Ahad, 25 Ogos 2013

Agenda memperbodohkan rakyat

AGENDA MEMPERBODOHKAN RAKYAT SECARA TERANCANG

Meneliti jawapan Dato' Azman Ujang, penasihat redaksi agensi berita Bernama dalam satu forum di Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia ke 7, di Kuala Lumpur, semalam ; kandungan berita dalam akhbar arus perdana yang memperbodohkan rakyat hanya sedikit sahaja. (portal berita Malaysiakini, 25/08/13). Sebagai seorang tokoh media yang tidak asing, sinopsis dari kenyataan tersebut mencetuskan satu maklumat perhatian masyarakat umum.

Beliau mempertahankan persembahan akhbar perdana, Utusan Malaysia khususnya, bahawa  berita yang membentuk persepsi rakyat diperbodohkan dalam kuantiti yang kecil. Sungguhpun, media arus perdana main peranan mengorak agenda kotor ini, khalayak pembaca masih terus membeli dan melanggan secara regular. Akhbar berkenaan terus berada di pasaran bersaingan dengan media lain.

Soal kuantiti, kecil atau besar, bukan menjadi ukuran kewibawaan dan peranan, media membentuk persepsi masyarakat. Satu berita menghiasi muka depan atau tajuk utama akhbar, walaupun kandungannya tak sampai 5 peratus apa yang termuat dalam dalam media berkenaan dari muka depan sampai ke muka belakang. Satu berita yang menjadi tajuk besar, menggambarkan wajah sebenar media berkenaan, khusus untuk hari berkenaan atau amnya sepanjang masa. 

Justeru Utusan Malaysia, Berita Harian dan media letronik Tv3, sumber utama penyebaran maklumat untuk masyarakat awam, bentuk maklumat yang dihidangkan secara langsung membina serta mewakili minda pembaca atau penontonnya. Sungguhpun, tiada angka rasmi dari pemerintah, dari segi taburan pembaca mengikut kaum, amnya penerima utama adalah orang Melayu tanpa batasan geografis dan sosio-ekonomi. Secara langsung berjayanya sebuah agenda secara terancang memperbodohkan golongan sasarnya. Tambahan pula, pandangan umum menyebut orang Melayu malas membaca, kurang cakna maklumat dan abaikan unsur-unsur ilmiah dalam kehidupan.

Kenyataan tokoh media tersebut, memperkukuhkan tanggapan awam bahawa media arus perdana main peranan membentuk masyarakat pembacanya, orang Melayu yang berkebetulan malas membaca, maksudnya bacaan berbagai sumber, menjadi masyarakat yang beku dan kaku minda. Agenda jangka pendek ini, sekadar untuk kepentingan politik semasa, memperbodohkan rakyat sementara waktu demi mempertahankan kuasa yang ada.

Justeru itu, tajuk utama akhbar, akhbar yang diterbitkan dalam berbagai bahasa, secara langsung meggambarkan minda, peribadi serta wajah sebenar masyarakat pembacanya. Akhbar berbahasa Melayu dibaca oleh orang Melayu, amnya. Akhbar Cina dibaca oleh masyarakat Cina. Lihat kepada tajuk muka depan sesebuah akhbar, sudah boleh menilai darjah intelektualiti masyarakat pembacanya.

Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan, dalam majlis yang sama, semasa menjawab soalan forum, menjelaskan Perdana Menteri, DS Najib, tidak mengakui, intisari berita muka depan Utusan Malaysia , " Apa lagi orang Cina mahu", sebagai memetik ucapan beliau, 2 hari selesai PRU13 tempoh hari. Kandungan berita melaporkan PM menyalahkan akhbar Cina menyebabkan pengundi Cina mengalih sokongan.

Rasionalnya walaupun berita untuk memperpodohkan rakyat sedikit kandungannya, tetapi ianya adalah berita utama, berita headline. Sunguhpun tak sampai 5 peratus, tabiat pembaca mendahulu dan mengutamakan maklumat berkenaan berbanding dengan berita-berita atau kandungan lain yang tak dipersoalkan; sukan, jenayah, hiburan, kewangan. Pembaca Melayu walaupun berpendidikan dan berjawatan, cenderung kepada Utusan Malaysia berbanding Berita Harian, kerana bentuk tulisan dan ruang, Utusan Malaysia, dengan tulisan yang lebih besar, ruang atau jarak antara perkataan dan baris lebih luas berbanding Berita Harian, lebih menarik mereka yang ingin dapat maklumat secara cepat dan ringkas, tak banyak menyusahkan minda menjalankan fungsi. 

Kebodohan, kejahilan dan kemiskinan adalah 3K untuk memudahkan mereka yang ada kuasa untuk memanipulasi jiwa dan prinsip manusia. Pengukuhan 3K adalah agenda terancang dalam mana-mana masyarakat Dunia Ketiga, untuk pihak berkuasa melanjutkan usia.




Isnin, 19 Ogos 2013

Persempadanan semula 2: faktor Sabah

PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHAN RAYA: FOKUS KEPADA FAKTOR SABAH

Persempadan kawasan pilihan raya (delineation) yang sepatutnya dilaksanakan tahun dua tahun lepas iaitu paling kurang selepas lapan tahun selepas persempadanan terakhir pada tahun 2003, mengikut Perkara 113 (2) (ii) Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan perundangan tersebut menetapkan tempohnya tidak lebih 10 tahun. Sepatutnya selesai tahun ini, mengikut amalan persempadanan yang lepas. Sehingga hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melaksanakan 4 kali persempadanan peringkat nasional: 1973, 1983, 1993 dan 2003. 

Satu rang undang-undang hendaklah dibentang dan diluluskan oleh suara majoriti dua pertiga persidangan  Dewan Rakyat. Oleh kerana, Parlimen ke 12, keanggotaan penyokong kerajaan tidak cukup dua pertiga, rang undang-undang berkenaan tidak dibentangkan. Parlimen ke 13, hasil dari PRU13, bilangan penyokong kerajaan semakin jauh mendekati keperluan dua pertiga. Seandainya dibentangkan, bergantung di atas ihsan, anggota pembangkang dalam Dewan Rakyat. 

Seandainya rang undang-undang tersebut diluluskan, Pengerusi SPR kata akhir tahun ini, beberapa perkara yang menaik untuk dijadikan perbincangan atau beberapa kemungkinan yang akan menentukan rangka kerja proses persempadanan tersebut. Salah satu faktor untuk dianalisis kerja itu ialah peranan Sabah dan Sarawak. 

Apa pandangan baru yang perlu diberi perhatian iaitu membangkitkan perjanjian kemasukan Sabah (dulunya Borneo Utara) dan Sarawak ke dalam Malaysia tahun 1963, menyebut peruntukan 30 peratus kerusi Dewan Rakyat Malaysia (Parlimen) untuk perwakilan dari negeri berkenaan. Semasa penubuhan Malaysia, kerusi Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang sedia ada ialah 104 kerusi, diperuntukan 16 kerusi untuk Sabah, 24 unuk Sarawak dan 15 kerusi mewakili Singapura, menjumlahkan 159 kerusi Parlimen Malaysia pertama. Secara nisbahnya, perwakilan dari Malaysia Timur, adalah 25.15 peratus. Selepas Pemisahan Singapura, Ogos 1965, jumlah kerusi Parlimen Malaysia adalah 144 kerusi, dengan nisbah 27.77 peratus diperuntukan untuk kerusi Sabah dan Sarawak. Dalam Pilihan Raya Umum ke 2, (PRU2), 1964, tidak melibatkan 3 negeri berkenaan, tetapi Parti Tindakan Rakyat (Petir) dari Singapura, mengambil bahagian dengan meletakkan beberapa calon di beberapa negeri di Malaysia Barat. Salah seorang calonnya, J.V. Devan Nair, menang kerusi parlimen Bangsar, di ibu kota Kuala Lumpur.

Persempadanan kawasan pilihan raya bermula, sebaik sahaja penubuhan Malaysia. Sabah mengadakan pilihan raya pertama peringkat Dewan Undangan Negeri, dalam tahun 1967. Sementara Sarawak, terlibat dalam PRU3 (PRU 1969), peringkat Council Negeri (DUN) dan Parlimen. 

Dalam persempadanan semula kawasan pilihanraya yang pertama, 1973, 10 kerusi baru ditambah, semuanya di Malaysia Barat (kemudian Semenanjung Malaysia). Persempadanan ini tidak melibatkan negeri-negeri Malaysia Timur, kerana belum cukup syarat minima 8 tahun. 

Persempadanan semula kali kedua, 1983 melibatkan pertambahan 23 kerusi parlimen baru, termasuk 5 kerusi untuk Sabah. Persempadanan ini tidak melibatkan negeri Sarawak, dan persempadanan di Sarawak diadakan dalam tahun 1986/87, menambahkan 3 kerusi parlimen. Persempadanan semula kali kedua ini, menjumlahkan kerusi parlimen kepada 180 kerusi, di mana 48 kerusi dari Sabah dan Sarawak atau 26.66 peratus.

Persempadanan semula kali ketiga, 1993,  (di Sarawak dalam tahun 1996), mewujudkan 13 kerusi parlimen tambahan: termasuk 1 kerusi dari Sarawak dan tidak membabitkan Sabah. Perubahan kerusi parlimen ini, menjadikan peratusan perwakilan dari Sabah dan Sarawak: 25.38 peratus.

Persempadanan tahun 1993 mempunyai kaitan dengan PRU8 (PRU 1990), di mana pencapaian Barisan Nasional di tahap rendah dalam persaingan kerusi parlimen di Sabah. Parti Bersatu Sabah (PBS) menguasai 14 kerusi dari jumlah 21 kerusi. PRU8, tidak melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak. 

Sementara di Semenanjung, prestasi BN tidak memberangsankan khususnya di sebelah Pantai Timur, kesan kerjasama Pas dan Semangat 46. Undi sokongan kepada BN di kawasan Melayu, beralih ke pihak pembangkang. BN gagal memenangi sebarang kerusi, sama ada kerusi Parlimen mahupun DUN, di negeri Kelantan. Di Terengganu, berlaku perubahan drastik penurunan sokongan kepada BN walaupun masij kekal menguasai kerajaan negeri.

Justeru itu, pembentukan kawasan baru lebih difokuskan kepada kawasan untuk memberi advantage kepada BN, dalam PRU9 (PRU 1995). Negeri Sabah tidak diberi sebarang kerusi. Begitu juga Terengganu. Di Kelantan pula, dibentuk kawasan pilihan raya parlimen baru, Jeli, sementara kawasan parlimen Nilam Puri, diubahsuai sempadan untuk kawasan yang diberi nama Peringat, bagi memberi kelebihan kepada BN untuk menang. Justeru itu, kedua-dua kerusi parlimen ini dimenangi BN dalam PRU9. 

Dalam PRU8, gabungan Pas-Semangat 46 gagal memberi kesan negatif sokongan orang Melayu kepada BN, di negeri-negeri utara, membolehkan persempadanan semula tahun 1993 menganugerahkan satu kerusi parlimen tambahan di Perlis. Sementara Kedah mendapat satu kerusi parlimen baru dan tambahan 8 kerusi negeri.

Persempadanan semula kawasan pilihanraya terakhir ialah dalam tahun 2003 (kecuali Sarawak, dalam tahun 2006) seimbang pandang lebih bermiripkan pencapaian BN dalam PRU10 (PRU 1999), yang menyaksikan kemerosotan sokongan BN di kawasan Melayu. Gelombang kebangkitan pengundi Melayu tersebut, memberikan  kekalahan besar BN di Kelantan, kejatuhan kerajaan BN Terengganu, kehilangan kerusi-kerusi BN menerusi calon UMNO di Kedah, di samping buat pertama kalinya, Pas memenangi kerusi di Pahang dan Selangor.

Lantaran itu, fokus persempadanan adalah memperbanyakkan kerusi parlimen di negeri-negeri yang memberikan kemenangan BN mempertahankan kerajaan Persekutuan. Manfaat besar dikecapi oleh Johor dan Sabah. Tambahan pula, PBS bukan lagi satu ancaman, lantaran; perpecahan dalam PBS mendorong kemunculan parti-parti serpihan yang menganggotai BN, menjadikan BN cukup kuat di Sabah. 

Dalam persempadanan ini, difokuskan kepada mewujudkan lebih banyak kawasan pilihanraya campuran, di mana 26 kerusi parlimen baru diwujudkan, 4 daripadanya di Sabah. Persempadanan di Sarawak dilakukan dalam tahun 2006, mewujudkan 3 kawasan baru untuk parlimen, tetapi ditumpukan ke kawasan Bumiputra Islam. Negeri-negeri majoriti pengundi Melayu tidak diperuntukan kerusi parlimen tambahan.

Jika suara tuntutan sekurang-kurangnya 30 peratus kerusi Dewan Rakyat diperuntukan kepada Sabah dan Sarawak, persempadanan baru tahun ini, perlu menambah sekurang-kurangnya 10 kerusi parlimen di negeri berkenaan. ini berdasarkan jumlah kerusi parlimen semasa dari Sabah, Sarawak dan Labuan ialah 57 kerusi atau 25.67 peratus. 

Purata pemilih setiap kawasan parlimen di Sabah hari ini ialah 39,000, dengan 25 kerusi, dan pemilih paling ramai ialah di kerusi Sepanggar (53,374), Tawau (51,538), Kota Belud (51,467) dan Kota Kinabalu (50,516).  Sementara di Sarawak, 35,000, dengan 31 kerusi parlimen, kawasan pemilih tertinggi: Stampin (84,732) dan Sibu (64,601) serta 6 kawasan memiliki pemilih kurang 20,000, 

Berdasarkan kepada kadar penduduk yang lebih tinggi di Sabah berbanding Sarawak, Sabah wajar mendapat lebih banyak kerusi berbanding Sarawak. Dalam PRU13, walaupun kehilangan kerusi BN di Sarawak lebih banyak berbanding Sabah, prestasi BN di Sabah dibantu oleh faktor kegagalan kerjasama parti pembangkang. Di Sarawak, lebih kepada saingan satu lawan satu antara BN dengan Pakatan Rakyat. 

Di Sabah, BN menentang PR, STAR dan SAPP dalam saingan empat penjuru di kebanyakan kawasan. Undi BN menurun dari 61.3 peratus dalam PRU12 kepada 55.45 peratus dalam PRU13. Undi BN di kerusi parlimen cuma meningkat sebanyak 30.04 peratus atau 92,113 undi, dari 306,590 ke 398,703, sementara undi PR meningkat dari 164,726 kepada 268,506 iaitu sebanyak 103,780 atau 63.0 peratus. Sungguhpun, PR cuma menang di kerusi parlimen Kota Kinabalu, Sandakan dan Penampang, tetapi BN cuma memperolehi undi 47.16 peratus di Kota Marudu, 44.50 peratus di Keningau, 48.15 peratus di Tenom dan 45.31 peratus di Pensiangan, undi PR campur STAR dan SAPP, melebihi 50 peratus di 4 kawasan ini. Di samping itu, BN juga perolehi peratusan undi kecil di 4 kerusi: Kota Belud (51.48 peratus), Tuaran (51.77 peratus), Beaufort (50.22 peratus) dan Ranau (50.22 peratus). Kiranya wujud kerjasama di kalangan parti pembangkang, wujud perlawanan dua penjuru, BN akan kehilangan sejumlah 11 kerusi parlimen. 

Berdasarkan kepada 4 persempadanan kawasan pilihanraya lepas, lebih banyak memberi pulangan bergaya untuk BN, ada rasionalnya, permintaan 30 peratus kerusi untuk Sabah dan Sarawak, demi kesinambungan jangka hayat BN. Undi BN di kedua-dua negeri masih di atas 50 peratus, membantu BN memiliki 47 peratus keseluruhan dalam PRU13. Justeru itu, kemungkinan adalah tinggi Sabah akan diberi peruntukan pertambahan kerusi atau kawasan pilihanraya parlimen yang lebih besar dari negeri lain. Persempadanan semula hanya akan diadakan paling awal tahun 2014, memenuhi syarat minima 8 tahun persempadanan terakhir.

Sebaliknya, bagi kawasan pilihanraya parlimen di Semenanjung, dengan 165 kerusi parlimen, purata pemilih ialah 67,700 amatlah jauh perbezaan dengan komponen pemilih di Sabah. Terengganu, dengan jumlah 8 kerusi parlimen, berpurata 79,368 pemilih setiap kawasan, hanya terlibat dengan delineation exercises paling akhir 30 tahun dulu, tahun 1983. Negeri kedua memiliki purata pemilih tertinggi, selepas Selangor, sedangkan Terengganu tidaklah sebuah negeri semaju Selangor atau Pulai Pinang. 

Sungguhpun ciri utama dalam persempadanan semula kawasan pilihanraya merujuk kepada Seksyen 4, Bahagian 2, Jadual ke 13, Perlembagaan Persekutuan: hendaklah lebih kurang sama kecuali kawasan luar bandar yang menghadapi masalah perhubungan. Apakah ktiteria ini diambil oleh SRP dalam menafikan pertambahan kerusi di Terengganu dan mengizinkan perubahaan kerusi di Sabah, setiap kali proses persempadanan tersebut dilaksanakan.

Sewajarnya purata pemilih bagi setiap kawasan pilihanraya parlimen khususnya tidak menampakkan peratusan perbezaan yang besar. antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Nisbah 67,000:39,000:35,000, daripada data pemilih PRU13 tersebut amat wajar diberi pertimbangan mewujudkan nisbah yang munasabah dan rasional, dengan mengambil kira berbagai faktor non-politik.


Ahad, 11 Ogos 2013

Ulasan Buku KYT

ULASAN TULISAN MOHD HASBIE MUDA: KEMENANGAN YANG TERTANGGUH

Buku hasil keringat Saudara Mohd Hasbie Muda: Kemenangan Yang Tertangguh (Jun 2013: Megamind Leadership Consultancy, Petaling Jaya), sebuah kupasan dan analisis terawal dalam bentuk buku, selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Sungguhpun analisisnya berfokus kepada sebuah parti yang terlibat dalam PRU13, dengan gaya  penyampaian serta kupasan yang mudah, amat sesuai untuk khalayak masyarakat umum. Syabas untuk penulis lantaran melontarkan idea yang membina dan gigih serta berani melahirkan sebuah tulisan dalam tempoh masa yang singkat.

Namun demikian tulisan setebal 145 halaman ini, mengundang saya untuk membuat ulasan serta pandangan demi memeriahkan  medan pengetahuan am dan memperluaskan penyebaran ilmu. 

Saya tercari-cari di mana 7 kerusi parlimen di Kedah dan 2 kerusi parlimen di Kelantan (hal. 14), yang gagal dipertahankan oleh Pas dalam PRU13 tempoh hari. Jika dimaksudkan 2 kerusi yang gagal dimenangi Pas di Kelantan: Jeli dan Gua Musang, kerusi Jeli cuma dimenangi sekali sahaja, dalam PRU10, sementara Pas tidak pernah menang kerusi parlimen Gua Musang, sejak kawasan tersebut diwujudkan selepas persempadanan tahun 1973. Di Kedah, Pas gagal pertahan 5 kerusi parlimen yang dimenangi dalam PRU12.

Ulasan mengenai penyertaan sebuah NGO, ISMA yang bertanding meminjam logo BERJASA di kawasan di mana Pakatan Rakyat (PR) meletakkan calon bukan Islam, untuk menarik pengundi Islam tidak mengundi calon bukan Islam sama ada BN atau PR, tergantung huraiannya, di halaman 34. Apakah kesan  penyertaan calon-calon ISMA ke atas prestasi calon PR dan BN. Apakah penyertaan ISMA untuk membantu BN atau sebaliknya.

Isu penolakan pengundi parlimen Pasir Mas terhadap Datuk Ibrahim Ali, di halaman 47 hingga 49, sebenarnya tidak menggambarkan keadaan sedemikian, jika dianalisis dari sudut kutipan angka. Sungguhpun Ibrahim Ali bertanding atas nama Calon Bebas, dan calon UMNO/BN menarik diri, sebenarnya pungutan undi beliau adalah undi untuk BN. Beliau perolehi 25,384 undi, gagal mengatasi undi calon Pas, Ustaz Nik Muhamad Abduh, 33,431 undi dan meletakkan beliau tewas dengan majoriti agak besar, 8,047 undi. Tidak jauh beza, jumlah undi ketiga-tiga calon UMNO/BN, di semua kerusi Dun dalam parlimen Pasir Mas: Tendong, Pengkalan Pasir dan Chetok; berjumlah 25,695 undi. Beza 311 undi sahaja. Undi tiga calon Pas di 3 kerusi tersebut ialah 33,373 undi, kurang 58 undi saja dengan undi Nik Muhamad Abduh. Secara tidak langsung, tiada undi peribadi Ibrahim Ali, undi beliau adalah undi untuk BN. Cuma sekitar 300 pengundi sahaja, yang tidak memberi undi untuk Ibrahim, tetapi mengundi BN di kerusi Dun. Sungguhpun beliau guna lambang bunga raya, hakikatnya beliau mewakili lambang dacing. Dengan lain perkataan, peribadi batang tubuh Ibrahim Ali tidak membantu tarikan undi untuk BN.

Dalam Pilihan Raya Umum ke 6 (PRU 1982),  di kerusi Dun Salor, borang pencalonan calon Berjasa/BN, Suffian Awang telah ditolak, meninggalkan 2 calon bertanding, Mustapha Ibrahim (Pas) dan Muhamad Tahar Jalaadin Hussin (calon bebas). BN meminta penyokongnya mengundi calon bebas. Calon bebas yang tidak terkenal dan dijangka hilang deposit memberi saingan sengit, hasilnya beliau tewas dengan majoriti kecil 498 undi di kawasan kubu Pas. Calon Pas dapat 5,528 undi dan calon bebas 5,030 undi. 

Di ambil kes Salor (1982) sebagai perbandingan, perolehan undi Ibrahim Ali selaku calon bebas, bukanlah undi untuk calon bebas yang bergantung atas keupayaan peribadi, tetapi undi perolehan beliau adalah undi untuk BN, ganti batang tubuh calon BN yang menarik diri sebelum bertarung. Berdasarkan pungutan undi BN di kerusi Dun, jika calon BN, Johan Che Pa bertanding, pastinya, akan kalah dengan majoriti 8,000 undi juga, tiada beza dengan meletakkan Ibrahim Ali.

Ulasan mengenai kejayaan Tengku Razaleigh Hamzah mempertahankan kerusi parlimen Gua Musang dengan undi yang lebih besar serta majoriti bertambah, di halaman 53. dalam kes Gua Musang, perlu dilihat dari sudut teknikal kerja-kerja jentera pilihan raya. Dalam tempoh 2009-2012, pertambahan undi yang besar di kawasan pilihan raya Gua Musang, hasil kerja-kerja pendaftaran pemilih yang dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan terutama Jabatan Orang Asli, KEMAS, RELA dan Unit Khas Jabatan Penerangan. Hasil kerja ini banyak membantu meningkatkan pendaftaran pengundi baru pro-BN. Kadar pertambahan pemilih adalah paling tinggi di Kelantan, namun demikian kerja-kerja pendaftaran pemilih oleh jentera Pas di kawasan parlimen ini adalah terendah dan amat perlahan di Kelantan dalam tempoh berkenaan. 

Dalam Jadual 22, di halaman 65, adalah tidak tepat mengambil data kerusi Dun Pandan (PRU10/1999) untuk dianalisis bersama data kerusi parlimen Pandan (PRU11, PRU12 dan PRU13). Kerusi Dun Pandan (PRU10) yang merupakan sebahagian kawasan parlimen Pandan yang diwujudkan dalam persempadanan 2003, memiliki peratusan pengundi Melayu yang lebih tinggi, berbanding dengan kerusi baru, parlimen Pandan. Membandingkan angka PRU10 dengan PRU11 adalah amat tidak adil, dari sudut statistikalnya. Dalam tahun 1995, 57.3 peratus pengundi di kerusi Dun Pandan adalah Melayu, berbanding 49.5 peratus pengundi Melayu di kerusi parlimen Pandan dalam tahun 2008.

Merujuk kepada catatan di halaman 89 mengenai penglibatan dengan subversif komunis. Tarikh tahanan 3 Abdul di bawah ISA dalam tahun 1976 bersama 3 individu lain adalah serentak dan menjadi headline akhbar utama masa itu. Terpapar foto 6 individu berkenaan: 2 orang timbalan menteri persekutuan dari UMNO, seorang ketua pengarang akhbar mainstream, seorang ahli parlimen dari DAP, seorang pemimpin MCA dan seorang pengerusi sebuah parti pembangkang (PSRM). 4 Melayu dan 2 Cina. 

Tiga buat pengakuan di kaca tv, termasuk Dato' Abdullah Ahmad dan Dato' Abdullah Majid. Kassim Ahmad (kemudiannya masuk UMNO) tak mahu buat pengakuan di kaca tv. Ahli Parlimen Sungai Besi, Chan Kok Kit enggan buat pengakuan. Maksudnya memanglah tepat tiada seorangpun ahli politik dari Pas pernah ditahan berkaitan dengan isu komunis, sementara ahli DAP tak mengaku berbanding dengan ahli UMNO yang pernah buat pengakuan dalam media perdana.

Berhubung dengan catatan Tengku Razaleigh dan penyokongnya tidak dibenarkan menyertai UMNO (Baru), di halaman 52, lebih kemas dicatatkan putar belit kerja-kerja pihak berkuasa masa itu. Bila UMNO diharamkan, Tengku Razaleigh menubuhkan UMNO 46. Satu kumpulan lagi, kemukakan pendaftaran UMNO Malaysia. Permohonan pendaftaran 2 parti ini ditolak oleh ROS dengan alasan nama sama dengan parti yang diharamkan. Kumpulan Dr Mahathir mengambil kesempatan terancang ini, mendaftaran UMNO (Baru).

Penulis memuatkan saranan dalam bab 4, beberapa isu  yang  perlu diselesaikan oleh Pas untuk mengukuhkan sokongan serta memantapkan jentera pilihan raya untuk menghadapi PRU14. Isu yang dikemukakan menepati keperluan mengatasi kelemahan dan kekurangan semasa PRU13 tempoh hari, tetapi kurang fokus kepada kerja-kerja teknikal yang banyak membantu gerak kerja persiapan pilihan raya dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Ini termasuk gerak kerja pendaftaran pemilih pengundi baru berpotensi, di samping pendidikan dan pendedahan kerja mendekati masyarakat sivil yang lebih luas. 

Sebagai graduan ekonomi, penulis berjaya memberikan panorama yang jelas, mudah difahami dan menepati keupayaan masyarakat umum mengenai isu ekonomi sebagaimana paparan halaman 102 hingga 111. Tidak sebagaimana penjelasan seorang timbalan menteri yang juga bekas pensyarah ekonomi sebuah IPTA tempatan dalam perbahasan parlimen satu masa dahulu, penjelasan yang terlalu teoritis dan akademik, sukar berpijak pada minda masyarakat umum.

 

 


 


Rabu, 7 Ogos 2013

Pasca PRU13 1

SENARIO AWAL PASCA PRU13 

Selesai Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) yang dianggap sebagai ibu segala PRU, kesan jangka pendek dapat dikutip hasil beberapa peristiwa dalam tempoh 2 bulan terakhir. Peristiwa atau cetusan pandangan pasca PRU13 lebih menampakkan kesan yang lebih cenderung kepada meningkatnya tahap krisis keyakinan masa depan negara kita.

Kesan pertama yang melibatkan seluruh rakyat selaku pengguna ialah kenaikan harga barangan, yang mula dirasai sebulan selepas selesai PRU13. Contonnya, roti Gardenia, satu pek kecil yang berharga RM2.10 sebelum PRU13, naik kepada RM2.40 atau kenaikan sebanyak 13.0 peratus. Harga ayam biasa dari RM6.80 naik sebanyak 13.0 peratus kepada RM7.70. Menteri yang bertanggungjawab menyeru rakyat dengan satu kenyataan kelas rakyat picisan; jangan beli ayam. 

Kesan kedua, pembunuhan dalam bentuk tembakan terbuka berlaku dalam kekerapan yang tinggi. Dalam minggu ini sahaja ada empat kes tembakan maut, dari bekas ketua eksekutif sebuah bank terkemuka, seorang awam di Parit Buntar, sehari kemudian, satu pembunuhan di Sabah, sehari berikutnya di Pasir Puteh, Kelantan. Sebelum ini, dalam jarak selesai PRU13 hingga akhir bulan Julai, sudah berlaku beberapa pembunuhan dalam bentuk yang sama, di Kulim, di Bachok, di Semerak. 

Akhbar Singapura melahirkan kebimbangan sebagai jiran, dengan jenayah berbentuk pembunuhan sedemikan. Akhbar berkenaan merumuskan peningkatan kadar jenayah ala comboy, yang merupakan satu perkembangan baru di Malaysia, menggambarkan tahap keselamatan yang berisiko tinggi. Seorang pemimpin kanan parti pemerintah yang kalah dalam PRU13, mempersalahkan parti pembangkang yang memperjuangkan melonggarkan undang-undang keselamatan dalam negeri. Mungkin kekecewaan kerana kekalahan dalam pilihan raya, diwarwarkan dimasukkan dalam Kabinet Pusat jika berjaya menang kerusi Parlimen,  beliau menuding jari ke arah pihak lawan.

Kesan ketiga, sungguhpun Barisan Nasional berjaya mempertahankan kerajaan. Sebagai sebuah kerajaan minoriti yang disokong oleh 47 peratus pengundi sahaja, kekecewaan menguasai sokongan rakyat terbanyak tersebut diteruskan dengan agenda rasis menanamkan kebencian ke arah pihak lawan. Sebuah blog; bnbesut.blogspot.com, menerbitkan sebuah tulisan, "Cina pun mahu duit zakat", menfitnah Ahli Parlimen Siputeh, Teresa Kok, mengeluarkan kenyataan demikian, 2 hari lepas. Ekorannya teresa Kok terpksa laporan polis. Kekecewaan penolakan undi masyarakat kota, masyarakat celik maklumat, masyarakat berilmu, serta igauan "tsunami Cina", kelompok rasis dalam BN menghasilkan kenyataan-kenyataan menghasut serta menyinggung perasaan perkauman atau sedition.

Kesan keempat, terbaru, mantan PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dalam satu makluman kepada media, beliau akan melancarkan sebuah cetusan fikirannya; "Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia", selepas perayaan Aidilfitri, menceritakan serta menjawab bidasan terhadap kepimpinan UMNO dan kerajaan zaman beliau.

Sinopsis tulisan beliau, perkara pokoknya beliau menyebut "UMNO is at crossroads and more immediately reform". UMNO perlu lakukan perubahan untuk terus berada di persada politik nasional serta menjamin kelangsungan penerimaan rakyat, dalam PRU14 khususnya.

Mengenai "the forth floor boys" yang ditujukan kepada menantu beliau Khairy Jamaluddin dan rakan-rakan, beliau menafikan penguasaan mereka dalam membuat keputusan eksekutif. 

Tun Abdullah juga mempersoalkan peranan Utusan Melayu serta kegagalan kepimpinan UMNO semasa mengawal akhbar berkenaan, menjadikan media perdana tersebut terlalu tebal dengan agenda racism dan sedition. Kebimbangan BN yang dikepalai UMNO yang rasis, didokong oleh Utusan Melayu memainkan isu, akan melonjakkan BN sebagai pendokong agenda rasis yang mulai ditolak oleh sebahagian rakyat bermula PRU12, meningkat penolakan dalam PRU13, dan terus meningkat dalam PRU14. 

Hakikinya, pasca PRU13 akan menyaksikan berbagai episod, amukan dan kebangkitan parah yang belum sembuh. Justeru itu, sebagaimana peringatan Tun Abdullah, ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO bukan suatu hak, tetapi sesuatu yang perlu dicapai. Ianya bukan slogan untuk memperkukuhkan kapitalis Melayu serta memantapkan kelas borjuis Melayu baru serta menyaksikan rakyat kelas bawah, terus tertindas dan terbiar, kerana kemiskinan adalah teras kekuatan UMNO. 

Salam Eidul Fitri diucapkan kepada semua pengunjung beragama Islam, maaf dzahir dan bathin. Semua pandangan dalam blog ini, sekadar memantapkan mental exercises demi kejernihan ilmu dan kemeriahan dunia akademik.

 

Khamis, 1 Ogos 2013

Guru rasis

KEGAGALAN INTERGRASI KAUM SEBUAH PEMERINTAHAN SEKULAR

"Go back to India or China", portal Free Malaysia Today melaporkan arahan seorang pengetua kepada anak muridnya, dua hari lepas. Semalam, FMT melaporkan sebuah lagi catatan peristiwa, " parents target HM: UMNO target parents".  Minggu lepas, digempurkan beberapa media, seorang guru besar mengarahkan murid-murid bukan Islam makan di bilik persalinan. Tiga hari selepas Pilihan Raya Umum ke 13 tempoh hari, seorang pemimpin kanan UMNO mengeluarkan kenyataan meminta pengundi bukan Melayu meninggalkan negara ini. Akhbar Utusan Melayu memilih tajuk "apa orang Cina mahu", beberapa hari selesai PRU13. 

Sebelum PRU13, beberapa kenyataan dan tindakan bersifat rasis menjadi berita hangat, lebih difokuskan kepada institusi pendidikan. Antaranya herdikan seorang pengetua sebuah sekolah menengah di Kulai, yang mencabar pelajar bukan Melayu pulang ke negara asal datuk nenek mereka, dalam satu majlis rasmi sekolah; perhimpunan mingguan. Ucapan rasis juga dilaporkan oleh seorang pengetua sekolah di utara tanah air. 

Tindakan pentadbir Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh, menempatkan pelajar bukan Islam makan waktu rehat di bilik persalinan, mendapat komen panas dari kalangan politik. Guru Besar diminta bercuti, untuk membolehkan pihak Jabatan Pelajaran menyiasat.

Belum pun reda dengan peristiwa tersebut, Pengetua Sekolah Menengah Alam Megat, Seksyen 27, Shah Alam, membuat kenyataan yang lebih panas, lebih sensitif; minta pelajarnya tinggalkan negara ini, balik ke negara asal datuk nenek mereka. Beliau berucap di majlis perhimpunan mingguan, Isnin lepas.

Reaksinya, pemimpin kanan MIC bahagian Shah Alam, A. Prakash Rao, melahirkan rasal yang amat kesal, dan minta jabatan berkenaan ambil tindakan segera. Ibu bapa dan penjaga amat menyinggung dengan kenyataan rasis. Sebaliknya UMNO pula, mempertahankan pentadbir sekolah dan menyalahkan tindakan ibu bapa.

Apapun yang berlaku, menjelang dan selepas selesai PRU13, secara langsung mempamirkan pengukuhan polarisasi kaum di negara ini, yang gagal diselesaikan oleh pemerintah yang menggabungkan parti-parti berasaskan kaum yang dikepalai oleh UMNO. Dengan lain perkataan, rasisme semakin membiak dan menebal, berikutan kemerosotan prestasi BN dalam dua PRU terakhir. 

Sepatutnya, sama ada guru besar atau pengetua, selaku penjawat awam memperlihatkan profesionalisme kerjaya serta dapat mengasingkan antara perkhidmatan awam dengan lantikan politik. Adalah amat dikesalkan, penjawat jawatan awam pada gred 54, melakukan tindakan tidak profesionalisme, penuh dengan emosi yang keterlauan dan tebalnya sentimen kepartian.

Penjawat awam di gred 54, satu kedudukan yang amat dihormati dan antara kedudukan kanan dalam perkhidmatan awam, tidak sepatutnya mengambil tindakan yang tidak popular. Semua pengetua sekolah menengah berada di gred 54 (DG54), kalau ada pun pengetua DG52, hanya segelintir sahaja, sekolah baru, sekolah kecil atau baru dilantik. DG52 adalah time based bagi guru biasa. Kalau populasi guru di sesebuah sekolah menengah sekitar 70 hingga 80 orang, tak kurang dari 7 hingga 10 orang, guru biasa gred 52. Setengah jabatan, gred gaji 52, adalah ketua jabatan atau pengarah.

Sewajarnya lantikan dan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam sepatutnya bersih dari unsur politik kepartian. Sepatutnya tidak ada pengetua atau guru besar atau ketua jabatan, proksi atau atas restu  mana-mana Ketua Bahagian, khususnya UMNO. Tidak perlu sokongan dalam apa bentuk dari orang politik untuk melayakkan seseorang diperakui ke jawatan dalam perkhidmatan awam.

Kegagalan perpaduan kaum dan kegagalan menghakis polarisasi kaum sejak merdeka kerana perakuan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan tertentu, ditentukan oleh unsur politik. Bermula dari Rukunegara, Dasar Kebudayaan Nasional, Pembentukan Jabatan Perpaduan Nasional, dan terakhir 1Malaysia, gagal untuk menghakis menghormati hak saksama sebagai warganegara tanpa mengira apa suku kaum, apa asal keturuan, apa fahaman politik dan agama.

Apakah indoktrinasi ke atas kakitangan perkhidmatan awam menerusi Kursus Tatanegara yang gagal menjadikan penjawat awam walaupun di gred jawatan kanan, mengambil tindakan seumpama penjawat awam perkhidmatan sokongan yang kurang didedahkan dengan kursus seperti itu. 

Sudah sampai masanya, penjawat awam mesti dibebaskan dari ikatan dan kekangan pemikiran politik rasis yang jumud dan tahap tamadun rendah. Binalah jiwa merdeka, bangsa yang sudah merdeka melepasi separuh abad. Anak-anak di bangku sekolah jangan dihalau balik ke negara asal datuk nenek mereka, sepatutnya persalahkan mengapa datuk nenek mereka diberi taraf kerakyatan 50 tahun lalu. Mereka lahir dan dibesarkan di negara ini, berilah hak mereka.