Jumaat, 29 Mac 2019

Pengerusi SPR Masih Berpihak

SPR ZAMAN PH SAMA SAJA DENGAN SPR ZAMAN BN

Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengaitkan pengundi luar Kelantan dengan sokongan kepada Pas menjelaskan gambaran peranan SPR sebagai sebuah institusi kerajaan. Kerajaan dalam konteks ini dikaitkan dengan parti yang memegang kuasa pemerintahan. Pengerusi SPR, Azhar Azizan yang mengulas masalah terbitan pendaftaran pemilih, sekurang-kurangnya dua isu utama disentuh: pertama - pendaftaran pemilih dengan bilangan yang ramai menggunakan satu alamat tempat tinggal, kedua - pemilih tanpa sedar bahawa nama mereka memohon untuk pindah tempat mengundi. 

Dalam mempersoalkan bilangan pengundi yang tertalu ramai tinggal dalam sebuah rumah atau guna alamat yang sama, adalah perkara lazim dalam sesi bantahan pendaftaran pemilih. Ini khususnya melibatkan perpindahan pemilih ke satu kawasan yang menjadi sasaran strategi parti. Parti yang mempunyai kemudahan untuk akses pendaftaran pemilih lantaran parti yang menguasai kuasa legislatif menguasai kuasa eksekutif. 

Pendaftaran pindah tempat mengundi yang kadang-kadang tidak masuk akal bagaimana bilangan yang ramai boleh tinggal dalam sebuah rumah. Pihak parti lawan yang terlibat dengan kerja-kerja bantahan memerlukan operasi gerakerja yang mantap serta kewangan yang kukuh. Semasa sesi prosiding bantahan, pemilih yang kena bantah datang secara gerombolan diangkut dengan bas sewa khas, yang diatur oleh jentera parti.

Demi membersihkan nama baik serta intergriti jentera pentadbiran dan keadilan untuk semua pihak,  tindakan yang lebih ketat urusan pertukaran alamat atau kerja pendaftaran pindah tempat mengundi, bakal dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah satu usaha menepati penambahbaikan tatakelola pentadbiran awam.

Terdapat strategi memindah pengundi untuk mengurangkan pengundi atau penyokong parti tertentu dari satu bahagian pilihan raya ke bahagian pilihan raya lain. Pemindahan pengundi tanpa disedari oleh pengundi ini dilakukan dengan menukar cip maklumat alamat pengundi dalam sistem data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membenarkan sindiket mendaftarkan pemilih berkenaan di bahagian pilihan raya baru. 

Penulis yang berpengalaman dalam kedua-dua operasi ini; membantah pendaftaran pemilih pindah alamat dan menuntut nama pengundi tidak dikeluarkan dari senarai pemilih sesuatu lokaliti atau daerah mengundi. Kerja-kerja pemindahan pengundi dilakukan di bahagian pilihan sasaran, dengan membawa masuk penyokong dari kerusi yang tiada harapan dan mengeluarkan penyokong lawan untuk mengurangkan kekuatan parti lawan, adalah langkah-langkah popular sejak berdekad dalam urusan pendaftaran pemilih dan amalan operasi SPR.  

Usaha dan pendekatan SPR di bawah Azhar Azizan untuk memulihkan reputasi SPR yang terdedah kepada lebih memihak, agar peranan dan tanggungjawab keadilan untuk semua pihak, haruslah dihargai dan disanjungi. Kenyataan berat sebelah dengan memperlekeh dan menghina pengundi Kelantan yang merantau, seolah-olah tidak menghargai penah lelah dan jerih perantau pulang mengundi mengorbankan wang dan tenaga demi meletakkan peratusan keluar mengundi ada tinggi. Peratusan mengundi menggambarkan penerimaan rakyat ke atas amalan demokrasi dan keyakinan rakyat ke atas amalan demokrasi di negara ini. 

Memperli kesungguhan pengundi Kelantan pulang mengundi di kampung dengan mengundi sebagai tanda sokongan kepada pelaksaan hudud tetapi mereka adalah pengunjung kelab malam semasa di perantauan. Secara langsung bermaksud pulang untuk mengundi dan mengekalkan Kelantan di bawah pemerintahan Pas. Sebagai individu yang memimpin SPR tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan menyerang sebuah parti yang tak sehaluan dengan parti yang menguasai kerajaan Persekutuan yang menaungi agensi SPR. 

Kenyataan yang mensasarkan kerja-kerja pendaftaran pemindahan pemilih yang lebih ketat dan sistematik dari Pengerusi SPR sebagai antara langkah penambahbaikan operasi pendaftaran pemilih dengan mengkambing hitam pengundi Kelantan yang kekal menyokong Pas. Jika di bawah pemerintahan Barisan Nasional, amat jelas Pengerusi SPR menjadi orang suruhan parti yang menguasai kerajaan, tetapi di bawah pemerintahan Malaysia Baru, tanpa berselindung mempertahankan status quo dan amalan lama. Apa pasca PRU14, di bawah Malaysia Baru, parti yang menguasai kerajaan akan terus memiliki kelebihan 3M - money, machinery, media.

 

Sabtu, 23 Mac 2019

Dana Sisters In Islam

APA SALAHNYA SUMBANGAN DANA KEPADA SISTERS IN ISLAM

Sumbangan dana untuk sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sisters In Islam (SIS) oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh meledak kritikan beberapa pihak. Sumbangan sebanyak RM30,000 yang disumbangkan hasil dana awam diperosalkan di atas status SIS adalah sebuah gerakan yang dikasifikasikan sebagai ajaran sesat oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor. SIS bergerak atas fahaman yang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.

Mempersoalkan sumbangan dana awam kepada sebuah badan yang diistiharkan sebagai sesat dari sudut aqidah Islamiah ada logiknya. Sumbangan tersebut sebagai satu pengiktirafan kewibaan dan keterlibatan badan berkenaan memain peranan memperjuangan hak satu kelompok khalayak masyarakat Islam. Sumbangan sebagai penghargaan NGO berkenaan dalam menjaga hak dan kedudukan wanita, sebaliknya dilihat sesuatu tidak sewajarnya berlaku, lantaran status dan kedudukannya yang dipersoalkan oleh sebuah institusi rasmi yang menjaga kepentingan berkaitan dengan pegangan agama. 

Jika sumbangan dari sebuah agensi kerajaan untuk membantu aktiviti sebuah NGO secara umum, yang tidak mengambil kira dari sudut aqidah dan keputusan institusi pengurusan Islam, secara langsung meletakan NGO berkenaan bukan sebuah badan yang ada kaitan dengan agama atau kepercayaan. Walaupun dirangkaikan dengan nama agama, SIS bukanlah dilihat sebuah badan agama dan ianya sama dengan badan sosial yang lain. 

Timbalan Menteri berkenaan meletakkan SIS sebuah badan sosial yang memperjuangkan golongan sasarnya sendiri. Lainlah sumbangan kepada SIS disalurkan melalui mekanisme yang ada kaitan dengan kepentingan Islam seperti bahagian agama Islam di Jabatan Perdana Menteri, JAKIM, Jabatan Agama Negeri atau seumpamanya. Justeru itu, sumbangan kepada SIS sebanyak RM30,000 itu meletakkan status SIS sama dengan NGO lain. Di samping itu, sumbangan kerajaan Persekutuan melalui inisiatif Timbalan Menteri KPWKM untuk aktiviti pembangunan masyarakat bukanlah bermaksud tidak iktiraf atau mencabar keputusan kedudukan SIS oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor. 

Lantaran itu SIS tidak adil disebariskan dengan badan atau kelab lain seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), PERKIM atau seumpamanya. Yang harus dipersoalkan ialah meletakkan perkataan Islam dalam badan seperti SIS berbanding soal sumbangan dana dari pemerintah. Masyarakat perlu seharusnya berani mempastikan kesucian nama Islam itu dicemari dan bercampuraduk antara yang hak dan bathil serta bangkit mengali dan mengenalpasti agenda tersirat musuh untuk mengelirukan ummah.


 

Isnin, 18 Mac 2019

Rahmat Kekalahan PH

APAKAH CETUSAN DASAR EKONOMI MELAYU SEBAGAI RAHMAT DARI KEKALAHAN PAKATAN HARAPAN

Tiba-tiba muncul satu cetusan baru dari kerajaan Pakatan Harapan menerusi kenyataan Datuk Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, bahawa kerajaan akan menggubal satu dasar ekonomi Melayu baharu. Dasar ekonomi ini digubal berteraskan pertumbuhan, menjamin kesaksamaan dan pengkongsian kemakmuranbagi mendepani cabaran ekonomi semasa. 

Dasar ekonomi ini akan mencerakinkan semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang akan meyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia berkonsepkan "shared prosperity" (pengkongsian kemakmuran).  

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam membina sebuah ekonomi baru di bawah Malaysia Baru, kepentingan dan keutamakan nasib orang Melayu sebagai kaum majoriti menjadi agenda utama. Matlamat yang merupakan perlanjutan dari dasar amalan pemerintah terdahulu menjadi teras pembinaan bangsa menerusi kontrak sosial, dengan meletakkan tumpuan dan menjaga kepentingan orang Melayu. 

Penggubalan dasar ekonomi yang memberi tumpuan kepada agenda Melayu sekurang-kurangnya menepis persepsi pemerintahan Pakatan Harapan yang tidak meletakkan keutamaan kepada kepentingan orang Melayu dan kaum Bumiputera. 

Apakah secara kebetulan pengumuman cadangan penggubalan dasar ekonomi ini dilakukan selepas beberapa siri pilihanraya kecil (PRK). Kebetulan dua PRK terakhir tidak memihak kepada parti pemerintah. Walau bagaimanapun umumnya tafsiran awal melihat ianya sebagai impaks dari keputusan PRK. 

Keputusan dua PRK terakhir iaitu PRK Cameron Highlands dan PRK Semenyih, sungguhpun ianya secara khusus satu cetusan suara rakyat tempatan atau kawasan tertentu tetapi secara umum digambarkan satu keputusan mewakili skala yang lebih besar. Ianya diletakkan sebagai satu ujian sikap rakyat hasil kerja buat pemerintah baru yang memasuki tahun kedua. Kedua-dua PRK tersebut merumuskan penolakan pengundi Melayu kepada parti yang mewakili pemerintah, secara langsung satu alamat jelas pandangan rakyat ke atas prestasi pemerintahan Malaysia Baru.

Kemenangan calon pembangkang, Barisan Nasional (BN) yang lebih besar berbanding PRU14 serta kejayaan BN merampas kerusi Semenyih, hasil daripada penyatuan undi Melayu. Dalam PRU14, di kedua-dua kerusi berkenaan, undi Melayu berpecah kepada sokongan kepada calon BN dan Pas,sedangkan dalam kedua-dua PRK berkenaan, Pas tidak meletakkan calon untuk membolehkan penyokongdan pengundinya menyokong calon tunggal pembangkang. 

Apa yang hendak disoalkan ialah apakah rancangan menggubal satu dasar ekonomi Melayu sebagai satu penyelesaian kepada persepsi pengundi Melayu tentang ancaman dasar dan pemerintahan baru terhadap masa depan orang Melayu. Hasil PRK tersebut merumuskan kebimbangan tentang ancaman kepada orang Melayu oleh dasar dan pembawaan pentadbiran PH. Kiranya hakikinya atau apa yang tersirat penggubalan dasar ekonomi ini sebagai hikmah dan rahmat kekalahan calon-calon PH dalam PRK berkenaan.

Bacaan awal pasca PRK Cameron Highlands dan Semenyih meletakkan rasa tak puas hati hasil dasar pemerintahan semasa yang boleh mengancam kedudukan, kebajikan dan kepentingan orang Melayu dan Islam di masa hadapan, sebagai antara faktor kemerosotan undi PH. Di samping itu, pendekatan pemerintahan baru yang menimbulkan rasa curiga kepada orang Melayu dan Islam, dalam kerangka rahmatul alamin melayani kemajmukan masyarakat Malaysia.
.

 

 


Isnin, 11 Mac 2019

Cabaran dari Malaysia Baru

CABARAN DARI KERAJAAN MALAYSIA BARU

Tindakan  Kerajaan Malaysia Baru dalam pentadbirannya selepas 9 bulan mengambil alih pemerintahan kerajaan Persekutuan memperlihatkan cabaran getir yang terpaksa dihadapi oleh semua pihak. Sama ada ianya lebih merupakan satu ancaman berbentuk persepsi atau ledakan yang menjurus kepada situasi yang tak pastinya tidak dapat dielakkan, ianya lebih adalah perubahan polisi dan tindakan yang akan ditelan oleh semua warga. 

Sekurang-kurangnya lima isu semasa dihidangkan untuk dikecapi rakyat. Pertama ialah ulasan atau kesimpulan daripada termaktub kerjasama dua parti terbesar mewakili orang Melayu iaitu UMNO dan Pas. Ulasan awal daripada Setiausaha Agung DAP dan seorang menteri kanan, Lim Guan Eng yang menyebut ianya adalah permulaan kepada perang terhadap penduduk bukan Melayu. Sementera, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengingatkan rakyat Malaysia kerjasama UMNO-Pas akan menjurus kepada pemerintahan ala-Taliban, kiranya kerjasama tersebut menghasilkan mengambilalihan pemerintahan Malaysia. Sepintas lalu, kenyataan tersebut membayangkan kebimbangan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan akan membentuk kepada pemerintahan satu kaum yang lebih rasis dan ketepikan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Apakah ianya sekadar satu kebimbangan ekoran usaha mengiratkan kerjasama UMNO-Pas yang menjelaskan senario politik pasca PRU14.

Tuduhan dan pandangan kepimpinan tertinggi seumpama ini mengajak rakyat mengetepikan realiti dan situasi latar sosio-politik negara. Mana mungkin boleh membentuk sebuah pemerintahan ala-Taliban dalam sebuah pemerintahan yang berteraskan demokrasi berparlimen, yang memberikan rakyat menentukan kuasa penentu setiap lima tahun. Di samping itu, pandangan bersifat rasis dengan prasangka melampau di luar batasan pemikiran demokratis, melanggari batasan kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan bangsa dan negara.

Isu kedua ialah gerakan perjuangan LGBT yang mendapat tempat dan bertambah rancak selari dengan perubahan pemerintahan.  Semarak gerakan LGBT selari dengan gagasan Malaysia Baru, sungguhpun kepimpinan kerajaan sudah menolak tuntutan gerakan berkenaan. Kesempatan dari keterbukaan atau pendekatan pentadbiran Malaysia Baru dengan "rahmatul alamin" dalam hubungan antara pegangan kepercayaan dan antara kaum, telah meletakkan perjuangan LGBT mengambil ruang yang aktif. 

Isu ketiga; kegiatan menghina peribadi Nabi Muhammad s.a.w, lebih terbuka dan rancak selepas perubahan pemerintahan. Kegiataan menghina Rasullullah ini bukan sekadar menghiris perasaan orang Islam, tetapi yang lebih merupakan  ancaman dan cabaran terhadap Islam. Cabaran ini menjadi kewajiban penganut Islam mempertahankan demi kesucian dan maruah agama itu sendiri. Sungguhpun tindakan oleh pihak berkuasa sudah diambil dari sudut perundangan, tetapi ianya lebih merupakan antara ancaman dan cabaran dalam sebuah negara yang berbilang kaum, di mana Islam bukan sahaja agama rasmi malah yang lebih penting ialah gurisan hari penganut Islam yang merupakan 63% penduduk di Semenanjung khususnya. 

Isu keempat; isu hilang pekerjaan. Di bawah pentadbiran Malaysia Baru, sudah 45,000 tenaga kerja telah dihentikan kerja. Nasib golongan yang dibuang kerja kesan dari dasar kerajaan dan pendekatan kerajaan baru menjadi isu besar kerana ianya melibatkan berbagai faktor kehidupan dan tanggungjawab sosial. Pemberhentian kerja yang menjadi masalah tanggungan; persekolahan anak, perbelanjaan semasa termasuk sewa rumah, serta berbagai bayaran. Isu yang membawa kepada kehimpitan kehidupan ini yang akan menjejaskan pembelajaran dan masa depan generasi.

Isu kelima; ancaman kepada institusi Raja. Difahamkan institusi Raja terjejas teruk apabila negara kita di bawah Malaysia Baru menjadi ahli Statut Rome. Apabila sesebuah negara menerima keahlian ini secara langsung menafikan hak keistimewaan seseorang, di mana seseorang Raja yang memerintah boleh didakwa dan dikenakan hukuman ke atas sebarang kesalahan yang diperuntukan oleh undang-undang hendaklah menghantar orang yang kena dakwa bila dituntut oleh negara lain yang ikut tandatangan perjanjian. Pada 04/03/2019 baru ini, Malaysia telah menandatangani perjanjian "Rome Statute of the International Criminal Court". Menerusi perjanjian ini sesebuah negara perlu mematuhi perjanjian menghantar seseorang yang dituduh ke negara yang menuntut. 

Sabtu, 2 Mac 2019

PRK Semenyih 3

KEPUTUSAN PRK SEMENYIH ADALAH SEBUAH CETUSAN SUARA REFERENDUM RAKYAT

Hari ini, 02/03/2019, pengundi kawasan pilihan raya negeri Semenyih telah membuat keputusan mengubah pilihan mereka lakukan sembilan bulan lalu. Dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) mereka telah memberikan kemenangan besar kepada Pakatan Harapan, setinggi 8,964 undi. 

Kekalahan atau kegagalan calon PH mempertahankan undi sebanyak 23,428 undi dalam PRU14, dengan jelas memperlihatkan satu manifestasi penolakan rakyat terhadap sebuah kerajaan yang baru dibina. Memperolehi undi sebanyak hanya 17,866 undi dalam PRK hari ini iaitu kemerosotan sebanyak 5,526 undi atau 23.7%, sesuatu yang mencerminkan populariti yang terjejas. Kemerosotan 23.7% undi yang lebih besar berbanding pengurangan peratusan keluar mengundi menyumbangkan kemerosotan prestasi PH. 

