Khamis, 29 Disember 2011

KESAN PERSEMPADANAN KAWASAN PILIHANRAYA (sambungan)

Satu perkara yang menampakkan tumpuan persempadanan piliharaya tahun 2003 kepada menambahkan kerusi campuran dan bukan Melayu ialah ketidakseimbangan bilangan pengundi dan keluasan kawasan. Contohnya pengundi Parlimen Alor Star lebih kecil berbanding Parlimen Kuala Kedah dan Parlimen Pokok Sena.  Sepatutnya sebagai kawasan Parlimen di bandar lebih ramai pengundi berbanding kawasan Parlimen luar bandar. Kedua-dua Parlimen Kuala Kedah dan Pokok Sena dimenangi Pas dalam PRU10 (1999). Alor Star dimenangi BN.
Perubahan kawasan pilihanraya telah memberi kesan yang cukup besar kepada semua parti politik sebagaimana yang dipertontonkan oleh PRU11 (2004). Di samping faktor permintaan mandat baru oleh Perdana Menteri baru Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. DS Abdullah mengambil masa 5 bulan saja selepas memegang jawatan untuk memanggil pilihanraya umum.

Imej DS Abdullah sebagai "Mr Clean" ditambah dengan persempadanan kawasan pilihanraya baru, menyakinkan BN memasuki pilihanraya umum. Semua 26 kerusi Parlimen baru dimenangi oleh calon-calon BN. BN memperolehi 4,472,643 undi dari 7,009,585 jumlah keluar mengundi di peringkat Parlimen, atau 63.81%. Jumlah undi popular antara tertinggi pernah dicapai oleh BN atau Perikatan sebelum ini. Dari segi bilangan kerusi Parlimen, BN menang di 199 kawasan dari jumlah 219 kerusi Parlimen atau 90.86%.  Prestasi parti-parti pembangkang merosot: Pas cuma dapat 6 kerusi, DAP 12, Keadilan 1 dan 1 kerusi untuk calon Bebas.

Di peringkat pilihanraya DUN, BN perolehi 3,957,036 undi dari jumlah keluar mengundi seramai 6,365,985 orang pemilih atau 74.60% melibatkan 12 negeri (kecuali DUN Sarawak yang tidak mengadakan pilihanraya serentak). BN menang 453 kerusi dari jumlah 505 kerusi atau 89.70%, dan berjaya merampas DUN Terengganu. Pas walaupun berjaya mempertahankan DUN Kelantan, tetapi pungutan kerusi DUNnya cuma 1/3 dari pencapaian PRU10. Pas cuma menang 36 kerusi, DAP 15 dan 1 kerusi milik calon Bebas.

Kecemerlangan yang dicapai oleh BN dalam PRU11, gagal diambil kesempatan untuk memperkukuhkan tambatan hari pengundi berbagai peringkat umur, kawasan penempatan, lokasi geografis dan suku kaum. PRU12 (2008) adalah semakan prestasi dan keupayaan BN di bawah DS Abdullah. Tanpa mekanisme persempadanan kawasan pilihanraya, ujian pentadbiran DS Abdullah bergantung kepada dasar baru negara dan program pembangunan ekonomi negara.

Dalam PRU12, sebagaimana pengalaman lepas, apabila pilihanraya umum diadakan tanpa persempadanan kawasan pilihanraya, prestasi BN akan menurun sebaliknya prestasi parti-parti pembangkang meningkat. BN  mengalami kemerosotan undi yang amat ketara. Bagi kerusi Parlimen di Semenanjung, undi BN merosot dari 3,975,641 dalam PRU11 kepada 3,403,383 undi atau kekurangan 572,258, kejatuhan -16.81%. Undi gabungan pembangkang utama Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas telah meningkat dari 2,247,090 ke 3,453,180 undi. Peningkatan sebanyak 1,206,090 undi atau 34.93%.

Dari segi kerusi yang dimenangi BN dapat 85 kerusi Parlimen di Semenanjung, sementara PKR-DAP-Pas dapat 80 kerusi.  Semakan sempadan kawasan pilihanraya 2003, masih membantu BN, kerana BN masih mengatasi pembangkang dari segi pungutan kerusi tetapi ketinggalan dari segi undi popular. Pengubahansuaian kawasan dan bilangan memilih yang tak setara, memberi advantage kepada BN. Di Parlimen, BN gagal menguasai majoriti 2/3, yang belum pernah berlaku di negara ini.

Bagi undi popular di DUN, untuk 11 negeri di Semenanjung, undi BN telah berkurangan sebanyak 473,809 undi dari 3,672,808 (PRU11) kepada 3,198,999 (PRU12) atau kemerosotan sebanyak -12.90%. Pakatan pembangkang PKR-DAP-Pas menjarakkan perolehan undi dalam PRU11, 2,060,830 kepada 3,118,243 undi. Pakatan pembangkang bukan sahaja perolehi swinging undi dari BN tetapi disokong oleh undi dari time time voters sebanyak 1,057,443 undi atau peningkatan sebanyak 51.31%. Ini dapat dikesan penguasaan parti-parti pembangkang di saluran pengundian pengundi muda.

Peningkatan undi parti-parti pakatan pembangkang sebanyak 51.31% membolehkannya menguasai 5 dari 11 negeri di Semenanjung: Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

Sungguhpun secara amnya, dari fakta-fakta sejarah pilihanraya di negara kita, terdapat kesan yang dominat ekoran semakan persempadanan kawasan pilihanraya, ianya bukan faktor induk dan pokok. Sebabnya, pertambahan peratusan kerusi BN, seiring dengan pertambahan peratusan undi popular. Sekiranya, pertambahan undi kecil, tetapi pertambahan kerusi lebih ketara, bolehlah dirumuskan, persempadanan kawasan pilihanraya sebagai faktor yang amat penentu utama, dalam sistem pilihanraya berasaskan perwakilan mengikut kawasan dengan prinsip the first who pass the post.









Isnin, 26 Disember 2011

  • KESAN PERSEMPADANAN KAWASAN PILIHANRAYA


Kawasan pilihanraya (constituency) dibina sebelum negara mencapai kemerdekaan dalam tahun 1954 untuk menghadapi pilihanraya umum yang julung kali diadakan iaitu pilihanraya bagi Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya Legislative Council) pada Julai 1955. Sebanyak 52 kawasan telah digariskan berasaskan perwakilan berkawasan sistem Dewan Orang Ramai (House of Commons) Great Britain. Seorang ahli majlis atau councillor mewakili satu kawasan pilihanraya. 52 orang councillor dipilih melalui pilihanraya di kawasan masing-masing.

Selepas merdeka, badan legislatif dibentuk sebagaimana model Westminster Abbey, di mana Parlimen terdiri dari dua dewan: dewan perwakilan disebut sebagai Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Jumlah keahlian Dewan Rakyat ialah seramai 104 orang mewakili 104 kawasan, setiap 52 kawasan pilihanraya dalam Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu dipecah dua kawasan.

Di peringkat negeri, badan legislatif dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri, dengan jumlah keanggotaan yang berlainan kadar antara satu negeri dengan negeri lain. Di Perlis, setiap kawasan pilihanraya Parlimen dipecahklan keada 6 kawasan pilihanraya negeri (DUN), Kedah: 1 kawasan Parlimen dipecah kepada 2 kawasan pilihanraya negeri, begitulah ketidak seragaman nisbah antara kawasan parlimen dengan negeri, Kelantan 1:3, Terengganu 1:4, Pulau Pinang 1:3, Perak 1:2, Pahang 1:4, Selangor 1:2, Negeri Sembilan 1:4, Melaka 1:5, Johor 1:2.

Jumlah kawasan pilihanraya ini digunakan bagi Pilihanraya Umum Pertama selepas merdeka iaitu tahun 1959, PRU2 (1964) dan PRU3 (1969). Peruntukan perundangan mengizinkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menyemak dan mempersempadankan semula kawasan pilihanraya, genap tempoh 8 tahun, selepas pengubahan sempadan sebelumnya. Asas semakan sempadan kawasan ialah perkembangan penduduk.

Persempadanan kawasan pilihanraya (delineation) yang pertama selepas merdeka dilakukan dalam tahun 1973. Turning point dalam proses pilihanraya di negara kita ialah PRU3, yang membawa kepada Parlimen digantung, selepas darurat diistiharkan ekoran huru-hara selepas pilihanraya. Dalam PRU3, kemerosotan undi Perikatan (UMNO-MCA-MIC) amat ketara. Dua buah negeri jatuh ke tangan pembangkang: Kelantan (Pas-buat kali ketiga) dan Pulau Pinang (Gerakan). Timbul masalah pembentukan kerajaan negeri di Selangor (Perikatan:14 kerusi, Gerakan-DAP-Bebas:14 kerusi) dan Perak (Perikatan: 19 kerusi, Gerakan-PPP-DAP-Pas: 21 kerusi).

Bila pergantungan perlembagaan ditarikbalik, demokrasi dipulihkan, Parlimen mula berfungsi menerusi pembentukan kerjaan campuran di beberapa negeri dan juga kerajaan Persekutuan, awal 1973. Parti Perikatan yang hanya dapat 67 kerusi Parlimen di Malaysia Barat (kemudiannya disebut Semenanjung) berbanding 89 kerusi dalam PRU2, bersama parti-parti utama dari Malaysia Timur, USNO, PBB, SCA bersama parti pembangkang: Pas, Gerakan, PPP, SUPP membentuk Barisan Nasional. DAP dan SNAP kekal sebagai pembangkang.

Berikutan penyertaan Gerakan ke dalam BN, kepimpinannya berpecah. Dr Tan Chee Khoon (Ahli Parlimen Batu) dan V.David (Ahli Parlimen Datuk Keramat) menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas). Mustapha Hussin (Ahli Parlimen Seberang Tengah) dan Ng Hoe Hun (Ahli Parlimen Larut Selatan) bersama Ahli Parlimen Parit (Pas) Hashim Gera menubuhkan Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA). Anggota Pas yang menentang kemasukan Pas dalam BN menubuhkan Barisan Bebas Bersatu untuk hadapi PRU4, dikepalai oleh Ahmad Fakaruddin Abdullah (Ahli Parlimen Pasir Mas Hilir). Segelintir penyokong PPP menubuhkan Independent PPP (IPPP).

Persempadan kawasan pilihanraya 1973 melibatkan pertambahan 10 kerusi Parlimen: 9 kawasan majoriti Melayu dan 1 kawasan bandar majoriti bukan Melayu. 9 kawasan tersebut ialah Ulu Muda, Machang, Kuala Krai, Ulu Nerus, Permatang Pauh, Matang, Maran, Jerantut dan Tanjong Karang. Kawasan bandar tersebut ialah Petaling. Pembentukan kawasan pilihanraya baru ini adalah pecahan dari kawasan pilihanraya Parlimen sedia ada. Dalam PRU4, kerusi baru tersebut diagihkan oleh BN kepada UMNO 7, Pas 2 dan MCA 1. BN menang semua kerusi tersebut kecuali Petaling. Kesimpulannya, pertembahan kerusi baru sama ada Parlimen atau DUN, semata-mata untuk menambah kerusi milik parti Melayu serta memperkukuhkan kedudukan UMNO dan Pas.

Persempadanan kawasan pilihanraya 1973 juga mengambilkira perubahan kerusi DUN Selangor, setelah perpisahan kawasan tadbiran Kuala Lumpur, ibukota negara dengan negeri Selangor. 5 kawasan Parlimen terlibat dan 10 kerusi DUN Selangor dimansuhkan berikutan peristiharan Wilayan Persekutuan Kuala Lumpur.  Dengan baki 11 kawasan pilihanraya Parlimen membentuk 33 kawasan pilihanraya negeri, berasas kadar 1 Parlimen: 3 kerusi DUN.

Dalam PRU4 (1974)  BN menang besar. Menguasai Parlimen dan semua DUN. Di Parlimen, BN memenangi 135 kerusi (87.66%) dari jumlah 154 kerusi. Pembangkang cuma kuasa 19 kerusi sahaja: DAP  9, SNAP  9, dan Pekemas  1 kerusi. BN menyapu bersih semua kerusi DUN di Perlis, Kelantan dan Pahang.

Pertambhan 10 kerusi Parlimen dan 26 kerusi DUN di Semenajung itu, adalah salah faktor utama membawa kepada prestasi cemerlang BN. Di samping itu, tidak kurang pentingnya ialah faktor pembentukan BN yang menggabungkan hampir semua parti utama. Kekalahan calon UMNO kepada calon Gerakan di Seberang Tengah ditebusbalik dengan wujudnya Parlimen Permatang Pauh oleh calon UMNO, walapun Bukit Mertajam terlepas kepada DAP. Kekalahan calon UMNO di Penang Selatan kepada calon Gerakan, dapat balik ke UMNO dalam PRU4. Di samping itu UMNO dapat menambahkan kerusi menerusi pembentukan kawasan baru. Pas yang dapat 12 kerusi dalam PRU3, dapat menambahkan kerusinya kepada 14 menerusi BN iaitu di Kuala Krai dan Ulu Nerus.

3 faktor utama kejayaan cemerlang BN: kejayaan membentuk BN hasil gabungan parti-parti utama, mandat sebagai PM dan persempadanan kawasan pilihan. Ini telah memperkukuhkan serta keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara pasca 13 Mei 1969.

Kekosongan suara pembangkang selepas PRU4, telah diisi oleh DAP. Dalam PRU5 (1978), DAP berjaya menambahkan kerusi Parlimennya dari 9 ke 16,bermulanya tapak di Malaysia Timur setelah memenangi kerusi Parlimen Sandakan. Tahun 1978, penguasaan BN ke atas undi Melayu, agak merosot berikutan penyingkiran Pas dari BN. Pas hilang kuasa di Kelantan, setelah gagal mempertahankan DUN. Di Parlimen, cuma menang 5 kerusi sahaja. Mampu bertahan 3 daripada 14 kerusi yang dimenangi dalam tahun 1974: Pengkalan Chepa, Bachok dan Kota Star, dan berjaya merampas 2 kerusi UMNO: Baling dan Permatang Pauh.

Dalam PRU5, BN menguasai 57.2 undi popular bagi Parlimen tetapi kuasa 130 kerusi dari 154 kerusi atau 84.41%. Bagi kerusi DUN (negeri-negeri di Semenajung sahaja, kerana DUN Sabah dan DUN Sarawak mengadakan pilihanraya berasingan), undi polupar BN ialah 57.4%. Sementara dalam PRU6 (1982), undi popular BN bagi Parlimen ialah 60.54% dengan memenangi 132 kerusi atau 85.74% kerusi Parlimen, di pihak pembangkang: DAP 9 kerusi, Pas 5 kerusi, dan 8 kerusi milikan calon Bebas. Di DUN (kecuali Sabah dan Sarawak), undi BN adalah 62.83%, dengan memenangi 281 kerusi (90.06%) dari jumlah 312 kerusi, pihak pembangkang cuma memungut 18 kerusi melalui Pas, 12 DAP dan seorang calon Bebas.

Prestasi BN dalam PRU6 lebih baik dari PRU5, yang diadakan dalam tempoh tak sampai 4 tahun, walaupun tanpa disokong oleh proses persempadanan kawasan pilihanraya sebagaimana perbandingan PRU4 dengan PRU3 dan PRU5. Faktor yang dominant ialah mandat kepada Perdana Menteri baru, Dr Mahathir Mohamad, yang mengambil tugasan dalam tahun 1981.  Dr Mahathir memanggil pilihanraya umum dalam tempoh 3 tahun 8 bulan sahaja. Tempoh penggal Parlimen yang paling pendek. Faktor-faktor pembaharuan dasar negara serta keyakinan yang tinggi terhadap beliau banyak beri sumbangan kejayaan cemerlang BN.

Hasil dari semakan persempadanan kawasan pilihanraya 1983, telah menghasilkan pertambahan 23 kerusi Parlimen: 18 di Semenanjung, 4 di Sabah dan 1 kerusi Wilayah Persekutuan Labuan, serta 39 kerusi DUN di Semenanjung. Dari 18 kerusi Parlimen di Semenanjung, 8 kawasan majoriti Melayu: Sik, Kok Lanas, Marang, Tasek Gelugor, Mentakab, Rompin, Jempol dan Selandar, 5 kerusi campuran: Bayan Lepas, Gopeng, Kapar, Ampang Jaya dan Tebrau, dan 5 kerusi majoriti bukan Melayu: Kampar, Pucong, Batu, Seputeh dan Bakri.

Menampakan persempadanan 1983 ini adalah seimbang iaitu kawasan berasaskan kepentingan kaum, serta kawasan berasaskan bandar-desa,  berbanding persempadanan 1973, difokuskan kepada menambahkan kerusi Melayu, ditumpukan memecahkan kawasan pilihan luar bandar. Persempadanan 1973 juga bolehkan dianalisiskan sebagai lebih keutamaan  geografis bukan perkembangan penduduk.

PRU7 (1986) menjelaskan kesan persempadanan kawasan pilihanraya ke 2 kepada parti-parti yang bertanding. Hasilnya tidak jauh berbeza dengan kesan persempadanan pertama dulu kepada PRU4. Berlakunya peningkatan undi dan kerusi BN. BN berjaya mengaut 60.54% undi popular yang dibuang di kawasan Parlimen dan memenangi 148 kerusi dari jumlah 177 kerusi atau 83.61%. Sementara DAP menang 24 kerusi, Pas cuma satu kerusi dan 4 kerusi dimenangi oleh calon Bebas.

 Bagi kerusi DUN (kecuali DUN Sabah dan DUN Sarawak), BN memperolehi 62.82% undi popular, dengan memenangi 299 kerusi atau 85.18% dari jumlah 351 kerusi yang dipertandingkan. Sementara DAP dapat 37 dan Pas 15 kerusi sahaja.

PRU7 mengekalkan prestasi BN yang diperolehi dalam PRU6, empat tahun lalu. Bantuan dari delineation exercises telah memperlengkapkan kecemerlangan BN. Keistimewaan PRU7 ialah peningkatan sokongan pengundi bandar kepada pembangkang menerusi DAP dan kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada pembangkang Melayu, yang diterajui Pas.

DAP kuasai 19 kerusi Parlimen di Semenanjung, 4 di Sabah dan 1 di Sarawak. Di samping itu, disokong oleh Projek Tanjong di Pulau Pinang, DAP menang 10 dari 33 kerusi DUN. Pas pula dibebani pencapaian yang paling rendah dalam sejarah, cuma menang di Parlimen Pengkalan Chepa. Di kerusi DUN, lebih sedikit dari prestasi teruk 1978.

PRU8 (1990), adalah satu penilaian sejauh mana kesan perpecahan dalam UMNO 1987, diikuti tanpa persempadanan kawasan pilihanraya. Kesannya: undi BN jatuh dari 60.54% (PRU7) kepada 53.38% daripada 5,778,876 pengundi yang keluar mengundi bagi kerusi Parlimen. Seramai 2,985,382 mengundi BN, di kawasan yang dipertandingkan.

BN menang 127 kerusi dari jumlah 180 kerusi Parlimen atau 70.56%. 4 parti pembangkang utama yang bergabung dalam dua pakatan Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah mencapai pencapaian yang terbaik dalam era Dasar Ekonomi Baru. DAP menang 20 kerusi, Parti Bersatu Sabah (PBS) 14 kerusi, Parti Semangat 46 dapat 8 kerusi dan Pas 7 kerusi. Baki 4 kerusi dimenangi calon Bebas. Kerusi Parlimen bertambah ke 180, kerana tambahan 3 kerusi hasil persempadanan kawasan pilihanraya di Sarawak.

Krisis UMNO menyebabkan parti itu kehilangan 14 kerusi Parlimen serta DUN Kelantan. Kesan yang lebih ketara ialah di Kelantan, Terengganu dan beberapa negeri lain di selatan Semenanjung. Di utara, kesannya tak seberapa kepada UMNO. Semua calon UMNO kalah di Kelantan.

Menerusi Projek Tanjong 2, DAP berjaya menambahkan kerusi dalam DUN Pulau Pinang. DAP dapat 14 kerusi berbanding 19 kerusi BN. Keseluruhannya berlaku peningkatan undi dan kerusi pembangkan di peringkat DUN. DAP capai 45 kerusi, Pas 33 kerusi, Semangat 46 dapat 19 kerusi dan Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa) 1 kerusi. Kerusi BN turun dari 299 (PRU8) kepada 253 atau 72.08%. BN alami kejatuhan peratusan undi popular bagi undi DUN, dari 62.82% (PRU7) kepada 56.70%.

Dalam tahun 1993/1994, semakan kali ketiga kawasan pilihanraya di seluruh negara diadakan, kecuali Sarawak. Hasilnya berlaku tambahan 12 kawasan Parlimen baru dan 43 kawasan pilihanaraya DUN. 12 kawasan Parlimen tersebut dapat dianalisiskan: kawasan majoriti Melayu  6, campuran  2 dan majoriti bukan Melayu  4. Majoriti Melayu luar bandar: Padang Besar, Langkawi, Jeli dan Tenggara. Majoriti Melayu bandar/pinggir bandar: Paya Besar dan Gombak. Kawasan campuran bandar: Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak. Kawasan majoriti bukan Melayu: Petaling Jaya Selatan, Subang, Gelang Patah dan Segambut.

Dalam PRU9 (1995), kesan persempadanan kawasan pilihanraya dapat dilihat dengan jelas. Undi BN telah meningkat. Bagi kerusi Parlimen, dari 2,985,382 atau 53.38% dalam PRU8 kepada 3,894,677 atau 65.15% dari 6,198,305 undi yang dibuang. Sementara dari segi kerusi yang dimenangi, meningkat dari 127 kerusi dari jumlah 180 kerusi atau 70.56% kepada 162 dari jumlah 192 kerusi atau 84.37%. Semua 12 kerusi Parlimen baru disapu bersih oleh calon-calon BN. Kerusi majoriti Melayu dimenangi calon-calon UMNO yang mewakili BN. Sementara kerusi tambahan campuran dan bukan Melayu dimenangi oleh lain-lain komponen BN.  dapat

Bagi kerusi DUN, seperti kerusi Parlimen, berlaku peningkatan kepada BN. BN berjaya perolehi 3,206,610 dari jumlah 4,931,219 keluar mengundi kerusi DUN (kecuali Sabah dan Sarawak) atau 66.98%. Berikutan tambahan 43 kerusi DUN, dari jumlah 394 kerusi, BN menang 338 atau 85.79%. DAP 11 kerusi, Pas 33 kerusi dan Semangat 46 kerusi.

Faktor kegagalan Projek Tanjong 3 DAP di Pulau Pinang, serta pengurangan kerusi DAP di beberapa negeri, selain kesan pengubahan sempadan kawasan pilihanraya adalah perpindahan undi masyarakat bukan Melayu, orang Cina khasnya kepada BN. Kemerosotan undi serta kerusi UMNO, yang mengurangkan penguasaan Melayu dalam kerajaan bersama peningkatan undi bukan Melayu kepada DAP, memberi ruang pengundi Cina memperbaiki kedudukan parti pemerintah, BN. Pengundi bukan Melayu telah membaiki imej kerajaan dengan harapan terbinanya sebuah kerajaan yang kukuh.

Di kalangan pengundi Melayu, yang terguris dengan masalah dalaman UMNO, hingga menyebabkan pengharaman UMNO, secara beransur kembali menyokong BN. Faktor ini menyebabkan undi dan kerusi Parti Semangat 46 mengalami kemerosotan. Ini beri ruang BN menonjolkan prestasi baik.

PRU10 (1999) BN berdepan dengan senario yang hampir sama dengan PRU8. BN hadapi perpecahan dalam UMNO ekoran pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim, untuk memasuki pilihanraya umum tanpa pengubahan sempadan kawasan pilihanraya. Hasilnya pertusan undi popular serta peratusan kerusi yang dimenangi BN menyamai pencapaian dalam PRU8.

BN memungut 3,749,511 dari 6,880,947 pengundi yang keluar mengundi bagi kerusi Parlimen atau 56.53% berbanding 53.38% dalam PRU8. BN memenangi 148 kerusi Parlimen dari jumlah 193 kerusi atau 76.68%, dalam PRU8, BN dapat 72.08% kerusi Parlimen. Pas dapat 27 kerusi, DAP 5, Parti Keadilan Nasional (Keadilan) 5 dan PBS menang di 3 kerusi.

Bagi kerusi DUN, BN pungut 2,947,329 undi dari jumlah keluar pengundi 5,422,744 atau 56.64%, dalam PRU8, BN dapat 56.70%. Jumlah kerusi DUN dimenangi BN ialah 281 dari jumlah 394 atau 71.32%, berbanding 72.08% dalam PRU8. Pas berjaya menangi 98 kerusi dan berjaya bentuk kerajaan di Kelantan dan Terengganu. DAP cuma menang 11 kerusi dan Keadilan 4 kerusi.

Kesimpulannya, BN hilang banyak kerusi luar bandar dan kerusi majoriti pengundi Melayu. Kesan gerakan Reformasi yang dipelupori oleh Parti Keadilan berjaya menghambat sebahagian pengundi Melayu yang menyokong BN dalam PRU9. Pengundi Melayu dan luar bandar yang kembali menyokong BN dalam tahun 1995, sekali lagi sebagaimana pengalaman 1990, bertindak memihak ke parti-parti pembangkang.

Sebaliknya pengundi bandar dan bukan Melayu, masih seperti PRU9, bersama BN. Barisan Alternatif yang menggabungkan tenaga pembangkang utama: Pas, DAP, Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), hanya mendominasi kawasan luar bandar dan pengundi-pengundi Melayu. Gelombang Reformasi yang dipelopori oleh Keadilan dan disokong parti-parti dalam Barisan Alternatif gagal menyekat kemaraan sokongan rakyat menolak konspirasi kepimpinan BN, UMNO khususnya.

Teras sokongan luar bandar kepada BN: pengundi Bumiputera Sabah dan Sarawak, serta kawasan penempatan Felda, terus menyokong BN. Pengundi sektor kota yang dikuasai pengundi bukan Melayu, terus memihak ke BN.

Pelaksanaan semakan dan persempadanan kawasan pilihanraya kali ke 4 telah diadakan dalam tahun 2003. Sebanyak 27 kawasan pilihanraya Parlimen dibentuk. Justeru kesan merosotnya sokongan orang Melayu di Semenanjung kepada BN, UMNO khususnya, sebagaimana yang dipamirkan hasil PRU8 dan PRU10, persempadanan ini diabaikan di negeri-negeri majoriti Melayu: Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Fokus tambahan kerusi Parlimen adalah ditumpukan ke negeri yang tidak terjejas dengan gelombang Reformasi 1998, seperti Johor dan Sabah. Lebih banyak diwujudkan kawasan campuran gabungan pengundi Melayu di penempatan Felda dengan pengundi bukan Melayu di sektor kota.

Dari 26 kerusi Parlimen tersebut taburannya ialah Perak 1, Pahang 3, Pulau Pinang 2, Selangor 5, Wilayah Persekutuan 2, Negeri Sembilan 1, Melaka 1, Johor 6 dan Sabah 5. Tiada semakan sempadan dijalankan di Sarawak kerana kurang tempoh 8 tahun.

Di Semenanjung, cuma 8 kawasan majoriti Melayu: Lenggong, Indera Mahkota, Bera, Sungai Besar, Putrajaya, Rembau, Masjid Tanah dan Pengerang. 3 kawasan majoriti bukan Melayu: Cameron Highlands, Batu Kawan dan Bukit Gelugor. Baki 10 adalah kawasan campuran: Pandan, Puchong, Kelana Jaya, Kota Raja, Setiawangsa, Sekijang, Ayer Hitam, Sembrong, Pasir Gudang dan Tanjong Piau.









Sabtu, 17 Disember 2011

DEBARAN MENANTI GELAGAT PENGUNDI DALAM PRU13

Andainya analisis gelagat pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) diambil dari matlumat semasa tanpa mengabaikan matlumat lampau sebagai latar belakang dan perbandingan, jangkaan keputusan PRU13 amat menarik dan terlalu istimewa. Justeru itu, keperluan kepada pengumpulan fakta semasa dan masa lampau harus diberi ruang utama.

Paling menarik, kalau ikut pengalaman lampau, prestasi pilihanraya di negara kita, berbentuk giliran prestasi cemerlang antara parti kerajaan dan parti pembangkang. Ini dapat dikesan selepas pembentukan Barisan Nasional (BN), dalam tahun 1974. Faktor utama ialah persempadanan kawasan pilihan(delineation).

 Hingga kini, sudah 4 kali persempadanan kawasan pilihanraya: 1973, 1983/84, 1993/94, dan 2003. Hasilnya BN capai kejayaan yang cemerlang dari segi pungutan kerusi dan undi popular dalam PRU4 (1974), PRU7(1986), PRU9 (1995) dan PRU11 (2004). Sebaliknya, PRU yang tidak melibatkan perubahan sempadan kawasan pilihanraya, prestasi undi parti-parti pembangkan meningkat dengan ketara iaitu PRU8(1990), PRU10(1999) dan PRU12(2008).

Kalau ikut turun naik prestasi, secara mudahnya PRU13 giliran berpihak pada BN meningkat. Istimewanya, PRU13, tidak melibatkan persempadanan kawasan pilihanraya, walaupun ikut edah 8 tahun, sepatutnya proses persempadanan boleh dilakukan dalam tahun 2011. Untuk membolehkan PRU13 guna sempadan baru, sepatutnya PRU13 hendaklah diadakan selepas kelulusan pemakaian sempadan baru. PRU13 boleh diadakan bila-bila masa sebelum April 2013.

Satu lagi istimewanya PRU13 ialah, PRU pertama selepas pentadbiran negara bertukar tangan. Bila Tun Abdul Razak, mengambil pemerintahan negara dari tangan Tunku Abdul Rahman Putera dalam tahun 1970, BN dipimpin Tun capai kejayaan cemerlang untuk mengesahkan kepimpinan beliau, dalam PRU4 (1974). Paling cemerlang berbanding 3 PRU sebelumnya. BN menang 135 kerusi dari jumlah 154 kerusi Parlimen, sementara pembangkang cuma dapat 19 kerusi sahaja: DAP (9), SNAP (9)  dan Pekermas (1). BN sapu bersih semua Dewan Undangan Negeri. Faktor utama kejayaan BN dalam PRU4 ialah mandat PM baru dan persempadan kawasan pilihanraya.

Bagitu juga, kejayaan besar BN dalam PRU6 (1982) dan PRU11 (2004), adalah mandat rakyat kepada PM baru: Tun Dr Mahathir (ambil alih jawatan PM, 1981) dan Tun Abdullah Ahmad Badawi (pegang jawatan PM mulai Oktober 2003). Kejayaan BN dalam PRU11, ditambah kesan dari persempadanan kawasan pilihanraya yang diluluskan dalam tahun 2003.

Sepatutnya PRU13, permintaan BN untuk dapat mandat rakyat mengesahkan Dato' Seri Najib sebagai PM ke 6, tanpa perubahan sempadan pilihanraya, dijadikan asas ujian kepimpinan baru.  Berbeza dengan ayahnya Tun Razak dan Tun Abdullah. Atau apakah DS Najib akan menyamai rekod Dr Mahathir, dalam tahun 1982.

Nasib DS Najib, berbeza dengan pengalaman Dr Mahathir dan Tun Abdullah. Kedua-dua bekas PM itu, mengambil masa tidak lama untuk memanggil pilihanraya selepas dilantik sebagai PM. Kebetulan, mereka mengambil alin jawatan di penghujung tempoh usia Parlimen. Tun Abdullah mengambil masa cuma 5 bulan untuk membubarkan Parlimen, selepas angkat sumpah sebagai PM.

Berbeza dengan tindakan Tun Razak, kerana selepas Perstiwa 13 Mei 1969, Parlimen digantung, selama 2 tahun lebih. Ini menjarakkan masa beliau membubarkan Parlimen untuk dapat mandat baru.

Tempoh masa yang panjang diambil oleh kepimpinan DS Najib memanggil pilihanraya, lebih membuka ruang kritikan dan mendedahkan pelbagai kelemahan pemerintah. Reputasi PM yang belum diuji, merancakkan analisis dan andaian sikap rakyat.

Dalam taklimat kepada perwakilan  Perhimpunan Agung UMNO tempoh hari, beliau menyebut PRU13 "luar biasa". Baginya, UMNO khususnya, pilihanraya umum kali ini very challenging. Ini membuka peluang, orang awam membuat berbagai tafsiran; pilihanraya yang amat sukar bagi UMNO-BN, keputusan di luar jangka, kebarangkalian sesuatu di luar kotak pemikiran orang awam, atau beberapa kemungkinan yang lain.

Dalam PRU12, parti-parti pembangkang utama PKR, DAP dan Pas telah memenangi 80 kerusi berbanding BN yang menguasai 85 kerusi dari 165 kerusi Parlimen di Semenanjung. Dari segi undi popular, BN menguasai 3,426,065 undi atau 49.71 peratus dari kawasan yang dipertandingkan, berbanding pungutan undi pakatan tiga parti pembangkang utama ialah 3,458,233 atau 50.17%. Sungguhpun, pakatan pembangkang kurang kerusi tetapi mengatasi BN dari segi undi popular.

Ini jauh berbeza dengan PRU11 (2004) di mana pakatan pembangkang cuma menang 18 kerusi Parlimen di Semenanjung: DAP - 11, Pas - 6 dan PKR - 1 sahaja. BN menang cemerlang dengan 147 (89.09 peratus) dari jumlah 165 kerusi. Dari segi undi popular, BN mengutip 3,975,641 undi atau 63.78 peratus sementara jumlah undi parti-parti pembangkang hanya 2,247,090 undi atau 36.05 peratus.

Mengambil kelaziman, giliran jig saw sepatutnya berpihak ke BN kali ini. Tanpa persempadanan kawasan pilihanraya, mampukah BN kembali gemilang sebagaimana PRU11. Oleh kerana tiadanya proses perundangan tersebut, menjadikan PRU13 terdedah kepada beranika andaian "luar biasa".  Ini ditambah dengan beberapa perubahan domestik di kalangan berbagai peringkat umur dan kumpulan pengundi.

Tsunami 2008, masih segar dalam ingatan. Faktor-faktor kemerosotan undi BN masih menguasai sikap dan tanggapan, dengan sedikit perubahan. Realiti dan gelombang kebangkitan anak muda, serta first time voters, yang menguasai beberapa siri PRU lepas, menjadi tumpuan semua parti politik. Oleh kerana, peratusan pengundi muda (bawah umur 40 tahun) agak tinggi antara 49 hingga 68 peratus jumlah pemilih di sesebuah kawasan pilihanraya (constituency), ialah satu kuasa atau satu pressure group yang amat berkesan.

Meminjam kata-kata mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin, " UMNO belum dapat memberi satu harapan baru, terutama kepada generasi muda, yang berbeza dengan harapan generasi dahulu, yang tidak boleh ditarik dengan ganjaran wang lagi". Apakah pendekatan dan tataselia UMNO selaku tunjang BN terhadap pengundi muda, untuk mengembalikan kegemilangan lampau.

Bagaimana pula dengan satu lagi kuasa penting iaitu pengundi Cina yang rata-ratanya memenangkan parti-parti pembangkang merentasi sempadan kaum dan agama, di saluran undi peratusan pengundi Cina yang besar. Ini dibuktikan, selain PRU12, beberapa siri pilihanraya kecil pasca PRU12 dan Pilihanraya DUN Sarawak , April lepas.

Di Semenanjung contohnya, 15 kerusi Parlimen mempunyai pemilih bukan Melayu melebihi 80 peratus. Dalam PRU12, semuanya dimenangi oleh calon-calon DAP, dengan pungutan undi yang besar. BN cuma kutip 212,139 undi atau 29.49 peratus sahaja berbanding 506,317 undi DAP atau 70.39 peratus. Sedangkan dalam PRU11, BN pungut 318,578 undi atau 47.7 peratus dari jumlah undi di 15 kerusi tersebut.

Begitu juga, di kawasan pengundi bukan Melayu antara 60 hingga 80 peratus, iaitu sebanyak 15 kerusi juga. 10 kerusi dimenangi pembangkang: 9 DAP dan 3 PKR. Jumlah undi pembangkang ialah 383,599 atau 55.26 peratus, sementara BN dapat 309,645 atau 44.61 peratus. Berbanding perolehan 63.09 peratus undi popular dibolot oleh calon-calon BN dalam PRU11.

Terdapat 19 kerusi Parlimen campuran di Semenanjung. Tidak ada mana-mana kaum melebihi 50 peratus pemilih. Komposisi kaum hampir seragam. BN menang 9 kerusi, sementara parti pembangkang: PKR - 6, DAP - 3 dan Pas - 1.  dari segi undi popular, BN pungut 47.9 peratus sahaja, berbanding pakatan pembangkang sebanyak 51.81 peratus dengan 441,749 undi sementara BN - 408,409 undi.

Terdapat 42 kerusi Parlimen di Semenanjung di mana pengundi Melayu melebihi 80 peratus. Undi popular BN ialah 839,458 atau 52.21 peratus dalam PRU12, berbanding 821,477 undi atau 56.67 peratus dalam PRU11. Pakatan pembangkang meningkatkan undi dalam dua PRU tersebut, dari 621,881 (42.9%) kepada 760,051 undi (47.64%). Dalam PRU12, BN kuasai 26 kerusi, sementara Pas - 13 dan PKR - 3. BN kuasai 61 peratus kerusi tetapi undi cuma 52.21 peratus, menggambarkan peranan persempadanan kawasan pilihanraya, yang tidak mengimbangkan pemilih mengkut kawasan.

Apa kata andainya pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat berjaya prtahankan semua 82 kerusi yang dimenangi dalam PRU12, dan berupaya menambahkan kerusi Parlimen dalam PRU13. Kalau kerusi-kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak dianggap sebagai fixed deposit bagi BN, akan dirungkaikan cengkaman BN, mungkin ini maksud "luar biasa".

Ini mungkin berlaku, kalau diambil hasil keputusan PRU7 (1986) dan PRU8 (1990), di mana pengundi di Sabah dan Sarawak, tidak terikat sokongan kepada BN. Mereka undi calon pembangkang di Parlimen, tetapi memberi undi ke parti kerajaan di peringkat negeri. DAP pernah menang 4 kerusi Parlimen di Sabah, tetapi tidak pernah menang kerusi negeri di Sabah (kecuali dalam PRU12, buat pertama kali calon DAP menang kerusi negeri).

Jika pengundi di Sarawak mengekalkan undi protesnya kepada BN dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak, April lepas, dan berbuat demikian dalam PRU13 untuk peringkat Parlimen, sekurang-kurangnya 7 kerusi Parlimen Sarawak akan jatuh ke Pakatan Rakyat. Dalam PRU12, Pakatan Rakyat cuma menang di kerusi Parlimen Bandar Kuching menerusi calon DAP. Jika dicampurkan undi calon BN dan Pakatan Rakyat dalam PRN Sarawak, BN ketinggalan di 6 kerusi Parlimen: Bandar Kuching, Stampin, Lanang, Sarikei, Miri dan Bintulu. Sementara di Sibu, beza undi yang kecil dijumlah undi calon BN dan calon DAP.

Pengundi Cina, menjadi pengundi majoriti di Bandar Kuching, Stampin, Lanang, Sibu dan Miri. Pengundi Cina cuma 47.88 peratus di Sarikei dan 21.16 peratus di Bintulu. DAP boleh menang di kawasan campuran dalam PRN Sarawak. Di Kidurong, pengundi Cina cuma 38.11 peratus, dan Meradong (38.59 peratus). Calon PKR cuma kalah 58 undi di Senadin (pengundi Cina 50.21%).

Selain kerusi-kerusi Sabah dan Sarawak menjadi simpanan tetap BN, kawasan-kawasan Parlimen dalam rancangan penempatan peneroka Felda, juga menjadi bekalan BN sejak merdeka. Tambahan dengan isu-isu semasa dalam pengurusan Felda, boleh merenggangkan ikatan peneroka dengan BN. Sungguhpun terdapat 54 kawasan Parlimen melibatkan peneroka Felda, yang jadi hard core ialah 25 kawasan Parlimen, memiliki peratusan peneroka yang besar.

Berdasarkan gambaran awal dan general di atas, sedikit sebanyak boleh membantu tafsiran "luar biasa". Tambahan pula, penguasaan BN melepasi separuh abad, memungkinkan  apa-apa saja "luar biasa", yang disertai dengan himpitan-himpitan senario semasa di dalam dan di luar negara. Apakah Arab Springs pun "luar biasa". Inilah antara keistimewaan PRU13, yang dinanti-nantikan dengan seribu debaran.








Sabtu, 10 Disember 2011

MENGIMBAU MIMPI NGERI BN DALAM PRU12 (sambungan)

14, Kenaikan harga barang. Faktor ini yang meningkatkan kos kehidupan rakyat dari berbagai golongan dan peringkat umur menjadi beban kepada BN selaku parti pemerintah. Rungutan rakyat telah menjarakkan sokongan kepada BN.

15. Faktor keselamatan yang mengganggu ketenteraman dan keselesaan hidup rakyat juga menghakis sokongan kepada BN selaku parti pemerintah. Suara rungutan dari pengundi Cina yang menghuni sektor kota dan pinggir bandar memisahkan jurang antara pengundi dengan BN. Meningkatnya kes-kes jenayah, dihalakan kepada BN selaku pihak yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan.

Faktor-faktor yang diutarakan di atas adalah faktor-faktor induk, sebenarnya banyak lagi faktor-faktor pinggiran, yang lebih bersifat tempatan dan batasan geografis. Sengaja saya kemukakan di sini sekadar renungan berbagai pihak yang berkepentingan dan berhasrat menyertai secara aktif dalam proses demokrasi berparlimen menjelang PRU13.

Umum mengetahui, kecenderungan prestasi PRU di negara kita lebih bersifat gelombang sama ada pihak parti kerajaan atau pembangkang. Gelombang silih berganti, ikut giliran. Lazimnya kalau PRU terakhir gelombang pembangkang buat kejutan, PRU berikut giliran parti kerajaan pula. Biasalah pihak yang kalah atau prestasi menurun akan lakukan apa saja usaha penambahbaikan. Mungkinkah ini berlaku, atau giliran gelombang itu secara kebetulan atau akan tinggal sebagai sejarah.

Pernyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak, PRU "luar biasa", di Perhimpunan Agung UMNO, tempoh hari, menarik perhatian. Maksud luar biasa itu terdedah kepada tafsiran: satu kejutan, luar dugaan, belum pernah berlaku dalam sejarah, atau sebarang kemungkinan. Sungguhpun faktor-faktor di atas sudah menjadi sejarah dan akan dilupai saja, tetapi tetap jadi panduan kepada mereka yang peka dan pragmatis.

BN lebih mengutamakan strategi winnable candidates menghadapi PRU13, tanpa perubahan sempadan pilihanraya yang menjadi amalan BN, setiap kali selepas prestasi menurun dalam PRU dan hasilnya kejayaan cemerlang setiap kali PRU selepas persempadanan berkenaan. Kejayaan cemerlang dalam PRU1974, 1986, 1995 dan 2004, semuanya mengguna pakai sempadan baru. Walau bagaimanapun, apa saja perancangan, Allah Maha Perancang.


Jumaat, 9 Disember 2011

MENGIMBAU MIMPI NGERI BN DALAM PRU12
Pilihanraya Umum (PRU) ke 12 tahun 2008 mencipta keistimewaan tersendiri. Berbeza dengan beberapa siri PRU yang menghasilkan kejutan, hasil dari beberapa gelombang semasa seperti PRU 1969, 1974, 1990, dan 1999, sama ada menyebelahi pihak kerajaan yang bertahan atau pembangkang. Menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen, yang belum pernah berlaku. Di samping kegagalan BN menguasai 5 buah Dewan Undangan Negeri. Sebelum ini, paling banyak pembangkang boleh menguasai 2 DUN sahaja: Kelantan dan Terengganu (1959 dan 1999) dan Kelantan dan Pulau Pinang (1969).

Prestasi yang berbeza halanya antara BN dengan parti-parti utama di pihak pembangkang, mempamirkan bermulanya episod mendebarkan dan luar jangkaan keputusan PRU. Istilah zon selesa dan fixed deposit parti pemerintahm BN semakin terhakis dan mengecut.

Menerusi ruangan ini, saya perturunkan faktor-faktor yang menyumbang kepada kemerosotan undi BN dalam PRU12. Faktor-faktor ini adalah pengumpulan dan catatan peribadi hasil dari pemerhatian dan komentar berbagai golongan: orang awam, orang politik dan orang akademik. Saya dapat menyumpulkan 15 faktor utama yang membawa kepada kemerosotan undi BN.

1. Faktor personal Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri yang mengetuai jentera pilihanraya BN, disasarkan sebagai seorang pemimpin yang lemah dalam menangani berbagai isu semasa.

2. Peranan Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, juga menentu Perdana Menteri, menguasai penentuan membuat keputusan parti dan kerajaan. Ini telah memperteguhkan pengaruh rangkaian kroni Perdana Menteri.

3. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad main peranan membuat teguran kritis dan terbuka ke atas pentadbiran Tun Abdullah. Lemparan kritikan banyak mendedahkan kepincangan dalam membuat keputusan dan urustadbir kerajaan. Pandangan Tun Dr Mahathir bukan sahaja mempengaruhi golongan tidak berkepentingan, tetapi juga sedikit sebanyak penyokong tegar BN, yang dapat menghidu kelemahan Tun Abdullah serta cengkaman kronisme. Imej "Mr. Clean" yang dijenamakan kepada Tun Abdullah, tercalar.

4. Aura Dato'Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai bakal Perdana Menteri, walaupun terhalang menyertai pilihanraya kerana sekatan perundangan, menjadi antara faktor penolak pengundi mendekali BN. Kelincahan beliau berada di gelanggang di seluruh negara, memberi keyakinan kepada pengundi menjauhi BN. Harapan rakyat begitu tinggi, kerana ada bayangan alternatif pemimpin masa depan, andainya kekosongan ditinggalkan BN.

5. Peristiwa Dato' Seri Hishamuddin Hussien, menghunus keris, semasa Perhimpunan Agung Tahunan UMNO, semasa memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, menghiris perasaan orang bukan Melayu. Penyebarluasan gambar peristiwa tersebut, banyak membantu menghambat orang bukan Melayu keluar dari kepompong BN.

6. Sebaran gambar Dato' Seri Abdul Hadi Awang berpelukan dengan Lim Kit Siang oleh pihak BN untuk mempengaruhi orang Melayu kerjasama Pas-DAP, memberi kesan yang sebaliknya. Orang bukan Melayu menganggap ia satu penghinaan kepada mereka, khususnya orang Cina.

7. Gerakan sebuah "pressure group" yang menuntut hak dan kebajikan masyarakat India, Hindraf, cukup berkesan memberi tekanan kepada BN. Secara terbuka pertubuhan ini mengajak pengundi India menolak BN. Mereka telah memberi sokongan padu kepada BN, dalam siri-siri pilihanraya lepas. Pencerobohan FRU ke atas kuil Hindu di Batu Cave, menyemarakkan kemarahan mereka kepada parti yang mereka sokongi selama ini.

8. Peranan sebaran am yang dimainkan oleh media massa mainstream: TV1, TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian, memanipulasikan maklumat untuk memperkukuhkan kedudukan BN serta mensabotaj pihak lawan, menjadi bahan over kills atau senjata makan tuan. Tindakan melampau ini mencemuhkan dan memualkan pengundi. Orangramai mencari sumber maklumat alternatif yang dibekalkan oleh media baru. Portal, blog, vcd, dan sebagainya menjadi media utama. Generasi pasca-Merdeka sukar menerima maklumat yang tepat berpandukan sumber yang sahih. Pengundi peka ilmu dan celik teknologi maklumat sukar dimanipulasikan.

9. Video Lingam memaparkan ketidaktelusan dan penyalahgunaan kuasa. Kebolehpercayaan orangramai terhadap institusi kehakiman, pentadbiran dan pembuat keputusan awam terhakis. Video ini sedikit sebanyak telah melonggarkan ikatan sokongan kepada BN. Pendekatan pentadbiran Tun Abdullah untuk mengurangkan rasuah, sebagai antara sasaran utama pentabiran beliau, dipandang sepi dan banyak menimbulkan persoalan, walaupun video tersebut merakamkan kes sebelum beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

10. Pendekatan Tun Abdullah menerusi konsep Islam Hadhari, lebih banyak penerimaan negatif dari masyarakat Islam khususnya. Jentera pentadbiran kerajaan gagal menjelaskan dan menginterpretasi konsep tersebut untuk menyakinkan rakyat, sebagai satu teras pembaharuan pentadbiran dan tatacara kehidupan rakyat. Pengundi di kawasan desa tidak faham dan keliru, menganggap sebagai satu ajaran baru. Lebih banyak membuka peluang untuk dimanipulasikan oleh pihak pembangkang di kalangan masyarakat Islam.

11.  Tugasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menimbulkan kontraversi ialah: Borang 15 A dan dakwat kekal. Calon-calon yang bertanding diwajibkan menyempurnakan Borang 15 A dengan mematikan setem. Calon-calon pembangkang tidak diberitahu pengecualian mematikan setem pada hari penamaan calon. SPR dituduh sengaja mencari jalan menyusahkan calon pembangkang.  Pelaksaan celupan dakwat kekal ditarik balik di saat akhir sebelum hari pengundian. Semua ini memberi reputasi yang tidak baik kepada SPR. Isu ini juga adalah saham untuk menjarakkan pengundi dengan BN. Sebagai agensi bebas, SPR dianggap agensi kerajaan untuk mencari jalan supaya BN kekal berkuasa.

12.  Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan di zaman Tun Dr Mahathir, bermula 2003, dianggap sebagai menjatuhkan martabat Bahasa Melayu. Cetusan penentangan berbagai golongan, bukan sahaja pejuang bahasa dan mereka yang ada kaitan dengan bidang pendidikan, menjadi salah satu faktor meruntuhkan sokongan kepada BN. Undi protes lebih menonjol di kalangan pengundi Melayu luar bandar di Semenanjung.

13.  Pemimpin BN khususnya UMNO ada sifat arrogance. Perwatakan sombong, berlagak dan takbur ini disuarakan oleh penyokong-penyokong BN dari MCA dan Gerakan. Di kalangan anggota komponen menyalahkan rakan sekutu. Undi BN di kawasan campuran dan majoriti bukan Melayu, merosot dengan peratus yang tinggi. Ini berlaku di seluruh negara, khususnya di Semenanjung.

Selasa, 6 Disember 2011

PENGUNDI KALI PERTAMA PENENTU PRU13?

 Suara anak muda dalam Perhimpunan Agung UMNO (Baru) tempoh hari yang menaruh harapan yang cukup tinggi peranan first time voters atau pemilih kali pertama menyertai pilihanraya dalam PRU13. Bukan sahaja UMNO-BN harus menjadikan tumpuan kepada anak muda, tetapi parti-parti lain telah melihat keistimewaan golongan ini. Analisis dari PRU10 (1999) dan PRU12 (2004), peranan dan sumbangan first time voters sebagai  determinant factors. 

Menjelang PRU12, banyak ramalan mengjangkakan saingan sengit untuk menguasai Dewan Undangan Negeri Kelantan setelah kegagalan calon Pas dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir. Kedudukan kerusi kerajaan - pembangkan : 23:22, amat mendebarkan, walaupun giliran PRU12, adalah musim menurun buat BN. Undi sah bagi 44 kerusi DUN Kelantan (dikecualikan Dun Kijang, kerana tiada pertandingan), telah meningkat sebanyak 87,419 undi atau 17.15% (tidak termasuk undi rosak) dari 509,849 undi (PRU11) ke 597,268 undi (PRU12). BN hanya mampu menambah pungutan undi 254,240 kepada 260,501 atau 6261 undi (2.40%), sementara gabungan Pas-PKR membolot 336,620 undi dari 255,558 iaitu peningkatan sebanyak 81,082 undi atau 31.72%, membolehkan Pas-PKR menguasai 39 dari 45 kerusi DUN. 

PRU12 tidak memperlihatkan dengan jelas gelombang perubahan kepada pengundi di Kelantan berbanding dengan iklim politik 1990 dan 1999. Kedua-kedua PRU dalam tahun berkenaan mempamirkan satu swing undi segenap lapisan peringkat umur pengundi. Tetapi dalam tahun 2007/2008, tidak jelas perubahan pendirian politik masyarakat terbanyak di Kelantan. Secara tidak langsung, jika 87,419 peningkatan undi sah tersebut, diandaikan totally  undi first time voters yang memberikan kejayaan cemerlang Pas-PKR yang berjaya mengaut 94 peratus undi anak muda. Sebab itu, Pas berjaya menguasai saluran pengundian anak muda di seluruh negeri.

Fenomena yang hampir sama berlaku dalam PRU10 (1999), kesan dari gelombang reformasi yang banyak mempengaruhi pengundi muda. Jumlah pungutan undi BN bagi semua kerusi Dun di Kelantan berkurang sebanyak 7,831 undi atau 4.09% iaitu dari 191,694  (PRU9, 1995) kepada 183,863 undi dalam PRU10. Sementara Barisan Alternatif, gabungan Pas-Keadilan menambahkan undi dari 252,715 kepada 295,984 atau pertambahan 43,269 undi atau 17.12%, yang membolehkan Pas menguasai 41 dari 43 kerusi DUN.
Ini berbeza, perbandingan PRU8 (1990) bagi DUN Kelantan, yang membolehkan kemenangan cemerlang Angkatan Perpaduan Ummah (Pas-Semangat 46-Berjasa-Hamim) menyapu bersih semua kerusi 39 DUN dan 13 Parlimen. Gelombang yang berlaku dalam seluruh peringkat umur pengundi. Ledakan undi anak muda kurang menonjol.

Sementera di negeri-negeri lain, dalam PRU12, undi BN totally jatuh kecuali Terengganu dan Perlis. Di Terengganu, pengundian di peringkatan DUN, BN berjaya menambahkan undi sebanyak 18,504 atau 8.13% dari 222,101 (2004) kepada 260501 (2008), Pas-PKR menambahkan undi 25,158 atau 14.7%  dari 171,141 kepada 196,299 undi. Di Perlis undi BN bertambah sebanyak 1218 atau 2.13%, sementara Pas-PKR 1135 undi atau 3.35%.. 

Sementara di negeri-negeri lain di Semenanjung, undi BN merosot di setiap negeri, sebaliknya undi parti pembangkang utama: Pas, PKR dan DAP naik mendadak. Undi BN turun sebanyak 29.24% atau berkurangan 92,254 undi di DUN Pulau Pinang, berbanding peningkatan 75.13% atau 137, 172 undi DAP-PKR-Pas.  Bolehlah disimpulkan di sekitar 32.7% atau hampir 45,000 tambahan undi pembangkan adalah pengundi muda, pengundi di bawah 35 tahun. Di Selangor undi BN turun sebanyak 19.80% atau 124,768undi, Perak, undi BN turun 15.18%  atau 70,283, begitulah di negeri lain: Kedah (17.43%), Negeri Sembilan (11.54%), Johor (12.30%), Melaka (10.71%) dan Pahang (6.10%)

Sementara di pihak gabungan PKR-DAP-Pas, peningkatan undi yang tinggi di Selangor (67.27%), Perak (40.25%), Kedah (36.78%), Johor (80.35%), Negeri Sembilan (65.18%), Melaka (52.40%), dan Pahang (28.82%)

Keseluruhan perbandingan undi PRU11 dan PRU12, undi yang dikumpul BN di semua kerusi DUN (kecuali kerusi yang tidak dipertandingkan iaitu: dalam PRU11 ialah Pokok Asam (Perak), Subang Jaya (Selangor), Senggarang & Penawar (Johor), dalam PRU12 ialah Kijang (Kelantan) dan Sementa (Selangor) ialah kekurangan sebanyak 473,809 atau 12.90% dari 3,672,808 (PRU11) kepada 3,198,999 undi. Pihak pembangkang utama PKR-DAP-Pas mengumpulkan 2,060,830 undi (PRU11) meningkat ke 3,118,243 undi iaitu pertambahan sebanyak 1,067,413 atau 51.31%. 

Ledakan PRU12 berlaku kerana beberapa isu nasional pada masa, yang banyak memberi impact kepada pengundi remaja. Keadaan yang sama berlaku dalam PRU10, jika diperhatikan kepada angka dan data, dari gelombangan dan trend pengundian secara keseluruhannya. Saluran anak muda berubah angin dan menentukan keputusan pilihanraya. 

BN hanya mampu mencatat peningkatan undi selesa di Terengganu sahaja. Walaupun pembangkang kurang berjaya dari pungutan kerusi, tetapi undinya meningkat sebagaimana negeri-negeri laIn. Dalam PRU10 (1999) undi BN merosot sebanyak 28,502 atau 18.90% dari PRU9 (1995). Sementara Pas, berjaya menambah undi sebanyak 47,112 atau peningkatan 38.96% membolehkan ianya menguasai 28 dari 32 kerusi DUN. 

Corak pengundian yang sama berlaku di kerusi parlimen, di seluruh Semenjanung Malaysia yang merangkumi 165. Analisis data pungutan undi dari 163 kerusi parlimen, dikecualikan 2 kawasan yang tidak dipertandingkan (walkover) iaitu Kota Tinggi (PRU11) dan Pengerang (PRU12), memperlihatkan undi BN merosot sebanyak 672,578 atau 14.29%, dari 3,975,641 undi (PRU11) kepada 3,403,383 (PRU12). Di pihak pembangkang, gabungan jumlah undi PKR-DAP-Pas telah meningkat 1,207,422 undi atau 53.73%, dari 2,247,090 kepada 3,454,512. 

Jika dinilai dari segi peratusan undi terkumpul, jumlah yang dipungut oleh BN dalam PRU12 sebanyak 3,403,303 itu cuma 49.57% dari jumlah sah, dengan menangi 85 kerusi parlimen di Semenanjung. Sementara gabungan pembangkang yang memenangi 80 kerusi mengumpul 3,454,512 undi atau 50.31%. Baki 8,057 atau 0.21 adalah perolehan undi calon-calon bebas.

Jika dilhat dari sudut sosial geografi, di kawasan parlimen yang pengundi Melayu melebihi 80%, iaitu sebanyak 42 kerusi, masih dikuasai oleh BN dengan peratusan yang menurun berbanding kawasan pengundi Melayu kurang dari 40%, iaitu di sebanyak 30 kerusi, BN hanya menang  3 kerusi sahaja dengan 37% jumlah undi sah.

Dalam PRU10 (1999), BN mengalami kemerosotan undi 276,963 atau 8.78%, dari 3,431,564 dalam PRU9 kepada 3,154,601 undi bagi kerusi parlimen di Semenanjung.  Sementara parti-parti pembangkang yang bergabung atas nama Barisan Alternatif meningkatkan undi 825,810 atau 32.64%, dari 1,704,520 kepada 2,530,330.

Paparan secara statistikal secara umum di atas sekadar menganalisis perbandingan perubahan prestasi setiap parti dalam beberapa siri pilihanraya terakhir. Gambaran ini bertujuan memaparkan impak kepada keputusan pilihanraya hasil pengundian para pengundi muda, khususnya first time voters.

Secara peribadi, hasil dari pengumpulan maklumat serta pemerhatian impirikal, sebagai the first timer, walaupun pengundi kumpulan ini lebih terdedah kepada keputusan berdikari, namun pertusan terikat keputusan masih menguasai diri mereka.  Faktor-faktor yang menentukan keputusan pengundi adalah lebih khusus, berbanding dengan pengundi dalam kumpulan umur yang lain.

Di bawah ini diperturunkan 10 faktor dominan yang mempengaruhi keputusan seseorang first time voter:
1. Keluarga: sebagai first timer pendedahan alam kedewasaan ini terikut dengan faktor keluarga terutama pengundi wanita;
2. Isu nasional: pengundi lelaki lebih peka dan bergantung kepada taraf pendidikan dan sosio-ekonomi;
3. Pengaruh rakan sebaya dan rakan sekerja;
4. Dendam, kekecewaan dan kebencian; dipengaruhi oleh latar belakang dan pengalaman keluarga dan peribadi;
5. Ganjaran: peluang pekerjaan dan wang ringgit
6. Harapan: keinginan untuk melihat masa depan ummah dan negara.
7. Gerak kerja parti: berkala atau sepanjang masa, yang melibatkan mereka.
8. Persekitaran setempat: kecenderungan pengundi setempat.
9. Ideologi dan dasar parti: terutama pengundi yang dapat pendedahan terancang atau pengundi celik matlumat.
10. Imej parti: isu-isu yang mencalar parti bagi pengundi yang peka maklumat.,

Faktor-faktor winnable candidates, perwatakan dan keperibadian calon, isu-isu tempatan, faktor ugutan dan ancaman, berada di luar lingkaran tindakan mereka. Sentuhan terhadap faktor-faktor ini kurang. Justeru itu, pihak yang berkepentingan wajar mendekati pengundi muda ini dengan approach dan kaedah yang berbeza, berbanding pengundi dalam kumpulan umur yang lebih dewasa.

Semua data yang dibentangkan di atas adalah hasil perolehan peribadi dan diharapkan dapat terima teguran andainya ada kekeliruan dan tidak menepati dengan data rasmi atau pengiraan pihak yang berwibawa.

Jumaat, 2 Disember 2011

SELAMAT DATANG PARTI KITA

 Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) mendahului parti-parti lain mengumumkan calon untuk PRU13. Dr Zaid Yusoff sebagai calon untuk Parlimen Batu Pahat. Minggu berikutnya, Zamil Ibrahim, Pengerusi KITA Negeri Kedah, umumkan akan bertanding di 6 kerusi Parlimen dan 12 Dun di negeri itu. Minggu lepas, Presidennya, Dato' Zaid Ibrahim, nyatakan beliau akan bertanding di Petaling Jaya (sama ada PJU atau PJS). 

