Selasa, 20 November 2012

Isu hancur UMNO

ANTARA HANCURKAN DENGAN KUBURKAN UMNO

Reaksi dari media arus perdana sama ada media cetak atau letronik serta berbagai pihak berhubung bacaan doa di Majlis Himpunan Rakyat di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat 16/11/2012, amat menarik untuk renungan, demi mencari sebuah realiti berasaskan jaminan hak kebebasan bersuara. Sungguhpun, bahagian besar dari pandangan dan ulasan adalah lebih bersifat berpihak, sama ada komentar negatif atau positif.

Dari petikan media cetak, ianya tidaklah memberi gambaran yang jelas, kerana bahasa tulisan tidaklah seberkesan bahasa lisan. Media eletronik di negara kita belum sampai ke tahap menyiarkan secara langsung atau lintas langsung, majlis yang dihadiri puluhan ribu orang, demi memberi keadilan sebaran am, supaya semua penonton atau khalayak boleh membuat ulasan atau keluarkan pandangan secara adil, dan tidak berpihak. Sama ada majlis anjuran rasmi atau tidak, asalkan dapat menghimpunkan khalayak yang ramai, perlu bagi khalayak masyarakat mendapat maklumat segera, memerlukan lintas langsung atau secara langsung, bukan  kutipan cebisan yang diedit., sesuai keperluan kedewasaan negara kita bebas dari belenggu penjajahan, melebihi separuh abad.  Mentaliti Dunia Ketiga masih tebal dalam benak pemikiran politik pihak berkuasa, menyebabkan khalayak masyarakat gagal dapat maklumat yang tepat, telus dan terus terang. Budaya pergantungan kepada sumber yang pro-pemerintah, merencatkan erti kemerdekaan.

Berasaskan sumber cetakan, butiran doa tersebut tidak menyebut manusia atau individu tertentu, cuma ditujukan kepada organisasi. Ianya melontarkan harapan semoga organisasi lawan politiknya ditumpaskan. Secara langsung menumpaskan organisasi lawan membawa kepada maksud menghilangkan keupayaan organisasi lawan untuk berlawan di masa akan datang: melumpuh berakhir dengan menguburkan. Doa itu secara lateralnya, memohon pertolongan Allah, agar organisasi musuh dapat ditumpaskan dengan izinNya.

Melumpuhkan organisasi musuh tidaklah bermakna mendatangkan azab, sengsara dan musibah kepada manusia atau individu tertentu dalam organisasi itu. Maksudnya, lumpuhnya organisasi, individu atau kelompok yang mendokonginya akan mencari alternatif atau organisasi lain untuk meneruskan cita-cita dan idealisme politik masing-masing. Ruang terbuka, organisasi saja yang akan berubah bentuk, yang mungkin lebih baik dari organisasi asal.

Terkuburnya UMNO, dalam tahun 1988, tidaklah mendatangkan mudarat dari segi fizikal kepada anggotanya, tetapi ada sedikit kesan dari sudut roh dan semangat juang. Hancurnya UMNO, membolehkan beberapa pihak di kalangan bekas ahli untuk menubuhkan organ baru untuk menggantikannya. Satu kumpulan berusaha menubuhkan sebuah parti baru, UMNO 46. Satu lagi usaha dilakukan untuk menubuhkan UMNO Malaysia. Kedua-duanya gagal, kerana konon namanya menyerupai nama parti asal, yang diharamkan oleh mahkamah. 

Akhirnya, yang berjaya ditubuhkan ialah sebuah parti baru, UMNO (Baru). Penguburan UMNO diganti dengan UMNO (Baru) ada positifnya. Sesuatu yang baru untuk mengganti yang lama, lazimnya lebih baik dari yang asal. Menyesuaikan diri dengan realiti nasional, UMNO (Baru) memperluaskan ahlinya kepada bukan Melayu dan bukan Islam. Membolehkan secara legalnya kaum peribumi seperti Orang Asli, Thai dan kaum Bumiputera di Sabah (Islam dan non-Muslim) menjadi ahli yang sah. Ini menyebarluaskan keanggotaan parti kepada segmen yang lebih luas seluruh negara, berbanding UMNO yang dikuburkan, terhap keahliannya kepada orang Melayu sahaja.

Penguburan UMNO mempertingkatkan keahlian, kerana tidak lagi terbatas kepada komuniti Melayu di Semenanjung sahaja. Ini menjadikan UMNO (Baru) sebuah parti nasional bukan parti regional dan bersifat kedaerahan, sesuai dengan kedudukannya mengepalai kerajaan Persekutuan. 

Parti Semangat 46, yang ditubuhkan pada 5 Mei 1989, oleh bekas ahli UMNO, yang disekat untuk menyertai UMNO (Baru), kemudiannya ditukar nama kepada Parti Melayu Semangat 46 , pada 10 Februari 1994, untuk menjadi alternatif kepada orang Melayu menyaingi UMNO (Baru). Dalam Pilihan Raya Umum ke 9 (PRU 1990) Parti Semangat 46 yang diketuai oleh bekas Naib Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, mengadakan kerjasama pilihan raya bersama Pas, Berjasa dan Hamim di kawasan luar bandar Semenanjung, di bawah Angkatan Perpaduan Ummah, dan kerjasama di bawah Gagasan Rakyat dengan DAP, PSRM, IPF dan PBS di kawasan bandar serta Sabah. Rata-ratanya kepimpinan Semangat 46, adalah bekas Team B semasa pertandingan pemilihan UMNO tahun 1987.

Semangat 46 membarisi 3 bekas menteri Persekutuan termasuk Tengku Razaleigh, Dato' Abdul Manan Othman dan Dato' Rais Yatim, bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Harun Idris, bekas timbalan menteri Persekutuan: Datin Rahmah Othman, Dato' Zakaria Abd Rahman, Dato' Zainal Abidin Zain, Idris Abdul Rauf dan Haji Suhaimi Kamaruddin. Ini disertai beberapa wakil rakyat Parlimen dan ADUN seperti Ibrahim Ali (Pasir Mas), Wan Omar Wan Majid(Pasir Puteh), Baharom Bakar(Padang Terap), Dato' Zainal Abidin Johari(Jerai), Hashim Endut(Ulu Muda), Ibrahim Azmi Hassan(Kuala Nerus), Dato' Saidin Mat Piah(Tasik Chenderoh), Dato' Sanad Said(ADUN Kapar), Hj Maon Omar (ADUN Kota Tinggi) dan Dato' Abdul Rahman Mahmud (ADUN Jorak). 

Cuma 8 orang sahaja menang di kerusi Parlimen, iaitu semua calon di Kelantan dan satu kerusi di Kuala Terengganu menerusi Dato' Manan. Di peringkat Dun, semua 12 calon Semangat 46 menang di Kelantan, dan 5 kerusi Dun di negeri lain: Terengganu 2, dan masing-masing satu kerusi dalam Dun Johor, Selangor dan Pahang.

Dalam PRU10 (PRU 1995), bilangan kerusi yang dimenangi semakin kurang, walaupun sebahagian tokoh-tokoh di atas bertanding semula. Dalam bulan Mei 1996, Semangat 46 dibubarkan, dengan kata lain menguburkan sendiri parti. Penguburan Semangat 46, tidaklah mengazabkan, ancaman fizikal dan merosakkan reputasi penyokong. Anggota di peringkat kepimpinan, bahagian besarnya menyertai UMNO (Baru), sementara di peringkat bawahan berpecah dua: masuk UMNO (Baru) dan Pas.

2 ADUN Kelantan dari Semangat 46, Nordin Yaakub (Kelaboran) dan Hussien Ahmad (Tendong) menyertai Pas. Kedua-keduanya pernah menjawat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu. Dalam PRU11 (PRU 1999), Nordin Yaakub diberi penghormatan oleh Pas untuk pertahankan kerusinya di Kelaboran. Seorang lagi pemimpin Semangat 46, Hussien Awang dipilih bertanding sebagai calon Pas di Semerak. Kedua-duanya berjaya memenangi kerusi masing-masing.

Tengku Razaleigh yang masuk UMNO (Baru) dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dan mengekalkan kerusi Parlimen Gua Musang hingga hari ini. Rais Yatim bekas Timbalan Presiden, yang kalah sebagai calon Semangat 46 dalam PRU 1990 dan PRU 1995, masuk UMNO (Baru) walaupun pernah berjanji dalam tahun 1990, beliau sudah membakar jambatan, dipilih bertanding di Jelebu bermula PRU 1999, dan kekal dalam kabinet hingga hari ini. Radzi Tan Sri Sheikh Ahmad diberi peluang bertanding di Kangar, kemudiannya jadi menteri. Zainal Abidin Zain, diberi peluang jadi calon UMNO (Baru) di Bagan Serai, dan menang dalam PRU 2004.

Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, yang kalah sebagai calon Semangat 46 di Temerloh dalam PRU 1995, bertanding sebagai calon UMNO (Baru) di Jerantut, dalam PRU 2004, dan pernah dilantik timbalan menteri. Ahmad Shabery Cheek, calon Semangat 46 di Kemaman (1990) dan Kuala Lipis (1995), bekas Ketua Penerangan Semangat 46 ini, kini seorang menteri, setelah memenangi kerusi Kemaman dalam PRU 2004 dan PRU 2008.

Nikmat dari penguburan Semangat 46 dapat dikecapi oleh beberapa contoh individu di atas. Itu cuma sekadar beberapa contoh yang menunjukkan apalah masalahnya bila sesebuah organisasi itu dihancurkan atau sengaja dikuburkan. Ada hikmatnya. Semuanya adalah ketentuan dan rezeki yang telah ditetapkan dan dianugerahkan oleh Yang Maha Berkuasa.

Parti Hizbul Muslimin (Hamim), sebuah parti yang ditubuhkan oleh Dato' Asri Haji Muda, bekas Yang Dipertua Agung Pas, bersama rakan-rakannya yang keluar Pas dalam tahun 1983, pernah cuba dikuburkan oleh kepimpinan sendiri dalam tahun 1988. Cubaan ini gagal dalam muktamar tahunannya kerana tidak cukup kurom pembubaran. Kumpulan Dato' Asri bersama pasukannya; Wan Ismail Hj Ibrahim, Zahari Awang, Dato' Ishak Lotpi, Wan Sulaiman Hj Ibrahim, Mohd Zain Abdullah, Hassan Mohamad, keluar parti dan masuk UMNO (Baru).

Kumpulan pimpinan Dato' Sudin Wahab (bekas ADUN Kedah) dan Dato' Nik Man Nik Mohamad (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan), meneruskan perjuangan parti. Hamim menyertai Angkatan Perpaduan Ummah dalam PRU 1990, membolehkan Timbalan Presidennya, Dato' Nik Man memenangi kerusi Dun Geting (sekarang Pengkalan Kubor).

Di kalangan masyarakat bukan Melayu, penguburan sebuah parti politik membawa kepada keuntungan kepada kepimpinan dan parti itu sendiri. Contohnya United Democratic Party (UDP) yang ditubuhkan oleh Dr Lim Chong Eu, Tan Joo Hing, Dato' Zainal Abidin Abbas dan rakan-rakan dalam tahun 1963. Dr Lim adalah bekas Pengerusi MCA Pusat (sekarang Presiden). UDP asasnya ditubuhkan oleh bekas ahli MCA dan Parti Negara. UDP dibubarkan dalam tahun 1968 untuk membolehkan semua ahlinya menyertai sebuah parti baru, Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Dr Lim adalah Timbalan Pengerusi pengasas Gerakan, yang diketuai oleh Prof Syed Hussien Alattas. Gerakan berjaya menubuhkan kerajaan negeri Pulau Pinang selepas menumpaskan Perikatan (UMNO-MCA-MIC) dalam PRU3 (PRU 1969). Dr Lim dilantik menjadi Ketua Menteri, Mustapha Hussien sebagai Timbalan Ketua Menteri. Seorang lagi bekas pemimpin UDP, Harun Sirat sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri. Dr Lim bertahan di kerusi Ketua Menteri selama 20 tahun.



Penguburan UMNO dalam tahun 1988, telah membuka ruang pemimpin-peminpin baru, mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh yang menyertai Semangat 46. Begitu juga, hancurnya Semangat 46 bikinan sendiri, membolehkan beberapa tokoh memegang jawatan penting dalam kerajaan. Pembubaran UDP memberi ruang kepada bekas ahli MCA peluang meneruskan kerjaya politik. Justeru itu, kehancuran dan terkuburnya sesebuah organ politik, lebih menampakkan keuntungan, bukan setakat merit individu tetapi demi kehendak dan realiti politik semasa, yang berbentuk dinamik, sentiasa berubah ikut iklim sosio-politik.











Khamis, 15 November 2012

Dua Wajah Demokrasi

DEMOKRASI DARI 2 PERSPEKTIF: KAPITALISME & SOSIALISME

Demokrasi sebagai asas keadilan sosial untuk  memenuhi tuntutan hak individu dalam masyarakat ditafsirkan mengikut keperluan fahaman yang berbeza. Keadilan sosial dari maksud asal demokrasi adalah dari sudut peluang yang sama untuk semua individu menentukan kuasa pentadbiran. Asasnya, demokrasi itu dibina untuk mencapai matlamat politik, bagaimana manusia menyelesaikan masalah bersama secara jemaah.

Peranan setiap individu diakui oleh kumpulan atau jemaah, setiap pandangan individu dihargai menggambarkan peri penting dan bernilainya suara orangramai sebagaimana democracy can be most simply understood as a procedure for taking decisions in any group, association or society, whereby all members have an equal right to have a say and to make their opinions count.

Justeru itu, dalam merealitikan kepentingan setiap individu yang membina atau membentuk satu entiti, kesatuan atau lebih luas sebuah wilayah atau negeri, persamaan hak dan mengambil kira segala pandangan dan suara anggota atau rakyat, menggambarkan betapa bernilainya suara atau pandangan setiap individu. Prinsip " one person, one vote, one value", menggambarkan perluasan konsep semua orang memiliki peluang yang sama.

Asas demikian ditafsirkan di Barat, sebagai rakyat diberi hak yang sama rata menentukan kerajaan atau rakyat membentuk sendiri pihak berkuasa untuk mentadbir kawasan yang mereka diami. Hal ini disempurnakan melalui pembentukan pemerintahan menerusi proses pilihan raya. Konsep setiap individu mempunyai persamaan suara, diterjemahkan sebagai kebebasan menubuhkan persatuan, kebebasan berhimpun dan kebebasan memilih.

Kebebasan tersebut diimplementasikan menerusi pilihan raya mengikut acuan berbagai. British mempopularkan pembentukan dewan legislatif perwakilan melalui dua dewan, Dewan Rendah dianggotai perwakilan mengikut kawasan pilihan raya (constituency) dan Dewan Ketuanan, dianggotai oleh perwakilan yang dilantik. Model British, diamalkan di beberapa negara bekas tanah jajahan British, termasuk Malaysia. Sistem legislatif Amerika Syarikat, keanggotaan semua badan legislatif, adalah dipilih secara langsung, juga mengikut kawasan pilihan raya. Sistem yang lebih popular, diamalkan berasaskan perwakilan proportional, di mana agihan kerusi dewan legislatif yang dikendalikan menerusi proses pilihan raya, berasaskan kepada nisbah undi keseluruhan. Contohnya, parti A, menguasai 35 peratus undi, maka parti tersebut diperuntukkan 35 peratus kerusi dewan legislatif.

Apa sistem yang diamalkan, pilihan raya adalah elemennya. Namun demikian, ada perbedaan yang jelas antara keanggotaan atau perwakilan badan legislatif antara perwakilan berdasarkan kawasan pilihan raya (constituency representatives) dengan perwakilan berasaskan nisbah undi parti (proportional representatives). Constituency representatives lebih popular dalam amalan sistem 2 parti atau 2 parti dominan, sementara proportional representatives pula lebih popular dalam sistem berbilang parti.

Di Britain, rakyat didedahkan sama ada nak pilih Parti Labour atau Conservative, di Malaysia, sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, di Amerika Syarikat, antara Republican dengan Democrat. Kalau ada parti dominan ketiga, cuma sekadar pengimbal, parti-parti lain sekadar memeriahkan demokrasi sahaja.

Di negara-negara yang amalkan proportional representative, demokrasi berbilang parti, yang meletakkan parti yang dominan pun banyak bergantung sokongan parti lain untuk bentuk kerajaan. Di setengah negara, menjurus kepada pembentukan unity government atau kerajaan perpaduan, di mana ahli-ahli parlimen yang menang bergabung bentuk kerajaan, tidak semestinya parti kerusi terbanyak akan dilantik sebagai ketua kerajaan. Parti Demokrat pimpinan Susilo Bambang, bukanlah parti utama di Dewan Pemesyuaratan. Parti Golkar, Parti Kebangkitan Bangsa, Parti Amanat Nasional, Parti Demokrasi Indonesia (pimpinan Megawati) lebih ke depan dari segi peratusan undi.

Di setengah negara pula, menjurus kepada pembentukan kelompok-kelompok gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan dan pembangkang. Kes ini berlaku di India, dalam pembentukan kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri.

Demokrasi yang dilengkapi dengan pilihan raya, menghidupkan budaya kapitalisme serta memperkukuhkan kedudukan kaum pemodal. Sungguhpun demokrasi bererti kebebasan untuk rakyat menentukan kerajaan, tetapi pihak berjaya mendapat penguasaan akan menggunakan kesempatan untuk mengukuhkan kedudukan menerusi akta yang berkepentingan memberi keuntungan kepada kaum pemodal.

