Jumaat, 10 Jun 2016

PRK Sungai Besar

BILA ADUN LAWAN ADUN

Menarik juga meninjau ke Pilihan Raya Kecil P93 Sungai Besar pada 18/06/2016 ini ada menyaksikan persaingan antara 2 ADUN Selangor, masing-masing mewakili UMNO/BN dan Pas, dalam kekalutan andaian Pas bakal menjadi penasihat kepada kerajaan BN. Parti Amanah Negara, serpihan Pas yang turut bertanding, lebih terkedepan menghighlights dakwaan kerjasama Pas dan BN. 

Kawasan pilihan raya Parlimen Sungai Besar dari segi komposisi pemilihnya sama seperti Parlimen Kuala Kangsar yang akan mengadakan PRK serentak pada 18/06/2016 ini. Untuk PRK ini, jumlah pemilih terlibat adalah seramai 42,655 orang, dengan pemilih Melayu seramai 67.16%, 30.70% Cina, 1.92% India dan 0.23% lain-lain kaum. Tradisinya Sungai Besar dulunya sebuah kerusi DUN di bawah Parlimen Sabak Bernam adalah persaingan antara UMNO/BN dengan Pas, di kawasan kubu UMNO.

Kawasan pilihan raya Parlimen Sabak Bernam mengandungi 2 kerusi negeri; Sabak dan Sungai Besar, mengikut persempadanan kawasan pertama yang digunakan dalam PRU1 hingga PRU3. Persempadanan kawasan pilihan raya dalam tahun 1973 setelah Kuala Lumpur dikeluarkan dari negeri Selangor, untuk membentuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, berlaku sedikit tambahan kawasan pilihan raya Parlimen di Selangor dan Kuala Lumpur. Di negeri Selangor, setiap kawasan Parlimen ditambah menjadikan 3 kerusi DUN.  

Satu kawasan Parlimen baru diwujudkan di barat laut Selangor. Kawasan pilihan raya negeri Tanjong Karang dijadikan kawasan Parlimen baru dengan mengambil sebahagian daerah mengundi dari Sabak Bernam dan Kuala Selangor. Kawasan pilihan raya negeri di bawah Parlimen Sabak Bernam; Sabak dijadikan dua kawasan pilihan raya negeri; Sungai Ayer Tawar dan Sabak. Kawasan pilihan raya negeri Sungai Besar dipecahkan kepada dua kawasan pilihan raya negeri: Sungai Besar dan Sungai Panjang, di mana kerusi Sungai Panjang membentuk kawasan Parlimen baru; Tanjong Karang bersama Sekinchan dan Sungai Burong. 

Persempadanan kawasan pilihan raya 2003, dengan agenda utama menambahkan kawasan campuran hasil ayungan undi Melayu kepada pembangkang dalam PRU 1999,  kawasan pilihan raya Parlimen Sabak Bernam terlibat sama. Kawasan pilihan raya Parlimen dikecilkan kepada dua kawasan pilihan raya negeri. Kawasan pilihan raya negeri Sungai Air Tawar dan Sabak membentuk Parlimen Sabak Bernam, sementara kawasan pilihan raya negeri Sungai Panjang dicantumkan semula dengan daerah mengundi dari kerusi Sungai Besar dulu dan digabungkan dengan kawasan pilihan raya majoriti Cina, Sekinchan, mewujudkan kawasan pilihan raya baru, Parlimen Sungai Besar. 

Dalam pilihan raya 1999, berlakunya perpindahan undi besar dari BN ke Pas di kawasan majoriti Melayu; Sabak, Sungai Besar dan Sungai Panjang, sementara kawasan majoriti Cina, Sekinchan memberi kemenangan besar kepada BN. BN cuma menang 615 undi di Sabak, 165 undi di Sungai Panjang dan kalah 156 undi kepada Pas di Sungai Besar, tetapi menang besar, 2044 undi di Sekinchan mengalahkan DAP. Pembentukan kawasan pilihan raya baru P93 Sungai Besar menjelaskan keperluan pembentukan kawasan campuran yang lebih banyak keuntungan kepada BN.

Pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengembalikan sokongan orang Melayu kepada BN, menerusi PRU 2004 (PRU11), di Sungai Besar, bagi kerusi negeri Sungai Panjang, BN menang besar majoriti 5,460 undi atasi calon Pas setelah memungut  69.5% undi dan sebaliknya di Sekinchan, DAP menang 344 undi. Bagi kerusi Parlimen, BN menang setelah perolehi 66.0% undi, dengan majoriti 7,349 undi. 

Dalam PRU 2008 (PRU12), pencapaian dan keputusan pilihan raya bagi kerusi-kerusi dalam kawasan Sungai Besar tidak jauh beza dengan PRU11, sungguhpun berlaku lonjakan besar alihan undi bukan Melayu dari BN ke pakatan pembangkang. Perubahan mendadak berlaku dalam PRU13 bilamana peningkatan undi yang tinggi berlaku ke atas perolehan undi calon-calon Pas dan DAP. Bagi kerusi Parlimen Sungai Besar, Allahyarham Noriah Kasnon yang mempertahankan kerusi hanya menambah sebanyak 2,625 undi sahaja iaitu dari 16,069 undi (PRU12)ke 18,695 undi (PRU13), sementara calon Pas berjaya menaikkan undi dari  11,060 undi ke 18,296 undi atau pertambahan 7,236 undi, menyebabkan BN cuma menang dengan majoriti undi yang kecil iaitu 399 berbanding majoriti 5,009 undi dalam PRU12. Di kerusi negeri, Sungai Panjang, Pas berjaya mengurangkan majoriti undi kemenangan BN dari 5,828 kepada 2,183. Sementara di Sekinchan, DAP mengulangi kemenangan dengan meningkatkan majoriti dari 190 kepada 2,239 undi. 

Senario di atas menjadikan PRK Sungai Besar, walaupun kubu UMNO sejak merdeka lebih menarik untuk diperhatikan walaupun pakatan pembangkang sudah berpecah. Sungguhpun Pas sudah tiada lagi dalam pakatan pembangkang, tetapi Pas mampu menang di kerusi negeri Sungai Besar dalam tahun 1999, semasa pemilih Cina terikat kemas dengan BN.  

Melihat kepada BN dan Pas masing-masing mempertaruhkan ADUN, memperlihatkan kerusi Sungai Besar tidak boleh dipandang mudah. BN pernah mempertaruhkan seorang ADUN dalam kawasan Parlimen yang sama untuk satu PRK. Dalam PRK Parlimen Permatang Pauh pada 26/08/2008, ADUN Seberang Jaya, Arif Shah Omar Shah dicalonkan oleh BN untuk menentang calon PKR, DS Anwar Ibrahim.   Untuk menandingi seorang tokoh pembangkang terkenal, BN kebingunan mencari winnable candidate, akhirnya dipilihlah ADUN dalam kawasan berkenaan. Dalam PRK Permatang Pauh, bukan sahaja calon BN, Arif Shah kalah, tetapi pungutan undi beliau ketinggalan di belakang calon PKR bagi kawasan Seberang Jaya, dengan kata lain, beliau sendiri pun kalah di kawasan yang diwakilinya sendiri. 

Pas pula membawa ADUN dari luar kawasan Sungai Besar, Dr Rani Osman dengan harapan tinggi prestasi yang ditunjukkan oleh calon Pas dalam PRU13 dapat dikekalkan, yang boleh membawa saingan sengit dalam PRK ini. Pas mengumumkan seorang ADUN bertanding di PRK P93 ini lebih awal berbanding parti lain. Adakah ada kaitan BN terpaksa memilih Budiman Mohd Zohri, juga seorang ADUN untuk menyaingi Pas. Bezanya, Budiman adalah ADUN dalam kawasan berkenaan sebagaimana BN memilih Omar Shah untuk menentang DS Anwar Ibrahim dulu. Sememangnya dalam mana-mana PRK, populariti dan kewibawaan calon adalah antara kriteria utama pemilihan calon oleh mana-mana parti. 

Berbeza dengan Parti Amanah Negara, sekadar meletakkan calon muka baru dan pemimpin tempatan, berbanding nama-nama besar kepimpinan parti. Perhatian ditumpukan kepada apakah agenda dan harapan sebuah parti baru sekadar mempertaruhkan orang baru berdepan dengan calon-calon dari parti yang sudah establish dengan nama yang sudah dikenali ramai.  

Langkah Pas mengumumkan calon lebih awal diikuti dengan BN juga menamakan ADUN, gagal mengajak Parti Amanah untuk turut mengambil pendekatan sama. Parti Amanah walaupun baru tetapi sudah memiliki beberapa orang wakil rakyat Parlimen dan DUN ekoran episod melarikan kerusi. Parti Amanah boleh mengutarakan ADUN Hulu Kelang atau ADUN Morib untuk menjadikan PRK P93 adalah persaingan antara ADUN demi mewujudkan betul-betul "battle of the giants" di luar dewan negeri. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan