Jumaat, 31 Disember 2021

PRN Sarawak

 ANALISIS DARI PRN SARAWAK

Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak kali ke 12 (PRN 12) yang berlangsung pada 18/12/2021 menzahirkan kelainan analisis fakta dan lebih menarik berbanding PRN Melaka. Sungguhpun terdapat elemen persamaan antara dua PRN yang menjurus kepada prestasi parti pasca Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14), tetapi latar belakang demografi dan politik  di Sarawak memberikan kesan tempatan, yang boleh mempengaruhi kecenderungan politik nasional.

PRN 12 telah membentuk lanskap baru dalam analisis demokrasi kepilihanrayaan sebagaimana berikut:

i. Peratusan Keluar Mengundi

Sebagaimana PRN Melaka, PRN Sarawak amat terkesan dengan perjalanan pilihan raya dalam musim pandemik Covid-19, dengan peratusan keluar mengundi yang relatifnya rendah. PRN 12 mencatat peratusan keluar mengundi pada 60.66 peratus, berbanding catatan 70.01% dalam PRN 11  (PRN Sarawak 2016). 

Peratusan keluar mengundi yang rendah memberi kesan secara langsung kepada parti-parti yang bertanding, khususnya parti yang mendominasi sesuatu kawasan. Parti DAP yang berkubu di kawasan bandar atau kawasan majoriti pengundi Cina amat terkesan dengan peratusan keluar mengundi yang rendah. Peratus keluar mengundi hanya 44.79% di Padungan, berbanding 65.41% dalam PRN 11, 43.76% di Pending berbanding 65.67% dalam PRN 11.

 Peratusan keluar mengundi menurun dari 67.82% ke 48.25% di Kota Sentosa, 66.48% ke 49.29% di Bukit Assek, 69.15% ke 51.38% di Tanjong Batu, 70.02% ke 47.30% di Pelawan, 65.13% ke 45.55% di Pujut. Kesannya DAP masih pertahan Padungan dan Pending dengan perolehan undi yang semakin kecil walaupun boleh pertahan kerusi. Di samping itu, DAP hilang kerusi Kota Sentosa, Bukit Assek, Tanjong Batu, Pujut dan Pelawan. 

Daripada jumlah 82 kerusi DUN Sarawak, 15 kerusi adalah kawasan majoriti pengundi Cina, yang memaparkan peratusan keluar mengundi yang rendah. Paling tinggi dicatat 71.00% di Bawang Assan dan 65.76% di Meradong. Trend keluar mengundi yang rendah adalah satu lumrah di kawasan majoriti Cina atau kawasan bandar, dalam PRN 11, peratusan keluar mengundi di sekitar 65 hingga 70 peratus sahaja, dengan peratusan paling tinggi di Bawang Assan iaitu 80.59%. 

Peratusan keluar mengundi di kawasan luar bandar, kawasan majoriti Melayu/Melanau (28 kerusi), Iban (22 kerusi), Bidayuh (7 kerusi), Orang Ulu (5 kerusi) dan kawasan campuran (5 kerusi) juga lebih rendah berbanding PRN 11. Peratusan keluar mengundi tertinggi di Balai Ringin (kawasan majoriti Dayak) dengan 80.32%, dengan peratusan terendah di Bukit Kota (kawasan majoriti Melayu) 48.97% dan Senadin (kawasan campuran) 50.37%. 

Peratusan keluar mengundi yang rendah di kawasan Melayu/Melanau, Dayak, Bidayuh, Orang Ulu dan campuran tidak memberi impaks kepada kekuatan parti-parti yang dulunya menganggotai gagasan Barisan Nasional (BN). Cuma, peratusan keluar mengundi yang rendah mengurangkan pungutan undi parti-parti berkenaan: Parti Bumputera Bersatu (PBB), Sarawak United People's Party (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Progressive Democratic Party (PDP) yang membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

 Berbanding dengan pencapaian semasa dalam BN dalam PRN 11, dari jumlah 80 calon GPS (tidak termasuk kerusi Bukit Kota dan Bukit Sari yang dimenangi tanpa bertanding dalam PRN 11), undi dipungut oleh seramai 29 orang calon GPS telah meningkat walaupun peratus keluar mengundi merosot. Walaupun peratus keluar mengundi menuruh keseluruhannya, parti-parti GPS mampu pertahan malah memperbaiki pencapaian lantaran sokongan kepada parti lawan yang semakin mengecil khususnya parti-parti Pakatan Harapan (PKR, DAP dan Amanah) yang menjadi pencabar utama dalam PRN 11. 

ii. Pencapaian Parti Tempatan

PRN 12 lebih merupakan satu ujian penerimaan rakyat kepada gagasan baru, GPS selepas meninggalkan BN pasca PRU 14. PRN 12 mempertontonkan gabungan PBB, SUPP, PRS dan PDP yang lebih merupakan gagasan parti tempatan lebih diterima rakyat. 

Berdasarkan komposisi pengundi, 28 kerusi merupakan kawasan majoriti Bumiputera Islam iaitu kaum Melayu dan Melanau. GPS melalui PBB menyapu bersih semua kerusi. 26 kerusi dimenangi dengan majoriti besar dengan menguasai lebih 65 peratus atau dua pertiga undi. 9 calon GPS memungut lebih 80 peratus undi. Sementara 2 calon GPS hanya memungut 58.1% undi di Lingga dan 51.62% di Beting Maro. 

GPS menang semua kerusi majoriti Bidayuh menerusi PBB (5), SUPP (1) dan PDP (1). Walaupun menang di Tebedu dengan memungut 61.82% undi tetapi undinya merosot sebanyak 2,275 undi dan 1,970 undi di Tarat berbanding PRN 11. Kecuali Opar, pungutan undi calon GPS adalah di antara 52 hingga 63% di kawasan majoriti Bidayuh. Di Opar, undi calon GPS hanya 46.77%, dalam saingan dengan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Ranum Mina, bekas tokoh SUPP yang memenangi kerusi ini atas tiket BN dalam PRN 11. 

 Di kawasan majoriti pengundi Dayak iaitu 22 kerusi, GBS hanya gagal di kerusi Engkilili. Calon SUPP mewakili GPS hanya memungut 27.53% undi, ketinggalan 1,191 undi kepada Dr Johnical Rayong Ngipa dari PSB, yang memenangi kerusi ini atas tiket BN dalam PRN 11. Semua calon GPS dari PBB (8 kerusi), PRS (9) dan PDP (3) menang kerusi majoriti Dayak. Sementara SUPP hanya menang satu kerusi. 

Daripada 21 kerusi majoriti Dayak, GPS hanya menguasai  lebih 65% undi di 5 kerusi: Bukit Saban (77.94%), Marudi (74.53%), Bukit Goram (68.45%), Layar (67.75%), Samalaju (67.13%).  Di 12 kerusi yang dimenangi GPS di kawasan ini, undi GPS di antara 41 hingga 58%. 

Sementara di kawasan majoriti pengundi Orang Ulu, GPS yang meletakkan 2 calon dari PBB, 2 dari PRS dan seorang dari PDP. Calon PDP gagal di kerusi di Ba'kelalan, dengan hanya memungut 43.08% undi. Berbanding kawasan majoriti pengundi Bumiputera Bukan Islam lain, pungutan undi calon GPS, keseluruhannya lebih tinggi. Calon GPS memungut 70.52% undi di Belaga, 66.67% di Mulu, 66.23% di Murum dan 59.76% di Telang Usan. 

PSB, iaitu penjenamaan semula  United People's Party (UPP) parti serpihan SUPP, yang ikut disertai kepimpinan PRS dan PKR Negeri telah mempertaruhkan 70 orang calon.  PSB meletakkan calon di semua kawasan majoriti Cina, Bumiputera Bukan Islam dan kawasan campuran, dan 16 daripada 28 kerusi majoriti Bumiputera Islam(Melayu/Melanau).

PSB menang 4 kerusi menerusi penyandang kerusi yang dimenangi atas tiket BN dan PKR dalam PRN 11; See Chee How (Batu Lintang), Baru Bian (Ba'kelalan), Johnical Rayong (Engkilili) dan Wong Soon Koh (Bawang Assan). Batu Lintang dan Bawang Assam adalah kawasan majoriti Cina, Ba'kelalan kawasan Orang Ulu dan Engkilili kawasan majoriti Dayak.

Seramai 9 orang calon PSB hilang wang pertaruhan: 4 di kawasan majoriti Melayu/Melanau, 2 di kawasan majoriti Cina, 2 di kawasan campuran dan seorang di kawasan Dayak. Prestasi pungutan undi PSB di kawasan Melayu/Melanau kurang memberangkan, paling tinggi pungutan 28.5% undi di kerusi Kabong. Cabaran PSB lebih terkesan di kawasan majoriti Dayak yang  menyaksikan beberapa orang calon mampu meraihkan melebihi 40% undi. Selain kerusi yang dimenangi PSB, pencapaian parti ini di kawasan majoriti Cina, Bidayuh dan Orang Ulu tidak menampakkan PSB sebagai satu kuasa politik digeruni, kecuali pencapaian 34.9% undi di Serembu (kawasan Bidayuh), kawasan-kawasan lain tidak melepasi 20% undi popular.

Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang menurunkan 73 orang calon gagal memberikan saingan berkesan dalam PRN 12. Seramai 68 orang calon PBK hilang wang pertaruhan, dengan prestasi undi yang rendah di kawasan Melayu/Melanau, Dayak dan Orang Ulu. Saingan dari PBK lebih jelas di kawasan majoriti Cina dan kawasan Bidayuh. Peraihan undi oleh PBK telah memecahkan undi di kawasan Cina, menyebabkan DAP hilang 5 kerusi.

Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) telah mengadakan kerjasama politik dengan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (pejenamaan semula Parti Reformasi Sarawak (STAR)) dalam Gabungan Anak Sarawak (GASAK). PBDSB bertanding di 10 kerusi majoriti Dayak dan satu kerusi Bidayuh, sementara Parti Aspirasi bertanding di 13 kerusi majoriti Cina dan 2 kerusi Bidayuh. Semua 26 calon GASAK hilang wang pertaruhan. Semua calon Aspirasi hanya mengaut undi yang kecil, paling tinggi 302 undi Palawan. PBDSB juga alami nasib sama, semuanya memungut undi 3 digit. 

Parti baru, Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) meletakkan 5 calon: 4 di kawasan Melayu/Melanau dan satu di kawasan Bidayuh. Semua calon hilang wang pertaruhan dan memperolehi undi daif, paling 535 undi di Samariang.


 iii. Pencapaian Parti-parti Nasional.

Dalam PRN 11, saingan utama kepada BN adalah parti-parti yang membentuk Pakatan Rakyat kemudiannya Pakatan Harapan (PH): DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN @ Amanah). Prestasi PH kali ini yang bertanding menggunakan logo masing-masing sebagaimana PRN 11, keseluruhannya merosot. DAP telah gagal mempertahankan 5 kerusi, PKR hilang semua kerusi. Seramai 22 orang dari jumlah 28 calon diletakkan PKR telah hilang wang pertaruhan, DAP yang mempertaruhkan 22 orang calon, 10 daripada hilang wang pertaruhan, sementara Amanah alami 7 dari 8 calonnya, hilang wang pertaruhan. Keseluruhannya seramai 39 orang atau 62.9% calon PH hilang wang pertaruhan. 

PH yang mempertaruhkan 62 orang calon mengumpul 78,187 undi atau 10.84% dari jumlah undi sah, berbanding 224,968 undi atau 29.22% dalam PRN 11, menerusi 83 calon yang bertanding di 78 kerusi, dengan pertindihan calon antara PKR dan DAP di 6 kawasan. PRN 12 dengan jelas mempamerkan, saingan sebenar PRN 12 adalah antara parti tempatan  yang berfokus kepada GPS dan PSB, apabila PSB mengambil 18.69% undi popular atau sejumlah 139,525 undi untuk mengurangkan undi PH. 

Sebuah lagi parti nasional yang turut serta dalam PRN 12, Pas. Pas bertanding di satu kerusi, Beting Maro, kerusi yang memberikan pengaruh Pas dalam dua PRN lepas: PRN 10 dan PRN 11. Calon Pas memperolehi 2,058 undi berkurangan sebanyak 993 undi berbanding undi PRN 11 di kala 76.53% pengundi Beting Maro keluar mengundi. Sementara calon GPS perolehi 3,769 undi berbanding undinya semasa bertanding atas tiket BN dalam PRN, berkurangan sebanyak 989 undi, di kala peratus keluar mengundi cuma 67.75%. Senario prestasi Pas hanya mampu mempertahankan status quo dalam konteks peratusan keluar mengundi yang rendah. 

iv. Kesimpulan

Kejayaan GPS menguasai PRN 12 bukanlah satu kejayaan boleh mengatasi legasi BN yang menguasai pilihan raya di Sarawak lebih 40 tahun. BN yang dianggotai PBB, SUPP, PRS dan PDP memperolehi 769,867 undi dari jumlah undi sah 472,062 dalam PRN 11 atau pungutan 61.37% undi popular, di kala 70.01% keluar mengundi. Dalam PRN 12 minggu lepas, GPS memungut 457,256 undi dari jumlah 746,382 undi sah, iaitu 61.26% apabila hanyaperatusan pengundian hanya 60.66%.

Sungguhpun dipaparkan GPS lebih cemerlang bila dilihat dari sudut penguasaan kerusi iaitu petambahan 72 kerusi kepada 76, tetapi peratusan sokongan hanya mampu bertahan pada 61% sokongan pengundi. Kelebihan kepada GPS adalah perpecahan undi, jika dalam PRN 11, sokongan kepada pembangkang berfokus kepada pakatan PKR dan DAP. Kali ini, fokus kepada pembangkang tempatan yang dimainkan oleh PSB, yang telah mengurangkan sokongan dan kecenderungan kepada PKR dan DAP. 

PRN 12 merumuskan kepelbagaian parti di pihak pembangkang memudahkan kerja-kerja jentera GPS, memberikan lebih ramai calon lawan GPS yang hilang wang pertaruhan sebagaimana dialami calon-calon PH, PBK dan GASAK, kesan saingan ramai calon. Peratusan undi kekal sebagaimana pencapaian BN, dengan calon parti lawan lebih ramai hilang wang pertaruhan, seolah-olah GPS lebih kuat berbanding BN.

Kemenangan pembangkang; 4 kerusi PSB dan 2 DAP menerusi calon-calon yang mempertahankan kerusi. Tiada muka baru atau kempinan baru. Keempat-empat calon PSB adalah mempertahankan kerusi yang disandang yang dimenangi parti asal masing-masing. 

Selamat Tahun Baru 2022

 

 

Bukit Keluang Beach Resort

Besut.

31/12/2001 






 

 

Jumaat, 3 Disember 2021

PRN Melaka

 IMPLIKASI DARI PRN MELAKA

Pilihan Raya Negeri  Melaka ke 15 (PRN Melaka 15) yang berlangsung pada 20/11/2021 lepas lebih menarik jika dilihat dari sudut keterasingannya dalam lanskap nasional. Dalam sejarah demokrasi kepilihanrayaan nasional, selain pengalaman Sabah dan Sarawak, amat luar biasa PRN diadakan terasing dari jadual Pilihan Raya Umum. Cuma dalam pilihan raya pertama selepas merdeka (1959), pilihan raya untuk kerusi negeri-negeri diadakan berasingan dengan pilihan raya Parlimen. Pengalaman pertama hanya PRN Kelantan 1978, ekoran krisis politik negeri masa itu. 

PRN Kelantan 1978 menjadi asas kepada Pilihan Raya Umum 1978 (PRU 5) yang diadakan 4 bulan berikutnya. Tumpuan semasa, apakah PRN Melaka 2021 membentuk tapak untuk PRU15.

PRN Melaka telah memberikan satu gambaran bacaan awal kecenderungan politik rakyat dalam lingkungan kelainan iklim kehidupan yang terdedah kepada kepelbagaian fokus. Perkembangan selepas PRU14; pentadbiran Pakatan Harapan, pertukaran pemerintahan, kesan pandemik Covid-19, terbantut kegiatan ekonomi dan pergerakan rakyat, memberikan petunjuk prestasi parti-parti yang bertanding. 

Barisan Nasional (BN) yang dijulang lantaran keupayaan menguasai lebih banyak kerusi dalam menebus kekalahan dalam PRU14, menambah dari 13 kerusi kepada 21 kerusi untuk menguasai kerajaan dengan majoriti dua pertiga. Tetapi jumlah undi BN hanya 38.39% atau 122,741 undi berbanding 156,318 undi atau 37.84% dalam PRU14, kekurangan sebanyak 33,577 undi atau penurunan 21.48%.   Perolehan undi yang lebih rendah dipungut oleh BN walaupun disebut mencapai kemenangan besar beriringan peratus keluar mengundi yang rendah; 85% dalam PRU14 kepada 65.84% dalam PRN minggu lepas. 

BN berjaya mempertahankan 12 daripada 13 kerusi yang dimenangi dalam PRU14 dan merampas 9 kerusi Pakatan Harapan (PH). Dari jumlah 21 kerusi dimenangi BN, hanya kerusi Lendu dan Merlimau yang mencatat peningkatan undi. Di Lendu, undi BN meningkat dari 4,016 undi (46.87%) kepada 4,486 undi (63.88%), sementara di Merlimau, dari 5,290 undi (49.38%) kepada 5,633 undi (58.43%). Kedua-dua kerusi ini memiliki majoriti pengundi Melayu.

Di kubu tradisi UMNO, Sungai Udang, calon BN ditewaskan oleh calon Perikatan Nasional dari Bersatu. Dalam PRU 14, BN membolot 56.22% undi atau 10,079 undi, tetapi dalam PRN hanya mampu memungut cuma 40.24% undi atau 6,259 undi. 

Satu lagi kubu kuat UMNO, Tanjong Bidara, undi BN telah merosot dari 4,865 undi (58.15%) kepada 3,559 undi atau 49.14%, walaupun mampu pertahan kerusi, di kawasan majoriti Melayu. 

BN yang mempertaruhkan 20 calon UMNO, 7 calon MCA dan seorang calon MIC walaupun berjaya menguasai kerajan dengan 21 kerusi (18 UMNO, 2 MCA, 1 MIC) tidak menggambarkan penguasaan sebenar bukan bertumpu kepada peratusan keluar mengundi yang rendah, tetapi dibantu situasi saingan 3 penjuru atau lebih, yang turut mengongsi pecahan undi.  

Kemenangan kurang selesa dengan pungutan undi popular di bawah 50% dari 14 kerusi BN memperlihatkan faktor-faktor peratusan keluar mengundi serta saingan lebih 2 penjuru memberi kelebihan kepada BN dalam PRN Melaka. Kerusi berkenaan: Tanjong Bidara (49.14%), Rembia (41.62%), Gadek (39.36%), Machap Jaya (46.47%), Durian Tunggal (40.55%), Pantai Kundor (40.03%), Paya Rumput (39.68%), Klebang (38.49%), Pengkalan Batu (35.77%), Duyong (38.36%), Telok Mas (48.01%), Rim (45.31%), Serkam (43.32%), Sungai Rambai (48.32%).

Undi BN merosot di 26 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan. Kemerosotan undi yang tinggi berbanding PRU14 di kawasan majoriti bukan Melayu: Bandar Hilir (51.82%), Kota Laksamana (49.75%), Kesidang (45.19%). Di kawasan majoriti Melayu, kemerosotan undi jelas kelihatan di Sungai Udang (37.86%), Pantai Kundor (31.40%), Tanjong Bidara (26.84%), Bukit Katil (28.75%),  Kuala Linggi (26.14%), Merlimau (25.29%),  Serkam (21.29%).

Pakatan Harapan (PH) yang menurunkan 28 calon mewakili 11 PKR, 8 DAP dan 9 Amanah, menerima keputusan yang jauh merosot berbanding dengan pencapaian PRU 14 yang mampu menguasai kerajaan negeri. Dalam PRU 14 pakatan pembangkang (kemudiannya dijenamakan Pakatan Harapan) memenangi 15 kerusi dalam PRU 14 menerusi 8 DAP, 3 PKR, 2 Bersatu dan 2 Amanah, dengan memungut 211,153 undi atau 51.11% undi popular. Dalam PRN, PH hanya mengaut 114,457 undi atau 35.80% undi, iaitu kekurangan sebanyak 96,696 undi atau peratus kemerosotan sebanyak 45.79.

Pencapaian calon-calon PH lebih terserlah kepada kecenderungan pilihan mengikut kaum dan geografi. Kawasan majoriti bukan Melayu: Kota Laksamana, Bandar Hilir, Kesidang dan Ayer Keroh,   sungguhpun undi dan peratusan undi popular menurun, tetapi relatif dengan penurunn peratusan keluar mengundi. Kesemua kerusi majoriti bukan Melayu dimenangi PH menerusi calon DAP. Semua kerusi ini mempunyai peratusan keluar mengundi yang rendah; Bandar Hilir (57.38%), Kota Laksamana (58.64%), Kesidang (60.84%), Ayer Keroh (61.57%). Peratusan keluar mengundi keseluruhan bagi PRN Melaka ialah 65.64%. 

Di Kota Laksamana, PH kehilangan 6,673 undi berbanding PRU14, dengan mengumpul 80.83% undi popular dalam PRN berbanding 81.68% dalam PRU14. Di Bandar Hilir, 81.19% (PRN) dari 83.05% (PRU14), dengan penurunan 4,947 undi. Di kerusi Kesidang, undi PH merosot sebanyak 8,111 undi dari 22,880 undi  (72.64%) kepada 14,769 undi (65.86%). Di Ayer Keroh, undi PH merosot daripada perolehan 65.31% undi popular PRU14 kepada 59.97%, merosot sebanyak 4,820 undi.

PH hanya menang satu kerusi di kawasan majoriti Melayu ialah di Bukit Katil menerusi calon Amanah, yang memungut 41.44% undi untuk mempertahankan  kerusi lantaran perpecahan undi calon lawan dalam saingan 4 penjuru. Calon PH, bekas Ketua Menteri Melaka memperolehi 6,805 undi (merosot sebanyak 4,421 undi dari PRU14), calon BN dari UMNO dapat 5,748 undi (35.10% dan merosot sebanyak 2,319 undi), calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas memungut 3,715 undi (22.68% dan meningkat 1,478 undi dari PRU14). Calon bebas dapat 109 undi. Calon PH menang dengan majoriti 1,057 undi atau 4.16%. 

Kemerosotan undi dicapai oleh calon-calon PH lebih terserlah di kawasan majoriti Melayu. Undi PH yang ditandingi oleh calon PKR telah alami kemerosotan undi berbanding PRU14, Tanjung Bidara (75.56%), Sungai Udang (74.06%),  Sungai Rambai (60.34%), Rim (54.61%). Kerusi yang ditandingi menerusi calon Amanah juga alami kemerosotan besar; Ayer Limau (75.26%), Serkam (58.11%), Merlimau (53.78%), Kuala Linggi (50.06%). Di Bemban, kawasan 60% Melayu, PH menurunkan calon DAP, undi PH telah merosot sebanyak 55.77%. Keseluruhannya undi calon-calon PH telah merosot di antara 33% hingga 75%.

Pakatan parti ketiga, sebuah gabungan baru, Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan. Dalam PRU14, Bersatu bersama pakatan pembangkang PKR-DAP-Amanah, Gerakan bersama BN. Pas mewakili kumpulan ketiga bersendirian. Walaupun begitu, jika terjemahkan undi kelompok ketiga PRU14 sebagai undi kelompok ketiga PRN Melaka (PRN Melaka 15), memperlihatkan prestasi lebih baik berbanding BN dan PH, dari sudut pencapaian sokongan walaupun PN hanya memenangi 2 kerusi sahaja. 

Pas yang bertanding mewakili PN di 8 kerusi, mencapai peningkatan undi di 7 kerusi dalam peratus keluar mengundi yang lebih rendah berbanding PRU14. Calon Pas di Kuala Linggi, yang hilang wang pertaruhan dalam PRU14, telah berjaya menambahkan 704 undi atau 74.81%, dari 941 undi kepada 1,645 undi. Calon Pas di kerusi lain telah meningkatkan undi: Klebang (70.95% iaitu dari 2,272 undi kepada 3,884 undi), Bukit Katil (66.07%), Durian Tunggal (58.73%), Serkam (44.87%), Merlimau (34.37%), Taboh Naning (21.06%). 7 kerusi berkenaan adalah kawasan majoriti Melayu. Cuma di Duyung, iaitu kawasan campuran, undi Pas telah merosot 64 undi atau 2.18%. 

Dalam PRU14, Pas bertanding di 24 kerusi dalam saingan tiga penjuru. Pencapaian undi PN menerusi calon Bersatu di kawasan ditandingi Pas dalam PRU14 memperlihatkan berlaku peningkatan undi di kala BN dan PH alami kemerosotan undi. Di kerusi  majoriti Melayu, peningkatan undi oleh kelompok ketiga; di Paya Rumput telah meningkat 155.13% daripada undi Pas dalam PRU14: 1,552 kepada undi PN 3,972 undi, Ayer Limau (131.93%), Rim (114.74%), Tanjong Bidara (112.86%), Rembia (102.75%), Sungai Rambai (89.61%). 

Hanya 3 kerusi di mana undi PN merosot, selain kerusi Duyong ditandingi Pas, Asahan merosot 1 undi dan Ayer Keroh, 88 undi atau 3.43%, kawasan majoriti bukan Melayu ditandingi Pas dalam PRU14. PN diwakili oleh calon Gerakan di Asahan dan Ayer Keroh. 

Keseluruhannya, BN menguasai kawasan majoriti Melayu dan PH menguasai kawasan bukan Melayu atau kawasan bandar dengan masing-masing alami kemerosotan undi, dengan pengurangan peratusan undi lebih besar berbanding peratus keluar mengundi keseluruhan. Sebaliknya PN sebagai kuasa ketiga berjaya menarik undi daripada BN dan PH khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu atau kawasan desa dan pinggir bandar. Peratusan keluar mengundi yang lebih rendah memberikan kesan tolakan kepada BN dan PH tetapi memberikan tarikan kepada PN. Di samping menggambarkan kemampuan Pas mengekalkan penyokong tradisi tetapi juga menjadi ukuran pengaruh Bersatu menarik undi PKR dan Amanah. PRN Melaka menyaksikan perebutan pengundi di kawasan luar bandar atau komuniti Melayu terutama antara UMNO, Bersatu, Pas, PKR dan Amanah. 

Penulis berada di Melaka selama 6 hari menjelang hari pengundian, dengan fokus memantau dan memerhati gerkerja parti-parti bertanding, dalam norma baru ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Calon tiada peluang bertemu pengundi, tiada ruang calon memperkenalkan diri secara langsung, tiada gerakan kempen rumah ke rumah. Calon atau ejen calon hanya meletakkan risalah atau bahan kempen di pintu pagar rumah pengundi. Bendera, banner dan poster calon adalah medan utama memperkenalkan parti dan kewujudan calon bertanding.

Di samping peratusan keluar mengundi yang rendah sebagai faktor mengubah kecenderungan pilihan pengundi, peraturan kempen dalam bentuk norma baru tanpa pertemuan bersemuka dan kempen terbuka memberikan kesan besar kepada keputusan pengundi. 

Lebih penting, jangkaan kecenderungan pengundian dalam PRU15, seandainya norma baru menghadapi pandemik Covid-19 terus berlanjutan. Sungguhpun suasana pilihanraya dalam suasana aman, tenang dan sepi tepi lebih banyak memberi debaran dan jangka luar biasa kepada parti-parti bertanding.