Sabtu, 30 Disember 2017

PRU14 : Saingan Ideologi

PRU14: PERSAINGAN 3 PENJURU, PERSAINGAN 3 IDEOLOGI

Persaingan Pilihan Raya ke 14 (PRU14) terpaksa diadakan dalam tahun 2018, lantaran penamatan tempoh penggal Parlimen semasa pada 24/06/2018. PRU14 mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, selepas terbubarnya Parlimen, sama ada dibubar mengikut Perlembagaan atau terbubar dengan sendirinya. 

Dalam 11 siri PRU iaitu dari tahun PRU pertama (PRU 1959) hingga PRU ke 11 (PRU 2004), persaingan utama atas landasan perkauman, sama ada tersirat atau tersurat. Barisan Nasional (dulunya Perikatan) yang dikepalai UMNO mempertonjolkan isu perkauman demi kesinambungan kuasa. Kebimbangan kepentingan kaum masing-masing membolehkan BN mengekalkan pemerintahan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen. UMNO yang menguasai kawasan luar bandar mempertaruhkan ketuanan Melayu dan kuasa Melayu untuk mengekalkan kuasa. Di samping itu,  parti-parti komponen BN yang menguasai kawasan bandar dan pinggir bandar, menggunakan sentimen pengekalan suara bukan Melayu dalam kerajaan demi kepentingan kuasa untuk membela nasib bangsa atau kaum sendiri. 

Kegagalan parti-parti pembangkang mencabar kesinambungan kuasa BN, menggambarkan wajah yang sama iaitu pencapaian berfokus kepada perkauman. Pas bertarung dengan UMNO untuk menguasai suara Melayu, semntara DAP gagal mengatasi MCA, Gerakan dan SUPP merebut suara bukan Melayu dan masyarakat kota. 

Separuh abad, politik Malaysia diwarnai garisan-garisan perkauman, yang dilihat sebagai satu fenomena kegagalan membentuk satu rupa bangsa yang bersatu, dengan menolak identiti kaum dan keturunan. Hasil PRU12 (PRU 2008) telah membuka satu lembaran baru dalam medan politik Malaysia, pengundi membuat perubahan merentasi garisan perkauman. Bagaimana calon-calon Melayu mewakili parti yang asasnya berpengkalan akar umbi Melayu boleh menang di kawasan majoriti bukan Melayu. Sebelumnya, hanya calon-calon bukan Melayu mewakili parti perkauman atau etnik tertentu, yang bertanding atas tiket BN menang selesa di kawasan majoriti Melayu. 

Mesej disampaikan oleh pengundi dalam dua PRU terakhir (PRU12 dan PRU13) yang telah menafikan suara majoriti dua pertiga BN di Parlimen serta undi popular  parti pemerintah yang semakin merosot, memperlihatkan politik Malaysia sedang menuju kepada sistem dua parti. BN yang telah menguasai pemerintahan melebihi separuh abad yang mewarisi tangan penjajah tidak dapat mengasingkan diri dari pengaruh dan mesra penjajah meneruskan fahaman kapitalisme. 

BN yang lebih menyerlahkan perlanjutan budaya kapitalisme telah menampakkan elemen-elemen immoral neo-kolonialisme berbentuk perluasan ketidaksamaan sosial, ketidaktelusan, rasuah, ketirisan serta kelemahan tatakelola pentadbiran dan pengurusan awam. Sebagai alternatifnya, pengundi memilih pakatan pembangkang tanpa identiti perkauman, yang membangkitkan rawatan kepada penyakit neo-kolonialisme dan imperliasme. Sejarah dan pengalaman, kegagalan kepada kapitalisme dan imperliasme, sebagai jalan penyelesaian, rakyat memilih aliran sosialisme sebagai alat untuk perubahan, penyelesaian dan pembentukan budaya baru. Peralihan sokongan rakyat kepada parti yang mendokong kapitalisme yang mengejar kebendaan yang menjejaskan kestabilan ekonomi dan politik kepada pihak yang lebih membawa idealisme keadilan, kesamarataan dan ketelusan. 

Secara gambaran kasarnya, kejayaan mengayungkan sokongan dari BN ke pakatan pembangkang yang mirip ciri-ciri sosialisme. Justeru itu, ayungan dari pro-kapitalisme kepada pro-sosialisme bukan sesuatu yang luar biasa tetapi ianya adalah mengulangi atau membuktikan sejarah, aliran pemikiran sosialisme memenangi hati rakyat yang benci, cemuh dan bosan dengan kemelut yang lahir dari pembawaan kapitalisme. Kesederhaan pembawaan kepimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz (TGNA), cuba diadaptasi module kempimpinan Umar Abdul Aziz, serta pembawaan kesederhaan hidup dan ketelusan dalam pentadbiran, bila beberapa negeri diambil alih oleh pakatan pembangkang dari pemerintahan korup dan kleptokrasi BN/UMNO, menjelaskan telahan aliran boros pembawaan kapitalisme mendesak rakyat menukar kepada aliran sederhana yang mendekati pembawaan sosialisme. 

Apabila Pas tidak lagi bersama pakatan pembangkang dalam PRU14 nanti, jelas mencerminkan ketidakselesaan Pas bersama kelompok pro- sosialisme. Pas mengambil jalan kembali kepada matlamat asal penyertaan dalam demokrasi kepilihanrayaan ala Westminster ciptaan British. Justeru PRU12 dan PRU13 sudah menampakkan, pengundi mula mencampakkan perkauman keluar dari landasan politik, dengan mencari alternatif baru, persaingan antara dua aliran pemikiran; kapitalisme dan sosialisme. Berasaskan kepada peranan Pas yang cuba melarikan diri dari kedua-dua aliran ini, menawarkan pilihan ketiga, jalan tengah iaitu Islam. Sejarah membuktikan bahawa aliran atau apa saja pembawaan ciptaan manusia tidak akan kekal, di mana yang kekal atau pilihan penyelesaian terakhir ialah pendekatan tuntutan Ilahi berasaskan ketaqwaan dalam menyempurnakan tanggungjawab mengurus manusia dan tanah air. 

PRU14 berlainan dengan PRU12 dan PRU13, dijangka rakyat dihidangkan 3 pilihan, iaitu aliran kapitalisme dibawa BN yang dikepalai UMNO, aliran sosialisme menerusi pembawaan Pakatan Harapan yang hari ini lebih didominasi oleh DAP, sebuah parti sosial demokrat dan Pas menawarkan pilihan ketiga yang meletakkan bagaimana ideologi Islam dapat menawarkan perkhidmatan yang terbaik. 
Selamat Tahun Baru Masehi 2018
semoga tahun 2018 akan menjanjikan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia 

Jumaat, 22 Disember 2017

Cikgu Azizan

NASIB CIKGU AZIZAN SEBAGAI PENJAWAT AWAM

Kes Cikgu Azizan Manap yang dibebaskan tanpa bebas oleh Mahkamah Majistret Seremban, 19/12/2017 lepas, bukan sekadar sebuah kisah sosial semasa yang dihidangkan sebagai berita utama media arus perdana. Anehnya, di dalam kekalutan parti-parti politik sedang membuat persiapan menghadapi pilihan raya, kurang dapat respons dari parti politik.

Cikgu Azizan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, didakwa atas kesalahan mencederakan seorang pelajar atas kesalahan disiplin.

UMNO yang mendakwa sebagai parti yang relevan sepanjang masa; dulu, kini dan selamanya dan menyimpulkan parti-parti lain khususnya parti-parti pembangkang sebagai parti musim pilihan raya. Sebagai parti menguasai kerajaan yang sentiasa sensitif dengan kebajikan masyarakat, lebih terkedepan membela masyarakat. Tapi dalam kes Cikgu Azizan, UMNO senyap dan mengasingkan diri. 

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Mohammad Hassan, sebagaimana dilaporkan Sinar Harian semalam, menyebut beliau tidak dimaklum nasin menimpa Cikgu Azizan. Sedangkan kes Cikgu Azizan sudah tersebar dua bulan lepas. Mungkinkah Cikgu Azizan, bukan seorang aktivis UMNO atau jika Cikgu Azizan menyokong UMNO tetapi tidak begitu menonjol. Lazimnya perlantikan  seseorang guru untuk menjawab jawatan kenaikan pangkat, tambahan di kawasan bandar, mendapat petunjuk atau restu dari UMNO. Nak naik pangkat guru, memerlukan sokongan UMNO sama ada cawangan atau bahagian. 

Satu kemungkinan yang lazim ialah ibu bapa pelajar yang menjadi mangsa mendapat sokongan kuat dari UMNO atau mampu menarik kuasa mempengaruhi sesuatu kes. Dalam kes Cikgu Azizan, pihak mana yang mampu menguasai pengaruh politik yang menentukan keputusan; pihak yang kena dakwa atau pihak yang mendakwa.

Kehadiran kes Cikgu Azizan menjelang pilihan raya umum yang boleh diadakan bila-bila masa, lebih memberi merit kepada Cikgu Azizan. Cikgu Azizan diselamatkan oleh budaya politik masyarakat di mana isu ini boleh mengganggu keyakinan pengundi atau boleh mempengaruhi pengundi. Isu ini jika tidak ditangangi dengan bijaksana dan berhikmah boleh membawa tahap kebencian kepada parti kerajaan, UMNO khususnya, di ketika kemarahan rakyat di atas kenaikan kos kehidupan masih membara. 

Kebiasaannya UMNO menjadi juara membantu mereka yang teraniayai. Tapi kali ini, UMNO sepi dan kelu. Apakah UMNO sebagai parti pemerintah terkepit di antara mempertahankan penjawat awam dengan penyokong tegar parti. 

Cikgu Azizan hanya mendapat semangat hasil sokongan rakan sejawat dan persatuan profesionnya. Walau bagaimanapun syabas Cikgu Azizan jika beliau ikhlas menjadikan pendidikan sebagai perjuangan membangun bangsa dan ummah.
 

Jumaat, 15 Disember 2017

Fitnah jadi fitnah

  KEGHAIRAHAN BERPOLITIK MENJADIKAN PERSAINGAN MENGFITNAH

Tertarik juga apa yang dilontarkan oleh Hannah Yeow, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dalam instagramnya pagi kelmarin (13/12/2017). Hannah memaparkan beberapa klip dan imej dikutipnya dalam media sosial membabitkan beliau bersabit isu Palestin. 

Antaranya; diviralkan "May Good Protect Israel", sebagai memetik ucapan Hannah di Evangelical Baptist Church, USJ. Diviralkan terpampang wajah Hannah.

Satu imej dipaparkan " What Do You Get By Supporting The People of Palestine" sebagai intisari ucapan Hannah di City Harvest Church, Kuala Lumpur. 

Sementara petikan ucapan Hannah di City Revival Church, Subang Jaya pula mempamirkan, "Jurusalem Milik Ucapan". Dipaparkan bersama; "Israel memberi dana USD 300 juta kepada DAP dan sebagai balasan hubungan dengan Israel akan terjalin bila Pakatan harapan menguasai Putrajaya". 

Hannah menafikan semua kenyataan tersebut dan menyebutkan sebagai palsu, dengan kerja-kerja cybertroopers UMNO dan Pas. Dalam psyco-war, perang siber khususnya menjelang pilihan raya ianya satu kebiasaan dan amalan parti atau penyokong parti menyerang pihak lawan. Dalam politik menghalal cara, menabur fitnah, mereka cipta fitnah dan memanipulasi dan eksploitasi sesuatu fakta atau isu menjadi palsu, adalah antara elemen yang diharuskan oleh aliran pemikiran politik Machiavelli. 

Apapun apa yang diterjahkan dan dihighlights oleh cybertrooper demi meranapkan reputasi politik lawan di samping untuk memburuk demi membunuh perwatakan tokoh. Cybertrooper mengambil kesempatan kemudahan mengakses media baru, sama ada sebagai aktivis upahan atau secara sukarela, sebagai paling cepat dan berkesan dalam suasana semasa. 

Fokus persoalan dalam isu Hannah ini ialah tuduhan beliau ke atas cybertrooper Pas. Sebagaimana umum sedia maklum, sebagai badan siasah, Pas berbeza dari objektif organisasi dengan parti-parti lain,  sebagaimana yang digambarkan dalam pengaturan aktiviti dan gerakan sepanjang tempoh keberadaannya dalam politik Malaysia. Parti lain walaupun mempunyai teras perjuangan dan dasar berbeza, sama ada UMNO, DAP, MCA, MIC atau PKR, adalah mempunyai satu matlamat, iaitu matlamat kuasa. Keberadaan parti-parti tersebut dan parti-parti lain berkisar kepada perjuangan mendapatkan kuasa menerusi pilihan raya serta memanipulasi isu yang boleh memberi keuntungan politik. 

Seawal penubuhannya, Pas bergerak di atas 3 matlamat iaitu berjuangan berorganisasi: untuk mendapat kuasa, mentarbiyah ummah ke arah kehidupan yang diredhai Pencipta Alam Ini, dan berdakwah iaitu merintis jalan mengajak ummah kepada perintah dan kehendak Tuhan Yang Maha Berkuasa. 

Parti-parti lain dipamirkan dengan premis sebagai pusat aktiviti dan pengurusan parti atas berbagai nama; pusat khidmat masyarakat, ibu perjabat parti berbagai peringkat, bilik operasi bermusim dan sebagainya. Sementara Pas, di samping pusat khidmat masyarakat, terdapat taburan madrasah atau surau sebagai pusat dakwah, pusat-pusat pendidikan awal kanak-kanak di seluruh pelusuk negara sejak sekian lama, atas pengorbanan dan tabungan penyokong.  Saguhati tenaga pengajar kelas pendidikan kanak-kanak dengan ala kadar saja, demi merealisasikan Pas bukan sekadar parti politik tetapi badan dahwah dan pendidikan.

Dalam skala kecil di atas kemampuan parti yang bergerak atas dana sumbangan ahli, sudah ada rintisan sekolah-sekolah rendah dan menengah di beberapa tempat, di samping pusat-pusat pengajian. Berbeza dengan parti lain, dengan ahli kaya raya dan mewah selepas menguasai kerajaan,tanpa susah boleh mengumpul dana untuk tujuan pendidikan dan kebajikan berbanding dengan Pas sebagai parti pembangkang yang bergantung kepada pengorbanan, keikhlasan dan keterbukaan redha dengan rezeki Allah. 

Tuduhan Hannah fitnah menerusi media baru di atas hasil kerja cybertrooper Pas sukar diterima berasaskan sebagai parti berjuang atas tiga matlamat: politik, dakwah dan tarbiyah. Pejuangan, penyokong dan simpatisan Pas yang menerima tarbiyah institusi Pas tidak mungkin melakukan kerja fitnah kerana Pas berbeza dengan parti lain. Parti-parti lain bolah amalkan politik Machiavelli kerana mereka tidak terikat dengan persoalan di hari kebangkitan perdana. Tambahan pula dengan pendekatan baru Pas: politik matang dan sejahtera (PMS), yang lebih sederhana dan toleransi berbeza dengan politik tribulasi, keras dan mendesak. 

Jika benar fitnah tersebut dari cybertrooper Pas, jelas kegagalan pendekatan PMS yang mengambil kaedah menerang bukan menyerang serta kegagalan proses pentarbiyahan ahli. Pastinya, khalayak masyarakat akan melihat Pas tiada beza dengan UMNO, DAP atau parti lain yang terikat dengan politik Machiavelli, politik menghalalkan cara. Oleh kerana ianya tiada beza dengan surat layang dalam media konvensional, fitnah dalam media baru terbuka berbagai tohmahan dan tafsiran. 

Justeru itu, dalam melihat sebarang mehnah dan trabulasi dalam persaingan menjelang pilihan raya haruslah diperhalusi perbezaan antara politik sekular dengan politik Islam. Dikhuatiri apa yang Hannah tafsirkan sebagai palsu dan fitnah sebaliknya Hannah pula yang mengfitnah cybertrooper Pas berasaskan perbezaan Pas dengan parti lain.



Selasa, 12 Disember 2017

UMNO Bertakbir

TAKBIR BERGEMA DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 berakhir hujung minggu dengan fokus utama kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). PAU kali ini menampakkan kegelisahan persiapan UMNO menghadapi PRU14 dengan lebih banyak menyerang pihak parti lawan. 

Dalam kerancakan melakonkan keyakinan meneruskan tradisi kemenangan, berlindung kegelisahan dan debaran dengan menyerang musuh. Serangan yang paling jelas ialah kepada mantan Presiden parti dan parti dominan nombor dua. Serangan terhadap Tun Dr Mahathir menafikan jasa dan bermatlamat memadamkan ketokohan negawaran, hingga kepada bersifat serangan perwatakan dan keperibadian. Seperti biasa, tradisi serangan ke atas DAP lebih menampakkan wajah sebenar UMNO, sebuah parti perkauman sempit, yang kecewa dengan kegagalan menarik  orang bukan Melayu  menyokong UMNO dan rakan kongsinya dalam Barisan Nasional (BN). 

Lantaran terdesak dengan asakan pihak lawan memaksa UMNO menelan ludah yang dilontar kepada pihak lawan. Dulu UMNO melabelkan dan mentafsirkan Pas sebagai "parti ajaran sesat" kerana melaungkan takbir Allah Akbar menjadi kesebatian Pas. Di mana saja ada program Pas, sama ada di tempat awam atau di premis sendiri, laungan takbir pasti bergema dengan penuh semangat. Penyokong UMNO menyebut sebagai tak kena tempat menggunakan kalimah suci, yang sepatutnya hanyalah di premis tertentu khususnya tempat ibadat. Ada saja majlis anjuran Pas, ada saja laungan Allah Akbar; himpunan di stadium terbuka, muktamar, konvensyen, ceramah kecil atau besar. 

Dalam PAU laungan takbir Allah Akbar 3 kali kerap kali bergema. Walaupun sebelum ini, laungan takbir pernah menghiasi beberapa majlis UMNO, tetapi kekerapan dan gema suaran laungan dalam PAU kali ini lebih bersemangat dan keras, menyaingi majlis Pas. Mungkinkah hasrat UMNO secara tersembunyi mendampingi Pas demi survival politiknya, UMNO secara langsung meresapkan budaya tarbiyah Pas. 

Satu lagi perkara menarik dari PAU ialah ciplak agenda Pas dalam mengutarakan wadah politik kontemporari berasaskan latar belakang masyarakat Malaysia. Pas membawa agenda "Pas for all" dalam usaha merasionalisasi kepelbagaian kaum dan kepercayaan dalam menyatakan keterbukaan Pas, dalam PAU kali ini diterjemahkan peniruaan dari Pas menerusi paparan benner "Perjuangan for all" menghiasi ruang perhimpunan.  

Persepsi khalayak awam, UMNO cuba berjinak dengan Pas lebih diyakini melihat kepada beberapa usaha UMNO sama ada kepimpinan atau organisasi melonggarkan cemuhan dan provokasi ke atas beberapa cetusan idea Pas. Walabagaimana pun, UMNO sebagai parti warisan budaya Melayu, masih lagi meneruskan acara tradisi berjoget, berhibur dan sebagaimananya untuk meraikan kehadiran peserta dari seluruh pelusuk tanah air.

Rabu, 6 Disember 2017

UMNO di tahap tertinggi

UMNO DI TAHAP TERBAIK PERSIAPAN HADAPI PILIHAN RAYA

Semalan Presiden UMNO,  DS Mohd Najib Tun Abdul Razak, mengumumkan UMNO sudah bersiap untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Beliau menyifatkan persiapan  berdepan PRU kali ini sebagai paling rapi dalam sejarah parti. Beliau berkata demikian dalam taklimat tertutup kepada perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), yang bermula hari ini.

Tetapi sebelum ini, beliau menafikan PRU14 sebagai ibu segala pilihan raya, pengumuman malam tadi memperlihatkan kegelisahan dan kegusaran UMNO berdepan dengan PRU yang dikelilingi berbagai isu. Masakan tidak, meletakkan strategi dan persiapan yang cukup rapi dalam kerja-kerja menghadapi pilihan, biasanya bila parti berdepan dengan cabaran yang boleh mengancam kuasa dan mempertahankan status quo.

Pencapaian yang mencabar kedudukan UMNO yang mencerminkan kekuatan Barisan Nasional dalam dua PRU terakhir, membuatkan UMNO terpaksa bekerja keras bertarung pertahan kuasa, yang dibelenggui isu-isu yang terasing dari isu kestabilan politik. Setiap kali PRU terdahulu, UMNO/BN banyak bergantung di atas isu kestabilan politik; dengan meletakkan kepentingan bangsa dan ancaman perkauman. Setiap kali pilihan raya, didendangkan risiko kehilangan kuasa Melayu, ancaman ketuanan Melayu, dan masa depan generasi Melayu. 

Isu nasib orang Melayu yang disebut bergantung di atas perjuangan parti keramat, UMNO, sebenarnya tidaklah menjadi isu lagi. Sudah 60 tahun negara merdeka dengan meletakkan orang Melayu mengetuai semua kerajaan peringkat Persekutuan dan negeri kecuali Pulau Pinang, di samping hampir semua jawatan utama pentadbiran awam dikepalai orang Melayu, tidak perlu berbangkit nasib orang Melayu. Dengan UMNO sebuah parti berteras Melayu dan jentera eksekutif dikuasai oleh Melayu, apalagi yang boleh diperjuangkan UMNO yang telah diberi peluang 60 tahun mengetuai kerajaan, bagi orang Melayu dan Bumiputera menyaingi kaum lain dalam semua bidang kehidupan. 

Ancaman kepada UMNO hari ini, isu yang lebih besar, yang menguasai kelompok terbesar pengundi ialah isu menampung kehidupan. Kenaikan kos hidup ekoran peningkatan harga barangan disusuli wujudnya GST, peluang pekerjaan dan kadar pengangguran, yang menjadikan BN yang dikepalai UMNO tertekan dengan usaha menarik sokongan pengundi muda khususnya. Data taburan umur pengundi yang menunjukkan 40% pengundi adalah berumur 40 tahun ke bawah.  

Sejauh manakah keyakinan UMNO berdepan PRU14 untuk digambarkan kepada tontotan umum dapat menarik sokongan pengundi khususnya golongan muda dan sederhana yang tidak lagi termakan dengan isu perkauman yang menjadi modal UMNO sebelum ini. Ucapan-ucapan beberapa kepimpinan UMNO yang memberi gambaran Pas perlu berkerjasama dengan UMNO demi perpaduan Melayu dan Islam, lebih menampakkan UMNO amat memerlukan Pas, untuk berdepan dengan pakatan pembangkang, yang dikatakan mendapat sokongan kuat pengundi bukan Melayu. 

Presiden UMNO menyebut persiapan UMNO untuk berdepan PRU14 ini adalah persiapan yang paling rapi dalam sejarah UMNO berdepan pilihan raya, bolehlah dibaca sebagai UMNO menyedari ancaman dan cabaran getir menanti UMNO dan BN. Tambahan pula, tanpa menggunakan persempadanan semula kawasan pilihan raya, lebih parah lagi buat UMNO dan BN berdepan dalam kawasan lama yang sudah dikenali, diawasi dan dilazimi oleh parti-parti pembangkang. Justeru untuk meraikan PAU terakhir sebelum PRU14, perang saraf berstrategi yang bertenaga amat diperlukan untuk melahirkan rasa keyakinan dan kekuatan mental penyokong dan jentera parti.