Khamis, 16 Jun 2016

Ujian Sebuah Parti Serpihan

PRK KUALA KANGSAR & SUNGAI BESAR: UJIAN SEBENAR SEBUAH PARTI SERPIHAN


Pilihan Raya Kecil Parlimen bagi Kuala Kangsar dan Sungai Besar minggu depan adalah medan ujian sebenar bagi Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah). Walaupun mereka menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bulan lepas, sebagai percubaan mereka pertama selepas Pas mengistiharkan gagasannya sendiri; kuasa ketiga, sementara Amanah, parti baru serpihan dari Pas, bukanlah satu ukuran yang sebenar. Sarawak bukanlah medan sebenar kerana latar belakang demografi, komponen etnik serta sejarah Pas sendiri yang begitu terbatas pergerakan dan pengaruhnya di negeri itu. 

Kuala Kangsar dan Sungai Besar (sebelum 2004 sebahagian Sabak Bernam), kawasan kekerapan Pas bertanding adalah tinggi sejak Pilihan Raya Umum Pertama (1959), bilamana, pernah Pas beri laluan kepada Semangat 46 dan KeADILan (sekarang PKR), yang mempunyai komposisi pemilih yang hampir sama antara 67-68% adalah pemilih Melayu. Penyertaan Amanah dalam kedua-dua PRK, tidak lain adalah sebagai cabaran kepada parti induknya iaitu Pas, dalam usaha mengesahkan parti manakah menjadi pilihan orang Melayu untuk menandingi UMNO. 

Justeru itu, wajarlah dilihat kepada perjalanan Pas sebagai antara parti politik tertua di negara ini, yang pernah menguasai beberapa kerajaan negeri dan pembangkang utama di Parlimen. Pas adalah sebuah parti yang matang dalam mehnah dan cabaran, melalui berbagai krisis kepimpinan yang membawa kepada penubuhan parti-parti serpihan.  

Barisan Jemaah Islamiyah SeMalaysia (Berjasa) yang diasaskan oleh Dato' Mohamad Nasir dalam tahun 1978, selepas tercetus krisis kepimpinan yang membawa kepada penggantungan Dewan Undangan Negeri dan pentadbiran negeri diletakkan di bawah JPA di bawah kuasa dharurat, bermula November 1977.  Hizbul Muslimin (Hamim) ditubuh selepas krisis parti selepas perletakan jawatan Yang Dipertua parti, Dato' Mohd Asri Haji Muda, dalam tahun 1983. Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) ditubuh oleh kumpulan pemimpin kecil parti peringkat kawasan, selepas rasa tidak puashati kepimpinan negeri, dalam tahun 1995. Abdul Wahab Yunus, bekas AJK Pas Pusat dan Ahli Parlimen Dungun, menubuhkan Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan) dalam tahun 1989 selepas kekalahan beliau dalam pemilihan kepimpinan Hamim. 

Berjasa bolehlah disifatkan serpihan Pas yang memberi kesan kepada politik Pas. Ekoran krisis Kelantan membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas perintah dharurat ditarik balik. PRN Kelantan pada 11/03/1978, menjatuhkan kuasa Pas yang memerintah sejak 4 PRU (1959-1977). Berjasa yang diatur penubuhan dan kerjasama UMNO didaftarkan dalam tempoh yang pendek sebagai persiapan untuk PRN. 

Dalam PRN ini, UMNO telah mengaturkan pembahagian kawasan atau kerusi yang dipertandingkan sebagai satu kerjasama pilihanraya. UMNO dan MCA diperuntukan bertanding di 24 kerusi dan Berjasa pula 12 kerusi. 12 kerusi yang dikenalpasti kawasan selamat UMNO ditandingi oleh BN menerusi calon UMNO dan MCA, sementara kawasan 12 kawasan kubu Pas, dibiarkan Berjasa bertanding satu lawan
satu dengan Pas. Baki 12 kerusi kelabu, BN bertanding bersama Berjasa menentang Pas dalam saingan 3 penjuru untuk memecahkan undi Pas.

BN menang 23 dari 24 kerusi yang ditandinginya. Kalah di kerusi selamat, satu lawan satu dengan Pas di Manek Urai, dengan majoriti tipis, 98 undi.  Berjasa menang 11 dari 12 kerusi, satu lawan satu dengan Pas, kalah di Sering dengan majoriti kecil, 84 undi.  Bagi baki 12 kerusi yang ditandingi bersama BN dan Berjasa menentang Pas, BN menang semua kerusi, di mana di 4 kerusi; Bandar Pasir Mas, Telipok, Gual Ipoh dan Bandar Machang, undi calon Berjasa lebih besar berbanding undi calon Pas. Walau bagaimanapun, 5 calon Berjasa hilang wang pertaruhan, di kerusi saingan 3 atau 4 penjuru bersama calon bebas. 

Dalam PRU6 (PRU 1982), Berjasa diperuntukan 12 kerusi yang ditandingi secara langsung dengan Pas dalam PRN 1978, atas tiket BN. Calon Berjasa mewakili BN hanya mampu bertahan 4 kerusi sahaja: Simpangan, Tendong, Tok Uban dan Peringat, dengan majoriti yang berkurangan. Calon Berjasa di Kemumin dan Salor, di samping calon UMNO di Selising hilang kelayakan bertanding, memberikan Pas menang tanpa bertanding di Kemumin dan Selising, sementara di Salor, Pas menang setelah mengalahkan calon bebas yang disokong UMNO.  

Dalam PRU7 (PRU 1986) Berjasa memulaukan pilihan raya kerana membantah penerimaan kemasukan Hamim sebagai anggota komponen BN. Dalam tahun 1989, Berjasa menyertai Semangat 46, Pas dan Hamim, membentuk persefahaman pilihan menerusi Angkatan Perpaduan Ummah. Dalam PRU8 (PRU 1990), Berjasa diperuntukan kerusi Sungai Keladi untuk menentang BN yang diwakili MCA. Buat pertama kali, kerusi yang dimenangi oleh calon MCA di pusat bandar Kota Bharu sejak 7 kali pilihan raya ditumpaskan oleh seorang calon Melayu yang bertanding dengan lambang parti Berjasa. Presiden Berjasa, Dato' Wan Hashim Wan Ahmad dilantik sebagai anggota EXCO. 

Dalam PRU9 (PRU 1995) kerusi Sungai Keladi yang ditukar nama selepas persempadanan 1993, Bandar Lama, yang ditandingi oleh Timbalan Presiden Berjasa, Yusoff Mohd Noor kalah kepada calon MCA. Selepas Semangat 46 membubarkan parti dan ahli-ahlinya menyertai UMNO, Angkatan Perpaduan Ummah terbubar sendirinya dan Berjasa bersendirian dan tidak aktif dalam politik kepilihanrayaan. Cuma dalam PRU13 (PRU 2013), lambang Berjasa digunakan oleh satu NGO, ISMA untuk meletakkan calon bertanding di beberapa kawasan campuran yang tidak ditandingi Pas. Semua calon tajaan ISMA kalah. 

Hamim yang diasaskan oleh Dato' Mohd Asri Haji Muda, pada 24/03/1983 selepas sebulan meninggalkan Pas. 4 Ahli Parlimen dan 3 ADUN Kelantan melarikan kerusi Pas dan istihar sebagai wakil rakyat Hamim. Ahli Parlimen tersebut ialah Mohd Zain Abdullah (Bachok), Wan Ibrahim Wan Abdullah (Pasir Mas), Hassan Mohamad (Rantau Panjang) dan Dato' Abu Bakar Umar (Kota Setar), sementara ADUNnya; Dato' Mohd Asri (Kubang Kerian), Dato' Nik Man Nik Mohamad (Meranti) dan Mohd Noor Awang (Perupok).

Kerusi Kemumin dan Selising yang dimenangi Pas dalam PRU6 diistiharkan tidak sah dan mahkamah arah satu pilihan raya baru perlu diadakan. Untuk menguji kemampuan parti, Hamim meletakkan calon dalam PRK Kemumin dan Selising pada 08/09/1983. Dalam pertandingan   3 penjuru bersama BN dan Pas, BN berjaya merampas kerusi ini dari Pas, tetapi prestasi calon Hamim tercorot bila cuma dapat 159 undi di kubu Pas yang ditandingi calon Berjasa, Kemumin dan 161 undi di kawasan kelabu bagi BN dan Pas, Selising. 

Penyertaan Hamim dalam PRK Kemumin dan Selising adalah kali pertama dan terakhir, parti ini bertanding atas lambang sendiri. Dalam tahun 1986, Hamim diterima sebagai anggota BN. Dalam PRU7, Hamim diberikan 2 kerusi Parlimen: Bachok dan Pengkalan Chepa, dan 4 kerusi DUN di Kelantan: Perupok, Meranti, Mulong dan Chetok. Menerusi lambang BN, calon Hamim menang di Parlimen Bachok, Meranti dan Chetok.

Pada 17/11/1988, Asri dan kumpulannya keluar parti, setelah gagal usulnya untuk membubar parti dalam mesyuarat agung luar biasa parti. Menjelang PRU8 (PRU 1990), Hamim di bawah kepimpinan baru; Dato' Sudin Wahab dan Dato' Nik Man Nik Mohamad istihar keluar BN dan sertai Angkatan Perpaduan Ummah. Dalam PRU8 ini, Hamim diberikan satu kerusi Parlimen; Kubang Pasu dan 2 kerusi DUN, Geting di Kelantan dan Sabak di Selangor, dengan menggunakan lambang Semangat 46. Nik Man Nik Mohamad menang di kerusi Geting. 

Dalam PRU9 (PRU 1995), Hamim bertanding di 2 kerusi negeri; mempertahankan Pengkalan Kubor (ditukar nama dari Geting, persempadanan 1993) dan Paya Jaras di Selangor, juga atas lambang Semangat 46. Hamim gagal pertahan kerusi Pengkalan Kubor. Selepas 1995, Hamim tidak aktif dalam politik kepilihanrayaan. 

Abdul Wahab Yunus, Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan semasa menjadi Ahli Parlimen Dungun, Ketua Pemuda Pas Pusat (1973-1975) dan Bendahari Agung Pas (1977-1979) yang bersama Dato' Asri mengasaskan Hamim, menubuhkan sebuah parti baru; Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan).    Ikatan diasaskan oleh Abdul Wahab, setelah gagal dalam perebutan jawatan Yang Dipertua Hamim, dalam tahun 1989. Parti ini tidak aktif dalam politik pilihanraya. Dalam tahun 1999, Ikatan ditimbulkan semula bila usaha pendaftaran Parti Keadilan Nasional (KeADILan) bermasalah. Kepimpinan penaja parti ini mengambilalih parti Ikatan dengan memohon penukaran nama dan mengekalkan lambang "mata" parti Ikatan. 

Di Kelantan, selepas kerajaan campuran Angkatan Perpaduan Ummah berjaya dibentuk, wujud masalah tidak puas hati terhadap kepimpinan kerajaan negeri yang mendorong kepada penubuhan parti baru serpihan Pas; Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) dipimpin Musa Salleh, Ketua Pas Kawasan Pasir Puteh, menjelang PRU9 (PRU 1995). Rata-rata kepimpinannya adalah dari kumpulan aktivis parti peringkat menengah. 

Dalam PRU9, AKIM meletakkan 2 calon Parlimen dan 15 calon DUN di Kelantan. Undi tertinggi dan calon tunggal yang tidak hilang deposit ialah di Parlimen Gua Musang, bila berlaku pertandingan satu lawan satu antara Semangat 46 dan AKIM, kerana calon BN hilang kelayakan. Calon AKIM perolehi 4,736 undi. Seorang lagi calon Parlimen ungguli 221 undi sahaja di Pengkalan Chepa. Di peringkat DUN, paling tinggi 205 undi di Galas, sementara 14 yang lain antara 50 hingga 110 undi, undi rosak lebih besar dari undi calon AKIM, sama ada di kerusi yang dimenangi Pas, Semangat 46 atau BN. Keseluruhannya selain Parlimen Gua Musang, undi calon AKIM di bawah 1%. 

Dalam PRK Semerak, 11/08/1997, dalam persaingan tiga penjuru, calon AKIM cuma mampu kutip 27 undi sahaja. Dalam PRU10 (PRU 1999), dua calon AKIM turut bertanding di mana perolehan undinya tak banyak berubah: 274 undi di Parlimen Pasir Puteh dan 72 undi di Gaal. AKIM dibubarkan pada 15/12/2010 untuk diambilalih oleh parti baru, Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), diasaskan oleh Dato' Zaid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

Berjasa, Hamim, Ikatan dan AKIM, asasnya serpihan Pas, lahir dari berbagai krisis khususnya kepimpinan telah menempatkan rakaman sejarah menceritakan pengalaman dan cabaran sebuah parti politik. Kelahiran sebuah parti baru, Parti Amanah Negara (PAN/Amanah) dari sudut latarnya tidak dapat lari daripada beberapa pengalaman, peristiwa dan agenda dari pengwujudan dan pengasasan parti-parti serpihan Pas terdahulu. Penubuhan Amanah juga sangat berkait rapat dengan krisis dan keyakinan dalaman. 

Dari sudut latar belakang, penglibatan dalam parti dan populariti, pengasas Amanah tidak ada bezanya dengan pengasas parti-parti serpihan Pas dahulu. Mungkin yang berbezanya dari sudut isu, masa, iklim politik semasa serta lakaran politik masa depan yang lebih mencabar yang memerlukan anjakan persepsi dan realiti. 

Berjasa adalah serpihan Pas yang paling berjaya, berbanding parti-parti lain yang melalui beberapa halangan birokrasi untuk didaftarkan. Kemudahan yang disediakan untuk menubuh dan mendaftar  Berjasa memberikan pergerakan aktivitinya berjalan lancar. Kerjasama dan sokongan UMNO membolehkan Berjasa sebagai serpihan yang paling berjaya, yang membolehkan jatuhnya sebuah kerajaan negeri. Hamim bermula dengan prestasi yang tidak menyakinkan membawa kepada krisis kepimpinan, berpecah kepada dua puak: masuk UMNO dan menentang UMNO. AKIM dari awal lagi tidak mendapat sambutan, sementara Ikatan, bergerak secara pasif di luar gelanggang demokrasi kepilihanrayaan. Akhirnya kedua parti ini, AKIM dan Ikatan, terpaksa jual kedai dan membantu menghidupkan parti-parti baru. 

Parti Amanah Negara juga mengambil pendekatan penubuhan KITA dan KeADILan untuk mempercepatkan proses penubuhan dan pendaftaran, iaitu mengambilalih parti yang sudah wujud. Amanah mengambil alih Parti Pekerja Malaysia, yang ditubuhkan oleh Ganga Devi dalam tahun 1978. Ganga Devi adalah aktivitis Partai Buruh Malaya, bila Partai Buruh diharamkan dalam tahun 1967, menyertai Gerakan dan berjaya dipilih sebagai ADUN Selangor bagi kerusi Serendah, bila menangi kerusi itu atas tiket Gerakan, dalam PRU 1969. Kemudian keluar Gerakan, sertai DAP dan bertanding sebagai calon DAP untuk Parlimen Setapak, dalam PRU 1974, tetapi tewas. Ganga keluar DAP dan menubuhkan Parti Pekerja, bertanding dalam PRU 1978, untuk Parlimen Sungai Besi dan DUN Sungai Way, hilang wang pertaruhan. 

Parti dominan dalam politik Malaysia hari ini ialah UMNO dan DAP, kedua-duanya memiliki kerusi terbanyak di Parlimen; 89 dan 37. UMNO mengepalai blok kerajaan dan DAP di blok pembangkang, sungguhpun wakil PKR jadi Ketua Pembangkang. Penonjolan Berjasa yang lebih terserlah berbanding serpihan lain, kerana didokongi oleh parti dominan, UMNO.  

Penilaiannya, dengan latar penubuhan dan pendafatrannya, sejauhmana keupayaan Amanah memperlihatkan nilai juangnya mewakili gabungan Pakatan Harapan, di dua kawasan PRK. Apakah Amanah akan mengulangi sejarah Berjasa atau akan bangkit dengan pencapaian dan agenda berbeza. PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan memberi jawapan kepada persoalan ini.  

PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, hujung minggu ini, secara langsung membuka medan dan gelanggang sebenar kemampuan sebuah parti serpihan bertembung dengan parti asal, berdepan dengan parti yang mempertahan status quo. Secara langsung saingan 3 penjuru dalam PRK ini akan membina lakaran arah tuju ketiga-tiga parti. 

Lantaran Kuala Kangsar dan Sungai Besar, bukan kawasan majoriti mutlak Melayu serta 35% pemilih bukan Melayu, pencapaian mana-mana parti amat berpergantungan kepada semua kaum sebagai memenuhi realiti politik baru, politik berteraskan ketelusan, intergriti, keadilan dan keaman bukan lagi politik kelompok dan perkauman.  

 

 



  
  

 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan