Rabu, 27 Februari 2013

Murnikan Demokrasi

DEMI DEMOKRASI PAS TAK WAJAR BERSENDIRIAN

Suara menyerang Pas kerana tidak bersendirian menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), sebagaimana era 1960an dan 1980an terus dimainkan oleh beberapa pihak. Serangan ini lebih menampakkan kegagalan usaha dan saranan, agar Pas bersama UMNO (Baru), demi kepentingan orang Melayu dan perpaduan umat Islam.

Pendirian parti dan kepimpinan tidak tergugat dengan dua saranan yang lebih merupakan ancaman dan serangan demi melumpuhkan Pas, yang sedang mengadakan tahalus siyasi atau pakatan berdepan musuh yang sama. Itu adalah hak dan keputusan politik yang diambil Pas, untuk terus mewarnai gelanggang demokrasi kepilihanrayaan.

Dari segi semangat demokrasi, apapun pendirian Pas, itu adalah keputusan yang terbaik mungkin bersesuaian dengan realiti dan tuntutan politik semasa.

Sungguhpun demokrasi memberi hak kebebasan bersuara dan kebebasan membuat keputusan, serta menghormati suara majoriti adalah keputusan yang mutlak yang seharusnya diterima semua rakyat. Namun demikian, suara majoriti itu, masih tidak mutlak. Ini lantaran, tafsiran suara majoriti itu diukur dari amalan dan kaedah yang berbeza.

Sistem demokrasi menerusi pilihan raya sebagai mekanisme, yang diamalkan di negara kita, mengikut model amalan Great Britain dan kebanyakannya negara Commonwealth adalah berasas sistem perwakilan berbagai parti mengikut kawasan pilihan raya atau multi-party territorial representation. Asasnya pemilihan perwakilan "the first past the post", di mana calon yang undi tertinggi akan diistihar sebagai pemenang atau sebagai perwakilan.

Sistem ini, tidak menjamin calon yang menang mewakili suara terbanyak di kawasannya (constituency). Dengan amalan pelbagai parti menjadikan undi akan berpecah, di mana pemenang tidak menggambarkan mewakili majoriti penduduk. 

Dalam PRU1 (1959), di kerusi negeri Kuala Besut, DUN Terengganu, Haji Wan Said Mohd Nor dari Pas cuma memungut 39.2 peratus undi atau 1,303 undi untuk mengatasi undi calon Socialist Front, 1,078 undi dan calon Perikatan, 942 undi. 

Di kerusi negeri Langkap, juga di Terengganu, calon Parti Negara, Ismail Abas memperolehi 32.54 peratus undi atau 910 undi, untuk memenangi kerusi berkenaan, mengalahkan 3 calon yang lain: Perikatan (774 undi), Pas (685 undi) dan calon bebas (470 undi).

Dalam PRU yang sama, di kerusi DUN Kelantan, kawasan Ulu Kelantan Barat, calon Pas, Khaidir Khatib yang menang cuma dapat 36.86 peratus undi sahaja iaitu 1,472 undi mengalakan Wong Yuen Wye (Perikatan) yang perolehi 1,126 undi, dan 4 calon lain, Haji Mohd Yusof Bangs (Bebas) 853 undi, Wan Yaacob Wan Ahmad (Parti Negara) 347 undi, Hussien Sulaiman (Socialist Front) 99 undi dan Mohamad Latif (Bebas) 96 undi.

Di kerusi negeri, Tumpat Tengah, calon Pas, Mustapha Awang cuma pungut 39.10 peratus undi atau 2,253 undi untuk mengalahkan 3 calon lain: Foo Chow Yong (Perikatan) 2,200 undi, Yahya Abdullah (Parti Negara) 968 undi dan C.W. Sook (Socialist Front) yang dapat 341 undi.

Dalam PRU terakhir (PRU12), calon DAP, Dr Hiew King Cheu, memeangi kerusi Parlimen Kota Kinabalu, cuma pungut 34.3 peratus undi sahaja, atau 9,464 undi, sementara calon PKR, Christina Liew perolehi 9,358 undi atau 33.91 peratus, sementara calon BN, Chin Teik Meng hanya berada di tangga ketiga dengan 8,429 undi atau 30.59 peratus. Calon Bebas pungut 341 undi dan hilang wang pertaruhan.

Contoh-contoh di atas adalah antara kutipan gambaran hasil demokrasi pilihan raya menerusi sistem pelbagai parti yang berasaskan "who first passed the post", yang tidak menggambarkan sokongan majoriti. Dari pengalaman dan hasil pilihan raya di negara kita, khususnya PRU tahun 1960an, yang disertai oleh banyak parti. Persaingan melebihi 3 penjuru banyak berlaku. Keadaan ini, agak berkurang dalam PRU3 (1969), terutamanya kawasan bandar, ada kerjasama pilihan raya antara PPP, Gerakan dan DAP, untuk pastikan perlawanan satu lawan satu menentang calon Perikatan.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang pertama (1969), di 28 kerusi dari jumlah 48 kerusi Council Negeri, calon yang menang memperolehi undi di bawah 50 peratus. Justeru itu, wakil rakyat dalam Council Negeri (Dewan Undangan Negeri) tidak mewakili suara majoriti rakyat Sarawak. Purata setiap kerusi ditandingi 4 calon. Kerusi Simanggang ditandingi 8 calon.

