Sabtu, 31 Mac 2018

Persempadanan semula 1

PERSEMPANAN SEMULA SEBAGAIMANA APA YANG DIJANGKA DEMI MENJALANKAN TUGAS EKSEKUTIF

Sebagaimana dijangka rang undang-undang persempadanan semula bahagian pilihan raya di negeri-negeri Tanah Melayu dibentang dan dilulus dengan mudah oleh Dewan Rakyat pada 28/03/2018. Cadangan persempadanan semula bahagian pilihan raya yang pertama di Malaysia tidak melibatkan pertambahan kerusi. Berbanding dengan empat kali persempadanan semula yang lepas: 1973, 1983, 1993 dan 2003, yang menambahkan kerusi atau bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri memberikan pertambahan kerusi untuk Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, berbeza dengan persempadanan terbaru, 2016. 

Kegagalan Barisan Nasional menguasai dua pertiga membantut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk menambahan bilangan kerusi badan perundangan, sebagaimana kehendak Perlembagaan Persekutuan. Tuntutan perundangan yang memerlukan sokongan dua pertiga ahli perundangan untuk menambahkan kerusi atau bahagian pilihan raya, menafikan kehendak parti pemerintah memiliki kelebihan berpihak hasil kerja perundangan. 

Cadangan persempadanan semula yang baru diluluskan oleh Dewan Rakyat yang hanya memerlukan sokongan simple majority terbatas sekadar menyusun atur atau membelah bahagi daerah mengundi. Pihak parti pemerintah sebagaimana lazim daripada kesan jangka pendek persempadanan semula dapat menimba lebihan berpihak, jika dalam persempadanan terdahulu dikurniakan kerusi-kerusi baru. Persempadanan kali ini, penyusunan semula daerah mengundi demi untuk jaminan kelebihan kepada parti pemerintah untuk mengubati prestasi buruk dalam dua pilihan raya umum (PRU) terakhir. 

Sebagai sebuah demokrasi berasaskan model Westminster yang diamalkan di negara-negara Commonwealth atau bekas tanah jajahan British, amalan rujukan ialah sistem amalan Great Britain. Great Britain dan India sebagai contoh, mengamalkan pentadbiran dua dewan perundangan: House of Commons dan House of Lords di Britain, Lok Sabha dan Rajya Sabha di India. House of Commons dan Lok Sabha adalah dewan perwakilan sebagaimana Dewan Rakyat di negara kita. Terdapat peruntukan dalam perlembagaan bagi Britain dan India sebagaimana Malaysia, kawasan atau bahagian pilihan raya perlu dibuat semakan atau kajian persempadanan dalam tempoh tertentu. 

Great Britain yang mengandungi empat negeri; England, Wales, Ireland Utara dan Scotland mengadakan kajian persempadanan terakhir dalam tahun 2010. Setiap kali kajian semula adalah mengatur perimbangan saiz pemilih bagi sesuatu bahagian pilihan raya atau kawasan pilihan raya. Jikalau dilihat kepada jadual bilangan pemilih di semua 649 kerusi House of Lords, bilangannya hampir sama dengan terkini ialah purata 68,000 pemilih bagi sesuatu kawasan pilihan raya. Parlimen British dengan 650 ahli (649 + 1 kerusi speaker yang dilantik) bertaboran: 533 kerusi dari England, 59 dari Scotland, 46 di Wales dan 18 kerusi dari Ireland Utara. Di England dan Scotland, bilangan pemilih adalah antara 70,000 hingga 85,000 orang, di Ireland Utara 65,000 hingga 70,000 orang, sementara 46 kerusi Wales memiliki 40,000 hingga 60,000 pemilih. 

Jumlah kerusi Parlimen di Great Britain tak berubah sejak sekian lama. Dalam tahun 1980, kerusi Parlimen atau House of Lords ialah 650 kerusi, dan masa kini, masih kekal dengan jumlah yang sama. Di India, dewan perwakilan, Lok Sabha mempunyai 543 kerusi dalam tahun 1980 dan masih kekal dengan bilangan yang sama hari ini. 

Di Great Britain dan India, dalam tempoh 37 tahun (1980-2017) tiada penambahan kerusi atau kawasan pilihan raya walaupun penduduk bertambah, tetapi di Malaysia, dalam tempoh yang sama bilangan kerusi Parlimen telah bertambah dari 154 kepada 222, iaitu bertambah 68 kerusi atau 44.1%. 

Bilangan pemilih di kerusi Liverpool Riverside dalam tahun 2000; 72,873 pemilih, 2010: 73,406 dan 2017: 76,332 pemilih. Di kerusi Manchester Central: 69,600 (2000), 89,519 (2010), 90,261 (2017). Jumlah pemilih bertambah dengan perkembangan dan pertumbuhan sosio-ekonomi, yang bertambah ialah pengundi di sesuatu kawasan tetapi bilangan kawasan pilihan raya atau kerusi perwakilan tidak berubah. 

Berbeza di Malaysia, persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak menampakkan pengaturan semula untuk mengseimbangkan pemilih tetapi lebih kepada strategi untuk menguasai sesuatu kawasan pilihan raya bagi parti pemerintah, elemen malapportionment mempengaruhi persempadanan semula.  Kerusi Parlimen Baling, satu kawasan luar bandar yang pernah beberapa kali dimenangi pembangkang, satu kawasan luar bandar dengan  94,809 pemilih, jauh lebih besar berbanding kawasan bandaraya yang padat penduduk, contoh Parlimen Alor Setar: 73,687 pemilih, Tanjong: 50,324 pemilih. Kerusi Parlimen Padang Rengas, hanya 28,727 pemilih, sementara jirannya, Kuala Kangsar 33,113 pemilih serta Lenggong, 28,078 pemilih. Ketiga-tiga kerusi Parlimen ini adalah kubu parti pemerintah, di mana Kuala Kangsar kawasan bandar, Padang Rengas kawasan campuran pinggir bandar dan luar bandar, Lenggong adalah kawasan luar bandar. Sepatutnya Kuala Kangsar, Padang Rengas dan Lenggong dijadikan satu kawasan dengan jumlah pemilih 89,918 orang, jika menggunakan pendekatan mempersempadankan bahagian pilihan Parlimen Baling. Jika sekiranya wajaran bandar-desa dijadikan asas, apakah beza Baling dengan Kuala Kangsar dan Padang Rengas.

Memanglah perubahan sosio-geografi dan pertumbuhan demografi serta ekonomi memerlukan perubahan kawasan yang memerlukan perkhidmatan seseorang anggota perwakilan perundangan atau wakil rakyat, sebenarnya tidak memerlukan pertambahan Ahli Parlimen. Apa yang perlu diaturkan ialah penyusunan atau belah bahagi daerah mengundi untuk mengseimbangkan taburan pemilih di bawah perkhidmatan seseorang wakil rakyat. Mungkin 30 tahun dahulu, seorang Ahli Parlimen mewakili 30,000 pengundi tetapi hari ini seseorang Ahli Parlimen mewakili 90,000 pengundi. Ahli Parlimen Tumpat mewakili 34,667 pemilih dalam PRU 1978, Ahli Parlimen Tumpat yang memenangi PRU14 nanti adalah mewakili 101,318 pemilih. Dalam tempoh tersebut, kawasan pilihan raya Parlimen Tumpat adalah sebagaimana 37 tahun dulu, masih kekal dengan sempadan dan saiz keluasan.  Kawasan Parlimen Tumpat dimenangi pembangkang sejak PRU 1990.
 

Isnin, 26 Mac 2018

Ugut Penjawat Awam

SUDAH BERMULA EPISOD TRADISI MEMBULI PENJAWAT AWAM


Antara golongan pemilih yang menjadi mangsa dalam sistem pilihan raya di Malaysia ialah penjawat awam, selain golongan rakyat marhaen. Rakyat kelas bawah atau golongan kumpulan rakyat 40 peratus terkebawah yang terdiri dari petani, nelayan, buruh, peniaga kecil, pekebun kecil, khususnya di sektor luar bandar, secara tradisinya menjadi sasaran utama jentera kempen Barisan Nasional. Mereka menjadi sasaran dalam jangka panjang menerusi penafian dan deraan dalam agihan kemudahan kebajikan dan bantuan awam. Mereka berdepan kesukaran mendapat bantuan subsidi baja pertanian, bantuan persekolahan serta input pertanian sebagai contoh. Dalam jangka pendek, mereka disenaraikan dalam pemilih sasaran untuk diberikan bantuan dan kemudahan dalam bentuk wang tunai dan barangan. 

Bagi pemilih kelas menengah atau golongan 40 peratus, sejak lebih separuh abad amalan deraan yang paling popular ialah menukar tempat kerja atau "membuang daerah", malah " buang negeri", di samping penafian kenaikan pangkat. Penukaran tempat kerja atau "buang negeri" yang paling popular ialah selepas kekalahan teruk Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 1990 (PRU 8), bila beberapa guru penyokong Pas dan Semangat 46 ditukar dari Kelantan ke Sabah. Ada guru yang terpaksa letak jawatan, tidak sangguh ke Sabah. 

Dalam satu majlis yang saya hadir minggu lepas, seorang peguam memaklumkan beliau telah diberitahu dalam satu sesi untuk warga pendidikan, para pendidik diingatkan supaya membuktikan mereka mengundi calon BN dalam PRU14 nanti. Bukti yang paling mudah ialah mengambil foto kertas undi yang dipangkah semasa membuang undi untuk ditunjukkan kepada majikan, sebagai bukti untuk mengelakkan seseorang guru ditukar selepas PRU14. 

Walaupun dalam peraturan perjalanan pilihan raya, sebagaimana dalam peraturan yang dibukukan oleh SPR, di mana seseorang pemilih dilarang menggunakan kamera atau seumpamanya untuk mengambil gambar dalam bilik mengundi, ianya banyak bergantung kepada kemahiran dan kecekapan ejen pilihan raya. Ejen pilihan raya atau polling agent yang mewakili seseorang calon perlu tangkas dan cekap mempastikan peraturan perjalanan pilihan raya yang dikepalai oleh seorang ketua tempat mengundi (polling officer) yang dilantik oleh SPR, tidak melanggari peraturan yang digariskan oleh SPR. 

Dalam PRU13 dan beberapa siri pilihan raya kecil, gambar kertas undi yang dipangkah oleh seseorang menjadi bahan bukti melayakkan seseorang pengundi mendapat tuntutan wang tambang balik mengundi. Tuntutan ini adalah merupakan saguhati kepada pengundi yang tinggal di luar kawasan tempat tinggal seseorang pemilih. 

Sayugia maklum, elemen menggunakan kamera atau seumpamanya melanggar peraturan pilihan raya serta amalan dan roh demokrasi bahawa  "undi adalah rahsia". Mencabuli nilai serta matlamat demokrasi kepilihanrayaan demi mempertahankan kuasa sebenarnya gambaran anti-demokrasi serta kerakusan kuasa.



Selasa, 20 Mac 2018

Kelebihan 3M

KELEBIHAN 3M KEPADA BARISAN NASIONAL DALAM DEMOKRASI KEPILIHANRAYAAN

Konsep "caretaker government" yang menjalankan tugas pemerintahan selepas pembubar badan legislatif dan pembentukan kerajaan baru selepas pilihan raya umum, diambil kesempatan untuk mempertahankan kuasa dalam sistem demokrasi amalan Malaysia. Bagaimana kerajaan sementara ini boleh meluluskan sebarang peruntukan untuk menggerakkan operasi tugasan eksekutif. 

Lantaran sistem demokrasi amalan Malaysia meletakkan tempoh dan tarikh pilihanraya sebagai satu keistimewaan pihak pemegang kuasa. Tarikh dan tempoh cukup rahsia, untuk memberi kelebihan feels good factor kepada BN, selaku pemerintah. 

Justeru itu, kelebihan persiapan BN selaku pemerintah berbanding parti permbangkang. BN boleh mempergunakan kemudahan eksekutif dan birokrasi untuk kerja-kerja memperkukuh jentera pilihanrayanya. BN berjaya mempertahankan kerajaan bukanlah atas kecemerlangan tawaran perkhidmatan untuk untuk khalayak pengundi sebaliknya banyak bergantung kepada keupayaan menguasai 3 elements; machinery, media dan money. BN menguasai jentera kerajaan, media cetak dan letronik serta sumber kewangan hasil sumbangan korporat dan individu membalas budi. 

Keupayaan menguasai jentera kerajaan membolehkan BN memanipulasi pendaftaran pemilih. Bagaimana penyokong parti lawan dipindahkan atau dikeluarkan dari senarai pemilih tanpa disedari pemilih. Mekanisme pemindahan pengundi di bawah sub-kepala "Pemotongan Pemilih Bertukar Alamat" sebenarnya sudah sekian lama berlaku dan berterusan berlaku apabila pemilih kurang pendedahan maklumat dan hak pemilih. 

Contohnya, dalam Rang Pendaftaran Pemilih Tambahan (RDPT) Suku 4 Tahun 2016, 4 orang penyokong Pas dari Bahagian Pilihan Raya Negeri Gaal, Kelantan telah dipindahkan ke Bahagian Pilihan Raya Negeri Jerteh, Terengganu. Pemilih tersebut;
610729-03-5397 RAZMI BIN HAMZAH
dari Lokaliti Gong Datok, DM Gong Datok, DUN Gaal, Kelantan
ke Lokaliti Kg Tok Raja, DM Tok Raja, DUN Jerteh, Terengganu;

811217-03-5837 NIK BAHAROM BIN NIK HASHIM
dari Lokaliti Gong Datok, DM Gong Datok, DUN Gaal, Kelantan
ke Lokaliti Kg Gong Tok Kor, DM Tok Raja, DUN Jerteh, Terengganu;

941028-03-5323 MOHD RIDZAINUDDIN BIN CHE ABDUL RASHID
dari Lokaliti Gong Datok, DM Gong Datok, DUn Gaal, Kelantan
ke Lokaliti kg Gong Tok Kor, DM Tok Raja, DUN Jerteh, Terengganu;

790604-03-5001 AHMAD FAKHRULLAH BIN JUSOH
dari Lokaliti Gaal Hilir, DM Gaal, DUN Gaal, Kelantan 
ke Lokaliti Kg Gong Tok Kor, DM Tok Raja, DUN Jerteh, Tereangganu.

891223-03-5633 MUHAMMAD IZZUDDIN BIN MAMAT
dari Lokaliti Chengal Pulas, DM Telipok, DUN Gaal, Kelantan
ke Lokaliti Kg Telipot, DM Telipot, DUN Bunut Payong, Kelantan.

RAZMI BIN HAMZAH, NIK BAHAROM BIN NIK HASHIM, dan MOHD RIDZAINUDDIN BIN CHE ABDUL RASHID, secara individu telah mengemukakan Borang B (borang tuntutan) menuntut nama mereka tidak dikeluarkan dari senarai pemilih dalam DM Gong Datok. 

Pihak SPR telah memanggil mereka untuk prosiding yang dikendalikan oleh pegawai kanan SPR. Kecuali AHMAD FAKHRULLAH BIN JUSOH, mereka bertiga hadir untuk prosiding. Mereka diberitahu nama mereka telah ditukar cip dalam rekod alamat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ke alamat Nombor 10, Kg Tok Raja, Besut, Terengganu, pada satu tarikh dalam bulan November 2016, menerusi satu permohonan tukar alamat. Nama AHMAD FAKHRULLAH BIN JUSOH juga beralamat sama. Mereka  amat terkejut dan mengaku tidak pernah memohon sebarang pertukaran alamat. 

Dalam prosiding, mereka diarah membuat akuan tidak pernah memohon sebarang pertukaran alamat tempat tinggal, sebelum dan pada tarikh yang disebut.  

MUHAMMAD IZZUDDIN BIN MAMAT tidak kemukakan borang tuntutan. Semakan dengan JPN, cip alamat beliau juga telah dipindahkan alamat menetap di Kg Telipot, Bunut Payong, tanpa restu dan disedari.

AHMAD FAKHRULLAH BIN JUSOH dan MUHAMMAD IZZUDDIN BIN MAMAT, tidak kemukakan tuntutan kerana masalah komitmen kerja. RAZMI BIN HAMZAH adalah seorang OKU, bergantung hidup kepada bantuan tetap bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kelima-lima pemilih berkenaan dikenalpasti penyokong Pas. 

Dalam RDPT Suku Pertama Tahun 2017, seramai 62 pemilih dikenalpasti sebagai penyokong BN/UMNO dan ahli keluarga seorang Timbalan Menteri Persekutuan telah dipindahkan di bawah sub-kepala "Pendaftaran Tukar Alamat" ke 3 DM dalam Bahagian Pilihan Raya Negeri Gaal. 

Mereka adalah seramai 59 pemilih dari Bahagian Pilihan Raya Parlimen Tumpat. Pecahannya 54 pemilih dari lokaliti Kok Keli, Kg Chat dan Kg Gerong dalam Daerah Mengundi (DM) Kok Keli dan dari lokaliti Kg Kok Pasir, Kg Belian, Darul Hanan dan Kg Hutan Jambu dalam DM Kok Pasir, Bahagian Pilihan Raya Negeri Pasir Pekan, 5 orang dari DM Padang Tembesu dan Berangan dalam Bahagian Pilihan Raya Negeri Wakaf Bharu dan 3 orang dari Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kota Bharu, telah dilibatkan memindahkan tempat mengundi. 

62 orang pemilih berkenaan ditaburkan ke 3 DM dalam Bahagian Pilihan Raya Negeri Gaal iaitu Jeram (30 orang), Gong Garu (23 orang) dan Kandis (9 orang). Ketiga-tiga DM berkenaan adalah kubu kuat BN, dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU). Pemindahan ini dikhabarkan sebagai usaha membantu Timbalan Menteri berkenaan yang bakal bertanding dalam PRU14. 

Seramai 7 orang pengundi telah kemukakan bantahan dan prosiding diatur oleh SPR. Kesemua 62 orang kena bantah (OKB) tidak hadir, secara langsung kesemuanya akan kekal menjadi pemilih di DM asal masing-masing. Sebelum prosiding, SPR hubungi mereka menerusi surat pos berdaftar di alamat baru mereka sebagaimana dalam permohonan pertukaran tempat mengundi yang diisi oleh setiap pemilih terlibat. Amat luar biasa dari sejumlah 62 orang yang digolongkan sebagai berniat menukar tampat bermastautin, tidak seorang pun hadir berdepan dengan pembantah yang terdiri dari penduduk tempatan. Asas bantahan adalah pemastautin tidak tinggal dalam lokaliti yang didaftarkan.

Literalnya, usaha menukar cip alamat pemilih kemudian mengajukan borang permohonan pendaftaran tukar alamat adalah diatur oleh satu sindiket yang barang tentu tak perlu dinafikan adalah kerja jentera BN/UMNO untuk memenangi kerusi DUN Gaal yang dimenangi Pas dengan majoriti kecil tiga kali berturut-turut. Pengundi yang dikenali yang berpotensi akan mengundi Pas dikeluarkan dan pengundi BN dari DUN, di mana BN tiada harapan untuk menang dipindah masuk. 

Tanpa ada kerjasama dan persepakatan berbagai agensi dan jabatan kerajaan, usaha ini tidak berlaku, kerana dari segi peraturan seseorang yang ingin memindah tempat mengundi melalui beberapa proses: mohon tukar alamat menerusi JPN, kemudian daftar dengan SPR atau wakil, hadir prosiding kiranya ada bantahan. Sungguhpun beberapa kutipan contoh di atas hanya apa yang berlaku dalam urusan pendafataran pemilih di satu bahagian pilihan raya sahaja, ianya mewakili amalan seluruh negara. Justeru BN/UMNO memiliki kemudahan awam yang membantunya, keserabutan dan kecelaruan pendaftaran pemilih adalah antara elemen yang mengukuhkan persepsi awam di bawah pentadbiran BN; politik menguasai eksekutif atau jentera pelaksana.










 

Rabu, 7 Mac 2018

UMNO Tangguh lagi

UMNO TANGGUH LAGI PEMILIHAN KEPIMPINAN PARTI DI KALA KECEMASAN HADAPI PRU14

UMNO sebagai parti utama dalam sistem demokrasi berpalimen ala Malaysia, sekali lagi melakukan penangguhan pemilihan kepimpinan parti di semua peringkat. Apa saja tindakan parti-parti utama menjadi perhatian dan diberi liputan utama sama ada berbentuk positif atau liputan untuk menjatuhkan parti-parti berkenaan. Selain UMNO, parti utama atau parti dominan ialah DAP, PKR, Pas dan PBB (Parti Bumiputera Bersatu). Lima parti ini adalah pemilik kerusi Parlimen terbesar dan menguasai kerajaan negeri. 

Kali terakhir UMNO mengadakan mesyuarat agung pemilihan kepimpinan semua peringkat: cawangan, bahagian dan pusat ialah dalam tahun 2013. Pemilihan untuk memilih Presiden, Timbalan Presiden dan semua jawatan peringkat nasional telah diadakan pada 19/10/2013.  Sepatutnya dengan klausa 10.16, Perlembagaan UMNO yang memberi kuasa boleh ditangguhkan selama 18 bulan, yang selewat-lewatnya berakhir 19/04/2018 iaitu 18 bulan dari tarikh 19/10/2016 (peruntukan klausa 9.3: pemilihan Majlis Tertinggi perlu dipilih setiap 3 tahun).  Tradisi UMNO mengubahsuai tarikh mesyuarat agung yang melibatkan pemilihan kepimpinan parti dengan tarikh pilihan raya umum. 

Mesyuarat agung tahunan UMNO yang melibatkan pemilihan kepimpinan tidak lagi terikat dengan peruntukan  Perlembagaan UMNO bahawa pemilihan kepimpinan parti 3 peringkat: cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi perlu dipilih setiap 3 tahun sekali. Penangguhan perhimpunan agung UMNO bermula dalam tahun 1999, apabila UMNO yang menguasai kerajaan Persekutuan tercari-cari ruang untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke 10, walaupun tempoh Parlimen sehingga pertengahan 2000. 

Sebelum itu, UMNO pernah mengadakan mesyuarat agung tahun yang melibatkan pemilihan kepimpinan parti sebaik selesai PRU.  Perhimpunan Agung tahun 1978 diadakan pada 15/09/1978 iaitu dua bulan selesai PRU pada 08/07/1978. Perhimpunan ini bukan sahaja mengesahkan mandat untuk PM Hussien Onn tetapi mengesahkan beliau sebagai ketua parti. Perhimpunan Agung UMNO 1990 yang melibatkan pemilihan kepimpinan parti diadakan sebulan lepas PRU, PAU pada 29/11/1990 sementara PRU pada 21/10/1990. PM Dr Mahathir Mohamad, tidak menunggu lama untuk mengesahkan beliau pemimpin kerajaan serta pemimpin parti.

PAU 1999 yang terlibat dengan pemilihan parti ditangguhkan ke tahun 2000 untuk beri laluan kepada PRU10 (PRU 1999). Mandat kepimpinan UMNO yang dipilih dalam PAU 2000 sepatutnya tamat dalam tahun 2003. Oleh kerana persiapan parti untuk berdepan dengan PRU sebagai usaha parti memperbaiki imej dari kemerosotan prestasi BN dalam PRU10, PAU diadakan selepas PRU11 (PRU 2004)

Kuasa mengurus dan mentadbir parti meneru pemilihan dalam tahun 2004, sepatut berakhir dalam tahun 2007, telah ditangguhkan menggunakan peruntukan Klausa 10.16, selama 18 bulan ke tahun 2008. PRU12  terpaksa diadakan dalam bulan Mac 2008, untuk mengelakkan pertembungan persiapan PRU dengan tamat tempoh penangguhan mesyuarat agung parti atau pemilihan parti. 

Jawatankuasa yang dipilih dalam tahun 2008, berakhir tempoh 3 tahun dalam tahun 2011. Lantaran pertembungan tempoh pembubaran otomatik Parlimen dengan lanjutan tempoh mesyuarat agung parti, Parlimen terpaksa dibubarkan lebih awal sebelum pembubaran otomatik 28/04/2013. PRU13 telah diadakan pada 05/05/2013 dan PAU diadakan pada 19/10/2013 untuk memilih anggota baru Majlis Tertinggi (MT). Tempoh 3 tahun tamat pada 19/10/2016, dengan peruntukan Klausa 10.16, berlanjutan kepada 19/04/2018.  

Dari sudut perkiraan tempoh dan tarikh, semua mesyuarat UMNO peringkat cawangan serta memilih kepimpinan baru selesai sebelum 28/02/2018, diikuti peringkat bahagian dan pemilihan MT sebelum 19/04/2018. Dua hari lepas Pendaftar Pertubuhan (Registrar of Societies/ROS) memaklumkan keputusan UMNO melanjutkan tempoh pemilihan parti selama satu tahun, ke 19/04/2019, dibolehkan mengikut perlembagaan. Kesibukan kerja-kerja persiapan parti untuk PRU14, pemilihan UMNO terpaksa ditangguhkan kepada tempoh yang paling panjang dalam sejarah parti politik di Malaysia. Pemegang jawatan dalam UMNO sekarang, yang dipilih dalam tahun 2013, boleh dilanjutkan ke 2019, iaitu 6 tahun: tempoh 3 tahun + 18 bulan + 12 bulan.

Justeru amalan demokrasi kepilihanrayaan di Malaysia di mana pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa tidak melebihi 5 tahun tarikh rasmi memegang jawatan ahli badan legislatif atau angkat sumpah seseorang ahli berkenaan. Sebandingan, amalan di setengah negara, pilihan raya umum ditetapkan, contohnya di Amerika Syarikat, tarikh pilihan raya Presiden ialah hari Rabu pertama, setiap bulan November, setiap empat tahun. Setengah negara umumkan tarikh pilihan raya setahun lebih awal. 

Sebagai parti dominan, bukan saja dominan dari segi politik, kuasa dan pengaruh, UMNO juga menguasai kerajaan dengan menggerakkan bersama eksekutif untuk membantu jentera parti. Dalam gerakan kempen dan kerja-kerja teknikal jentera pilihan raya, peranan jabatan perkhidmatan awam dan agensi awam dilibatkan sama. Dengan persiapan serta kelangkapan yang rapi, UMNO gagal sebenarnya untuk merealisasikan pendemokrasian dalam parti, apabila hak seseorang ahli memilih pemimpin parti setiap 3 tahun dinafikan dan dicabuli. 

Berbeza dengan Pas, saingan utama UMNO yang tertumpu kepada sasaran pengundi yang sama: Melayu/Islam dan kawasan luar bandar, Pas tidak melanggari peraturan yang digariskan perlembagaan parti. Dalam kesibukan berdepan dengan PRU14, mesyuarat agung peringkat cawangan berjalan mengikut jadual dan sedang berlangsung di peringkat kawasan, walaupun mesyuarat agung tahunan Pas tahun ini tidak melibatkan pemilihan parti. Sementelahan dalam perlembagaan Pas tiada penundaan atau perlanjutan tempoh memegang jawatan, yang dipilih setiap 2 tahun. 

Mengambil kira catatan sejarah, UMNO dan Pas, adalah parti-parti berpengalaman yang bergerak sejak zaman pra Merdeka, perbandingan yang lebih tepat untuk UMNO ialah Pas. Jika Pas boleh bertahan dengan peraturan parti dan melalui liku-liku pahit maung hampir 70 tahun, mengapa UMNO harus sentiasa gelisah dan resah, peraturan demi peraturan dipinda demi mempertahankan kuasa. 

UMNO patut malu dengan Pas, Pas tidak menggunakan jentera eksekutif untuk pertahan kerajaan negeri, tetapi Pas masih kekal sebagai salah satu parti dominan dan relevan dalam politik Malaysia sejak sekian lama.

Berbanding dengan DAP, yang muncul selepas Merdeka, bersama PBB dan PKR, latar belakang, fokus dan sasaran tumpuan agak berbeza dengan UMNO.  DAP dan PKR dapat selesaikan masalah dalaman dengan beberapa perubahan peraturan demi mengstabilkan parti. DAP telah selesai adakan pemilihan parti akhir tahun lepas, tiada masalah mempersiapkan diri untuk PRU14. Rakan-rakan UMNO dalam BN,  MCA dan Gerakan telahpun mengumumkan sebahagian bakal calon untuk PRU14, dalam UMNO terpaksa melanjutkan tempoh pemilihan parti.