Khamis, 30 Oktober 2014

Bajet & ekonomi berkat

BAJET 2015 CAMPURAN SOSIALISME DAN KAPITALISME TANPA EKONOMI BERKAT

Pembentangan bajet 2015 tempoh hari menitikberatkan keseimbangan antara capital economy dengan people economy. Capital economy merujuk kepada pengurusan dan dasar ekonomi yang berbentuk makro. Strategi ini mengunjurkan sasaran kepada  pengurusan ekonomi yang berasaskan modal, pertumbuhan KDNK, pendapatan per kapita, pelaburan swasta, pasaran modal, keuntungan syarikat, indeks bursa dan nilai saham. 

People economy merujuk kepada keutamaan dan kepentingan rakyat. Atau dengan istilah yang mudah: langkah-langkah untuk meningkatkan keperluan rakyat. Elemen-elemen kos sara hidup, pendapatan isi rumah, peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan, kualiti hidup, dan tidak kurang pentingnya ialah jaminan keselamatan. 

Apa saja sistem ekonomi yang diamalkan dalam merancang dan melaksanakan matlamat bajet sama ada sistem ekonomi sosialisme atau sistem ekonomi kapitalisme bertunjangkan kepada peningkatan KDNK yang diseimbangani dengan peningkatan keperluan rakyat.

Bajet 2015 yang dibentangkan 2 minggu lepas menjanjikan berbagai langkah untuk memenuhi maksud people economy iaitu ekonomi keperluan rakyat. Sungguhpun dendangan bajet ini memberi lunakan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, hakikinya tidak menampakkan langkah untuk mengseimbangan pendapatan dan kekayaan antara golongan berada dengan golongan tidak berada. 

Usaha untuk merapatkan lompangan antara kelompok kecil yang menguasai komponen terbesar kekayaan negara dengan khalayak ramai yang mendiami sektor daya pengelauaran rendah. Ini lantaran struktur kadar cukai progresif untuk merapatkan jurang pendapatan tidak dilaksanakan, secara jelas bajet dibikin demi menjaga kepentingan golongan kecil yang menguasai bahagian besar kekayaan negara. Justeru itu, pendapatan per kapita yang dikatakan meningkat tetapi tidak menggambarkan taraf hidup sebenar rakyat kerana jurang yang semakin melebar antara kelompok kecil dengan majoriti rakyat, rata-ratanya berpendapatan RM4,000.00 sebuah setiap isi rumah. 

Ekonomi kapitalis berasaskan pasaran bebas yang memberi ruang persaingan terbuka selari dengan tuntutan persamaan hak oleh sistem demokrasi, merancakkan pembikinan jurang ketaksamaan kekayaan antara rakyat. Ekonomi sosialis yang menjanjikan keadilan untuk semua menerusi tuntutan memenuhi keperluan rakyat, agar terukirnya agihan pendapatan dan kekayaan yang seimbang. 

Tradisinya bajet negara kita mengekalkan langkah-langkah meningkatkan KDNK dan taraf hidup rakyat menerusi acuan campuran pendekatan kapitalisme dan sosialisme. Bajet yang dibentangkan lebih 2 jam pada 10/10/2014 lepas, tidak sepatah pun menyebut ekonomi berkat. Konsep berkat tiada dalam kamus sosialisme dan juga bagi penganut kapitalisme. Cita-cita untuk menzahirkan perbelanjaan berhemah, kesejahteraan hidup rakyat tanpa gangguan inflasi dan kemelesetan ekonomi, memberikan reaksi negatif dan kurang yakin. Kesangsian menemui objektif kesejahteraan hidup rakyat menerusi capital economy dan people economy kerana kedua-dua pendekatan ekonomi ini tidak sangkutkan dengan ekonomi berkat, yang menggabungkan nilai-nilai tauhid dengan pengaturan aktiviti ekonomi harian. Batasan ras dan politik kroni menjauhkan penyusunan agihan kekayaan anugerah Ilahi yang diizinkan oleh ekonomi pasaran bebas, melambatkan keadilan untuk semua rakyat yang berhak mendapat rezeki kurniannNya.

 

Selasa, 21 Oktober 2014

Cukai Untuk Semua

BAJET 2015:  CUKAI UNTUK SEMUA

Pembentangan Bajet 2015 oleh YAB Perdana Menteri pada 10 Oktober lepas mendapat reaksi yang positif bagi pembayar cukai. Bajet yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat mencerminkan bajet bersifat mesra pengguna dengan menawarkan beberapa langkah untuk meningkatkan kuasa beli. 

Langkah-langkah memperkukuhkan dasar fiskal yang dibentangkan dalam Bajet 2015 menjawab soalan untuk mengabsahkan negara mengalami masalah kemelesetan ekonomi. Bajet 2015 mewarisi tradisi langkah-langkah menerusi dasar fiskal dan dasar kewangan menghadapi kemelesetan ekonomi. Lebihan penawaran agregat yang tinggi, dengan lambakan barangan tempatan; sektor pertanian dan sektor pembuatan, secara langsung menghimpit kehidupan rakyat yang bergantung kepada sektor berkenaan. Kesukaran dan kesempitan hidup dalam sektor berkenaan yang memberikan kejatuhan kuasa beli pengguna memberi sumbangan besar kepada kemelesetan ekonomi yang berlanjutan semenjak zaman Reformasi. 

Suntikan dalam berbagai bentuk untuk meningkatkan kuasa beli pengguna, ada sedikit kesan kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Lingkaran ekonomi yang saling bergantungan antara pengguna dengan pengeluar, antara petani dengan peniaga, antara buruh dengan korporat, saling membantu antara satu sama lain untuk memantapkan pertumbuhan ekonomi. Saling bergantungan ini masih mengekalkan ketidakadilan dan ketaksamaan ekonomi yang menampakkan kelompok dalam sektor utama menjadi mangsa kepada kemelesetan ekonomi.

Bajet 2015 membentangkan berita baik untuk pembayar cukai. Struktur cukai pendapatan ditambahbaik dengan penurunan kadar cukai berasaskan pendapatan bercukai. Berdasarkan kaedah pencukaian dalam tahun taksiran 2013, individu yang berpendapatan boleh cukai di bawah RM29,725.00, atau pendapatan bulanan di bawah RM2,480.00 umumnya dikecualikan dari membayar cukai pendapatan. Ianya bergantung kepada pelepasan yang ditanggung oleh individu berkenaan. Individu yang memiliki tanggungan yang kecil serta pembayaran yang dibenarkan, membayar cukai pendapatan yang relatifnya rendah.

Bajet 2015 mengurangkan kadar cukai pendapatan dari 2 peratus kepada 1 peratus bagi mereka yang mempunyai pendapatan bercukai dalam lingkungan RM5,000.00 hingga RM20,000.00. Pendapatan bercukai adalah pendapatan agregat atau pendapatan tahunan ditolak pelepasan. Kelompok seterusnya, pendapatan bercukai RM20,000.00 hingga RM35,000.00, dikurangkan dari 6 peratus kepada 5 peratus. Begitulah seterus, pengurangan antara 1 hingga 3 peratus, untuk pendapatan bercukai yang lebih tinggi.

Pelepasan yang tergolong dalam pemotongan cukai berkala (PCB) adalah tanggungan pembayar cukai; diri, isteri, dan insurans, terhad kepada RM15,000.00, disamping pelepasan RM1,000.00 setiap anak bawah 18 tahun.  Pembayaran bukan melali PCB untuk diri seperti faedah pembelian rumah, yuran pendidikan sendiri, pembelian buku dan seumpamanya yang terhad kepada nilai ditetapkan dengan jumlah RM26,300.00. Di samping itu, pembayaran untuk tanggungan ahli keluarga seperti individu kurang upaya, perubatan ibu bapa dan sebagainya terhad kepada RM3,500.00.

Bajet 2015 memberi kelegaan kepada 300,000 pembayar cukai sedia ada kerana pengurangan kadar cukai pendapatan menyebabkan mereka dikecualikan cukai pendapatan. Disimpulkan individu yang berpendapatan di bawah RM4,000.00 sebulan tidak akan terlibat dengan cukai pendapatan. Peningkatan kuasa beli pengguna dijangka naik dengan tindakan fiskal ini. 

Apakah dengan perubahan kadar cukai pendapatan, memberikan 80 peratus isu rumah yang berpendapatan di bawah RM4,000.00 sebulan tidak terlibat sebagai pembayar cukai. Justeru dengan penguatkuasaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula 1 Mei 2015, secara langsung semua rakyat tanpa mengira lingkungan atau garisan pendapatan bulanan, akan menjadi pembayar cukai yang aktif. Dengan kuasa beli pengguna yang meningkat dengan pengurangan kadar cukai pendapatan, pemberian bonus kepada kakitangan awam, BR1M kepada rakyat berpendapatan bawah RM4,000.00 sebulan dan lain-lain insentif, akan meningkatkan permintaan agregat. Peningkatan permintaan agregat ini secara langsung meningkatkan pulangan kepada kerajaan menerusi pembayaran cukai, khususnya cukai tak langsung, cukai jualan dalam bentuk GST. Bajet 2015 adalah satu langkah meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan demi menjayakan GST, satu pengorbanan rakyat membantu negara. 



Isnin, 13 Oktober 2014

Raikan Anak Muda Berpolitik

JANGANLAH JUMUD MELAYANI HAK ANAK MUDA BERPOLITIK

Membaca ulasan media pro UMNO bila beberapa wanita muda Melayu menyertai DAP, mengingatkan senario tipikal  penolakan orang Melayu bila ada jiran sekampung atau sanak saudara menghantar anak ke sekolah aliran Inggeris sebelum Merdeka. Pandangan cerminan watak kolot serta fanatik agama setiap perubahan sosial sesuatu yang negatif. 

Bila DAP mencalonkan Dyana Sofya Mohd Daud dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan tempoh hari, bukan main garang suara kepimpinan UMNO menyerang gadis Melayu lulusan undang-undang itu. Tambahan pula Dyana anak kepada seorang aktivis UMNO peringkat negeri. Cara pengolahan dan penampilan hujjah tentang penyertaan anak-anak muda Melayu ke dalam DAP, lebih menggambarkan bias, berat sebelah dan di luar batasan kotak akademik. Pengaruh serta penekanan emosional menumpulkan daya fikir pembinaan sebuah bangsa Malaysia, sebuah nation building dan kesejagatan Malaysia serta orang Melayu di pentas antarabangsa. 

Nama Dyana Sofya menjadi popular dan watak kontroversi ikut versi UMNO bila terlibat dengan PRK Teluk Intan. Sebagai parti yang memperjuangkan rasisme Melayu, usaha-usaha proaktif anak-anak muda Melayu menyertai politik dianggap sebagai satu ancaman. Ancaman yang membimbangkan survival UMNO kerana tradisinya UMNO yang mengongkong persepsi politik Melayu, menguasai teras politik iaitu politik tradisional. 

Politik feudal tradisional yang bersifat kampungan, mengekang penguasaan dan pengaruh menjadikan jiwa Melayu itu penuh dengan ketakutan hasil berbagai dongengan dan propaganda. Justeru itu, kuasa dan kepimpinan beredar dalam kelompok yang terbatas. Sebarang cubaan untuk memecahkan kelompok disifatkan sebagai satu ancaman masa depan orang Melayu. Di peringkat akar umbi, ada sekatan menghalang seseorang individu sertai parti di peringkat cawangan, khususnya di negeri-negeri tegar sokongan kepada UMNO. Budaya ini, menafikan keterbukaan dan mematikan kepentingan ummah dalam ragam partisipasi politik demokrasi ala Malaysia.

Setelah penyertaan Dyana Sofya, diikuti Syafura Othman dan terakhir Jamila Rahim  menimbulkan kritikan pedas dari setengah pihak, seolah cetusan fenomena ini suatu yang membimbangkan generasi muda. Tulisan pensyarah UTAR, Edwin Micheal dalam portal berita, Free Malaysia Today, memperli kecenderungan baru iaitu gadis Melayu memilih DAP sebagai wadah perjuangan. Tulisan beliau " DAP dan Politik Onani" meletakkan rasa tidak senang perkembangan baru pasca PRU13. 

Penglibatan gadis berpurdah Melati @ Jamila Rahim bersama DAP, sebuah portal tajaan UMNO, mykmu.net, menyelar tindakan gadis itu dalam sebuah rencana bertajuk, "Melalti lebih baik jadi pelacur dari sertai DAP". Wah, hebatnya angan-angan dan khayalan cyber tropper pro UMNO, seolah UMNO parti paling mulia, bermaruah dan penuh dengan estatika utuh. Bagus juga jawapan balas dari anak muda Melayu; berilah peluang anak muda sertai sebuah wadah demi kebebasan, ketelusan dan persamaan hak yang dituntut oleh demokrasi, daripada sertai sebuah parti yang penuh dengan propaganda fitnah, konspirasi politik demi survival serta mengajar rakyat sikap berpecah belah dengan perkauman sempit.

Fokus semua parti dalam pilihan raya umum adalah kepada pengundi muda, pengundi di bawah umur 40 tahun. Dengan inisiatif Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibantu parti-parti politik, kesedaran mendaftar sebagai pemilih semakin meningkat khususnya selepas PRU12. Cetusan gelombang tsunami politik dalam PRU12 memberikan suntikan kesedaran keperluan kepada penglibatan semaksima  mungkin semua rakyat menyertai politik demokrasi kepilihanrayaan. Sebenarnya, kepekaan khalayak masyarakat sivil ke momentun ini bermula lebih awal, iaitu zaman Reformasi yang memberi impaks kepada PRU10 (PRU 1999). 

Hampir separuh pengundi hari ini adalah di bawah 40 tahun di samping separuh adalah wanita, menggambarkan satu keperluan perwakilan yang aktif dan seimbang mewakili kelompok ini. UMNO yang memiliki 88 kerusi di Parlimen, cuma diwakili oleh 10 peratus sahaja dengan 8 orang Ahli Parlimen wanita. Parti Bumiputra Bersatu (PBB), mempunyai perwakilan wanita yang paling tinggi, 4 dari jumlah 14 Ahli Parlimen atau 28 peratus, begitu jugalah Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan 2 dari 4 Ahli Parlimennya wanita atau 50 peratus. Keseluruhannya di pihak penyokong kerajaan dalam Parlimen, jumlah anggota wanita adalah 14 orang atau 10 peratus.

Usaha UMNO merekrutkan kepimpinan pelapis berakarkan sayap Puteri, amatlah dikagumi. 3 bekas Ketua Puteri Pusat dan Ketua Puteri kini menduduki kerusi Parlimen hari ini; Azalina Othman, Noraini Ahmad, Rosnah Rashid Shirlin dan Mas Ermieyati Shamsuddin. Makna UMNO menampilkan separuh anggota perundangan berlatarbelakangkan aktivis anak muda.

Sementara di pihak pakatan pembangkang Parlimen, DAP mempunyai 4 wakil rakyat wanita dari 37 Ahli parlimennya, PKR pula 3 dari 30 Ahli Parlimen, dan Pas 2 orang dari jumlah 21 Ahli Parlimen, masing-masing mewakili 10 peratus setiap parti. 

Sama ada barisan kerajaan mahupun pembangkang, masing-masing memiliki 10 peratus keanggotaan dewan legislatif Persekutuan. Angka ini jauh dari sasaran dan rancangan semua pihak meletakkan angka 30 peratus penyertaan wanita dalam pentadbiran dan pembuat dasar. 

Justeru itu, langkah DAP mengorak langkah mengaktifkan wanita muda Melayu dalam politik sepatutnya disambut baik dan diberi galakan dan sokongan. Sekurang-kurangnya 3 rasionale dapat dikumpulkan;

1. Meningkatkan bilangan perwakilan Melayu mewakili DAP sebagai parti berbilang kaum kerana di Parlimen semasa, DAP diwakili oleh 29 Ahli Parlimen berbangsa Cina, 6 India dan 2 Melayu;

2. Meletakkan wanita Melayu sebagai anggota perundangan kerana hari ini dari 4 Ahli Parlimen wanita DAP, terdiri dari 3 Cina dan satu India. Di peringkat Dewan Undangan Negeri, ADUN wanita dari DAP hari ini adalah 4 di Johor, 2 Pahang, 3 Pulau Pinang, 2 di Perak, 3 di Sarawak dan 4 dalam DUN Selangor, dengan keseluruhannya 19 orang: 18 Cina, 1 India, tanpa wakil dari wanita Melayu.

3. Berbeza dengan parti politik lain, di kalangan perwakilan dewan legislatif sama ada Parlimen atau DUN, lebih separuh wakil rakyat wanita DAP adalah dalam lingkungan umur belia, bawah 40 tahun dan berpelajaran tinggi. 

Ruang dilebarkan oleh DAP adalah satu tajaan politik masa depan yang pragmatis. Anak-anak muda yang terdedah dengan pendidikan politik dan persekitaran anti-demokratik, akan melompat keluar dari kepompong, demi mengejar impian politik baru berasaskan realiti, keharmonian dan keadilan untuk semua. Keberanian kepimpinan DAP meletak anak muda, Hannah Yeoh mengetuai Dewan Undangan Negeri Selangor serta menghantar peguam-peguam muda seperti Teo Nie Ching dan Alice Lau, di samping peguam-peguam muda lelaki ke Parlimen, menjadi ancaman besar dalam perebutan sokongan dan perhatian pengundi muda.

Sentimen rasis UMNO hanyalah sebuah sendiwara untuk meraih sokongan orang Melayu selaku teras kuasa politik tanah air, kerana keahlian UMNO tidak terbatas kepada orang Melayu dan Bumiputera Islam sahaja. Di Sabah, Ketua UMNO bahagian Penampang, Datuk John Ambrose, seorang penganut Kristian. Veteran politik Sabah, John Ghani, juga ahli UMNO penganut Kristian, dalam satu Perhimpunan Agung UMNO menyebut, 8 bahagian UMNO mempunyai jumlah ahli yang ramai bukan penganut Islam; Penampang, Tenom, Pensiangan, Papar, Kota Belud, Keningau, Kota Marudu dan Kudat. 

Di Semenanjung,  cawangan-cawangan UMNO ditubuh di perkampungan masyarakat Thai berugama Buddha di Perlis dan Kedah. Datuk Charen Intrachat, yang mengetuai Persatuan Siam Malaysia dengan keahlian lebih 60,000 orang, adalah Ketua UMNO cawangan Kota Giam Sungai Baru, di Kubang Pasu. Senator Datuk Boon Som a/l Ing, seorang Ketua UMNO Cawangan di Perlis. 

Tidak sewajarnya UMNO yang mengetuai BN mengambil tindakan secara halus menghalang penglibatan anak-anak muda mencari alternatif lain demi memenuhi tuntutan realiti politik baru. Realiti politik yang berasaskan persamaan hak, good governance, tatakelola pentadbiran yang baik dan telus, serta meraikan roh dan semangat demokrasi. Realiti politik yang meminggirkan nilai-nilai rasis, perkauman sempit serta manafikan kemuliaan ilmu dan elemen keadilan.