Jelaslah persaingan banyak penjuru yang diizinkan oleh sistem banyak parti tidak menggambarkan kehendak demokrasi yang sebenar iaitu suara majoriti yang memerintah. Calon yang disokong oleh cuma satu pertiga rakyat dimartabatkan sebagai pemenang menggambarkan "the minority rules the majority".

PRU8 (1990) adalah perintis kepada "the winner gets absolute power" kerana pemenang diundi oleh lebih separuh pengundi. Ini kerana, PRU8, bermulanya kepada era sistem dua parti. Kerjasama pilihan raya menerusi Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat merealisasikan persaingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional.

Keterlibatan Pas dalam Angkatan Perpaduan Ummah, terdahulu Harakah Keadilan (HAK) 1986, yang gagal, kemudiannya Barisan Alternatif (1999) dan Pakatan Rakyat (2008), demi mempastikan realiti demokrasi terlaksana hakikat dan rohnya. Iaitu suara majoriti harus dihormati. Ianya lebih tepat bila wujudnya sistem dua parti.

Andainya Pas bersendirian sebagaimana yang disaran dan diterjahkan oleh beberapa pihak, maka kemungkinan PRU13 yang bakal tiba yang dilabelkan sebagai PRU paling sengit, ibu segala pilihan raya dan pilihan raya yang sukar diramalkan, akan menghasilkan keputusan sebagaimana beberapa contoh di atas. Kemungkinan calon yang menang dapat undi di bawah separuh atau bawah 50 peratus. Ini memberikan satu gambaran kegagalan demokrasi menghormati suara majoriti. Akan wujudlah "the minority rules the majority".

Pas yang mempelopori sistem dua parti menerusi HAK walaupun tidak menampakkan hasil, tidak sewajarnya terjerumus dalam persaingan tiga atau empat penjuru, yang menafikan kemenangan mutlak kerana terikat dengan the first who passed the post. 

Berbeza dengan sistem pilihan raya amalan Perancis yang turut diamalkan oleh beberapa negara, walaupun sistem kepelbagaian parti (multi-parties), tetapi pemenang perlu perolehi suara majoriti. Calon yang menang perlu mendapat majoriti mudah, iaitu melebihi 50 peratus. Kiranya tidak, maka pilihan raya pusingan kedua akan diadakan, melibatkan dua calon yang mendapat undi tertinggi. Secara tidak langsung, kemenangan atau suara majoriti mutlak cuma praktikal menerusi bila berlaku persaingan satu lawan satu.

Ikut amalan sistem pilihan raya ini, bagi kes Parlimen Kota Kinabalu, calon DAP dan calon PKR perlu bertanding dalam pusingan kedua untuk pastikan calon yang menang mendapat sokongan majoriti. 8,770 pengundi yang mengundi calon BN dan Bebas, akan menentukan sama ada calon DAP boleh mengatasi undi calon PKR, di pusingan kedua. 

Oleh kerana sistem multi-parties territorial representation yang berasaskan kepada the first past the post, amatlah wajar Pas tidak bersendirian. Status quo yang melibatkan Pas dalam Pakatan Rakyat yang lebih ke arah mereliasasikan sistem dua parti, yang memberikan pengertian sebenar pilihan raya adalah penentu suara majoriti

Keputusan PRU2 (1964) bagi kerusi DUN Selangor, Kepong, yang mencatatkan kemenangan paling tipis. Dr Tan Chee Khoon (Socialist Front) dapat 7,487 undi mengatasi Chan Koon Hon (Perikatan) 7,485 undi. Peratusan undi Dr Tan ialah 50.0007 peratus.

Keputusan yang sama dicatat Zakaria Yaacob, calon Pas yang memenangi kerusi Kemuning, DUN Kelantan dalam PRU11 (2004). Beliau perolehi 6,078 undi, juga beza 2 undi, atasi undi calon BN, Dato' Nik Mohd Zain Nik Min, 6,076 undi. Zakaria perolehi 50.0008 peratus undi sah.

Mengambil kira kes Kepong dan Kemuning, adalah lebih demokratik dan lebih adil berbanding perolehan undi calon-calon yang menang dalam kes-kes Kuala Besut, Langkap, Ulu Kelantan Barat, Tumpat Barat dan Kota Kinabalu, serta 28 kes dalam PRN Sarawak, 1969 dan taburan kes-kes seumpama dalam PRU yang lain. 

  Pendekatan tahaluf siyasi yang diambil Pas adalah amat tepat demi mempastikan penafian kepada puak yang sedikit menguasai kumpulan besar. Ini menepati prinsip keadilan sejagat dan naluri kemanusiaan yang menuntut kebebasan bersuara dan kebebasan memilih serta memberi hak kepada yang sepatutnya. 



  

Khamis, 14 Februari 2013

Kenyataan Dr Mahathir

KEKELIRUAN KENYATAAN DR MAHATHIR

Memetik dari tajuk berita: Umno Tak Pernah Tipu Pas: Dr Mahathir, " perpecahan dalam Pas bukan kerana Umno dan kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Negeri Kelantan 1978 menyebabkan ia keluar BN" - dilaporkan oleh Bernama (Sinar Harian halaman 6, Berita Harian halaman 7, Khamis 14/02/2013).

Kenyataan mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, TG Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Fakta dari pernyataan Pas keluar BN kerana kekalahan pilihan dan perpecahan dalam Pas juga kerana kekalahan pilihan raya, boleh dipersoalkan.

Mengimbau semula peristiwa pemecatan Pas dari BN tahun 1977, kenyataan tersebut amatlah meleset dan mengelirukan dari seorang negarawan dan mantan PM. Pemecatan Pas ekoran penentangan Ahli-ahli Parlimen Pas terhadap pembentangan Undang-undang Darurat di Kelantan 1977 mendahulu PIlihan Raya Negeri (PRN) Kelantan 1978.

Ekoran dari krisis Oktober 1977 dalam kepimpinan Pas, membawa kepada pembentangan Akta Kuasa Darurat di Kelantan dalam Dewan Rakyat, pada 8/11/1977. 7 orang Ahli Parlimen yang berucap menentang akta berkenaan, dalam Sidang Dewan Rakyat .

Pas mempunyai 14 Ahli Parlimen; separuh menduduki jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Dato' Mohd Asri Haji Muda (Pas-Nilam Puri) Yang Dipertua Agung Pas adalah Menteri Tanah dan Tugas-tugas Khas, Haji Hassan Adli Haji Arshad (Pas-Bagan Datoh) Timbalan YDP Pas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan, Abu Bakar Umar (Pas-Kota Star) Timbalan Menteri Kesihatan, Mustaffa Ali (Pas-Kuala Terengganu) Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Zahari Awang (Pas-Kuala Krai) Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, Abdul Wahab Yunus (Pas-Dungun) Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan. Sementara Haji Yusoff Abdullah Rawa (Pas-Ulu Muda) Duta Besar Malaysia ke Iran & Turki, sebelum itu, Timbalan Menteri Perusahaan Utama.

Kronologi berikut mencerahkan kekeliruan fakta dari kenyataan mantan PM:

08/11/1977: Semua Menteri, Timbalan Menteri dan SU Parlimen dari Pas letak jawatan, kecuali Haji Hassan Adli.

09/11/1977: Setelah Dewan Rakyat meluluskan pembentangan Akta Darurat,  pentadbiran negeri Kelantan diletakkan di bawah pentadbiran langsung Kerajaan Persekutuan yang dikepalai seorang pegawai kanan Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik (PTD).

05/12/1977: Mesyuarat Majlis Teringgi BN  mengarahkan Pas memecat ahlinya di bawah Fasal 14 Perlembagaan BN kerana mengundi menentang usul di Dewan Rakyat.

13/12/1977: Majlis Tertinggi BN beri tempoh 4 hari kepada Pas untuk pecat MP, dengan amaran Pas akan dipecat dari BN

17/12/1977: Secara otomatis, Pas terpecat dari BN.
 jika enggan.

10/02/1978: Undang-undang Kuasa Darurat ditarikh balik.

23/02/1978: Hari penamaan calon untuk PRN Kelantan.

11/03/1978: Hari mengundi PRN Kelantan dengan memberi kemenangan kepada BN : 23 kerusi, Berjasa: 11 kerusi dan Pas: 2 kerusi.
(boleh rujuk tulisan Mohd Zain Salleh: Sejarah UMNO Kelantan (1985) dan Salahuddin Abdullah: Sejarah Pas Kelantan, Langkah-langklah Menuju Mardhatillah (2010)

Perpecahan  dalam sejarah Pas berlaku dalam 6 fasa:

1. 1974: bila Pas menyertai BN. Terbentuknya kumpulan Barisan Bebas Bersatu (pimpinan Cikgu Ahmad Fakharuddin Abdullah), sertai PRU 1974.

2. 1977: bila Pas menentang Akta Kuasa Darurat, terbentuk Berjasa (pimpinan Dato' Muhammad Nasir). Satu kelompok lagi membentuk Ikatan Muslimin Insaf Malaysia (IMAM)(pimpinan Us Hassan Mat Leh). Kedua-dua serta PRN 1978.

3. 1983: Hizbul Muslimin (Hamim) (pimpinan Dato' Mohd Asri), setelah terima asakan kritikan dari golongan Pemuda.

4. 1990: Satu kumpulan keluar Pas menentang penyertaan Pas dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

5. 1990: Sebuah parti baru, Ikatan, oleh bekas ahli Pas Terengganu (pimpinan Ustaz Abdul Wahab Yunus, Dungun).

6. 1995: Sebuah parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) ditubuh bekas ahli Pas (pimpinan Cikgu Musa Salleh, Pasir Puteh).

Justeru itu, amatlah malang kiranya maksud mantan PM bahawa Pas keluar BN kerana kalah pilihan raya dan ahli keluar parti kerana kalah pilihan raya. Cuma ada satu episod sahaja iaitu penubuhan Hamim boleh dikaitkan dengan prestasi parti dalam pilihan raya. Mungkin kerana sentimen kepartian, mendorong penyelewengan fakta. Atau, kemungkinan fakta sengaja dikitar demi memperkukuh propaganda, tambahan PRU13 semakan hampir.

Tulisan ini sekadar menjaga kemurnian dunia akademik sahaja bukan sengaja mencari polimik.



Sabtu, 9 Februari 2013

Bila Pas Bersendirian

SARANAN PAS KELUAR PAKATAN

Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Pas mencadangkan Pas keluar dari pakatan kerjasama, sebagaimana dilaporkan di muka depan Berita Harian 7/2/2013. Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad juga mengutarakan idea yang sama. Beberapa pihak yang mengaku ahli seumur hidup Pas dan penyokong tegar Pas, mendesak kepimpinan Pas menarik diri dalam pakatan tahalus siasi bersama DAP dan PKR.

Keterlibatan Pas dalam menyertai pilihan raya di negara ini semenjak Merdeka menerusi 12 kali PRU menjadi parameter untuk mengukur kejayaan dan kegagalannya. Dimensi pengukuran prestasi Pas, dapatlah diringkaskan dalam 3 tahap: pasca Merdeka, pasca 13 Mei atau era Dasar Ekonomi Baru, periode 20 tahun terakhir (1990-2010).

Pasca Merdeka yang meletakkan Pas bertanding secara persendirian, bersaing dengan Perikatan dan parti-parti lain, menampilkan Pas mampu berdikari dan bersendirian. Secara bersendirian Pas mampu menguasai kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu, dalam Pilihan Raya Umum Pertama (PRU1 - 1959). Pas menguasai 13 kerusi Parlimen: 9 di Kelantan dan 4 di Terengganu.

Namun begitu, Pas sudah pun ada asas tahalul siasi dengan Parti Negara di Terengganu. Pas tidak bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan, untuk membolehkan Ketua Parti Negara, Dato' Onn Jaafar berlawan satu lawan satu dengan calon Perikatan. Sungguhpun Perkatan (UMNO-MCA-MIC) menguasai kerajaan Persekutuan, kerajaan pertama selepas Merdeka, Perikatan cuma menang 1 kerusi Parlimen sahaja di Kelantan (Ulu Kelantan) dan 1 kerusi di Terengganu (Kemaman). 

Di luar Kelantan dan Terengganu, Pas tidak berjaya. Malah gagal memenangi kerusi tunggal yang dimenangi dalam pilihan raya pertama sebelum Merdeka, Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu. Kerusi dimenangi Haji Ahmad Tuan Hussien iaitu Krian, yang dijadikan 2 kerusi Parlimen: Krian Laut (sekarang Parit Buntar) dan Krian Darat (sekarang Bagan Serai). Pas cuma memenangi satu kerusi DUN iaitu Gunong Semanggol dalam PRU1.

Pas yang bertanding di kawasan luar bandar, bersaing merebut undi Melayu bersama Perikatan (yang diwakili UMNO), Partai Rakyat Malaya (yang bertanding sebagai calon  Socialist Front hasil gabungan dengan Pan Malayan Labour Party), dan Parti Negara.

Kepimpinan pusat Pas diturunkan bertanding di Pantai Timur: Yang Dipertua (sekarang Presiden), Dr Burhanuddin Al Helmy Mohd Nor (Besut), Timbalan YDP, Zulkifli Muhammad (Bachok), Naib YDP, Hassan Adli Hj Arshad (Kuala Terengganu Utara) dan Dato' Raja Abu Hanifah Abdul Ghani (Pasir Mas Hulu), Setiausaha Agung, Othman Abdullah (Tanah Merah), Ketua Dewan Muslimat, Khadijah Sidek (Dungun), AJK Pusat, Ahmad Abdullah (Kelantan Hilir). Semuanya menang dan berjaya menjadi Ahli Parlimen pertama. Dr Burhanuddin, Zulkifli, Hassan Adli dan Othman berasal dari Perak, Khadijah dari Johor, Abu Hanifah dari Negeri Sembilan dan Ahmad dari Pulau Pinang (lebih dikenali Haji Ahmad Prai).

Dalam PRU2 (1964), Pas alami kemerosotan. Hilang kuasa di Terengganu. Pas cuma pertahan 3 kerusi DUN, berbanding 13 dalam PRU1. Sementara bagi kerusi Parlimen, cuma mampu bertahan di Besut sahaja. Di Kelantan, walaupun Pas berjaya menguasai kerajaan negeri, tetapi pembangkang (UMNO dan MCA) telah berjaya mengurangkan kerusi Pas dalam DUN dari 28 kepada 21. Pas gagal pertahan kerusi Parlimen Kota Bharu Hilir. Kerusi Pas dalam Dewan Rakyat berkurang dari 13 (PRU1) kepada 9. Di luar Kelantan dan Terengganu, Pas cuma menang satu kerusi DUN sahaja; Utan Aji (Perlis).

Kehadiran tokoh-tokoh seperti Mohd Asri Haji Muda (Pas-Pasir Puteh), Zulkifli Muhammad (Pas-Bachok) kemudiannya diganti Abu Bakar Hamzah, setelah kematiannya, Dr Tan Chee Khoo (Socialist Front-Batu), Dr Mahathir Mohamad (Perikatan-Kota Star Selatan), D.R.Seenivasagam (PPP-Ipoh), S.P.Seenivasagam (PPP-Menglembu) di Dewan Rakyat, dalam tahun 1960an, menjadikan Parlimen satu institusi yang disegani secara tidak langsung menampilkan kehebatan Ahli Parlimen yang hebat berhujah, berani dan terbuka. Justeru media tahun 1960an lebih terbuka, berintergriti dan bebas, menjadikan laporan sidang Parlimen, satu medan yang sangat menarik, diminati dan antara rancangan atau ruangan yang popular.

Sebagai negara baru merdeka, persidangan Dewan Rakyat atau Parlimen, adalah medan pembuat dasar bertukar minda, fikiran dan maklumat untuk mengisi kemerdekaan. Pas menguasai kelompok pembangkang dan PRU3 (1969) memperlihatkan kemerosotan pencapaian parti-parti pembangkang ditebusi. Pas berjaya mempertahan kerajaan negeri Kelatan dengan kemerosotan kerusi DUN: 19 Pas, dan 11 pembangkang (UMNO-MCA). Di samping itu kerusi Parlimen di Kelantan: Pas 6, UMNO 4, setelah kerusi Parlimen Tumpat dan Tanah Merah dimenangi Perikatan.

Di luar Kelantan, prestasi Pas bertambah baik. Di Terengganu, Pas memenangi 11 kerusi DUN berbanding Perikatan 13 kerusi. Namun jumlah undi popular Pas lebih besar berbanding undi popular Perikatan. Ini kerana, Pas memenangi kerusi yang mempunyai jumlah pengundi ramai, khususnya kawasan bandar dan pinggiran bandar. Pas menguasai 2 kerusi Parlimen di Terengganu: Kuala Terengganu Selatan dan Dungun, tetapi gagal pertahan Besut.

PRU3 adalah bermulanya Pas bertapak di Kedah. Di Kedah, Pas menang 3 kerusi Parlimen dan 8 kerusi DUN. Pas berjaya menyingkirkan 3 tokoh UMNO: Dato' Senu Abdul Rahman, Menteri Penerangan di kerusi Parlimen Kubang Pasu Barat (sekarang Jerlun), Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen yang outspoken dan popular, di kerusi Parlimen Kota Star Selatan (sekarang Pendang), dan Mohd Zahir Haji Ismail, bekas hakim, di Kota Star Utara (sekarang Padang Terap dan Pokok Sena).

Di samping itu, Pas menang 1 kerusi Parlimen di Perak (Parit) dan 1 kerusi DUN (Kampung Gajah). PRU3 menjumlahkan 12 kerusi Parlimen dimenangi Pas. PRU3 juga mengubah lanskap politik masyarakat bandar apabila pembangkang berjaya menghantar 25 wakil rakyat dari kawasan bandar ke Parlimen menerusi PPP (4 kerusi), serta parti-parti baru: DAP (13 kerusi) dan Gerakan (8 kerusi). 

Era pasca Merdeka menampakkan Pas yang bertanding bersendirian muncul sebagai pembangkang utama. Mohd Asri Haji Muda, diangkat sebagai Ketua Pembangkang Parlimen yang pertama, bila jawatan itu diwujudkan selepas PRU3, bila bermulanya Parlimen Ketiga. Era ini mampu melonjakkan Pas sebagai satu political force untuk menyaingi Perikatan. Justeru itu, di samping mengekalkan kuasa kerajaan negeri di Kelantan, hampir merampas Terengganu. 

Era selepas Peristiwa 13 Mei dan dalam periode Dasar Ekonomi Baru (DEB), terutamanya selepas tersingkirnya Pas dari Barisan Nasional (1977), menampakkan ketidakupayaan Pas bersendirian. Ini dapat dikesan dari PRU5 (1978), PRU6 (1982) dan PRU7 (1986), di mana Pas gagal mengembalikan prestasi semasa bersendirian, dari 1959 hingga 1972. 

Dalam tahun 1978, Pas hilang kekuasaan di Kelantan, kegagalan di Terengganu, dan nafas Pas banyak dibantu, kejayaan memenangi beberapa kerusi di sebelah pantai barat: Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Kerusi Parlimen Pas cuma 5 sahaja dari PRU5: 2 dari Kelantan (Pengkalan Chepa dan Bachok), 2 dari Kedah (Kota Star dan Baling) dan 1 dari Pulau Pinang (Permatang Pauh). Di Kelantan, satu kelompok penyokong parti menubuhkan parti baru: Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), yang banyak membantu memerosotkan undi dan sokongan Pas.

Dalam PRU6, Pas mula memulihkan imej dan pengaruh, khususnya di Kelantan dan Terengganu. Di Kelantan, berjaya memenangi 4 kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN. Di Terengganu, dapat menguasai 5 kerusi DUN. Tetapi di sebelah pantai barat Semenanjung, pengaruh Pas menurun. Pas cuma mampu pertahan kerusi Parlimen Kota Star sahaja. 

Dalam PRU7, usaha Pas mencuba kerjasama dengan parti dan pressure groups, tidak mendatangkan hasil. Chinese Consultative Council (CCC) gagal membantu Pas menarik sokongan orang bukan Islam. Persefahaman pilihan raya dengan Partai Rakyat Malaya (PRM) dan parti-parti baru: Socialist Democratic Party (SDP) dan Parti Nasionalisme Malaysia (NasMa), menerusi Harakah Keadilan (HAK), bolehlah disifatkan gagal. 

DAP mengambil alih tempat Pas sebagai pembangkang utama dalam era ini. DAP tidak menyertai HAK. Sepanjang era ini, DAP berjaya main peranan pembangkang utama bila memenangi 9 kerusi dalam PRU5, 16 kerusi dalam PRU6 dan paling cemerlang 24 kerusi dalam PRU7. DAP yang bertanding bersendirian berjaya menjadi sebuah parti nasional kerana berjaya menguasai kerusi Parlimen di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Atas sifat parti yang bertapak di luar batasan wilayah, imej DAP lebih terkedepan berbanding Pas. 

PRU7 bukan sekadar kegagalan persefahaman pilihan raya anjuran Pas tetapi menghukumkan Pas. Pas cuma satu kerusi Parlimen sahaja. Prestasi paling teruk untuk Pas, semenjak menyertai pilihan raya di negara ini.

Era Dasar Ekonomi Baru (1970-1990), era dikuasai oleh DAP sebagai pihak menjadi check and balance dalam arena politik tanah air. Justeru itu, dalam tempoh ini, Lim Kit Siang, pemimpin DAP, diberi peluang menjadi Ketua Pembangkang, walaupun dalam tempoh pendek sebelumnya, peranan tersebut diberikan kepada Dr Tan Chee Khoon, pemimpin PEKEMAS. 

Di penghujung DEB, kelompok pengundi Melayu dan luar bandar mula diresapi perlunya peranan orang Melayu menguasai kuasa pengimbang dalam politik tanah air, kesan kekecewaan kegagalan DEB, yang lebih cenderung kepada amalan nepotisme, kronisme dan kepuakan. Ini mendorong perlunya satu perubahan kepimpinan dalam UMNO selaku peneraju komponen parti pemerintah. Kesan kegagalan mesej perubahan dalaman itu, kelompok inginkan perubahan itu mendekati beberapa kumpulan berkepentingan untuk membuat perubahan dari luar.

Ruang kepada kebangkitan kepada perubahan tersebut, diambil kesempatan oleh Pas. Pas menyertai kolobarasi politik pilihan raya yang ditaja oleh parti serpihan, Semangat 46, bersama Berjasa dan Hamim dalam Angkatan Perpaduan Ummah. Di samping itu, Semangat 46 bekerjasama dengan DAP, PBS, PRM dan IPF, menerusi Gagasan Rakyat. PRU8 (1990), menghasilkan DAP memenangi 20 kerusi Parlimen, PBS 14, Semangat 46 dengan 8 kerusi dan Pas 7 kerusi. Pas berjaya merampas kerajaan negeri Kelantan, di samping menambah kejayaan di Terengganu.

Tahap kedua periode zaman lepas DEB, parti-parti pembangkang utama mengadakan persefahaman pilihan raya menerusi satu entiti. Pas, DAP, PRM bekerjasama dengan parti baru, Parti Keadilan Nasional (KeADILan) menerusi Barisan Alternatif. Kerjasama ini memberikan pulangan yang tinggi untuk Pas, menerusi PRU10 (1999).

Menerusi PRU10, Pas berjaya menguasai negeri Terengganu di samping mengekalkan kemenangan di Kelantan dengan penuh bergaya. Pas berjaya menyerbarluaskan pengaruhnya ke sebelah pantai barat, kawasan bandar dan pinggir bandar. Pas menang 27 kerusi Parlimen, serta mengatur kerusi-kerusinya dalam DUN Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Pahang.

Dengan 27 kerusi Parlimen milik Pas, 10 DAP, 5 Keadilan, 3 PBS, membolehkan Presiden Pas, Fadzil Noor, diangkat sebagai Ketua Pembangkang, selepas kematiannya, diambilalih oleh TG Abdul Hadi Awang.

Selepas DAP keluar Barisan Alternatif kesan kemerosotannya, PRU11 (2004), telah merudumkan prestasi Pas dan rakan-rakannya. Kemunculan pakatan tak rasmi dalam PRU12 yang melonjakkan pencapaian parti-parti pembangkang Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), dengan 82 kerusi Parlimen dan menguasai 5 DUN menyakinkan kerjasama politik untuk membolehkan ke arah perlawanan satu lawan satu serta ke arah sistem dua parti.

Daripada pengalaman Pas dalam 3 tahap di atas, yang menyaksikan pahit manis pengalaman dan percaturan politik, amat sukar untuk Pas kembali kepada tindakan bersendirian dalam tahun 1960an dulu. Perubahan tuntutan zaman yang lebih terbuka serta nasional sifatnya, memerlukan tindakan politik ke arah kejayaan dan penglibatan yang lebih luas. Secara bersendirian, akan menghadkan dan membataskan peranan Pas dalam keterlibatkan menyusun dasar-dasar awam demi kepentingan ummah dan negara.

Justeru itu, wajarkah Pas kembali bersendirian seperti dalam tahap awal pasca kemerdekaan dulu. Apakah Pas perlu mengekalkan tradisinya sebagai sebuah parti dalam lingkup keterbatasan wilayah, keterbatasan sektor dan keterbatasan sokongan khalayak. Perlukah Pas mengasingkan dokrinnya dalam pentas politik tanah air, yang nasional sifatnya, sekadar mewakili satu segmen khalayak yang terbatas pengaruhnya. Atau apakah saranan agar Pas bersendirian untuk mengembalikan Pas sebagai kuasa utama pembangkang dalam era pasca Merdeka (1959-1969) atau berhasrat untuk memudahkan UMNO/BN mengungguli PRU13.

Gong Xi Fa Chai buat rakan-rakan Tionghua 




Khamis, 7 Februari 2013

Undi Untuk Calon UMNO Islam

KEWAJARAN MENGUNDI CALON UMNO BERAGAMA ISLAM

Isu mewajarkan khalayak pengundi yang terlalu ghairah untuk membuang undi dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) mengundi calon berasaskan pegangan agama. Jika calon BN yang diwakili oleh calon UMNO beragama Islam berdepan dengan calon mewakili Pakatan Rakyat (PR) bukan Islam sama ada dari DAP, PKR atau calon Pas dari fraksi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), sepatutnya pengundi memilih calon BN.

Itulah intipati putar belit akhbar The Star dalam berita keluaran 1/2/2013, hasil dari kenyataan ADUN Gaal, Dato' Dr Nik Mazian Nik Mohamad. Penyiaran berita tersebut adalah jauh terpesong dari kenyataan asal, di mana beliau maksudkan: adalah menjadi kewajipan setiap pengundi Islam mengundi Pas, kerana UMNO parti sekular. Kenyataan beliau bila memberi menjawab soalan " mengundi UMNO haram atau tidak". (rujuk Harakah, 4/2/2013, halaman 32).

Adapun mengapa disebut calon UMNO Islam? Sebab bukan semua calon UMNO (Baru) yang bertanding atas nama BN, sejak PRU9 (PRU 1995), adalah beragama Islam. Dalam PRU12 (PRU 2008), UMNO (Baru) telah meletakkan beberapa orang calon bukan Islam: Raimie Unggi (P181 Parlimen Tenom), Ewon Ebin (N31 Paginatan), Justin Guka (N33 Bingkor), Datuk Rubin Balang (N36 Kemabong). Mereka bertanding di kerusi-kerusi Sabah dan semuanya menang. Ewon Ebin dan Rubin Balang, antara ADUN PBS yang melompat parti selepas Pilihan Raya Negeri, yang menjatuhkan kerajaan PBS, 1994.

Kalau ikut tafsiran akhbar The Star (1/2/2013) dan diulasbelitkan lagi oleh Mingguan Malaysia (3/2/2013), bila berdepan calon Islam dengan bukan Islam, pilihan bagi pengundi Islam ialah undi untuk calon beragama Islam. Mereka yang cenderong untuk mengundi dalam PRU13, bila BN meletakkan calon bergama Islam iaitu calon UMNO menentang calon PR bukan Islam, maka tiada pilihan lain: kena undi BN.

Dalam PRU12, UMNO (Baru) cuma hilang satu kerusi sahaja kepada calon pembangkang bukan Islam. Di kerusi Parlimen P47 Nibong Tebal, Datuk Zainal Abidin Osman yang mempertahankan kerusinya, ditumpaskan oleh Tan Tee Beng dari PKR, dengan majoriti 3,087 undi di kawasan pengundinya 45.5 peratus Melayu. Calon UMNO (Baru) memperolehi 45.8 peratus undi, menyamai peratusan pengundian Melayu di situ. Munasabah beliau tewas, jika diambil logik pengundi mengundi calon yang seagama dan sebangsa dengannya.

Nibong Tebal (dulunya Seberang Prai Selatan) sebuah kawasan campuran pernah dimenangi calon UMNO, calon Socialist Front, calon Gerakan, calon DAP, sejak PRU1. Terakhir dimenangi oleh calon PKR.  Sebagai kawasan campuran, Nibong Tebal menghantar wakil rakyat ke Parlimen berbangsa Melayu, Cina dan India dalam 12 kali PRU, antaranya V. Veerapan, Senawi Ismail, Dr Goh Cheng Teik, Gok Kheng Huat, Zainal Abidin Osman.

Jika ikut mentaliti putar belit akhbar The Star 1/2/2013 di atas, di mana orang Islam yang menyokong Pakatan Rakyat, kena undi calon Islam, tolak calon PR bukan Islam, yang menanggung rugi ialah BN. Di kawasan PR meletak calon bukan Islam, sama ada PKR, DAP atau Pas menerusi DHPP, menentang calon BN yang beragama Islam, penyokong PR khususnya Pas wajar mengundi calon BN.

Sebaliknya apa yang berlaku dalam PRU12, beberapa calon BN gagal pertahan kerusi di kawasan majoriti Melayu. Di kawasan Parlimen P83 Kuantan di mana 60.4 peratus dari 47,745 pengundi adalah Melayu. Calon BN, Datuk Fu Ah Kaw (MCA) gagal pertahan kerusi, bila ditewaskan oleh calon Melayu dari PKR, Fuziah Salleh dengan majoriti 1,826 undi. Sedangkan, semua kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Kuantan, dimenangi calon BN.

Di P94 Hulu Selangor, yang mengandungi 53.9 peratus pengundi adalah Melayu. Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel gagal pertahan kerusi, bila ditumpaskan oleh calon Melayu PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad yang memiliki 23,177 undi berbanding 22,979 undi dipungut calon BN. Serupa dengan Kuantan, semua 3 kerusi DUN dimenangi calon BN.

Bagi kerusi Parlimen P124 Bandar Tun Razak, Datuk Tan Chai Ho (MCA) gagal pertahan kerusi, lantaran dikecewakan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR) dengan majoriti 2,515 undi. Kawasan ini mempunyai seramai 52.7 peratus pengundi Melayu dari jumlah 67,241 pengundi.

Kerusi DUN Perak N51 Pasir Panjang, dengan komposisi pengundinya 65.7 peratus adalah Melayu, calon BN gagal mempertahankan kerusi tradisi MIC, bila calon Pas, Mohd Nizar Jamaluddin memungut 11,994 undi berbanding 7,520 undi calon BN dari MIC, Datuk Dr S. Vasar. Dengan peratus pengundi Melayu yang besar, memberikan calon Pas menang dengan majoriti besar, 4,474 undi. 

Di N59 Behrang, pengundi Melayu adalah 57.0 peratus, membolehkan calon Melayu PKR, Jamaluddin Mohd Radzi mengalahkan calon BN dari MIC, M. Ramasamy, dengan majoriti 1,027 undi. 

Di Selangor, kerusi negeri N16 Batu Caves, pengundi Melayu adalah 62.3 peratus dari jumlah 25,770 pemilih. Calon Melayu dari PKR, Amiruddin Shari mengalahkan calon BN, T. Mohan (MIC) dengan majoriti 3,685 undi. Batu Caves adalah kerusi tradisi MIC.

Di samping itu, terdapat kerusi majoriti Melayu, tetapi orang Melayu tidak memberikan kemenangan kepada calon Melayu/Islam. 

Kerusi Parlimen N54 Gerik, 72.0 peratus dari jumlah 26,229 pemilih adalah Melayu. Calon Melayu, Mohd Nor Abdul Rahman (Pas) cuma dapat 6,953 undi berbanding Tan Lian Hoe (BN-Gerakan) 12,526. Dari peratusan undi, calon Pas cuma perolehi 35.7 peratus, sementara calon Gerakan dapat 64.3 peratus dari jumlah undi sah. Ini menunjukkan separuh sahaja orang Melayu/Islam undi calon Islam. Kalau ikut ulasan The Star, sepatutnya calon Pas menang mudah di kerusi Parlimen Gerik.

Di P145 Ayer Hitam, 56.54 peratus dari jumlah 34,805 pemilih adalah Melayu, tetapi calon Melayu, Hussien Sujak (Pas) cuma dapat 6,321 undi atau  23.81 peratus, sementara calon yang mempertahankan kerusi, Dr Wee Ka Siong (BN-MCA) perolehi 20,230 undi atau 76.19 peratus. Sama seperti Gerik, separuh sahaja pengundi Melayu mengundi calon beragama Islam.

Manakala kerusi Parlimen P151 Simpang Renggam, 53.99 peratus pemilih adalah Melayu. Calon Melayu, Atan Gombang (Pas) memungut 8,597 undi atau 34.32 peratus dari jumlah undi sah. Calon bukan Melayu mewakili BN, Liang Teh Meng (Gerakan) dapat 16,450 undi atau 65.68 peratus. Corak pengundi di kalangan orang Melayu/Islam di Simpang Renggam ialah 62 peratus pengundi Melayu mengundi calon Melayu.

Ada 6 kerusi DUN Johor, yang mempunyai majoriti pengundi Melayu, tetapi dimenangi oleh calon-calon bukan Melayu mewakili BN dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon Melayu/Islam dari Pas dan PKR.

N3 Pemanis, 54.08 peratus pemilih Melayu: Lau Chin Hoon (BN-MCA) mengalahkan Othman Selamat (Pas) dengan majoriti besar 5,130 undi.

N9 Gambir, 55.16 peratus pemilih Melayu: M. Asojan (BN-MIC) 8,190 undi, Kassim Ibrahim (Pas) 5,727 undi.

N21 Parit Yaani, 56.92 peratus pemilih Melayu: Ng Swee Tiong (BN-MCA) 9,419 undi, Hashim Jusoh (Pas) 5,562 undi.

N31 Kahang, 71.34 peratus Melayu: Vidjayanathan Ramadhan (BN-MIC) 9,272 undi, Abdul Halim Dawan (PKR) 3,948 undi atau 29.86 peratus. Cuma 40 peratus sahaja pengundi Melayu mengundi calon Islam.

N33 Tenggaroh, 79.88 peratus pemilih Melayu : T. Murukasvary (BN-MIC) 11,789 undi, Shahar Abdullah (Pas) 3,556 atau 23.17 peratus. Hanya 29 peratus pengundi Melayu mengundi calon Islam.

N43 Permas, 53.66 peratus pemilih Melayu: M. Murusamy (BN-MIC) 13,878 undi, Syed Othman Syed Abdullah (Pas) 11,860 undi atau 46.0 peratus. Jika undi Pas datang dari pengundi Melayu sahaja, bermakna 86.8 peratus pengundi Melayu mengundi calon Islam.

Jika ambil andaian atas faktor undi ikut agama, sudah pasti calon-calon BN bukan Islam/Melayu akan tewas.

Di Pantai Timur, di negeri Terengganu, kerusi tunggal pengundi Melayu di bawah 80 peratus ialah N14 Bandar, yang mengandungi 60.0 peratus pengundi Melayu, calon BN dari MCA, Toh Chin Yaw mengalahkan calon PKR, Dr Abdul Manaf Che Mat dengan majoriti 1,142 undi.

Apakah pola pengundian berasaskan polarisasi kaum akan mencorakkan PRU13, sebagaimana harapan setengah pihak, yang bertujuan untuk menghancurkan pakatan pembangkang yang semakin mengikis unsur rasis, dalam menunggu PRU13, yang akan menjelang dalam masa terdekat.