Dalam PRU14, seramai 88% pengundi telah keluar membuang undi, sementara dalam PRK hanya 73.3% keluar mengundi iaitu pengurangan 14.7%. Jika mengambil alasan kemerosotan undi lantaran peratusan keluar mengundi yang berkurangan, meletakkan dengan lebih jelas penurunan sokongan kepada PH. Lebih tepat disimpulkan, dengan jelas PH kehilangan penyokong dalam tempoh sembilan bulan. Kegagalan PH menunaikan janji pilihanraya yang lunak dan menawan berkecenderungan berlakunya kekecewaan mereka yang mengundi PH dalam PRU14. Di samping itu, isu-isu nasional yang berfokus kepada ancaman kepada masa depan orang Melayu dan agama Islam di bawah pentadbiran PH memberikan saham kemerosotan sokongan yang diraih PH. 

Peratusan keluar mengundi 73.3% yang dicatat  dalam PRK N24, adalah paling tinggi berbanding lima PRK selepas PRU14. Berpandukan peratusan keluar mengundi tersebut mempertontonkan kecaknaan dan kesungguhan pengundi dalam satu PRK untuk menyuarakan harapan dan bantahan. Di samping itu, lazimnya dalam mana-mana PRK, peratusan keluar mengundi memberikan advantage atau kelebihan kepada parti pemerintah. Kekalahan sebuah parti mewakili kerajaan bermodalkan majoriti besar yang sepatutnya jika tidak mampu pertahan kerusi boleh menang dengan majoriti yang merosot.  Faktor yang menolak dapatan, kajian dan analisis beberapa pihak, bahawa faktor PH berada di bangku kerajaan mampu PH mempertahankan kemenangan. 

Peranan Pas yang memperolehi 15.09% dalam PRU14 dan tidak sertai PRK N24, adalah salah satu faktor utama membantu Barisan Nasional menumbangkan PH yang awalnyadisifatkan dalam situasi selesa. Kerjasama Pas dengan BN menjadikan faktor utama mengubah keputusan PRK ini. BN berjaya meningkatkan undinya dari 14,464 undi dalam PRU14 kepada 19,780 undi iaitu pertambahan 5,316 undi atau 36.75%. 

Dianggarkan undi Pas yang sebanyak 6,966 undi dalam PRU14 telah menyumbangkan sekitar 5,000 undi kepada BN iaitu 73% dari undi Pas diambil kira 73% angka keluar mengundi hari ini. Ini bermakna di sekitar 300 hingga 500  undi sahaja, pengundi PH yang melakukan ayungan kepada BN, jika dia dikira semua pemilih yang memberi undi kepada BN dalam PRU14 keluar membuang undi dan mengekalkan sokongan dalam PRK hari ini. Jika 73% angka keluar mengundi dijadikan asas perkiraan dengan 73% pengundi BN dalam PRU14 keluar mengundi hari ini,  angka penyokong PH yang lari adalah di sekitar  4,000 pemilih. Pokoknya ialah angka pengundi yang meninggalkan PH juga banyak membantu memenangkan BN. 

Kerjasama Pas dengan BN, khususnya UMNO yang menampakkan kesan dalam PRK Cameron Highlands, mengukuhkan lagi hasil kerjasama tersebut dalam PRK N24. Jika faktor ini berkelanjutan, kuasa pembangkang akan lebih berkesan dan satu kuasa baru yang mengancam kerajaan sedia ada. 

Faktor 'malu apa, bosku' dengan penampilan DS Mohd Najib, mantan PM adalah satu lagi faktor yang mendominasi PRK N24. Tidak ada pihak yang mempopularkan faktor ini sebagai faktor yang boleh menggugat jentera dan sokongan PH, untuk membantu serangan isu-isu nasional yang menghimpit keselesaan kerajaan PH. 

Apapun kekalahan calon PH dalam PRK N24 bolehkan difokuskan kepada dua faktor utama. Pertama, sebagai satu pungutan suara walaupun di satu daerah tetapi secara tidak langsung menyuarakan bantahan rakyat keseluruhannya terhadap isu pentadbiran kerajaan PH di peringkat nasional khususnya. Kedua, PRK ini mempamirkan kekuatan suara sebahagian rakyat yang menyokong kerjasama dan perpaduan antara dua parti Melayu terbesar; UMNO dan Pas.