Pihak yang banyak ruang dan akses kepada pengundi menerusi kegiatan kempen dalam berbagai cara, memberi kemudahan yang lebih banyak kepada mereka yang ada modal dan bila berkuasa memperkukuhkan peluang-peluang menambah harta menerusi pembikinan perundangan serta kemudahan memperolehi tender.

Hubungan lebih erat antara pemimpin dengan pengikut dalam sistem perwakilan berkawasan, kerana pemimpin perlu peka, sensitif dan sentiasa menjaga kebajikan pengikut, di samping itu pemimpin perlu sumber yang banyak untuk menjaga hati pengikut. Secara tidak langsung, usaha untuk memperkukuh sumber kewangan dan kekayaan pemimpin perlu untuk survival, dalam mengekalkan hubungan berpanjangan pemimpin-pengikut.

Melebarnya kapitalisme, kerana rakyat yang diberi hak atas nama kebebasan bersuara sebenarnya terikat dengan ganjaran dan balasan berbentuk material. Justeru itu, benarlah kata orang, demokrasi memperkukuhkan kapitalisme. Demokrasi menyekat manusia kebebasan kerana demi kehidupan, manusia memerlukan ganjaran demi kehidupan, walaupun diberi kebebasan suara, tapi mereka tiada pilihan.

Pendokong sosialisme, yang dulunya dikenali sebagai blok Timur, mentafsirkan kesamarataan bukan sekadar kesamarataan dan hak yang sama setiap insan. Bila hubungan antara pemimpin dengan pengikut diikat dengan jaminan kemudahan dan balasan kebendaan, melanggarkan hak kebebasan manusia. Justeru itu, demokrasi pada kacamata sosialisme, hanya akan wujud apabila pembahagian harta kekayaan yang adil dan sama rata di kalangan rakyat, tanpa mengira kedudukan.

Bila terungkainya ikatan antara manusia berasaskan kebendaan, maka barulah demokrasi yang berasaskan kebebasan bersuara, bolehkan direalisasikan. Pembentukan sebuah negara bangsa dengan ketidaksamataan harta kekayaan, adalah sebuah kesamarataan palsu, cuma dalam imaginasi sahaja.

Pada hakikinya, pada rohnya, demokrasi yang asasnya kebebasan dan peluang yang sama setiap individu hanya pada nama saja, cuma satu alat untuk mengesahkan pihak berkuasa untuk mengekalkan kuasa. Dengan pengekalan kuasa itu, memberikan kemudahan dan ruang untuk mengaut kekayaan khazanah negara.  Telahan pendokong sosialisme ini ada kebenarannya, bila kita padankan dengan realiti demokrasi di negara kita, membuka jalan dan ruang bagi pihak tertentu memperkayakan diri dan kroni. Seolah-olah demokrasi sengaja dijunjung dan dipertahankan, kerana ianya alat untuk menyekat pihak lain (musuh politik) menguasai bidang pengangerahan kekayaan negara menerusi pemberian tender.

Lantaran itu, baik negara sebelah Barat atau Timur, semuanya mengaku melaksanakan dan mengamalkan demokrasi. Negara yang amalkan sistem satu parti, bersungguh-sungguh mengaku mempertahankan demokrasi untuk menjamin keadilkan, kesamarataan dan kebebasan suara. Bagi mereka, bila rakyat keluar membuang undi, maka tertunailah tanggungjawab rakyat dalam negara demokratik.

Negara-negara komunis membubuhkan perkataan 'demokratik", sebagai melambangkan sifat murninya demokrasi dalam tadbir urus negara. Korea Utara dikenali sebagai Republik Demokratik Rakyat Korea, Republik Demokratik Rakyat Congo.

Namun apa istilah, tafsiran dan konotasinya, umumnya secara global, demokrasi bukan sahaja menjadi idaman untuk kesejahteraan manusia, tetapi juga alat untuk mempertahankan kuasa dan harta peribadi dan kroni. Bagi yang gila kuasa, bermati-matian mempertahankan idealisme demokrasi, kerana demokrasi mengabsahkannya meneruskan kerakusan membolot kekayaan dan menafikan hak orang lain.

Sama ada bagi pemuja kapitalisme atau pendokong sosialisme, hak rakyat harus diberi kepada rakyat, usah takut dan bimbang, bila hilang kuasa, tiada esok untuknya. Yakinlah kepada firmanNya yang bermaksud: " Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa) dan Allah pula membalas tipu daya mereka, dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya" Al Imran 54 (3:54).

Sebuah catatan sempena 1 Muharam 1434





Isnin, 12 November 2012

Nilai Politik Di Sebalik Dikir Barat

NILAI POLITIK  DI SEBALIK DIKIR BARAT DIBIARKAN TERPINGGIR

Kesenian persembahan tradisional dalam masyarakat Melayu  bukan sekadar memain peranan untuk menghuburkan khalayak penonton dan penggemar, tetapi memilik mesej tersendiri untuk mendidik dan menyampaikan maklumat.  Seni persembahan Dikir Barat yang popular dalam masyarakat Kelantan, tapi kini tidak terhad di daerah asalnya, sudah melepasi sempadan keaderahan. Ianya satu medan yang mendekati sebagai media penyampaian maklumat untuk khalayak penontonnya.

Peranannya lebih berkesan berbanding seni persembahan tradisional yang lain seperti Wayang Kulit, Mak Yong, Dabus, Dondang Sayang, Rodat, Boria, Kuda Kepang, Menora, Selampit.

Persembahan Dikir Barat yang terdiri dari 2 segmen; nyanyian dan mengarut. Segmen mengarut, sungguhpun karut sifatnya tetapi membuka ruang menyoal, menyindir, membidas dan memberi penjelasan. Ciri-ciri ini terangkum mirip sebuah persembahan debat atau perbahasan. Persembahan Dikir Barat ini, asasnya bukan sekadar hiburan berbentuk nyanyian, tetapi segmen kedua ini menggambarkan ciri-ciri pendidikan politik, kebebasan bersuara dan kepintaran berhujah.

Keberanian serta kematangan seorang tukang karut membidas dan membalas lontaran idea dari pihak lawan, menggambarkan perwatakan seorang yang berfikiran terbuka serta ketangkasan berhujah. Justeru itu, seni persembahan yang asasnya dibangunkan dalam masyarakat tradisional Kelantan ini, mengiringi sifat asas politik penduduknya.

Amatlah tepat gelaran yang diberikan "Kelantan tok guru politik", kerana kandungan persembahan Dikir Barat itu, mengcirikan unsur-unsur mendidik manusia menjadi seorang ahli politik yang boleh berhujah dan berdebat. Berbanding dengan persembahan tradisional yang lain, yang lebih berbentuk monolog dan retorik, seperti Wayang Kulit atau pun Selampit, Rodat dan Menora.

Dalam tahun 1960an dan awal 1970an, setiap tahun diadakan Debat Ekonomi di Universiti Malaya, serta majlis seumpama itu di IPTA masa itu yang lain: UKM, USM dan Maktab Teknik (sekarang UTM). Majlis berkenaan membolehkan mahasiswa dan khalayak umum dapat berkongsi maklumat dengan berbagai golongan dari luar kampus, khususnya tokoh-tokoh politik tanah air, sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang. Semuanya ini, di era sebelum pelaksanaan Akta Univeristi dan Kolej Universiti, 1975.

Warisan medan ujian kepintaran di pentas terbuka dengan khalayaknya di desa menonjolkan tokoh-tokoh tukang karut Seman Wau Bulan yang seringkali digandingkan dengan Hussien Gelang Emas, dipertingkatkan ke kota dan meluas ke kampus universiti, menerusi debat dan forum yang telah memunculkan tokoh-tokoh seperti Dr Mahathir Mohamad, Musa Hitam, Dr Tan Chee Khoon, Lim Kit Siang, Fan Yew Teng, Dr Sanusi Osman, dll.

Seman dan Hussien cuma bertegang leher di pentas. Turun pentas tumpang kereta sama, balik ke rumah masing-masing. Boleh singgah minum, bergilir membayar. Malam berikutnya, naik pentas semula. Penonton yang rata-ratanya tiada kemudahan akses maklumat semasa, boleh sedikit sebanyak berkongsi pengetahuan. 

Hari ini, tukang karut dalam Dikir Barat dibataskan dengan beberapa larangan, menyaksikan ianya sebuah pentas dengan mesej retorik dengan fokus sebagai hiburan semata. Medan tokoh politik berdebat dan berhujah di pentas terbuka tertutup. 

Langkah diambil oleh kerajaan Pas Kelantan menerusi Urusetia Penerangan Negeri menganjurkan beberapa wacana mempertemukan beberapa insan penting dalam politik dan akademik tanah air, sejak setahun dua ini, sepatutnya diambil langkah yang sama oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain, khususnya negeri-negeri yang diperintah oleh BN tanpa bertukar tangan sejak merdeka.

Tahniah kepada Penerbitan Karangkraf yang berani mengambil tanggungjawab sosial ini, menganjurkan beberapa wacana dengan gandingan panel dari berbagai parti dan perbadanan, seharusnya diambil tindakan sama oleh media mainstream seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Langkah berani dan proaktif ini yang diambil oleh sebuah NGO, ASLI yang mempertemukan Chua Soi Lek dan Lim Guam Eng dalam satu perdebatan.

Harapan akhirnya, media mainsteam harus ambil langkah menganjurkan satu perdebatan antara Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan dengan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Perdebatan antara DS Najib dengan DS Anwar Ibrahim harus ambil semangat Seman Wau Bulan dan Hussien Gelang Emas, 50 tahun dulu, sekadar berdebat di pentas. Lain kali bertemu pula dalam siri yang sama. Tak ada penonton yang jemu.

Sementara di zaman ini, kena malu kepada Obama dan Romney, mereka berdebat di media letronik, membolehkan kita ikut sama menonton. Era globalisasi kini, orang tak main dah, cakap monolog, bercakap dengan audiens pasif, retorik gaya bebas dipentas. Hari ini, perlu kepada manusia yang jujur, berani dan berterus-terang. Menungu masa untuk dibidas, serta bersedia dan bertanggungjawab pertahan hujah. Bukan lontar batu sembunyi tangan.

Asas segmen tukang karut dalam Dikir Barat puluhan tahun itu, harus dijadikan tindakan susulan mematangkan tahap kita berpolitik secara terbuka serta mempertahankan prinsip sebagai manusia tulen, bukan politikus pondan, hanya pandai bercakap bentang bajet dan ucapan dasar, kemudian tinggal majlis, takut untuk menjawab bidasan, kritikan dan teguran.

Jumaat, 9 November 2012

Pilihanraya Presiden AS

DI SEBALIK  PILIHAN RAYA PRESIDEN AS

Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat yang berlangsung pada Selasa, 7/11/2012, memberikan pengertian tersendiri dalam amalan demokrasi kepilihanrayaan. Semangat pendemokrasian akses kepada khalayak pengundi menjadikan amalan serta tataurus  pilihan raya berkenaan memberikan peluang yang sama rata kepada semua aktor: pengundi, calon, jentera parti, akses maklumat, prasarana media. 

Barack Obama, dari Parti Democrat dipilih semula setelah memenangi 332 dari jumlah 538 undi perwakilan (electoral college), menumpaskan calon Parti Republican, Mitt Romney, yang memperolehi 206 undi perwakilan. Dari segi undi terus dari semua pemilih, Obama perolehi 59,298,913 undi atau 51.0 peratus dari jumlah undi, sementara Romney dapat 56,801,964 undi atau 48.0 peratus. 

Dalam sistem penentu kemenangan adalah berdasarkan kepada perolehan undi electoral college, di mana negeri-negeri diperuntukkan jumlah electoral college mengikut nisbah jumlah pemilih dalam negeri berkenaan. 

Sekiranya seseorang calon mengumpul undi terbanyak bagi negeri berkenaan, maka semua undi perwakilan itu akan diperolehi oleh calon berkenaan. Jumlah undi perwakilan seluruh negara ialah 538. Undi electoral college bagi New York ialah 29, calon yang undi terbanyak di New York, akan memungut semua 29 undi electoral college berkenaan. Electoral college paling tinggi ialah di negeri California, iaitu 55, dimenangi oleh Democrat. Ada beberapa negeri, undi electoral college yang rendah iaitu 3, saperti Washington DC, serta negeri kurang penduduk: Dakota Utara, Dakota Selatan, Wyoming dan Alaska.

Sistem undi dalam amalan pilihan raya Preaiden AS ini, memperlihatkan ketidak seimbangan antara undi popular dengan undi electoral college yang mengira penentu kemenangan, Obama dapat 61.1 peratus undi electoral college, tetapi cuma 51.0 peratus undi popular. Justeru itu, perolehan undi perwakilan yang tinggi , tidak semestinya menggambarkan mewakili golongan terbanyak khalayak pengundi.

Apa pun, rakyat AS telah selesai menunaikan tanggungjawab sebagai warga negara memilih pemimpin mereka sendiri. Harapannya, warga AS yang keluar mengundi pada 7/11/2012 adalah warga negara sebenar AS mengikut Perlembagaan negara berkenaan, bukannya pemastautin sementara yang diberi kad pengenalan untuk membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pilihan raya untuk menentukan kepimpinan negara. Amat tidak adil, jika golongan sedemikian diberi peluang menentukan kepimpinan negara, sedangkan mereka cuma mengambil peluang mencari rezeki dan akan pulang ke negara asal mereka, bila sampai masanya. 

Di sebalik pilihan raya yang sudah selesai 3 hari lepas, menampilkan 4 unsur menarik untuk diterjemahkan dengan demokrasi kepilihanrayaan amalan negara kita.

Pertama: rakyat AS yang keluar mengundi pada 7/11/12 lepas, sudah pun ketahui mereka akan keluar mengundi untuk memilih Presiden baru, pada 1/11/2016, iaitu Selasa pertama dalam bulan November, empat tahun akan datang. Mengikut Perlembagaan AS, seseorang Presiden, boleh memegang jawatan tidak melebihi 2 penggal (8 tahun). Tempoh jawatan Obama sebagai Presiden akan tamat pada tahun 2016. Tarikh pilihan raya, tidak menjadi sesuatu yang dipolimekkan dan menjadi teka-teki. Tarikh pilihan raya tidak menjadi hak isitmewa pemegang kuasa, untuk menentukannya. 

Kedua: media AS umumnya menyediakan masa liputan yang sama kepada penyandang dan pencabar (kerajaan dan pembangkang) dan masing-masing mendapat akses yang pengiklanan politik berbayar. Khalayak pengundi mendapat berita yang seimbang dan adil dari kedua-dua pihak; kerajaan dan pembangkang, supaya pengundi akan membuat keputusan yang matang, adil dan bermatlumat.

Mengikut Paul W. Jones, Duta Besar AS ke Malaysia (Berita Harian 6/11/12, halaman 26), salah satu peranan media yang lebih menarik adalah sebagai pemeriksa fakta - entiti media biasanya menyelidik dan melaporkan mengenai kebenaran kenyataan yang dibuat oleh calon dalam ucapan kempen mereka.

Ketiga: hasil dari beberapa siri public opinion polls menjelang hari pembuangan undi, didapati cuma 56 peratus pengundi yang membuat keputusan mengundi parti tertentu dan secara konsisten menyokong parti pilihan. Pola ini hampir menyamai kecenderungan khalayak pengundi di negara kita, yang merumuskan sekitar 40 peratus pengundi, tidak memihak kepada mana-mana parti dan akan buat keputusan di saat akhir.

Keempat: calon yang bertanding selaku bakal peneraju negara, mengadakan debat dan disiarkan secara langsung, secara bersiri. Kita di Malaysia, dapat menonton sama kehebatan dan ketulenan asas demokrasi, yang mendedahkan keberanian calon bertanding mengeluarkan pendapat dan berdebat untuk diadili oleh khalayak pengundi.

Sudah sampai masanya, dalam usaha menuju negara maju, dalam kerangka globalisasi dan usaha ke arah kelas dunia, unsur-unsur demokrasi kepilihanrayaan serta falsafah di sebaliknya pilihan raya Presiden AS itu, diserap serta dipraktikkan dalam amalan demokrasi kita. Setelah kita berkerajaan sendiri melewati separuh abad serta peningkatan tahap tamadun dan pembangunan sosio-ekonomi, amatlah wajar menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), DS Najib Tun Razak berentap pertahan manifesto serta dasar kerajaannya dengan DS Anwar Ibrahim, mewakili pembangkang di pentas media elektronik, untuk memberi ruang yang secukupnya khalayak pengundi. 

Setakat ini, pemimpin di barisan kedua, tahap Liga Perdana, saja yang berani mempamerkan hujah: DS Dr Chua Loi Sek dan Lim Guam Eng. Khalayak pengundi sedang menunggu aktor di Liga Super: DS Najib versus DS Anwar, seperti Obama versus Romney tempoh hari. Kemeriahan demokrasi kepilihanrayaan AS, amat dinanti kerana ianya menguntungkan dalam kerangka menjana kecerdasan minda rakyat supaya setanding dan setaraf dengan masyarakat yang maju dan lebih lama mengenal dan mengamalkan idea demokrasi menerusi pilihan raya.