Khamis, 25 Januari 2018

Tsunami Melayu

JANGKAAN TSUNAMI MELAYU MENGGEGAR PRU14

Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang sedang menunggu pengumuman tarikh tahun ini diramalkan satu gelombang ayungan undi akan berlaku. Ramalan ini tidak berfokus atau bertumpu kepada satu kelompok parti tertentu, tetapi lebih diandaikan dengan berbagai persepsi. Kemunasabah persepsi tersebut ada hujah dan kekuatan serta rasionale tersendiri.

Barisan Nasional yang dikepalai UMNO yang hanya mampu meraih 47% undi popular dalam PRU13 walaupun masih mempertahankan kuasa Persekutuan, pencapaian terburuk dalam sejarah. Undi BN hanya mampu dipertahankan oleh undi masyarakat luar bandar, orang Melayu di Semenanjung dan peribumi di Sabah dan Sarawak. Undi masyarakat bandar yang dikuasai etnik Cina, disimpulkan sekitar 70 peratus menolak BN. 

Daripada 13 kawasan Parlimen di Semenanjung yang mempunyai peratusan pengundi Cina lebih 70%, kecuali Bukit Mertajam di mana BN dapat 44% undi, undi BN adalah tidak melebihi 33% atau 1/3 jumlah undi. Undi BN adalah bawah 33% di Kepong, Tanjung, Seputeh, Cheras, Batu Gajah, Ipoh Barat, Bukit Bendera, Petaling Jaya Utara, Ipoh Timur, Bukit Bintang, Bukit Gelugor dan Bagan. 

Berasaskan kepada peningkatan undi Melayu kepada BN dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU13, ada analisis menyakinkan undi Melayu akan berayung ke BN dalam PRU14.  Keyakinan ini diasaskan kepada keperluan sokongan semula orang Melayu kepada BN, lantaran peratusan undi orang Cina yang tinggi menolak BN. Demi mengstabilkan kuasa politik serta masa depan orang Melayu, keperluan pengundi Melayu memihak kepada BN di atas rasionaliti kebimbangan pengukuhan sokongan orang Cina kepada DAP akan memunculkan DAP sebagai satu ancaman kepada tradisi kuasa politik Melayu. Sungguhpun BN berjaya menarik dan memujuk undi Cina sebagaimana digambarkan dalam beberapa PRK, tetapi belum cukup untuk menjamin kedudukan parti-parti sokongan Cina dalam BN. 

Mengambil kira kejayaan BN memperbaiki imej dan prestasi menerusi beberapa PRK pasca PRU13, diyakini BN akan mendapat manfaat hasil perubahan pola pengundi Melayu dalam PRU14. Di samping itu, kekalutan yang berlaku dalam pasukan pembangkang yang membawa kepada perpecahan pakatan pembangkang, sedikit sebanyak mempengaruhi sikap pengundi. Sebahagian pengundi akan mengalih kepada BN, demi melihat kepada idaman kestabilan politik dan masa depan negara. Perubahan yang membawa kepada tsunami Melayu akan membantu BN mengembalikan senario lampau, BN akan membantuk pemerintahan Persekutuan yang lebih kukuh, hasil PRU14. 

Sungguhpun berlaku perpecahan dalam pakatan pembangkang pasca PRU13, yang boleh memberikan kelebihan kepada BN, tetapi sebaliknya ramalan tsunami Melayu mungkin berlaku. Kemelut yang berlaku dalam UMNO, yang bolehlah disifatkan sebagai satu krisis keyakinan kepimpinan Melayu boleh membawa kepada perubahan sikap dan sokongan pengundi. Kemelut yang membawa kepada penyingkiran kepimpinan parti, mendorong kepada pembentukan sebuah parti serpihan mewakili orang Melayu. Krisis kepimpinan yang membawa kepada pembentukan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika boleh mengulangani sejarah pembentukan Parti Keadilan Nasional (KeADILan) akan memberikan cabaran besar bukan sahaja kepada UMNO, tetapi BN umumnya. Ulangan tsunami Melayu dalam PRU10 (PRU 1999) yang telah merobek penguasaan UMNO dalam politik Melayu, tidak mustahil, BN akan hilang kuasa. 

PRU13 menyaksikan tsunami Cina, walaupun didakwa sudah berlaku perubahan di mana pengundi Cina sudah beralih angin ke BN, tetapi angka tidak cukup untuk menafikan penguasaan parti pembangkang, khususnya DAP di kawasan bandar. Kemunculan mantan Perdana Menteri membantu pakatan pembangkang menerusi PPBM, akan memudahkan ruang pengundi Melayu membina tsunami Melayu untuk menukar kerajaan kleptokrasi.

Pengaruh Tun Dr Mahathir sebagai faktor dominan untuk merombak penguasaan BN yang dikepalai DS Mohd Najib. Fokus utama dimainkan Tun Dr Mahathir untuk menyingkirkan kepimpinan DS Najib yang secara langsung menolak BN. Serangan ke atas peribadi dan kepimpinan DS Najib menenggelamkan serangan ke atas UMNO, yang boleh menghilangkan keyakinan dan sokongan kepada BN. Serangan bertali arus ke atas kelemahan urustadbir serta ketidaktentuan prestasi ekonomi dengan peranan Tun Dr Mahathir boleh menarik undi Melayu yang secukupnya untuk mengimbangi sokongan masyarakat Cina dalam pakatan pembangkang. Membiarkan pengundi bukan Melayu, Cina khususnya bersama pakatan pembangkang sementara orang Melayu mendokongi kerajaan, akan menjarakkan keharmonian dan perpaduan kaum.

Menyedari keperluan untuk mengimbangi kuasa bukan Melayu, secara terpaksa pengundi Melayu perlu melihat di mana sokongan majoriti rakyat Malaysia. Atas faktor kemurungan meraih sokongan kepada BN, pengundi Melayu mungkin mengambil keputusan menyertai pengundi bukan Melayu menolak BN. Fenomena ini iaitu dengan penyertaan sama pengundi Melayu yang menzahirkan tsunami Melayu bersama pakatan pembangkang memudahkan laluan meruntuhkan dominasi kuasa dari tangan BN. 

Kemungkinan tsunami Melayu dalam PRU14, apabila orang Melayu cemuh dan bosan, bila parti-parti politik sama ada dari blok kerajaan atau pakatan pembangkang menanamkan nilai-nilai kebencian terhadap sesuatu kaum. Isu-isu sensitif dan rasialisme menjadi isu utama parti mendapat kuasa, memungkinkan orang Melayu menolak UMNO dan DAP, yang kedua-duanya, parti dominan atau parti yang menguasai kelompok kerajaan atau kelompok pembangkang. 

Tsunami Melayu akan berlaku apabila pengundi Melayu memilih jalan sederhana, jalan kompromi dan jalan harmoni. Mereka akan menolak UMNO yang memimpin BN dan mereka juga akan menolak DAP yang memimpin pakatan pembangkang. Atas perkiraan tersebut, tsunami Melayu akan berlaku bila pengundi Melayu sebagai kumpulan atau etnik majoriti, menolak UMNO/BN, menolak DAP/Pakatan Harapan, dan mereka memilih Pas. Jika pengundi Melayu memilih jalan tengah, mereka mengundi Pas, yang tidak terikat dengan tradisi perkauman UMNO dan cauvanis DAP. 






 

Jumaat, 19 Januari 2018

Cabaran Pakatan Harapan

CABARAN PAKATAN HARAPAN MENGUASAI KAWASAN MELAYU.

Pakatan Harapan telah selesai membuat agihan kerusi pilihan raya Parlimen di Semenanjung minggu lepas. Parti Peribumi Bumiputera Bersatu (PPBM) diperuntukkan 52 kerusi, PKR 51, DAP 35 dan Parti Amanah Negara (Amanah) diberi 27 kerusi, dari jumlah 165 kerusi Parlimen. 

Berbanding agihan dalam Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13); Pas 66, PKR 64 dan DAP 35. Agihan untuk DAP kekal iaitu kawasan majoriti bukan Melayu atau kawasan bandar. Penyertaan PPBM, serpihan UMNO telah memecahkan penguasaan kerusi majoriti Melayu dan kawasan campuran yang dulunya diperuntukkan kepada Pas dan PKR. Amanah serpihan Pas tidak diberi peranan mengganti Pas dalam pakatan pembangkang. Sebahagian kerusi majoriti Melayu milik PKR diberikan kepada PPBM serta 60% kerusi majoriti Melayu diagihkan kepada PPBM, menjadikan Amanah sekadar menumpang sebagai rakan kongsi kecil. 

Agihan kerusi ini meletakkan PPBM sebagai parti dominan dalam pakatan pembangkang, sungguhpun agihan bagi Sabah dan Sarawak, bagi baki 57 kerusi Parlimen, belum disempurnakan. Justeru PPBM hanya berfokus kepada Semenanjung, memungkinkan PKR lebih banyak dapat peruntukan kerusi. 

Berbeza dengan UMNO yang mendominasi BN, dengan fokus kepada kawasan majoriti Melayu di Semenanjung serta kawasan majoriti Bumiputera di Sabah, PPBM sebagai serpihan UMNO bertumpu di Semenanjung, sebagai teras dominasi politik nasional.  Sementara PKR memberi tumpuan kepada kawasan campuran dan semi-bandar, sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak. 

Agihan kerusi dalam pakatan pembangkang menerusi Pakatan Harapan sebagai persiapan menghadapi PRU14, tiada beza dengan pola agihan dalam Pakatan Rakyat semasa PRU12 dan PRU13. Dalam Pakatan Rakyat, agihan dan fokus parti kepada demografi, sosio-geografi dan komposisi etnik kawasan pilihan raya dengan; Pas di kawasan majoriti Melayu, PKR di kawasan campuran dan DAP di kawasan majoriti bukan Melayu, yang relatifnya kawasan kota. 

Calon Melayu mewakili pakatan pembangkang mengatasi bilangan calon Melayu yang diletakkan BN dalam PRU12 dan PRU13. Daripada agihan kawasan atau kerusi Parlimen minggu lepas, bilangan calon Melayu mewakili PPBM, PKR dan Amanah lebih ramai dari calon UMNO. Kawasan-kawasan campuran seperti Tapah, Alor Gajah, Simpang Renggam dan Tanjung Piau, akan ditandingi PPBM untuk menentang calon MIC, MCA dan Gerakan yang akan diletakkan oleh BN sebgaimana PRU13. Dalam PRU13, calon UMNO diletakkan untuk ganti calon MCA di kawasan tradisi MCA dalam PRU12; Kuantan, Wang Maju dan Gelang Patah, tetapi masih gagal mengatasi calon pakatan pembangkang. Kerusi-kerusi campuran yang ditandingi calon bukan Melayu dari MCA dan MIC kalah kepada calon Melayu dari pakatan pembangkang yang membantu meletakkan lebih ramai Ahli Parlimen Melayu/Islam bermula PRU12. Kerusi-kerusi tersebut: Bandar Tun Razak, Teluk Kemang, Kota Raja, Lumut, Raub dan Bukit Bendera.  

Dalam PRU12, BN meletakkan seramai 103 calon Melayu melalui UMNO dari jumlah 165 kerusi Parlimen Semenanjung berbanding 115 calon Melayu mewakili Pas dan PKR. Dalam PRU13, BN meletakkan seramai  107 orang calon Melayu menerusi UMNO (106 orang) dan seorang Bebas di Pasir Mas (bila calon UMNO tarik diri) berbanding 117 calon Melayu dari Pakatan Rakyat, termasuk DAP.

Dalam Pakatan Harapan pola agihan dipecahkan kepada dua kelompok; kawasan majoriti Melayu dan campuran, dan kawasan majoriti bukan Melayu. Ianya lebih bersifat agihan antara desa dengan kota, secara campuran desa-kota. DAP mendominasi kawasan kota, sementara kawasan luar bandar ditaburkan antara PPBM, PKR dan Amanah. 

PRU14 diramalkan fokus kepada keupayaan mana-mana parti menguasai undi Melayu atau undi kawasan luar bandar. PRU14 menjadi perebutan undi teras politik Malaysia iaitu Melayu Semenanjung. Justeru DAP yang berjaya menguasai undi kota di seluruh negara dan dijangka sokongan bukan Melayu khususnya masyarakat Cina kepada DAP akan kekal atau mungkin meningkat, peranan dan pengaruh pengundi bandar kekal sebagaimana PRU13. Sehubungan dengan itu, nasib BN sama ada akan terus berkuasa atau kelompok lain akan berkuasa, undi Melayu akan penentu atau kuasa politik Melayu menjadi feels good factor. 

PRU14 yang diramalkan giliran tsunami Melayu pula yang akan menyaksikan kelompok mana yang mendapat manfaat. Apakah tsunami Melayu akan membantu memulihkan UMNO membantu BN memperolehi majoriti mutlak. Persoalan kedua, sejauhmanakah keupayaan Pakatan Harapan menerusi pakatan baru, dengan kemunculan PPBM dan Amanah mampu menarik undi Melayu melakukan tsunami Melayu untuk merudumkan dominasi UMNO. Persoalan ketiga, apakah keberkesanan Pas sebagai kuasa ketiga yang mengheret PRU14 kepada saingan tiga penjuru berkuasa memanfaat dari tsunami Melayu untuk meletakkannya sebagai faktor penentuan kuasa. 








 


Isnin, 8 Januari 2018

Pelaburan Komunis

HUBUNGAN UMNO DENGAN PARTAI KOMUNIS CHINA MENERJAH PERUBAHAN PERSEPSI

Hubungan UMNO dengan Partai Komunis China (PKM) bukanlah satu hubungan biasa antara dua yang menguasai dua kerajaan telah lebih kepada perubahan persepsi dan dasar. UMNO, parti dominan dalam Barisan Nasional yang menguasai kerajaan Persekutuan, pada hakikinya meneroka lonjakan pendirian dan sikap. UMNO memang terkenal dengan sikap anti-komunisme sejak dulu dan sentiasa memainkan isu anti-komunisme setiap kali berdepan dengan pilihan raya. 

Lantaran ancaman dan cabaran kepada UMNO bukanlah parti-parti yang bersaingan menguasai kawasan Melayu, tetapi lebih DAP, yang dikaitkan dengan Pas dan PKR yang mengadakan kerjasama pilihan raya dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) dalam tempoh 10 tahun terakhir.  Isu utama dimainkan UMNO ialah DAP sebuah parti komunis. Menyokong Pas dan PKR adalah sokongan untuk komunisme, lantaran hubungan Pas dan PKR. 

Bila UMNO adakah hubungan rasmi dengan PKM, PKM menjadi tetamu dalam Perhimpunan Agung UMNO dan diviralkan dalam media sosial, wakil UMNO dan PKM adakah mesyuarat bersama. Ianya menjadi persoalan khalayak masyarakat lantaran ianya pertemuan dua hala antara parti, yang berbeza hubungan antara kerajaan. 

Perubahan besar dalam dasar China selepas kematian Mao, yang meledakkan peresapan unsur kapitalisme. China tidak lagi membangun pembangunan berdiri yang menjadi teras komunisme, secara langsung mengakui kelemahan komunisme menjadi sistem pengaturan kehidupan manusia; ekonomi, sosial dan politik. Hasilnya, hari ini China mampu menyaingi kuasa-kuasa besar ekonomi dunia yang berfahaman kapitalisme yang berkonsepkan free enterprise dan liberal ekonomi. 

Kiblat Malaysia nampaknya beralih ke China untuk mendapatkan pelaburan mega, dengan memejamkan pandangan kepada komunisme yang dimusuhi UMNO dulu. Pelawaan kepada pelaburan dari China telah menyerlahkan kehebatan pelaburan China sebuah negara komunis dalam amalan kapitalisme menguasai ekonomi negara-negara penerima. 

10 projek mega jangka pendek dan jangka panjang yang dalam jangka masa panjang memparkan satu bentuk penjajahan baru, imperlisme bukan lagi negara Barat tetapi dari negara Timur penganut komunisme;
1. Projek Forest City yang menelan belanja USD100 billion, di selatan Johor. (kadar tukaran semasa: 07/01/2018: USD1 = RM3.9997). Projek ini dilaksanakan oleh Country Garden Holdings, yang merupakan projek luar negara yang terbesar pernah dibuat oleh pemaju hartanah China. 42% pegangan equiti oleh rakyat Malaysia. Projek ini dijangka siap dalam tahun 2035.

2. East Coast Railline, menelan belanja USD 13 billion. Laluan keretapi laju sejauh 600km ini, akan dibelanja dan dibina oleh Chinese Communication Construction Company, yang akan diurus dan dimiliki oleh rakyat Malaysia ini, dijangka siap 2024. Laluan ini menghubungkan Pengkalan Kubor di Kelantan dengan Shah Alam. 

3. Melaka Gateway, dengan perbelanjaan USD 10 billion, adalah projek pembinaan pelabuhan Melaka. Pelaburan dilaksanakan oleh Power China Shenzhen Yantian Port Group dan Rizhao Port Group.  Jangkaan siap 2025. 

4. Kuala Linggi International Port, dibiayai dan dibina oleh China Railway Group dengan kos USD 2.92 billion. Projek ini bertujuan untuk mendapatkan sebahagian urusniaga perbankkan mewah dari Singapura, dengan keupayaan penyimpanan minyak berkapasiti 1.5 juta cubic metre. Projek ini dijangka siap 2027. 

5. Kuantan Port Expansion, dengan belanja USD 900 juta, adalah projek mendalamkan pelabuhan hasil usahasama antara kerajaan, firma tempatan, IJM Corp dan Guangxi Beibu dari China. Konsensi 30 tahun diperuntukan untuk mengurus pelabuhan, dengan 40% milikan firma China dan 60% oleh IJM Corp. Jangka siap 2018.

6. Samalaju Industrial Park Steel Complex, perbelanjaan USD 3 billion dan jangka siap 2020. Hebel Xinwuan Steel Group dan MCC Overseas Limited membuat pelaburan dalam industri besi waja, di tapak industri Samalaju, Bintulu.

7. Waterfront Land Reclamation di Pulau Pinang, dengan kos USD 40 juta dengan jangkaan siap 2018. China Communication Construction Company Limited melakukan kerja-kerja menebusguna tanah di zon Sri Tanjong Pinang Waterfront.

8. Green Technology Park, Pahang, dengan kos USD 470 juta. China Nuclear Huaxing Constructions Company, membangunkan stesyen jana kuasa solar dan biomass, dan pembangunan teknologi hijau di Pekan.

9. Methanol And Methanol Derivatives Plank di Sarawak, memakan kos USD190 juta dan dijangka siap 2021. China Huanqiu Constructing and Engineering Corporation (satu unit China National Petroleum Corporation) diberi tanggungjawab melaksanakan projek. Projek terletak di Tanjong Kidurong, Bintulu ini milik penuh kerajaan negeri Sarawak.

10. Projek pembangunan hartanah pesisir pantai, Kota Kinabalu yang menelan belanja USD 130 juta dan jangka siap 2022, berbentuk usahasama syarikat tempatan, Titijaya Land Berhad dan syarikat China, China Railway Group Limited.