Khamis, 23 April 2020

Salam Ramadhan

RAMADHAN TAHUN 1441 YANG ISTIMEWA

Ramadhan musim ini sungguh istimewa sekali apabila dunia dikejutkan dengan pendemik Covid-19 yang sedang melanda 185 negara dengan peningkatan kes jangkitan kepada 2.667 juta manusia dengan 186,221 kehilangan nyawa sehingga jam 14.30 GMT hari ini. Keistimewaan Ramadhan tahun ini lantaran amalan dan pengisian rukun Islam ini yang terhad, kerana manusia dibataskan dengan penjarakan sosial serta terpaksa berada di dalam kediaman masing-masing di kebanyakan negara. 

Sebelum kedatangan Ramadhan, sebahagian besar aktiviti manusia sama ada memenuhi tuntutan rezeki, tuntutan ekonomi serta tuntutan sosial terhenti, lantaran kawalan dan keterbatasan pergerakan manusia. Tiada lagi aktiviti perjudian, aktiviti di casino, bar dan kelab malam, tiada lagi aktiviti melepak di kedai kopi dan kedai makan, santai di pantai dan tempat-tempat rekreasi dan sebagainya. Ramadhan tahun ini mengajar manusia khususnya penganut Islam meninggalkan aktiviti maksiat, anti-sosial dan perbuatan sia-sia, yang utama perbuatan yang dilarang oleh ajaran agama, sebelum memasuki bulan ibadat ini, dengan jiwa yang bersih dan tenang. Tuntutan agama sudah pun dianjurkan memperbanyakkan amalan kerohanian dan sosial dalam dua bulan terakhir; Rajab dan Syaaban. Bulan Rajab dan Syaaban, bulan persiapkan diri untuk pertingkatkan amal. 

Bagi umat non-Muslim, dengan keterbatasan ruang secara langsung aktiviti-aktiviti sosial di atas, seolah menghormati masyarakat Islam yang akan menyambut Ramadhan. Malah di beberapa negara dalam bulan Syaaban, masyarakat Muslim diminta mengambil bahagian atau usaha ibadat agar wabak Covid-19 dapat dihindari demi kesejahteraan universal. Langkah beberapa negara non-Muslim berkenaan membawa erti satu pengiktirafan peranan dan kebenaran ajaran yang dibawa oleh Islam. 

Lengangnya Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi, sebaimana digambarkan dalam bulan Syaaban lantaran arahan atau halangan pergerakan orangramai melibatkan diri dalam ibadat solat dan tawaf, satu keluarbiasaan. Kaabah yang ditawaf  serta Makam Rasulullah serta Raudhah yang sentiasa dikunjungi umat Islam sepanjang masa, sejak 1400 tahun lalu,  menjadi sepi tanpa dilawati tahun ini. Ramadhan tahun ini tidak lagi menerima tetamu berkunjung ke rumah Allah serta Masjid Rasulullah untuk solat tawawih terutamanya malam kemuncak 10 malam terakhir. Selain musim Haji, tumpuan jemaah Islam seluruh dunia ke Masjidil Haram ialah di bulan Ramadhan. 

Di seluruh dunia, khususnya di negara-negara yang terlibat dengan pendemik Covid-19, sama ada negara umat Islam atau non-Muslim, umat Islam akan menunaikan solat tarawih di rumah masing-masing. Tidak lagi, beramai-ramai berkunjung ke masjid atau sebagainya sepanjang malam bulan Ramadhan. Tradisi kemeriahan umat Islam, mengunjungi pasar atau bazar Ramadhan pada waktu petang mencari bekalan iftar dan keluar beramai-ramai tunai ibadat tarawih serta menjamu selera tidak lagi dapat dikecapi dan ditonton hari ini. 

Allah Taala menurunkan pendemik Covid-19 ini banyak memberi pengajaran dan pengalaman untuk diambil iktibar serta muhasabah diri bukan umat Islam tetapi juga non-Muslim, penghuni alam sejagat ini. Nilai-nilai kesabaran, toleransi, kerjasama, serentak membuka ruang kepada manusia untuk mengenal diri, tujuan kehidupan di dunia serta menjaga alam anugerah Ilahi. Alhamdulillah, di samping aktiviti ekonomi dan sosial bertentangan dengan nilai-nilai agama dan nilai universal dapat ditontoni ada kesedaran manusia membatasinya. Pencemaran alam sekitar serentak dengan pembatasan aktiviti ekonomi industri telah mendekati manusia memulia dan menjaga alam, demi kebajikan masyarakat akan datang.

Di negara kita, perlbagai pihak sama ada pihak berkuasa atau bukan kerajaan bergerak aktif membantu masyarakat yang yang terhalang mencari rezeki lantaran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sumbangan makanan khususnya menjagi agenda utama bantuan kemasyarakatan. Kecaknaan berbagai pihak, harus disyukuri dan dihargai. Namun begitu, kedengaran kurang senang dengan bantuan dari sumber rasmi, bakul makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk kumpulan B40. Beberapa orang Ahli Parlimen Pembangkang membangkitkan sasaran 1000 penerima setiap kawasan daerah tidak dilaksanakan sepenuhnya. Program yang bermula pada 1 April 2020 ini, didakwa mengabaikan kawasan-kawasan Parlimen yang dikuasai oleh pihak pembangkang. Dilaporkan hanya satu daerah di bawah wakil rakyat pembangkang, iaitu Parlimen Langkawi dilksanakan sepenuhnya. Kawasan lain, ada tak dapat langsung, ada dapat pun separuh atau sebahagian sahaja. Harapannya, atas semangat Ramadhan, sepatutnya bantuan ini tidak dipolitikkan. Janganlah rakyat jadi mangsa manipulasi politik.

PKP fasa tiga yang akan berakhir pada 28/04/2020, ditambah ke PKP fasa empat yang akan berakhir pada 12/05/2020. Berkat Ramadhan, dengan doa serta kepatuhan umat mengerjakan ibadat bulan ini, pendemik Covid-19 dapat diputuskan rantaiannya. Semoga semua warga, akan dapat meneruskan agenda masing-masing untuk meneruskan mengisi kehidupan ini secepat mungkin, dan negara akan kembali normal demi kebajikan rakyat dipertingkatkan dan pertumbuhan ekonomi kembali tumbuh dengan lebih cemerlang. Kepada bakal tetamu Allah yang akan melaksanakan rukun Islam kelima tahun ini, didoakan dipermudahkan urusan. 

Kehadiran Covid-19, mengajak kita ikhlas dan jujur pada diri sendiri.  Sebelum ini, Ramadhan seumpama pesta siang dan malam. Siang  kunjung ke bazar Ramadhan dan malamnya, masjid dibanjiri, jumaah melimpah keluar, lepas solat tarawih, beramai-ramai tadarus Quran. Ramadhan kali ini tahap mana kita merebut peluang beribadat, menunaikan ibadat bersama keluarga dalam tempoh PKP yang dilanjutkan ke fasa keempat.

Untuk umat Islam, dirakamkan salam Ramadhan Kareem. 

1 Ramadhan 1441.


Sabtu, 18 April 2020

Kerajaan Pintu Belakang

KERAJAAN PINTU BELAKANG ADALAH DISAHKAN OLEH SISTEM DEMOKRASI 

Kekecuhan dalam Pakatan Harapan (PH) membuka ruang yang luas untuk memudahkan usaha menjatuhkannya oleh sama ada pihak dalaman PH sendiri atau pihak luar iaitu parti pembangkang. Isu serahan tugas jawatan Perdana Menteri dari Tun Dr Mahathir Mohamad kepada DS Anwar Ibrahim adalah pokok yang mencetuskan masalah. Bukan itu sahaja, isu kurang berkesan pentadbiran kerajaan Malaysia Baru di bawah PH serta janji-janji pilihan raya, sengaja menjarakkan antara pemerintah dengan rakyat. 

Kepimpinan PH tekad berpegang kepada perjanjian pada 07/01/2018 iaitu perjanjian peralihan kuasa ketuai PH bersama Tun Mahathir. Tun M sebagai ketuai kerajaan kiranya PH menang dalam PRU14, selepas 2 tahun akan diberikan kepada DS Anwar Ibrahim, setelah proses perundangan selesai untuk membolehkan beliau berada dalam medan tadbiran negara. Tempohnya dalam Mei 2020 harus dilepaskan kepada DS Anwar iaitu jawatan PM. Tun M, awal-awal lagi  membuat kenyataan beliau akan lepas jawatan sebaik selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia dan Pacific (APEC) yang dituanrumah oleh Malaysia, dalam bulan November 2020. 

Detik mula kronologi kejatuhan kerajaan PH bermula dengan Mesyuarat Majlis Presiden PH diadakan pada Jumaat, 21/02/2020, dengan agenda utama penyerahan kuasa PM. Mesyuarat untuk memuktamadkan pengalihan kuasa yang berakhir dengan menyerahkan kepada Tun M membuat keputusan. Tun M mengumumkan beliau akan terus memegang jawatan sehingga tarikh yang sesuai yang akan ditentukan. 

Lusanya,  hari Ahad, 23/02/2020, beberapa buah parti utama mengadakan mesyuarat dan perjumpaan. Pada sebelah pagi, anggota PH, Parti Peribumi Malaysia Bersatu (PPBM) bermesyuarat di ibu pejabatnya. UMNO dan Pas mengadakan sesi bersama di Janda Baik. Gabungan Parti Sarawak (GPS) adakah perjumpaan khas di Kuala Lumpur. DS Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR adakah perjumpaan dengan 20 orang Ahli Dewan Rakyat di Hotel Sheraton, Petaling. 

Pada sebelah petang, DS Azmin Ali dan penyokongnya (ADR), TS Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM), DS Zahid Hamidi (Presiden UMNO), DP Abang Johari (Pengerusi GPS), DS Shafie Apdal (Pengerusi Parti Warisan Sabah) dan TG Abdul Hadi (Presiden Pas) mengadap Yang di-Pertuan Agong, istihar sokongan kepada PM baharu. 

Pada sebelah malam, Azmin Ali mengadakan perjumpaan dengan penyokongnya di Hotel Sheraton. Turut serta ialah DS Ismail Sabri (Naib Presiden Pas) dan TG Abdul Hadi. Sementara DS Anwar mengadakan majlis solat bersama penyokong di rumahnya. 

Besoknya, Isnin 24/02/2020, kepimpinan PH; Anwar, Dr Wan Azizah, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu ke rumah Tun M. Rombongan meminta penjelasan Tun M berhubungan kejadian pada 23/02/2020. Tun M menjelaskan bahawa beliau tiada kaitan. 

Pada hari yang sama, Setiausaha Agung PKR mengumumkan pemecatan keahlian; Azmin Ali dan Zuraidah Kamaruddin (Naib Presiden). Berikutnya, Azmin Ali umumkan pembentukan satu blok bebas di Dewan Rakyat bersama 10 orang ADR PKR yang menyokongnya. 

Tun M menhantar surat perletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong. Justeru itu, Tun M dilantik sebagai Perdana Menteri interim. Lantaranya, kabinet terbubar mengikut Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan. Pada masa sama, PH telah hilang majoriti di Dewan Rakyat, selepas PPBM dan kumpulan Azmin Ali meninggalkan PH. Walau bagaimanapun, PPBM menolak perletakan jawatan Tun M sebagai Pengerusi PPBM. 

Selasa, 25/02/2020, seramai 90 orang Ahli Dewan Rakyat telah dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong. ADR yang sempat dipanggil mengadap pada hari ini adalah dari blok pembangkang. 

Pada sebelah petang, ADR dari UMNO, Pas, MCA, MIC dan PBRS menarik balik sokongan kepada Tun M sebagai PM, dan mencadangkan pembubaran Dewan Rakyat untuk satu pilihan raya umum baru. 

Pada hari Rabu, 26/02/2020, baki 132 ADR mengadap Yang di-Pertuan Agong. Tun M memohon maaf kepada rakyat di atas kemelut yang berlaku dan memaklumkan hasratnya untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan (unity government).

DAP, PKR dan Amanah telah menjemput Tun M ke satu mesyuarat untuk mengembalikan semula kerajaan yang telah tumbang. Tetapi, Tun M tidak hadir, justeru  mereka mncalonkan Anwar sebagai PM ke 8. 

Khamis, 27/02/2020, pada sebelah pagi, Tun M mengadap Yang Di-Pertuan Agong. Tengah harinya, Setiausaha Agung PPBM mengumumkan Tun M telah menarik balik perletakan jawatan Pengerusi PPBM. 

Tun M mencadangkan satu sidang khas Dewan Rakyat pada 02/03/2020 untuk memilih PM baru. Sekiranya dewan gagal membuat keputusan, dicadangkan pembubaran dewan untuk satu pilihan raya awal. 

Jumaat 28/02/2020; pada sebelah pagi, Raja-raja Melayu telah mengadakan Mesyuarat Majlis Raja-raja. Turut diundang ialah Penglima Angkatan Tentera Malaysia dan Ketua Polis Negara. 

Speaker Dewan Rakyat mengeluarkan kenyataan menolak cadangan sidang Dewan Rakyat pada 02/03/2020 kerana tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat 11(3).  

Pada sebelah petang, hasil Mesyuarat Majlis Raja-raja, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan panggil mengadap semua parti untuk kemukakan  nama calon PM. 

Petang itu juga, PPBM mengemukakan kenyataan menyokong TS Muhyiddin Yassin sebagai PM ke 8, yang disokong oleh 26 ADR PPBM dan 11 ADR dari blok bebas Azmin Ali. Juga diumumkan lebih 60 ADR dari UMNO, Pas, MCA dan MIC menyokong pencalonan TS Muhyiddin Yassin. 

Setelah satu minggu kemelut politik nasional, hari Sabtu 29/02/2020 adalah kemuncak peristiwa seorang Perdana Menteri sementara tanpa kuasa legislatif. Majlis Presiden PH mengambil keputusan hasil mesyuaratnya memberikan sokongan kepada Tun M, untuk mengetuai kerajaan. 

TS Muhyiddin Yassin mengadap Yang di-Pertuan Agong menyatakan gabungan ADR PPBM, UMNO, Pas, MCA, MIC, GPS, PBRS dan STAR serta anggota bebas memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan.

Pada sebelah petang, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa TS Muhyiddin menerima sokongan majoriti untuk mengetuai dan membentuk kerajaan. 

Ahad 01/03/2020, terlerailah kemelut apabila TS Muhyiddin mengangkat sumpah terima jawatan PM ke 8. Beliau mengambil masa 10 hari untuk membentuk kerajaan apabila 32 orang menteri dan 37 timbalan menteri mengangkat sumpah terima jawatan pasa 10/03/2020. Berakhirlah deretan peristiwa menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih rakyat menerusi PRU14 diganti oleh sebuah kerajaan gabungan wakil-wakil rakyat yang dipilih melalui PRU14. 

Adakah kerajaan baru yang diasaskan atas gabungan Perikatan Nasional hasil gabungan sokongan di kalangan Ahli Dewan Rakyat boleh dilabelkan sebagai kerajaan pintu belakang. Mereka adalah wakil rakyat yang dipilih menerusi amalan demokrasi berparlimen, mereka berhak membentuk gabungan atau puak untuk menentukan bilangan yang mencukupi yang boleh menyakinkan Yang di-Pertuan Agung, unsur teratas dalam institusi Parlimen. 

Ahli badan perundangan atau dewan legislatif: Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, tiada ikatan yang menghadkan pergerakan atau pendirian, kerana undang-undang mentafsirkan mereka dipilih sebagai wakil rakyat atas kapasiti peribadi bukan atas nama puak atau parti. Ini boleh dirujuk menerusi tafsiran undang-undang apabila institusi kehakiman negara memutuskan undang-undang menghalang seseorang ahli perundangan keluar parti adalah tidak sah dan batal. 

Pada 25/04/1991, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Enakmen Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan (Bahagian Pertama)  (Pindaan) 1991 yang memutuskan kedudukan ahli DUN gugur jika mereka bertukar parti dan kawasan mereka diistiharkan kosong. Dua orang ahli DUN dari Parti Semangat 46 telah melompat sertai Barisan Nasional (BN). 
 
DUN istihar kekosongan 2 kerusi ahli berkenaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengadakan  pilihan raya kecil di 2 kerusi berkenaan; Sungai Pinang dan Limbongan. Dalam pilihan raya kecil berkenaan kedua-dua ahli berkenaan bertanding semula atas tiket BN dan tewas kepada calon-calon Parti Semangat 46. 

Pada 08/11/1991, Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengistiharkan bahawa pindaan Perkara 31A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan sebagai tidak sah sebahagiannya kerana menyekat kebebasan yang diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada anggota DUN untuk keluar parti. Mahkamah Agung pula pada 03/04/1992 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menolak rayuan DUN Kelantan untuk membatalkan keanggotaan DUN. 

Sebelum kes DUN Kelantan (1991), beberapa anggota DUN Sabah yang melompat parti tergugur sebagai anggota dewan kerana ada peruntukan dalam Undang-undang Negeri Sabah dalam kes lompat parti. Tapi selepas kes Kelantan ini, DUN Sabah tidak lagi menggunakan peruntukan undang-undang tersebut untuk menggugur ahli DUN. Selepas Pilihan Raya Negeri Sabah 1994, apabila kedudukan kerusi PBS; 25, BN; 23, sebahagian besar anggota DUN PBS menyokong BN, tanpa dipengaruhi oleh undang-undang anti-lompat parti yang diamalkan di Sabah sejak zaman kerajaan Berjaya (1976-1985).

Punca kejatuhan kerajaan PH disebabkan sebilangan ahli Dewan Rakyat meninggalkan PH untuk menghilangkan suara majoriti dan membentuk  gabungan baru, bukanlah amalan pintu belakang tetapi berpelembagaan sebagaimana kes Kelantan (1991). 

Sistem perwakilan mengikut kawasan atau constituency representatives dalam amalan demokrasi berparlimen model Westminster Abbey atau the first past the post membuka ruang ahli untuk sertai atau pindah kumpulan. Mereka tidak terikat dengan parti yang mereka wakili dalam pilihan raya, tetapi mereka mewakili kawasan. Mereka boleh berubah sokongan apabila desakan rakyat yang diwakilinya meminta berbuat demikian pada bila-bila masa. Mereka boleh bergerak secara bebas atas jaminan kebebasan bersuara atas keperluan rakyat di kawasannya. Pergerakan dan tindakan mereka adalah secara terbuka dan berpelembagaan bukan secara pintu belakang. 

Antara syor Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) dalam usaha menambaik sistem dan undang-undang pilihan raya di Malaysia ialah sistem perwakilan di Dewan Rakyat berdasarkan peratusan undi yang dimenangi oleh parti politik. Ahli Dewan Rakyat bukan mewakili kawasan pilihan raya (constituency) tetapi mewakili parti. 

Syor tersebut untuk peringkat atau bahagian pilihan raya Persekutuan (Parlimen), sementara peringkat pilihan raya negeri dikekalkan sistem sedia ada. Perwakilan berasaskan peratusan undi dalam pilihan raya atau perwakilan berkadar (proportionate representatives) boleh elakkan seseorang ahli Dewan Rakyat boleh melompat parti kerana mereka mewakili parti, parti boleh ambil tindakan, mereka terikat dengan parti yang memilih mereka. Parti yang menentukan sama ada, parti akan bersama membentuk kerajaan atau sebaliknya. Kejatuhan sesebuah kerajaan bergantung kepada keputusan parti sama ada kekal atau tarik balik sokongan. Kejatuhan sesebuah kerajaan sebagaimana dialami kerajaan PH tempoh hari dapat dielakkan, kerana ahli Dewan Rakyat, bebas membuat keputusan sendiri. 

Jika dilaksanakan perwakilan berkadar atau proportionate, berdasarkan keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen, jumlah undi gabungan PH (DAP, PKR, PPBM, Amanah): 5,518,638 undi atau 45.68% undi, sepatutnya mendapat 101 kerusi, tetapi kerusi dimenangi PH: 113 kerusi. Undi diterima BN ialah  4,080,797 undi atau 33.77%, yang wajar diperuntukkan 75 kerusi, berbanding kerusi dimenangi 79 kerusi. Pas perolehi 2,041,186 undi atau 16.90%, layak diperuntukkan 37 kerusi, berbanding hanya 18 kerusi dimenangi dalam PRU14. 

PH yang membentuk kerajaan Persekutuan bersama ADR dari Parti Warisan Sabah (280,520 undi atau 2.32%) dan tiga calon bebas mesra PH (71,153 undi atau 0.59%) hanya disokong oleh 48.59% pengundi Malaysia. Undi BN digabung dengan undi Pas ialah 50.67% dari jumlah undi sah keseluruhan. Baki 0.74% pengundi memilih parti-parti lain. 

Dakwaan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional yang melibatkan BN dan Pas, satu pencabulan atau pengkhianatan suara rakyat boleh dipersoalkan. Gabungan yang membentuk Perikatan Nasional sudah mewakili suara simple majoriti, apabila dipaparkan lebih separuh rakyat tidak menyokong gabungan PH. Persoalan kerajaan pintu belakang tidak timbul apabila gabungan yang membentuk kerajaan PH tidak mewakili suara majoriti. Justeru itu, hakikinya kerajaan PH lebih terdedah kepada suasana politik yang tidak stabil, yang berisiko tumbang di tengah jalan. 

Kerajaan PH yang ditubuhkan di atas kekuatan yang rapuh membantu membuktikan dakwaan Pas sebelum PRU14, bahawa Pas ke arah peranan kuasa penentu dalam politik Malaysia. Parti yang disokong oleh hampir 17% pengundi Malaysia mampu menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan. Kuasa 17% itu bukan tipu daya pintu belakang tetapi ianya realiti keperluan politik sebagai menjawab ejekan pihak lawan Pas pra PRU14.

 







Jumaat, 10 April 2020

Duta Khas

PERLANTIKAN TOK GURU  HAJI HADI SEBAGAI DUTA KHAS YANG DISENSASIKAN

Pengumuman perlantikan Presiden Pas, Dato' Seri Tuanguru Abdul Hadi Awang (TGHH) sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah minggu lepas memecahkan kesunyian di kala rakyat patut kepada Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP). Rakyat akur kepada arahan berada di kediaman masing-masing, patuhi penjarakan dan kebersihan diri serta menghadkan pergerakan, demi menangani penularan wabak Covid-19. 

Sebagai figura politik yang tidak asing, perlantikan ini menerjahkan isu serta komentar negatif, yang banyak mempersoalkan keperluan tugasan tersebut. Lebih ditonjolkan berikutan perubahan pemerintahan peringkat kerajaan Persekutuan, iklim ekonomi yang kurang menyerlah ditambah dengan negara berdepan dengan wabak Covid-19 sebagaimana dialami lebih 180 negara kini. 

Perlantikan TGHH mendapat reaksi kontra yang besar, tidaklah sebagaimana lantikan beberapa duta khas oleh kerajaan terdahulu. Zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan zaman Pakatan Harapan (PH), perlantikan seumpama ini tidaklah bising sangat. 

DS Samy Vellu (mantan Presiden MIC) sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke India dan Asia Selatan, TS Ong Ka Ting (mantan Presiden MCA) ke Republik Rakyat China dilantik setelah tidak lagi berada dalam kepimpinan negara atau Jemaah Menteri dan mereka dilantik bertaraf menteri, sebelum kejatuhan kerajaan BN. Semasa dilantik mereka tidak lagi mengetuai  parti masing-masing yang merupakan parti utama komponen BN.

Samy Vellu ditugaskan duta khas infrastruktur untuk ke India serta negara-negara Asia Selatan; Pakistan, Nepal, Sri Lanka, Bhutan, Bangladesh dan Meldives. Kejayaan membawa pulangan besar pelaburan di India semasa beliau menjadi Menteri Kerjaraya dijadikan asas perlantikan beliau.  Ong Ka Ting dijuruskan membuka peluang perniagaan di RRC serta ditanggungjawabkan sebagai Pengerusi  Malaysia China Business Council (MCBC). 

Duta khas atau special envoy berbeza dengan ambassador, yang merupakan wakil rasmi kerajaan yang ditauliahkan ke sesebuah negara. Mereka diberikan bertaraf menteri, kerana untuk mendapatkan pengiktirafan atau keistimewaan protokol sebagai wakil rasmi kerajaan, sebagaimana ambassador yang merupakan wakil rasmi diplomatik yang ditauliahkan. Duta khas atau special envoy adalah dikhususkan sebagai utusan dalam sesuatu konflik dan kepentingan lain.

Tradisinya  sejak zaman pemerintahan Perikatan (kemudiannya BN), menteri-menteri atau  timbalan menteri yang digugurkan dari kabinet, atau yang kalah dalam pilihan raya dilantik mengetuai anggota diplomatik negara sama sebagai duta atau ambassador atau sebagai duta khas atau special envoy.  Ismail Mohd Yusoff, Abdul Rahman Talib, Mohd Khir Johari, Wan Mokhtar Ahmad, Abu Bakar Daud, Dr Awang Adik Hussin, Abdullah Ahmad, Dr Jamaluddin Jarjis, Hassan Abdul Malek, Mohamad Rahmat, antara beberapa nama besar terlibat dalam permerintahan Perikatan/BN, bermula era Tunku, sehingga era Najib. 

Apabila Pakatan Harapan menguasai kerajaan Persekutuan, Samy Vellu dan Ong Ka Ting ditamatkan perkhidmatan sebagai duta khas. Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dilantik mengisi kekosongan Duta Khas ke RR China. Perlantikan ini banyak terima kritikan dari penyokong pembangkang kerana janji PH tidak akan melibatkan kepimpinan politik kerajaan dalam perlantikan ke jawatan awam atau syarikat milik kerajaan. Sebenarnya, kerajaan PH mengekalkan tradisi BN meletakkan orang-orang politik ke jawatan dalam perbadanan dan anak syarikat kerajaan. 

Bezanya, masa BN melantik tokoh yang tercicir sebagai duta, kerana beberapa sebab antaranya kes mahkamah, kalah dalam pilihan raya, tidak lagi menjadi pemimpin parti sama ada kalah dalam pemilihan parti atau melepaskan jawatan. Lantaran PH hanya sempat berkuasa hanya 21 bulan, memungkinkan hanya Pengerusi DAP diberi peluang. 

TGHH diberi ditawarkan sebagai Duta Khas Perdana Menteri di atas sifatnya berlatarbelakang pendidikan, pengalaman keterlibatan dalam politik Timur Tengah serta peranannya dalam Kesatuan Ulamak Islam Dunia yang berpengkalan di Qatar menguatkan hujah perlantikannya. Sebagai Presiden parti yang menganggotai kerajaan yang tidak disenaraikan dalam struktur atasi kuasa iaitu jemaah menteri, sama seperti perlantikan Pengerusi DAP oleh kerajaan PH, wajar diberi satu kedudukan yang penting dalam pentadbiran negara. 

Perlantikan Pengerusi DAP sebagai duta khas oleh kerajaan PH dan Presiden Pas oleh kerajaan PN mempunyai kewajaran dan wawasan tersendiri. Faktor ini memisahkan amalan perlantikan duta di kalangan orang politik atau di luar perkhidmatan tadbir dan diplomatik oleh kerajaan Perikatan/BN dulu, dengan pendekatan yang diambil oleh kerajaan PH, disusuli oleh PN. Dalam tempoh 60 tahun pemerintahan Perikatan/BN, memberikan satu tanggapan yang negatif kepada masyarakat melihat perlantikan duta dari kalangan orang politik yang telah terkeluar dari landasan perdana politik negara. Samalah seperti mana-mana amalan parti sama ada BN atau PH, malah Pas, melantik pemimpin mereka yang tidak terpilih dalam pilihan raya, sebagai anggota Dewan Negara (senator). Pemerintahan PH dan PN meletakkan duta khas sebagai satu keistimewaan untuk ketua parti atau pemimpin yang masih dalam landasan utama politik negara. 

Pelantikan duta khas oleh kerajaan PH dan PN bolehlah ditafsirkan sebagai cerminan halatuju serta fokus negara dalam politik nasional dan antarabangsa. PH tumpu ke negara China, sementara PN menghala fokus ke Timur Tengah. Lantaran tuduhan pihak pembangkang khususnya, PH didominasi oleh DAP yang secara lateralnya penguasaan kepimpinan Cina lebih terserlah bila tumpuan diberikan kepada hubungan dengan negara Republik Rakyat China dalam berbagai bidang terutamanya perdagangan, pelancongan, teknologi dan kebudayaan (khususnya pendidikan).

Kerajaan PN pula dilabelkan kerajaan dominasi Melayu/Islam, apabila parti-parti utama Melayu: UMNO, Pas dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menguasai pembentukan kerajaan. Perlantikan Duta Khas ke Timur Tengah yang relatifnya negara-negara Islam. Perlantikan TGHH boleh memainkan peranan aktif Malaysia dalam kemajuan dan diplomatik pergolakan dalam masyarakat Timur Tengah. Agenda konflik Sunnah-Syiah, konflik Palestine-Israel, konflik Saudi-Yaman, konflik proksi Amerika Syarikat dan Israel dengan proksi Russia dan China, antara peranan yang boleh dimain peranan Malaysia menerusi Duta Khas ke arah merealisasikan usaha Malaysia menyelesaikan masalah ummah.  

Dua paradoks peranan dan perlantikan Duta Khas semasa BN dengan zaman PH dan PN, serta keutamaan halatuju antara perlantikan di bawah PH dengan PN, memperlihatkan jawatan atau tugasan Duta Khas relevan dalam konteks visi pemerintahan. Pengkritik kerajaan memberikan alasan membantah perlantikan TGHH sebagai Duta Khas PM ke Timur Tengah, kepada keperluan kewangan kerajaan yang kritikal serta fokus kerajaan bertumpu kepada memerangi wabak Covid-19. 

Pada era BN dulu, semasa Samy Vellu bertugas sebagai duta  khas, beliau dibantu oleh seorang Setiasuaha Sulit Kanan, seorang Pegawai Khas, dua orang pembantu khas dan seorang anggota keselamatan. Sudah tentu memerlukan satu peruntukan kewangan yang besar, walaupun jawatan ini adalah secara kontrak. Apapun kos yang ditanggung oleh kerajaan sama berbaloi walaupun pulangan bukan dalam bentuk kuantiti yang tampak.


 

Jumaat, 3 April 2020

Peranan Ibu bapa

PERATURAN KAWALAN PERGERAKAN (PKP) MENYERLAH  PERANAN IBU BAPA MENDIDIK ANAK-ANAK

Perlaksanaan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18/03/2020, dan dilanjutkan dua minggu lagi lebih merupakan cabaran kepada peranan ibu bapa dalam mendidik dan membimbing anak-anak jagaan masing-masing. Sungguhpun PKP menyasarkan mengawal pergerakan semua rakyat untuk mengekang wabak Covid-19 bermatlamat mengawal pergerakan semua orang tanpa batasan umur dan jantina. 

Daripada makluman semasa, angka rakyat yang melanggar perintah PKP tersebut sudah melepasi 1000 orang, tanpa mengenal umur, jantina serta keturunan di seluruh negara. Hukuman denda RM1000 atau tiga bulan penjara, memeritkan setengah orangm tetapi setengah pihak anggap sebagai perkara biasa. Sayang sekali, bila dipaparkan menerusi media letronik, anak-anak muda belasan tahun serta awal dua puluhan digari, merengkok tahanan reman di balai polis dan dibawa ke penjara bagi mereka yang gagal membayar denda, suasana terharu, pilu dan belas kasihan terhadap mereka.  

Mereka yang dipenjarakan lantaran kegagalan membayar denda akan memulkan sejarah hitam dalam hidupnya di dunia ini. Tercatat sebagai bekas banduan, penafian menyertai sektor pekerjaan khususnya sektor awam, serta penerimaan masyarakat. Siapa yang sepatutnya memain peranan utama mengelakkan anak-anak muda tidak terjebak mengabaikan tanggungjawab mengiktiraf peraturan awam demi kesejahteraan hidup bernegara. Peranan utama sudah pastinya ialah ibu bapa selaku penjaga kepada anak-anak muda dan remaja. 

Peraturan Kawalan Pergerakan memberikan tugas utama mempastikan rakyat khususnya anak-anak muda mematuhi peraturan atau undang-undang. Dalam tempoh PKP ini berjalan, peranan aktor sosial yang lain; guru, golongan agama, penjawat awam dan aktivis masyakat terhenti kerana kekangan pergerakan. Ibu bapa bersama anak-anak sepanjang masa untuk mematuhi arahan tidak keluar rumah, dan tidak menyertai kegiatan sosial di luar rumah.

Amat menyedihkan melihat anak-anak yang masih muda remaja diheret ke penjara di mana ibu bapa gagal membantu membayar denda kekangan kewangan lantaran tiada aktiviti ekonomi dan hilang punca pendapatan. PKP menggambarkan kejayaan dan kegagalan ibu bapa mendidik anak-anak. Tugas guru terhenti, golongan agama tidak dapat menggunakan rumah ibadat serta medan dakwah untuk membantu, aktivitis sosial terhalang pergerakan, justeru itu semua pergerakan anak-anak di bawah tanggungan ibu bapa sepenuhnya. 

Penularan wabak Covid-19 yang menyerang sebahagian besar dunia khususnya di bahagian utara garisan khatulistiwa, yang mencatat lebih 1.097 juta kes dengan jumlah kematian seramai 59,000  orang sehingga  hari ini (Sabtu 04/04/2020) meningkat dengan begitu mendadak sekali dari 287,000 kes dan kematian 11,839 orang pada Sabtu 21/03/2020, kepada 621,000 kes dengan jumlah kematian seramai 28,662 orang pada Sabtu 28/03/2020. Di negara kita, dalam tempoh satu minggu, catatan kes 2,161 pada 28/03/2020 meningkat kepada 3,333 kes sehingga semalam, dengan jumlah kamatian seramai 27 orang kepada 53 orang sehingga pagi ini (Sabtu 04/04/2020). 

Sungguhpun peratusan atau kadar peningkatan di Malaysia lebih rendah berbanding peningkatan dengan yang tinggi keseluruhan di dunia, tindakan drastik pihak penguasa berpandukan pengalaman negara-negara yang lebih awal tertularnya wabak Covid-19, satu keputusan yang tuntas dan tepat. Justeru itu, usaha mengekang pergerakan orang ramai tanpa mengira umur, sudah sewajarnya diambil. Tindakan pihak keselamatan khususnya PDRM dengan bantuan ATM serta lain-lain agensi, walaupun nampak keras tetapi beralaskan peraturan dan perundangan. Ibu bapalah sebagai pihak yang sewajibnya main peranan lantaran institusi lain seperti sekolah, masjid, badan bukan kerajaan dan sebagainya dibataskan oleh PKP. 

Dari paparan media sosial dan media massa, anak-anak muda yang terlibat dengan pelanggaran PKP adalah dari satu keturunan sahaja; Melayu dan Bumiputera. Berbeza dengan mereka yang terlibat dari peringkat umur yang lebih tinggi atau lebih dewasa, merangkumi tanpa batasan kaum. Apakah ibu bapa pula akan mempersalahkan institusi sosial dan penguatkuasa menjadi antara faktor mengapa anak-anak muda tidak dapat mendisiplinkan diri tidak keluar rumah. Peraturan sudah dimaklumkan hanya ketua isi rumah sahaja atau wakil berhak keluar rumah untuk urusan keperluan harian rumahtangga.