Khamis, 27 April 2017

PRU14 September 2017

PILIHAN RAYA UMUM KE 14, BULAN SEPTEMBER 2017?

Ada rasionalnya jika diramalkan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) diadakan dalam bulan September 2017. Ianya dalam tempoh antara selepas 3 tahun, mesyuarat pertama Dewan Rakyat semasa dengan cukup 5 tahun selepas mesyuarat pertama tersebut. Tempoh tiga tahun diambil kira dari syarat seseorang ahli badan perundangan di Malaysia perlu berkhidmat selama 36 bulan untuk melayakkannya menerima bayaran saraan seumur hidup. 

Perlembagaan Persekutuan menyebut dalam Perkara 55 (3), Dewan Rakyat hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu ia adalah terbubar. Perkara 55 (4) menyebut apabila Dewan Rakyat bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia dibubar. Mesyuarat pertama Dewan Rakyat semasa ialah 25 Jun 2013. Ertinya, Dewan Rakyat sekarang akan terbubar pada 24 Jun 2018.

Atas kiraaan tersebut, PRU14 boleh diadakan selepas 25 Jun 2016 dan sebelum 25 Jun 2018. Perlembagaan tidak menyebut tempoh minima sesebuah badan perundangan: Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, boleh dibubarkan. 

Persempadanan kawasan pilihan raya di negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah dipamerkan untuk bantahan pada 15 September hingga 14 Oktober 2016. Prosiding bantahan berjalan sepanjang bulan Disember 2016. Pada 8 Mac hingga 7 April 2017, SPR mempamerkan pameran kedua syor persempadanan untuk semakan dan bantahan kedua. Sekarang prosiding sedang berjalan, kecuali Sabah dan Selangor. Bagi negeri Sabah, ianya tidak dipamerkan untuk kali kedua, kerana telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sabah. Sementara Selangor, kerajaan negeri membawa syor persempadanan ke mahkamah, lantaran perubahan besar belaku dalam lokaliti serta daerah mengundi menjadi syak kehilangan pengundi dalam lokaliti asal. 

Selesai prosiding kali kedua, syor persempadanan semula akan dibawa ke Dewan Rakyat yang memerlukan undi simple majority sahaja. Sidang Dewan Rakyat terdekat ialah 24 Julai hingga 10 Ogos, dan sidang Dewan Negara ialah 14 hingga 22 Ogos. Setelah selesai urusan di kedua-dua badan perundangan ini serta mendapat perkenan Diraja, kiranya PRU14 diadakan selepas tempoh tersebut, persempadanan baru bagi kawasan pilihan raya di negeri-negeri Tanah Melayu, kecuali Selangor, boleh digunapakai. 

Mungkinkah tanpa penyelesaian di Selangor, tidak mengganggu pewartaan penggunaan persempadanan baru. Semuanya bisa diatur di bawah pemerintahan hari ini, di mana tempoh mesyuarat agung parti boleh ditangguh dan dilanjutkan tempoh demi persiapan parti menghadapi pilihan raya, walaupun tarikh pilihan raya dirancangkan oleh parti yang menguasai kerajaan. Sungguhpun nampak luar biasa dan ganjil, tanpa menunggu keputusan mahkamah di Selangor, SPR boleh menggunakan persempadanan baru atas arahan parti penguasa untuk PRU14. 

Satu pandangan melihat faktor peristiwa nasional yang boleh membantu menaikkan imej parti pemerintah. Sukan SEA, edisi ke 29, akan diadakan pada 19 hingga 30 Ogos nanti, di mana Malaysia adalah tuan rumah. Dalam sejarah Sukan SEA, Malaysia telah menjadi tuan rumah sebanyak 4 kali tuan rumah, dengan kejayaan cemerlang dalam Sukan SEA 2001. Buat pertama kali Malaysia mengatasi 9 negara lain dalam temasya di Kuala Lumpur itu. Seandainya Malaysia berjaya mengulangi kejayaan Sukan SEA 2001, bukan sahaja memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan, malah memberikan imej baik pemerintah, di mata anak-anak muda. Sorakan patriotik meraikan setiap kejayaan peserta negara, boleh menjadi satu faktor memihak sokongan kepada parti pemerintah. Justeru "Malaysia Boleh" zaman Pengerusi PPBM (Bersatu) yang sekarang dalam blok bukan kerajaan, memungkinkan pemerintah terpaksa mencari cogankata baru. 

Menjelang PRU 1974, suasana pasca 13 Mei, Barisan Nasional mendapat keberuntungan  hasil lawatan Tun Razak ke China, gambar Tun Razak berjabat tangan dengan Pengerusi Mao terpampang seluruh negara khususnya kawasan bandar. Paparan ini telah berjaya menarik pengundi Cina menyokong BN. Malaysia telah menjadi tuan rumah Persidangan Solidariti Negara-negara Islam Sedunia, telah meletakkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati, di kalangan pengundi Melayu. BN menang cemerlang dalam PRU 1974, dengan menyapu bersih semua kawasan Parlimen majoriti Melayu dan Bumiputera Islam, sementara di kawasan bandar, majoriti kerusi dibolot BN.

Di atas faktor persempadanan kawasan pilihan raya yang dibuktikan oleh sejarah sebuah perencanaan BN serta kemeriahan kejayaan Sukan SEA, PRU14 perlu diadakan segera selesai pewartaan persempadan tersebut. Kedua-dua faktor semasa ini lebih memihak kepada BN, yang boleh menyaingi faktor yang sedia ada yang merisaukan; 1MDB, hutang negara, tekanan hidup, keberosoan dan sebagainya. September 2017, adalah ruang yang secukupnya persiapan, sebelum bajet 2018 dibentangkan yang tidak perlu menjanjikan bulan dan bintang, di kala arahan pentadbiran sebarang mesyuarat kakitangan awam hanya cukup dengan nasi bungkus sahaja.



 

  

Isnin, 17 April 2017

RUU 355 tangguh lagi

RUU 355 DITANGGUH LAGI

Setelah sekian kali, usul persendirian RUU 355 yang dibawa ke sidang Dewan Rakyat berjaya menempuhi bacaan kali kedua dalam sidang terakhir 06/04/17, masih lagi tergantung. Awalnya diharapkan sidang Dewan Rakyat kali ini dapat memenuhi pendedahan serta perbahasan para anggota legislatif. Sidang hari terakhir yang sepatutnya berkahir jam 5.30 petang, ditangguhkan lebih awal, jam 4.00 petang. 

Ada dua perkara menarik perhatian dari pembentangan usul RUU 355 tersebut; 1. perbahasan YB Kota Bharu, 2. penangguhan sidang. 

Perbahasan menyokong usul oleh YB Kota Bharu cukup menarik, jelas dan memudahkan pemahaman serta rasionaliti pembentangan usul dengan latar belakang sejarah pelaksanaan hukum syariah dan akta berkaitan.  Kesimpulannya rang undang-undang berkenaan yang mula dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada 03/03/1965, dipinda dalam tahun 1984 dan 1989, bertujuan beberapa penambahbaikan dari segi denda, tempoh pemenjaraan dan sebatan. 

Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 meletakkan kesalahan pelanggarannya iaitu denda tidak lebih RM1000.00 atau/dan penjara tidak lebih 6 bulan. Rang yang dicadangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Abdul Rahman Yaacob telah dibahas oleh 6 orang Ahli Parlimen Islam. Anggota pembangkang, Mohd Asri Haji Muda (Pas-Pasir Puteh) menyokong rang ini sebagai langkah awal mengaturkan kedudukan mahkamah syariah dalam sistem perundangan. Di samping itu, 5 penyokong kerajaan Perikatan dari UMNO dalam bahasan mereka menyokong rang ini, mereka ialah; Fatimah Abdul Majid (Johor bahru Timur), Mohamad Yusof Mahmud (Temerloh), Wan Abdul Kadir Ismail (Kuala Terengganu Utara), Nik Ahmad Kamil Nik Mahmood (Kota Bharu Hilir) dan Othman Abdullah (Hilir Perak). 

