Jumaat, 30 Jun 2017

Andainya PRU14 berubah pola

SEANDAINYA PRU14 TERIMA TEMPIAS PILIHAN RAYA GREAT BRITAIN

Pilihan Raya Umum untuk merebut 650 kerusi Dewan Orang Ramai (House of Commons) Great Britain tempoh hari, jika boleh dijadikan sebagai rujukan bagi amalan demokrasi berparlimen di negara kita, adalah sesuatu yang agak menarik. Amalan demokrasi kita berasaskan model amalan Westminster Abbey yang memperuntukan perwakilan berasaskan satu perwakilan bagi satu kawasan (constituency), sedikit sebanyak pengalaman amalan demokrasi kepilihanrayaan boleh dijadikan panduan dan rujukan.

PRU Great Britain awal bulan ini gagal menentukan mana-mana parti boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mutlak. Keputusan yang mengejutkan daripada ramalan awal yang berdepan dengan keputusan Conservatives Party untuk mengeluarkan Britain dari Pasaran Bersama Eropah (European Common Market). Conservatives cukup yakin akan mendapat sokongan rakyat. Justeru itu, Parlimen atau House of Commons dibubarkan untuk mendapat mandat baru. Conservatives yang memenangi 331 kerusi dari jumlah 650 jumlah kerusi iaitu dengan simple majority dalam PRU 2015. Tapi dalam PRU terbaru, cuma dapat 318 kerusi, kurang 8 kerusi untuk majoriti mudah, sementara Labour Party, hanya mendapat 262 kerusi, masih tidak mampu bentuk kerajaan tanpa kerjasama dengan beberapa parti kecil.

Dalam PRU 2010, kegagalan Labour mempertahankan kerajaan, setelah alami kekalahan agak teruk juga, hilang 91 kerusi Parlimen. Dari 349 kerusi Parlimen yang dipertahankan, cuma memenangi 258 kerusi sahaja. Conservatives yang berjaya menambahkan kerusi sebanyak 96 kerusi masih tak cukup perolehi kerusi majoriti untuk bentuk kerajaan, lantaran parti ketiga terkuat, Liberal Democrat, memperolehi jumlah kerusi yang cukup untuk mengagalkan mana-mana parti utama yang menang, tidak mampu bentuk kerajaan. Jumlah 306 kerusi milik Conservatives, gagal membentuk suara majoriti. Liberal Democrat yang memiliki 57 kerusi membantu Conservaties bentuk kerajaan campuran dengan  David Cameroun, ketua Conservaties sebagai Perdana Menteri, Nick Clegg, pemimpin Liberal Democrat sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

Dalam kebuntuan membentuk kerajaan, Conservatives berjaya mendapat sokongan dari sebuah parti wilayah, Democratic Unionist Party (DUP) dari Ireland Utara, yang memiliki 10 kerusi. Kerajaan minoriti Conservatives pimpinan Theresa May, tidak bentuk kerajaan campuran dengan DUP, cuma diwujudkan satu perjanjian, DUP dengan 10 anggota menyokong Theresa May membentuk kerajaan minoriti bersama 318 anggota Conservatives. 

Langkah awal, dua hari lepas, satu perjanjian untuk menyokong kerajaan minoriti, kerajaan Conservatives memperuntukan pembiayaan tambahan sebanyak 1 billion pound (RM5.47 billion) kepada Ireland Utara sebagai "balasan" untuk sokongan parti Protestant terbesar di wilayah itu. DUP di bawah kepimpinan Arlene Poster berjanji pastikan kerajaan minoriti dapat bertahan tempohnya sehingga 2022, demi kestabilan politik Great Britain. 

Setelah dua PRU terakhir di negara kita; PRU12 dan PRU13 membentuk pola baru, bermulanya Barisan Nasional (BN) gagal membentuk majoriti dua pertiga di Parlimen. Bermulalah juga populariti BN semakin, tergugat dan semakin menurun. Nasib juga bagi BN, kerana yang menjajah kita dan memperkenalkan demokrasi adalah British. Amalan demokrasi berparlimen diperkenalkan British adalah perwakilan satu wakil satu kawasan dengan amalan "the first past the post". Amalan Perancis, perwakilan sesuatu kawasan mesti mendapat sokongan majoriti pengundi, iaitu melepasi 50%. Satu lagi amalan setengah negara ialah undi popular, perwakilan di badan perundangan berdasarkan undi popular yang dikutip oleh setiap parti. 

BN hanya diselamatkan oleh amalan demokrasi berparlimen Westminster Abbey atau amalan British. Dengan sokongan 47% pengundi dalam PRU13, sudah tentu BN sudah gulung tikar, jika mengamalkan model Perancis atau model undi popular menerusi perwakilan berasaskan peratusan undi (proportional representatives).  Berasaskan dua PRU terakhir, bukanlah suatu kejutan andainya, keputusan PRU14 sebagaimana keputusan pilihan raya Great Britain baru ini. Sudah barang tentu, persaingan utama ialah antara BN dengan pakatan pembangkang, Pakatan Harapan. Pas yang bersendirian, berkemungkinankah menjadi parti yang akan menjadi penentu, bila BN dan Pakatan Harapan masing-masing  gagal memperolehi kerusi secukupnya untuk majoriti mudah. Sama ada Pas capai keputusan cemerlang atau sebaliknya, sebagai parti menembusi berbagai pengalaman dalam usia melebihi 60 tahun, peranan Pas tetap relevan. 

Faktor Liberal Democrat dan DUP memain peranan menyelamatkan keadaan ketidaktentuan pembentukan kerajaan serta meletakkan kepentingan nasional mengatasi perbezaan ideologi dan prinsip. Sungguhpun memperolehi jumlah kerusi yang kecil, peranan DUP dan Liberal Democrat, mengelakkan satu pilihan raya baru, yang lebih menjarakkan kestabilan politik. Pendirian Pas tidak bersama Pakatan Harapan atau BN, meletakkannya sebagai blok tengah atau blok ketiga, menawarkan diri untuk pilihan pengundi dalam PRU14 nanti.

Bukan sahaja Pas yang berada dalam blok ketiga yang akan jadi penentu lantaran BN dan Pakatan Harapan terdiri dari berbagai parti. Mungkin bila tiada gabungan parti gagal capai majoriti untuk bentuk kerajaan, mana-mana parti dalam satu pakatan boleh melompat ke pakatan lawan untuk membantuk membentuk majoriti. Bagaimana PBS meninggalkan BN semasa tempoh berkempen PRU 1990 untuk bersama dalam Gagasan Rakyat, apatah lagi jika selepas PRU, mana-mana parti boleh melompat.









 

Selasa, 27 Jun 2017

Sikap parti dominan

KEANGKUHAN PARTI DOMINAN DALAM SISTEM BERBAGAI PARTI

Justeru penguasaan politik Malaysia terarah kepada mempertahankan status quo, telah membantu membina satu persepsi sistem keperbagaian parti memerlukan satu parti dominan. Selepas Perikatan, terbentuk Barisan Nasional dengan jumlah anggota komponen yang lebih besar, menjadikan UMNO sebagai tulang belakang secara langsung mendominasi BN. Dalam tempoh 60 tahun, UMNO sebagai parti dominan telah memain peranan sebagai pembuli utama rakan komponen dan parti lawan. Rekod politik Malaysia telah mencatat pembuktian peranan UMNO sebagai parti dominan dalam sebuah pakatan. 

Bila kepimpinan yang mewakili parti yang dilihat memberi masalah kepada kepimpinan kerajaan Persekutuan, parti akan diusahkan disisihkan, malah dilenyapkan. Parti yang memberi ancaman kepada UMNO atau kepimpinan Pusat, usianya tak lama. Usaha menumbangkan kerajaan BN pimpinan USNO dan kerajaan BN di Kelantan pimpinan Pas, meletakkan UMNO sebagai pembuli unggul di pihak kerajaan. Sebelum terbentuk BN, kerajaan Sarawak pimpinan SNAP dihilangkan kuasa hasil perancangan kerajaan Persekutuan. Sokongan kepada parti-parti serpihan dari anggota komponen dengan tujuan mengurangkan kuasa dan kekuatan parti asal, sebagaimana penerimaan parti serpihan PBS; PBRS, PRBS, PDS, AKAR dan SAPP. Ini meletakkan PBS yang pernah menguasai sebuah kerajaan negeri,  sebuah parti kecil dalam komponen BN.  

Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) yang memberikan sokongan yang lebih besar kepada parti-parti saingan BN, menghasilkan DAP lebih terkedepan berbanding PKR dan Pas. PKR dan Pas, rakan kerjasama bersama DAP, alami sedikit kemerosotan berbanding PRU12. Prestasi DAP yang lebih baik, di samping peningkatan bilangan kerusi yang dimenangi bagi Persekutuan dan negeri, berjaya menguasai bahagian besar sokongan di kawasan bandar, di samping berjaya melebarkan pengaruh ke kawasan pinggir bandar dan campuran bandar-desa. 

Kemerosotan pencapaian Pas, terutamanya kehilangan sebuah kerajaan negeri, walaupun berjaya menguasai kawasan baru, telah mengheret kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang sedikit terganggu. Peningkatan sokongan kepada DAP dan sedikit terjejas sokongan Pas, memberikan ruang kepada DAP menjejaki langkah UMNO sebagai parti dominan dalam kelompok tersendiri. Sedikit demi sedikit DAP memainkan peranan sebagai parti dominan dalam Pakatan Rakyat dan secara perlahan membuli Pas, yang semakin kecil keberkesanannya. Peranan DAP selepas PRU13 sebagai langkah awal sistem dua parti dengan UMNO sebagai parti dominan dalam gagasan parti pemerintah atau BN, sementara DAP adalah parti dominan dalam pakatan pembangkang, walaupun Ketua Pembangkang Parlimen masih kekal kepada wakil PKR. 

Tindakan-tindakan kepimpinan DAP memperlekeh, mempekecil dan mempersoalkan nilai-nilai dan amalan penganut Islam, secara langsung usaha menyingkirkan dan memperkecilkan Pas. Sekurang-kurangnya ada sepuluh tindakan kepimpinan DAP yang mengguris hati umat Islam, yang boleh memberi kesan kepada pengaruh dan maruah Pas sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan dan maruah umat Islam, berbanding UMNO yang terkesan teruk lantaran penjejasan nilai moral, hasil dari beberapa penyalahgunaan, penyelewengan, keborosan, ketirisan dan tidak berintergriti.

1. Nga Kor Ming, seorang Ahli Parlimen dan ADUN, juga Pengerusi DAP negeri Perak, mempersendakan amalan pemberian duit raya oleh masyarakat Islam. Beliau mengeluarkan kenyataan menganggap pemberian duit raya sama dengan mentaliti "makan dedak", satu bentuk rasuah. Sebelum PRU13, DAP tidak pernah bangkit amalan duit raya. Ianya cuma berbangkit selepas PRU13 bila DAP main peranan sebagai parti dominan membuli Pas.

2. Jeff Ooi, Ahli Parlimen DAP kawasan Jelutong, semasa mengulas kematian Mursyidul Am Pas, Dato' Harun Din, mengucapkan "adios Harun Din" sebagai memperli roh pemimpin Pas di alam kubur.

3. Nga Kor Ming juga menyindir pemakaian purdah, apabila satu cadangan pramugari syarikat penerbangan di Malaysia memakai pakaian tutup aurat. 

4. Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy menyifatkan Dr Zakir Naik sebagai setan, atas alasan dakwah Zakir menyentuh sentimen kepercayaan dalam masyarakat Malaysia. 

5. DAP mempertikaikan laungan azan dan bacaan ayat Al Quran melalui pembesar suara. 

6. DAP mempersoalkan kandungan khutbah Jumaat dan ganggu urusan fatwa kerajaan negeri Pulau Pinang.

7. DAP mempersoalkan larangan murtad yang termaktub dalam perundangan dan juga mempersolkan kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 

8. DAP menghina dan mempersenda hukum hudud.

9. DAP bermati-matian menentang RUU355, dengan alasan ianya belum perlu.

10. DAP Sarawak menerusi kenyataan Pengerusinya, Chong Chieng Jen menentang penempatan ustaz dan ustazah dari Semenjang di Sarawak. 

Kenyataan dan pendirian DAP menerusi kepimpinan berbagai peringkat dengan lantang dan jelas banyak mempersoalkan kedudukan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Negeri serta amalan yang termaktub dalam ajaran Islam. Tindakan dan sikap DAP ini selepas Pas disingkirkan dari Pakatan Rakyat selepas Jun 2015, yang menggambarkan kekebalan DAP sebagai parti dominan dalam kelompok pembangkang. 

Sama ada UMNO atau DAP, peranan dan sikap parti dominan menguasai keputusan dan tindakan politik demi survival kelompok masing-masing. Sebagai parti dominan, DAP berpendirian tanpa penyingkiran Pas, usaha untuk "mara ke Putrajaya" tidak menjamin mempercepatkan matlamat. Sungguhpun nampak lunaknya UMNO mendampingi kepimpinan Pas masakini, hakikinya sama juga dengan pendirian DAP, UMNO juga tidak memerlukan Pas untuk mempertahankan Putrajaya. Sebagai parti dominan dalam kerajaan, isu yang dibangkitkan DAP untuk menyingkirkan Pas, sepatutnya sudah lama UMNO boleh laksanakan tanpa menunggu kebersamaan dengan Pas.