Khamis, 30 November 2017

GST & PRU14

KESAN GST KEPADA KECENDERUNGAN PENGUNDIAN PRU14

Isu cukai baranan dan perkhidmatan atau goods and services tax (GST) yang mula berkuatkuasa 01/04/2015 adalah isu popular menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Bajet Kerajaan Persekutuan, setiap tahun, di samping sebagai satu mekanisme peningkatan pendapatan negara menerusi sistem percukaian, sentiasa diimbangi dengan penambahbaikan meningkatkan kebajikan masyarakat terbanyak. Cukai pendapatan berkecenderungan berkurangan kadar atau peratusan cukai serta pertambahan pelepasan setiap kali bajet Persekutuan dibentangkan. 

Cukai adalah satu mekanisme keadilan masyarakat sebagaimana zakat yang bertujuan untuk mewujudkan perimbangan sosial antara manusia. Mereka yang dikurniakan limpahan rahmat dan rezeki bertanggungjawab membantu golongan yang kurang bernasib baik dan nikmat rezeki yang kurang. 

Dalam hal perimbangan sosial, sistem percukaian amalan negara kita sudah menjadikan asas keadilan sosial untuk pengaturan tanggungjawab pembayaran cukai. Lebih banyak kenaan cukai pendapatan golongan super rich iaitu golongan 20% teratas dalam struktur sosio-ekonomi penduduk Malaysia, sementara berbagai intensif demi mengurangkan beban cukai bagi golongan sederhana iaitu kumpulan 40% rakyat yang berada di strata pertengahan. Kumpulan 40% terbawah, tidak terlibat dengan cukai pendapatan, dan diringankan bebanan hidup dengan pemberian BR1M. 

Selaku warganegara dan penghuni, rakyat memainkan peranan sebagai pembayar cukai yang membayar berbagai cukai untuk memenuhi keperluan kehidupan, cukai langsung seperti cukai jalan, cukai tanah, cukai premis, cukai hiburan, serta cukai tak langsung melibatkan cukai jualan serta terbitan dari cukai eksais. 

Bila dilaksanakan GST pada kadar 6% bagi sebahagian barangan dan perkhidmatan, walaupun ada pengecualaian beberapa barangan tertentu, nama umumnya GST adalah satu kenaan cukai bagi semua barangan dan perkhidmatan. Persoalan umum, orang ramai atau sesiapa saja selaku pengguna, terlibat pembayaran cukai bila membeli barangan dan menggunakan perkhidmatan. Sepatutnya cukai dikenakan untuk membolehkan secara tak langsung satu golongan rakyat membantu satu golongan rakyat yang lain demi keadilan sosial, penyamarataan dan pengorbanan. GST memaksa setiap pengguna tanpa status, umur dan taraf sosial sama-sama membayar cukai demi negara. 

Dalam ekonomi yang lembab,  bebanan cukai yang menghadkan penggunaan barangan turut mengurangkan keupayaan penggunaan memenuhi keperluan kehidupan. Wujudnya GST secara langsung mendorong kenaikan harga barangan dan akan meningkatkan kos kehidupan. Berada dalam suasana peluang pekerjaan yang terbatas, menghimpit kehidupan rakyat, sentimen rakyat pasti akan berubah. Tinggal dalam situasi kehidupan kesan kenaikan kos kehidupan hasil bebanan cukai, apakah sokongan pengundi Melayu kepada UMNO/BN sebagaimana dalam PRU13 akan kekal. 

Sokongan pengundi Melayu yang dikenalpasti  35% daripadanya membentuk penyokong tegar UMNO berjaya mempertahankan UMNO sebagai parti dominan dalam PRU13, apakah akan mengekalkan pendirian.  Menarik untuk diperhatikan dalam PRU14, apakah golongan pengundi atas pagar Melayu yang membentuk lebih 20% pengundi Melayu, yang sensitif dengan isu kos kehidupan dan peluang pekerjaan, yang terpaksa menyokong UMNO kerana tiada alternatif lain, akan kekal sebagaimana PRU13 atau menyisihkan UMNO/BN dalam PRU14. 

Sungguhpun Pas adalah alternatif kepada UMNO, khusus untuk pengundi Melayu, mereka memilih UMNO/BN kerana Pas bekerjasama dengan DAP yang dibenci oleh pengundi Melayu, tetapi hari ini, Pas sudah tiada apa-apa kaitan dengan DAP. Mungkinkah berlaku swing undi Melayu dari UMNO, atas faktor Pas sebagai alternatif kepada UMNO. Satu fakta yang tidak harus dilupai ialah peranan dan kemampuan parti serpihan UMNO, PPBM (Bersatu) pimpinan bekas Perdana Menteri. Dalam suasana, orang ramai membenci UMNO atas beberapa salahlaku dan ketidaktelusan, umum sedang memerhati sejauh mana isu semasa khususnya peningkatan kos kehidupan membantu berlaku ayungan sokongan UMNO/BN dalam PRU14 nanti.

Kenaikan kos kehidupan di mana GST adalah penyebab utama memungkinkan berlaku pergerakan sokongan BN kepada alternatif UMNO iaitu Pas dan kepada Pakatan Harapan. Pakatan Harapan yang didokongi oleh kepimpinan politik berfahaman politik liberalisme pragmatik, sosialis dan sosial demokrat yang jauh ke depan membawa isu-isu kebajikan masyarakat, sedang diperhatikan sejauhmana mampu menarik sokongan pengundi yang tidak berpuashati dengan UMNO.  Sungguhpun mereka marah dan tak puas hati dengan UMNO, mereka terpaksa mengundi BN dalam PRU13 lantaran tiada pilihan lain, dalam masa yang sama mereka membenci DAP, menyebabkan mereka tidak memilih Pakatan Rakyat. 

Kesan GST yang berkait rapat dengan kenaikan kos kehidupan berkecenderungan memberi implikasi kepada ketiga-tiga pelaku utama dalam PRU14 dalam mengaut undi Melayu-Muslim yang mangambil sikap atas pagar dalam PRU13; i. UMNO bersama BN akan hilang sokongan, ii. Pas yang bersendirian, akan menjadi perhatian, pengundi yang tak puas hati dengan UMNO dan benci DAP, iii. Pakatan Harapan yang dikepalai DAP, mampu menarik perhatian lantaran peranan PPBM (Bersatu).   

Isnin, 27 November 2017

Undi Melayu dalam PRU14

KE MANA UNDI MELAYU DALAM PRU14

Sasaran utama mana-mana parti politik dalam menguasai medan pengundian adalah kepada kumpulan pengundi Melayu-Muslim, yang merupakan sekitar 60% jumlah pengundi di Malaysia. Kejayaan BN mempertahankan penguasaan lantaran kejayaan menguasai kelompok pengundi teras politik Malaysia ini. Daripada 165 bahagian pilihan raya Parlimen di Semenanjung sebagai contoh, 88 kawasan atau kerusi Parlimen daripadanya atau 53.3% adalah kawasan yang mempunyai lebih 60% pengundi adalah orang Melayu. Dari jumlah 88 kerusi Parlimen tersebut, BN menang 64 kerusi atau 72%, dalam Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13).

Berasaskan kecenderungan sokongan dalam PRU13 serta dalam beberapa pilihan raya kecil dan keseluruhan kajian sikap berbagai pihak selepas PRU13 memperlihatkan 35% pengundi Melayu-Muslim adalah penyokong tegar UMNO/BN di Semenanjung. Pengundi teras UMNO/BN ini banyak membantu BN mempertahankan kubu tradisi di kawasan luar bandar. 

30% pengundi Melayu-Muslim adalah pengundi tegar atau penyokong Pas. Justeru itu, kawasan majoriti Melayu menjadi medan perebutan antara UMNO dan Pas. Daripada kawasan dihuni 90% pengundi Melayu yang berjumlah 25 kerusi Parlimen, menjadi perebutan antara UMNO dan Pas dalam PRU13. UMNO menang 14 kerusi dan Pas 11 kerusi. 

Secara amnya, kajian mendapati baki 35% pengundi Melayu-Muslim adalah pengundi atas pagar dan penyokong pakatan pembangkang, Pakatan Harapan. Kumpulan 35% ini didapati tergolong dalam 3 kelompok: tak suka UMNO dan benci DAP, boleh terima UMNO dan benci DAP, liberal dan utamakan isu semasa.

Golongan pengundi atas pagar yang merangkumi 15% pengundi Melayu dikenalpasti mahukan perpaduan Melayu-Muslim tetapi marah kepada UMNO lantaran keangkuhan kuasa serta berbagai isu berpunca dari UMNO yang mempengaruhi prestasi ekonomi dan kestabilan sosial dan politik. Kelompok pengundi Melayu atas pagar ini bencikan DAP yang disinonim dengan cauvanisme Cina. Kelompok ini sensitif terhadap isu-isu masalah dan keperluan harian rakyat. Dalam PRU13, kelompok ini terpaksa mengundi UMNO/BN kerana tiada pilihan lain. Pas dinafikan pilihan kerana dikaitkan dengan kebersamaan pakatan dengan DAP.

Kumpulan kedua pengundi atas pagar Melayu ialah kelompok 13% dari jumlah pengundi Melayu, yang boleh setuju dengan UMNO dan membenci DAP. Seperti juga dengan kumpulan pengundi Melayu atas pagar pertama, mereka mahukan perpaduan Melayu-Muslim. Sama seperti kelompok pengundi atas pagar Melayu pertama, mereka melihat kepada isu permasalahan dan keperluan harian. Kumpulan ini memihak kepada UMNO, apabila melihat parti-parti Melayu lain berpakat dengan DAP. 

Isu-isu keperluan kehidupan harian; kos sara hidup, kenaikan harga barangan, peluang pekerjaan mengatasi isu nasional seperti 1MDB, derma RM2.6 billion, ketirisan dan pembaziran. Sungguhpun isu-isu tersebut menghiris hari pengundi Melayu yang perhatin kepada isu berbanding penyokong tegar iaitu kumpulan 35% pengundi Melayu, menyokong UMNO adalah sokongan yang tak dapat dielakkan. Sejauhmanakah kecenderungan kelompok 28% pengundi Melayu ini, apakah akan terus menyokong UMNO dalam PRU14 nanti, kerana dalam PRU14 nanti, mereka sudah ada pilihan lantaran Pas tidak lagi terikat dengan tahaluf sayasi dengan DAP. Keberadaan DAP dalam pakatan pembangkang menghalang pengundi atas pagar Melayu-Muslim, memisahkan diri dengan UMNO.

Di kalangan pengundi Melayu, kecenderungan tumpuan isu lebih bersifat status sosial individu. Isu 1MDB, ketirisan, pemborosan, rasuah dan isu moral yang seumpamanya hanya berkisar di kalangan pengundi strata atas dan kelas menengah atas, rata-ratanya pengundi sektor kota. Sementara pengundi kelas menengah bawah dan kelas bawah, rata-ratanya menguasai sektor pinggir kota dan kawasan luar bandar cenderung memikirkan isu-isu kehidupan; kos sara hidup, harga barangan dan peluang pekerjaan. Masyarakat Melayu kelas atas memerhati isu moral dan jatidiri sementara kelas bawahan yang merupakan kumpulan majoriti membawa isu menggalas perut.

Selain kelompok: penyokong tegar UMNO, penyokong tegas Pas, pengundi atas pagar Melayu yang tiada pilihan untuk berpisah dengan UMNO, terbaki lagi kelompok 7% pengundi Melayu. Kelompok ini adalah pengundi dianggap liberal kerana mereka boleh menerima pluralisme agama serta mementingkan isu urustadbir atau good governance, di mana isi-isu ini lebih bersifat nilai-nilai keharmonian sejagat. Oleh itu mereka tidak ambil peduli soal-soal Melayu dan Islam, yang membolehkan mereka bersekongkol dengan DAP. Keterbukaan dan liberalisme kecenderungan kelompok Melayu ini, agak terpencil dan terasing dari persepsi umum orang Melayu dalam mengambil atau membuat keputusan politik. 

Sejauhmana kejayaan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebuah serpihan UMNO mampu menarik kelompok penyokong tegar UMNO serta kelompok pengundi atas pagar Melayu menyokong Pakatan Harapan yang ikut serta serpihan Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) bersama PKR dan DAP. Tidak kurang penting juga ialah keupayaan Amanah mengkucar-kacirkan penyokong tegas Pas. Ukuran kemampuan Pakatan Harapan menjadi ancaman utama UMNO mengekalkan kuasa, sudah tentu banyak bergantung kepada kemampuan Bersatu dan Amanah mengikis sentimen anti DAP di kalangan pengundi Melayu. 

Seandainya parti-parti yang berpaksi kepada sokongan Melayu dalam Pakatan Harapan berjaya merombak ikatan tradisi orang Melayu dengan dua parti teras Melayu: UMNO dan Pas, PRU14 akan memecahkan tradisi politik Melayu yang merupakan teras politik Malaysia. Mungkinkah PRU14 akan menzahirkan parti yang berkuasa tidak memiliki sokongan majoriti rakyat, di mana tiada parti atau gabungan parti mencapai undi popular melebihi 50%. Dalam Pilihan Raya Umum Pertama (1959), Pas yang berjaya menguasai DUN Terengganu hanya perolehi undi popular 36.87%,  sahaja, Perikatan (UMNO-MCA) 35.21% undi, sementara 27.32% dikongsi oleh parti-parti lain. Kegagalan menguasai majoriti undi rakyat, menyebabkan kerajaan Pas Terengganu tidak bertahan lama.
 

Jumaat, 24 November 2017

DAP ada agenda agama

DAP DENGAN AGENDA AGAMA

Pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP minggu lepas (12/11/2017), tiada banyak berubah berbanding pemilihan pada 21/12/2012 yang tidak disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS). Hanya seorang saja, anggota CEC yang dipilih dalam pemilihan 5 tahun lepas, gagal mempertahankan kerusi CEC. 

Pemilihan tidak diiktiraf ROS 2012 menyaksikan DAP hampir tidak disenaraikan sebagai parti yang tidak layak menyertaikan Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13). Kepimpinan DAP membuat keputusan akan menyertai PRU13 dengan menggunakan lambang Pas di Semenanjung, dan lambang PKR di Sabah dan Sarawak. DAP merasakan Pas, sebuah parti yang berteraskan mendaulatkan Islam, tidak dipengaruhi sensitiviti pengundi bukan Islam. Hari-hari terakhir menjelang hari penamaan calon PRU13, SPR memberi kebenaran logo roket boleh digunakan. Mungkin senario politik Malaysia sekarang jauh berbeza andainya dipaparkan logo Pas menguasai kawasan perbandaran dalam PRU13. Satu anjakan politik baru yang mempamirkan penafian agenda perkauman dan perbezaan kepercayaan. 

Satu perkara menarik dari CEC DAP yang baru dibentuk, disertai dengan lantikan 10 Ahli CEC Tambahan. Mengikut Dr Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM), dikenalpasti 6 daripada 10 ahli tersebut; Stephen Wong (Ahli Parlimen Sandakan), Thomas Su (AP Ipoh Timur), Dr Ong Kim Ming (AP Serdang), Wong Kah Woh (ADUN Perak), Hannah Yeoh (ADUN Selangor), Yeo Bee Yin (ADUN Selangor), Dr John Brian Anthony dan Jannie Lasimbang, terlibat dalam aktiviti evangelisme Kristian. 

Evangelisme adalah dirujuk kepada amalan dan tradisi keagamaan yang terdapat dalam ajaran Kristian  mazhab Protestant konservatif. Makna umumnya, evangelisme satu gerakan memperluaskan atau mengembangkan ajaran agama Kristian. Antara ancaman kepada kestabilan dan status quo  ialah penyerapan nilai-nilai Kristian dalam sistem sosial dan pentadbiran lantaran keupayaan menguasai politik.

Selepas berjaya menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang, dulunya Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan, dengan menguasai kerusi Parlimen terbanyak, DAP menonjolkan peranan yang lebih besar dalam masyarakat. Bukan sekadar menguasai politik, menguasai sebuah kerajaan negeri tetapi mengcangkupi bidang kehidupan yang lain. Perubahan drastik dalam pentadbiran di Pulau Pinang yang dapat dipertontonkan bila memasuki penggal kedua pentadbiran, sudah menampakkan kesan dan gejala yang negatif. Ketua Menteri dan Exco didakwa dalam kes salahguna kuasa, kerancakan pembangunan fizikal yang mengundangkan bencana alam, antara kesan awal. 

Masuk penggal kedua serta berjaya pertahan kerajaan negeri, menguasai pakatan pembangkang dengan inisiatif membubar Pakatan Rakyat, yang secara langsung untuk menyingkirkan Pas yang tegas membawa misi mendaulatkan Islam. Sebelum PRU13, memperlihatkan gambaran mesra tamadun Islam dengan membawa acuan pentadbiran ala Umar Abdul Aziz dan sanggup guna logo Pas dalam PRU13, sebaliknya lepas PRU13, atas sifatnya parti dominan membawa haluan berbeza. Ego dengan prestasi meningkat berbanding Pas dengan sedikit merosot, mendorong DAP mula memulas dan mendera Pas seolah-olah ada persaingan agenda agama. Hinggakan DAP menganjurkan ahli Pas membuat perubahan kepimpinan parti demi mengikis suara memertabatkan Islam menerusi kuasa politik.

Bila Dr Kamarul Zaman Yusoff mengetengahkan bagaimana perjuangan DAP berusaha meresap dalam politik dan pe ntadbiran demi penyebaran semaian nilai-nilai Kristian atau dengan kata lain menyuburkan nilai-nilai agama berasaskan ajaran Kristian dalam birokrasi dan mekanisme pentadbiran awam. Ulasan beliau bersandarkan tulisan Hannah Yeoh, Speaker DUN Selangor dalam buku Becoming Hannah. Hannah telah menyaman Kamarul Zaman, dengan menafikan hasratnya menyemai nilai ajaran agama anutannya dalam pentadbiran awam.

Terbaru, Hannah telah menolak perlantikannya sebagai ahli CEC lantikan. Mungkinkah telahan yang dibuat bagaimana agenda evangelisme menguasai kepimpinan DAP, memaksa Hannah menarik diri demi mengendurkan persepsi awam terhadap DAP, tambahan beliau adalah menduduki status tinggi, mengetuai sebuah badan awam yang penting. 

Usaha bersungguh DAP menyingkirkan kepimpinan Pas yang tak sehaluan dengan liberalisme DAP, menjelaskan persaingan bukan atas perbezaan ideologi tetapi demi persaingan antara agama atau kepercayaan. Apakah DAP mahu menjuarai usaha menggunakan liberalisme untuk mengekang kebangkitan Islam yang dipercayai satu ancaman masa depan. Apa yang dibimbangi liberalisme menjadi alat imperialisme Barat menguasai pemikiran dan tanggapan masyarakat yang akan merencatkan kebangkitan Islam.



 

Selasa, 14 November 2017

Ulasan Buku Politik Terengganu

ULASAN BUKU HASBIE MUDA: POLITIK TERENGGANU  - PERKEMBANGAN DAN PERGOLAKAN

Buku terbaru tulisan Saudara Mohd Hasbie Muda, "POLITIK TERENGANU: PERKEMBANGAN DAN PERGOLAKAN", mula berada di pasaran, Oktober 2017, menepati senario politik semasa, di kala kerancakan ramalan tarikh Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Kemunculan buku ini dapatlah dijadikan panduan, rujukan dan gambaran kecenderungan aliran persepsi pemilih khususnya di Terengganu. 

Buku ini adalah hasil tulisan yang ketiga tulisan Hasbie, menarik perhatian saya untuk diteliti dan dinilai. Saya tertarik dengan tulisan Hasbie setelah saya mendalami hasil tulisan beliau terdahulu: KEMENANGAN TERTANGGUH  dan PAS DAN PILIHANRAYA. Kejayaan Hasbie menghasilkan tiga buah buku politik popular, dalam tempoh pasca PRU13 dan pra PRU14, satu usaha yang harus dibanggai dan terpuji demi memakmurkan khazanah ilmu. 

Buku setebal 165 muka surat ini menganalisis politik Terengganu pra kemerdekaan dan selepas merdeka, dengan berfokus kepada politik Terengganu selepas merdeka hingga hari ini. Dalam tempoh 60 tahun, Terengganu diterajui oleh 9 orang Menteri Besar dari UMNO dan Pas. Buku ini menceraikinkan analisisnya kepada politik dan pentadbiran mengikut tempoh seseorang Menteri Besar yang mempunyai kekuatan, kelemahan, cabaran dan kejayaan khususnya dari sudut politik kepartian dan demokrasi kepilihanrayaan. 

Politik Terengganu agak menarik diberi tumpuan dan perhatian kerana keunikannya lebih bersifat dinamik dan pengundi tidak terkongkong dengan idealisme statik. Lantaran itu, kekerapan pertukaran kepimpinan negeri lebih menjurus kepada budaya keterbukaan ragam politiknya. Pengundi Terengganu tidaklah rigid dan kaku yang membuatkan mereka berani membuat keputusan dan perubahan. Dua kali tukar kerajaan, dua kali hampir tukar kerajaan, dua kali tukar Menteri Besar dalam masa tak sampai tiga tahun. Ada usul undi tak percaya terhadap MB zaman Pas dan zaman UMNO, ada berjaya, ada gagal.

Berbanding dengan dua buku terawal tulisannya, buku ini nampaknya lebih kemas dengan kecacatan minima khususnya dari sudut fakta. Di muka surat 54, sebenarnya PRK Kemaman bukan Kuala Terengganu, dalam tahun 1976. Halaman 66, Mustafa Ali menang kerusi Kuala Terengganu, bukan Dungun, dalam PRU 1974. 

Di muka surat 6, dinyatakan kerusi Pas telah berkurang daripada 11 kerusi yang dimenangi dalam PRU 1969 kepada 10 kerusi dalam DUN, bila ADUN Sura, Ibrahim Mat Noh keluar parti dan masuk UMNO pada 5 Ogos 1969. Tindakan Ibrahim ini adalah semasa DUN digantung berikutan pengistiharan undang-undang darurat selepas Peristiwa 13 Mei. Semasa pergantungan DUN ini juga, dua lagi ADUN Pas keluar parti; Wan Mohamad Wan Ngah (Ladang) dan Mohamed Taib Ismail (Binjai).  

Di halaman 124, disentuh peranan serpihan Pas iaitu Hamim dan Berjasa, yang gagal bertapak di Terengganu kerana kedua-dua parti lebih bersifat kenegerian. Kedua-dua parti ini, hanya bertumpu di Kelantan saja. Di Terengganu, wujud juga serpihan Pas, Parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan) di bawah pimpinan Abdul Wahab Yunus, dalam tahun 1989. Penulis tidak memasukkan fakta ini, yang merupakan antara detik kemelut dalam Pas khususnya di Terengganu.

Semasa menganalisa kemelut kerajaan Pas pimpinan Mohd Daud Abdul Samad (1959-1961) menyebut kemenangan Pas sebagai hasil pertembungan banyak penjuru dalam PRU 1959. Walaupun Pas menguasai 13 kerusi dari jumlah 24 kerusi, tetapi undi popular hanya 35.54% (halaman 18). 

Dari 13 kerusi yang dimenangi Pas, 8 dimenangi dengan majoriti kecil serta perpecahan undi parti lawan: Perikatan, Socialist Front (SF) dan Parti Negara (PN). Lebih kemas andainya Hasbie memberikan satu dua contoh bagaimana pertandingan banyak penjuru, memberikan kelebihan atau nasib menyebelahi Pas. Contoh: kerusi Kuala Besut, Pas (1,303 undi), SF (1,059 undi), Perikatan ( 942 undi); Kampung Raja, Pas (1,070 undi), Perikatan ( 677 undi), SF ( 379 undi) dan PN (305 undi). Begitulah bagaimana Pas memenangi kerusi Sura, Ulu Dungun, Kuala Terengganu Tengah, Binjai, Ulu Terengganu Timur dan Ulu Terengganu Barat. 

PN menang 4 kerusi juga hasil perpecahan undi lawan dalam saingan tiga atau empat penjuru. Di Langkap, PN (910 undi), Perikatan (774 undi), Pas (685 undi) dan calon Bebas (470 undi). Sementara 7 kerusi dimenangi Perikatan, adalah kemenangan mutlak, iaitu semua calon yang menang perolehi lebih 50% undi. 

Analisa penulis, usia kerajaan Pas tidak lama lantaran ketidaksediaan Pas memimpin sebuah kerajaan negeri. Faktor kemenangan Pas hasil dari persaingan banyak penjuru yang menghasilkan keputusan tidak menentu, adalah juga antara faktor kejatuhan kerajaan Pas. Wakil-wakil rakyat memenangi kerusi hasil perpercahan undi yang mengwujudkan wakil rakyat tidak mewakili pengundi, merasakan kedudukan yang terancam serta kurang keyakinan, menyebabkan berlakunya lompat parti. 

Lebih menarik andainya penulis membuat kesimpulan, mana-mana parti yang membentuk kerajaan hasil PRU 1959, berkecenderungan wujud sebuah kerajaan yang tak stabil. Perikatan hanya kebal di kawasan Kemaman sahaja, bila berjaya menguasai semua 4 kerusi DUN dalam Parlimen Kemaman, apabila Pas, SF dan PN tidak memberi cabaran sengit, malah calon Pas hilang pertaruhan di Chukai, calon SF hilang wang pertaruhan di Paka-Kerteh dan Chukai, sementara calon PN, hilang wang pertaruhan di Paka-Kerteh. Semua kerusi DUN melibatkan persaingan 4 penjuru: Perikatan, Pas, SF dan PN. 

Perikatan bukan setakat kalah semua kerusi DUN dalam Parlimen Besut, tetapi kelima-kelima calonnya dapat undi di bawah 1,000 undi. Semua kerusi dimenangi Pas. Di Kuala Besut dan Besut Tengah, undi SF lebih tinggi daripada Perikatan. Semua calon PN hilang wang pertaruhan di Besut. 

Pas menang semua 4 kerusi DUN dalam Parlimen Ulu Terengganu, dengan saingan sengit dari Perikatan. Undi SF dan PN juga mencabar di tempat ketiga dan keempat. Cuma calon SF hilang wang pertaruhan di Binjai dan PN hilang wang pertaruhan di Ulu Terengganu Barat. 

PN menguasai kawasan Parlimen Kuala Terengganu Selantan, dengan memenangi 3 dari 4 kerusi DUN. Saingan adalah antara PN dengan Perikatan. Pas berada berada di tempat ketiga, dengan calonnya hilang wang pertaruhan di Bukit Besar, sementara semua calon SF hilang wang pertaruhan. 

Kejayaan kerajaan Perikatan mempertahankan kerajaan hasil dari kejatuhan kerajaan Pas menerusi undi tak percaya dalam PRU 1964 telah diolah dengan baik. Tapi ianya lebih menarik  kejayaan Perikatan ini dengan merangkul 21 dari jumlah 24 kerusi DUN, jika diolah berasaskan hasil PRU 1959, di mana separuh dari kerusi DUN dimenangi oleh Pas dan PN, tanpa sokongan majoriti pengundi kesan perpecahan undi persaingan banyak penjuru. Dua dari tiga kerusi dipertahankan Pas adalah kerusi yang dimenangi dengan majoriti besar dalam PRU 1959; Hulu Besut dan Besut Tengah. 

Penulis menggambarkan selain Perikatan (UMNO-MCA) dan Pas main peranan utama dalam demokrasi kepilihanrayaan di Terengganu, tidak kurang pentingnya peranan PN dan SF (kemudiannya PSRM). 

Apabila Pas menyertai kerajaan campuran bersama Perikatan, kemudiannya sertai Barisan Nasional (BN), kekosongan ditinggalkan Pas diisi oleh PSRM. Di Kelantan, diisi oleh penyokong Pas yang menentang kemasukan Pas ke dalam BN, yang membentuk Barisan Bebas Bersatu menentang BN dalam PRU 1974. Di negeri-negeri lain termasuk Kedah, tiada pengisian menggantikan Pas, di kawasan atau kerusi majoriti Melayu. 

Perbicaraan politik Terengganu tanpa menyentuh pengosongan Pas sebagai pembangkang adalah tidak lengkap dan tergantung. Penulis mengabaikan sudut ini. Dalam PRK Kuala Nerus, 1973, masa Pas berada dalam kerajaan campuran, percubaan sulong PSRM agak hebat juga bila berjaya memungut 2,042 undi berbanding 4,154 undi calon Perikatan. Perbandingannya, dalam PRU 1969, Perikatan dapat 2,804 undi, Pas 2,480 undi, memperlihatkan majoriti undi Pas beralih ke PSRM, yang sepatutnya menyokong Perikatan atas semangat kerjasama berkerajaan campuran.

Lebih menarik kiranya penulis mengulas kesan pembentukan BN yang dapat diterjemahkan menerusi PRU 1974. Dalam pilihan raya tersebut BN hanya mendapat cabaran di Kelantan dan Terengganu, kesan kekosongan ditinggalkan Pas. Di negeri-negeri lain di Semenanjung, BN mendapat laluan mudah lantaran berdepan saingan tiga, empat dan lima penjuru bila BN ditentang pembangkang yang berpecah: DAP, Pekemas, KITA dan PSRM. Di Kelantan, BN ditentang gabungan calon bebas bekas penyokong Pas, bertanding atas nama "Barisan Bebas Bersatu". 

Sungguhpun disebut secara umum di halaman 124, pencapaian PSRM, harus diingati bahawa kekuatan sokongan PSRM banyak bergantung kepada penentang UMNO, termasuk penyokong Pas yang menentang kemasukan Pas dalam BN. Cabaran getir kepada BN menjadi kendur di saat akhir dengan memprovokasi sajak Kassim Ahmad, "Sidang Ruh". Bait akhir puisi yang berakhir " dan Tuhan sudah mati", ditafsirkan perjuangan sosialisme PSRM menafikan kewujudan Maha Pencipta.

Dalam PRU 1969, keputusan bagi kerusi Parlimen Kemaman: Perikatan 9,428 undi, Pas 8,534 undi. Dalam PRU 1974, semasa Pas berada dalam BN, kerusi ini ditandingi PSRM: BN 12,418 undi, PSRM 5,189 undi. Semasa PRK Kemaman 1976: BN 11,204 undi, PSRM 7,286 undi. Dua tahun kemudian, PRU 1978: BN 14,180 undi, Pas 7,715 undi, bila Pas keluar BN dan PSRM tidak bertanding. Bolehlah disimpulkan pengundi yang mengundi Pas juga yang mengundi PSRM bila berlaku dua penjuru menentang BN. Justeru itu, di Terengganu, ada individu yang sama bertanding atas tiket PSRM bila Pas berada dalam BN, dan bertanding atas tiket Pas, bila Pas di luar BN. Satu fenomena biasa di peringkat akar umbi, pengundi menyokong mana-mana parti asal bukan UMNO. 

Justeru politik Terengganu, walaupun lebih banyak didominasi oleh UMNO dalam tempoh 60 tahun, tetapi ianya mempunyai keunikan tersendiri. Sepanjang tempoh 60 tahun, persaingan politik antara dua parti utama, UMNO dan Pas mencetuskan keseimbangan pengaruh. Bila Pas bersama UMNO, persaingan kuasa terus konsisten, di mana pengundi mencari alternatif, bila PSRM beri cabaran untuk hidupkan keseimbangan pengaruh. Apabila Pas bersama UMNO berada di satu pihak, pilihan raya terus subur sebagai pesta demokrasi yang subur dan meriah, tidaklah sebagaimana di negeri-negeri lain, memberikan BN menang selesa, sebahagiannya menang tanpa bertanding, setengahnya berdepan dengan lawan yang lemah. 

Penulis lebih fokus kepada pencapaian tokoh atau gaya kepimpinan, menjadikan buku ini amat sesuai  untuk tatapan masyarakat awam. Jalan pengolahan dan penganalisaan dengan bahasa yang mudah sebati dengan keperluan khalayak umum sebagai rujukan serta melengkapkan fakta perkembangan politik tanah air. Satu hal yang menarik, bila membaca keseluruhan kupasan penulis, ianya tidak dipengaruhi berpihak kepada mana-mana fahaman politik, lebih terbuka serta menghormati kepada etika penulisan.












Isnin, 6 November 2017

Demokrasi adalah tukar kerajaan

APAKAH DEMOKRASI SATU MEKANISME UNTUK MENGABSAHKAN KUASA DAN PEMERINTAHAN

Demokrasi asasnya berakar umbi pada satu sistem politik untuk memilih dan menukar pemerintah menerusi pilihan raya yang bebas dan adil. Ruang yang disediakan oleh demokrasi secara idealnya meletakkan manusia memenuhi tuntutan naluri dalam kehidupan berjemaah. Anjuran demokrasi walaupun hasil kesepakatan naluri dan keperluan emosi yang diolah oleh manusia sendiri tanpa ketetapan Ilahi, bukanlah membuka ruang manusia mengatur perjalanan hidup tanpa panduan dari Maha Pencipta. Justeru itu, pemisahan antara tuntutan tabii manusia tidak boleh dipisahkan dari perancangan empunya alam ini.

Sungguhpun demokrasi menggariskan sebagai satu mekanisme untuk menjaga hak setiap warga, di mana ianya memerlukan satu rule of law di mana undang-undang dan peraturan memberikan kesamaan seluruh warga. Panduan hukum Maha Berkuasa diperlukan agar manusia tidak melanggari batasan merealisasikan asas-asas demokrasi, kerana kehidupan di alam ini berlanjutan ke alam akhirat. Tanpa pengawalan serta pergantungan kepada etika Ilahi, dibimbangi falsafah dan asas demokrasi dicabuli dan disalahguna. 

Pencabulan prinsip atau ajaran demokrasi disalahgunakan atau dieksploitasi untuk demi kuasa. Lantaran tanpa ikatan dengan alam akhirat, demokrasi dikotori untuk mempertahankan kuasa dengan berbagai alasan. Status quo perlu dikekalkan demi kestabilan dan keharmonian, yang sebahagiannya membawa kepada mengikis unsur demokrasi secara perlahan. 

Demokrasi kepilihanrayaan dipergunakan untuk mengabsahkan kuasa, demi perlanjutan kuasa, yang lebih merupakan acara berkala setiap empat atau lima tahun. Setiap tempoh masa, khalayak warga diprogramkan dalam satu acara pungutan suara menerusi peti undi untuk mengesahkan mandat baru untuk tempoh baru. Pembentangan suara rakyat di peti undi, sekadar untuk menyatakan "ya" demi perlanjutan kuasa, serta untuk mencatat peratusan sokongan pengesahkan.  Selesai penyertaan rakyat memasukkan kertas undi, maka bermula episod sambungan sang penguasa bermaharajalela di atas mimbar kuasa untuk tempoh empat atau lima tahun. 

Dipergunakan sepenuhnya ruang dan peluang yang ada, atas semangat "parti menguasai kerajaan", menguasai eksekutif dan birokrasi atau jentera pelaksana demi mempertahankan kuasa. Peraturan kepilihanrayaan sering dipinda atas nama penambahbaikan demokrasi, sebaliknya pindaaan untuk mempastikan parti pemerintah akan lebih selesa dan yakin berdepan pihak lawan dalam pilihan raya. 

Di manakah unsur asas demokrasi, "a political system for choosing and replacing the government through free and fair election", seandainya pilihan raya diadakan setiap empat atau lima tahun sekali, sekadar untuk membaharui mandat sebuah kerajaan. Tanpa pertukaran kerajaan atau pemerintah mengikut masa tertentu, demokrasi akan jadi lesu dan terdedah serta dikhuatiri berkecederungan menjadi satu alat untuk mengesahkan mandat baru sahaja, yang tak ubah sebuah pemerintahan monarki mutlak. Sebuah kerajaan atau pemerintahan untuk selama-lamanya untuk mengesahkan moto Barisan Nasional: dulu, kini dan selamanya.