Tahniah. Kemunculan KITA akan merancakkan dan memeriahkan suasana PRU13. Diharap bertambah subur demokrasi berparlimen ala Westminster Abbey. Tambahan pula PRU13 "luar biasa" kata PM. Apa maksud, harapnya semua positif. 
Perkara 20 Peristiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (Universal Declaration of Human Rights 1948) yang menjamin kebebasan berhimpoun secara aman dan menubuhkan persatuan, diharap tidak diganggu dan dicabul.

Sebagai parti baru, wajarlah diketengahkan lebih awal bakal-bakal calon. Tonjolkan diri, mendekali sosial geografi serta demografi penempatan, mengenalpasti strategik sasaran, dan mengumpul maklumat sasaran. Parti baru perlu dipromosikan dengan kepelbagaian media dan mekanisme.

Parti KITA cuma baru dari segi nama dalam senarai badan siasah, tetapi ianya jelmaan baru dari Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM). Kelahirannya dari roh AKIM, yang telah diubahsuai approach baru yang menuntut citarasa  dan iklim politik semasa. 

AKIM diasaskan oleh bekas ahli Pas selepas PRU 1990 yang menyaksikan Angkatan Perpaduan Ummah yang dianggota oleh Pas, Semangat 46, Hamim dan Berjasa menewaskan Barisan Nasional, dengan mentapu bersih semua kerusi Dun dan Parlimen. Ahli-ahli Pas yang tidak puas hati dengan kerajaan baru Kelantan, menubuhkan AKIM, pada tahun 1994, yang diketuai oleh Cikgu Musa Salleh, bekas Ketua Pas Kawasan Pasir Puteh.
 
AKIM menyertai PRU 1995, sebagai permulaan penyertaan aktif dalam politik tanah air. Bertanding di 2 kawasan Parlimen dan 15 Dun. Semuanya di Kelantan. Pencapaian calon-calonnya amat mengecewakan. Semua hilang wang pertaruhan, dalam persaingan 3 penjuru bersama Pas-Semangat 46 dan BN, kecuali calonnya di Parlimen Gua Musang. 

Di Gua Musang, calonnya diselamatkan depositnya oleh kegagalan BN bertanding kerana calon BN, Tan Sri Hussien Ahmad ditolak kertas pencalonan. Nik Ismail Wan Idris perolehi 4736 undi sementara calon Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah dapat 13 716 undi. Seorang lagi calon Parlimennya cuma dapat 221 undi di Pengkalan Chepa, berbanding undi Pas  25 410 dan BN 9316. 

Di peringkat Dun, hanya Nik Ismail Wan Idris dapat undi lebih 200 di Galas. 14 calon lain antara 50 undi hingga 110 undi. Presidennya cuma dapat 86 undi sahaja di Semerak.

Walaupun prestasi mengecewakan tahun 1995, dalam PRU 1999 mencuba lagi. AKIM tidak tinggal pengkalan. 2 calon bertanding di Pasir Puteh: Parlimen Pasir Puteh dan Dun Gaal. Pungutan undi dicapai tak berubah. Di Parlimen Pasir Puteh, calonnya Hashim Othman cuma dapat 274 undi, berbanding Ustaz Alwi Jusoh (Pas) 25 373 dan Kamarudin Md Nor (BN) 16 962 undi. 

Di Dun Gaal, Dr Asri Mejah dapat 72 undi sahaja berbanding Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Pas) 5720 undi dan Abd Rahman Yaacob (BN) 3645 undi.

Selepas PRU 1999, nama AKIM agak tenggelam dalam arena politik kepartian tanah air kesan dua keperitan tersebut. Tiba-tiba calon AKIM muncul dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Cubaan pertama AKIM di luar Kelantan, serta terakhir sebelum bertukar nama kepada KITA. AKIM meletakkan Presidennya, Hanafi Mamat, yang hanya pungut 92 undi, berbanding Dato' Seri Anwar Ibrahim (PKR) 31 195 undi, manakala Ariff Shah Omar Shah (BN) 15 524 undi.

Dalam ketiga-tiga siri pilihanraya di atas yang disertai oleh AKIM, semuanya menyaksikan calon BN kalah. 

Apakah dengan pengalaman dan pencapaian Zaid Ibrahim, seorang peguam dan korporat terkemuka, akan dapat melenyapkan segala mimpi menggerunkan AKIM masa lampau, akan dilenyapkan dengan wajah baru KITA. Zaid Ibrahim peribadinya punyai kehebatan tersendiri dalam sejarahnya. 

Namanya mula terangkat setelah mengambil alih jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan. Menang PRU 2004 di Parlimen Kota Bharu dengan bergaya, walaupun calon-calon BN kalah besar di tangan calon Pas di kerusi Dun. Kemenangan dengan majoriti 1723 cukup hebat, mengalahkan calon PKR Nik Mahmood Nik Hassan. Di Dun Tanjong Mas, calon BN kalah 2789 undi, Dun Bunut Payong, BN kalah 1931, dan kalah tipis 34 undi di Kota Lama. 

Kerja buat Zaid Ibrahim gigih. Turun padang temui pengundi seramai mungkin. Buat muka tebal, jumpa siapa saja. Disokong dengan jentera pembantu yang padu dan rajin. Tambahan pula, tiada kerja terbengkalai kerana duit tak turun, menepati sasaran. 

Kejayaan Zaid sebelum ini kerana kegigihan dan idea-idea baru yang sengaja dilontarkan ke dalam masyarakat massa untuk renungan dan tindakan. Zaid bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, gagal buat kejutan di Hulu Selangor, kawasan campuran.

Perubahan secara drastik, mungkin agaknya, daripada AKIM yang berpengkalankan masyarakat desa kepada KITA yang lebih luas dengan keterbukaan dan kepelbagaian keahlian dan tumpuan. Pengerusi KITA Kedah umumkan antara bakal calonnya pemimpin komponen BN yang terpingir dan tersingkir. Merperlihatkan penyerbarluasan kawasan tumpuan KITA yang berwajah baru.

Harapnya KITA (versi Zaid Ibrahim) tidak senasib dengan KITA, yang aktif dalam tahun 1970an. Parti Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA) diasaskan Ahli-ahli Parlimen yang meningalkan parti lama masing-masing, bila parti mereka menyertai Perikatan menubuhkan Barisan Nasional dalam tahun 1974. 3 tokoh penting terlibat: Hashim Gera (Pas-Parit), Mustapha Hussien (Gerakan-Seberang Prai Tengah) dan Ng Hoe Hum (Gerakan-Larut Selatan).

Mereka giant killers, Hashim Gera menewaskan bekas Setiausaha Agung UMNO, Dato' Hussien Mohd Nordin, Mustapha Hussien menewaskan Setiasaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Ibrahim Abdul Rahman dan Ng Hoe Hum menewaskan Tan Sri Dr Lim Swee Aun, Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Dalam PRU 1974, Parti KITA bertanding di Pulau Pinang, Perak dan Kedah, bahagian besarnya hilang pertaruhan dalam saingan lebih dari tiga penjuru. Calon yang dapat pertahan deposit, bila berlaku saingan 2 penjuru sahaja, saperti di Parlimen Sungai Petani, KITA dapat 4016, sementara BN 22 268 dan di Dun Batu Kurau, Perak, KITA dapat 1383 undi dan BN 6735 undi. Di Dun Kuala Ketil, KITA 1236 undi, BN 5831 undi dan PSRM 774 undi. Calon-calon KITA yang lain duduk di tempat tercorot dan hilang deposit.

Mustapha Hussien cuma dapat 1235 undi di Parlimen Bukit Mertajam dalam saingan 5 penjuru, bersama BN yang dapat 14 235 undi dan DAP 5098. Ng Hoe Hum dapat 479 undi di Taiping dalam pertandingan 4 penjuru, jauh ditinggalkan BN yang dapat 14 253, DAP 11 066 undi.

Dalam PRU 1978, KITA cuma bertanding di dua kawasan sahaja yang ditandingi oleh Presidennya, Mustapha Hussien. Di Parlimen Bukit Mertajam, KITA dapat 350 undi dalam saingan 5 penjuru, yang dimenangi calon DAP, Seow Hun Khim yang perolehi 13 051 undi. Di Dun Tasik Gelugor, beliau pungut 417 undi, yang dimenangi calon BN melalui 2811 undi dalam saingan 4 penjuru yang turut disertai Pas dan DAP. 

Mustapha Hussien ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, selepas PRU 1969, sebelum Gerakan menyertai BN.

Kali terakhir KITA sertai pilihanraya umum ialah dalam PRU 1982. Calonnya V. Aparoo cuma dapat 93 undi dalam pertandingan 6 penjuru di Dun Bagan Ajam, yang dimenangi calon BN. Sebelum itu, KITA pernah letak calonnya, Asri Yusoff dalam pilihanraya kecil Alor Pongsu, Perak, dalam tahun 1976 dan hilang deposit.

Pencapaian KITA (versi Hashim Gera-Mustapha Hussien) dan AKIM nampaknya hampir sama. Bezanya tokoh-tokoh peneraju KITA lebih hebat berbanding AKIM. KITA (versi Zaid), selain Zaid, tak lah sehebat tokoh 1970an dulu, setakat yang didedahkan hingga kini.