Sabtu, 25 Mac 2017

Bila PRU14

BILAKAH AGAKNYA PRU14

Salah satu elemen menarik dalam memerhati senario demokrasi berparlimen ala Malaysia ialah strategi menyembunyikan tarikh pilihan raya oleh parti pemerintah menerusi alatan eksekutif Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Clue utama ialah setelah cukup tempoh 3 tahun yang dikira bermula dari tarikh mesyuarat pertama sesebuah badan perundangan. Sebenarnya tiada sebarang tempoh, sesebuah dewan perundangan sama ada Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat boleh dibubarkan untuk diadakan satu pilihan raya untuk memilih keanggotaan baru. Cukup usia 3 tahun diambil panduan kerana untuk memenuhi syarat pencen penuh bagi seseorang anggota badan perundangan. 

Perlembagaan Persekutuan menyebut dalam Perkara 55 (3), Dewan Rakyat hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu ia adalah terbubar. Perkara 55 (4) menyebut apabila Dewan Rakyat bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia dibubar. Mesyuarat pertama Dewan Rakyat semasa ialah 25 Jun 2013. Ertinya, Dewan Rakyat sekarang akan terbubar pada 24 Jun 2018. 

Jarang berlaku Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bila hampir atau genap tempoh lima tahun, kecuali Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 (2013) dan PRU3 (1969). Tempoh dewan perundangan paling singkat ialah DUN Sabah ke 5, bila PRN Sabah ke 5, diadakan pada 20 hingga 21 April 1985, tak sampai satu tahun, DUN dibubarkan dan PRN baru diadakan pada 4 hingga 5 Mei 1986. Ketidakstabilan politik dalam negeri Sabah, dengan acaman keselamatan yang dihadapi kerajaan baru Sabah di bawah pimpinan PBS mengambil keputusan nekad menyerahkan kepada rakyat untuk mandat baru. 

Spekulasi awal PRU14, menjangkakan sekitar bulan November tahun lepas. Alasan utama ialah selepas bajet yang dijangka menjanjikan janji manis pilihan raya. Andaian November tahun lepas, disokong kepada pendaftaran berganda pendaftaran pemilih semasa  tempoh pendaftaran berakhir 30 September 2016 atau suku ketiga 2016. Pendaftaran pemilih baru dan pendaftaran pindah alamat yang dipamerkan menerusi Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku 3 2016, dengan angka 500,000 orang, di mana kebiasaannya setiap RDPT tidak melepasi angka 100,000. Pendaftaran dalam tempoh berkenaan sempat diwartakan dalam daftar induk pemilih untuk digunakan seandainya PRU diadakan 2 bulan kemudian, selepas pameran, bantahan dan prosiding. 

Apabila SPR mewartakan pameran syor persempadanan kawasan pilihan raya 15 September hingga 14 Oktober 2016, meredakan telahan dan ramalan tarikh PRU dalam tempoh terdekat. Mana mungkin satu pilihan raya umum perlu diadakan menjelang berakhirnya tahun 2016. Dalam konteks demokrasi kepilihanraya amalan Malaysia, persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah teknikal pengurusan eksekutif sebagai strategi parti pemerintah mengekal kuasa. Ruang yang diizinkan oleh perundangan menerusi iaitu Perkara 113 Fasal 2 (i) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan SPR untuk menjalankan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya (constituency) dari masa ke semasa, ditambah dengan Perkara 113 Fasal 2 (ii)  memberikan tempoh lat masa antara satu kajian semula ini tidak kurang dari lapan tahun. 

Kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya yang melibatkan tambahan bahagian pilihan raya ialah dalam tahun 2003, di mana ianya digunakan untuk PRU11 (PRU 2004) yang memberikan kejayaan cemerlang kepada BN. Justeru itu, sepatutnya kajian boleh diadakan dalam tahun 2011 dan boleh digunakan untuk PRU13. Lantaran kejutan yang diterima BN dalam PRU12, ianya tidak dilakukan, di samping kecenderungan sokongan kepada BN dalam PRU13 diramalkan tidak menguntungkan BN.  Syor persempadanan yang dilakukan dalam tahun lepas, sekadar mengubah persempadanan tanpa tambahan bahagian pilihan raya atau kerusi badan perundangan bagi negeri-negeri Tanah Melayu dan berlaku tambahan bahagian pilihan raya atau kerusi untuk DUN Sabah. 

Syor persempadanan semasa yang dipamerkan untuk semakan dan bantahan selama sebulan tahun lepas, di mana 3 pihak berhak membuat bahtahan: i. kerajaan negeri, ii. pihak berkuasa tempatan (PBT), iii. kumpulan 100 orang pemilih.  SPR telah menjalankan siasat tempatan sepanjang bulan Disember 2016, semua negeri terlibat. Sekarang, bermula 8 Mac hingga 7 April 2017, SPR sedang mempamerkan Ulangkaji Sempadan Bahagian Pilihan Raya Pameran ke 2. Pameran ini untuk tujuan semakan dan bantahan semula. Sebagaimana pameran pertama tahun lepas, mengambil masa untuk menyiapkan  siasatan tempat, yang dijangka dalam bulan Jun 2017. 

Selesai siasatan tempatan, SPR akan diajukan syor persempadanan yang sudah disemak semula kepada PM, untuk persetujuan. Lepas itu, akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk kelulusan simple majoriti, tidak perlu sokongan majoriti dua pertiga kerana tidak melibatkan tambahan kerusi yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Sidang Dewan Rakyat terdekat selepas bulan Jun ialah Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke 13; 14 hingga 22 Ogos 2017. Sekiranya sempat dibawa ke Dewan Rakyat kemudian ke Dewan Negara, paling cepat Dewan Rakyat boleh dibubarkan awal September 2017 dan PRU14 akan diadakan dengan tempoh paling pendek 2 atau 3 minggu. Maksudnya paling cepat PRU14 ialah dalam bulan September 2017, di atas perkiraan SPR hendak menggunakan persempadanan baru yang dirangka atas telunjuk BN, UMNO khususnya. Lebih tepat tanyalah pemimpinnya, mungkin sudah dapat ilham.







 

 
 
 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan