonomi, dengan dikembalikan amalan pilihan raya kerajaan tempatan, akan membuka ruang yang lebih luas untuk orang bukan Melayu. Lebih banyak majlis PBT dikuasai oleh orang bukan Melayu, bermakna lebih ramai Datuk Bandar bukan Melayu, lebih ramai Yang Dipertua PBT bukan Melayu. Relatifnya, status quo orang Melayu menguasai politik, orang bukan Melayu khususnya orang Cina kuasai ekonomi akan terungkai apabila pentadbiran PBT bandar akan dikuasai oleh bukan Melayu atas nama demokrasi; keadilan untuk semua dan kesaksamaan sosial.








Khamis, 19 Disember 2019

Konflik Pilihan Raya PBT 1

APA PERLUNYA PILIHAN RAYA KERAJAAN TEMPATAN DI MALAYSIA

Bahagian (i)

Agenda pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mula dicetuskan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang yang dikuasai oleh parti DAP berterusan hari ini. Isu ini menonjolkan antara agenda yang terus diberikan penekanan, desakan dan tuntutan kepada pihak berkuasa negeri merealisasikan. 

Pasca Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang secara langsung menyemarakkan usaha menonjolkan kembali isu pilihan raya PBT, setelah kerajaan DAP bersama rakan komponen menguasai kerajaan Persekutuan. Isu pilihan raya PBT yang memecahkan pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat dalam tahun 2015 setelah agenda DAP ditolak Pas. Perselisihan antara DAP-Pas yang membawa kepada terkuburnya Pakatan Rakyat, apabila kedua-dua parti tidak dapat menerima rancangan saingan masing-masing. DAP meminta Pas terima cadangan pilihan raya PBT sebagai timbal balik atau tolak ansur bagi DAP menyokong agenda hudud yang diperjuangkan Pas menerusi usul RUU 355. 

Semenjak menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang menerusi PRU12, DAP yang mengepalai kerajaan Pakatan Rakyat telah melakukan beberapa usaha untuk mengembalikan hak rakyat menerusi pilihan raya di peringkat PBT. Pilihan raya PBT telah dimansuhkan oleh kerajaan Persekutuan dalam tahun 1964, apabila dharurat diistiharkan berikutan Konfrantasi Malaysia-Indonesia. 

Ordinan Kerajaan Tempatan 1950 yang memperuntukkan pembentukan majlis-majlis berkuasa tempatan, merintis jalan memperkenalkan proses demokrasi kepilihanrayaan di negara ini. Pilihan raya PBT bermula dalam tahun 1952, yang memberi ruang penduduk tempatan memilih wakil mereka ke majlis mesyuarat yang menguasai, mentadbir dan mengurus perjalanan pentadbiran sesebuah bandar dan pekan. 

Pilihan raya PBT bermula dengan pilihan raya untuk memilih anggota Majlis Municipal Kuala Lumpur pada 16/02/1952. Berikutnya pilihan raya serentak semua majlis PBT pada 06/12/1952 bagi Majlis Municipal, Majlis Bandaran dan Majlis Tempatan. Pilihan raya PBT diadakan setiap dua tahun dengan pilihan raya PBT terakhir diadakan dalam tahun 1963. 

Satu suruhanjaya siasatan diraja telah dibentuk dalam tahun 1965, diketuai oleh Senator Athi Nahappan dengan 5 orang ahli. Mereka adalah pemimpin kanan politik dari parti Perikatan yang memerintah. Suruhanjaya ini adalah untuk mengkaji keperluan dan cadangan pengurusan kerajaan tempatan. Hasilnya, satu cadangan perundangan diluluskan oleh Parlimen dikenali sebagai Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Seksyen 15 (1) akta tersebut menyatakan : walau apapun yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, semua peruntukan berhubungan dengan pilihan raya kerajaan tempatan terhenti berkuat kuasa atau mempunyai kesan. 

Ini bermakna menerusi Seksyen 15 (1) semua pilihan raya kerajaan tempatan dibatalkan. Mekanisme keanggotan pihak berkuasa tempatan diperuntukan oleh Seksyen 10 akta berkenaan, sama ada Yang Dipertua atau Presiden dan Ahli Majlis Mesyuarat dilantik oleh kerajaan negeri. 

Usaha untuk mengembalikan asas pembentukan kerajaan tempatan menerusi satu pilihan raya dirintis oleh kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP. Kerajaan Pulau Pinang yelah menghantar sepucuk surat kepada Majlis Kebangsaan Pihak Berkuasa Tempatan di bawah  Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan pada 13/07/2009 untuk membincangkan isu pilihan raya tempatan dalam Majlis tetapi cadangan itu telah ditolak.  

Berikutannya, kerajaan Pulau Pinang cuba menggunakan peruntukan perundangan di bawah Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan: Undang-undang Persekutuan atau Negeri boleh memberi kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menjalankan pilihan raya selain yang disebut dalam Fasal (1). Satu surat telah dihantar oleh kerajaan Pulau Pinang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 04/03/2010 untuk memulihkan pilihan raya PBT. Makluman balas dari SPR ialah menolak permintaan kerajaan negeri.

Setelah agenda menggunakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 95A dan Perkara 113 (4) menemui jalan buntu, kerajaan DAP melanjutkan usaha mengembalikan pilihan raya PBT. Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan Pulau Pinang (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 pada 12/09/2012. Enakmen yang diwartakan pada 05/07/2012 ini bertujuan untuk membolehkan anggota Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai dipilih secara langsung menerusi pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR.

 


bersambung

 

Khamis, 12 Disember 2019

Tak Perlu Tukar Kerajaan

MENGAPA PERLU TUKAR KERAJAAN MALAYSIA HARI INI

Pemerintahan kerajaan Persekutuan yang baru masuk tahun kedua sedang berdepan dengan kritikan setengah pihak berkeadaan tidak stabil lantaran diwarnai oleh berbagai isu dan masalah yang boleh menghilangkan keyakinan rakyat. Beberapa catatan peristiwa yang mencetuskan reaksi panas yang menggambarkan pembaharuan yang cuba diterapkan dalam masyarakat, membekalkan berbagai tanggpan dari masyarakat awam.

Isu kritikan terhadap Raja-raja Melayu, penghinaan terhadap peribadi Rasulullah, komik propaganda komunis, membawa masuk abu mendiang Chin Peng, himpunan sambutan ulangtahun perjanjian Hat Yai dengan kehadiran bekas-bekas penyokong Partai Komunis Malaya (PKM), penganjuran expo tattoo bogel, isu pengajaran tulisan jawi, menghina pasukan keselamatan, mengubah Jalur Gemilang, saranan menulis semula sejarah negara bermatlamat mengiktiraf perjuangan PKM satu perjuangan kemerdekaan tanah air dalam menentang kolonialisme dan imperliasme, adalah antara cebisan peristiwa yang menggambarkan wajah baru pemerintahan Malaysia. Wajah baru kegagalan mengurus tadbir sebuah pemerintahan. Terbaru, di sebuah sekolah aliran Cina, nyanyian lagu Negaraku dalam Mandarin.

Secara langsung agenda keadilan untuk semua membabitkan penyemaian fahaman komunisme. Sebuah kerajaan baru sepatutnya memperkenalkan dasar baru untuk meningkatkan pembangunan fizikal dan rohani rakyat, sebaliknya lebih menonjolkan isu-isu baru yang lebih bersifat merobek keharmonian yang sudah terjalin sekian lama. Kecelaruan dan kegagalan pemerintah baru mengurus dan mengawal seolah-olah sebuah perancangan. 

Semalam Baginda Al Sultan Selangor dalam majlis Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda di Istana Alam Shah, Klang, menegur golongan tertentu yang mengagungkan perjuangan PKM. Teguran baginda lanjutan dari perkembangan akhir-akhir ini yang cuba mengajak khalayak awam mengimbau perjuangan komunisme dalam sejarah menentang perjajahan.

Baginda Sultan mengingatkan rakyat supaya tidak terkeliru dengan fakta sejarah berkaitan PKM dan mengagung-agungkan pemimpin mereka. Baginda melontarkan ingatan bahawa fakta perjuangan ideologi PKM ini merupakan satu fakta sejarah yang perlu bagi rakyat generasi sekarang memahami dengan mendalam agar rakyat tidak terpesong dengan fakta-fakta yang mengelirukan tentang perjuangan komunisme di negara kita. 

Peringatan baginda, walaupun PKM dikatakan menentang penjajahan, namun perjuangan mereka bukan berlandaskan konsep pembentukan negara Malaysia merdeka yang berteraskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan (Sinar Harian 12/12/19 halaman 2 dan Berita Harian 12/12/19 halaman 4). 

Suasana yang dicetuskan lebih menjurus kepada usaha membangkitkan doktrin komunisme di alaf baru, satu ideologi politik yang semakin dijauhi masyarakat global. Apakah berpaksikan keadilan dan kesamarataan, hasil kemenangan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 serta mandat rakyat, membuka ruang untuk mengetengahkan nilai-nilai baru yang kontradiks dengan kontrak sosial  yang telah dipersetujui. 

Setelah kejatuhan komunisme di Eropah Timur dan Eropah Tengah menerusi Revolusi 1989, satu demi satu negara-negara komunis mengendurkan amalan dan anutan komunisme. Soviet Union di bawah Mikhail Gorbachev, berpecah dengan negara-negara gabungan membentuk kerajaan sendiri. Sekitar tahun 1990 hingga 1992, di samping kejatuhan kerajaan komunis di Eropah, diikuti berjangkit ke Cambodia (1991), Ethiopia (1990), Mongolia (1992), merebak ke Yaman Selatan (1996). China mula melonggarkan doktrin komunisme lebih awal, iaitu di bawah Deng Xiaping (1982-1987) dengan perubahan besar dalam amalan ekonomi. Di bawah Xiaping, diperkenalkan amalan sosialisme acuan China dengan ciri-ciri tersendiri. 

Banyak negara komunis Barat dan pertubuhan sosialis di Barat telah mengubah kepada haluan baru dengan amalan demorasi kepada prinsip sosial demokrat dan sosialisme demokrasi, kesan dari kejatuhan kerajan-kerajaan komunis atau Revolusi 1989. Di negara-negara demokrasi, pertubuhan atau parti-parti politik yang memperjuangkan sosialisme memilih wadah sosial demokrat untuk terus bernafas.

Di kala komunisme sudahpun runtuh dan kerelevannya semakin tersingkir, apakah perancangan di sebalik diusahakan unsur-unsur komunisme dalam kehidupan hari atas nama keadilan untuk semua. Pelik juga, di kala dunia menolak komunisme, ada usaha di Malaysia untuk meraikannya.

Kecelaruan berbagai isu dan peristiwa yang tidak berlaku masa pemerintahan dulu timbul tidak selesa di kalangan setengah rakyat tahap keupayaan kerajaan baru menanganinya. Rakyat melihat kerajaan baru tidak berkeupayaan mendidik rakyat menghormati perlembagaan, instusi raja, realiti kepelbagaian kaum, kedudukan Islam, Orang Melayu dan Bahasa Melayu yang dijamin oleh perlembagaan dan persetujuan kontrak sosial. Lebih terbuka, ada pemimpin politik meminta dibubar Parlimen untuk mandat baru, di atas ketidakupayaan dan kelemahan kerajaan baru menangani isu. Mandat baru diperlukan untuk menyemak sama ada meneruskan elemen-elemen baru atau mengawal unsur-unsur yang boleh merosakkan ikatan kontrak sosial serta status quo keharmonian masyarakat.

Apapun yang berlaku dalam negara kita, hak demokrasi harus diraikan. Rakyat memberi mandat kepada kerajaan baru dan berilah peluang kerajaan baru mempersembahkan agendanya sehingga tempohnya. Rakyat yang memilih kerajaan dalam PRU14 memang menyedari prinsip dan dasar parti. Pengundi menyedari mana-mana pihak yang menguasai kerajaan dalam sistem berbilang parti adalah terdiri dari gabungan berbagai parti dengan sebuah parti  dominan. 

Kerajaan baru pastinya mempunyai dasar dan halatuju yang berbeza dengan kerajaan lama, justeru itu rakyat memilih untuk perubahan. Berilah peluang kerajaan baru mengatur agendanya demi sebuah perubahan. Kerajaan lama yang memerintah lebih 60 tahun dikuasai oleh sebuah parti dominan, begitu juga kerajaan baru yang sedang berada dalam tahun kedua, sama ada sedar atau tersembunyi ada parti dominan.


 


Ahad, 24 November 2019

Tolak politik rasis

AGENDA PARTI MENGATASI AGENDA PERKAUMAN

Keputusan Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang memihak kepada calon Barisan Nasional dari MCA merungkaikan persepsi yang dibina oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP, kerjasama pembangkang khususnya UMNO dan Pas berkecenderungan membawa pembiakan virus rasis. Sungguhpun PRK Tanjung Piai sekadar satu pungutan suara pengundi setempat tetapi dengan demografi serta latar belakang sosio-ekonominya, bolehlah diambil sebagai satu bahagian modul menggambarkan suara rakyat keseluruhannya. Ini disokong oleh faktor nasional mengatasi faktor setempat atau local yang banyak membantu pengundi membuat keputusan.

Lazimnya parti pemerintahan sama ada BN atau PH, akan mengumumkan projek besar, projek segera dan program-program khas diatur untuk pemimpin utama parti turun, tetapi berbeza dengan PRK Tanjung Piai. Justeru itu, secara umumnya kecenderungan pemilih membuat keputusan di peti undi adalah isu nasional, yang memaparkan penolakan pengundi kepada PH. Ayungan undi yang begitu besar yang memberikan kekalahan PH dengan majoriti yang besar mengajak orang awam menilai prestasi PH, khususnya pentadbiran dan pemerintahan era Malaysia Baru.

Setuju dengan pendapat awam bahawa PH gagal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat demi menambahbaik prestasi ekonomi nasional dan pembangunan sosio-politik. Tanggungjawab sebagai pemerintah baru mempersembahkan prestasi yang lebih baik berbanding kerajaan yang ditumbangkan diselebungi oleh dasar, tindakan dan pengucapan kepimpinan kerajaan baru yang menampakkan penyuburan perkauman. Isu dan unsur rasis sengaja digemburkan yang merupakan antara pendekatan baru diambil oleh kerajaan Malaysia Baru.

Kontrak sosial yang menjadi matlamat persepakatan antara kaum terbesar di Tanah Melayu yang merangka pembentukan negara merdeka telah pula dipersoalkan. Ada pemimpin meminta sejarah tanah air ditulis semula. Usaha mengiktiraf perjuangan Partai Komunis Malaya sebagai perjuangan kemerdekaan tanah air, dakwaan orang India adalah penduduk asal Tanah Melayu berasaskan sejarah ketamadunan Lembah Bujang serta sejarah Srivijaya, mempertikai kedudukan Raja-raja Melayu, membantah peruntukan masa pembelajaran tulisan jawi, menghina Rasulullah, adalah antara pembaharuan yang dipopular. Bagaimana cara pengurusan kes kematian Mohamad Adib, mengetengahkan kes kematian Tan Beng Hock, isu Dr Zakir Naik dan lebih berani meletakkan tulisan Cina dalam label jalan kawasan perbandaran di Selangor, membibitkan isu-isu rasis dalam pentadbiran. 

Walaupun semua pihak sama ada parti pemerintah atau pembangkang mendaulati perlembangaan yang menjadi kedudukan Raja-raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan hak keistimewaan Orang Melayu dan peribumi, tetapi setelah 60 tahun merdeka berkebetulan pertukaran pemerintah, usaha-usaha secara terbuka dan berleluasa dalam menyentuh dan menyinggung perasaan. Berasaskan prinsip asas demokrasi, persamaan hak dan keadilan untuk semua, secara terangan penyuburan unsur perkauman mula menjalar dalam berbagai bentuk komunikasi dan media. 

Keputusan yang diambil oleh pengundi Tanjung Piai pada 16/11/19 lalu, adalah antara jawapan awal kepada perubahan dalam konteks  hubungan kemasyarakatan di negara berbilang kaum. Sebahagian pengundi menyedari status quo yang dipertahankan oleh pemerintah BN demi perpaduan kaum dan pembangunan negara perlu dikekalkan. Hak-hak setiap kaum dalam kontrak sosial perlu dipatuhi dan dihormati agar pembangunan ekonomi dan kemakmuran negara yang dikecapi lebih 60 tahun berkekalan. 

Penolakan pengundi agenda rasis yang merudumkan sokongan kepada PH di Tanjung Piai juga dapat dikesan kepada Barisan Jemaah Islamiah Se Malaysia (Berjasa) yang membawa agenda mengaut Melayu/Islam.  Berjasa hanya perolehi 850 undi atau 2.51% undi popular mengukuhkan lagi perjuangan rasis tidak relevan dalam politik Malaysia. Kegagalan PH mempertahankan kerusi dan pencapaian calon Berjasa bolehlah dirumuskan penolakan amalan politik rasis dalam politik Malaysia.