Sabtu, 23 Jun 2018

UMNO masih relevan

UMNO PERLU DIPERTAHAN DAN MASIH RELEVAN DALAM POLITIK MALAYSIA

Kekalahan teruk BN dalam PRU14 mendesak satu persoalan sama ada UMNO masih relevan lagi dalam kelangsungan politik Malaysia. Seolah-olah kekalahan dalam satu pilihan raya sudah menutup semua ruang bagi UMNO sebagai sebuah parti politik sokongan popular. Di usia, 72 tahun, UMNO adalah paling politik paling kanan, dalam politik tanahair. Jika ianya turut berkubur dan menjadi layu selepas tertewas di penghujung gelanggang, secara langsung menggambarkan perwatakan dan peranan pendokongnya, iaitu orang Melayu yang mengasaskannya demi membela nasib bangsa, agama dan tanahair sebagai asas.

UMNO sebagai parti tulang belakang dan pengasas gagasan Perikatan, kemudiannya Barisan Nasional, ikut sama bertindak meminggirkan diri sebagaimana parti-parti komponennya yang bertumpang teduh, memperlihatkan saling bergantungan antara UMNO sebagai parti dominan dan induk dengan ranting-ranting yang lain. 

Selesai PRU14 pada 9/5/2018, bermula sehari kemudian, 10/5/2018 bermulalah episod parti-parti komponen isithar keluar BN. UPKO mengambil permulaan langkah diikuti parti-parti lain dari Sabah: LDP, PBS dan PBRS, keluar BN. Semua parti-parti komponen BN di Sabah adalah parti serpihan yang berasal dari Berjaya atau muncul selepas terbentuk serpihan Berjaya, iaitu PBS (Parti Bersatu Sabah) pimpinan Joseph Pairin Kitingan, ekoran krisis dalam kerajaan BN Sabah pimpinan Berjaya, 1985. Berjaya pun juga sebuah serpihan hasil krisis kerajaan Sabah pimpinan USNO, 1975, dipimpin oleh Donald Stephents, dan bermasalah di bawah kepimpinan Harris Salleh.

Hasil dari Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN 1990) yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PBS setelah beberapa ADUNnya keluar parti untuk bersama UMNO membentuk kerajaan. Kepimpinan PBS yang keluar parti membentuk parti-parti serpihan; Parti Demokratik Sabah (kemudiannya diubah ke UPKO) pimpinan Bernard Dompok, PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) pimpinan Joseph Kurup dan LDP (Liberal Democratic Party) mewakili kelompok Cina, menyertai BN di bawah kepimpinan UMNO. 

Di Semenanjung, MyPPP (asalnya People's Progressive Party) istihar keluar BN. PPP adalah pembangkang popular tahun 1950an dan 1960an pimpinan Seenivasagam Bersaudara dalam tahun 1955, akhirnya sertai BN dalam tahun 1974, sebenarnya dari segi dasar sudah jauh berbeza dengan asas yang dibina oleh Seenivasagam dulu. PPP menjadi parti kecil, selepas menyertai BN. 

Minggu lepas, 12/06/2018, semua anggota BN Sarawak: Parti Bumiputra Bersatu (PBB), Sarawak United People's Party (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Progressive Democratic Party (PDP) bersama istihar keluar komponen BN. PBB dan SUPP adalah pengasas BN tahun 1974. Di Sarawak, SNAP (Sarawak Nasional Party) yang silih berganti bersama bentuk kerajaan negeri Sarawak dan pernah jadi pembangkang, berpecah kepada pembentukan serpihan PBDS (Parti Bansa Dayak Sarawak) dalam tahun 1983. PBDS tidak panjang hayat, krisis kepimpinan membawa kepada pembatalan pendaftaran akhirnya membentuk PRS dalam tahun 2004. PDP adalah serpihan SNAP kesan krisis kepimpinan dalaman tahun 2002.

Kelmarin 22/06/2018, Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) yang ditubuhkan dalam tahun 1968 oleh bekas kepimpinan Parti Buruh (Tan Chee Khoon dan V. Veerapan), United Democratic Party (Lim Chong Eu, bekas Presiden MCA) dan tokoh-tokoh akademik, bersama mengasaskan BN dalam Tahun 1974. 

Hari ini UMNO bersama MCA dan MIC masih mengungguli BN dengan perwakilan seramai 57 orang perwakilan di Parlimen: 54 UMNO, 1 MCA dan 2 MIC. Merupakan blok utama pembangkang. Dengan lain perkataan, kembali kepada pakatan asal iaitu Perikatan. Perikatan yang begitu berjasa memerdekakan negara serta membentuk asas perpaduan negara menepati realiti sebuah negara bangsa yang berbilang bangsa. Kejayaan Perikatan pimpinan UMNO menarik Pas, Gerakan, PPP, PBB, SUPP dan USNO membentuk BN dalam tahun 1974, demi merealisasikan perpaduan negara merentasi sempadan perkauman dan wilayah, termaktub dalam sejarah politik tanah air, tidak seharusnya dilupakan dan diabadikan sebagai sebuah kenangan dalam sebuah tamadun dan pembinaan bangsa. 

Dalam tempoh 70 tahun UMNO menyuburkan politik nasional, ianya turut terlibat dengan beberapa kemunculan berbagai parti serpihan; Parti Kemerdekaan Malaya (1952), Parti Negara (1954), Parti Perhimpunan Kebangsaan (1963), Parti Melayu Semangat 46 (1989) serta Parti Keadilan Nasional (1999), tetapi ianya tetap utuh. Begitu juga dengan MCA, apabila beberapa kepimpinan mengasaskan UDP (1963) serta UMCO (1969). MIC yang seusia UMNO menyaksikan serpihannya tidak bertahan lama: DMIP (1985), IPF (1990).

Seandainya UMNO ikut sama mengendurkan diri dan membiarkan pakatan politik mengecut perlahan ikut rentak pilihan rakyat, UMNO sengaja mengesot diri keluar dari medan arus perdana nasional. UMNO akan dikutuk suatu masa nanti sebagai lemah semangat juang, memusnahkan inspirasi asas penubuhan UMNO. UMNO sepatutnya meneruskan legenda dengan berperanan sebagai pembangkang utama demi menghidupkan aspirasi "check and balance" dalam demokrasi berparlimen.  Menguasai 54 kerusi atau hampir 25% suara di Parlimen adalah satu tenaga yang mampu menyegarkan institusi Parlimen. 

UMNO harus mengambil pengajaran dari pergerakan dan peranan Pas dalam politik tanah air, masih segar, bertenaga malah semakin menyakinkan, walaupun pernah mampu hantar seorang wakil di Parlimen, kemudian bangkit berjaya merampas sebuah negeri untuk dijadikan pengkalan dan terus relevan hingga hari ini.  

Rabu, 20 Jun 2018

Impaks satu logo




KEMATANGAN PEMILIH DALAM PRU14 KETEPIKAN LAMBANG PARTI

Apabila Pakatan Harapan, pakatan parti-parti pembangkang; DAP, PKR, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (Amanah), memutuskan penggunaan satu logo atau lambang, memberikan reaksi kebimbangan yang akan ditempohi oleh DAP. 

Dalam tulisan saya, 11/04/2018, menyimpulkan kebimbangan DAP dan kebimbangan musuh politiknya, MCA. Pemimpin DAP dengan hati yang berat, buat pertama kalinya calon-calon DAP tidak bertanding dengan lambang roket yang dikenali lebih 50 tahun, dibimbangi akan mengelirukan pengundi, terutamanya penyokong setia dan tegar. 

Reaksi kepimpinan MCA pula,  penukaran lambang kepada parti lain akan sedikit sebanyak membantut sokongan kepada DAP. Pengundi akan melihat ketidak konsistan pendirian politik DAP. Seolah-olah meletakkan DAP, parti dominan dalam pakatan pembangkang, tunduk kepada parti yang lebih junior.

Kebimbangan DAP meletakkan ianya dilakari dengan membataskan penggunaan logo bersama di Persekutuan Tanah Melayu sahaja, sementara di Sabah dan Sarawak, DAP bertanding dengan menggunakan lambang roket. Hakikinya keputusan yang diambil oleh pakatan pembangkang membuahkan hasil walaupun dihantui kebimbangan kemerosotan sokongan. 

DAP berjaya menembusi sokongan masyarakat luar bandar di Sabah dan Sarawak. DAP berjaya merampas kerusi BN di kawasan majoriti masyarakat Bidayuh (70.7% pengundi) di Parlimen Mas Gading. DAP menang dengan majoriti 3,024 undi mengatasi calon BN. 

Lambang DAP mampu beri kemenangan di Parlimen Tenom, kawasan majoriti masyarakat Bumiputera Bukan Islam (71.7% pengundi) menerusi calon dari suku Murut.

Sebagaimana di Persekutuan Tanah Melayu, kerusi-kerusi bandar di Sabah dan Sarawak dikuasai dengan mudah oleh DAP. Ini memaparkan dalam PRU14, pemilih meletak persoalan lambang di sampingan, di mana pokok uatama ialah "Ubah Putrajaya". Rahmat di sebalik penggunaan satu lambang salah satu parti pembangkang, walaupun gagal meletakkan calon-calon bertanding atas nama gabungan parti, pemilih tetap memilih gelombang "Ubah Putrajaya" yang secara langsung meruntuhkan penguasaan UMNO bersama rakan-rakan parti komponen. 

PRU14 telah mengesahkan penggunaan satu lambang bagi pakatan pelbagai parti adalah satu keperluan atau satu mekanisme demokrasi kepilihanrayaan berbagai berbagai parti dengan lambang masing-masing dalam PRU-PRU sebelum ini. 

Khamis, 14 Jun 2018

Tiada Impaks PRK

HASIL PRK TIDAK MEMBERI IMPAKS KEPADA PRU

Keputusan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas PRU13 berbeza dengan PRK pra PRU13 (2008-2011). Selepas PRU12, 16 PRK telah diadakan merangkumi semua negeri, kecuali Perlis, yang menyaksikan 8 dimenangi BN dan 8 oleh pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat. BN pertahan 6 kerusi dan hilang 2 kerusi, Parlimen Sibu dan Kuala Terengganu. Pakatan Rakyat pertahan 6 kerusi dan hilang 2 kerusi kepada BN; kerusi DUN Galas dan Parlimen Hulu Selangor. PRK dalam tempo pra PRU13 mempamirkan satu senario, saingan antara BN dan PR dijangka sengit dalam PRU13. Hasilnya prestasi BN semakin merosot dalam PRU13 berbanding PRU12, di mana undi popular BN hanya 47% sahaja. Sungguhpun BN masih mengekalkan kuasa di Putrajaya, tetapi ianya tidak disokong oleh majoriti pengundi.

Sebanyak 13 PRK diadakan pasca PRU13, BN berjaya pertahan 8 kerusi, parti pembangkang pertahan 4 kerusi, tetapi gagal di Parlimen Teluk Intan, BN merampas kerusi DAP. PRK dalam tempoh pasca PRU13; 2013-2016 agak kelainan dan tidak sehangat saingan bagi tempoh pasca PRU12; 2008-2011. 

BN tidak bertanding di dua kubu kuat pembangkang Bukit Gelugor dan Chempaka, bila DAP dan Pas yang pertahan kerusi hanya ditentang oleh calon-calon bebas yang kurang popular. Calon DAP membolot 89.95% undi di Bukit Gelugor dan calon Pas perolehi 91.79% undi sah, dengan peratusan mengundi yang agak rendah: 56.38% dan 55.0%. Saingan yang agak sengit hanya di Dun Sungai Limau, bila lebih 85% keluar mengundi dan calon Pas yang pertahan kerusi  sekadar perolehi 53.25% undi dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon BN. 

Ada 3 PRK yang dimenangi BN dengan mudah, tetapi tidak memaparkan realiti kemungkinan pencapaian PRU. PRK Pengkalan Kubor (29.05.2014), tidak lain adalah satu ujian sejauhmana kemampuan Pas bersendirian tanpa kerjasama parti-parti pmbangkang utama. Bermula dari PRK ini, kedinginan hubungan pakatan pembangkang dapat dihidui lantaran tanpa penglibatan tenaga DAP dan PKR. Tiada pemimpin DAP dan PKR hadir mengiringi calon Pas pada hari penamaan calon, agak asing berbanding dengan mana-mana PRK selepas PRU12. 

BN menang besar dalam PRK Pengkalan Kubor dengan majoriti 2,435 undi untuk atasi calon Pas, di mana 73.08 peratus pemilih menunaikan tanggungjawab, berbanding majoriti dicapai calon BN, 1,736 undi dalam PRU13, untuk mengalahkan calon PKR. Kali ini, bila pembangkang meletakkan calon Pas, kekalahan pembangkang lebih besar. Malah undi calon Pas, kekurangan lebih 1,000 undi berbanding undi calon PKR. Pencapaian calon BN kali ini dilihat sebagai ancaman yang diterima Pas lantaran bersendirian tanpa kerjasama rakan dalam PR. 

Sebaliknya dalam PRU14, Pas berjaya merampas kerusi Pengkalan Kubor dalam saingan 3 penjuru dengan meningkatkan undinya dari 7,326 undi (PRK) ke 10,142 undi untuk mengatasi calon terdekat, BN, dengan majoriti 1,579 undi.  Undi BN telah berkurangan dari 9,961 undi (PRK) kepada hanya 8,563 undi sahaja, sementara 1,583 undi dikaut oleh calon PKR. Keluarnya Pas dari PR tidak menggugat kekuatan Pas, bertentangan dengan ramalan Pas akan kalah teruk dalam PRU14 setalah Pas tidak lagi bersama pakatan pembangkang, undi pembangkang dan penentang BN akan berpecah.

PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18.06.16, selepas secara rasminya berlaku perpecahan dalam Pas, dengan kemunculan serpihan Parti Amanah Nasional (Amanah), menceritakan realiti perpecahan pembangkang yang memberi advantage kepada BN. 

Dalam PRK Kuala Kangsar, calon BN menang dengan majoriti besar, 6,969 undi untuk atasi calon terdekat, calon Pas, dalam saingan tiga penjuru. Dalam PRU13, calon BN menang dengan majoriti 1,082 undi untuk mengalahkan calon Pas. Kemenangan besar calon BN, menepati ramalan, Pas akan kalah dengan majoriti lebih besar lantaran perpecahan undi yang menyokongnya dalam PRU13. Pas hanya dapat 5,684 undi berbanding 13,136 undi dalam PRU13. Serpihan Pas, Amanah perolehi 4,883 undi. 

Dalam PRU14, Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan persaingan tiga penjuru lagi. Calon BN hanya menang tipis dengan 731 undi, apabila hanya perolehi 12,102 undi berbanding 12,653 undi dalam PRU13, di kala peratusan keluar mengundi 81% berbanding 71.36% dalam PRK. Calon Amanah berjaya melipatgandakan undi kepada 11,371 undi, sementara calon Pas hanya 6,853 undi. 

Di Sungai Besar, BN menang besar, majoriti 9,191 undi dalam PRK berbanding 399 undi dalam PRU13. Dalam PRK, BN perolehi 16,800 undi, Amanah 7,609 undi dan Pas 6,902 undi, berbanding 18,695 undi bagi  untuk calon BN dan 18,296 undi bagi calon Pas dalam PRU13. Dalam PRU14, calon BN hanya perolehi 16,636 undi, calon Bersatu yang mewakili PKR 17,350 undi, dan 7,220 undi untuk calon Pas, untuk membolehkan calon PKR merampas kerusi Sungai Besar, dengan majoriti 754 undi. 

Kejutan berlaku dalam PRU14 dengan dua aliran atau kecenderungan berbeza iaitu kecenderungan menjatuhkan kerajaan BN semua peringkat berlaku di sebelah pantai barat Persekutuan Tanah Melayu, sementara gelombang menjatuhkan pemerintah di Putrajaya tidak mempengaruhi kecenderungan pengundi di pantai timur, terarah kepada mempertahankan kerajaan Islam Kelantan serta penyebaran ke Terengganu. Dengan lain perkataan, gelombang kebangkitan sama ada menukar pemerintah Persekutuan atau mempertahan kerajaan negeri terbangkit di penghujung tempoh Parlimen ke 13. Gelombang ini mulai dirasai menjelang tempoh Parlimen ke 13 menghampiri penghujungnya. 


kepada pembaca beragama Islam diucapkan Selamat Menyambut Idilfitri, Maaf Zahir dan Bathin


catatan malam raya
1 Syawal 1439.
 

Ahad, 10 Jun 2018

Impaks Bangkit Pertahan Kelantan

AGENDA BANGKIT PERTAHAN KELANTAN TENGGELAMKAN UBAH PUTRAJAYA

Sebahagian pemilih telah mengambil keputusan meletakkan agihan undi antara calon dan parti. Mereka memilih parti berlainan di peringkat Persekutuan dan negeri. Pilihan bukanlah  berasaskan kepada peribadi calon tanpa mengenepikan faktor parti. 

Amalan tersebut dapat diperhatikan kepada sikap pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) di Kelantan sebagai contoh. Gelombang nasional untuk "Ubah Putrajaya" dengan meruntuhkan monopoli 60 tahun parti keramat UMNO, tidak merebak ke Kelantan. Gelombang "Bangkit Pertahan Kelantan" mengatasi hasrat menukar kerajaan Persekutuan yang menguasai pantai Barat Persekutuan Tanah Melayu, yang turut merebak ke Sabah dan Sarawak.

Gelombang pemilih muda khususnya memberi kemenangan besar kepada Pas dalam saingan tiga penjuru di peringkat bahagian pilihan raya negeri, demi "Bangkit Pertahan Kelantan", sebagaimana dipertontonkan kepada trend pengundian di saluran-saluran pengundi bawah umur 40 tahun, di seluruh negeri. Berbeza pulak di peringkat bahagian pilihan raya Persekutuan, pemilih lebih memilih calon UMNO/BN, bukan kepada calon-calon Pakatan Harapan yang bertanding atas nama PKR. Secara langsung gelombang "Ubah Putrajaya" tidak dominan di negeri pantai timur, khususnya Kelantan dan Terengganu.

Kawasan yang paling panas mengikut laporan media perdana dan pandangan awam ialah Parlimen Pasir Puteh. BN meletakkan Asraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri JPM, ditentang oleh dua kepimpinan nasional Pas dan PPBM. Pas diwakili Nik Zawawi Salleh, Setiausaha Majlis Syura Pas Pusat, sementara Pakatan Harapan  meletakkan Ketua Penerangan PPBM Pusat. Asraf telah berkampung di Pasir Puteh sejak dua tahun lalu, serta berusaha memindahkan sejumlah pengundi dari kampungnya di Tumpat ke Pasir Puteh.

Asraf memperolehi 30,947 undi berbanding jumlah undi BN campuran 4 kerusi DUN dalam Parlimen Pasir Puteh; Selising, Limbongan, Semerak, Gaal; 27,547 undi. Jumlah undi perolehan Nik Zawawi ialah 32,307 undi, sementara jumlah Pas di bahagian pilihan raya negeri ialah 35,914 undi. Perbandingan perolehan undi bagi kedua-dua parti memperlihatkan seramai 3,500 pemilih mengundi BN bagi kerusi Parlimen dan mengundi Pas untuk kerusi negeri, membolehkan calon Pas menang dengan majoriti kecil, 1,360 undi, untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi dengan majoriti 1,888 undi dalam PRU13. Sepatutnya jika pengundi mengundi berasaskan parti sama ada Parlimen atau DUN, calon Pas sepatutnya menang lebih 8,000 undi. 

