Sabtu, 29 Ogos 2020

PRK Slim 2

IMPAKS PRK SLIM KEPADA MUAFAKAT NASIONAL

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim secara langsung menggambarkan manifestasi mesej rakyat khususnya di kawasan luar bandar yang menerima pendekatan politik baru yang lebih menjurus kepada berpusatkan Melayu-Islam sebagai teras. Kejayaan calon Barisan Nasional menerusi calon UMNO bukan sahaja mampu mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRU14 telah membuktikan kekuatan sebenar menerusi persepakatan Muafakat Nasional. Kekuatan sebenar tenaga UMNO dan Pas bersama Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam mempertaruhakan Muafakat Nasional sebagai satu wadah baru untuk memenuhi tuntutan semasa. 
 
Calon BN/UMNO, Mohd Zaidi Aziz memperolehi 13,060 undi atau 83.45% daripada jumlah undi sah, mempamerkan kejituan kerjasama UMNO-Pas, di mana dalam PRU14, BN perolehi 8,327 undi atau 44.83% dan Pas dapat 4,103 undi atau 22.09%, yang menjumlahkan 12,430 undi atau 66.92%. Sementara 6,144 undi atau 33.08% oleh calon Pakatan Harapan menerusi calon Bersatu dalam PRU14, di mana mampu membantu calon BN dalam PRK Slim meningkatkan pungutan undi kepada 83.45%. 
 
Oleh kerana peratusan keluar mengundi yang berkurangan dalam PRK Slim hari ini, iaitu 68.4% berbanding 81.5% dalam PRU14 dua tahun lalu, yang menyaksikan kekurangan  lebih 3,100  pengundi  yang mengundi dalam PRU14 tidak keluar mengundi hari ini. Ini serba sedikit mengurangkan pungutan undi sebenar penyokong BN, Pas dan Bersatu mengekalkan undi, tetapi hakikinya sokongan adalah meningkat berasaskan kepada peratusan sokongan.
 
Calon  bebas yang secara langsung mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serpihan parti Bersatu, Amir Kusyairi Mohamad Tanusi, hanya perolehi 2,115 undi atau 14.64% undi sah, jauh berkurangan dengan undi calon Bersatu yang mewakili PH dalam PRU14. Dalam PRU14, calon Bersatu perolehi 6,144 undi atau 33.08% undi sah. Dengan peratusan keluar mengundi yang berkurangan, calon bebas hanya mampu mengutip tak sampai separuh dari undi parti asal, Bersatu. 
 
Pencapaian undi calon bebas dari parti Pejuang ini dapat membantu analisis sokongan dan kekuatan parti Bersatu, yang telah berjaya menarik lebih separuh penyokongnya bersamanya dalam pakatan baru, Muafakat Nasional. Sungguhpun bertanding sebagai calon bebas, beliau mendapat sokongan dari jentera PH yang menurunkan tokoh-tokoh besar PH membantu berkempen. Antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Mohammad Sabu, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar bersama beberapa pemimpin DAP dan PKR. 

PRK Slim menterjemahkan bagaimana BN  disokong oleh Pas dan Bersatu berjaya menarik peralihan undi kepada BN menerusi Muafakat Nasional dalam konteks politik baru serta mengurangkan sokongan kepada blok pembangkang sebagaimana hasil beberapa PRK selepas PRU14. Retorik kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan, gagal menarik simpati rakyat menolak kerajaan Perikatan Nasional hari ini. 

Dalam PRK Slim, BN berjaya merampas semula 6 daerah mengundi yang mereka tewas dalam PRU14, menjadikan semua 13 daerah mengundi milik BN. Tiga daerah mengundi yang memberikan undi yang besar kepada PH dalam PRU14, tidak mampu membantu blok pembangkang kali ini. Antara perubahan paling jelas adalah di daerah mengundi Sungai Slim Utara yang mengandungi 60.85% pengundi Cina, BN hanya dapat 17.85% undi dalam PRU14, tetapi dalam PRK Slim perolehi 61.28%, Dalam PRK, BN raih 660 undi, calon bebas (Pejuang) 356 undi, berbanding BN hanya perolehi tak sampai 200 undi sementara PH dapat lebih 700 undi dalam PRU14. 

BN merampas undi di daerah mengundi Kampong Kuala Slim, bila perolehi 967 undi berbanding calon bebas (Pejuang) yang hanya raih 200 undi. Di samping itu, BN mampu merampas daerah mengundi yang BN kalah teruk dalam PRU14 di Pekan Slim, bila BN pungut 1,047 undi untuk atasi calon bebas (Pejuang) yang peroelhi 353 undi. 

Seorang lagi calon bebas S, Santharasekaran, tidak memberi kesan dan ancaman dalam PRK ini, bila hanya perolehi 276 undi atau 1.91% dan hilang wang pertaruhan, hanya mendapat undi di peti undi sekitar pekan Slim. 

Prestasi BN dalam PRK Slim yang mempunyai 74.61% pengundi Melayu, 13.19% India, 10.42 Cina dan 0.29% Orang Asli menjelaskan keupayaan  BN menarik semula sokongan berbagai kaum, satu mesej menarik untuk dianalisis dinamika politik baru di Malaysia, khususnya selepas tumbangnya kerajaan PH 6 bulan lalu. PRK Slim adalah acuan menarik menganalisis politik berpaksikan Melayu-Islam dengan mengambilkira tanpa meminggirkan kaum-kaum ini, untuk melengkapkan analisis kepada beberapa PRK khususnya bermula 2019, bersamaan dengan 8 bulan pemerintahan PH.
 
 

 

Isnin, 24 Ogos 2020

Mandat Baru

 PERLUNYA MANDAT BARU KERAJAAN PERSEKUTUAN

Hasil pengundian Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjan) Tahun 2020 di Dewan Rakyat minggu lepas memperlihatkan tidak selesanya kedudukan kerajaan Persekutuan hari ini. Seramai 111 orang Ahli Dewan Rakyat menyatakan sokongan, 106 ahli tidak bersetuju dan baki 5 orang ahli tidak hadir. Sokongan dari angka 111, mengulang catatan sokongan kepada perlantikan Speaker Dewan Rakyat tempoh hari. Dalam kedua-dua situasi, 2 ahli penyokong kerajaan tidak hadir/tidak sertai undian. Menguasai 113 suara oleh kerajaan yang memerintah kerajaan Persekutuan sejak penubuhan kerajaan selepas tumbang kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH), meletakkan kerajaan Persekutuan di tepian beranda. Bila-bila masa saja terdedah kepada berbagai kemungkinan. Sampai bila, kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang dibina di atas pemuafakatan Ahli Dewan Rakyat dari berbagai parti,  hendak bertahan dengan simple majority. 
 
Kerajaan yang dibina pada asas pemuafakatan di kalangan ahli dewan, tanpa diikatkan dengan satu organisasi formal, maksudnya tanpa badan berdaftar atas nama parti politik yang boleh disifatkan sebuah pemerintahan sementara. Berbekalkan sokongan 113 dari 222 ahli, hanya dijarakkan oleh 4 ahli dengan blok pembangkang, walaupun sudah lulus dua ujian; perlantikan speaker dewan dan meluluskan RUU perbekalan, secara  relatifnya memberikan hak kepada pemerintah semasa untuk terus berkuasa dalam suasana yang amat mencabar.
 
Sudah melepasi dua ujian dengan 111:109 dan 111:106, pemerintahan pimpinan PN memerlukan kedudukan yang lebih mantap dengan melebarkan perbezaan kerusi kerajaan: pembangkang. Angka di pihak kerajaan masih tidak berubah semenjak mandat diamanahkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Sebagai sebuah kerajaan rasionalnya akan membina keyakinan menguatkan barisan blok kerajaan menerusi perpindahan kerusi pembangkang ke pihak kerajaan. Lazimnya, kerajaan dibentuk selepas sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan simple majority atau majoriti tipis akan menarik ahli dari blok pembangkang dari masa ke semasa. 
 
Situasi di Dewan Rakyat yang amat mendesak memerlukan semua ahli hadir sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang, kerana masing-masing ada kepentingan masa sesi pengundian sesuatu usul. Isu seorang menteri yang gagal patuhi kuarantin wajib berkait rapat dengan kehadiran mendesak ahli dewan masa sesi pembentangan usul. Logiknya, menteri berkenaan yang sepatutnya tidak hadir masa persidangan Dewan Rakyat pada 13/07/2020 iaitu hari ke 6, beliau berada di tanah air. Sepatutnya beliau dikuarantin 14 hari sehingga 21/07/2020.  Tanpa kehadiran beliau pada hari berkenaan, undian menyokong perlantikan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat akan perolehi 110 lawan 109. Cukup sengit dan mendebarkan, menggambarkan kerajaan majoriti satu kerusi, sebagaimana kerajaan Kelantan sesi 2004-2008. Kerajaan Kelantan dianggotaikan sepenuhnya ahli dewan perundangan dari satu parti, mereka diikat oleh mandat dan ikrar mempertahankan parti menguasai kerajaan berbanding kerajaan Persekutuan dibentuk oleh ahli berbagai parti dengan berbagai dasar, halatuju dan perjuangan dan diikat kepatuhan keputusan parti masing-masing.
 
Sungguhpun menteri berkenaan sudah didenda RM1000 dan istihar menyumbangkan 4 bulan gaji kepada tabung Covid-19, tidak dapat menafikan kelemahan intergriti dan perlanggaran SOP seorang pemimpin nasional. Tindakan beliau secara individu dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pun setelah isu dibangkitkan oleh seorang Ahli Parlimen pembangkang. Pihak PDRM baru membuka kertas siasatan. 
 
Seandainya menteri berkenaan didapati bersalah bila dihadap ke mahkamah dengan denda melebihi RM2000 yang menghilangkan kelayakan  sebagai ahli dewan, mengurangkan majoriti penyokong kerajaan di Parlimen. Ini membuka jalan ringkas kepada pembubaran Dewan Rakyat untuk PRU15. Kes menteri ini, mendedahkan ruang terbuka untuk mandat baru kepada rakyat yang telah mula bersuara semenjak tumbangnya kerajaan pimpinan PH, 6 bulan lalu. 

Ahad, 16 Ogos 2020

PRK Slim 1

 PRK SLIM SEBAGAI MEDAN UJIAN

Pilihan Raya Kecil N58 Slim bakal menjanjikan ujian sebenar kekuatan Pakatan Nasional dan Pakatan Harapan. Justeru keputusan kepimpinan Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi pengumuman Presidennya, TS Muhyiddin Mohd Yassin, Bersatu akan memohon menyertai Muafakat Nasional yang dianggotai UMNO dan Pas, teras kekuatan politik utama hari ini haruslah dirujuk kepada kekuatan Muafakat Nasional (MN) mewakili blok kerajaan. Blok pembangkang pula, setelah keluarnya Bersatu dari Pakatan Harapan (PH) serta ketidaktentuan posisi yang membawa kepada kumpulan yang tersingkir dari Bersatu membentuk blok tersendiri, blok bebas di Parlimen, masih boleh dirujuk sebagai PH walaupun kini membentuk PH Plus. Namun begitu, walaupun blok bebas pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti baru, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), blok pembangkang masih relevan dirujuk sebagai PH secara umumnya. 

Semalam, tiga individu mendaftarkan diri pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim. UMNO yang mempertahankan kerusi diwakili oleh Mohd Zaidi Aziz, 43 tahun. Lantaran kerusi ini diperuntukkan kepada Bersatu mewakili PH dalam PRU14, Amir Khusyairi Mohammad Tanusi, 38 tahun dipilih mewakili blok bebas (bekas anggota Bersatu) bertanding sebagai calon bebas kerana parti yng ditubuh kumpulan ini, Parti Perjuang masih belum didaftarkan mewakili blok pembangkang. Santharasekaran a/l Subramaniam,  44 tahun ikut sama menawarkan diri sebagai seorang calon bebas. 

PRK ini adalah PRK kedua selepas perubahan tampuk kuasa kerajaan Persekutuan. Sungguhpun PRK Chini, PRK pertama di bawah kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN), ada persamaan  latar belakang dengan PRK Slim, apabila UMNO yang pertahankan kerusi dicabar oleh calon-calon bebas, secara langsung menampakkan satu saingan berat sebelah dan calon UMNO yang bertanding atas logo BN akan menang mudah. Di Chini, dalam PRU14, saingan lebih dikuasai oleh UMNO/BN lawan Pas, dengan calon PH ketinggalan di belakang hinggakan hilang deposit. Sebaliknya di Slim, calon Bersatu mewakili PH telah memberikan cabaran kepada calon UMNO/BN, dengan calon Pas berada di belakang tetapi dengan pungutan undi yang agak mencabar. 

Keputusan PRU14 bagi kerusi N58 Slim:

Mohd Khusairi Abdul Talib (BN)  8,327 undi  atau 44.83%.

Mohd Amran Ibrahim  (PKR)       6,144 undi  atau 33.08%.

Muhammad Zulfadli Zainal (Pas) 4,103 undi atau  22.09%.

Kemenangan calon UMNO dengan majoriti 2,183 undi sudah tentu memerlukan sokongan padu pengundi Pas untuk menjamin keputusan cemerlang sebagaimana dalam PRK Chini yang menggambarkan keberkesanan dan realiti pemuafakatan politik baru pasca PRU14. Sungguhpun calon Pas berada tercorot dalam PRU14 di Slim, tetapi 22.09% undi yang dipungut akan memberi impaks besar kepada pemuafkatan politik baru, berbanding nasib calon Bersatu di Chini dalam PRU14 yang menyebabkan blok pembangkang tak mampu untuk ikut serta dalam PRK Chini tempoh hari. Seorang pemimpin Bersatu tempatan terpaksa bertanding atas nama calon bebas, sebagai mengisi tempat sepatutnya oleh calon rasmi blok pembangkang, PH. Menyedari prestasi Bersatu mewakili logo PKR dalam PRU14, hanya sekadar mengaut 6.45% undi, memberikan keputusan blok pembangkang menarik diri secara rasmi.

PRK Slim yang akan ditentukan oleh 23,094 pengundi pada 29/08/2020 mempunyai mesej dan natijah yang relevan menentukan posisi blok pemuafakatan baru pasca kejatuhan kerajaan pimpinan PH serta potensi dan harapan pakatan baru pembangkang umumnya dan Parti Pejuang khususnya. Apakah gelombang keluar beramai-ramai anggota Bersatu dengan agenda besar menyokong parti baru, Pejuang, mampukan memberi saingan kepada calon BN. 

Perjuang dan sekutunya dalam blok pembangkang, PH Plus, tidak boleh meletakkan status calon bebas seandainya gagal memberi saingan kepada Muafakat Nasional khususnya di kawasan 75% pengundi Melayu, kerana caon tersebut adalah calon yang dipersetujui bersama kepimpinan PH. Tidak sepatutnya meletakkan ketidaksempatan mendaftarkan parti dengan Registrar of Society (RoS), menjadi satu faktor kegagalan memberikan saingan kepada blok kerajaan semasa. 

Dalam tahun 1988, sebelum tertubuhnya sebuah parti, penyokong kumpulan UMNO yang menentang kepimpinan UMNO, kumpulan ini meletakkan calon bebas mencabar calon-calon BN dalam PRK. Shahrir Abdul Samad yang bertanding sebagai calon bebas untuk menentang calon BN dalam PRK Parlimen Johor Bahru berjaya menundukkan calon BN/UMNO dengan majoriti yang besar. Johor Bahru adalah kerusi tradisi UMNO. Hamdan Yahya, bekas pemimpin pemuda UMNO yang bertanding sebagai calon bebas menentang calon BN/UMNO dalam PRK Parit Raja, kalah tipis di kawasan yang terkenal kubu kuat UMNO di negeri kubu UMNO. 

Pada awal 1989, bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Harun Idris bertanding atas tiket calon bebas menentang calon BN/MCA dalam PRK Parlimen Ampang Jaya. Walaupun tewas, beliau telah memberikan cabaran getir kepada BN yang mengekalkan kerusi. 

Selepas Parti Semangat Melayu 46 (Semangat 46) diluluskan pendaftaran dalam tahun 1989, kumpulan atau penyokong UMNO berkenaan menggunakan wadah ini dalam PRK seterusnya. 

Walaupun kes Johor Bahru, Parit Raja dan Ampang Jaya merupakan kes dalaman parti; krisis kepimpinan parti, boleh diambil sebagai fakta sokongan bahawa calon bebas mampu memberikan impaks besar dan mampu menarik pengundi.  Dalam PRK Slim, seorang calon bebas mewakili sebuah parti yang belum didaftarkan, tidak menjadi alasan kukuh andainya pengundi sukar menerima kehadiran calon bebas.

Calon bebas yang mewakili blok pembangkang miliki tugas berat untuk membuktikan kerelevanan keberadaan Pejuang khususnya yang menggantikan slot Bersatu dalam PH dalam politik nasional. Sungguhpun PRK Slim tidak mewakili aspirasi rakyat seluruh negara, sekurang-kurangnya dapat memperlihatkan tahap sokongan pengundi secara kasar sebagaimana apa yang diterjemahkan oleh pengundi-pengundi Semenyih, Tanjung Piai, Kimanis menerusi PRK yang turut ditandingi calon Bersatu tempoh hari. Cabaran bakal ditempoh oleh calon bebas berlogo pokok bukan merampas kerusi Slim tetapi keupayaan mempertahankan undi yang diraih dalam PRU14, 6000 undi atau 33% undi. 

Berbeza dengan calon Bersatu dalam beberapa PRK lepas yang bertanding mewakili kerajaan PH, calon bebas logo pokok di Slim berdiri sebagai calon pembangkang. Apakah beliau mampu mengulangi prestasi calon-calon BN yang mewakili blok pembangkang, berpaksikan kecenderungan pengundi memilih calon pihak pembangkang. Berlatarbelakang komposisi pengundi 75% Melayu, 13% India, 10% China dan 2% lain-lain kaum, calon bebas logo pokok akan membawa mesej penerimaan masyarakat kepada keberadaan Pejuang di Slim khususnya dan Tanjung Malim amnya.

Bagi calon UMNO, sebagaimana di Chini, PRK ini akan menyaksikan kemantapan jentera UMNO, Pas dan Bersatu dalam merealisasikan penerimaan masyarakat kepada Muafakat Nasional. Jika di Chini, yang mempunyai 90% pengundi Melayu,  calon BN berjaya mengutip 91% undi menggambarkan sokongan padu pengundi Pas membantu UMNO. Dalam PRK Slim, jika ikut pengalaman Chini, 67% undi hasil kekuatan UMNO dan Pas dari PRU14, ditambah dengan pengundi setia Bersatu, memastikan calon BN perolehi tidak kurang 70% undi di kawasan 75% pengundi Melayu. Justeru PRK Chini di kala UMNO berada dalam kerajaan Persekutuan, pengalaman dan pencapaian UMNO di Chini sepatutnya berulang di Slim. Jika calon BN gagal perolehi lebih 70% undi, memberikan gambaran tahap sokongan kepada kerajaan yang ada walaupun mengambil satu sampel dalam lingkungan terbatas.






23,094 L 11,474  P 11647

Isnin, 10 Ogos 2020

PRN Sabah 1


SABAH MENGITAR SEMULA MENCARI MANDAT RAKYAT


Kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Parti Warisan Sabah telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari Khamis, 30/07/2020 lepas. Tindakan diambil Ketua Menteri DS Shafie Afdal lantaran usaha-usaha terancang mengulingkan kerajaan negeri menerusi perpindahan beberapa Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) kerajaan ke blok pembangkang untuk mengurangkan majoriti kerajaan. Diberitakan seramai 13 ADUN blok kerajaan akan berbuat demikian untuk menyakinkan penguasa negeri Yang di-Pertua Negeri bahawa kerajaan yang ada sudah hilang sokongan majoriti.

Kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Parti Warisan adalah sebuah kerajaan yang kukuh dengan penguasaan lebih dua pertiga ahli di dewan legislatif yang dianggotai oleh 45 ADUN; 31 dari  Warisan, 6 DAP, 2 PKR dan 2 UPKO bersama 4 ADUN dilantik. Apabila kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan tumbang lima bulan lepas diikuti kejatuhan kerajaan negeri Johor, Melaka, Perak dan Kedah, sudah kedengaran episod pertukaran kerajaan akan ikut berlaku di beberapa negeri, dengan sasaran utama ialah Sabah. Diukur dengan jumlah anggota kerajaan yang besar berbanding dengan Melaka, Perak atau Kedah yang terbentuk di atas majoriti tipis, sukar untuk meletakkan Sabah sebagai salah satu negeri yang bakal bertukar kerajaan menerusi mekanisme hilang majoriti.

Lantaran latar belakang pembentukan kerajaan negeri Sabah ekoran Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) terdedah kepada kemungkinan berlaku keruntuhan kerajaan ada rasionalnya. Parti Warisan yang mengadakan kerjasama pilihan raya dengan DAP dan PKR, dengan mekanisme tiada pertindihan calon parti-parti berkenaan di mana-mana bahagian pilihan raya atau kerusi. PRU14 memberikan Warisan 21 kerusi, DAP 6 kerusi, PKR 2 kerusi yang menjumlahkan 29 kerusi. Barisan Nasional (BN) menguasai 29 kerusi dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) 2 kerusi. Awalnya cubaan BN membentuk kerajaan dengan bantuan STAR untuk mendapatkan majoriti mudah 31 kerusi. Cubaan BN terbantut apabila 6 orang ADUN BN (4 UMNO, 2 UPKO) sertai blok Warisan-DAP-PKR  menjadikan jumlah penyokong blok berkenaan berjumlah 35 kerusi untuk dapat laluan membentuk kerajaan, berbanding blok BN-STAR berbaki 25 kerusi.

BN yang memenangi PRU14 menerusi 17 kerusi oleh UMNO, 6 PBS, 5 UPKO dan 1 PBRS, menjadi semakin tersorot selepas kehilangan kuasa di peringkat DUN Sabah serta peringkat Persekutuan. 16 ADUN UMNO meninggalkan UMNO, bermula dengan 4 ADUN beberapa hari selesai PRU14, dan berakhir dengan 8 ADUN menyertai Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (Bersatu). UPKO, PBS dan LDP bersama Gerakan keluar BN selepas PRU14. BN Sabah hanya tinggal dua kerusi dalam DUN Sabah; seorang ADUN UMNO dan seorang ADUN PBRS.

Tumbangnya kerajaan Persekutuan pimpinan PH memberikan perubahan besar kedudukan ADUN dalam DUN Sabah yang asalnya 45 di blok kerajaan; 31 Warisan, 6 DAP, 2 UPKO, 2 PKR dan 4 ADUN dilantik, sementara baki 20 ADUN di blok pembangkang.  Melompatnya 13 ADUN dari blok kerajaan menyertai 20 ADUN lain, menjumlahkan 33 ADUN untuk membantu bekas Ketua Menteri, DS Musa Aman mengemukakan status  declaration, menyakinkan pembentukan kerajaan baru, dengan majoriti mudah. Berdepan dengan situasi ini, kepimpinan kerajaan negeri membuat keputusan membubarkan DUN untuk memberi peluang rakyat memberikan mandat baru. 
 
Tindakan pantas kerajaan pimpinan Warisan temui Yang di-Pertua Negeri memohon pembubaran DUN, sebelum kumpulan ADUN kemukakan senarai ADUN beralih camp, langkah yang terpaksa diambil untuk merungkai kemelut perebutan kuasa. Mengembalikan kepada rakyat membuat keputusan adalah lebih adil atas semangat demokrasi menghormati hak dan suara rakyat. 
 
Pembubaran DUN buat kali ketiga untuk selesai politik Negeri Di Bawah Bayu ini memaparkan keunikan politik Sabah menyelesaikan kemelut yang berbeza dengan negeri-negeri lain. Cuma kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan BN pernah mengambil pendekatan sama bila berdepan krisis kepimpinan negeri dalam tahun 1987. 
 
Hubungan kurang mesra antara kerajaan Persekutuan dengan negeri di bawah kepimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun dalam tahun 1975, mencetuskan krisis kepimpinan. Kuala Lumpur memberikan inspirasi kumpulan kepimpinan negeri, khususnya United Sabah National Organisation  (USNO) mencari satu alternatif kepada kepimpinan yang ada. Setiausaha Agung USNO, Datuk Harris Mohd Salleh meletak jawatan parti dan ahli kabinet negeri, dalam usaha menzahirkan pertentangan secara terbuka, mengumpul sokongan. Beliau bersama seorang lagi pemimpin USNO, Datuk Salleh Sulong meletak jawatan sebagai wakil rakyat dan menteri,  untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan secara langsung menguji  gelombang kebangkitan massa. Kepimpinan USNO yang keluar parti bergabung tenaga bekas pemimpin United Pasokmomogun Kadazan Organisation (UPKO) yang sudah dibubarkan menubuhkan sebuah parti Barisan Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) dalam bulan Julai 1975. 

Politik awal Sabah pada penubuhan Malaysia 1963 mencatatkan  parti-parti politik berlatarbelakangkan sokongan kelompok tertentu secara umumnya yang asalnya berbilang parti. Dalam PRN Sabah pertama iaitu dalam tahun 1967, ditandingi tiga parti utama; USNO yang lebih menampakkan dokongan Bumiputera Islam, UPKO lebih dikuasai oleh Bumiputera Bukan Islam dan Sabah Chinese Association (SCA). Hasil PRN Sabah 1967; USNO 14 kerusi, UPKO 12 kerusi, SCA 5 kerusi dan seorang calon bebas. Lepas PRN, UPKO membubarkan parti dan menyerapkan ahlinya ke dalam USNO, untuk bersama dalam kerajaan Perikatan Sabah yang dianggotai oleh USNO dan SCA.
 
Dua pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Labuan dan Kuala Kinabatangan, kawasan majoriti pengundi Bumiputera Islam telah diadakan pada 8 hingga 10/12/1975, yang menyaksikan saingan satu lawan satu USNO dan Berjaya. USNO menang bergaya mampu pertahankan kerusi dengan majoriti 19.6 peratus di Labuan dan 25.6 peratus di Kuala Kinabatangan. Harris gagal di Labuan dan Salleh memberi laluan kepada ahli lain di Kuala Kinabatangan. Momentun kemenangan USNO ini, menyakinkannya untuk membubarkan DUN untuk satu pilihan raya negeri (PRN). PRN diadakan dalam bulan April 1976, yang memberikan kemenangan kepada Berjaya dengan 28 kerusi meninggalkan USNO dengan 20 kerusi. USNO hanya mampu pertahan kerusi di kawasan Bumiputera Islam. Berjaya yang mendapat sokongan kepimpinan kerajaan Persekutuan, menyertai BN tidak lama selepas membentuk kerajaan negeri.
 
Krisis kepimpinan parti Berjaya dalam tahun 1984, membawa kepada tersingkirnya seorang pemimpin kanan Kadazandusun, Joseph Pairin Kitingan. Penentangan beliau terhadap dasar-dasar kerajaan yang menyimpang dari perjuangan asal, memaksa beliau mengosongkan kerusi ADUN TambunaSabahn. Satu PRK di kawasan Tambunan, kawasan majoriti Kadazandusun dalam bulan Disember 1984, yang memberikan kemenangan besar kepada beliau yang bertanding sebagai calon bebas menentang calon BN yang diwakili Berjaya.   Kejayaan Pairin menerusi PRK ini berjaya menarik sokongan massa dengan tertubuhnya Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam bulan Mac 1985. 

Untuk mengekang pengaruh parti baru, kerajaan negeri pimpinan Berjaya mengambil pendekatan membubarkan DUN, walaupun mandat masih ada satu tahun lagi. PRN Sabah telah berlangsung pada 20 dan 21/04/1985. Berjaya yang bertanding atas nama BN hilang kuasa pemerintahan apabila hanya perolehi 6 kerusi berbanding 44 kerusi dalam PRN Sabah 1981. PBS membuat kejutan dengan menguasai 25 kerusi, USNO meningkatkan kerusinya dari 3 kepada 16 kerusi, sementara Pertubuhan Pasok Nunukragang Kebangsaan Bersatu (PASOK) menang satu kerusi di Moyog yang tidak ditandingi PBS. 

Pemerintahan PBS diselubungi beberapa ketidakstabilan dan ketenteraman, yang memaksa kerajaan setahun jagung terpaksa membubarkan DUN untuk memberikan rakyat memberikan mandat baru. Satu PRN diadakan pada 04 dan 05/05/1986. PRN 1986 mengukuhkan kepimpinan kerajaan negeri dengan mendapat sokongan menyeluruh Bumiputera Bukan Islam dan masyarakat Cina, juga berjaya menarik sokongan masyarakat Bumiputera Islam, hasilnya PBS perolehi 34 kerusi, sementara blok pembangkang dikuasai oleh USNO dengan 12 kerusi, satu kerusi kepada Berjaya dan satu kerusi kepada Sabah Chinese Consolidated Party (SCCP). 
 
Hujung bulan lepas, Ketua Menteri Sabah, DS Shafie Afdal mengambil keputusan nekad membubarkan DUN di kala pemerintahannya dalam keadaan getir berdepan cabaran pembangkang. Tindakan pemimpin parti Warisan ini mengulangi tindakan yang pernah diambil oleh pemimpin terdahulu. TS Mohd Said Keruak yang mengetuai kerajaan negeri dalam tahun 1976 membubarkan DUN untuk menghadapi cabaran bekas pemimpin negeri yang disokong oleh kerajaan Persekutuan. Dalam tahun 1986, Datuk Joseph Pairin Kitingan membubarkan DUN di kala tekanan dan sabotaj pihak pembangkang yang semakin mencabar yang menjejaskan keharmonian sosial dan kestabilan politik. Kedua-kedua keputusan kerajaan terebut memberikan natijah yang berbeza, satu hilang kerajaan dan satu lagi mengukuhkan mandat rakyat. Apakah nasib pemerintah pula bagi pembubaran DUN dalam kaedah dan teknik yang sama kali ini, apakah parti Warisan bersama sekutunya mampu pertahan mandat rakyat atau mereka akan kehilangan kuasa sebuah kerajaan negeri?