Isnin, 28 Ogos 2017

Faktor FELDA 2

FAKTOR FELDA DALAM PILIHAN RAYA UMUM DI MALAYSIA

bahagian 2
Dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), parti pembangkang berjaya merampas 5 kerusi Parlimen yang melibatkan penempatan FELDA: Kuala Nerus (Pas), Dungun (Pas), Raub (DAP), Temerloh (Pas) dan Kulai (DAP). Di samping itu, PKR (menerusi calon Parti Sosialis Malaysia) berjaya pertahan Sungai Siput. 

Kawasan Parlimen Kuala Nerus, memiliki 1.4% pengundi dari jumlah 76,238 pengundi merupakan peneroka FELDA; FELDA Belara. Dari daerah mengundi ini, BN perolehi 671 undi atau 69.30%, sementara Pas dapat 297 undi atau 30.68% undi. Undi calon Parlimen BN, 671 undi hanya 2.02% dari jumlah undi beliau iaitu 33,251. Calon Pas yang memperolehi 33,861 undi menang dengan majoriti 601 undi atau 0.91%, di kawasan 98.41% pengundi adalah orang Melayu, memperlihatkan komponen kecil pengundi FELDA yang berjumlah 1.4%, tidak memberi apa-apa jaminan kekuatan pengaruh UMNO dan BN amnya. Dalam PRU12, BN menang dengan majoriti 1,341 undi atau 2.60%.

Berbeza dengan kerusi Parlimen Dungun dalam PRU13, ada persaingan merebut undi pengundi rancangan FELDA antara BN dan Pas. Kerusi Parlimen yang mempunyai 95.65% pengundinya dari masyarakat Melayu, memiliki 5 daerah mengundi dari rancangan FELDA: LKTP Jerangau dan Kertih 1 hingga 4. Di Kertih 1, undi Pas mengatasi BN: 1359; 1174. Pas beri saingan di LKTP Jerangau: 496; 844, dan di Kertih 3, 640; 1090. BN mengumpul 5,502 undi atau 60.02% undi sah dari 5 peti undi FELDA, sementara Pas perolehi 3,602 undi atau 39.29% undi. 

Kawasan Parlimen Dungun mempunyai 12% pengundi FELDA dari jumlah 78,174 pengundi, saingan diberikan Pas di kawasan FELDA, kawasan fixed deposit BN, memberi sumbangan kepada kekalahan BN. Sumbangan undi dari FELDA sebanyak 5,502 undi adalah 17.51% dari jumlah undi diperolehi BN; 31,406 undi. Sebaliknya, 3,602 undi dipungut Pas dari kawasan FELDA, memberikan 10.1% jumlah undi Pas; 35,348 undi, untuk membolehkan Pas menang dengan majoriti 3,942 undi atau 5.87%. Dalam PRU12, BN menang kerusi Parlimen ini dengan majoriti 4,994 undi atau 9.33%.

Kawasan Parlimen Raub mempunyai peratusan pengundi FELDA menyamai Parlimen Dungun. Terdapat 12.3% pengundi FELDA membentuk jumlah pengundi Parlimen Raub; 54,124 pengundi dalam PRU13. Raub adalah sebuah kawasan campuran dengan 48.93% Melayu. Parlimen Raub mengandungi 5 daerah mengundi FELDA: FELDA Tersang 1 - 3, FELDA Lembah Klau dan FELDA Krau. BN meletakkan calon MCA, sementara DAP meletakkan calon Melayu DAP. 

Pengundi di Tersang 3 dari kerusi negeri Batu Talam, ada persaingan antara calon pembangkang dan BN. Calon DAP memungut 406 undi untuk kerusi Parlimen, sementara calon Melayu PKR yang bertanding di kerusi negeri mendapat undi 377 undi. Sementara calon BN dari MCA dapat 775 undi, tetapi calon UMNO di kerusi negeri dapat 814 undi. Undi dari FELDA yang rata-ratanya Melayu, ada yang mengundi mengikut kuturunan calon. 

Keputusan undi dari FELDA Lembah Klau dari kerusi negeri Dong yang ditandingi Pas memperlihatkan pengundi FELDA lebih memihak kepada calon Pas berbanding calon DAP bila memilih antara calon pembangkang. Untuk undi Parlimen, calon DAP dapat 471 undi, tetapi calon Pas dapat 529 undi bagi kerusi negeri dari peti undi ini. Untuk calon BN, undian bagi kerusi Parlimen yang ditandingi calon MCA; 1267 undi berbanding undi kepada calon UMNO kerusi negeri; 1206 undi. Maknanya ada sekitar 60 orang peneroka, mengundi Pas untuk kerusi negeri dan BN untuk Parlimen, walaupun calon Parlimen dari bukan Melayu. 

Undian dari lima peti undi FELDA di Raub memberikan 4,420 undi atau 71.83% kepada BN dan 1,733 atau 28.16% undi kepada DAP. 4,420 undi dari FELDA ini memberikan 21.45% jumlah undi diperolehi calon BN; 20,601 undi. Sementara calon DAP hanya dapat memungut 7.40% undi untuk jumlah 23,415 undi, yang membolehkan DAP memenangi kerusi Raub dengan majoriti 2,814 undi atau 6.39%. Sementara dalam PRU12, calon MCA mengalahkan calon Cina DAP dengan majoriti 2,752 undi atau 8.24%. 

Parlimen Kulai, sebuah kawasan majoriti bukan Melayu dengan 66.88% pengundi bukan Melayu, terdiri dari 3 bahagian pilihan raya negeri: Bukit Permai (majoriti Melayu), Bukit Batu dan Senai (kedua-duanya majoriti bukan Melayu). terdapat 4 rancangan FELDA dalam Parlimen Kulai: Bukit Permai (3) dan Bukit Batu (1) yang menjumlahkan 8.0% keseluruhan pengundi. 

Bagi kerusi negeri Bukit Permai, dalam PRU13, BN yang meletakkan calon UMNO perolehi 38.89% undinya datang dari 3 peti undi FELDA: FELDA Bukit Permai, FELDA Inas dan FELDA Taib Andak, sementara Pas mewakili pembangkang hanya perolehi 9.27% dari keseluruhan undinya. Kerusi negeri Bukit Permai mempunyai 21.19% pengundi FELDA. Kerusi negeri Bukit Batu, memiliki 6.7% pengundi FELDA dan dimenangi calon Cina PKR. 

Di peti undi FELDA Taib Andak, undi untuk calon Pas lebih besar berbanding undi untuk calon DAP yang bertanding di kerusi Parlimen. Pas perolehi 495 undi berbanding 352 undi untuk DAP, bermakna seramai 143 pengundi FELDA Taib Andak mengundi Pas untuk kerusi negeri dan tidak mengundi DAP bagi kerusi Parlimen, walaupun kedua calon BN dan DAP adalah Cina dan kedua-dua calon bagi kerusi negeri Bukit Permai iaitu BN dan Pas adalah Melayu. Bahagian pilihan raya negeri Bukit Permai mengan dungi 21.1% pengundi dari 3 daerah mengundi FELDA. 

8% pengundi FELDA dari jumlah 83,991 pengundi Parlimen Kulai tidak dapat membantu BN dalam PRU13 dan terpaksa akur dengan kekalahan 13,450 undi atau majoriti 18.31%, gagal pertahan kerusi tradisi MCA. Majoriti yang diperolehi calon DAP adalah sekali ganda dari jumlah pengundi FELDA. 

Bagi kerusi Temerloh, sama seperti Raub dan Kulai yang tidak pernah menyaksikan calon BN tumpas dalam mana-mana pilihan raya. Justeru Parlimen Temerloh dengan komposisi pengundi FELDA yang kecil, 5.6%, menjadikannya bukanlah satu kawasan selamat untuk BN. Dalam PRU 1999, calon BN hanya menang majoriti tipis, 213 undi. 

Bahagian pilihan raya Parlimen Temerloh terdiri dari 3 bahagian pilihan raya negeri: Kuala Semantan, Mentakab dan Lancang. Dalam PRU13, Kuala Semantan dimenangi calon Pas, Mentakab oleh calon Melayu DAP dan Lancang dimenagi calon UMNO. Penempatan FELDA: FELDA Bukit Damar dan FELDA Lakum, berada dalam kawasan pilihan raya Lancang. Dari kedua-dua FELDA, BN perolehi 2077 undi atau 62.76%, sementara Pas; 1,232 undi atau 37.23%. Undian BN sekadar 62.76% dari rancangan FELDA, satu gambaran BN tidak boleh lagi bergantung kepada undian dari masyarakat peneroka tanah. Calon Pas memperolehi 28,267 undi untuk mengatasi undi BN; 27,197 undi yang memberikan majoriti 1,070 atau 1.93%, di kawasan 63.47% pengundi Melayu. 

Bahagian pilihan raya Parlimen Sungai Siput dengan jumlah pemilih 3.4% dari jumlah 51,596 pengundi dalam PRU13 adalah pengundi dari daerah mengundi LKTP Lasah. Parlimen Sungai Siput adalah kawasan majoriti pengundi bukan Melayu, yang merangkumi 66.0% pengundi. Di LKTP Lasah, BN perolehi 1,092 undi atau 77.56%, sementara calon PKR hanya dapat 310 undi sahaja. PKR mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput dengan majoriti 2,793 undi atau 6.88%, berbanding dengan majoriti 1,821 undi atau 5.7% dalam PRU12. Jumlah pengundi FELDA yang kecil dalam kawasan ini tidak memberi ancaman kepada pihak pembangkang.

Dalam kes Kulai, Sungai Siput, Temerloh dan Kulai, peratusan atau bilangan pengundi dari daerah mengundi FELDA yang rendah, tidak membantu BN di peringkat Parlimen. Rata-ratanya, undian kepada BN dari rancangan FELDA adalah tinggi, melepasi 70 peratus, menepati peranannya sebagai deposit tetap BN secara tradisinya, tetapi dua PRU terakhir menampakkan perubahan yang boleh memberikan ancaman kepada BN, bukan saja kepada calon bukan UMNO, malah kepada UMNO khususnya.




bersambung







 

Khamis, 24 Ogos 2017

Faktor FELDA 1

FAKTOR FELDA DALAM PILIHAN RAYA DI MALAYSIA

bahagian 1

Penempatan peserta rancangan pembangunan tanah di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Peserta (FELDA) yang bertaburan sebanyak 321 penempatan seluruh negara, kecuali Sarawak telah dirangkumkan sebagai antara faktor utama membantu Barisan Nasional dalam pilihan raya. Faktor FELDA  disinonimkan dengan pengaruh UMNO. Lantaran ketiadaan UMNO di Sarawak, mengasingkan Sarawak dari faktor dan sumbangan FELDA menyelebihi UMNO dan BN. 

321 penempatan FELDA dengan 122,000 keluarga Melayu berada dalam 54 bahagian pilihan Persekutuan atau kawasan Parlimen. Kawasan penempatan FELDA utama ialah di Pahang yang diletakkan di bawah 3 pejabat wilayah; 41 di bawah pejabat wilayah Kuantan, Mempaga (37) dan Jengka (37) berjumlah 115. Kecuali kawasan Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota, baki 12 kawasan Parlimen memiliki daerah mengundi dari rancangan FELDA.  Warga FELDA merupakan satu pertiga pengundi di 6 kawasan Parlimen; Kuala Krai (38% pengundi adalah penghulu rancangan FELDA), Rompin (34.4%), Maran (33.4%), Bera (31%), Paya Besar (30.8%) dan Jerantut (29.6%). 

Pemilihan peserta atau peneroka rancangan pembangunan tanah FELDA yang bermatlamat untuk mengatur dan menyusun semula serta memperbaiki taraf kehidupan penduduk luar bandar. Justeru pemilihan peserta atau pengambilan peneroka menerusi pihak berkuasa negeri, menyerlahkan ruang untuk memperkukuh kekuatan parti yang berkuasa. Oleh yang demikian, penempatan rancangan FELDA secara sinonimnya gambaran kekuatan UMNO. 

Di rancangan FELDA Kemahang 1, dalam kawasan Parlimen Tanah Merah, pesertanya dipilih masa Pas dalam Barisan Nasional (1973-19770, sementara FELDA Kemahang 2 dan Kemahang 3 dibuka zaman BN memerintah Kelantan (1978-1990), dalam setiap kali pilihan raya, Pas menguasai undi di Kemahang 1, sementara BN menguasai Kemahang 2 dan Kemahang 3. Keseluruhannya BN menguasai semua daerah mengundi yang melibatkan rancangan FELDA, kecuali ada kes-kes terpinggir. Dalam PRU13, Pas menguasai undi di FELDA Jengka 18 dalam Parlimen Kuala Krau dan FELDA Padang Piol, dalam Parlimen Jerantut. 

Zaman Pas dalam BN, Pas diberikan portfolio Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas menerusi Dato' Mohd Asri Haji Muda. Portfolio ini dipertanggungjawabkan kepada pembangunan tanah FELDA dan FELCRA, di samping urusan Lembaga Urusan Tabung Haji. Pas berpeluang menyerap masuk ke rancangan tanah FELDA, yang menggusarkan UMNO, yang membawa kepada antara faktor perlunya Pas disingkirkan dari BN. Kesempatan seketika ini, sedikit sebanyak merintis pengaruh Pas di beberapa rancangan tanah FELDA.

Persempadanan kawasan pilihan raya 2003, lebih banyak membentuk kawasan campuran, kawasan bandar dan separa bandar yang dikuasai oleh pengundi bukan Melayu dicantumkan kawasan FELDA yang dikuasai oleh pengundi Melayu. Pilihan Raya Umum 2004, memberikan keuntungan berganda kepada BN tetapi tidak bertahan lama, bila berlaku alihan sokongan kepada BN di kawasan bandar dan luar bandar. Oleh kerana jumlah kerusi Parlimen yang terkandung penempatan pembangunan tanah FELDA agak besar juga, 54 kawasan Parlimen, banyak membantu BN mempertahankan kuasa dalam PRU12 dan PRU13. 

BN mengekalkan dengan majoriti besar di kawasan peratusan pengundi FELDA yang tinggi, saperti Rompin, Kuala Krau, Tenggara, Sembrong. Di kawasan Bentong, kubu kuat MCA sejak lebih 60 tahun, BN hampir hilang kerusi, bila calon MCA/BN menang dengan majoriti kecil, 379 undi atau 0.74%, ianya dibantu oleh pengundi Melayu dari FELDA. Di kerusi negeri Pelanggai, kawasan majoriti Melayu, calon Pas perolehi 1,526 undi dari daerah mengundi FELDA, tetapi bagi pengundi untuk kerusi Parlimen yang ditandingi DAP, 1,325 undi diberikakan kepada calon DAP, bermakna seramai 201 pengundi FELDA mengundi Pas untuk kerusi negeri tetapi tidak undi calon DAP bagi kerusi Parlimen, dalam kerjasama politik yang mewujudkan persaingan dua penjuru. Di Bentong, 17.6% pengundi adalah dari rancangan FELDA dengan 50.37% pengundi kawasan Parlimen ini adalah orang Melayu.  Kawasan Parlimen Bentong mempunyai 4 kerusi pilihan raya negeri yang semuanya terlibat dengan penempatan FELDA: Bilut, Ketari, Sabai dimenangi DAP, sementara Pelanggai dimenangi UMNO, tetapi calon BN dipilih mewakili Parlimen Bentong, yang bernasib baik mempunyai bilangan pengundi FELDA yang cukup untuk membantu memenangkan BN. 

Kerusi Cameron Highlands, sama saperti Bentong, sebuah kawasan campuran dengan pengundi Melayu menguasai 48.04% jumlah pengundi, kubu BN sejak sekian lama, dalam PRU13 memerlukan bantuan peneroka FELDA. Parlimen ini mempunyai dua kerusi negeri: Tanah Rata dimenangi DAP dan Jelai yang dimenangi UMNO. Rancangan FELDA hanya terdapat di Jelai. Undian pembangkang dari daerah mengundi FELDA, 1,026 diberikan kepada calon Pas yang bertanding bagi kerusi Jelai, tetapi pengundi yang sama hanya memberikan 742 undi kepada calon DAP yang bertanding di kerusi Parlimen, iaitu 284 pengundi FELDA tidak mengundi DAP untuk kerusi Parlimen. Jika pengundi FELDA yang mengundi calon Pas untuk kerusi negeri juga mengundi calon DAP untuk kerusi Parlimen, sepatutnya calon MIC yang menang kerusi Parlimen Cameron Highland kurang 200 undi, bukannya majoriti 462 undi dalam PRU13. 

Kerusi Parlimen Labis, yang juga kawasan campuran, di mana pengundi Melayu adalah 50.56%, BN hanya menang dengan majoriti 353 undi atau 1.14%, yang memberikan majoriti bergaya dalam mana-mana pilihan raya sebelum PRU13. Parlimen Labis mempunyai 11.7% pengundi FELDA. Kerusi negeri Bekok, separa bandar, dimenangi DAP dan kerusi negeri Tenang, kawasan kampung tradisional Melayu dan penempatan FELDA dimenangi UMNO. Di Tenang, dari daerah mengundi FELDA dalam PRU13, untuk kerusi negeri yang ditandingi Pas, 655 undi diberikan kepada calon Pas, tetapi calon DAP yang bertanding di kerusi Parlimen, hanya perolehi 537 undi.  

Dalam PRU13, dikenalpasti kemenangan BN di 9 kawasan campuran banyak dibantu oleh pengundi FELDA: Segamat, Sekijang, Labis, Tebrau, Jempol, Bera, Bentong, Cameron Highlands dan Tanjung Malim. Di Segamat, yang mempunyai 44% Melayu, 46% Cina, 10% India, BN menang dengan 1,217 undi atau 3.13%, di Parlimen Tebrau, pengundi Melayu 47%, Cina 38%, India 13%, BN menang 1,767 undi atau 2.26%.

bersambung








 


Isnin, 14 Ogos 2017

Akta 164

  RUU164 MENGUJI PERANAN PAS SEBAGAI BLOK KETIGA

Parlimen telah meluluskan Rang Undang-undang Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) setelah dibahaskan lebih 6 jam, tiga hari lepas, merupakan perbahasan yang paling menarik bagi sidang Parlimen yang baru berakhir. Menariknya hanya perwakilan Pas membahaskan RUU ini ditangguhkan untuk dikembalikan ke Pejabat Peguam Negara untuk penambahbaikan, sementara anggota-anggota DAP minta disegerakan. Akta ini adalah asalnya khusus untuk kebajikan dan keadilan untuk orang bukan Islam, di mana soal urusan rumahtanggan: perkahwinan dan penceraian, tertakluk kepada mahkamah sivil. Penganut Islam tertakluk kepada mahkamah syariah, yang tiada kaitan dengan akta ini.

RUU 164 sudahpun dibawa ke sidang Parlimen bulan April lepas, tetapi ditarik balik oleh kerajaan, untuk beberapa penambahbaikan dan pindaan. Fasal 88A, dalam RUU ini ditarik kerana mengikut pendapat Pejabat Peguam Negara tidak selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Fasal 88A dikhuatiri memberi kesan kepada pertukaran agama secara unilateral sebelah pihak. Perkara 12(4) menyebut Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapanya atau penjaganya. 

Perbahasan kepada Seksyen 51 dengan jelas menyatakan bahawa pembubaran kepada perkahwinan bukan Islam yang salah seorang memeluk Islam mestilah dibuat di mahkamah sivil. Perbahasan berkisar kepada Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan kebebsan beragama. Bila seseorang bukan Islam memeluk Islam, beliau tertakluk kepada undang-undang syariah. Di bawah Seksyen 51, beliau terpaksa ke mahkamah sivil  untuk menyelesaikan masalah agama beliau sendiri. 

Seksyen 51 ini,  dihujahkan sebagai menghukum seseorang yang memeluk Islam yang dijamin oleh Perlembagaan dalam bab kebebasan beragama. Secara langsung keadaan ini, menyekat beliau merujuk kesnya kepada undang-undang Islam. 

Akta 164 yang baru diluluskan oleh Dewan Rakyat, dipertontonkan sebagai merendahkan kewibaan perundangan syariah yang menggambarkan penghakisan kedaulatan perundangan Islam dalam masyarakat yang memiliki kemajmukan keturunan dan kepercayaan. 

Cadangan Dato' Dr Khairuddin Aman Razali (Pas-Kuala Nerus) supaya dibuat undian belah bahagi, iaitu undian setiap orang, tidak berjaya bila ianya disokong oleh 13 ahli sahaja (Ahli Parlimen dari Pas) gagal memenuhi syarat 15 orang penyokong, dan RUU ini diluluskan. 

Hanya ahli dari Pas sahaja yang meminta supaya RUU ini ditangguhkan dan buat pindaan, sementara anggota Parlimen beragama Islam dari parti lain sama ada dari komponen Barisan Nasional atau gabungan Pakatan Harapan, adalah menyokong RUU ini, walaupun undian tidak dilaksanakan.

 Pas yang telah meletakkan dirinya sebagai blok ketiga dengan bilangan keahlian yang terbatas, memain peranan yang terhad dan terbatas, membiarkan BN di satu pihak, PH di blok lain, menguasai keputusan dewan perundangan.