Sabtu, 26 Januari 2013

Hormatilah Hak Rakyat

BERILAH PELUANG SAMA RATA RAKYAT MENUNAIKAN HAK

Secara tabiinya setiap individu mengutamakan haknya sebagai rakyat dan warganegara  dihormati. Mereka amat memerlukan jaminan perlembagaan hak-haknya dilindungi dan tidak dicabul. Hak mutlak mereka sebagai suara penentu kerajaan seharusnya tidak boleh dipersoalkan dan ditolakansur.

Amatlah malang, hak asasi mereka dicabul oleh pihak lain. Apatah lagi, pendatang asing berkongsi peranan menentukan pembentukan kerajaan. Tidak patutlah pendatang asing diberi peluang mengundi menerusi berbagai helah dan tipu muslihat untuk membolehkan mereka mendapat kad pengenalan yang melayakkan mereka menjadi pemilih. Tak kiralah sama ada kad pengenalan sementara khusus membolehkan mereka jadi pemilih, atau mengambil peluang pengundi yang sudah meninggal atau pemilih yang tidak dapat dikesan, mungkin tinggal di luar kawasan, kemudiannya diuruskan warga asing memiliki kad pengenalan atas nama pemilih berkenaan. Adalah tidak adil, seorang pendatang dari Filipina, diberi kuasa menentukan dan memilih kerajaan Malaysia.

Di samping itu, warga yang bermastautin sementara kerana tugas, main peranan menentukan pembentukan sesesuah kerajaan negeri. Amatlah tidak wajar, seorang penjawat awam yang tinggal sementara kerana tugas, menentukan pembentukan sebuah kerajaan negeri. Seorang anggota keselamatan dari Semenanjung, bertugas di Sarawak dan mengundi dalam Pilihan Raya DUN Sarawak, seolah mencabul hak rakyat Sarawak menentukan kerajaan negeri mereka.

Di atas adalah secebis karenah yang dipersoalkan oleh concerned citizens peranan dan tugasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kegagalan SPR menjernihkan suasana tuntutan rakyat yang perihatin tersebut menjadikan SPR sebuah organisasi atau sebuah badan ekskutif yang gagal diberikan seratus peratus ketelusan dan penghormatan awam. Lantaran isu berkenaan, meletakkan SPR di pihak yang tidak berkecuali dalam melaksanakan tugasan eksekutif sebagai badan bebas atau suruhanjaya yang mengurus dan melaksanakan pilihan raya.

Ini cabaran yang berat dilalui SPR, khususnya dalam tempoh 20 tahun terakhir. Royal Commission of Inquiry (RCI) mengenai permohonan kad pengenalan dan pendaftaran pemilih oleh pendatang asing di Sabah, di awak tahun 1990an, yang sedang dibicarakan, menggugat ketelusan, keyakinan dan penghormatan awam terhadap SPR.

Kesan dari gerakan kebangkitan rakyat menerusi Reformasi 1998, menggerakkan warga yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pengundi, kesedaran peri pentingnya mendaftar sebagai pemilih. Sebahagian warga kota yang tinggal di Lembah Klang dan beberapa kawasan lain, merasakan tidak perlunya mendaftar sebagai pemilih kerana beranggapan undi mereka tidak boleh mengubah kerajaan. Justeru itu, kebangkitan Reformasi 1998, menaikkan kesedaran kerajaan atau pemerintah yang ada perlu ditukar atau suara mereka perlu didengar menerusi peti undi, sedang mereka tiada hak sebagai pemilih untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Sehubungan itu, seramai 680,000 memohon untuk didaftarkan sebagai pemilih, untuk mengambil bahagian dalam sistem pilihan raya. Menjelang PRU10, yang diadakan pada 29/11/1999. Permohonan mereka sejak bulan April dan Mei 1999, gagal untuk dimasukkan dalam Daftar Pemilih Induk (DPI), untuk melayakkan mereka mengundi. Walhal, nama yang didaftarkan akan diberi peluang untuk semakan dan bantahan dalam 4 kali setahun atau setiap suku tahun. Jika didaftarkan dalam bulan April dan Mei, dimasukkan dalam semakan dan bantahan rang daftar pemilih pada minggu ketiga bulan Julai. Biasanya tiada apa-apa bantahan, akan diwartakan dan masuk dalam DPI, sebelum 30 September, berakhirnya pendaftaran untuk suku ketiga.

DPI yang digunakan dan disahkan untuk PRU10 telah menafikan hak 680,000 bakal pemilih tersebut. Dapatlah difahami secara tersirat kegagalan SPR mendaftarkan mereka kerana bahagian besar mereka adalah rakyat yang bangkit dari gelombang Reformasi, secara tidak langsung agar mereka tidak boleh mengundi. Tepat sekali tindakan SPR, kerana hasil PRU10, tanpa penglibatan 680,000 warga berkenaan, kemerosotan undi BN amat ketara, khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu yang diwakili UMNO.

Ledakan gelombang Reformasi amat terasai di Kelantan, Terengganu dan Kedah, serta beberapa kawasan di Perak, Selangor dan Pahang. Ini dapat diperhatian kemenangan calon-calon Melayu, mewakili Pas dan KeADILan.  Nampak atas darat, kecenderungan SPR tidak profesional. Dianalisiskan: dalam PRU10, undi Melayu cuma 47 peratus kepada BN dan 53 peratus kepada Barisan Alternatif (Pas, KeADILan, DAP & PRM). Undi BN dibantu oleh 62 peratus undi Cina dan 75 peratus daripada India.

Justeru itu, persempadanan kawasan pilihan raya 2003, menafikan negeri-negeri yang berpendudukan majoriti Melayu; Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan, diperuntukkan tambahan kerusi, kecuali 2 kerusi DUN di Kelantan. Persempadanan tersebut berfokus kepada negeri-negeri yang memberi sumbangan terbesar kemenangan BN; Johor (6 kerusi Parlimen) dan Sabah (5 kerusi Parlimen). Persempanan ini lebih ditumpukan mewujudkan lebih banyak kawasan campuran, demi keselesaan kemenangan calon-calon komponen BN.

Dalam PRU11 (2004), kesan persempadanan terancang kawasan pilihan raya dan mandat rakyat untuk PM baru, Tun Abdullah Ahmad Badawi, kemenangan cemerlang BN, dengan memenangi 90.8 peratus kerusi Parlimen (199/219).

Di Selangor, pengundian dilanjutkan 3 jam sehingga ke jam 8.00 malam. DPI yang dijual kepada calon dan wakil-wakil calon pada hari penamaan calon, tidak sama dengan DPI yang digunakan pada hari pengundian. Berlaku pengwujudan pusat-pusat mengundi baru, mengkucar-kacirkan pemilih. Ramai pemilih tidak dapat mengesan pusat pengundian. Mengikut peraturan pilihan raya, hari pengundian perlu dibatalkan dan diadakan pada tarikh baru, bukan melanjutkan tempoh pengundian.

Ada andaian menyebut, pengundian sengaja dilanjutkan untuk membolehkan pengundian berganda. Ini untuk membolehkan apa yang disebut "pengundi hantu" yang mengundi di Terengganu, sempat balik ke Selangor, untuk membuang undi buat kali kedua, pada waktu yang dilanjutkan. PRU11 memberikan kemenangan cemerlang BN di Terengganu ditambah dengan peratus keluar mengundi yang belum pernah berlaku, melebihi 90 peratus.

Dalam PRU12 (2008), hasil tuntutan Bersih 2007, SPR bersetuju mengunakan celupan dakwat kekal pada salah satu jari tangan pemilih. Empat hari sebelum hari pembuangan undi, SPR menarik balik celupan dakwat kekal, dengan alasan ada 3 kes laporan polis, cubaan pihak tertentu membeli dakwat dari luar negeri untuk menghalang pengundi keluar mengundi dengan cara mencelup jari pengundi sebelum keluar mengundi. Dalam Sidang Pertama Penggal Pertama Parlimen ke 12, Menteri Dalam Negeri, DS Hamid Albar semasa menjawab soalan mengenai pendakwaan kes cubaan mencelup jari pemilih, menyatakan tiada pendakwaan kerana pihak keselamatan tidak menjumpai sebarang barang kes. Sebuah lagi sendiwara SPR, dalam demokrasi pilihanraya ala Malaysia.

Dengan beberapa kenyataan tentang PRU13 yang sedang dinantikan: ibu segala PRU, PRU paling sengit, serta kempen-kempen sindrom menakut-nakutkan orang Melayu, mencerminkan apakah episod SPR selanjutnya mempersenda dan mempermainkan proses pendemokrasian menerusi pilihan raya. Daripada beberapa cebisan drama SPR di atas, lebih menjurus ke arah krisis keyakinan masyarakat awam seta penghormatan khalayak awam terhadap institusi berkenaan. Intergriti dan ketelusan SPR amat perlu dimertabatkan demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak dingini yang membantut agenda ketenteraman awam selepas hari pengundian nanti, kesan pencabulan hak kebebasan suara khalayak pemilih.


Selasa, 22 Januari 2013

Khianati Suara Melayu

SIAPA MENGKHIANATI SUARA MELAYU

Salah satu saranan yang lebih bersifat peringatan keras menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) ialah hak, suara, masa depan dan kepentingan orang Melayu. Isu ini sangat lantang dilontarkan untuk perhatian awam oleh beberapa pihak berkepentingan. Juaranya ialah UMNO (Baru). Ianya diikuti badan-badan bukan kerajaan, sama ada sehaluan atau pro-UMNO (Baru).

Berasaskan kepada daftar pemilih yang dipecahkan mengikut kaum yang digunakan dalam PRU12, yang lahir dari persempadanan kawasan pilihan raya 2003, menampakkan pengwujudkan sesebuah kawasan pilihan raya sengaja dirancang dan disusun untuk kepentingan pihak tertentu. Sungguhpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melaksanakan kerja-kerja teknikal; pengurusan dan pengesyoran, tetapi asas-asas untuk kepentingan kelompok tertentu lebih mengatasi profesionalisme.

Perbincangan berikut ini adalah berasaskan kepada daftar induk pemilih yang digunakan dalam PRU12. Dalam persempadanan kawasan pilihan raya 2003, kesan dari prestasi serta paparan sikap pengundi dalam PRU10 (PRU 1999) yang menyaksikan swinging undi di kalangan pengundi Melayu. Di peringkat Parlimen, UMNO telah kehilangan 32 kerusi kepada Pas (27) dan Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) (5), sedangkan sebelum ini, UMNO hilang kerusi Parlimen paling banyak ialah 15 kerusi: iaitu kepada Semangat 46 (8) dan Pas (7) dalam PRU 8 (PRU 1990), kesan perpecahan UMNO selepas pemilihan UMNO 1987. Pas pun paling banyak dapat 12 kerusi dalam PRU3 (PRU 1969).

Kebangkitan rakyat menerusi gerakan Reformasi 1998/1999, juga membolehkan Pas menguasai dua kerajan negeri yang bermajoriti pengundi Melayu. Buat julung kalinya juga, pengaruh Pas sudah merebak ke Pahang dan Selangor, berasaskan keupayaan memenangi beberapa kerusi DUN. Almarhum Hassan Sukri, bekas Timbalan Presiden Pas, menyifatkan inilah kali pertama dalam sejarah sejak Allah jadikan alam ini, Pas memenangi kerusi pilihan raya di Selangor dan Pahang.

Justeru itu, persempadanan kawasan pilihan 2003, menafikan pertambahan sebarang kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu: Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Sebanyak 27 kerusi Parlimen baru diwujudkan, dengan fokus utama kepada negeri yang memberi sumbangan  kemenangan BN dalam PRU10: Johor dan Sabah. Johor diperuntukan 6 kerusi Parlimen, Sabah 5. Di samping itu, semua negeri dapat tambahan kerusi Parlimen, termasuk Wilayah Persekutuan. Sarawak tidak terlibat, kerana persempadanan kawasan telah disempurnakan dalam tahun 1997.
Keperitan PRU10, memberi ilham kepada UMNO/BN menggunakan SPR memperbanyak kerusi campuran. PRU10, kerusi majoriti Melayu tidak memberi advantage kepada UMNO/BN, dilakarkan kawasan pilihan yang merangkumi berbagai kaum. Kawasan-kawasan penempatan Felda yang rata-ratanya dihuni oleh orang Melayu dicantumkan kawasan bandar kecil atau separa bandaran, yang kebanyakkan pengundinya bukan Melayu. Mekanisme ini menguntungkan BN dalam PRU11 (PRU 2004), di mana BN menang paling cemerlang dalam sejarah, memenangi 199 dari 219 kerusi Parlimen atau 90.86 peratus. Anggota-anggota Parlimen bukan Melayu menguasai semula blok pembangkang bila DAP menang 12 kerusi berbanding anggota Parlimen Melayu cuma 7 orang, Pas (6) dan KeAdilan (1).

UMNO dikaitkan mempergunakan SPR dalam kerja-kerja persempadanan kawasan pilihan raya, berdasarkan pemerhatian penulis sejak empat kali proses ini: 1973. 1983, 1993 dan 2003. Lakaran persempadanan dirujuk kepada UMNO Bahagian untuk pindaan dan kelulusan, sebelum dipamer untuk semakan dan bantahan awam.

Dalam PRU12, kerusi Parlimen P103 Puchong, yang mengandungi 75,625 pemilih iaitu 22.5% Melayu, terdiri dari 2 kerusi DUN; N29 Sri Serdang (49,757 pemilih - 52.1% Melayu) dan N30 Kinrara (25,868 pemilih - 72.8% bukan Melayu). Sri Serdang kawasan majoriti Melayu disengajakan dengan jumlah pengundi yang besar, berbanding Kinrara. Sri Serdang boleh dipecahkan kepada 2 kawasan pilihan raya, dengan jumlah pemilih sama seperti Kinrara. Satu kerusi majoriti Melayu dinafikan, secara tidak langsung menafikan suara Melayu dalam DUN Selangor, yang sepatutnya Sri Serdang boleh menghantar 2 orang ADUN Melayu, tetapi muslihat UMNO menerusi SPR, merugikan suara Melayu. Dalam PRU12, calon UMNO cuma menang majoriti 45 undi di Sri Serdang, mengalahkan calon Pas. Mungkinkah dalam perkiraan UMNO/BN, jika kerusi Sri Serdang dipecah dua, memungkinkah calon pembangkang Melayu dari Pas atau PKR yang akan menang.

Pembahagian kita sekata (malapportionment) pemilih dalam sesuatu kawasan bolehlah dilihat pembentukan kawasan pilihan DUN N35 Sabai, dalam kawasan Parlimen P89 Bentong. Pemilih di N35 cuma 9,486 pemilih: 36.8% Melayu, 42.4% Cina dan 20.7% India. Sedangkan N33 Bilut (15,390 pemilih), N34 Ketari (18,384) dan Pelangai (10,391) dalam kawasan Parlimen yang sama. N34 adalah kawasan bandar.

Bandingkan dengan N32 Kuala Semantan, 20,303 pengundi: 77.5% Melayu, 17.9% Cina, India 4.1%.  Kalau ikut kadar pengundi N35, N32 terdiri dari 2 kawasan pilihan DUN. Oleh kerana Kuala Semantan, dimenangi Pas dalam PRU10 dan sekali lagi dalam PRU12, dibiarkan pengundi Melayu berlambak dalam satu kawasan.

P89 Bentong dengan pengundi 53,651: Melayu 43.2%, Cina 46.9%, India 9.8% dengan 4 kerusi DUN, berbanding P88 Temerloh, 54,010 pemilih Melayu 61.6%, Cina 26.4% dan India 9.48% dengan 3 kerusi DUN: N30 Mentakab 15,143 pemilih, Melayu 49.96%, N31 Lanchang 18,564 pemilih Melayu 59.6%, N32 Kuala Semantan 20,303 Melayu 77.5%. Jika ikut nisbah P89 Bentong, sepatutnya ada tambahan satu kerusi majoriti Melayu di P88 Temerloh. Tambahan pula, dalam PRU10, calon cuma menang 231 undi sahaja di kerusi Parlimen Temerloh. Mungkin atas pengalaman ini, diperuntukan 3 kerusi sahaja untuk P88.

Begitu juga perbanding P82 Indera Mahkota dan P83 Kuantan, kedua-duanya kawasan dalam Majlis Perbandaran Kuantan.  P82 Indera Mahkota dengan pemilih seramai 51,235, Melayu 65.6%, terdiri dari 2 kerusi DUN: N12 Beserah 25,808 pemilih 72.8% Melayu, dan N13 Semanbu 25,427 pemilih 62.8% Melayu. Sementara P83 Kuantan dengan 47,745 pemilih 60.4% Melayu, terdiri dari 3 kerusi DUN, N14 Teruntum 22,742 pemilih 37.6% Melayu, N15 Tanjong Lumpur 16,453 pemilih 74.2% Melayu, dan N16 Inderapura, 8,550 pemilih 93.6% Melayu. Kerusi Parlimen Indera Mahkota sepatutnya 3 kawasan pilihan raya DUN. Satu kerusi tambahan majoriti orang Melayu sepatutnya. Kerana kerusi Beserah lebih condong ke Pas dan Pas menang dalam PRU12, menjadi asas menafikan peruntukan kerusi tambahan di Indera Mahkota.

Daripada contoh persempadanan di kawasan Bentong dan Kuantan tersebut, menampakkan persembahan kawasan pilihan raya lebih mengutamakan peruntukan kerusi selamat untuk anggota-anggota komponen BN.

Negeri-negeri majoriti pengundi Melayu: Terengganu (95.53% pemilih adalah Melayu), Kelantan (94.29%), Perlis (84.15%) dan Kedah (77.13%) tidak diperuntukan kerusi tambahan, kecuali Kelantan diberi 2 kerusi tambahan DUN, sebagai balasan dan deraan, hasil PRU10. Sungguhpun persempadanan kawasan pilihan raya dilakukan di negeri-negeri berkenaan tetapi tidak diberi tambahan kerusi atau kawasan pilihan raya (constituency).

Purata pemilih bagi setiap kawasan Parlimen dalam PRU12 di Kedah ialah 58,000 pemilih, Kelantan; 52,700, dan Terengganu 65,200. Berbanding Pahang, yang mempunyai latar belakang taburan penduduk dan penempatan, mempunyai purata 43,000 pemilih setiap kawasan Parlimen. Pahang diperuntukan tambahan 3 kerusi Parlimen dalam persempadanan 2003.

Perak yang lebih padat penduduk dan lebih maju berbanding negeri-negeri di atas, setiap kawasan Parlimen secara purata 49,800 pengundi. Beberapa kerusi Parlimen mempunyai pemilih di bawah 30,000 orang: P54 Gerik 26,229 pemilih, P55 Lenggong 22,999 pengundi, P61 Padang Rengas 24,397 pemilih, P67 Kuala Kangsar 28,325 orang.

Di Sarawak dan Sabah, bahagian besarnya pendalaman, purata pemilih setiap kawasan Parlimen ialah 29,400 dan 31,100. Padang Rengas dan Kuala Kangsar bukan kawasan pendalaman dan taburan penduduk rendah.

Pulau Pinang, kawasan yang lebih padat penduduk, kosmopolitan sifatnya, negeri yang lebih maju, purata 52,400 pengundi setiap kerusi Parlimen, dengan hanya 35.7 peratus pengundi adalah Melayu dan peratusan pengundi bukan Melayu paling tinggi. Pulau Pinang diberi tambahan 3 kerusi Parlimen dalam persempadanan 2003.

Mengambil kira perbandingan purata pengundi di Pahang, Perak dan Pulau Pinang, berdasarkan nisbah bilangan pengundi antara kawasan luar bandar, pendalaman dan perbandaran, sepatutnya Kedah, Kelantan dan Terengganu, tidak didera dan dihukum.

Sepatutnya di Kedah ditambah 3 kerusi Parlimen tambahan. Dengan jumlah pemilih dalam PRU12 seramai 871,000 dengan 15 kawasan Parlimen, puratanya 58,000 setiap kerusi. Berbanding Pulau Pinang yang lebih maju, cuma 52,000 pemilih purata setiap kerusi Parlimen. Dengan tambahan 3 kerusi Parlimen di Kedah, puratanya 48,000 satu kerusi Parlimen.

Di Terengganu, 65,000 pemilih purata setiap kerusi Parlimen dalam PRU12, dengan 521,600 pengundi dalam 8 kawasan Parlimen. Tambahan 3 kerusi Parlimen diTerengganu, menjadikan purata 47,400 satu kerusi.

Di Kelantan, dalam PRU12, terdapat 738,000 pemilih dengan 14 kerusi Parlimen. Tambahan 2 kerusi Parlimen di Kelantan, menjadikan purata 46,100 pemilih di 16 kawasan.

Berdasarkan tambahan 3 kerusi di Kedah, 3 di Terengganu dan 2 di Kelantan, secara mudah bertambah 8 kerusi majoriti Melayu bagi Parlimen. Ini berasaskan kiraan pertengahan antara negeri-negeri yang lebih maju seperti Pulau Pinang, Perak dan Johor dan Pahang yang lebih banyak kawasan pendalaman dan belum diterokai.

Di Terengganu, kerusi DUN Bukit Tunggal boleh dicantumkan dengan Wakaf Mempelam, untuk mewujudkan satu kawasan Parlimen baru. Ini dapat mengurangkan jumlah pengundi yang besar di P35 Kuala Nerus (61,214) dan P36 Kuala Terengganu (80,325). Kerusi Pengkalan Berarangan boleh dicantum dengan Bukit Besi dan sebahagian Ajil, membentuk satu kerusi Parlimen baru, untuk mengurangkan pengundi melebihi 70,000 di Marang dan lebih 60,000 di Dungun. Begitu juga kerusi Parlimen Kemaman dengan lebih 75,000 pengundi perlu dipecahkan untuk membentuk sebuah kerusi Parlimen yang baru.

Di Kedah, amalan malapportionment yang merugikan oang Melayu dengan mengambil contoh Parlimen Baling memiliki 78,784 pengundi, dengan 88.2% adalah Melayu. Parlimen Alor Star, kawasan bandaraya cuma 58,957 pemilih. Sepatutnya kerusi bandar lebih tinggi bilangan pemilih berbanding kerusi luar bandar dan pendalaman. Kerusi DUN Kota Darul Aman, di tengah-tengah pusat bandaraya, cuma denga 15,087 pemilih, 65% bukan Melayu, berbanding N30 Bayu, kawasan pendalaman dengan 29,197 pengundi, 92.5% adalah Melayu. N30 Bayu boleh wujud 2 kerusi, tambahan satu kerusi Melayu, jika ikut kadar pengundi N13 Kota Darul Aman.

Kerusi-kerusi Parlimen majoriti pengundi Melayu memiliki jumlah pengundi yang besar: Kuala Kedah (83,132 - Melayu 78.9%), Pokok Sena (69,631 - Melayu 78.6%), Baling (78,784 - 88.2%), Pendang (61,346 - Melayu 88.5%), Jerai 65,739 - Melayu 79.1%), sepatutnya dipecahkan untuk tambahan 3 kerusi Parlimen baru. Semua kerusi ini dimenangi calon Pas dalam PRU10. Pas ulangi kejayaan dalam PRU12, sementara Kuala Kedah oleh calon PKR. Sedangkan kerusi jumlah pengundi yang kecil dimenangi oleh BN: Langkawi (29,567), Jerlun (45,513), Kubang Pasu (53,323) dan Alor Star (58,957).

Di Kelantan, kerusi negeri Wakaf Bharu boleh dicantumkan dengan Tendong dan sebahagian Meranti untuk membentuk kawasan Parlimen baru, demi mengurangkan jumlah pengundi Parlimen Tumpat, hampir 79,000 orang. Kerusi negeri Selising sepatutnya dikeluarkan dari Parlimen Pasir Puteh, dicantumkan sebahagian kawasan pilihan raya DUN Jelawat dan Melor, ke arah satu lagi kawasan Parlimen baru, ini dapat mengurang jumlah pemilih Pasir Puteh (64,393) dan Bachok (63,736).

Dari paparan angka dari PRU12 dan persempadanan kawasan pilihan raya 2003, jelas menunjukkan UMNO/BN yang main peranan merancang menafikan suara Melayu, sebagai garis panduan kerja-kerja yang dilaksanakan oleh SPR, demi keuntungan jangka pendek. Jangka pendek untuk memenangi beberapa PRU dalam masa terdekat. Peluang UMNO bersama BN mencari keuntungan politik jangka pendek hasil persempadanan kawasan pilihan raya yang diperakukan oleh Perlembagaan Persekutuan, setiap 8 tahun, paling kurang, dengan persetujuan suara majoriti dua pertiga di Parlimen.

Penafian serta mengecualikan persempadanan kawasan pilihan raya, demi menghadkan kerusi mewakili kawasan Melayu, yang secara langsung suara Melayu. Ini akan membataskan ruang suara Melayu menjadi majoriti mutlak di Parlimen.





Ahad, 20 Januari 2013

Rakyat bangkit

MANIFESTASI RAKYAT BANGKIT MENERUSI PERHIMPUNAN

Penentuan kuasa rakyat menerusi suara dari peti undi, yang dapat menghasilkan atau mengukur tahap suara rakyat secara kuantitatif, menerusi penjelmaan angka. Di mana angka-angka itu dapat dirumuskan dalam sebuah analisis berdata. Ini lebih tepat untuk perbandingan, bagi mengukur prestasi dan pendapat awam. 

Di samping itu, pendapat awam juga boleh diukur secara dinamik menerusi himpunan awam. Sungguhpun penterjemahan kecil atau besar, berkesan atau sebaliknya, dianalisis secara perbandingan, boleh digunakan untuk menggambarkan keadaan.

Himpunan Mega Kebangkitan Rakyat atau KL112, pada 12/01/2013 lepas, yang memulakan episod sekitaran politik bagi tahun ini, bukan sekadar satu himpunan hujung minggu, tetapi dapatlah diterjemahkan sebagai gambaran sebenar kehendak sebahagian rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Pengorbanan warga dari seluruh negara, yang sanggup datang berhimpunan dari jauh, bertandang ke Stadium Merdeka, satu manifestasi iltizam dan harapan rakyat yang mewakili sebahagian berbagai kelompok, untuk melihat kedatangan tahun baru 2013, sebagai tahun untuk membuat perubahan.

Sungguhpun percanggahan yang amat ketara dalam membuat pengukuran atau perhitungan khalayak yang hadir, ada media menyebut sekitar 50,000 orang, ada 100,000  dan ada sebut 700,000 orang berasaskan pengalaman dan pemerhatian akademik. Apapun angka yang diberi, KL112 memberi pengertian berbeza dengan himpunan mega sebelum ini, Bersih 2.0 (09/07/2011) dan Bersih 3.0 (28/04/2012), kerana KL112 menghampiri tarikh PRU13.

Dalam tahun 1989-1990, ceramah-ceramah anjuran parti pembangkang khususnya parti-parti yang bernaung di bawah Angkatan Perpaduan Ummah atau APU (Semangat 46, Pas, Berjasa & Hamim) mendapat sambutan yang cukup hebat khususnya di Pantai Timur. Pilihan Kecil Parlimen Johor Bahru (1988), kegagalan calon BN mempertahankan kerusi,  adalah turning point menarik kehadiran yang luar biasa dalam ceramah parti-parti pembangkan. Dalam kerancakan itu, hasil Pilihan Raya Kecil Dun Teluk Pasu, Terengganu (1989), di mana Pas berjaya merampas kerusi BN, memberikan impaks besar kepada kemeriahan ceramah parti pembangkang.

Kesannya, dalam PRU8 (PRU 1990), BN kalah semua kerusi di Kelantan (39 Dun, 13 Parlimen). Di Terengganu, BN hilang 2 kerusi Parlimen dan 8 kerusi Dun, berbanding dengan PRU7 (PRU 1986) BN cuma kalah di 2 kerusi Dun sahaja, sementara di Kelantan  BN menang 12 dari 13 kerusi Parlimen. Gambarannya, kekalahan teruk BN di Kelantan, sudah pun dibayangi awal, dengan sambutan yang luar biasa, majlis ceramah APU.

Paparan gelombang Reformasi kebangkitan rakyat tahun 1998-1999, kesan dari pemecatan DS Anwar Ibrahim dari UMNO dan Kabinet Persekutuan, dapat diterjemahkan natijahnya dalam PRU10 (PRU 1999). Ceramah umum DS Anwar dalam siri jelajahnya ke seluruh negara sebelum beliau ditahan pada 20/09/1998, mendapat sambutan luar biasa, khususnya  di negeri-negeri sebelah utara dan Pantai Timur. PDRM digunakan untuk memperlahankan ledakan sokongan khalayak rakyat. Sekatan-sekatan jalan raya "berhenti pemeriksaan polis", di setiap program ceramah reformasi, dalam usaha mengganggu orang ramai serta mengurangkan kehadiran.

Gambaran awal sebenarnya telah menghasilkan realitinya, kejayaan Barisan Alternatif menguasai kerajaan negeri Kelantan dan merampas Terengganu. BN hilang 13 dari 14 kerusi Parlimen di Kelantan, semua 8 kerusi Parlimen di Terengganu dan tewas 8 dari 15 kerusi Parlimen di Kedah. Prestasi UMNO juga merosot di semua negeri kecuali di negeri-negeri selatan; Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. BN banyak bergantung kepada sokongan orang bukan Melayu, menguasai kawaan bandar dan campuran, untuk terus menguasai kerajaan Persekutuan dan dewan-dewan perundangan negeri.

Kegagalan 680,000 warga di Selangor dan ibu kota Kuala Lumpur khususnya, untuk didaftarkan sebagai pemilih, telah menyelamatkan beberapa kerusi BN. Kesan gelombang reformasi serta kesedaran untuk mengambil tanggungjawab sebagai pemilih, warga berkenaan amat mengharapkan melakukan satu perubahan dalam PRU10.

Justeru itu, persempadanan kawasan pilihan raya di seluruh negara, kecuali Sarawak, dalam tahun 2003, lebih bersifat menghukum pengundi Melayu, dengan tumpuan kepada penambahan kerusi di kawasan campuran. Negeri-negeri majoriti pengundi Melayu melebihi 75 peratus: Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dinafikan pertambahan kerusi, kecuali 2 kerusi Dun di Kelantan, yang bertujuan untuk menambahkan kerusi di kubu UMNO: Nenggiri dan Bukit Bunga.

DAP yang bergantung kepada sokongan masyarakat bandar dan bukan Melayu, keluar dari pakatan Barisan Alternatif, kerana PRU10 menyaksikan penolakan masyarakat berkenaan kepada parti pembangkang.

Kesan dari persempadanan kawasan pilihan raya serta keperluan mandat untuk Perdana Menteri baru, PRU11 memberikan kemenangan cemerlangan untuk BN. Terengganu dapat diambil kembali, dan hampir berjaya menguasai Kelantan.

Menginsafi peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebuah badan eksekutif yang berat sebelah dan lebih menjaga kepentingan mempertahankan parti pemerintah, parti-parti pembangkang bergabung tenaga dengan beberapa NGO, menganjurkan demontrasi tuntutan keadilan dan penambahbaikan pengurusan pilihan raya, dalam akronim Bersih pada 10/11/2007. Kehadiran begitu ramai rakyat yang menuntut hak serta berdepan dengan water canon dan gas pemedih mata, sebenarnya memaparkan hasrat yang terpendam mahukan keadilan.

Apa yang dipamirkan oleh Bersih pertama ini, beberapa bulan menjelang PRU12, memerlukan satu tafsiran yang tepat. Realitinya, dalam PRU12, pakatan pembangkang berjaya merampas 4 buah kerajaan negeri dari BN, mempertahankan Kelantan dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen. Penyertaan rakan dalam himpunan Bersih 2007 mempunyai hubungan yang harmonis dengan hasil PRU12.

PRU12 secara langsung memperlihatkan ketepatan parameter Bersih 10/11/2007 dalam menerangkan kaitan antara kekuatan himpunan manusia dengan perolehan data dari peti undi. Kuantiti kelompok manusia yang menyertai himpunan atau demonstrasi Bersih itu menggambarkan kemungkinan hasil dari peti undi dalam pilihan raya, dalam tempoh yang terdekat.
Justeru itu, pemaparan himpunan manusia yang besar, mencecah puluhan ribu, malah kadang-kadang melepasi angka 100,000, memberikan petunjuk awal apa yang bakal terjadi dalam peti undi, dalam PRU13 nanti. Menjadikan kuantiti khalayak dalam beberapa himpunan kebangkitan rakyat sebagai asas ukuran, PRU13 menepati kata-kata TPM TS Mahyuddin Yassin: PRU13 ibu segala PRU, Timbalan Pengerusi SPR, Dato' Wan Ahmad Wan Omar; PRU paling sengit. Kalimah popular dari Sabah "ini kalilah".

Di samping Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 pada 12/01/2013 di Stadium Merdeka, penulis juga hadir sama di 4 perhimpunan besar, Bersih 2.0 pada 09/07/2011 dan Bersih 3.0 pada 28/04/2012 di Ibu Kota, Himpunan 100,000 Hijau Ke Putrajaya, 01/06/2012 di Stadium Darul Aman, Alor Star dan Himpunan Kebangkitan Rakyat, 16/11/2012 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, satu kesimpulan yang dapat diutarakan untuk perkongsian minda ialah program yang berjaya menghimpunan lautan umat yang inginkan perubahan dan menuntut keadilan.

Logiknya berasaskan senario kebangkitan rakyat menerusi setiap program himpunan manusia anjuran bukan penyokong UMNO/BN selepas PRU12, dipadankan dengan pengalaman apa yang berlaku sebelum PRU8 dan PRU10, munasabah dan logik juga jika dikatakan PRU13 adalah masa untuk perubahan. Tidak keterlaluan jika disimpulkan PRU13, kali terakhir UMNO/BN menyertai pilihan raya sebagai penyandang.














 




 

Ahad, 6 Januari 2013

Amanat Haji Hadi

BERILAH RUANG AMANAT HAJI HADI DIPERDEBATKAN

Amanat Haji Haji muncul semula setiap kali menjelang Pilihan Raya Umum (PRU). Inilah trend kempen PRU di negara kita yang lebih menyediakan ruang kepada pihak yang menguasai media arus perdana, mempergunakan kemudahan awam untuk menghentam pihak lawan. Sementara pihak lawan, dinafikan kemudahan media awam untuk menjawab. Senario biasa di negara-negara Dunia Ketiga, negara sedang membangun, dan negara-negara baru muncul, dalam peta politik dunia, penguasaan pihak kuasa ke atas prasana media awam serta menafikan suara rakyat terbanyak. 

Amanat Haji Hadi dicetuskan kembali dan menjadi bahan utama media arus perdana menjelang tahun 2012 menutup tirai, apabila Mufti Perak, DS Harusani Zakaria dan Mufti Wlayah Persekutuan, Dato' Wan Zahidi Wan Teh meminta DS Haji Abdul Hadi Awang menarik balik amanatnya, yang disebut dalam satu ceramahnya di Banggol Peradong, Manir, pada 7/4/1981. Mereka mengesyorkan DS Haji Abdul Hadi bertaubat. (Utusan Malaysia 18/12/12).

Sebenarnya, apa yang disebut sebagai amanat itu, cuma sekadar petikan ucapan ceramah sahaja. Kemudiannya, apa pihak yang memetik dan dicetak khusus sebagai satu kata-kata atau madah, seorang pemimpin sebuah parti. Sedangkan, semasa memberikan ceramah tersebut DS Haji Abdul Hadi, adalah AJK Pas Pusat dan Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu, baru berusia 34 tahun ketika itu.  

Lantaran itu, DS Haji Hadi, sanggup menjelaskan amanat tersebut menerusi media letronik arus perdana RTM dan TV3 secara langsung selama satu jam. Reaksi spontan dari berbagai pihak, amatlah menarik sekali yang menggambarkan sikap dan wajah ahli politik, orang awam dan orang berkepentingan. Ada yang bersikap terbuka dan ada yang mengajak kepada pencerahan minda, di samping  tidak kurang bersikap jumud tanpa memberi peluang perbincangan terbuka, telus dan berlapang dada.

Apa yang disebut dan diperbesarkan sebagai Amanat Haji Hadi, menjadi isu besar setiap kali menjelang PRU. Ianya sudah berlanjutan sejak 31 tahun lalu, dibiarkan tanpa penyelesaian agar mudah dimanipulasi dan dikitarsemula setiap kali diperlukan untuk kepentingan pihak tertentu, yang ada kuasa mengeksploitasikannya. Dengan tempoh yang begitu lama, dan menjelma setiap kali menjelang PRU, tidak lain cuma sekadar untuk menglirukan orang ramai sahaja.

Mufti Perak yang memulakan dengan mencabar DSHH bertaubat, berkeras tidak akan hadir untuk berdepan DSHH, seandainya permintaan DSHH ingin menjelaskannya secara siaran langsung di siaran RTM dan TV3, selama satu jam dan bersedia melayani soalan atau hujah (Berita Harian 2/1/2013). Mufti Pahang tidak akan hadir dan menyatakan  Mufti Perak dan Mufti Wilayah Persekutuan yang sepatutnya hadir kerana mereka yang memulakannya (BH 1/1/13). Mufti Kelantan tunggu arahan dari DYMM Sultan dan SUK. Mufti Johor, tidak setuju kerana akan menimbulkan polimek berpanjangan. Berbeza, Mufti Perlis, menyambut baik perbincangan secara langsung di media elektronik (Sinar Harian 2/1/13), disokong Mufti Pahang, yang menyebut: peluang ini dapat memberi penjelasan bakal merungkai pelbagai isu yang selama ini disalahtafsirkan (BH 1/1/13).

Orang politik sudah diduga pendirian masing. Pendapat mereka lebih menampakkan pandangan yang berasaskan pegangan, prinsip dan parti yang mereka wakili. Satu pihak menentang siaran secara langsung dan perbincangan terbuka. Sebaliknya, satu pihak lagi, sangat mengharapkan kenyataan Menteri Penerangan, Kominikasi dan Kebudayaan, DS Rais Yatim: "kerajaan akan menjemput tokoh agama dan mufti dalam forum berkenaan" akan menjadi kenyataan (BH 1/1/13), Sebelumnya, DS Rais Yatim mengumumkan kerajaan bersedia memberi peluang DSHH membuat penjelasan secara langsung di RTM dan TV3.

Ada pihak bimbang, akan memberi kesan buruk kepada parti politik yang mereka wakili dan satu pihak merasakan akan meningkatkan imej parti mereka, khususnya di kalangan pengundi muda yang celik ilmu serta inginkan ketelusan, demokrasi yang adil yang menyediakan ruang kebebasan bersuara dan kebebasan akses kepada maklumat. Biasanya pihak yang takut kepada ketelusan dan kebebasan suara ialah pihak yang ada kuasa dan merasa tergugat bila suara menuntut hak berkemundang.

Harapannya, jangan hampakan harapan rakyat yang inginkan pencerahan ilmu dan kebebasan suara setelah beberapa kali gagal. Debat antara UMNO dan Pas atas tajuk yang dicadangkan UMNO; "Pas kata UMNO kafir", tahun 1984, dibatalkan di saat akhir, atas nasihat Majlis Raja-raja kononnya. Dalam tahun 2001, muzakarah kepimpinan Pas dengan Majlis Fatwa Kebangsaan pun dibatalkan juga. Muzakarah ini ekoran kemuncaknya isu Amanat Haji Hadi dimainkan untuk menjatuhkan DSHH sebagai Menteri Besar Terengganu. Kali ini, untuk kali ketiga, dalam bentuk siaran langsung, sama ada perdebatan atau forum, menampakkan akan temui kegagalan dan tidak menjadi kenyataan.

Setelah 31 tahun isu ini dimainkan, sudah sampai masanya, satu penjelasan secara telus, tanpa curiga, ikhlas untuk kepentingan ummah serta akidah, amatlah perlu diketengahkan dan janganlah orang ramai akan terus berada dalam kegelapan dan kebodohan. Kalau pengecut takut hilang kuasa, amatlah malang bergantung atas asas yang tidak kukuh. Sampai bila kita hendak bergantung atas kebaculan minda demi keuntungan politik jangka pendek. Akurlah kepada kemurnian ilmu, pencerahan ilmu dan berilah kejernihan tafsiran ilmu agar generasi akan datang tidak akan mengutuk orang terdahulu.