Di kerusi Parlimen Ketereh,  calon BN perolehi 25,467 undi berbanding jumlah undi BN dari bahagian pilihan raya negeri Melor, Kadok dan Kok Lanas adalah 23,255 undi. Jumlah undi Pas peringkat DUN; 24,644 undi mengatasi undi di peringkat Parlimen; 20,841 undi. Perbezaan undi antara DUN dengan Parlimen, menyebabkan Pas tewas lebih 4,000 undi bagi kerusi Parlimen, walaupun memenangi 2 dari 3 kerusi negeri. Kekalahan Pas di kerusi Parlimen Ketereh, kerana ada sekitar 2,000 pemilih mengundi BN untuk Parlimen dan mengundi Pas untuk kerusi negeri. 

Di bahagian pilihan raya Parlimen Tanah Merah, sama seperti di Ketereh di mana Pas menang 2 dari 3 kerusi negeri dengan jumlah undi yang dipungut oleh Pas lebih rendah berbanding undi di peringkat Parlimen. Pas memungut sejumlah 28,821 undi di peringkat kerusi negeri: Bukit Panau, Kemahang dan Gual Ipoh, tetapi cuma 25,223 undi bagi calon Parlimen. Sebaliknya calon Parlimen BN perolehi 28,152 undi mengatasi jumlah undi yang dikumpul peringkat kerusi negeri iaitu 25,062 undi. Taburan pungutan undi oleh calon-calon Pas dan BN ini memperlihatkan sekitar 3,000 pemilih memilih calon BN Parlimen dan mengundi calon Pas bagi kerusi DUN. 

Lebih menarik lagi ialah di bahagian pilihan raya Parlimen Machang, di mana BN tewas semua kerusi negeri tetapi memenangi kerusi Parlimen. Calon Parlimen BN memperolehi 26,076 undi, sementara jumlah undi calon-calon BN di kerusi negeri; Pulai Chondong, Kemuning dan Temangan ialah 22,769 undi. Sementara Pas yang memenangi ketiga-tiga kerusi negeri menjumlahkan undi 27,820, tetapi hanya memungut 23,252 undi oleh calon Parlimen. Perolehan undi semua calon di Machang, mempamirkan sekitar 3,500 pemilih membahagikan undi; undi BN bagi kerusi Parlimen dan undi Pas untuk kerusi negeri. 

Sepatutnya calon Pas boleh menang dengan perbezaan undi 5,000 undi, di kerusi Parlimen Machang sekiranya pengundi tidak memecahkan undi; satu untuk BN, satu untuk Pas. Di kerusi Parlimen Tumpat, pengundi Pas tidak memecahkan undi, yang memberikan beza undi 15,247 antara jumlah undi Pas kerusi negeri dengan BN.  Calon Pas menang dengan majoriti 17,500 di kerusi Parlimen. Majoriti yang lebih besar diperolehi oleh calon Pas ini disebabkan sebanyak  2,300 undi yang diberikan kepada BN di kerusi negeri beralih ke calon PKR.


Dengan mengambil 4 sampel di atas dapatlah disimpulkan bahawa gelombang "Bangkit Pertahan Kelantan" lebih mendominasi suasana serta gelombang sokongan rakyat di Kelantan yang berbeza dengan arus kebangkitan yang berlaku di peringkat nasional. Dari sudut bacaan politik terhadap sikap pengundi ianya lebih kepada sokongan kepada peribadi calon mengatasi sokongan kepada parti. Ianya dapat menyumbangkan sebahagian kajian post-mortem untuk mencari faktor-faktor tarikan dan tolakan dalam sesuatu kawasan pilihan raya.