Selasa, 22 Januari 2013

Khianati Suara Melayu

SIAPA MENGKHIANATI SUARA MELAYU

Salah satu saranan yang lebih bersifat peringatan keras menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) ialah hak, suara, masa depan dan kepentingan orang Melayu. Isu ini sangat lantang dilontarkan untuk perhatian awam oleh beberapa pihak berkepentingan. Juaranya ialah UMNO (Baru). Ianya diikuti badan-badan bukan kerajaan, sama ada sehaluan atau pro-UMNO (Baru).

Berasaskan kepada daftar pemilih yang dipecahkan mengikut kaum yang digunakan dalam PRU12, yang lahir dari persempadanan kawasan pilihan raya 2003, menampakkan pengwujudkan sesebuah kawasan pilihan raya sengaja dirancang dan disusun untuk kepentingan pihak tertentu. Sungguhpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melaksanakan kerja-kerja teknikal; pengurusan dan pengesyoran, tetapi asas-asas untuk kepentingan kelompok tertentu lebih mengatasi profesionalisme.

Perbincangan berikut ini adalah berasaskan kepada daftar induk pemilih yang digunakan dalam PRU12. Dalam persempadanan kawasan pilihan raya 2003, kesan dari prestasi serta paparan sikap pengundi dalam PRU10 (PRU 1999) yang menyaksikan swinging undi di kalangan pengundi Melayu. Di peringkat Parlimen, UMNO telah kehilangan 32 kerusi kepada Pas (27) dan Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) (5), sedangkan sebelum ini, UMNO hilang kerusi Parlimen paling banyak ialah 15 kerusi: iaitu kepada Semangat 46 (8) dan Pas (7) dalam PRU 8 (PRU 1990), kesan perpecahan UMNO selepas pemilihan UMNO 1987. Pas pun paling banyak dapat 12 kerusi dalam PRU3 (PRU 1969).

Kebangkitan rakyat menerusi gerakan Reformasi 1998/1999, juga membolehkan Pas menguasai dua kerajan negeri yang bermajoriti pengundi Melayu. Buat julung kalinya juga, pengaruh Pas sudah merebak ke Pahang dan Selangor, berasaskan keupayaan memenangi beberapa kerusi DUN. Almarhum Hassan Sukri, bekas Timbalan Presiden Pas, menyifatkan inilah kali pertama dalam sejarah sejak Allah jadikan alam ini, Pas memenangi kerusi pilihan raya di Selangor dan Pahang.

Justeru itu, persempadanan kawasan pilihan 2003, menafikan pertambahan sebarang kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu: Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Sebanyak 27 kerusi Parlimen baru diwujudkan, dengan fokus utama kepada negeri yang memberi sumbangan  kemenangan BN dalam PRU10: Johor dan Sabah. Johor diperuntukan 6 kerusi Parlimen, Sabah 5. Di samping itu, semua negeri dapat tambahan kerusi Parlimen, termasuk Wilayah Persekutuan. Sarawak tidak terlibat, kerana persempadanan kawasan telah disempurnakan dalam tahun 1997.
Keperitan PRU10, memberi ilham kepada UMNO/BN menggunakan SPR memperbanyak kerusi campuran. PRU10, kerusi majoriti Melayu tidak memberi advantage kepada UMNO/BN, dilakarkan kawasan pilihan yang merangkumi berbagai kaum. Kawasan-kawasan penempatan Felda yang rata-ratanya dihuni oleh orang Melayu dicantumkan kawasan bandar kecil atau separa bandaran, yang kebanyakkan pengundinya bukan Melayu. Mekanisme ini menguntungkan BN dalam PRU11 (PRU 2004), di mana BN menang paling cemerlang dalam sejarah, memenangi 199 dari 219 kerusi Parlimen atau 90.86 peratus. Anggota-anggota Parlimen bukan Melayu menguasai semula blok pembangkang bila DAP menang 12 kerusi berbanding anggota Parlimen Melayu cuma 7 orang, Pas (6) dan KeAdilan (1).

UMNO dikaitkan mempergunakan SPR dalam kerja-kerja persempadanan kawasan pilihan raya, berdasarkan pemerhatian penulis sejak empat kali proses ini: 1973. 1983, 1993 dan 2003. Lakaran persempadanan dirujuk kepada UMNO Bahagian untuk pindaan dan kelulusan, sebelum dipamer untuk semakan dan bantahan awam.

Dalam PRU12, kerusi Parlimen P103 Puchong, yang mengandungi 75,625 pemilih iaitu 22.5% Melayu, terdiri dari 2 kerusi DUN; N29 Sri Serdang (49,757 pemilih - 52.1% Melayu) dan N30 Kinrara (25,868 pemilih - 72.8% bukan Melayu). Sri Serdang kawasan majoriti Melayu disengajakan dengan jumlah pengundi yang besar, berbanding Kinrara. Sri Serdang boleh dipecahkan kepada 2 kawasan pilihan raya, dengan jumlah pemilih sama seperti Kinrara. Satu kerusi majoriti Melayu dinafikan, secara tidak langsung menafikan suara Melayu dalam DUN Selangor, yang sepatutnya Sri Serdang boleh menghantar 2 orang ADUN Melayu, tetapi muslihat UMNO menerusi SPR, merugikan suara Melayu. Dalam PRU12, calon UMNO cuma menang majoriti 45 undi di Sri Serdang, mengalahkan calon Pas. Mungkinkah dalam perkiraan UMNO/BN, jika kerusi Sri Serdang dipecah dua, memungkinkah calon pembangkang Melayu dari Pas atau PKR yang akan menang.

Pembahagian kita sekata (malapportionment) pemilih dalam sesuatu kawasan bolehlah dilihat pembentukan kawasan pilihan DUN N35 Sabai, dalam kawasan Parlimen P89 Bentong. Pemilih di N35 cuma 9,486 pemilih: 36.8% Melayu, 42.4% Cina dan 20.7% India. Sedangkan N33 Bilut (15,390 pemilih), N34 Ketari (18,384) dan Pelangai (10,391) dalam kawasan Parlimen yang sama. N34 adalah kawasan bandar.

Bandingkan dengan N32 Kuala Semantan, 20,303 pengundi: 77.5% Melayu, 17.9% Cina, India 4.1%.  Kalau ikut kadar pengundi N35, N32 terdiri dari 2 kawasan pilihan DUN. Oleh kerana Kuala Semantan, dimenangi Pas dalam PRU10 dan sekali lagi dalam PRU12, dibiarkan pengundi Melayu berlambak dalam satu kawasan.

P89 Bentong dengan pengundi 53,651: Melayu 43.2%, Cina 46.9%, India 9.8% dengan 4 kerusi DUN, berbanding P88 Temerloh, 54,010 pemilih Melayu 61.6%, Cina 26.4% dan India 9.48% dengan 3 kerusi DUN: N30 Mentakab 15,143 pemilih, Melayu 49.96%, N31 Lanchang 18,564 pemilih Melayu 59.6%, N32 Kuala Semantan 20,303 Melayu 77.5%. Jika ikut nisbah P89 Bentong, sepatutnya ada tambahan satu kerusi majoriti Melayu di P88 Temerloh. Tambahan pula, dalam PRU10, calon cuma menang 231 undi sahaja di kerusi Parlimen Temerloh. Mungkin atas pengalaman ini, diperuntukan 3 kerusi sahaja untuk P88.

Begitu juga perbanding P82 Indera Mahkota dan P83 Kuantan, kedua-duanya kawasan dalam Majlis Perbandaran Kuantan.  P82 Indera Mahkota dengan pemilih seramai 51,235, Melayu 65.6%, terdiri dari 2 kerusi DUN: N12 Beserah 25,808 pemilih 72.8% Melayu, dan N13 Semanbu 25,427 pemilih 62.8% Melayu. Sementara P83 Kuantan dengan 47,745 pemilih 60.4% Melayu, terdiri dari 3 kerusi DUN, N14 Teruntum 22,742 pemilih 37.6% Melayu, N15 Tanjong Lumpur 16,453 pemilih 74.2% Melayu, dan N16 Inderapura, 8,550 pemilih 93.6% Melayu. Kerusi Parlimen Indera Mahkota sepatutnya 3 kawasan pilihan raya DUN. Satu kerusi tambahan majoriti orang Melayu sepatutnya. Kerana kerusi Beserah lebih condong ke Pas dan Pas menang dalam PRU12, menjadi asas menafikan peruntukan kerusi tambahan di Indera Mahkota.

Daripada contoh persempadanan di kawasan Bentong dan Kuantan tersebut, menampakkan persembahan kawasan pilihan raya lebih mengutamakan peruntukan kerusi selamat untuk anggota-anggota komponen BN.

Negeri-negeri majoriti pengundi Melayu: Terengganu (95.53% pemilih adalah Melayu), Kelantan (94.29%), Perlis (84.15%) dan Kedah (77.13%) tidak diperuntukan kerusi tambahan, kecuali Kelantan diberi 2 kerusi tambahan DUN, sebagai balasan dan deraan, hasil PRU10. Sungguhpun persempadanan kawasan pilihan raya dilakukan di negeri-negeri berkenaan tetapi tidak diberi tambahan kerusi atau kawasan pilihan raya (constituency).

Purata pemilih bagi setiap kawasan Parlimen dalam PRU12 di Kedah ialah 58,000 pemilih, Kelantan; 52,700, dan Terengganu 65,200. Berbanding Pahang, yang mempunyai latar belakang taburan penduduk dan penempatan, mempunyai purata 43,000 pemilih setiap kawasan Parlimen. Pahang diperuntukan tambahan 3 kerusi Parlimen dalam persempadanan 2003.

Perak yang lebih padat penduduk dan lebih maju berbanding negeri-negeri di atas, setiap kawasan Parlimen secara purata 49,800 pengundi. Beberapa kerusi Parlimen mempunyai pemilih di bawah 30,000 orang: P54 Gerik 26,229 pemilih, P55 Lenggong 22,999 pengundi, P61 Padang Rengas 24,397 pemilih, P67 Kuala Kangsar 28,325 orang.

Di Sarawak dan Sabah, bahagian besarnya pendalaman, purata pemilih setiap kawasan Parlimen ialah 29,400 dan 31,100. Padang Rengas dan Kuala Kangsar bukan kawasan pendalaman dan taburan penduduk rendah.

Pulau Pinang, kawasan yang lebih padat penduduk, kosmopolitan sifatnya, negeri yang lebih maju, purata 52,400 pengundi setiap kerusi Parlimen, dengan hanya 35.7 peratus pengundi adalah Melayu dan peratusan pengundi bukan Melayu paling tinggi. Pulau Pinang diberi tambahan 3 kerusi Parlimen dalam persempadanan 2003.

Mengambil kira perbandingan purata pengundi di Pahang, Perak dan Pulau Pinang, berdasarkan nisbah bilangan pengundi antara kawasan luar bandar, pendalaman dan perbandaran, sepatutnya Kedah, Kelantan dan Terengganu, tidak didera dan dihukum.

Sepatutnya di Kedah ditambah 3 kerusi Parlimen tambahan. Dengan jumlah pemilih dalam PRU12 seramai 871,000 dengan 15 kawasan Parlimen, puratanya 58,000 setiap kerusi. Berbanding Pulau Pinang yang lebih maju, cuma 52,000 pemilih purata setiap kerusi Parlimen. Dengan tambahan 3 kerusi Parlimen di Kedah, puratanya 48,000 satu kerusi Parlimen.

Di Terengganu, 65,000 pemilih purata setiap kerusi Parlimen dalam PRU12, dengan 521,600 pengundi dalam 8 kawasan Parlimen. Tambahan 3 kerusi Parlimen diTerengganu, menjadikan purata 47,400 satu kerusi.

Di Kelantan, dalam PRU12, terdapat 738,000 pemilih dengan 14 kerusi Parlimen. Tambahan 2 kerusi Parlimen di Kelantan, menjadikan purata 46,100 pemilih di 16 kawasan.

Berdasarkan tambahan 3 kerusi di Kedah, 3 di Terengganu dan 2 di Kelantan, secara mudah bertambah 8 kerusi majoriti Melayu bagi Parlimen. Ini berasaskan kiraan pertengahan antara negeri-negeri yang lebih maju seperti Pulau Pinang, Perak dan Johor dan Pahang yang lebih banyak kawasan pendalaman dan belum diterokai.

Di Terengganu, kerusi DUN Bukit Tunggal boleh dicantumkan dengan Wakaf Mempelam, untuk mewujudkan satu kawasan Parlimen baru. Ini dapat mengurangkan jumlah pengundi yang besar di P35 Kuala Nerus (61,214) dan P36 Kuala Terengganu (80,325). Kerusi Pengkalan Berarangan boleh dicantum dengan Bukit Besi dan sebahagian Ajil, membentuk satu kerusi Parlimen baru, untuk mengurangkan pengundi melebihi 70,000 di Marang dan lebih 60,000 di Dungun. Begitu juga kerusi Parlimen Kemaman dengan lebih 75,000 pengundi perlu dipecahkan untuk membentuk sebuah kerusi Parlimen yang baru.

Di Kedah, amalan malapportionment yang merugikan oang Melayu dengan mengambil contoh Parlimen Baling memiliki 78,784 pengundi, dengan 88.2% adalah Melayu. Parlimen Alor Star, kawasan bandaraya cuma 58,957 pemilih. Sepatutnya kerusi bandar lebih tinggi bilangan pemilih berbanding kerusi luar bandar dan pendalaman. Kerusi DUN Kota Darul Aman, di tengah-tengah pusat bandaraya, cuma denga 15,087 pemilih, 65% bukan Melayu, berbanding N30 Bayu, kawasan pendalaman dengan 29,197 pengundi, 92.5% adalah Melayu. N30 Bayu boleh wujud 2 kerusi, tambahan satu kerusi Melayu, jika ikut kadar pengundi N13 Kota Darul Aman.

Kerusi-kerusi Parlimen majoriti pengundi Melayu memiliki jumlah pengundi yang besar: Kuala Kedah (83,132 - Melayu 78.9%), Pokok Sena (69,631 - Melayu 78.6%), Baling (78,784 - 88.2%), Pendang (61,346 - Melayu 88.5%), Jerai 65,739 - Melayu 79.1%), sepatutnya dipecahkan untuk tambahan 3 kerusi Parlimen baru. Semua kerusi ini dimenangi calon Pas dalam PRU10. Pas ulangi kejayaan dalam PRU12, sementara Kuala Kedah oleh calon PKR. Sedangkan kerusi jumlah pengundi yang kecil dimenangi oleh BN: Langkawi (29,567), Jerlun (45,513), Kubang Pasu (53,323) dan Alor Star (58,957).

Di Kelantan, kerusi negeri Wakaf Bharu boleh dicantumkan dengan Tendong dan sebahagian Meranti untuk membentuk kawasan Parlimen baru, demi mengurangkan jumlah pengundi Parlimen Tumpat, hampir 79,000 orang. Kerusi negeri Selising sepatutnya dikeluarkan dari Parlimen Pasir Puteh, dicantumkan sebahagian kawasan pilihan raya DUN Jelawat dan Melor, ke arah satu lagi kawasan Parlimen baru, ini dapat mengurang jumlah pemilih Pasir Puteh (64,393) dan Bachok (63,736).

Dari paparan angka dari PRU12 dan persempadanan kawasan pilihan raya 2003, jelas menunjukkan UMNO/BN yang main peranan merancang menafikan suara Melayu, sebagai garis panduan kerja-kerja yang dilaksanakan oleh SPR, demi keuntungan jangka pendek. Jangka pendek untuk memenangi beberapa PRU dalam masa terdekat. Peluang UMNO bersama BN mencari keuntungan politik jangka pendek hasil persempadanan kawasan pilihan raya yang diperakukan oleh Perlembagaan Persekutuan, setiap 8 tahun, paling kurang, dengan persetujuan suara majoriti dua pertiga di Parlimen.

Penafian serta mengecualikan persempadanan kawasan pilihan raya, demi menghadkan kerusi mewakili kawasan Melayu, yang secara langsung suara Melayu. Ini akan membataskan ruang suara Melayu menjadi majoriti mutlak di Parlimen.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan