Ahad, 27 September 2015

Sekolah satu aliran

SISTEM PERSEKOLAHAN SATU ALIRAN KE ARAH PERPADUAN NASIONAL 

Kenyataan DS Mahadzir Khalid, Menteri Pendidikan sebagai reaksi dari beberapa pandangan tentang perlaksanaan sistem persekolahan satu aliran, bahawa kehendak kepada pelaksanaan sistem ini memerlukan keberanian politik. Sejauhmanakah kepentingan politik dapat mengatasi masa depan perpaduan rakyat yang berbilang bangsa, berbilang kepercayaan, berbilang adat resam. 

Pasca Peristiwa 13 Mei, fokus utama dasar kerajaan ialah perpaduan nasional. Berbagai dasar dan program merangkumi berbagai bidang disusun dan dilaksanakan dalam kerangka jangka pendek dan jangka panjang. Di samping itu, beberapa institusi diwujudkan dalam jentera pentadbiran pemerintah demi melaksanaan dasar.  Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Jabatan Perpaduan Negara, Rukunegara, adalah antara beberapa dasar dan institusi pelaksana. 

Dalam merealisasikan menjadikan pendidikan atau persekolahan sebagai faktor utama pembentukan perpaduan nasional, sekurang-kurangnya dua program besar gagal diimplementasikan dan mencapai sasarannya. Projek Sekolah Wawasan, yang merangka menghimpunan atau melokasikan sekolah-sekolah dalam satu kawasan atau kompleks, malah berkongsi premis, gagal di peringkat awal. 

Kelompok masyarakat tertentu enggan melayan rangka dasar Sekolah Wawasan, kerana perbezaaan prasarana dan kemajuan yang sangat ketara antara berbagai aliran sekolah. Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK(C)) lebih terkedepan berbanding Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil, dari berbagai sudut; fizikal, sumber manusia serta gerakerja akademik dan non-akademik. Prasangka dan perasaan curiga di kalangan berbagai kaum adalah sumbangan terbesar kegagalan perpaduan nasional di negara kita.

Antara program pendidikan yang menelan kos terbesar ialah PPSMI (pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris). Program Kementerian Pendidikan bermula 2003, terencat selepas lima tahun berjalan, di masa para guru baru menemui pengalaman dan kemahiran. PPSMI sebagai satu perancangan masa panjang bukan sekadar usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, dan demi melahirkan perwakilan Malaysia di forum antarabangsa terutamanya dalam bidang sains, komersial di samping bidang strategik yang setanding dengan negara-negara yang lebih terkedepan maju. 

PPSMI secara tersiratnya mempunyai bermatlamat mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat berbagai kaum. Rasionalnya, dalam jangka panjang mengembalikan sistem pendidikan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, di samping mata pelajaran teras di sekolah, Bahasa Melayu cuma digunakan di kelas aliran sastera atau subjek yang tidak competitive, kurang daya saing. Mungkin pihak yang memiliki taksub mendalam kepada bahasa ibunda merasakan satu usaha mengkhianati pendaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa perundangan. 

Keganjilannya, pelaksanaan PPSMI di SRJK(Cina) dengan versi berbeza dengan sekolah kebangsaan, dengan tambahan, pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran berkenaan juga diajar dalam bahasa ibunda, Mandarin. Ketidak wajaran ini, seolah-olah pelajar-pelajar Cina perlu diajar dalam bahasa ibunda di samping Bahasa Inggeris kerana kelemahan mereka berbanding bangsa atau suku kaum lain. Kegagalan Sekolah Wawasan dan pelaksaan PPSMI, menampakkan jatidiri masyarakat Cina yang tidak boleh bertolak ansur dalam soal pendidikan, hingga dasar kerajaan digubal dan dilaksanakan demi keistimewaan khusus untuk kaum mereka. 

Apabila Singapura mencapai kemerdekaan menerusi Pemisahan Singapura dalam tahun 1965, kerajaan Singapura yang merdeka di bawah kepimpinan Lee Kuan Yew, menghapuskan ketiga-tiga aliran persekolah; Melayu, Cina dan Tamil. Satu sistem persekolahan dan pendidikan tunggal dengan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama. Namun, Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil dikekalkan sebagai bahasa kebangsaan Singapura. 

Sungguhpun tidak dapat dinafikan kejayaan Singapura dalam bidang komersial, perindustrian, sumber manusia, perbandaran dan berbagai bidang perkhidmatan, jauh meninggalkan negara kita, yang patut diberi perhatian ialah dari sudut perpaduan rakyat atau national solidarity. Nilai-nilai estatika, kerukunan hidup, konsep kejiranan, kepedulian kepada pencemaran alam sekitar di Singapura jauh mendepani amalan kehidupan di negara kita. Kajian beberapa pihak merumuskan kejayaan perpaduan nasional di Singapura kesan dari keberlangsungan sistem pendidikan. 

Sistem persekolahan satu aliran memberikan satu wadah persamaan hak, persamaan nilai dan persamaan tanggungjawab kepada semua rakyat tanpa mengira asal keturunan. Sebelum merdeka, parti-parti berasaskan kaum di Singapura, UMNO dan MCA cawangan Singapura, mendapat tempat politik Singapura bila berjaya memenangi beberapa kerusi dalam pilihan raya Dewan Perundangan. Lepas merdeka, UMNO ditukar nama kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS), gagal dalam setiap pilihan raya di awal kemerdekaan dan hilang dalam politik Singapura, bila politik berasaskan perkauman ditolak rakyat secara perlahan. 

Pengalaman Singapura berjaya mendisiplinkan rakyat, mematuhi undang-undang dan peraturan berbagai institusi: kawasan perumahan, kebersihan awam, pemuliharaan alam, premis awam dan persendirian, dengan menjadikan asasnya ialah dalam sistem pendidikan. Justeru sistem pendidikannya dibina dengan asas tanpa pengenalan kaum, memudahkan nilai-nilai diajar, dibina, dilatih, diamal tanpa batasan kaum, apabila semua instutusi pendidikan menggunakan sukatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang seragam dan lateral. 

Berdasarkan kepada perubahan pemikiran politik di negara kita yang mula dapat dikesan dalam PRU12, di mana pengundi generasi baru yang semakin meningkat usia dan populasinya, sudah mula menolak politik perkauman. Sebelum ini, majoriti pengundi memiliki gelagat mengundi berasaskan kepentingan dan isu perkauman, membolehkan parti-parti berasaskan perkauman seperti UMNO, MCA, MIC, Gerakan (secara langsung mewakili bukan Melayu, kepentingan Cina khususnya), mendapat tempat. Parti-parti ini menang mudah atas nama BN, bila bertanding di kawasan majoriti kaum masing-masing. 

Bermula 2008, tumpuan pengundi beralih kepada politik matang berasaskan keperluan realiti sejagat. Keperluan kepada tatakelola, intergriti, good governance, persamaan hak, keadilan sosial dan seumpamanya mengatasi kepentingan kaum atau puak. Alihan kepada politik matang dari politik rasis, semakin ketara dalam PRU13, bila undi popular parti pemerintah, BN, cuma 47% sahaja dari jumlah undi sah. 

Usaha pemerintah untuk mengembalikan semangat yang kendur, bila politik rasis mula ditolak secara berperingkat, satu himpunan, Himpunan Rakyat Besatu, lebih dikenali himpunan baju merah diatur pada 16/09/2015, iaitu saat sambutan Hari Malaysia. Peserta dikerah dan diangkut, berdasarkan deretan bas dan kenderaan milik jabatan kerajaan, peserta dibayar tambang dan diberi makanan, tidak kurang ramai juga diangkut dari penempatan FELDA. Perbelanjaan untuk menampung kos pastinya besar, sebagaimana telahan mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Himpunan umat Melayu tersebut, tidak lain adalah reaksi himpunan himpunan baju kuning, pada 29 dan 30/08/2015, yang asasnya menuntut satu pilihan raya adil dan bersih, di mana pesertanya datang bersendirian dengan perbelanjaan sendiri. Pengajur himpunan baju merah menuduh peserta himpunan baju kuning dibayar upah RM300 seorang dan sumbernya dari Yahudi. Cuba bayangkan berapa jumlahnya 300 didharab dengan puluhan ribu peserta. Sebaliknya yang riuh minta tambang dan minta nasi bungkus ialah himpunan baju merah sebagaimana dalam viral media sosial. Serupa cerita, pencuri pura-pura mengejar pencuri. 

Usaha terbaik demi masa depan negara kita menerusi pendidikan perlu diteruskan dalam meniti ranjau perkauman, demi pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu, di mana asasnya ialah perpaduan nasional. Himpunan atau forum bersifat rasis perlu diketepikan, jika semua pihak ikhlas untuk meralisasikan perpaduan demi meruntuhkan tembok rasis yang menghambat pembinaan jatidiri bangsa.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan