Rabu, 12 September 2012

Pilihan Raya Kerajaan Tempatan

KEWAJARAN PILIHAN RAYA KERAJAAN TEMPATAN

Dalam kesibukan semua parti membuat persiapan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13, kerajaan negeri Pulau Pinang, menimbulkan idea pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri tersebut. Pada 30/8/12 lepas, kerajaan negeri telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan perlunya diadakan satu pilihan raya berkenaan, kerana satu enakmen telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada sidang DUN Pulau Pinang, dalam bulan Mei lalu, telah diluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan Pulau Pinang (Pulau Pinang dan Seberang Prai) 2012. Ianya telah diwartakan pada 5/7/12, untuk membolehkan keanggotaan 2 buah majlis tempatan iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Prai dipilih secara langsung menerusi kaedah pilihan raya, di bawah kendalian SPR.

Secara tidak langsung pihak yang bertanggungjawab dan berkaitan memberikan komentar mengelakkan satu pemilihan secara langsung menerusi pilihan raya. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Chor Chee Heung berpegang kepada prinsip membuang masa, wang dan tenaga.

Jabatan Peguam Negara mengulas enakmen ini batal dan tidak sah kerana Seksyen 15, Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang menghalang sebarang pilihan raya kerajaan tempatan, mengatasi Akta Pilihan Raja Kerajaan Tempatan 1960.

SPR belum beri alasan setakat ini tetapi telah mengambil sikap mengelak untuk mengurus satu pilihan raya kerajaan tempatan.

Sebagai sebuah badan legislatif yang mengurus sebuah kerajaan, walaupun sebuah unit yang kecil berbanding sebuah kerajaan negeri, kewajaran memberikan hak kepada penduduk dalam kawasan tadbiran memilih sendiri badan legislatif adalah munasabah. Munasabah bila kita memikirkan dari sudut semangat demokrasi yang memperuntukan kebebasan bersuara, menentu hak dan kuasa memilih.

Penduduk dalam kawasan tadbiran pihak berkuasa tempatan diberi peluang memilih sendiri jentera pembuat dasar (majlis tempatan), di mana sudah barang tentu segala keputusan serta dasar atau peraturan, demi rakyat di kawasan berkenaan.

Sebelum pilihan raya tempatan untuk Majlis Bandaraya, Majlis Bandaran dan Majlis Tempatan, digantung dalam tahun 1965, ekoran konfrantasi Indonesia, menyaksikan tanggungjawab majlis tempatan lebih kepada rakyat yang membayar cukai. Ini jauh berbeza, dengan majlis tempatan hari ini yang hilang kontaks dengan rakyat, tetapi lebih memberi komitmen kepada kerajaan yang menguasai negeri, kerana kuasa melantik adalah kuasa kerajaan negeri.

Dalam tahun 1960an, Socialist Front telah berjaya menguasai Majlis Bandaraya Geogetown, Majlis Bandaraya Melaka dan Majlis Perbandaran Seremban. Parti PPP menguasai Majlis Perbandaran Ipoh. C.Y.Chooi adalah Datuk Bandar Georgetown, sementara Hasnul Abdul Hadi adalah Datuk Bandar Melaka. Kedua-duanya pemimpin Socialist Ffont. Majlis-majlis Bandar di bandar-bandar utama lain seperti Alor Star, Kangar, Johor Bahru, Kuantan dan Kuala Terengganu, dikuasai Parti Perikatan. Majlis Bandaran Kota Bharu juga dikuasai Perikatan, walaupun kerajaan negeri dikuasai Pas.

Menerusi pilihan raya kerajaan tempatan, ianya menyuburkan demokrasi, kerana tempoh majlis tempatan cuma 2 tahun. Setiap 2 tahun, rakyat diberi peluang memberi mandat baru. Rakyat sentiasa terdedah kepada amalan kebebesan bersuara dan kebebasan memilih, secara tidak langsung mendidik rakyat, mengenenali dan mengamalkan hak-haknya sebagai seorang pembayar cukai dan seorang warganegara.

Semasa menggantung pilihan tempatan zaman konfrantasi dulu, Tunku selaku PM masa itu, berjanji akan menyemak semula keputusan pergantungan itu. Sehinggalah Tunku berhenti, tiada sbarang tindakan baru.

Dalam awal 1970an, ditubuh satu suruhanjaya mengenainya iatu Suruhanjaya Athi Nahapan. Hasil perakuan suruhanjaya ini, dibentangkan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Antara lain dalam akta ini, menghalang sebarang pilihan raya peringkatan kerajaan tempatan, sebagaimana ditafsirkan oleh Seksyen 15.

Setelah negara kita melebih separuh abad usia kemerdekaan, amatlah wajar, memberi hak kepada rakyat selaku pembayar cukai diberi kuasa menentukan badan legislatif yang mengurus serta menyediakan perkhidmatan untuk kemudahan mereka. Andainya kuasa memilih diberi kepada pembayar cukai, pihak berkuasa tempatan akan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik, agar mereka selaku pihak legislatif akan terus berkuasa dan menjadi pilihan rakyat menerusi kuasa undi.

Sepatutnya kuasa undi bukan sekadar menentukan pembentukan kerajaan peringkat Persekutuan dan peringkat Negeri, tetapi juga wajar merangkumi pembentukan Kerajaan Tempatan.

Kuasa rakyat menerusi demokrasi demi pembentukan keadilan sosial dan kesamaan, perlu diperluaskan dan dieksploitasikan sepenuhnya. Berilah keadilan dan hak kepada semua pihak mengecapi nilai demokrasi yang sebenar, kerana kuasa mentadbir dan memerintah bukan hak mutlak yang dipusakai. Kuasa ini harus dikongsi bersama, atas prinsip persamaan hak yang dituntut oleh amalan demokrasi tulen.

Kelulusan satu enakmen ke arah pilihan raya tempatan oleh DUN Pulau Pinang harus disanjung oleh semua pencinta demokrasi demi penambahbaikan mutu perkhidmatan pihak berkuasa tempatan kepada rakyat setempat. Harapannya, selepas PRU13 nanti, semua kerajaan negeri membentang satu enakmen sedikian rupa, agar penyuburan amalan demokrasi itu dapat diperluaskan dan dihayati sepenuhnya.

Selasa, 11 September 2012

Sabotaj parti

MENGUBAT PENYAKIT DALAMAN BUKAN AGENDA
 PERSIAPAN HADAPI PRU13
Dalam tempoh sambutan bulan kemerdekaan tahun ini, ada
 4 kenyataan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
 Mohamad yang sempat dikutip, yang menyuarakan
kegelisahan Barisan Nasional mempertahankan kuasa
 dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).
Empat peringatan tersebut:
1.    Berkawan dengan syaitan/iblis yang dikenali lebih baik berkawan dengan malaikat yang belum dikenali, berasaskan pepatah Barat, “better the devil you know than the angel you don’t know. Lebih baik menyokong BN yang mewakili kumpulan syaitan berbanding Pakatan Rakyat, walaupun digambarkan seperti malaikat tetapi tak dikenali;

2.    BN akan menang dengan suara majority 2/3, andainya ahli UMNO tidak sabotaj calon-calon BN;


3.    Sekiranya BN kalah dalam PRU13, peluang BN untuk menang dalan PRU berikutnya, akan tertutup.Ini disebabkan PR akan buat apa saja untuk mengekalkan kuasa;


4.    Sukarnya rakyat mengibarkan bendera kebangsaan, Jalur Gemilang, sepanjang bulan kemerdekaan tahun ini, akibat dari hasutan kepimpinan PR kepada anak-anak muda.

Apakah kenyataan mantan PM ini secebis rapuan,
 peringatan atau nasihat, terpulanglah kepada interpretasi
masing-masing. Isu kedua – BN akan menang andainya ahli
UMNO tidak sabotaj. Isu sabotaj, sebenarnya bukanlah satu
factor mutlak yang menyebabkan sebahagian calon BN
tewas dalam PRU12. Ianya dibantu oleh beberapa factor;
 calon, isu semasa (tempatan dan nasional), serta kekuatan
 parti. Namun begitu, ada juga kebenarannya, sabotaj ahli
 menyumbangkan kekalahan calon parti.

TS Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO, dalam
 kenyataan terbaru, menyambut teguran Tun Mahathir,
 memberi amaran akan memecat ahli yang menentang
 calon pilihan parti. TS Koh Tsu Koon, Presiden Gerakan,
 kepada anggota parti.

Dalam PRU12, beberapa kes diperturunkan di sini, untuk
 menilai sejauh mana factor sabotaj ahli UMNO atau
 anggota komponen lain, membantu menewaskan calon-
calon BN.

Bagi kerusi Parlimen Ketereh, calon PKR, Ab Aziz Kadir
memperolehi 21,738 undi untuk mengatasi undi calon
UMNO/BN, Datuk Annuar Musa dengan majority 400 undi.
Undi BN ialah 21,338. Sedangkan jumlah undi yang
diperolehi oleh calon-calon UMNO/BN di 3 kerusi Dun;
Kadok, Melor dan Kok Lanas ialah 20,262 sementara jumlah
undi calon Pas ialah 23,101. Beza undi BN Parlimen dengan
Dun: 1,076, sementara beza undi PKR dengan jumlah undi
calon negeri yang ditandingi Pas ialah 1,363. Maksudnya,
ada di sekitar 1,000 orang undi BN untuk Parlimen dan
mengundi calon Pas di kerusi negeri. Mungkinkah 1,000
undi ini, undi sabotaj, sama ada ahli UMNO, yang tak undi
calon Dun atau penyokong Pas yang tidak undi PKR di
Parlimen. Mungkin juga, pengundi atas pagar, tidak
berparti, yang dikatakan 30 peratus pengundi di Kelantan,
memberi undi berbeza untuk kerusi Parlimen dan Dun.

Di Tanah Merah, calon PKR, Amran Abdul Ghani perolehi
17,554 undi untuk memenangi kerusi Parlimen,
mengalahkan Datuk Saari Hassan (BN) yang dapat 15.970
undi dan Asmadi Abu Bakar (calon Bebas) 1,439 undi. Undi
calon Parlimen PKR berbeza 4,129 undi berbanding jumlah
undi calon Pas bagi 3 kerusi Dun; Bukit Panau, Gual Ipoh
dan Kemahang iaitu 21,684 undi. Sementara jumlah undi
calon BN bagi kerusi berkenaan ialah 13,905 undi, 2,065
lebih rendah berbanding undi Parlimen. Bermakna ada
2,000 pengundi undi BN di Parlimen tetapi undi Pas di
kerusi Dun. Angka 2,000 ini adakah solid penyokong BN.
Mungkin juga pengundi tertentu memilih Pas, untuk Dun,
tetapi undi BN di Parlimen.

Pengundi memilih Pas di kerusi negeri, tetapi berfikiran lain
untuk kerusi Parlimen, ada kemunasabahan. Pas dan PKR,
bukan parti bergabung dalam satu entity atau organ politik,
Cuma satu persefahaman pilihan raya demi mengwujudkan
pertandingan satu lawan satu, straight fights. Berlainan
dengan BN, parti-parti menjadi ahli sebuah gabungan politik
sebagai anggota komponen. Sebagai anggota komponen
terikat dengan badan induk. Semua parti bertanding atas
nama satu badan gabungan, BN, bukan atas nama parti
masing-masing. Dalam konteks BN, istilah sabotaj, boikot
atau tikam belakang adalah relevan.

Di kerusi Parlimen Kuala Terengganu, calon BN, Datuk
Razali Ismail memperolehi 32,582 undi berbanding jumlah
undi 4 calon Dun bagi kerusi; Bandar, Wakaf Mempelam,
Ladang dan Batu Burok, cuma 31,486 undi. Calon Pas,
Mohammad Sabu Cuma pungut 31,934 undi, lebih rendah
dari jumlah undi dikumpulan oleh 4 orang Pas di kerusi
Dun, 33,729 undi. Pas menang 3 dari 4 kerusi Dun dalam
kawasan Parlimen ini. 1,795 pemilih yang mengundi Pas di
kerusi Dun, 1,000 mengundi BN dan 685 orang mengundi
calon Bebas. Apakah ketokohan Datuk Razali, anak
tempatan serta tokoh pendidik terkenal, serta status calon
Pas, bukan anak tempatan, telah mengayungkan 1,000 undi
ke BN.Faktor sabotaj ahli UMNO, sebagaimana teguran Tun
Mahathir, tidak relevan dalam kes Kuala Terengganu.

Di Parlimen Balik Pulau, calon BN, Dr Nuraesah Mohamad
tewas , walaupun BN, menerusi calon-calon UMNO,
menang ketiga-tiga kerusi Dun. Calon Parlimen BN perolehi
15.041 undi berbanding jumlah undi BN bagi kerusi negeri
15.987. Sementara jumlah undi terkumpul calon Pas di
Bayan Lepas, dan 2 calon PKR, di Pulau Betong dan Telok
Bahang ialah 14,829 undi. Alihan 900 undi BN bagi kerusi
Dun kepada calon PKR yang bertanding di kerusi Parlimen,
memboleh Mohd Yusmadi Yusoff memungut 15,749 undi,
untuk menang dengan majority 708 undi. Jika diterimapakai
factor sabotaj, mengapa sabotaj calon Parlimen sahaja,
tidak melibatkan calon negeri. Harus diingat, pengalaman di
Pulau Pinang, pengundi mengundi BN untuk negeri supaya
pembangunan berterusan di bawah BN di Pulau Pinang,
dan menghantar pembangkang berkeliber di Parlimen.
Kecuali PRU 1990, kerusi Parlimen dimenangi DAP lebih
banyak dari bilangan kerusi Dun. Pernah DAP menang 4
kerusi Parlimen, tetapi satu kerusi Dun sahaja.

Senario di Parlimen Balik Pulau, menghampiri kes Parlimen
Kuantan. Kedua-dua kerusi ini mengandungi komposisi
pengundi yang sama, Balik Pulau; 60.7 Melayu, Kuantan;
60.4 Melayu. Di Balik Pulau, semua 3 kerusi Dun diberi
kepada UMNO, di Kuantan pula; 2 UMNO dan satu MCA.,
sementara kerusi Parlimen Kuantan diberikan kepada MCA.
Undi calon BN, Datuk Fu Ah Kow, Cuma dapat 16,572 undi
berbanding undi terkumpul BN bagi 3 kerusi Dun;
Teruntum, Tanjong Lumpur dan Inderapura; 18,284 undi.
Perbezaan 1,712 undi. BN menang ketiga-tiga kerusi Dun.
Calon Parlimen PKR, Fuziah Salleh memperolehi 18,398
undi, bertambah sebanyak 1,776 undi dari 16,622 undi
terkumpulan undi calon Pas di Tanjong Lumpur dan
Inderapura, calon PKR di Teruntum. Undi sebanyak 1,700
yang lari dari undi BN di Dun itu, undi pihak mana UMNO
ke , pengundi tidak berparti, atapun pengundi memilih
kaum.

Kes yang sama berlaku di Padang Terap. Beza dengan
Balik Pulai dan Kuantan, Parlimen Padang Terap memiliki
majority pengundi Melayu mutlak, 92.9 peratus adalah
Melayu. Parlimen Padang Terap mengandungi 2 kerusi
Dun: Kuala Nerang dan Pedu. Kedua-dua dimenangi BN.
Jumlah undi terkumpul bagi BN di kedua-dua kerusi
tersebut ialah 16,636 undi. Tetapi calon BN bagi kerusi
Parlimen, Datuk Ghazali Ibrahim, Cuma dapat 14,634 undi.
Kekurangan 2,002 undi. Calon Pas untuk Parlimen Padang
Terap, Mohd Nasir Zakaria dapat 16,636 undi, berbeza
dengan undi calon Pas di Kuala Nerang campur undi PKR
di Pedu iaitu 13,098 undi. Perpindahan sebanyak 2,000 undi
ini memberikan Pas memenangi kerusi Parlimen. Umum
mengetahu memang berlaku sabotaj di sini. Kes Padang
Terap ini bolehlah menyokong hujjah Tun Mahathir,
sementelahan kawasan ini mengandungi lebih 90 peratus
Melayu. Bolehlah dirumuskan peranan sabotaj memang
berlaku dalam UMNO.

Semua kes-kes di atas adalah kawasan pilihan raya yang
dihuni oleh majoritinya orang Melayu.Semuanya melebihi 60
peratus pengundi Melayu. Kita ambil contoh kawasan
campuran. Kes Parlimen Hulu Selangor. Komposisi
pengundi di Hulu Selangor, Melayu 53.9 peratus, Cina 26.7
peratus, India 19.0 peratus. Tiga kerusi Dun; Hulu Bernam,
Kuala Kubu Baru dan Batang Kali, Semuanya dimenang
calon BN, 2 UMNO dan 1 MCA (Kuala Kubu Baru) dengan
jumlah undinya 26,264 undi. Sedangkan undi calon
Parlimen BN, Datuk V. Palaniveil Cuma 22,979 undi. Beza
3,385. Calon Parlimen PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad
dapat 23,171 undi berbanding 20,088 dijumlah undi calon
Pas (Hulu Bernam), calon DAP (Kuala Kubu Baru) dan
calon PKR (Batang Kali). Beza 3,083 undi. Bermakna 3,000
undi BN di Dun lari ke PKR di Parlimen. Ada 2 hipotisis;
pengundi India yang melarikan diri dari MIC/BN, dan
pengundian berasaskan kaum.  Kesan dari penglibatan
sebuah badan perjuangkan masyarakat India, Hindraf,
memberi impaks besar penolakan undi kepada kepimpinan
India dalam BN. Palaniveil adalah Timbalan Presiden MIC.
Kiranya ada sabotaj dari anggota UMNO, berunsur anggota
UMNO tidak mengundi calon komponen lain, tambahan
pula calon PKR, Datuk Zainal, bekas pemimpin UMNO
Selangor, yang pernah memegang jawatan Timbalan
Menteri Besar Selangor.

Satu lagi kawasan campuran untuk perbandingan ialah
Parlimen Lumut. Komposisi pengundi: Melayu 49..1 peratus,
Cina 38.5 peratus, India 11.4 peratus. Mengandungi 3 kerusi
Dun; Sitiawan (80.5 peratus Cina), Pasir Panjang (65
peratus Melayu, 19 peratus India), Pangkor (71 peratus
Melayu). Calon Parlimen BN, Datuk Kong Cho Ha dapat
25,698 undi, berbanding jumlah undi BN di 3 Dun; 22,278
undi. Perbezaan 3,420 undi. Sementara calon PKR kerusi
Parlimen Lumut, Suwardi Sapuan cuma dapat 25,400 undi,
kekurangan 4,096 undi berbanding jumlah undi calon Pas
(Pasir Panjang) campur undi calon DAP (Sitiawan) campur
calon PKR (Pangkor); 29.496. BN Cuma menang di kerusi
Pangkor sahaja.

Bagaimana BN yang ketinggalan 7,200 undi di kerusi negeri
boleh menang dengan majority 298 undi di kerusi Parlimen.
2 perkara menarik, adakah ahli UMNO buat sabotaj
terhadap calon MIC di Pasir Panjang, dengan mengundi
Pas, atau pengundi yang mengundi DAP di Sitiawan
memberi undi kepada calon MCA di kerusi Parlimen. Di
mana kerelevenan, kekalahan BN di Perak dalam PRU12
ekoran tindakan sabotaj ahli UMNO. Itu belum diambil kira,
aliran pengundian pengundi tidak berparti. Kemenangan BN
di Lumut, tidak menampakkan peranan besar anggota
UMNO.

Senario di Lumut, juga berlaku di kerusi Parlimen Alor Star.
Bezanya jumlah pengundi Melayu melebihi 60 peratus di
Alor Star. Calon BN, Datuk Chor Chee Heung menang
dengan majority 184 undi, mengatasi calon PKR, Gooi Hsiai
Leung. Undi BN di peringkat Parlimen 20,741 berbanding
jumlah undi calon BN di 3 kerusi Dun: Bakar Batu, Kota
Darul Aman, Alor Mengkudu, 19,804 undi. Perbezaan 937
undi. Sementara jumlah undi calon PKR (Bakar Batu), calon
DAP (Kota Darul Aman) dan calon Pas (Alor Mengkudu)
ialah 22,497 undi. Calon Parlimen PKR kekurangan 1940
undi. BN Cuma menang di kerusi Bakar Batu sahaja.
Apakah berlaku scenario sama di Lumut, pengundi Pas
tidak undi calon PKR di Parlimen atau pengundi DAP
mengundi calon MCA di kerusi parlimen. Di mana pula,
peranan UMNO membantu memenangkan calon MCA dan
mengalahkan calon UMNO di kerusi negeri.

Sembilan kawasan Parlimen dijadikan sample untuk
perbincangan di sini, merangkumi kawasan majoriti Melayu
dan campuran, kerana mengambil faktor sabotaj ahli UMNO
terhadap calon UMNO atau rakan parti komponen. 9 kes ini
memperlihatkan satu perbezaan yang nyata antara
perolehan undi di kerusi negeri dan Parlimen, yang
menghasilkan prestasi yang berlainan bagi sesebuah parti.
Kes seumpama ini, tidak berlaku di kawasan majoriti
pengundi bukan Melayu atau peratusan pengundi Melayu di
bawah paras 40 peratus.

Seandainya, berlaku sabotaj ahli-ahli UMNO menolak BN
dalam PRU12, menyebabkan kegagalan memperolehi
majority 2/3, apakah jaminan tanpa sabotaj dan tindakan
negarif ahli UMNO, dalam PRU13, BN akan memperolehi
dengan mudah majority mutlak berkenaan. Kesan besar
kepada BN dalam PRU12, ialah pakatan persefahaman
pilihan raya antara PKR, DAP dan Pas, untuk mempastikan
perlawanan satu lawan satu, dengan hasrat kea rah
pengwujudan system 2 parti. Setiap parti bertanding atas
kapasiti serta manifesto masing-masing, tanpa ikatan.
Berbeza dengan PRU13 nanti, Pakatan pembangkang
bertanding di atas persefahaman yang jitu, hasil kerjasama
membentuk kerajaan di beberapa negeri selepas PRU12.
Sudah barang pasti, persaingan lebih hebat ke arah
merealitikan sistem 2 parti.

BN tidak seharusnya memikirkan untuk majority 2/3, tetapi
demi survival, mampukah mempertahankan tampuk
kerajaan Persekutuan, bila berdepan dengan pihak lawan
yang lebih kemas dan teratur berbanding PRU12. Persiapan
menghadapi PRU13, bukan lagi mengubati penyakit-
penyakit dalaman parti seperti sabotaj, boikot dan
seumpamanya, tetapi apakah penawaran yang lebih baik
untuk memenuhi permintaan rakyat, yang mana peratusan
golongan tidak berparti dan bukan penyokong tegar mana-
mana parti, yang besar juga.








Ahad, 2 September 2012

Tuntutan Royalti Minyak

KESUNGGUHAN BN DALAM TUNTUTAN ROYALTI MINYAK


Pengumuman PM DS Najib pembentukan sebuah jawatankuasa khas tuntutan royalti minyak yang melibatkan kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, di saat akhir menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), memberikan ruang khalayak awam membina berbagai interpretasi. Tafsiran awal, ialah menampakkan kesungguhan dan kesedian pihak kerajaan Persekutuan, menawarkan rundingan untuk menilai Perjanjian yang ditandatangani oleh pihak PETRONAS dengan kerjaan negeri Kelantan, 1975, yang disensasikan sejak 2009.

Mengungkit semula isu royalti minyak Kelantan; PM kedua, Tun Abdul Razak Hussien semasa menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Bandar Melaka) di Dewan Rakyat, 12/11/1975 menyebut, "mengikut perjanjiian itu tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan (onshore) atau di luar perairan (offshore) negeri tersebut, yang dijual oleh PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktor".

Sementara jawapan yang lebih detail berhubungan hak negeri Kelantan eloklah merujuk kepada jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Kasitah Gaddam, kepada soalan Senator Hassan Harun di Dewan Negara, 4/4/1989; "sekiranya minyak diperolehi di hadapan kawasan berhadapan dengan negeri Kelantan, negeri Kelantan akan menerima hasil royalti sebanyak 5 peratus daripada minyak dan gas yang dikeluarkan sebagaimana yang diterima oleh negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak".

Secebis lakaran sejarah royalti minyak sepatutnya Kelantan berhak memperolehinya semenjak 2005. Kekalahan BN 5 kali berturut dalam perebutan menguasai DUN Kelantan, sejak PRU 1990 hingga PRU 2008, menggagalkan Kelantan menerima haknya.  Senario berubah menafikan roh dan semangat perjanjian 1975, demi kepentingan politik penguasa kerajaan Persekutuan. 


Pemimpin kecil dan besar, sama ada di peringkat Pusat atau negeri yang mewakili kepentingan kerajaan Persekutuan di Kelantan memberikan berbagai alasan untuk memperkukuhkan agenda penderaan ke atas rakyat Kelantan menerusi tindakan serta sikap layanan ke atas pihak yang menguasai kerajaan negeri Kelantan. Semua episod ini menggambarkan penyingkiran nilai kemerdekaan hakiki yang menjadi impian setiap nurani setiap individu yang mendokong pendemokrasian kehidupan harian semua insan.

Penyuburan nilai-nilai neo-kolonialisme menerusi hubungan satelite-pinggiran, di mana kerajaan Persekutuan sebagai satelite, sementara kerajaan negeri adalah pinggiran yang membentuk satelite tersebut dan berlaku sikap pergantungan. Lingkaran pergantungan inilah memperkukuhkan Pusat sebagai penjajahan bentuk baru. Inilah nasib yang diterima oleh kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh parti yang berlainan dengan parti yang memegang kuasa di Pusat. Setengah pemimpin Pusat dan media main stream mengistilahkan kerajaan pinggiran dengan istilah nakal "kerajaan pembangkang".

Sementara PM semasa, DS Najib memberitahu Dewan Rakyat pada 4/11/2009, " tiada pengeluaran petroleum daripada kawasan perairan negeri Kelantan dan Terengganu. Oleh itu kerajaan Kelantan tiada hak untuk menuntut pembayaran royalti".

Cadangan DS Najib selaku pemimpin kerajaan Persekutuan pembentukan jawatankuasa khas tersebut, bolehkan diterjemahkan sebagai satu strategi menghadapi PRU13, yang rata-rata disebutkan PRU penentuan hidup mati UMNO/BN. Ini lantaran jawatankuasa tersebut dicadangkan akan membuat keputusan dalam tempoh 6 bulan. Jika 6 bulan bererti besar kemungkinannya selepas selesai PRU13.

Sebagai anggota masyarakat sivil, pembentukkan jawatankuasa khas royalti ini, mempunyai 2 kepentingan menyebelahi BN menjelang PRU13. Pertama sebagai memperlihatkan rasa kebertenggung jawaban kerajaan BN di atas kebajikan rakyat serta sifat murah hati kerajaan BN.  Kedua berdasarkan senario seluruh negara kini memperlihatkan harapan BN kekal kuasa kerajaan Persekutuan amat mencabar dan harapan BN merampas kerajaan negeri Kelantan mempunyai potensi.

Rasionaliti selepas PRU13, dengan andaian UMNO/BN akan berjaya merampas kerajaan negeri Kelantan dalam PRU13 nanti, di mana tuntutan royalti di mahkamah oleh kerajaan negeri sekarang, di mana tertunggak sejak tahun 2005 dari 4 telaga di JDA, PM302 dan PM301 satu-satunya telaga tidak bertindih bersamaan RM4.2 billion atau kira-kira RM270 juta setahun. Kerajaan baru selepas PRU13 dijangka akan menerima tunggakan tersebut. Kerajaan negeri selepas PRU13 di bawah UMNO/BN boleh berdikari, sungguhpun kerajaan Persekutuan akan dikuasai oleh pakatan pembangkang utama; PKR, DAP dan Pas.

Keyakinan UMNO mampu menguasai 23 kerusi DUN Kelantan dan boleh bentuk kerajaan dengan simple majority berdasarkan 6 kerusi yang dipertahankan ditambah 17 kerusi yang akan dirampas dari Pas/PKR. Keyakinan BN berasaskan kepada prestasi BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Manek Urai dan Galas. Dalam PRK Manek Urai (Julai 2009), Pas cuma menang dengan 0.61 peratus sahaja atau 65 undi, berbanding 13.3 peratus dalam PRU12.

Dalam PRU12, jumlah undi yang dipungut oleh Pas/PKR di 44 kerusi negeri (tidak termasuk kerusi Kijang, di mana Pas menang tak bertanding) ialah 336,220 undi, sementara jumlah undi BN ialah 260,501 undi atau perbezaan 75,719 iaitu 12.69 peratus, dari jumlah 596,868 undi sah. 147 undi lagi adalah undi kepada seorang calon bebas.

Justeru itu, kes Manek Urai menjadi asas analisis, angka 13.3 boleh menjunam ke 0.61, kerusi yang dimenangi Pas/PKR di bawah paras purata negeri, 12.69 peratus, berada dalam garisan bahaya. BN mengfokuskan untuk menawan kerusi berkenaan. Terdapat 17 kerusi berkenaan ialah: Gual Periok (2.62), Gaal (2.79), Wakaf Baru (4.09), Bukit Tuku (4.46), Jelawat (5.60), Kemuning (6.07), Selising (6.17), Semerak (6.37), Perupok (7.16), Air Lanas (7.51), Dabong (7.60), Galas (7.92), Guchil (7.96), Limbongan (10.46), Melor (10.66), Tendong (11.39) dan Pulai Chondong (11.95).

Tidaklah menghairankan mengapakah kerajaan Persekutuan mengambil inisiatif menubuhkan jawatankuasa khas royalti, seolah-olah hendak memenuhi tuntutan royalti yang menjadi antara fokus utama Pakatan Rakyat, di saat menjelang PRU13. Sementelahan pula diramalkan Hari Kemerdekaan tempoh hari, adalah sambutan terakhir di bawah kerajaan Persekutuan yang dikuasai BN.

Bila negeri Kelantan diperintah oleh "kerajaan pembangkang" selepas PRU13, akan bermewah dengan tunggakan royalti petroleum berbillion ringgit. "Kerajaan pembangkang" UMNO Kelantan dijangka mampu menyediakan prasarana dan pembangunan fizikal, sungguhpun JPP dikuasai oleh kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Rakyat masa itu. Apakah kebarangkalian ini menjadi ilham wujudnya jawatankuasa khas royalti petroleum. Sebagai khalayak awam, amatlah diharapkan, jawatankuasa ini dibentuk seberapa segera, sebab Parlimen Ke 12, sekarang akan berakhir April 2013.