Selasa, 31 Mei 2016

Pendekatan Pas-Amanah

CABARAN PENDEKATAN BARU POLITIK MALAYSIA: DARI SARAWAK KE KUALA KANGSAR & SUNGAI BESAR

Perkembangan baru dalam politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke 13 lebih ditonjolkan dengan perkembangan dalam parti politik tertua, iaitu Pas. Selepas PRU13, Pas digegarkan dengan kemunculan parti serpihan; Parti Amanah Negara (PAN @ Amanah) yang menggabungkan tenaga utama parti yang bahagian besarnya tokoh-tokoh parti yang ditolak dalam pemilihan jawatankuasa kerja pusat Pas tahun lepas. 

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak awal bulan ini dan dua pilihan raya kecil (PRK) bakal berlangsung di kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar bolehlah dijadikan sebagai medan kajian, analisis dan pengalaman bagi Pas dan serpihannya. 

Sungguhpun Sarawak, satu kawasan yang baru diterokai dan pengaruh Pas masih di peringkat awal, serta latar demografi dan sosio-politik yang agak asing bagi Pas, namun sedikit sebanyak beberapa pembolehubah boleh dikumpul untuk dijadikan ukuran dan penganalisaan data dan maklumat. Berbeza dengan suasana di Semenanjung di mana gambaran kawasan pilihan raya dicerminkan oleh komposisi pengundi mengikut kaum: Melayu, Cina, India dan lain kaum. Di Sarawak ianya digambarkan kepada pecahan kaum: Melayu/Melanau, Cina, Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan lain kaum. 

Di Semenanjung, dalam PRU13, dari jumlah 11.194 juta pemilih, 6.635 atau 59.27% adalah pengundi keturunan Melayu, sementara Cina; 3.425 juta pemilih atau 30.60% dan pengundi India berjumlah 0.965 juta atau 8.63%. Di Sarawak; jumlah pemilih dalam PRN11 ialah 1.138 juta, di mana kaum Melayu/Melanau; 310,447 pemilih atau 27.26%, Cina; 354,035 orang atau 31.09%, Iban; 319,580 pemilih atau 28.06%, sementara kaum Bidayuh adalah 7.44% dan Orang Ulu; 3.97%. Jika dikelompokkan Bumiputera bukan Islam, seramai 39.47% adalah dari kumpulan ini. 

Pas yang asasnya parti yang didokongi masyarakat Islam, sejak PRU1, menumpukan kawasan majoriti pengundi Melayu dan luar bandar untuk penglibatan demokrasi kepilihanrayaan. Jika Pas meletakkan calon di kawasan perbandaran atau pinggir bandar, lebih tumpu kepada kawasan campuran dengan pengundi Melayu melebihi 50% pemilih kawasan berkenaan. Cuma setelah persepakatan politik menerusi kerjasama pilihan raya dalam PRU12 bersama PKR dan DAP, Pas diberi peluang bertanding di kawasan campuran di mana pengundi Melayu di bawah 50% tetapi pengundi Melayu masih pemilih teramai berbanding dengan kaum lain. Contohnya, Parlimen Kota Raja, pengundi Melayu cuma 45%. Pendekatan baru Pas, "Pas for all", mengusahakan memperkenal dan memperluaskan pengaruh Pas ke dalam masyarakat berbagai kaum dan agama. 

PRN11 Sarawak baru-baru ini, Pas mengambil pendekatan memasuki kawasan majoriti masyarakat bukan Islam, sama ada di kawasan bandar yang dikuasai oleh kaum Cina atau kawasan luar bandar yang dikuasai masyarakat Iban. Dalam PRN10 Sarawak, 2011, buat pertama kali Pas bertanding secara bersungguh berbanding PRN sebelum dengan meletakkan seorang calon. Dalam PRN10, Pas meletakkan 5 calon di kawasan majoriti Melayu. Pas yang bertanding dalam pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat, dalam saingan satu lawan satu dengan calon-calon PBB mewakili BN, melahirkan pencapaian yang baik walaupun tidak memenangi sebarang kerusi. Semua calonnya tidak hilang wang pertaruhan. Di Beting Maro, kawasan 90% pengundi Melayu, calon Pas perolehi 46.6% undi kalah dengan perbezaan 391 undi sahaja.  

Dalam PRN11, Pas bertanding bersendirian bukan lagi bersama pakatan pembangkang. Serpihan Pas, Amanah mengambil tempat Pas dalam pakatan pembangkang yang longgar, Pakatan Harapan bersama PKR dan DAPPas bertanding di 7 kawasan majoriti Melayu/Melanau, 2 kawasan Iban, 1 kawasan Cina dan 1 kawasan campuran. Pencapaian Pas dengan mengambil pendekatan baru, "Kuasa Ketiga" kurang memberangsangkan berbanding dalam pakatan pembangkang dalam PRU10. Di kawasan majoriti Melayu, Muara Tuang dan Sadong Jaya, calon Pas hilang wang pertaruhan bila cuma perolehi 12.20% dan 9.59% berbanding dalam PRU10, undian Pas ialah 19.5% di Muara Tuang dan 22.5% di Sadong Jaya. Malah di Beting Maro, peratusan undi Pas turun dari 46.6% ke 38.6%

Pas meletakkan calon tunggal di kawasan majoriti Melanau, Jepak yang melibat persaingan 5 penjuru bersama BN, PKR, Star dan calon bebas. Pertandingan adalah antara BN dengan PKR yang menyaksikan calon Pas hilang wang pertaruhan, cuma perolehi 406 undi atau 4.41%.

Di kawasan Iban, Pas bertanding di Kakus (pengundi Iban, 11,000 orang atau 85.4%, pengundi Islam cuma 500 orang saja), calon Pas, seorang Iban menganut Kristian, cuma pungut 482 undi saja atau 5.14% dalam persaingan 3 penjuru bersama calon BN dari PRS dan PKR. Di kerusi Samalaju, Pas bersama DAP menentang calon PRS/BN. Calon Pas cuma perolehi 5.03% undi sahaja.

Percubaan di kawasan majoriti Cina, calon Pas ketinggalan dengan perolehan undi 3.03% sahaja di kubu kuat DAP, iaitu di kerusi Pujut, dalam persaingan 4 penjuru bersama BN dan seorang calon bebas menentang calon DAP. 

Pas mencuba di kawasan campuran, kerusi Lambir yang mengandungi 35% pemilih Islam (majoritinya kaum Kedayan), 32.8% Iban dan 25.6% Cina, di samping 4.2% Bumiputera bukan Islam yang lain. Calon Pas cuma perolehi 7.59% undi atau 829 undi, di mana pertandingan sebenar adalah antara calon BN dengan PKR. Semua calon adalah Bumiputera Islam dari kaum Kedayan. 

Keseluruhannya undian calon Pas hanya bertumpu di kawasan majoriti Melayu sahaja, dengan semua calon Pas di kawasan Melanau dan Kedayan, serta bukan Islam: Iban dan Pujut hilang wang pertaruhan dan gagal menandingi bukan saja calon BN bahkan calon dari parti-parti dalam Pakatan Harapan. 

Serpihan Pas, parti Amanah hanya bertanding di kawasan majoriti pengundi Islam iaitu 8 kawasan Melayu dan 5 kawasan Melanau. Amanah selaku komponen Pakatan Harapan mengambil tempat Pas bertembung dengan Pas di 5 kawasan. Semuanya di kawasan majoriti Melayu. Kesemua 5 calon Amanah hilang wang pertaruhan dalam pertandingan 3 penjuru bersama PBB/BN dan Pas.  Di kerusi Beting Maro, kerusi tumpuan Pas, calon cuma perolehi 103 undi atau 1.30% sahaja berbanding undi Pas sebanyak 3,051 undi atau 38.56%. Di Sebuyau, calon Amanah dapat 164 undi atau 2.53% berbanding undi calon Pas; 1,789 undi atau 27.59%. Di Samariang (90.4% pemilih adalah Islam), calon Amanah dapat 389 undi atau 3.18%, sementara calon Pas; 2,035 undi atau 16.65%. 

Di kawasan majoriti Melayu, calon Amanah hanya tidak hilang deposit di kerusi Gedong (13.55% undi) dan Kabong (22.65% undi) kerana saingan dua penjuru di Kabong dan 3 penjuru bersama calon bebas yang kurang mengancam di Gedong. Di kawasan majoriti Melanau, 4 calon Amanah bertanding satu lawan satu dengan calon PBB/BN. Cuma selamat wang pertaruhan di 2 kerusi sahaja: Balingian (22.82%) dan Semop (14.23%), sementara di kerusi Jemoreng, calon Amanah hanya perolehi 2.82% undi, di mana saingan sebenar adalan calon BN dengan calon bebas. 

Sungguhpun ada 2 calon Amanah selamat wang pertaruhan, itupun dibantu oleh tiada calon lain yang lebih mencabar untuk menentang calon BN. Kekalahan dengan ramai hilang pertaruhan oleh calon-calon Amanah di kawasan majoriti pengundi Melayu/Melanau, bacaan awalnya kegagalan Amanah mencabar parti asalnya, Pas. 

Apa yang disimpulkan dari PRN11 Sarawak ialah kegagalan Pas main peranan sebagai kuasa ketiga serta kegagalan Pas memikat pengundi bukan Islam menerusi "Pas for all". Bagi Amanah, kegagalannya untuk mengambil alih tempat Pas dalam pakatan pembangkang. Kedua-dua Pas dan Amanah bersaing di medan yang begitu asing, yang tidak dapat memberi gambaran sebenar penerimaan khalayak pengundi, lantaran dataran Sarawak yang kukuh sebagai kubu BN dengan komposisi pemilih yang berbeza dengan gelangang asal Pas iaitu di Semenanjung.

PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, yang memiliki komposisi pemilih yang hampir sama serta pengalaman dan pencapaian Pas yang agak seimbang akan memberikan senario sebenar sejauhmana lontaran idea kuasa ketiga Pas serta peranan Amanah dalam medan politik nasional.  Lantaran rekod prestasi dan keupayaan Pas di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, walaupun belum pernah menang mana-mana kerusi di kedua-dua kawasan, saingan dalam PRK nanti dijangka menarik. Tambahan pula, suasana semasa yang berbeza dengan era sebelum PRU13, pastinya PRK ini akan melengkapkan hipothesis dan andaian untuk masa depan politik demokrasi negara kita.   
 

 

Isnin, 16 Mei 2016

PRN Sarawak : pola undian etnik

POLA PENGUNDIAN BERASASKAN ETNIK  DALAM PRN SARAWAK

PRN ke 11 bagi negeri Sarawak hujung minggu lepas secara langsung menggambarkan keunikan gelagat pemilihan berasaskan kumpulan etnik. Kawasan pilihan raya atau bahagian pilihan raya negeri Sarawak terkini mengandungi 82 kawasan, iaitu tambahan 11 kawasan berbanding dengan PRN terakhir. Pecahan mengikut majoriti pengundi ialah: 19 kawasan Melayu, 9 kawasan Melanau, 2 kawasan Kedayan, 22 kawasan Iban, 8 kawasan Bidayuh, 6 kawasan majoriti Orang Ulu dan 22 kawasan bandar dengan majoriti etnik Cina. 

Kawasan Melayu dan Melanau dengan jumlah 28 adalah dikategorikan Bumiputera Islam (BI), sementara kawasan majoriti Kedayan iaitu Bekenu dan Lambir, dikategorikan sebagai kawasan campuran. Etnik Kedayan yang tergolong dalam kumpulan Bumiputera Islam, etnik utama di Bekenu dan Lambir tetapi hanya 40% dari jumlah pengundi, dengan bagi berbagai suku kaum yang lain. 

Kawasan Bumiputera bukan Islam (BBI) merangkumi kawasan majoriti Iban, Bidayuh dan Orang Ulu yang berjumlah 36 kawasan pilihan raya. Kawasan majoriti dikelaskan Orang Hulu; Lun Bawang di bahagian utara Sarawak bersempadan Sabah disertai Kelabit, merangkumi Ba'kelalan, Batu Danau, Murum dan Telang Usang, sementara Belaga dan Muru di bahagian timur laut bersempadan Indonesia, termasuk Kayan dan Kenyah. 

Kawasan majoriti Cina bertumpu di kawasan bandar-bandar utama: Kuching, Sibu, Sarikei dan Miri. Dari segi jumlah penduduk mengikut etnik, kaum Cina adalah penduduk paling ramai tetapi cuma 33% sahaja, dalam sebuah negeri yang terdiri dari berbagai etnik dan kepercayaan. 

BN mencapai kejayaan yang besar sertai berjaya memperbaiki imej prestasi menurun dalam 2 PRN terakhir, sebagai menepati ramalan, pertukaran pucuk pimpinan yang memerlukan mandat baru akan mendapat sokongan yang lebih baik. Di samping meningkat penguasaan merebut kerusi, berjaya memiliki 72 dari jumlah 82 kerusi berbanding 56 dari jumlah 71 kerusi dalam PRN10. Berjaya merampas 5 kerusi dari pembangkang dan memenangi semua 11 kerusi yang baru diwujudkan. BN perolehi 475,264 undi dari jumlah 763,983 undi sah (jumlah undi yang dipungut oleh semua calon) iaitu 62.20% undi popular.  Dalam PRN10, undi BN adalah 372,379 dari jumlah 672,665 undi sah atau 55.36% undi popular, di mana undi popular BN dalam PRN10 adalah paling rendah dalam sejarah PRN Sarawak selepas Peristiwa Ming Court 1987. 

Di kawasan majoriti Bumiputera Islam, 28 kawasan terdiri dari 19 kawasan Melayu (tambahan 2 kerusi baru: Gedong dan Kabong) dan 9 kawasan Melanau ( tambahan satu kerusi baru: Tellian). Di kawasan Bumiputera Islam, BN yang diwakili calon-calon Parti Bumiputera Bersatu (PBB), memungut 164,196 undi atau 79.72% dari jumlah undi sah iaitu di 26 kawasan (2 kawasan: Bukit Kota dan Bukit Sari dimenangi tidak bertanding), berbanding 144,624 undi atau 73.56% undi sah dalam PRN10. Di kawasan ini, peratusan keluar mengundi menurun sedikit berbanding PRN10, 70.23% sementara dalam PRN10, 70.83%. Dengan peratusan keluar mengundi yang sedikit kurang dan peningkatan peratusan undi popular serta mengekalkan kemenangan semua kerusi, satu kredit dan kejayaan besar PBB yang banyak membantu prestasi BN. 

Di kerusi Tanjung Datu, BN mengaut 93.15% menerusi calon utama, DS Adenam Satem, dalam saingan satu lawan satu dengan calon Amanah. Di kawasan Melanau, BN membolot 90.14% undi di kerusi Dalat. Di sampimg itu, BN berjaya perolehi melebihi 80% undi di 5 kawasan Melayu (Pantai Dalam, Demak Laut, Samariang, Muara Tuang) dan 4 kawasan Melanau (Kuala Rajang, Semop, Daro, Tellian). Hanya 4 kawasan sahaja di mana BN berjaya perolehi lebih 80% undi: 3 kawasan Melanau (Belawai (sekarang Kuala Raja, Semop, Dalat) dan satu kawasan Melayu; Bukit Sari, dalam PRN10. 

Hanya 3 dari 26 kawasan majoriti Bumiputera Islam, di mana undi BN di bawah 70%: Beting Maro (60.14%), Sebuyau (66.84%), Lingga (69.88%),  semuanya kawasan Melayu. Dalam PRN10, di Beting Maro, undi BN cuma 53.40%, merupakan satu-satunya kawasan Melayu BN menang tipis, mengatasi calon Pas, di samping itu, 5 kawasan BN menang dengan undian bawah 70% undi popular. 

Keseluruhannya, undian BN lebih kuat dan lebih tinggi di kawasan Melanau berbanding kawasan Melayu. Kawasan undi terendah BN di kawasan Melanau ialah di Balingian, 77.18%. Di kala pencapaian BN lebih rendah dalam PRN10, undian BN di Balingian ialah 76.32%. Pas yang buat pertama kali meletakkan calon iaitu di Jepak, hanya dapat 406 undi dalam saingan 3 penjuru dan hilang wang pertaruhan. Parti Amanah, serpihan Pas, yang meletakkan 5 calon di kawasan Melanau, 3 darinya hilang wang pertaruhan walaupun bersaing satu lawan satu dengan BN, mewakili Pakatan Harapan. Begitu juga, PKR, dengan 4 calon, 2 hilang wang pertaruhan. Dalam PRN10, 4 calon PKR hilang wang pertaruhan di kawasan Melanau dalam saingan satu lawan satu dengan BN, dan trend undian sama berlaku dalam PRN11.

Di kawasan Melayu, Pas meletakkan 6 calon sebagaimana dalam PRN11, sementara dalam PRN10, 5 calon. Dalam PRN10 dulu, semua calon Pas yang bertanding satu lawan satu dengan BN, walaupun tewas tetapi tidak hilang pertaruhan, dengan pencapaian terbaik di Beting Maro, pungut 46.60%, kalah dengan majoriti 391 undi. Dalam PRN11, 2 calonnya hilang wang pertaruhan di Sadong Jaya dan Muara Tuang. Dalam PRN11, Beting Maro cuma menyumbangkan 38.56% undi Pas, sebagai pencapaian terbaik untuk calon Pas seluruh Sarawak. Calon Amanah yang bertanding bersama Pas menentang BN dalam saingan 3 penjuru di 5 kawasan Melayu, semuanya hilang wang perataruhan. 

Keseluruhannya, BN mencapai prestasi yang lebih tinggi di kawasan pengundi majoriti Melanau berbanding kawasan Melayu, dalam menyumbangkan kemenangan besar BN yang banyak terkumpulan di kawasan Bumipuetra Islam. 

Di kawasan majoriti Iban yang terdiri dari 22 kawasan dengan 3 kawasan pilihan raya baru; Stakan, Bukit Goram dan Samalaju. BN mengagihkan kerusi  kepada 7 kepada PBB, 9 untuk PRS, 3 SPDP, satu SUPP, satu calon langsung dari UPP dan satu dari Teras.  BN mengumpul 111,094 undi atau 64.65%, di mana keseluruhan pengundian di kawasan Iban ialah 70.84% keluar mengundi. Jauh lebih baik berbanding dengan PRN10, di mana di kawasan Iban, BN mengumpul 78,031 undi atau 59.25% dari jumlah undi sah, dengan peratusan keluar mengundi 68.53%. 

BN memenangi 21 dari jumlah 22 kerusi kawasan Iban. Kawasan-kawasan yang ditandingi oleh calon-calon PRS dan PBB menghasilkan prestasi yang baik berbanding dengan parti lain. BN memungut 91.67% undi di kerusi Baleh menerusi calon PRS. Di samping itu, BN memenangi lebih 80% undi menerusi calon PBB di Stakan dan Bukit Sabah, melalui calon PRS di Bukit Bagunan dan Pelagus. Semua kawasan ini adalah di pedalaman bahagian tengah Sarawak. 

BN kalah di kerusi Krian menerusi calon SPDP kepada calon PKR. BN perolehi 41.02% undi berbanding 35.88% bila kalah kali pertama dalam PRN10. Sungguhpun BN hampir sapu semua kerusi di kawasan Iban, ada 4 kawasan di mana BN cuma menang dengan undian yang kecil. Di Pakan, calon langsung BN (Teras, serpihan SPDP) cuma perolehi 50.9% undi, setelah terima cabaran calon bebas, 45.8%. Di Simanggang, undi calon BN dari  SUPP, 50.7%, terima tetanngan 33.5% undi dari seorang calon bebas, serta bernasib baik bila PKR dan DAP bertindih calon, yang menjumlahkan 15% undi. Calon BN dari PRS, sungguhpun menangi kerusi Ngemah, tetapi undinya tak sampai separuh, cuma 46.13%, bila 43.67% undi pergi ke calon bebas, serta dibantu oleh calon bertindih PKR dan DAP, di mana kedua-duanya kumpul undi berjumlah 10%. Jarang berlaku, bila calon yang dapat 1/3 undi boleh menang, tetapi calon BN dari SPDP menang di kerusi Meluan bila cuma memungut 37.4% undi sah, bila baki undi berpecah kepada 3 calon lawan yang agak besar, seorang calon bebas dapat 29.87% undi, calon PKR dapat 22.33% dan seorang lagi calon bebas dapat 10.39% walaupun hilang wang pertaruhan.

Calon pakatan pembangkang, Pakatan Harapan yang menampilkan 14 calon PKR dan 10 calon DAP kurang berkesan kerana berlaku perebutan kerusi menyebabkan pertindihan calon sesama sendiri di Ngemah dan Simanggang, menyebabkan kedua-kedua parti hilang wang pertaruhan. 5 calon PKR hilang wang pertaruhan dan 5 calon DAP hilang wang pertaruhan di kawasan Iban. Pas yang bertanding bersendirian, mencuba ketengah calon di kawasan bukan Islam ini, dengan meletakkan 2 orang calon dan kedua-duanya hilang wang pertaruhan.

Cabaran sebenar di kawasan Iban adalah datang dari calon-calon bebas, di mana 8 calon bebas memberi saingan sengit kepada calon-calon BN di 8 kerusi. Undi calon bebas mengatasi undian calon pembangkang. Cabaran tidak bersembunyi adalah  datang daripada penyokong parti-parti komponen dari BN yang bertanding sebagai calon bebas. Penyokong parti serpihan SUPP dan SPDP bertembung dengan penyokong parti asal, di samping penyokong parti komponen menentang calon rasmi BN.

Bagi kawasan Bidayuh telah diperuntukan 8 kawasan, iaitu tambahan 2 kawasan hasil persempadanan semula 2 tahun lepas. BN mengagihkan 3  kawaksan kepada PBB untuk ditandingi, 3 kepada wakil dari parti serpihan SUPP, iaitu UPP, dan masing-masing satu untuk SPDP dan serpihanya, Teras. Dalam PRN10,  agihan komponen BN; 3 PBB, 2 SUPP dan 1 SPDP. 

BN mengumpul 47,227 undi atau 62.66% dari jumlah undi sah dalam kawasan Bidayuh, di mana seramai 72.95% pemilih keluar membuang undi, merupakan catatan tertinggi dalam PRN11. Berbanding dengan PRN10, BN pungut 36,241 undi atau 57.80% undi sah, semasa 69.92% pengundi keluar mengundi di kawasan majoriti Bidayuh. 

Kawasan majoriti Bidayuh yang terletak di bahagian barat Sarawak bersempadankan Indonesia, bermula dari pantai Laut China Selatan hingga ke pedalaman. Kawasan atau kerusi yang diperuntukan untuk calon PBB, memberikan peratusan undi popular yang tinggi: Tebedu (86.34%), Tarat (73.61%) dan Kedup (73.23%). 

Sementara bagi 5 kerusi yang ditandingi calon-calon langsung BN mewakili serpihan iaitu UPP dan Teras serta calon SPDP, semuanya di bawah 59% dari undi sah. Persaingan antara penyokong parti asal dengan serpihan memberi kesan atau secara langsung memperlihatkan perpecahan dalam parti komponen berterusan. Bagi kerusi Opar, kerusi asal SUPP, yang ditandingi oleh calon langsung dari UPP, BN cuma perolehi 50.06% undi sahaja, calon bebas mewakili penyokong SUPP perolehi 21.62%, dibantu pecahan undi lawan, bila calon PKR dapat 21.16%. Di kerusi Serembu, calon langsung BN dari Teras, perolehi 50.43% undi, bila 30.02% undi pergi ke calon bebas dan 18% untuk PKR.  Di Mambong (dulunya Bengoh) kerusi asal SUPP, calon langsung BN dari UPP cuma dapat 52.96% undi dan bernasib baik bila PKR dan DAP berebut kerusi dan bertembung sesama Pakatan Harapan, di mana calon DAP dapat 24.31% dan PKR 22.74%. Berbanding dengan PRN10, bila semua calon BN perolehi undi antara 55 hingga 57% kecuali di Tebedu, 68.43%. 

Walaupun keseluruhannya BN perolehi peningkatan peratusan undi dan undi sebenar berbanding dengan PRN10, ianya banyak dibantu oleh prestasi di kawasan yang ditandingi oleh calon PBB. Sungguhpun berlaku perbalahan sesama pakatan pembangkang bila berebut kawasan pilihan raya, ianya tidak membantu mencerahkan peluang BN memperbaiki prestasi, lantaran wujudnya calon-calon bebas yang mengaut undi yang tinggi di kawasan ditandingi calon SPDP dan parti serpihan. 

Kawasan majoriti Cina memberikan 16 kerusi, dengan tambahan satu kerusi. Dalam PRN10, dari jumlah 15 kerusi majoriti Cina, BN hanya mampu menang 2 kerusi sahaja. Hasil persempadanan semula kawasan pilihan sebagaimana lazim bertujuan memperkukuh kedudukan dan peluang BN. Kerusi baru, Batu Kitang di bandar Kuching memberikan kemenangan kepada BN bila membolot sebagai 53.48% undi.  

BN perolehi 118,706 undi atau 45.95% undi sah, dari 68.39% keluar mengundi, berbanding 90,642 undi atau 37.30%, dengan 69.94% keluar mengundi. Peningkatan pencapaian ini, membolehkan BN menguasai 8 kerusi dari jumlah 16 kerusi kawasan majoriti Cina atau kawasan bandar. BN meletakkan 12 calon SUPP, 3 calon langsung dari UPP dan seorang calon langsung Teras.  BN perolehi 8 kerusi menerusi 6 calon SUPP dan 2 dari UPP. Cabaran atau perpecahan undi di kalangan anggota atau penyokong komponen di kawasan Cina tidak ketara sangat. Agak mencabar cuma di Dudong, kerusi yang dipertahan oleh DAP hasil kemenangan majoriti kecil dalam PRN10. Calon langsung BN (dari UPP) cuma pungut 46.36% undi, calon DAP 36.11%, dan 15.72% pengundi mengundi calon bebas. 

Kawasan majoriti Orang Ulu mengandungi 8 kerusi, iaitu tambahan 2 kerusi, yang merangkumi kawasan pedalaman utara dan timur laut Sarawak bersempadan Sabah dan Indonesia.  Agihan kerusi BN: 2 PRS, 1 PBB, 1 SPDP dan 2 calon langsung dari Teras. Jumlah undi pungutan BN ialah 20,529 atau 61.91% dengan 67.43% keluar mengundi, sementara dalam PRN10, 13,270 undi atau  57.18% undi, semasa peratusan keluar mengundi di kawasan Orang Ulu, 64.0%. Walaupun prestasi BN meningkat tetapi masih gagal di kerusi Ba'kalalan, bila calon BN dari SPDP masih kekal dengan 44.8% undi sebagaimana PRN10, mengekalkan PKR pertahan kerusi.  Sama seperti kawasan Bumiputera bukan Islam (BBI) yang lain, pengaruh calon-calon bebas yang dominan juga yang menggambarkan perpecahan dalam komponen BN. Calon bebas memungut 24.63% undi di batu Danau yang ditandingi calon langsung dari Teras, di samping pungutan 17.02% oleh seorang calon bebas dalam saingan 4 penjuru di kerusi Murum yang dimenangi calon PRS mewakili BN.

Sungguhpun undian serta peratusan undi BN meningkat tetapi pencapaian di kawasan Bumiputera Islam yang diwakili calon-calon PBB sepenuhnya, menjadi faktor utama pencapaian cemerlang BN dalam PRN11. Gambaran perpecahan yang menghasilkan parti-parti serpihan dalam BN di kawasan BBI, dengan pencapaian calon-calon bebas sebenarnya memperkuatkan kedudukan dan peranan PBB dalam politik Sarawak. Sungguhpun perpecahan dalam SUPP yang mewakili BN di kawasan bandar sejak sekian lama serta kegagalan calon-calon bebas di bandar, menjelaskan bahawa pengundi Cina inginkan perubahan dan memberi keyakinan kepada BN.  

 .
.

u