Mohd Asri adalah Menteri Besar Kelantan pada masa itu, mengambil tempat mengetuai Anggota Parlimen Pas setelah kematian Zulkifli Mohamed, Timbalan Yang Dipertua Pas dan Ahli Parlimen Bachok. Wan Abdul Kadir dan Othman Abdullah, adalah Ahli Parlimen UMNO berpendidikan agama, Othman adalah Setiausaha Agung Pas semasa menjadi Ahli Parlimen Tanah Merah, kemudiannya melompat ke UMNO. Nik Ahmad Kamil adalah bekas Menteri Besar Kelantan, letak jawatan untuk bertanding dalam pilihan raya pertama, 1955, atas tiket Parti Negara, di kawasan Kelantan Selatan. Kemudiannya sertai UMNO. Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan ini, ahli-ahli politik yang sudah terukir nama dalam arena politik tanah air masa itu. 

Masa rang ini dibentangkan di Parlimen, Singapura masih berada dalam pentadbiran persekutuan Malaysia. Bila Malaysia ditubuhkan pada 16/09/1963, perwakilan dari Sabah, Sarawak dan Singapura diperuntukan kerusi: 16, 24 dan 15, di mana dewan perundangan masing-masing memilih perwakilan tersebut. Pilihan Raya Umum  1964, iaitu pertama selepas penubuhan Malaysia, hanya melibatkan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu sahaja, yang memilih 104 orang Ahli Dewan Rakyat, di samping anggota Dewan Undangan Negeri di 11 buah negeri. 

Dewan Undangan Negeri Singapura mengagihkan perwakilan ke Parlimen; 12 dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah dan 3 dari Barisan Sosialis, berasaskan peratusan penguasan kerusi dalam DUN hasil pilihan raya umumnya dalam tahun 1959. Perwakilan dari Sabah dan Sarawak menduduki kerusi penyokong kerajaan, di mana beberapa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak berada dalam kabinet Persekutuan. Semua perwakilan Singapura menduduki kerusi pembangkang. Anggota PAP dalam Parlimen bertambah satu, bila PAP menang satu kerusi dalam PRU 1964, menerusi C.V. Devan Nair di Bangsar. 

Di samping PAP, Barisan Sosialis Singapura dan Pas dengan 9 kerusi di blok pembangkang, ada 5 lagi tokoh pembangkang popular: Dr Tan Chee Khoon (Socialist Front-Batu), Lim Kean Seuw (Socialist Front-Datuk Keramat), D.R. Seenivasagam (PPP-Ipoh), S.P. Seenivasagam (PPP-Menglembu), Dr Lim Chong Eu (UDP-Tanjong). Chong Eu adalah Pengerusi Kebangsaan MCA (sekarang Presiden) yang letak jawatan bila tak puas hati pembahagian kerusi dalam Perikatan menjelang PRU 1959, menubuhkan United Democratic Party (UDP). Walaupun UDP diasaskan sebagai parti berbilang kaum, tetapi majoriti ahlinya bekas ahli MCA serta bekas ahli Parti Negara.

Dalam Parlimen Persekutuan Malaysia pertama nama-nama besar "outspoken" yang menghidupkan sidang berasaskan kepada liputan sidang Dewan Rakyat dari media cetak masa itu: Mohd Asri Haji Muda dan Abu Bakar Hamzah (Bachok) dari Pas, Chee Khoon dan Kean Seum dari SF, Seenivasagam bersaudara dari PPP dan Ong Kee Hui dan Stephent Yong (SUPP) dari Sarawak, serta Devan Nair (PAP) dari blok pembangkang. Di pihak kerajaan antara yang paling aktif ialah Dr Mahathir Mohamad (Kota Star Selatan) dan Ahmad Arshad (Muar Utara). Ruangan laporan Dewan Rakyat dalam akhbar utama memakan ruang yang banyak dan menjadi berita utama berbanding peranan media semasa. Sungguhpun akhbar dimiliki oleh mereka yang berkepentingan dari parti kerajaan, tetapi laporannya sama rata dan seimbang, tanpa membaca handsard, masyarakat awam dapat maklumat ahli yang aktif dan beri sumbangan serta peranan dalam membuat dasar negara. 

Tapi dalam perbahasan rang Mahkamah Syariah 1965, hanya 6 Ahli Dewan beragama Islam, dengan pembahasan utama ialah Ahli Pasir Puteh mewakili Pas. Tokoh-tokoh seperti Seenivasagam, Chee Khoon dan Kean Seuw yang aktif dalam rang lain, tidak mengambil bahagian urusan berkaitan dengan perundangan untuk orang Islam sahaja. 

Wakil Pasir Puteh dalam bahasannya cukup yakin rang yang diperkenalkan ini adalah sebagai langkah awal mengatur kedudukan mahkamah syariah. Rang ini memperuntukkan denda tidak melebihi RM1000.00 dan atau penjara tidak melebihi 6 bulan.

Dalam persidangan Dewan Rakyat pada 10,11 dan 12 Oktober 1984, satu rang undang-undang pindaan kepada Akta 355 telah dibahaskan setelah dibawa oleh Dr Yusoff Mohd Noor, Timbalan Menteri di JPM. Seramai 11 orang ahli mengambil bahagian dalam perbahasan. Semuanya ahli beragama Islam iaitu 9 dari UMNO, seorang wakil Pas dan seorang  dari Hamim. Asalnya 5 orang Ahli Dewan Rakyat dari Pas, setelah krisis kepimpinan 1982, 4 menubuhkan parti baru, Hamim. 

Wakil tunggal Pas di Dewan Rakyat, Nik Abdul Aziz Nik Mat (Pengkalan Chepa) merumuskan pindaan menaikkan denda kepada tidak melebihi RM3,000.00, penjara tidak melebihi 5 tahun serta dikenakan hukuman sebat tidak melebihi 6 rotan, yang bertujuan menaikkan taraf mahkamah syariah, sepatutnya boleh menyatukan dua jenis mahkamah yang sedang berjalan; sivil dan syariah supaya menjadi satu corak kehakiman sahaja iaitu syariatullah. 9 ahli mewakili UMNO yang mengambil bahagian berbahas ialah; Saroji Harun (Baling), Zaleha Ismail (Tanjong Karang), Wan Mohamad Najib Mohamad (Pasir Puteh), Saidin Mat Piah (Padang Rengas), Ismail Arshad (Jerai), Ibrahim Azmi Hassan (Kuala Nerus), Bahari Haron (Labis), Azharul Abidin Abdul Rahim (Batang Padang) dan Mohd Razlan Abdul Hamid (Matang) dan wakil Hamim, Hassan Haji Mohamad (Rantau Panjang). Kesemua menyokong pindaan Akta 355. 

Tiada ahli bukan Islam sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang mengambil bahagian berbahas. Dewan Rakyat ke 6 (1982-1986) membarisi tokoh-tokoh bukan Islam yang hebat sama ada pembangkang atau kerajaan. Sungguhpun pencapaian pembangkang agak lemah dalam PRU 1982, cuma mampu menghantar 9 wakil DAP, 5 Pas dan 8 calon Bebas dari Sabah dan Sarawak, tetapi ketokohan Dr Chen Man Hin (Seremban), Lim Kit Siang (Kota Melaka), Dr Tan Seng Giaw (Kepong), Karpal Singh (Jelutong), Lee Lam Thye (Kuala Lumpur Bandar) mampu menghidupkan kehangatan perbahasan. 

Wakil dari Sabah dan Sarawak sama ada beragama Islam atau bukan Islam, tidak mengambil bahagian, sekadar menyokong semasa undian Rang ini hanya terpakai untuk negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu saja. Tiada kepentingan untuk Sabah dan Sarawak. 

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (pindaan 1984) atau dikenali Akta 355, sekali lagi dipinda dalam tahun 1979. Pindaan 1979 adalah memperluaskan pemakaiannya ke Sabah dan Sarawak. Rang kepada pindaan 1989, dilulus dalam persidangan Dewan Rakyat pada 12/10/1980, dicadang oleh Timbalan Menteri di JPM, Radzi Sheikh Ahmad dan disokong oleh seorang lagi Timbalan Menteri, James Ongkili, Ahli  Parlimen Tuaran, yang bukan beragama Islam. 

Dalam ketiga-tiga rang yang dibentang sebagai bill kerajaan, tiada hadapi masalah, ahli bukan Islam tidak mengambil bahagian kerana ianya dilaksanakan untuk orang Islam saja. Sebaliknya, RUU 355 yang dibawa oleh Ahli Marang kali ini, melibatkan semua pihak, sama ada ahli beragama Islam atau bukan Islam dan kedua-dua blok; kerajaan dan pembangkang. 

Celahan ahli UMNO sama ada soalan atau pandangan memperlihatkan secara langsung gambaran sokongan penyokong kerajaan beragama Islam. Mereka hanya dari UMNO sahaja, sementara penyokong BN dari Parti Bumiputera Sarawak, tidak mengambil bahagian. Celahan Hassan Ariffin (Rompin), Bung Mokhtar (Kinabatangan), Ehsanudin Harun (Kota Tinggi), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Nor Azmi Ghazali (Bagan Serai), Che Zulkifly Jusoh (Setiu), Hasbullah Othman (Grik), Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong) dan Annuar Manap (Sekijang) berbentuk menambah pencerahan perbahasan Ahli Kota Bharu. 

Sebaliknya, wakil MCA, Koh Nai Kwong (Alor Gajah) membangkitkan Perkara 6 Perlembagaan yang menjamin semua rakyat adalah sama di sisi undang. Menghujah adalah tidak adil sesuatu undang-undang dijuruskan untuk satu golongan tertentu berasaskan perbezaan kepercayaan.  Seorang lagi wakil rakyat MCA, Khoo Soo Seang (Tebrau) membangkitkan Akta Mahkamah Syariah 1965, tidak ada elemen menjurus kepada hukum hudud. Jika RUU 355 diluluskan, akan membuka ruang pelaksaan hudud di Kelantan dan Terengganu berikutan sudah sedia enakmen syariah di negeri berkenaan. 

Celahan wakil Sepang, Hanipa Maidin, dari serpihan Pas, mempersoalkan mengapa kali ini rang ini tidak dibawa oleh kerajaan dan tanpa perkenan Majlis Raja-raja. Tiga rang terdahulu, 1965, 1984 dan 1980 tidak dibawa ke perkenan Raja-raja Melayu terlebih dulu. 

Sepatutnya ruang lebih panjang diberikan kepada anggota Dewan Rakyat untuk membahas serta menyatakan pendirian, dari wakil rakyat mewakili berbagai kelompok perbezaan etnik dan kepercayaan. Berdasarkan kepada ahli yang mengambil bahagian mencelah ucapan perbahasan Ahli Kota Bharu sebagai cerminan pendirian kelompok, sekadar suara UMNO dan MCA sahaja. Penangguhan mengejut sidang, tidak memberi wajah sebenar anggota mewakili komponen Barisan Nasional yang lain. 

Siapakah selain ahli perundangan dari Pas dan UMNO  yang akan menyokong rang ini. Atau apakah RUU 355 sekadar medan melakar catatan setakat mana kesungguhkan UMNO dalam urusan berkaiatan kepentingan orang Islam. Apakah pula RUU 355 harus ditangguhkan demi peri perlunya ianya harus diperhalusi dan difahami atau sengaja ditangguhkan demi kepentingan politik pemerintah khususnya kaitan dengan tarikh PRU14 sebagaimana UMNO menangguhkan atau melanjutkan tempoh penangguhan pemilihan kepimpinan parti semua peringkat.

Walaupun Speaker Dewan Rakyat mempunyai kuasa dan membuat keputusan mengikut peraturan, apapun alasan, beliau adalah ahli parti pemerintah dan dilantik oleh pemerintah. Berbeza seandainya beliau seorang yang berkecuali, tidak berparti serta tiada latar belakang aktif dalam mana-mana parti. Apa saja alasan, warna sebenar tidak mampu disembunyikan.