Selasa, 21 Jun 2016

Majoriti besar bukan gambaran sokongan besar

KEMENANGAN MAJORITI BESAR BN DALAM PRK KUALA KANGSAR DAN SUNGAI BESAR TIDAK MENGAMBARKAN SOKONGAN BESAR PEMILIH

Pilihan Raya Kecil bagi P67 Kuala Kangsar dan P93 Sungai Besar yang berlangsung semalam dengan majoriti besar BN ditafsirkan sebagai mengejutkan. Dianggap sebagai satu gambaran awal yang bakal dihadapi BN dalam PRU14 nanti.

Di Sungai Besar, BN menang dengan majoriti 9,191 undi berbanding 399 undi dalam Pilihan Raya Umum 2003 (PRU13). BN memungut 16,800 undi berbanding 18,695 undi atau kekurangan 1,895 undi atau 10.13%. Dalam PRU13, undi pembangkang menerusi calon Pas ialah 18,296 undi, tetapi dalam PRK, undi pembangkang; 14,511 undi ( undi Amanah 7,609 campur undi Pas 6,902). Gabungan undi pembangkang merosot sebanyak 3,985 undi atau 21.78%. Kejatuhan undi semua pihak yang bertanding sama ada BN atau Pas, kesan langsung kemerosotan peratusan keluar mengundi, dari 88.30%  kepada 74.29%. 

Kesan pertandingan tiga penjuru: BN-Pas-Amanah, memberikan majoriti besar, 9,191 undi. Hakikinya, undi BN dalam PRK cuma 53.65% dari jumlah undi sah, iaitu meningkat dari 50.53% semasa menang dengan 399 undi dalam PRU13.  

Di Kuala Kangsar, BN menang dengan majoriti 6,969 undi berbanding 1,082 undi dalam PRU13. Namun undi BN telah merosot sebanyak 1,565 undi atau 11.07% , dari 14,218 dalam PRU13 kepada 12,653 undi dalam PRK ini.  Pelebaran majoriti dicapai oleh calon BN ini, sebagaimana Sungai Besar, undi Pas yang berlawan satu lawan satu dalam PRU13, merosot dengan kesan kerana persaingan tiga penjuru yang memecahkan undi kepada pembangkang. Dalam PRU13, undi dipungut pembangkang menerusi Pas adalah 13,136 undi merosot kepada 10,567 undi (undi Pas campur undi Amanah) iaitu sebanyak 2,569 undi atau kemerosotan 19.55%. Kemerosotan undi sama ada BN atau pembangkang tidak dapat dielak kerana peratusan keluar mengundi berkurangan dari 84.30% (PRU13) kepada 71.36% sahaja. 

Majoriti 6,969 undi dicapai oleh BN di Kuala Kangsar lebih besar berbanding pencapaian 1,082 undi dalam PRU13, seperti Sungai Besar, kesan persaingan tiga penjuru yang memecahkan undi pembangkang. Realitinya bukanlah lonjakan populariti BN, kerana undi BN dalam PRK cuma 54.36% sahaja, sedikit bertambah dari 51.14% dalam PRU13.

Sungguhpun majoriti BN di Sungai Besar jauh lebih besar berbanding Kuala Kangsar, relatifnya tidaklah jauh bezanya. Majoriti 9,191 undi di Sungai Besar adalah 29.35%, berbanding majoriti BN di Kuala Kangsar 6,969 undi menyamai 29.94%. Perbezaan ini lantaran jumlah pemilih sertas jumlah keluar mengundi di Sungai Besar lebih tinggi berbanding Kuala Kangsar. Ini menjelaskan bahawa angka majoriti 9,191 dan 6,969 adalah mempunyai perbezaan yang amat kecil. Oleh itu, realitinya usahlah diperbesarkan serta digambarkan kehebatan prestasi calon BN dalam kedua-dua PRK berkenaan. 

Undi popular BN sebanyak lebih 9,000 dan 6,000 undi majoriti kemenangan, bukanlah menakjubkan sangat kerana ianya 53.65% dan 54.36% sahaja. Mana-mana parti pun meletakkan pencapaian antara 50 hingga 54.99% adalah kawasan kelabu, dalam menganalisis dan merancang strategi operasi pilihan raya. Sungguhpun kemenangan dengan majoriti sebesar itu di kedua-dua kerusi Parlimen tersebut dalam PRK tempoh hari, masih belum keluar dari garisan kawasan kelabu atau kawasan marginal 50:50. Majoriti besar yang tak boleh mendabik data, walaupun angkanya besar, realitinya masih di ambang belum selamat dan selesa. 

Majoriti besar hampir 30% dalam kedua-dua kerusi tersebut sepatutnya BN boleh memandu jentera pilihan raya untuk masa depan khususnya menghadapi PRU14, tetapi dengan undi popular dalam lingkungan "kawasan kelabu" terdedah kepada ancaman dan cabaran yang lebih besar. Ini kerana, majoriti besar di kala undi pembangkang berpecah dua dengan angka atau peratusan yang hampir. Di Kuala Kangsar, Pas memungut 24.42% undi popular, sementara Amanah 20.98%, dan di Sungai Besar, Pas dapat 22.04% dan Amanah 24.30%. Pencapaian agak seimbang antara kedua-dua parti pembangkang ini lebih mengancam kepada jentera BN.  Pas mengatasi Amanah di Kuala Kangsar, sebaliknya Pas ditinggalkan Amanah di Sungai Besar. 

BN akan lebih selesa andainya antara Pas dan Amanah, satu parti lebih dominan perolehan undi pembangkang atau meninggalkan jauh saingannya. Keadaan sama kuat antara Pas dan Amanah memberikan cabaran kepada BN mendapat sokongan besar. Sokongan besar sebenarnya sepatutnya dilihat dari sudut peratusan undi popular bukan majoriti besar. Seandainya salah satu parti pembangkang mendapat undi yang ditinggi, contohnya dalam PRK Sungai Besar, Amanah yang dapat 7,609 undi dan Pas 6,902 undi itu, diandaikan Amanah dapat undi lebih tinggi dengan Pas hilang deposit. bila undi Pas cuma 3,000 sahaja, membolehkan Amanah dapat undi lebih 10,000 dan majoriti BN cuma 6,000 undi, dengan undi popularnya tetap 53.65%. Apa akan jadi, bila pemilih menjangkakan walaupun masih berlaku saingan tiga penjuru dan tidak akan memberi undi kepada calon Pas yang dijangka tidak akan menang kerana berada di posisi nombor 3, sudah tentu saingan sengit akan berlaku di "kawasan kelabu" ini antara dua parti utama: BN dan Amanah. 

Majoriti besar dengan peratusan undi popular yang sekadar melepasi garisan 50 tidak bolehlah dibanggakan dan menjamin kedudukan penyandang dalam pilihan raya berikutnya.  Namun demikian, kerja utama saraf dan strategi BN seterusnya ialah berusaha mewujudkan keseimbangan kekuatan antara parti pembangkang yang berbeza ideolgi supaya tidak wujud satu parti pembangkang yang kuat pengaruhnya dan satu parti pembangkang yang lemah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan