Khamis, 31 Mei 2018

Untung Tiga Penjuru

UNTUNGNYA ADA PERTANDINGAN TIGA PENJURU

Apabila Pas tidak bersama mengadakan persefakatan pilihan raya dengan parti-parti pembangkang utama dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), persepsi popular dilontarkan ialah Pas ada pakatan sulit untuk membantu Barisan Nasional mempertahankan kerajaan. Di kalangan pemerhati dan penganalisis politik pro BN, menyimpulkan peluang BN lebih cerah untuk pertahan Putrajaya dan merampas Kelantan. Logiknya memanglah, menerusi saingan tiga penjuru, undi pembangkang atau undi penentang BN akan berpecah, secara langsung memudahkan laluan BN dalam PRU14.

Tonjolan PRU14 dalam kes Kelantan, persaingan tiga penjuru lebih menguntungkan Pas untuk pertahan kemenangan, berbanding dengan persepsi pemerhati dan orang awam bahawa akan wujud Dewan Undangan Negeri yang tergantung. Ini ekoran, BN akan beri saingan sengit kepada Pas dengan peranan PKR memecahkan undi Pas dan BN. Jangkaannya, BN dan Pas tidak dapat membentuk kerajaan, kerana masing-masing gagal menguasai jumlah kerusi majoriti mudah. Dalam situasi demikian, Pakatan Harapan yang bertanding atas nama PKR, dengan bilangan beberapa kerusi, akan menjadi penentu kuasa. 

Tetapi, PRU14 memperlihatkan saingan sebenar adalah antara Pas dan BN, dengan Pakatan Harapan (PH) ketinggalan dengan 34 orang dari jumlah 43 calonnya atau  79.02% hilang wang pertaruhan. Lantaran itu, sumbangan penyertaan calon-calon PH lebih menyerlahkan membantu mengukuhkan kemenangan Pas. 

Dari 37 kerusi yang dimenangi Pas, 9 kerusi dimenangi dengan jumlah undinya di bawah 50%, yang menggambarkan kemenangan Pas di kawasan berkenaan tidak mendapat sokongan majoriti. Wakil rakyat yang dipilih bukan mewakili sokongan majoriti pemilih. 

Di kerusi Kota Lama, undi yang diperolehi oleh calon Pas yang memenangi kerusi adalah 8,410 undi atau 40.12% daripada jumlah undi sah, dalam persaingan lima penjuru. Baki hampir 60% undi diraihkan oleh calon-calon lain. Calon BN hanya perolehi 5,502 undi atau 26.25%, yang memberikan saingan sebenar antara Pas dengan PKR. Calon Bersatu mewakili PKR, bekas Pengerusi SPR memungut 6,965 undi atau 33.23% undi sah. Oleh kerana kerusi Kota Lama, antara beberapa kerusi yang menyaksikan cabaran sengit mampu diberikan PH, ianya tidak menggambarkan cabaran tiga penjuru dengan penyertaan PH tidak mengubah cabaran sebenar adalah antara Pas dengan BN di Kelantan.

Pas memenangi kerusi Melor dengan majoriti kecil, 647 undi, banyak dibantu oleh saingan tiga penjuru. Calon Pas perolehi 7,820 undi iaitu 45.69% undi sah. Saingan terdekat, calon BN perolehi 7,173 undi atau 41.91% undi. Oleh kerana calon PKR mendapat sokongan yang secukupnya untuk menentukan nasib Pas dan BN. Jumlah undi calon PKR, 2,122 undi atau 12.40%, walaupun hilang deposit, mampu mambantu calon Pas menang, walaupun tidak mendapat sokongan majoriti. 

Kerusi Wakaf Bharu, antara kerusi DUN yang diramalkan Pas berisiko untuk tewas, calon Pas berjaya menyelamatkan kerusi ini, walaupun dengan majoriti tipis. Calon Pas, perolehi 10,287 undi atau 46.37% mengatasi undi calon BN, 9,900 undi atau 44.62%. Zahirnya, bantuan undi calon Amanah yang bertanding atas nama PKR, 1,999 undi atau 9.01% undi sah, memberikan calon Pas menang atas perpecahan undi penentang Pas. 

Pas memenangi kerusi Kemuning di bawah paras 50%. Pas perolehi 9,969 undi atau 47.32%, BN 8,934 undi atau 42.41%, sementara PKR yang menurunkan calon Amanah, dapat 2,163 undi atau 10.27%. Perpecahan undi menentang Pas, memberikan Pas menang dengan 1,035 undi. 

Apam Putra (dulunya Bukit Tuku), sebagaimana Wakaf Bharu dan Melor, adalah bahagian pilihan negeri yang banyak terlibat dengan persempadanan yang tidak menguntungkan Pas. Kerusi-kerusi ini termasuk dalam kiraan awal dan perancangan strategik SPR untuk memudahkan laluan UMNO menguasai kerajaan negeri, masih memberikan kemenangan kepada Pas, walaupun dengan majoriti kecil. Di Apam Putra, calon Pas mengutip 7,134 undi atau 47.55% undi sah, berbanding perolehan undi calon UMNO, 6,786 undi atau 45.23%. Jumlah undi diperolehi PKR menerusi calon Amanah, 1,082 undi atau 7.21% mampu memecahkan undi pihak lawan untuk memberikan kemenangan buat calon Pas.

Di Tendong, walaupun Pas menang selesa dengan majoriti 2,251 undi tetapi undi yang dicapainya tidak mewakili majoriti pengundi. Calon Pas yang mempertahankan kerusi memperolehi 8,951 undi atau 48.41% undi sah. Calon BN, perolehi 6,700 undi atau 36.24%, sementara calon Bebas, 1,479 undi (8.0%) dan calon PKR, 1,360 undi (7.36%).

Di Semerak, calon Pas yang perolehi 8,278 undi atau 49.06% mampu merampas kerusi dari BN, dengan majoriti 632 undi, setelah BN perolehi 7,646 undi (45.31%). 950 undi atau 5.63% undi sah yang diperolehi calon Bersatu mewakili PKR, banyak membantu calon Pas. dalam saingan 3 penjuru.

Calon Pas berjaya memenangi kerusi Guchil dengan majoriti hampir sama dengan perolehan undi calon ketiga, calon PKR. Pas menang dengan majoriti 2,279 undi, setelah memungut  7,564 undi (49.33%),berbanding 2,362 undi (15.40%) calon PKR. Calon BN pungut 5,285 undi (34.47%). 

Pas juga berjaya merampas kerusi Pengkalan Kubor dengan  majoriti 1,579 undi, setelah calon PKR perolehi 1,583 undi. Calon Pas dapat 10,142 undi (49.99%), sementara calon BN yang pertahan kerusi, 8,563 undi (42.21%). 

Kecuali Kota Lama, lapan kerusi di atas telah ditentukan kemenangan Pas oleh calon ketiga. Dalam konteks Kelantan ialah calon PKR. Semakin besar undi diperolehi Pas, semakan lebar perbezaan undi antara Pas dengan BN. Tanpa penyertaan PKR sebagai pilihan ketiga, Pas tidak mungkin memperolehi kemenangan besar dengan menguasai suara majoriti dua pertiga. Tanpa penyertaan pihak ketiga, Pas hanya boleh menguasai kerajaan negeri dengan majoriti mudah. 

Telahan awal kerajaan Pas Kelantan akan tersungkur atau memberi laluan mudah kepada BN, apabila adanya saingan tiga penjuru. Bukan itu saja, ada pandangan, pencapaian Pas akan lebih teruk dan akan hilang kuasa, sekiranya Pas bersendirian dalam PRU14. PRU14 memperkukuhkan hujah bahawa gelombang yang berlaku di peringkat nasional atau di pantai barat tidak memberi kesan yang sama kepada realiti di pantai timur khususnya Kelantan dan Terengganu. Peratusan yang tinggi calon-calon PH hilang deposit di Kelantan dan Terengganu berbanding prestasi cemerlang PH di sebelah pantai barat.









 

Rabu, 23 Mei 2018

Lompat parti

LOMPAT PARTI LEPAS KALAH

Tindakan beberapa wakil rakyat yang diberikan mandat oleh pemilih meninggalkan parti yang ditandingi sebaik selesai Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), memperlihatkan memperlekehkan pengorbanan pemilih. Pemilih banyak membuat pengorbanan untuk menpastikan tanggungjawab warganegara dipenuhi. Setengah pemilih terpaksa mengorbankan masa dan tenaga untuk membuang undi, contohnya pengundi yang berada di luar kawasan daerah pengundian. Apatah lagi, hari pembuangan undi berlangsung di pertengahan minggu, pemilih hanya mendapat cuti satu hari sahaja, pada hari mengundi. 

Bayangkan pengundi yang bekerja di Alor Star bergegas pulang kampung di Pengerang pada petang Selasa, dengan kenderaan sendiri dan terpaksa pulang sebaik selesai buang undi untuk mempastikan beliau berada di tempat kerja pada pagi Khamis. Pemilih mengorbankan tenaga, duit minyak dan persegaran untuk pulang mengundi tetapi dipersiakan oleh wakil rakyat yang dipilih, melompat ke parti lain yang tidak disokong oleh golongan pemilih yang merantau. Pemilih bersusah payah pulang mengundi demi mempastikan parti pilihannya atau calon yang bertanding dapat pertahan kerusi. 

Lantaran PRU14 yang memperlanjutkan penolakan rakyat  kepada Barisan Nasional (BN) sejak PRU12, dengan sedikit kelainan. PRU12 dan PRU13, memperlihatkan politik Malaysia ke arah penguasaan sistem dua parti, hasil persepakatan parti-parti dalam dua kelompok: BN dan Pakatan Rakyat. Di samping itu, masih bersifat multiparties, dengan parti-parti kecil yang tak dominan bertanding bersendirian dengan prestasi yang jauh terbelakang. Justeru persaingan ala sistem dua parti dengan persaingan dua penjuru menjadi agenda utama menghasilkan kemerosotan sokongan kepada BN, dengan kehilangan suara majoriti dua pertiga di Parlimen. 

Berlainan dengan PRU14, apabila Pas bersendirian membentuk satu kelompok kerjasama dengan parti-parti kecil yang kurang popular, menjadi saingan berbentuk 3 penjuru. Kewujudan saingan 3 penjuru mendedahkan kepada kemungkinan berlaku Parlimen atau Dewan Undangan Negeri tergantung atau "hung", sebagaimana lazim berlaku dalam pengalaman British, sering berlaku "hung Parliament", bila kedua-dua parti utama Conservative dan Labour gagal menghasilkan penguasaan majoriti dan memerlukan kuasa ketiga; Liberal Deomcrat, sebagai "king maker" yang menentukan kuasa.

Perkara tersebut berlaku dalam PRU14 bila beberapa buah negeri gagal membentuk kerajaan: Kedah, Perak dan Sabah.  BN gagal pertahan Kedah dengan hanya perolehi 3 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN). Persaingan di Kedah adalah antara Pakatan Harapan (yang bertanding atas lambang PKR) dan Pas. PH dapat 18 kerusi, Pas 15 kerusi. Awalnya ada ura-ura 3 ADUN BN akan bersama PH, untuk membantu PH dapat majoriti mudah bentuk kerajaan. PH bentuk kerajaan tanpa majoriti: kerajaan 18, pembangkang 18.

Di Perak, PH dapat 29 kerusi, BN 27, Pas 3. Pas yang mendapat 3 kerusi berperanan penentu kerajaan, bila kedua-dua kumpulan terbesar PH dan BN gagal membentuk majoriti mudah. Pas tidak memainkan peranan "king maker", mendorong episod berakhir;  2 orang ADUN BN membantu PH bentuk kerajaan iaitu ADUN Sungai Manek dan ADUN Tualang Sekah, kedua-duanya UMNO.

Di Sabah, dua kelompok terbesar terikat dengan jumlah kerusi yang sama: BN dengan 29 kerusi, Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mengadakan kerjasama dengan DAP dan PKR memperolehi 29 kerusi (Warisan 21, DAP 6, PKR 2), dalam DUN yang mempunyai 60 kerusi. Sebuah parti kecil,  Parti Solidariti Tanah Airku (Solidariti) memenangi 2 kerusi menjadi penentu dalam DUN yang tergantung. ADUN Solidariti membantu BN, menjumlahkan 31 kerusi untuk membentuk membolehkan BN mengekalkan kerajaan. Ketua Menteri penyandang angkat sumpah jawatan setelah berjaya membentuk majoriti mudah. Kurang 24 jam, 6 ADUN BN istihar bersama kepimpinan Warisan iaitu 2 ADUN dari parti UPKO (ADUN Paginatan dan ADUN Kadamaian) dan 4 ADUN UMNO (ADUN Sebatik, ADUN Tanjong Batu, ADUN Balung dan ADUN Kemabong). Kemelut berakhir dengan Pengerusi Warisan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, setelah pihak Istana Negeri diyakini berjaya membentuk kumpulan majoriti. 

Pergerakan kedudukan beberapa ADUN terlibat dalam menentukan pembentukan kerajaan adalah sesuatu wajar dilakukan demi mempastikan kestabilan politik di negeri-negeri terlibat. Tindakan mereka menepati keadaan untuk mengelakkan DUN digantung, diletakkan di bawah pentadbiran sementara oleh eksekutif sama ada dilantik oleh Istana Negeri atau pentadbiran terus dari Kerajaan Persekutuan. Jalan akhir kembali kepada proses demokrasi, satu pilihan raya baru peringkat negeri. 

Sebaliknya tindakan tiga orang ADUN BN dari UMNO di negeri Johor yang keluar keluar parti menyertai salah sebuah parti yang membentuk kerajaan negeri Johor, tak sampai 3 hari selepas PRU14, memberikan satu dimensi baru pendirian dan sikap seorang Yang Berhormat. Buat pertama kali dalam kematangan politik pilihanraya 60 tahun pasca kemerdekaan tanah air, wakil rakyat lompat parti sebaik selesai PRU apabila partinya gagal pertahan kerajaan. 

Johor yang terkenal sebagai kubu kuat BN, khususnya UMNO, sejak 60 tahun, PRU14 mengajarnya kuasa pemerintahan tidak kekal. Mungkin tersentak dengan kehilangan sebuah kerajaan yang tidak diduga, 3 orang YB iaitu ADUN Sedili, ADUN Endau dan ADUN Johor Lama, mengistiharkan keluar parti menyertai kerajaan pimpinan Pakatan Harapan. Penghijrahan mereka untuk mempastikan kerajaan baru menguasai majoriti dua pertiga. Kerajaan Pakatan Harapan Johor menguasai 36 kerusi, sementara pembangkang: BN 19 dan Pas 1 kerusi. Dengan lompatan mereka menjadikan penyokong kerajaan; 39 orang (melepasi majoriti dua pertiga), sementara pembangkang; BN 16 dan Pas 1. 

Di Sabah dan Perak, YB BN melompat untuk membantu PH membentuk kerajaan, tapi di Johor, mereka melompat demi melengkapkan kerajaan PH menguasai suara majoriti dua pertiga. Lompatan mereka kiranya berniat murni demi kestabilan politik dan kerajaan yang baru dibentuk haruslah diberi penghargaan bukan memandang serong atau negatif.




 

Selasa, 15 Mei 2018

Petugas SPR carcamurba 2

PETUGAS PILIHAN RAYA MENCACATKAN KEWIBAWAAN SPR

BAHAGIAN 2
Ketua Tempat Mengundi (Polling Officer) atau KTM sebagai ketua urusan di setiap saluran pengundian menampakkan ketidaktelitian dalam tugasan yang diamanahkan mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).  Pengurusan dalam bilik pengundian dalam PRU14 baru-baru ini dilaporkan berlaku kegagalan KTM mematuhi peraturan yang digariskan oleh SPR. Sedangkan ejen-ejen tempat mengundi (polling agents) dan ejen kiraan undi (counting agents) sebagai pemerhati mewakili calon, mendapat taklimat dan maklumat terperinci diberikan oleh calon atau parti masing-masing. 

Pihak calon atau parti sudah memberikan maklumat lengkap dokumen yang sepatutnya digunakan dalam urusan pengundian:

Borang 10 (Akuan Mengenai Identiti Dan Penamaan): diisi oleh seseorang  untuk membantu seseorang pemilih yang perlu dibantu atas sebab-sebab kesihatan dan fizikal, dan dipersetujui oleh pemilih berkenaan.

Borang 10A (Akuan Mengenai Keengganan Mengeluarkan Kertas Undi) : diisi oleh KTM apabila beliau  tidak perlu mengeluarkan kertas undi kepada seseorang pemilih yang keesahan sebagai pemilih diragui.

Borang 13 (Penyata Kertas Undi):  diisi oleh KTM untuk mengesahkan bilangan kertas undi yang disediakan untuk pengundian dan bilangan kertas undi yang digunakan apabila tamat tempoh pengundian. Borang ini hendaklah ditandatangan pengesahannya oleh semua wakil calon sebelum urusan kiraan undi bermula. 

Borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi): Borang ini diisi oleh KTM dan ditandatangi sebagai pengesahan oleh semua wakil kiraan undi mewakili calon. KTM hendaklah menyediakan satu salinan untuk diberikan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Pusat Penjumlahan Undi, dan menyediakan salinan secukupkan untuk diberikan kepada semua petugas yang mewakili calon.

Dalam PRU14 lepas, setengah PKM tidak menyediakan salinan Borang 14 kepada wakil calon. Wakil calon yang bertugas sebagai ejen mengira undi menyediakan salinan , Borang 14 yang diisi sendiri, tidak dilayan,  KTM enggan tandatangan. Dalam peraturan pengurusan pengundian SPR dengan jelas menyebut KTM perlu menyediakan salinan Borang 14, penyata keputusan undi mengikut saluran mengundi untuk simpanan calon. 

Borang 14 amat penting kepada calon khususnya untuk semakan pengistiharan keputusan setiap saluran tempat mengundi di pusat penjumlahan undi. Borang 14 adalah dokumen penting untuk petisyen pilihan raya, implikasi  timbul keraguan atau kecurigaan perjalanan pilihan raya. 

Seandainya tindakan KTM tidak membekalkan Borang 14 berupa satu perancangan, untuk menyusahkan parti tertentu, akan memberikan imej tidak baik bagi SPR memberikan perkhidmatan terbaik. KTM yang sepatutnya tidak memihak kepada mana-mana parti atau calon, sepatutnya mempertahankan kewibawaan SPR sebagai badan bebas menjalankan tugasan pilihan raya.
 
  

  
 

Khamis, 10 Mei 2018

Petugas SPR carcamurba 1

PETUGAS PILIHAN RAYA MENCACATKAN KEWIBAWAAN SPR 

  BAHAGIAN 1

Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) telah berjalan tanpa sebarang gangguan yang serius kelmarin. Walau bagaimanapun, hari pengundian kelmarin dicemari kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lantaran kegagalan petugas memahami dan menghayati aspirasi SPR sebagai badan bebas dan berintergriti.

Ketua Tempat Mengundi (KTM) atau polling officer (PO) menghalang ejen tempat mengundi sebagai petugas mewakili calon dalam bilik membuang undi menjalankan tugas. KTM tidak menyediakan tempat duduk (meja dan kerusi) yang secukupnya untuk ejen pengundian (polling agent). Pada taksiran KTM, ejen pengundian mewakili parti yang bertanding. Jika dua parti bertanding, disediakan dua tempat duduk sahaja. Perkara ini berlaku di beberapa pusat pengundian, sebagai bermulanya episod kecelaruan sebelum bermulanya pembuangan undi. 

Setengah parti, menyediakan petugas parti yang dibekalkan dengan maklumat dan pengalaman secukupnya sebagai petugas jentera parti. Parti menyediakan latihan, taklimat dan simulasi kepilihanrayaan.  

SPR menjadikan premis awam khususnya bilik darjah atau sekolah sebagai pusat mengundi. Oleh itu, kebanyakkan KTM dilantik di kalangan guru, khususnya guru yang bertugas di sekolah berkenaan yang dijadikan pusat pembuangan undi. 

Berlaku pertengkaran antara ejen pengundian dengan KTM, dari sudut status dan tugasan petugas mewakili seseorang calon yang bertanding. Perkara ini menggambarkan petugas parti yang terlatih, bermaklumat dan bersedia, berbanding petugas SPR yang kurang maklumat dan tiada latihan yang secukupnya. 

Petugas parti lebih faham peruntukan, peraturan dan kesalahan pilihan raya. Seksyen 14 (1) (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, dengan bahasa yang mudah menjelaskan seseorang calon  boleh melantik atau mewakilkan seorang ejen pengundian untuk menjalankan tugasan di bilik pengundian mewakili dirinya, memerhati perjalanan pembuangan undi berjalan mengikut peraturan pilihanraya.  Bermaksud jika dua parti bertanding di kedua-dua bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri, sepatutnya empat tempat duduk disediakan. Ejen pengundian mewakili calon yang bertanding bukan mewakili parti.

Amat malang jika KTM yang diberi kepercayaan untuk menjalankan tugasan bagi pihak SPR, gagal melaksanakan tugasan dengan penuh komitmen yang tinggi dan bertanggungjawab.  Sepatutnya SPR mempastikan petugas khususnya KTM terdiri dari mereka yang tidak memihak kepada mana-mana parti, agar tidak berlaku sabotaj dan tidak serius dalam menjalankan tugas. Layanan berbeza kepada petugas dari parti atau calon yang berbeza. Perayu undi dari parti yang sealiran dengan KTM berkeliaran dengan bebas dalam kawasan larangan, tanpa apa-apa tindakan. KTM gagal memisahkan antara kerajaan yang memerintah dengan kerajaan sementara. 


Isnin, 7 Mei 2018

Undi pos

`

UNDI POS YANG TERDEDAH KEPADA PENYELEWENGAN HAK PENGUNDI

Kemudahan pengundian secara pos telah diperluaskan keperluannya lantaran dalam mana-mana pilihan raya sama ada PIlihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK), pola keputusan pemilihan adalah seragam. Dua pertiga  undi akan pergi ke Barisan Nasional. Dalam PRU12, bagi saluran undi pos, di N.32 Gaal (dalam P.028 Pasir Puteh), BN perolehi 58 undi (66.7%), sementara Pas dapat 29 undi (33.3%). Dalam PRU13, BN perolehi 86 undi (63.8%), sementara Pas perolehi 49 undi (36.2%). 

Mengambil data keputusan PRU12, bagi bahagian-bahagian pilihan raya negeri dalam bahagian pilihan raya Persekutuan, P.028 Pasir Puteh, memperlihatkan perolehan undi pos dalam satu bentuk yang hampir sama. Undi pos di N.29 Selising: BN 80 undi (67.8%), Pas 38 undi (32.2%), N.30 Limbongan; BN 207 undi (68.7%), Pas 94 undi (31.2%), N.31 Semerak: 60 undi (66.7%), Pas 30 undi (33.3%), N.32 Gaal: BN 58 undi (66.7%), Pas 29 undi (33.3%). 

Keseragaman atau uniformity pencapaian setiap parti memperlihatkan ada peranan pihak lain yang memanipulasi mekanisme undi pos agar setiap parti mendapat kesegaman undi. Pola tersebut secara tafsiran mudah, sudah ada satu rangka penentuan agar undi setiap parti sudah diprogramkan. 

Pemilih yang diberi kemudahan (malah diwajibkan) menjadi pengundi pos ialah petugas pilihan, anggota polis, anggota tentera dan isteri, dan pengamal media. Dalam PRU14, kemudahan ini diperluaskan ke 9 lagi petugas perkhidmatan awam; Angensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Penjara, Jabatan Kesihatan (kerajaan sahaja), Sukarelawan Polis (PVR), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Imigresen, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Pendafaran Negara dan Jabatan Pendaftaran (yang bertugas di UTC).

Berdasar sample di atas, membuktikan persepsi masyarakat awam bahawa undi pos adalah undi bonus dan undi yang sudah diprogramkan untuk membantu BN. Ada kebenarannya, pergantungan kepada undi pos sebagai antara alatan sambung hayat BN, maka kemudahan undi pos diperluaskan kepada pengundi tertentu. 

Seseorang pemilih yang mengundi secara pos akan dibekalkan kertas undi terlebih awal, biasanya satu minggu sebelum hari pengundian. Kertas undi akan diposkan atau pemilih boleh mengambil sendiri kertas undinya atau mewakilkan kepada seseorang untuk mengambil kertas undi bagi pihaknya. Kertas undi berkenaan hendaklah diposkan kepada pihak pengurus pilihan raya di kawasan ianya menjadi pemilih berdaftar atau serahan tangan dengan memasukkan dalam sampu yang telah dibekalkan, sebelum waktu tutup pengundian biasa. Sebagaimana kertas undi biasa, pengiraan  undi akan dijalankan dengan kehadiran ejen kiraan undi mewakili calon.

Kertas undi pos terdedah kepada pembelian undi. Undi pos boleh membiakkan rasuah dalam pilihan raya. Berlaku tawar menawar pembelian kertas undi atau upahan memilih parti. Penambahan bilangan pengundi pos lantaran memperuaskan kriterea pemilih sebagai penambahan jaminan keupayaan parti pemerintah memanipulasikan undi pos. Justeru memiliki sumber kewangan yang terjamin, memperluaskan ruang parti untuk membeli atau memberikan ganjaran apabila kesanggupan pemilih menyetujui hasrat  parti berkenaan.

Walaupun Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) akan menugaskan seramai 4 orang pegawainya untuk memantau perjalanan PRU14 pada 9/5/2018 nanti, ianya sekadar dapat menambahbaik pemberian wang kepada pengundi, supaya ianya tidaklah terlalu terbuka. Pengundi diarahkan bersumpah untuk mengundi sesuatu parti di tempat tertutup sebelum diberikan wang saguhati kesanggupan memangkah parti berkenaan. Pengundi lari luar kawasan yang balik mengundi di kampung akan diberikan saguhati dalam bentuk wang tunai dengan kadar tertentu.