Ahad, 25 November 2018

ICERD

KESAN ISU ICERD

Sungguhpun Kerajaan Pakatan Harapan secara rasmi memaklumkan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (International Convention On The Elimination Of All Forms Of Racial Discrimation - ICERD) sebagaimana kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri 23/11/2018, namun kesannya mengcungkil dan menggali semula elemen-elemen dalam sejarah pembantukan bangsa. Ianya tidak akan hilang dan lenyap dalam sekelip mata lantaran keputusan untuk tidak meratifikasinnya. Cuma ianya sekadar membatasi pengetahuan dan maklumat sejarah tersebar lebih luas. 

Konvensyen ini telah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam tahun 1965 dan mula berkuatkuasa dalam tahun 1969, dengan objektif utama adalah mengiktiraf hak asasi manusia. Sehingga kini, sebanyak 175 negara anggota PBB telah pun meratifikasi konvensyen ICERD, dengan 16 buah negara anggota masih belum meratifikasinya termasuk Malaysia, di samping Brunei, Singapura, Mynmar dan Korea Utara. 

Persoalan kini ialah apakah keperluan mendesak ICERD dianjurkan diratifikasikan di Malaysia, setelah hampir 50 tahun dikuatkuasakan oleh PBB. Apakah ancaman hak asasi manusia yang mendesak di Malaysia yang menuntut ratifikasi. Setelah kejatuhan kerajaan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) menjadi ruang untuk pentadbir baru mengemukakan agenda perubahan yang mencetuskan polimek masyarakat awam. Draf cadangan meratifikasikan ICERD diutarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial), Senator Waytha Moorthy Ponnusamy.

Selepas kekecohan ketika Menteri JPM membuat jawapan dan perbahasan di Parlimen minggu lepas, mengundang berbagai kontraversi.  Justeru perbahasan di Parlimen lebih menampakkan Waytha berseorangan mempertahankan isu ICERD tanpa bantuan rakan-rakan penyokong kerajaan setelah diasak bertubi-tubi oleh barisan pembangkang khususnya UMNO, tafsiran awam melihat lebih kepada agenda peribadi Waytha. 

Waytha Moorthy satu nama yang cukup relevan dengan suasana politik tanah air pra-PRU12. Penglibatan aktif beliau bermula dalam tahun 2006 selepas perobohan kuil Hindu, di Setapak, diikuti kuil di Midlands dan Seremban. Kuil-kuil yang dirobohkan adalah yang dibina secara haram atau tanpa kebenaran pihak berkuasa. Gabungan lebih 30 NGO Hindu membentuk Hindu Rights Action Force (HINDRAF) yang dipelopori oleh 5 peguam Hindu termasuk Waytha Moorthy, memperjuangkan nasib dan hak masyarakat India sebagai kaum minoriti di Malaysia. 

Dalam tahun 2007, Waytha Moorthy mengepalai satu pasukan peguam India membuat satu tuntutan kepada kerajaan Britain sebanyak 4 trillion pound, menyelongkar sejarah kemasukan secara paksa buruh India ke Tanah Melayu lebih 200 tahun lalu dan meninggalkan generasi ini selepas merdeka, pemerintah yang dikuasai oleh golongan majoriti; Melayu/Islam yang menafikan hak masyarakat minoriti iaitu kaum India. Pada 25/11/2007, satu himpunan aman 100,000 masyarakat India anjuran HINDRAF dirancang. Himpunan ini mendapat respon yang baik dari etnik India dengan penyertaan 30,000 orang. Waytha Moorthy bergerak di luar negeri dan berakhir menjadi perlindungan politik di Britain. PRU12 menyaksikan kemerosotan undi BN di peringkat Persekutuan serta kehilangan kuasa di 4 buah negeri; Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah, setelah majoriti undi etnik India beralih ke parti pembangkang, yang secara keseluruhannya faktor HINDRAF. 

Beberapa bulan selepas PRU12, Waytha Moorthy dibenarkan pulang ke Malaysia. Menjelang PRU13, HINDRAF telah mengadakan MOU dengan kepimpinan BN, dengan misi merayu pengundi India menyebelahi BN. Ada ayungan undi etnik India dari pembangkang ke BN dalam PRU13 tetapi tidak cukup untuk meningkatkan undi BN kerana BN kali ini berdepan pula dengan alihan undi etnik Cina ke pembangkang. Selepas PRU13, Waytha Moorthy tanpa mewakili mana-mana parti diberi layanan sebagai Timbalan Menteri JPM, dengan tanggungjawab menjaga kebajikan etnik India. Awal 2014, beliau meletak jawatan setelah beberapa tuntutan kepada kerajaan BN tidak dilayani. 

Dalam tahun 2017, Waytha Moorthy berjumpa Tun Dr Mahathir, menyatakan hasrat HINDRAF boleh membawa pengundi etnik India bersama Pakatan Harapan(PH).  PRU14 mencatatkan 88% undi dari masyarakat India memihak kepada PH berbanding 50.5% dalam PRU13. Dua bulan selepas PRU14, Waytha Moorthy dilantik Menteri JPM (Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial). 

Pengkritik  awam dan penyokong pembangkang melihat aktiviti Waytha Moorthy yang memberikan gambaran amalan perkauman kerajaan yang dikepalai etnik Melayu/Islam di Malaysia serta diskriminasi terhadap kaum minoriti. Sebagai ahli kabinet yang dipertanggungjawabkan untuk perpaduan dan kesejahteraan sosial, idea meratifikasi ICERD adalah mekanisme untuk mewujudkan perpaduan dan mencapai hak asasi manusia. 

Beliau memberi jaminan bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh perlindungan kepada kedudukan hak istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan kaum-kaum lain, tidak diusik dan tidak akan dipinda. Persoalannya, apakah jaminan tempoh masa ianya tidak dipinda atau tidak akan dipinda. 

Berlatarbelakang Waytha Moorthy sebagai pejuang hak asas etnik minoriti, aktiviti beliau di luar negara dan diberikan portfolio untuk perpaduan, lebih banyak memberikan tafsiran untuk membela satu kaum yang lebih bersifat rasis. Jika isu retafikasi ICERD dipolimekkan, memang sewajarnya diperluaskan perbincangannya, walaupun kerajaan melalui kenyataan JPM tidak akan meratifikasinya. 

Isu ratifikasi ICERD ini banyak memberi kesan positif kepada anggota masyarakat semua peringkat umur. Secara langsung rakyat akan mendapat pencerahan atau maklumat yang terpeinci mengenai sejauh pembentukan negara menerusi kemerdekaan. Kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan negara Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia kemudiannya. 

Justeru penulisan sejarah yang sengaja meminggirkan peranan golongan tertentu demi kepentingan politik semasa, memaksa generasi baru tercari-cari siapa pejuang, siapa petulang, siapa yang bergadai nyawa, siapa yang mendapat kesenangan di atas penderitaan orang lain. 

Isu ratifikasi ICERD mengajak setiap orang menginsafi nasib bangsa dalam masyarakat berbilang kaum dalam memenuhi tuntutan ajaran demokrasi yang meletakkan persamaan hak antara insan. Isu ini mengajak setiap insan memantapkan nilai-nilai agama atau kepercayaan masing-masing sebagai pemastautin bumi ini. Lantaran itu, wajarlah sekiranya satu himpunan asalnya Rakyat Tolak ICERD yang dijadualkan 08/12/2018 depan diteruskan walaupun kerajaan sudah membuat keputusan tidak meratifikasi ICERD, sebagai sebahagian usaha memberi peringatan dan keinsafan kepada seluruh rakyat. Sekurang-kurangnya dapat membuka minda kepada rakyat yang buta sejarah dan realiti perjanjian tuntutan kemerdekaan. 








 

Sabtu, 17 November 2018

PH Rampas Kelantan

PAKATAN HARAPAN MENGHARAP RAMPAS KELANTAN PRU15

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas pertemuan dengan penyokong parti Bersatu di Kota Bharu, hujung minggu lepas dengan penuh yakin berpendapat Pakatan Harapan (PH) mampu menguasai Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15). Sambutan yang diberikan oleh Bersatu negeri Kelantan membantu meyakinkan PM. 

Kejayaan Pas mempertahankan pemerintahan kerajaan negeri Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) sepatutnya diterjemahkan sebagai mengejutkan dan di luar dugaan. Kejayaan menguasai 37 kerusi dalam PRU14 berbanding 32 kerusi dari jumlah 45 kerusi dalam PRU13, hendaklah diukur dari sudut keistimewaan gelagat politik pengundi Kelantan yang agak unik berbanding dengan negeri-negeri lain. 

Kajian awal pra PRU14 oleh beberapa pihak memperlihatkan kesukaran dan ketidaktentuan Pas mampu mengekalkan pencapaian 32 kerusi sebagaimana PRU13. Portal Malaysiakini 01/05/2018  memetik keyakinan Prof Mohd Agus Yusoff bahawa Pas akan hilang wang pertaruhan semua kerusi di Kelantan. Agus Yusoff mengumpulkan pemerhatian dan kajiannya di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh satu tahun bermula ceramah Tuan Guru Haji Hadi di Alor Limbat, disusuli ceramah DS Mohd Najib Tun Razak di Bachok dan ceramah Tun Dr Mahathir Mohamad di Cherang, Kota Bharu, sebagai antara dapatan untuk rumusan. 

Ramalan Agus Yusoff menjelang pembubaran Parlimen, PRU14 akan menyaksikan tsunami Mahathir. Episod ini  mempamerkan saingan sebenar adalah antara BN dengan PH, dengan Pas akan alami kekalahan teruk dan kemungkinan akan hilang Kelantan (Sinar Harian 17/04/2018).

Kajian INVOKE Centre for Policy Initiatives (I-CPI) yang dikepalai Rafizi Ramli di Semenanjung, meletakkan BN selesa di 76 kerusi, PH bakal kuasai 89 kerusi, sementara Pas tidak mendapat sebarang kerusi dari jumlah 165 kerusi Parlimen di Semenanjung, 2 bulan sebelum hari mengundi PRU14. Dapatan terakhir, menjelang hari mengundi. dijangka PH akan perolehi 111 kerusi Parlimen dari Semenanjung, BN 54 kerusi dan Pas akan gagal perolehi sebarang kerusi Parlimen. Di samping itu ditunjukkan PH akan menguasai kerajaan negeri; Kedah, Perak dan Johor di samping mengekalkan Pulau Pinang dan Selangor. DUN Melaka dan Negeri Sembilan dijangka tergantung. Terengganu, Pahang dan Perlis akan kekal sebagai kubu kuat BN. Pas akan hilang kerajaan negeri Kelantan, yang menyaksikan persaingan BN-PH. 

Kajian Ilham Centre, selama sebulan sehingga hari terakhir kempen PRU14, memberikan hasil hampir sama dengan rumusan dapatan INVOKE; dengan memberikan PH selesa di 77 kerusi Parlimen di Semenanjung, BN akan kekal 56 kerusi, sementara Pas terkedepan di 7 kawasan, sementara 25 kerusi menjadi saingan sangat sengit antara PH dan BN. Ilham Centre meletakkan PH akan merampas Johor dan kekal di Pulau Pinang dan Selangor. Kedudukan 50:50 di Kedah dan Perak antara PH dan BN. BN agak goyah di Melaka dan Negeri Sembilan. BN mampu merampas Kelantan dan mengekalkan Terengganu, Pahang dan Perlis. 

Faktor pengundi luar Kelantan yang berbondong balik mengundi di luar jangkaan walaupun hari mengundi ditetapkan di pertengahan minggu, telah dijadikan faktor dominan membantu Pas mengekalkan kerajaan Kelantan. Jentera Pas berdepan dengan kegagalan pengundi luarnya pulang, di mana tanpa kepulangan pengundi luar akan melumpuhkan harapan mempertahankan Kelantan.  Viral dan pendedahan kerajaan Pas Kelantan akan tumbang memberikan simpatian yang tinggi kepada anak-anak muda yang tidak rela melihat sebuah kerajaan yang dibina atas sokongan berteraskan agama jatuh atau hilang kuasa. Seolah-olah hasil dapatan beberapa kajian di atas memberikan inspirasi anak muda balik mengundi untuk mempastikan Pas terus relevan dalam politik Malaysia. Kejayaan Pas di Kelantan dan Terengganu tidak seharusnya menolak faktor pengundi muda dan pengundi luar. Tambahan pula Kelantan dan Terengganu mempunyai peratusan pengundi anak muda, pengundi bawah 40 tahun tertinggi di Malaysia: 49.5% dan 53.3% dari jumlah pengundi di negeri berkenaan. 

Kajian yang meletakkan saingan untuk menguasai kerajaan Kelantan adalah antara BN dan PH, jauh tersasar. BN hanya perolehi 8 kerusi sahaja berbanding 12 kerusi dalam PRU13. PH yang bertanding atas tiket PKR di 43 dari jumlah 45 kerusi negeri, tidak mendapat sebarang kerusi dengan 34 calonnya hilang wang pertaruhan.

Pas mendapat manfaat dari amalan "the first past the post" dalam sistem perwakilan berkawasan (constituency representatives). Di Kelantan, Pas menang di 9 kerusi negeri dengan memperolehi undi kurang 50% dalam saingan tiga penjuru atau lebih. Maknanya, Pas menang tanpa menguasai suara majoriti pengundi. Di kerusi Kota Lama, calon Pas hanya perolehi 40.28% undi, atau ianya dipilih oleh seramai 40.28% pengundi saja, di mana baki 59.72% memilih calon-calon lain. Lain-lain kerusi dimenangi Pas dengan perolehi undi di bawah 50%; Melor (45.69%), Wakaf Bharu (46.37%), Kemuning (47.32%), Apam Putra (47.55%), Tendong (48.41%), Semerak (49.06%), Guchil (49.73%) dan Pengkalan Kubor (49.99%). 

Jikalau amalan sistem perwakilan berkawasan yang meletakkan seseorang calon perlu mendapat undi majoriti mutlak iaitu lebih 50%, mana-mana kawasan yang gagal menzahirkan calon perolehi lebih 50% undi perlu diadakan pilihanraya pusingan kedua. Dalam pemilihan kali kedua, hanya dua calon yang mendapat undi teratas perlu bertanding semula, sudah pastinya calon yang menang dalam saingan dua penjuru akan perolehi lebih 50% undi, walaupun majoriti atau perbezaan undi sekadar satu undi. 

Andainya amalan demokrasi kepilihanrayaan ini dipraktikkan, di negeri Kelantan, akan berlaku 13 kerusi yang perlu ditandingi semula iaitu 9 dimenang Pas kurang 50% dan 4 kerusi dimenangi BN di bawah 50%: Galas (46.09%), Nenggiri (48.56%), Kok Lanas (48.54%) dan Air Lanas (49.16%). 

Sebenarnya tanpa pengundian pusingan kedua sebagaimana amalan demokrasi setengah negara, Pas sudah boleh bentuk kerajaan negeri dengan 28 kerusi. Jika ikut amalan undi popular, satu kaedah penentuan pemerintah, Pas layak membentuk kerajaan setelah memperolehi 51.99% undi dari jumlah undi sah. Pas mengumpul 426,602 undi daripada 45 calonnya berbanding BN; 308,639 undi atau 37.61%, sementara PH hanya perolehi 82,243 undi atau 10.02%. Dalam amalan undi popular menerusi sistem proportionate representatives, Pas layak perolehi 23 kerusi dan mampu membentuk kerajaan, sementara PH yang perolehi 10.02% layak diperuntukkan 5 kerusi, sementara BN 17 kerusi. 

Persaingan tiga penjuru atau lebih menerusi amalan "the first past the post" atau demokrasi berparlimen Westminster, yang diamalkan di kebanyakan negara Commonwealth sepatutnya memberi kelebihan kepada BN. Hasil perubahan persempadanan kawasan pilihan raya menerusi belah-bahagi daerah mengundi sebagaimana sedia maklum satu perancangan strategik untuk membantu BN menerusi kuasa eksekutif. Hasil persempadanan semula tersebut, beberapa kerusi marginal Pas akan terancam, serta memberi kelebihan kepada BN.

PRU14 menyaksikan di kebanyakan kerusi atau bahagian pilihan raya peranan PH lebih banyak untuk memecahkan undi BN berbanding memecahkan undi Pas. Justeru itu, di 29 kerusi, calon yang menang hanya perolehi antara 40.28% hingga 52.99% undi popular. Calon-calon berkenaan bertarung dalam kawasan kelabu atau terpaksa bersaing sengit. Walaupun calon Pas menang dengan majoriti selesa, 2,279 undi atau 14.86% di Guchil atau Tendong dengan majoriti 2,251 undi atau 12.17%, tetapi undi mereka adalah kurang dari 50%, bermakna majoriti pengundi tidak memilih mereka. Di kubu tradisi Pas, kerusi Cempaka; calon Pas menang dengan majoriti besar, 3,478 undi atau 17.33%, tetapi beliau hanya disokong oleh 52.63% pengundi, baki 47.37% pengundi yang tidak menyokong beliau adalah satu angka yang besar. 

Pandangan PM tersebut ada kerelevanannya berasaskan kepada keputusan PRU14 bagi negeri Kelantan. Walaupun Pas menang besar, berjaya perolehi kemenangan majoriti dua pertiga, tetapi dengan bahagian besar perolehan undi calon yang menang sama ada Pas atau BN dengan perolehan undi bawah 50% atau  sekadar melepasai margin 50% secara langsung membuka ruang kepada PH mengatur dan menyusun gerakkerja dalam tempoh persiapan PRU15. Tambahan perkembangan-perkembangan pasca PRU14 meletakkan kemungkinan-kemungkinan membingkaii senario gerakkerja semua parti.









 

Sabtu, 3 November 2018

Belanjawan 2019

BAJET PERTAMA KERAJAAN PAKATAN HARAPAN

Tumpuan utama kepada pembentangan belanjawan sulung, Belanjawan 2019,  ialah sejauhmanakah usaha  Pakatan Harapan mengurus agihan perbelanjaan sebagai sebuah kerajaan baru. Di peringkat awal pentadbiran Pakatan Harapan pernah dilontarkan usaha mengatur perbelanjaan kerajaan secara berjimat dan berhemat. 

Disebutkan langkah mengurangkan perbelajaan pengurusan terutamanya emolumen (upah, gaji, elaun, ganjaran, bonus) dan bayaran persaraan, yang merupakan komponen terbesar dalam perbelanjaan kerajaan. Item emolumen dan pencen biasanya satu pertiga dari jumlah perbelanjaan kerajaan.  Pakatan Harapan mencadangkan menyemak emolumen serta menghentikan bayaran pencen. Tetapi persoalan mengurangkan perbelanjaan mengurus dan pencen ini tenggelam dalam tempoh terdekat menjelang pembentangan belanjawan atau bajet 2019 kelmarin, Jumaat 02 November 2019. 

Belanjawan Pakatan Harapan 2019 meletakkan angka RM314.55 billion, di mana 26.1% diperuntukan untuk emolumen dan 8.4% untuk bayaran persaraan. Sebanyak RM108.52 billion adalah peruntukan pembayaran gaji, elaun dan bayaran persaraan. Belanjawan 2019 masih mengekalkan taburan item perbelanjaan sebagaimana amalan kerajaan pimpinan Barisan Nasional dahulu. Di samping itu belanjawan ini mengekalkan langkah-langkah tumpuan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat terbanyak dengan beberapa penambahbaikan. Bantuan atau sumbangan untuk menampung kos hidup bagi kumpulan B40 atau kumpulan 40 peratus isu rumah yang diamalkan oleh kerajaan BN dahulu diteruskan kepada isi rumah berpendapatan RM4000 ke bawah. Di samping itu, ditambah pemberian RM120 setiap bagi setiap anak berumur bawah 18 tahun, menjadikan pemberian kos hidup isu rumah lebih tinggi.

Kakitangan awam gred  54 ke bawah dan pesara awam diberikan bayaran khas RM500 dan RM250, lebih rendah berbanding Belanjawan 2018, RM1500 dan RM750 dengan dua kali bayaran; awal Januari 2018 dan Aidilfitri. 

Gaji minima RM1100 diperkenalkan sebagai langkah mengatur jaminan penampungan kos hidup, di samping pemberian subsidi minyak kenderaan, pas bulanan pengangkutan awam dan subsidi elektrik isi rumah. 

Belanjawan Pakatan Harapan mengagihkan RM259.8 billion untuk perbelanjaan mengurus, sementara RM54.7 billion dari jumlah belanjawan RM314.55 billion. Berbanding dengan bajet zaman pemerintahan BN iaitu belanjawan RM280.35 billion bagi tahun 2018 dan RM260.8 billion bagi belanjawan 2017. Belanjawan 2018 mengaturkan RM234.25 billion untuk perbelanjaan mengurus dan RM46 billion untuk perbelanjaan pembangunan.

Belanjawan 2019 meletakkan 17.39% dari jumlah belanjawan perbelanjaan pembangunan berbanding 16.40% bagi Belanjawan 2018. Dalam Belanjawan 2017, sebanyak RM214.8 billion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus atau 82.37% dari jumlah perbelanjaan RM260.8 billion, sementara RM46 billion atau 17.63% untuk perbelanjaan pembangunan. Belanjawaan 2019 sebenarnya tidak berkecenderungan untuk mengurangkan perbelanjaan pengurusan kerana ianya lebih besar berbanding dengan apa yang dirancangkan untuk tahun 2017, cuma berkurangan berbandingan dengan perbelanjaan mengurus tahun 2018. 

Perbelanjaan pengurusan terus relatif dengan matlamat dan strategik untuk meningkatkan kuasa beli pengguna dengan menampung kos hidup isi rumah. Namun demikian, keseluruhannya Belanjawan Pakatan Harapan lebih berfokus kepada kelompok rakyat yang menghuni sektor kota. Langkah untuk meringankan kos hidup mereka yang bermastautin di sektor desa dan ekonomi tani tidak diberi tumpuan. Subsidi untuk pesawah, bantuan untuk masyarakat nelayan, bantuan untuk pekebun kecil, tidak kedengaran dalam pembentangan belanjawaan di Dewan Rakyat kelmarin.