Selasa, 24 Julai 2012

Tarikh Pilihanraya (2)

TARIKH PILIHANRAYA SEWAJARNYA DITENTUKAN

Kenyataan Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiuddin Hassan; andainya Pakatan Rakyat dapat menguasai pemerintahan kerajaan Pusat selepas selesai Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), tarikh pilihan raya umum yang berikutnya akan ditentukan lebih awal, adalah kenyataan terbaru yang amat menarik.

Dua minggu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, memaklumkan beliau akan bincang dengan Peguam Negara, kenyataannya terdahulu, yang mencadangkan pilihan raya umum cuma diadakan apabila genap tempoh mandat lima tahun. Perkara ini harus dilihat dari sudut perundangan, apakah memerlukan pindaan Perlembagaan atau sekadar menambah peruntukan dalam Peraturan atau Akta SPR.

Ramalan tarikh pilihan raya bermula tahun lepas, selepas genap Parlimen ke 12 mencecah usia 36 bulan tahun serta keputusan UMNO menangguhkan pemilihan jawatan dalam parti 3 peringkat: cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi. Peruntukan parti memberikan tempoh 18 bulan. Penangguhan bertujuan memberikan tumpuan jentera parti menghadapi PRU13 serta mengelakkan kesan perbalahan semasa pemilihan dalam persiapan menhadapi pilihan raya. Pengalaman lepas, bila UMNO menangguhkan pemilihan jawatan dalam parti, diekori pilihan raya umum.

Tarikh popular 11 November 2011, selepas janji bajet 2012 dibentangkan yang disifatkan mesra rakyat, tinggal kenangan. Lepas tu, Mac 2012, kemudian Jun 2012, terakhir sebelum puasa, semuanya tak jadi kenyataan.

Diramalkan musim haji, atas logik bajet 2013 dibentangkan pada 28 September, iaitu semasa 30,000 umat Islam dari Malaysia berada di tanah suci. Hari Raya Qurban, 28 Oktober. Pilihan raya, dijangka dalam bulan Oktober. Tarikh ini membuah secebis bantahan beberapa pihak, terutamanya dari Pas, kerana menyekat ruang untuk umat Islam yang mengerjakan haji menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Satu pandangan berpendapat tidak menjadi masalah besar bilangan 30,000 jemaah haji kerana ianya cuma 0.23 peratus dari jumlah 13 juta pengundi semasa. Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman, pernah keluarkan pandangannya awal tahun ini, mengundi adalah wajib bagi umat Islam, di atas ketebertanggungjawabaan dan keperluan ummah semasa. Ambil pengalaman bagaimana kerajaan Pas Kelantan boleh bertahanan, bila kedudukan kerusi dalam DUN Kelantan, kerajaan mengatasi pembangkang dengan beza 1 kerusi (kerajaan 23, pembangkang 22). Salah satu dari kerusi Pas tersebut, iaitu Kemuning, Pas cuma menang dengan 2 undi dalam PRU11 (PRU 2004): calon Pas 6,078 undi, calon BN 6,076 undi.

Andaiannya pilihan raya yang menghasilkan keputusan seperti kes Kemuning, yang menentukan pembentukan sebuah kerajaan berlaku semasa musim haji. Andainya, calon BN menang di Kemuning, kerana ada 3 orang penyokong UMNO yang sudah pasti mengundi BN, yang sedang berada di luar negara, membatalkan urusan mereka dan balik kampung, BN akan membentuk kerajaan baru.

Itulah rasionalnya satu undi amat penting bahkan boleh menentukan penguasaan sebuah kerajaan. Sungguhpun Pas berjaya bentuk kerajaan serta mempertahankan kerajaan yang dibina sejak 22 Oktober 1990 dengan undi paling kecil dalam sejarah, tetapi secara maruah menerusi amalan pilihan raya berasaskan perwakilan mengikut kawasan dengan konsep " the first who passed the post". Ianya satu pembentukan kerajaan lebih bermaruah berbanding pembentukan kerajaan BN Perak 2009, atas amalan " crossovers formed simple majority", yang lebih bersifat mengkhianati amanah undi yang diberikan rakyat. Tanpa merujuk kepada rakyat yang memberi amamah.

Di kerusi Jelapang, seramai 12,219 rakyat di situ menolak BN dan BN hanya disokong oleh 5,521 pengundi sahaja. Sepatutnya ADUN Jelapang, Ho Yitt Foong,  serahkan kepada rakyat, buat keputusan baru, menerusi satu pilihan raya kecil, untuk tentu di pihak mana rakyat hendak ADUN mereka duduki. Sangat tak munasabah, majoriti besar rakyat di situ tolak BN, tolak BN ertinya tolak kerajaan yang memerintah di Perak sebelum PRU12, ingin menjadikan kawasan Jelapang diwakili seorang ADUN mesra BN, walaupun tidak masuk mana-mana parti komponen BN. Begitu juga majoriti rakyat di Changkat Jering dan Behrang, yang menolak BN. Tidak ketinggalan di kawasan Malim Nawar.

Jaafar Hassan (kemudiannya Dato') mungkin tidak jadi Menteri Besar Perlis, kiranya 6 orang penyokong UMNO atau Perikatan, tidak keluar mengundi dalam PRU3 (PRU 1969). Dalam pilihan raya itu, beliau dapat 1,973 undi berbanding undi diperolehi calon heavyweight dari Pas, Ustaz Abu Bakar Hamzah, 1,968 undi. Beza 5 undi sahaja, di kerusi Sanglang.

Terbaru, satu ramalan menyebut PRU13 sebelum bajet 2013, yang akan dibentangkan 28 September ini. Ianya berasaskan kepada faktor untuk menepikan ruang anak muda, pengundi di saluran 3 atau 4 atau 5, keluar mengundi. Pengalaman PRU12, peratus pungutan calon-calon BN di saluran-saluran tersebut adalaha rendah berbanding saluran 1 dan 2. Peratus keluar mengundi secara realtifnya rendah di seluruh negara, bagi pengundian di saluran 3, 4 dan 5. Faktor dominat peratus keluar mengundi rendah, ialah mereka tidak pulang kampung kerana bahagian pengundi saluran terakhir di mana-mana daerah mengundi, tinggal di luar kawasan. Mereka yang sudah pulang berhari raya, sebahagiannya tidak balik kampung lagi. Tambahan pula, kesukaran mendapat cuti bagi pekerja sektor swasta. Faktor-faktor ini sedikit sebanyak menjadikan advantage BN. 

Justeru itu diramalkan PRU13, sebelum Hari Malaysia 16 September. Sehubungan dengan itu, Parlimen dijangka dibubarkan selepas umat Islam menyambut Aidilfitri.


Jangkaan ini diperkukuhkan lagi dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang bertemakan " Janji Ditepati". Dianalisiskan setengah pihak, tema ini direka khusus untuk kempen pilihan raya UMNO/BN dan bukan tema yang berjiwa patriotik yang boleh dikongsi oleh semua rakyat.


Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, DS Rais Yatim, pada 19 Julai lalu, mengakui tema tersebut adalah slogan kempen pilihan raya.

Ramalan ini dijangka mengelakkan mengundi di musim haji yang disensasikan oleh banyak pihak. Ramalan PRU sebelum Hari Malaysia ini juga menafikan satu pandangan yang menyatakan PRU13 tidak akan berlangsung dalam tempoh selepas bulan Ramadhan. Rasionalnya, pihak UMNO/BN beranggapan disadvantage kepada UMNO, di mana calon-calon UMNO sahajalah yang menjadi harapan untuk BN terus menguasai PRU13, setelah prestasi komponen lain semakin merosot. Umat Islam, pengundi Islam, telah didekati oleh Pas menerusi aktiviti Ramadhan: munajat, taddarus, qiamullail, tazkirah dan solat terawih. Kesempatan bersama rakyat lebih menonjolkan keterlibatan aktivis Pas berbanding UMNO. Surau dan madrasah yang dikuasai penyokong UMNO tak seimakmur berbanding yang dikuasai aktivis Pas. UMNO yang berpijak di atas agama suku politik suku, serta mewakili kelas kapitalis membawa budaya fasis feudal, agak ketinggalan bersama rakyat di bulan Ramadhan.

Sungguhpun, tarikh terakhir PRU13, Jun 2013, kerana Parlimen ke 12, akan tamat tempohnya pada April 2013 dan pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari. Oleh itu, diramalkan dalam Mac 2013, kiranya tarikh sebelum Hari Malaysia bulan September ini, di mana cadangan-cadangan dalam Bajet 2013 mula dilaksanakan atau mungkin sebelum berakhir tahun ini, sebelum kerajaan memberikan bonus akhir tahun kepada kakitangan awam.

Lantaran tarikh hari pilihan raya di Malaysia menjadi teka-teki sejak sekian lama, beberapa kalangan politik dan akademik, menyarankan supaya tarikh ditentukan secara konsultatif, semua pihak yang terlibat, termasuk pihak yang menjadi kerajaan di beberapa negeri. Negara-negara jiran: Indonesia, Thailand dan Filipina, telah menetapkan tarikh lebih awal dan tidak menjadi satu kerahsiaan demi political survival.

Sepatutnya, amalan pilihan raya di Malaysia, yang mengikut sistem British iaitu perwakilan berasaskan kawasan (constituency representation), menerima  kaedah pemakaian perundangan dan peraturan pilihan raya secara total dari British. Di Britain, pilihanraya Dewan Rendah (Dewan Rakyat di Malaysia), tertakluk kepada Parliament Act 2011: menetapkan pilihan raya diadakan pada hari Khamis pertama dalam bulan Mei, setiap 5 tahun.

Di atas roh inilah, mungkin barangkali, DS Nazri Aziz, Menteri yang bertanggungjawab Hal Ehwal Parlimen, membuat saranan pilihan raya hanya perlu diadakan apabila tamat tempoh mandat, ialah apabila Parlimen atau Dewan Rakyat terbubar dengan sendirinya, oleh kerana genap tempoh 5 tahun. Saranan ini ekoran teka-teki tarikh pilihan raya, yang disuarakan oleh berbagai pihak.

Sebelum DS Nazri Aziz menyatakan pandangannya, mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, lebih awal membidas saranan supaya tarikh pilihan raya umum ditentukan bersama, semua parti terlibat. Beliau mempertahankan penentuan tarikh pilihan raya adalah kuasa mutlak kerajaan Pusat. Sambil menegaskan, di manakah keistimewaan kerajaan yang memerintah, jika tarikh pilihan raya hendak dibincang bersama parti-parti pembangkang atau pihak lain yang berkepentingan.

Kerajaan Pusat di bawah kepimpinan DS Najib Tun Razak, dituduh sebagai seorang pemimpin yang pengecut dan penakut, kerana tidak berani mengumumkan secara tepat bilakah PRU13, sedangkan pertandingan pemilihan jawatan dalam parti sudah ditangguhkan.

Akhbar The Vancouver Sun dari Kanada, terbitan 3 Julai 2012, menyebut DS Najib takut hendak umum tarikh PRU13 kerana isu kapal selam Scorpene, yang sedang dibicarakan di mahkamah Perancis. Dijangka kes ini akan menjejaskan prestasi BN dalam pilihan raya umum.

Dengan kematangan dan merealisasikan politik baru yang menuntut keadilan sosial yang berlaku di seluruh dunia, sudah sampai masanya tarikh pilihan raya umum ditetapkan lebih awal, sebagaimana amalan negara-negara maju dan lebih terkedepan dalam penambahbaikan kehidupan sosial menerusi penyuburan nilai-nilai demokratik.

Ada 5 asas mengapa perlunya tarikh pilihan raya diumumkan awal atau dalam tempoh yang panjang;
  1. Memudahkan rakyat menetapkan hari kenduri kahwin. Biasanya tarikh kenduri, sama masyarakat Melayu, Cina atau kaum lain, tarikh untuk mengadakan kenduri perkahwinan, hari peminangan dan seumpamanya dirancangkan dalam tempoh yang lama. Terlalu jarang ahli masyarakat mengadakan majlis perkahwinan secara spontan, kecuali kena tangkap basah. Ianya melibatkan perancangan untuk mengambil cuti.
2. Perancangan umat Islam untuk menunaikan ibadat haji dan umrah. Boleh menyebabkan, rakyat yang sedar bahawa mengundi adalah wajib bagi orang Islam, kerana Islam adalah satu cara hidup, memilih pemerintah adalah termasuk mengatur perjalanan hidup masa akan datang.

3. Perancangan rakyat untuk mengatur perjalanan atau untuk melancong ke luar negeri. Ia melibatkan pengambilan cuti dan memerlukan masa untuk mengatur perjalanan termasuk tempahan tiket, penginapan dan lain-lain.

4. Perancangan rakyat untuk mengatur sambutan atau perayaan ritual, dan perayaan keagamaan. Termasuk juga perancangan untuk mengadakan majlis sambutan tertentu yang melibatkan kelompok tertentu,

5. Tumpuan rakyat dalam kehidupan harian akan terganggu, kerana lebih banyak masa untuk aktiviti kepartian, yang lebih banyak mendedahkan persaingan menonjolkan individu atau parti, dalam tempoh yang lama dan tak menentu. Ini juga melibatkan penggunaan perbelanjaan besar untuk sesuatu majlis.

Justeru itu, amatlah wajar tarikh pilihan raya ditentukan lebih awal, supaya tidak terdedah kepada teka-teki dan spekulasi, demi membina sebuah kehidupan sosial yang lebih tenteram, teratur dan terancang. Agar ada musim atau tempoh masa tertentu rakyat didedahkan dengan terlalu banyak politiking. Di Indonesia, tarikh pilihan raya dimaklumkan 6 bulan lebih awal. Begitu juga, di Thailand. Sementara di Filipina, 12 bulan lebih awal. Di Malaysia, dua atau tiga hari dimaklumkan Parlimen akan dibubar dan selepas dibubarkan pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari. Tapi biasanya, tempoh antara pembubaran Parlimen dengan hari mengundi, antara 14 hingga 18 hari, kecuali PRU3 (PRU 1969).




                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     











Tiada ulasan:

Catat Ulasan