Rabu, 8 Jun 2016

PRK Kuala Kangsar

MUSLIHAT MELETAK CALON TANPA HADIR

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar yang akan diadakan pada 18/06/2016 berikutan kematian Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Wan Khair il Anuar pada 05/05/2016. PRK ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru melibatkan: UMNO/BN, Pas, Amanah dan seorang calon bebas, dengan menampilkan dua muka baru; calon BN dan Amanah. 

Kawasan Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan sejarahnya pertarungan tradisi antara calon UMNO (dulu Perikatan kemudian BN) dengan Pas, secara satu lawan satu. Bila berlaku persaingan 3 atau 4 penjuru yang turut disertai oleh calon Socialist Front dan UDP (tahun 1960an) dan DAP (1986), calon Pas turut bertanding sebagai pembangkang utama. Semasa persefahaman Pas dan Semangat 46, kerusi ini diberikan kepada calon Semangat 46 (1990 dan 1995). Dari PRU 1999 hingga 2008 (3 kali PRU) ianya satu lawan satu; UMNO/BN dengan Pas. PRU13, tiga penjuru bersama seorang calon bebas.

Kerusi parlimen Kuala Kangsar asalnya terdiri dari 2 kerusi DUN: Bukit Chandan dan Manong. Persempadanan semula kawasan pilihan raya 1983, memperluaskan kawasan, di mana dalam PRU 1982 jumlah pemilih ialah 26,535 orang dan diperbesarkan kawasannya menjadikan jumlah pemilih dalam PRU 1986 ialah 36,681 orang. Persempadanan 1983 mengubah sedikit taburan pemilih mengikut etnik dan membuka ruang DAP meletakkan calon dalam PRU 1986. Nama Manong digugurkan diganti dengan Batu Hampar. Persempadanan semula 1993, mengembalikan kawasan Parlimen ini ke asal, dengan mewujudkan semula kerusi Manong, dan menggugur kerusi Batu Hampar, menyebabkan jumlah pemilih dalam PRU 1995 berkurang kepada 32,015 berbanding 37,659 pemilih semasa PRU 1990. 

Kerusi P67 Kuala Kangsar tergolong dalam kelompok kawasan majoriti Melayu. Angka terbaru daftar pemilih yang akan digunakan dalam PRK ialah 32,949, dengan 67.96% Melayu, 23.94% Cina, 6.96% India dan 1.14% lain-lain kaum. Angka ini tidak banyak berubah sejak sekian lama, sebab itu DAP meletakkan calon Melayu, bila bertanding dalam PRU 1986. 

BN meletakkan calon tanpa hadir, Datin Mastura Mohd Yazid yang masih dalam edah kematian suami, 4 bulan sepuluh hari. Apakah muslihat BN meletakkan calon tanpa hadir, tidak dapat berada di luar rumah, apakah lagi dalam khalayak, dari hari penamaan calon, sepanjang tempoh berkempen dan hari pembuangan undi. Apakah kemungkinan sekiranya menang, Speaker Dewan Rakyat terpaksa berkunjung ke rumahnya untuk acara angkat sumpah.

Dari segi peraturan SPR, tidak menetapkan diri calon hadir menyerahkan borang pencalonan. Ianya boleh diwakilkan kepada pencadang dan penyokong pencalonan dalam borang penamaan calon. Urusan seterusnya tanggungan wakil calon sama ada urusan rasmi dengan SPR dan  pihak berkuasa atau urusan dengan jentera pilihan raya parti. 

Dalam Pilihan Raya Umum 1964, Pas meletakkan 3 ADUNnya yang di dalam tahanan ISA mempertahankan kerusi mereka: Nik Abdullah Arshad, Tuanguru Hassan Ismail dan Saufi Idris. Mereka berjaya mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRU 1959 di Kota Bharu Pantai (sekarang Panchor), Tendong dan Kota Bharu Timur (sekarang Melor). Dalam PRU 2008, DAP meletakkan tahanan ISA, M. Manoharan di kerusi Kota Alam Shah dan berjaya merebut kerusi yang dipertahankan oleh BN. Keempat-keempat calon tanpa hadir ini menang dengan majoriti besar. 

Kes calon BN PRK Kuala Kangsar berbeza dengan 4 tahanan ISA di atas. Kemenangan selesa mereka dengan majoriti besar, sebahagiannya simpati pengundi. Calon BN di P67 ini, ada setengah pihak menyebut simpati di atas kematian suaminya, mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar. Tanpa penyertaan medan pilihan raya, tidak melicinkan kesinambungan kerja-kerja arwah suaminya sebagai wakil rakyat. Kritikan pemilihan Datin Mastura berkisar kepada faktor anak tempatan dan keterlibatan dalam parti, jawapannya lebih kepada faktor keluarga: mengikuti suami. Mungkin juga BN mengambil pendekatan memilih balu kepada penyandang yang meninggal sebagaimana dalam PRK Parlimen Batu Sapi, pada 04/10/2010, bila Tsen Than Lin, balu MP penyandang meninggal secara tragis dan Tsen menang besar dalam saingan 3 penjuru. 

Pas meletakkan juga calon wanita, bukan muka baru, pernah bertanding dalam 2 PRU lalu, Dr Najihatulsalehah Ahmad,  pemimpin tertinggi Dewan Muslimat Pas Pusat dan negeri. Kerusi Parlimen Kuala Kangsar sungguhpun tradisinya kubu UMNO sejak PRU pertama, dalam rekod pilihan raya, Pas meletakkan tokoh-tokoh utama parti sama ada peringkat pusat atau negeri. Kuala Kangsar adalah antara lokasi awal penubuhan cawangan Pas dalam tahun 1950an serta melahirkan beberapa pemimpin utama parti sejak awal penubuhannya. Kekalahan tipis calon Pas di kerusi negeri Manong dalam PRU13 meningkatkan semangat dan gerakkerja jentera Pas membantu calonnya.

Amanah, parti baru, serpihan dari Pas menampilkan muka baru dalam percubaan sulong di Semenanjung, dengan meletakkan Prof Dr Ahmad Tarmizi Ramli. Sebagai serpihan Pas, Ahmad Termizi tidak dikenali sebagai aktivis Pas, tetapi lebih kepada NGO yang lebih dikenali aktivis gerakan Islam, Ikram. Mengetengahkan mantan pensyarah kanan sebuah IPTA dan pakar fizik dengan harapan calon mewakili Pakatan Harapan ini mampu bersaing dari segi ketokohan, populariti dan keyakinan watak dengan kewibawaan calon-calon parti lain, sebagai galang ganti ramalan awal tokoh utama dan popular Amanah akan bertanding. 

Sebagai parti baru dan belum teruji dalam medan sebenar, walaupun cubaan awal telah dilakukan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak bulan lepas, calon muka baru dari kalangan bukan kepimpinan utama parti, memberikan sedikit sebanyak kerencatan dan reputasi negatif  Dikhuatiri sebagaimana nasib Parti Hamim, serpihan Pas dalam tahun 1983. Dalam 2 PRK serentak di Kelantan, bagi kerusi Kemumin dan Selising pada 07/09/1983, di mana walaupun Pas kalah di tangan BN, undi kedua-kedua calon Hamim ialah 159 (1.92%) dan 161 undi (1.77%) sahaja. Hamim mempertaruhkan calon yang bukan tokoh atau kepimpinan utama Pas yang membentuk serpihan tersebut. Itulah kali pertama dan terakhir, Hamim bertanding dengan lambang sendiri. Apakah nasib serpihan Pas dalam dua PRK serentak 1983,  akan berualang dalam 2 PRK serentak kali ini.

Lebih istimewa dan luar dugaan ialah penyertaan calon bebas, Izzat Bukhari Ismail Bukhari, bekas pensyarah sebuah IPTA. Izzat pernah bertanding sebagai calon bebas dalam dua PRK di Kelantan. Dalam PRK Pengkalan Kubor, pada 25/09/2014, dalam saingan bersama BN dan Pas, beliau hanya perolehi  38 undi atau 0.22% dan dalam PRK Cempaka pada 22/03/2015, bersama 3 calon bebas yang lain menentang calon Pas, beliau perolehi 52 undi atau 0.44%. Apakah agenda beliau mengembara ke Kuala Kangsar dengan berbekalkan pengalaman bertanding dalam PRK lepas. Dalam saingan 4 penjuru yang menyaksikan calon bebas tertinggal sebagai favourite, berbanding 3 calon lain, mampukan beliau mencipta satu kejutan untuk membina sebuah lagenda dalam percubaan ketiga ini. 

Dalam PRU13, Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim bertanding sebagai calon bebas bila kecewa tidak disenaraikan calon, di kerusi P67 ini. Kali pertama dalam sejarah, orang nombor 2 dalam sayap penting UMNO tidak disenarai sebagai calon. Dalam PRU pertama (PRU 1959), 3 pemimpin utama Kaum Ibu UMNO (sekarang Wanita UMNO) diletakkan sebagai calon: Fatimah Hashim (Parlimen Jitra Padang Terap), Fatimah Abdul Majid (Parlimen Johor Bahru Barat) dan Aishah Abdul Ghani (Parlimen Setapak). Mereka menang kecuali Aishah Abdul Ghani. Kamilia Ibrahim cuma perolehi 447 undi atau 1.6% sahaja. Jika ketokohan Kamilia cuma mampu pungut undi sebanyak itu, apalah nasib calon bebas yang bukan anak tempatan, dalam PRK P67 kali ini.

PRK bagi P67 ini tidak harus dikesampingkan atau dianggap sebagai satu amalan biasa untuk mengisi kekosongan. Namun begitu, PRK ini menantikan 7 implikasi yang harus direnungi;
1. Perbandingan pencapaian calon BN dengan calon tanpa hadir dalam beberapa pilihan raya lepas;
2. Keupayaan calon BN tanpa hadir ini menyamai pencapaian calon BN dalam PRK Batu Sapi 6 tahun lalu;
3. Kemampuan calon Pas mempertahankan pungutan 47.25% undi dari jumlah undi sah dalam PRU13, setelah meningkat dari 46.35% dalam PRU12;
4. Sejauhmana keupayaan Pas mengawal prestasi semasa dalam berada dalam Pakatan Rakyat setelah bertanding bersendirian atas wadah "kuasa ketiga";
5. Sejauhmana keupayaan Amanah menerusi wawasan Pakatan Harapan sebagai mengambil alih tempat Pas;
6. Apakah akan memperbaiki prestasinya berbanding 2 PRK yang pernah disertainya.       
 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan