Rabu, 25 April 2012

Rebutan Kawasan Melayu

REBUTAN KAWASAN MELAYU

Kawasan pilihan raya (constituency) yang didominasi oleh pengundi Melayu di Semenanjung adalah sebanyak 89: 42 kawasan memiliki lebih 80 peratus pengundi Melayu, 47 pula di antara 60 hingga 79 peratus. Dalam PRU12 (2008), kawasan ini BN menang 58 kerusi atau 65.18 peratus melalui UMNO 56, MCA 1 (Alor Setar) dan Gerakan 1 (Gerik), Pas dapat 21, sementara baki 12 dimenangi PKR.

Di Sarawak, 8 dari 31 kerusi Parlimen, memiliki pengundi Bumiputera Islam melebihi 60 peratus, sementara di Sabah ada 12 kawasan seumpama itu. BN menang semua kerusi berkenaan, semua 8 di Sarawak melalui Parti Bumiputera Bersatu (PBB), di Sabah, 10 menerusi UMNO, 1 PBS (Batu Sapi 60.1 peratus Bumiputera Islam) dan 1 UPKO (Putatan, 63.0 peratus).

Keseluruhannya BN menang 78 kerusi, di kawasan dalam kelompok majoriti Melayu di Semenanjung dan Bumiputera Islam di Sabah dan Sarawak. Jumlah kerusi Parlimen dalam kelompok ini ialah 109 atau 49.09 peratus,  dengan BN menguasai 71.55 peratus (78 dari 109). Secara mudah, separuh dari jumlah kerusi atau kawasan Parlimen, adalah berada dalam tangan orang Melayu atau Islam.

Berlandaskan pandangan popular semasa yang dikutip hasil dari 16 siri pilihan raya kecil di semua negeri di seluruh negara, kecuali Perlis, selepas PRU12 serta analisis pilihan raya DUN Sarawak tahun lepas, 80 peratus pengundi Cina menyokong parti-parti gabungan Pakatan Rakyat berbanding 50 peratus dalam PRU12. 60 peratus pengundi Melayu menyokong BN. Pengundi India yang sentiasa konsisten memberi undi kepada BN dalam setiap PRU melakukan perubahan drastik dalam PRU12, sokongan mereka kepada BN menurun hingga 35 peratus, berbanding kebiasaannya sokongan mereka kepada BN sekitar 60 -65 peratus. Keadaan bertambah baik, dengan sokongan yang seimbang kepada BN dan Pakatan Rakyat, 50:50.

Jika secara puratanya angka yang sama tidak berubah, parti-parti Pakatan Rakyat dapat mengekalkan semua 82 kerusi yang dimenanginya dalam PRU12, 24 kawasan campuran (kawasan pengundi Melayu di antara 40 - 59 peratus) di Semenanjung, 5 kawasan majoriti Cina di Semenanjung dan 6 di Sarawak, menjadikan 117 kerusi akan memihak ke Pakatan Rakyat (82 + 24 + 5 + 6). Bermakna Pakatan Rakyat dapat kuasai Putrajaya dengan simple majoriti. (Huraian secara terperinci dalam catatan saya: Kawasan Campuran Jadi Taruhan, 18/04/12)

Dalam PRU12, perbandingan antara parti-parti berasaskan akar umbi Melayu di Semenanjung: UMNO, Pas dan PKR, calon UMNO mewakili BN di 17 kawasan  kawasan campuran (Melayu 40-59 peratus), Pas di 7 kawasan, PKR di 30 kawasan. UMNO dapat 11, Pas 2 dan PKR 18 (7 Melayu).

Kini, UMNO telah memainkan beberapa isu untuk menarik simpati pengundi di kalangan pengundi Melayu, agar terus beri sokongan kepada BN dalam PRU13. Ditumpukan kepada 3R (race, religion & royal). Dalam isu raja, dibangkitkan UMNOlah kuasa mempertahankan raja. Isu Nizar derhaka. Isu menghina raja masa pertabalan Yang Dipertuan Agung.

Sedangkan UMNOlah yang memulakan penghinaan terhadap Raja-raja Melayu. Ingatkan semula krisis Perlembagaan 1988 dan 1993. Pendedahan sifat negatif Raja-raja Melayu menjadi berita utama media mainstream masa itu. Isu-isu rasis dihidangkan kepada masyarakat untuk menenggelamkan isu rasuah, nepotisme, kronisme dan ketirisan. Di samping itu, diperbesarkan isu murtad dan pengaruh serta peranan Christianity.
Usaha ini tidak lain adalah untuk mempertahankan dan mempastikan BN dapat menguasai 89 kerusi majoriti Melayu tersebut sebagai benteng pertahan kuasa kerajaan Persekutuan.

Parti-parti dalam Pakatan Rakyat, Pas dan PKR khususnya, mengelakkan bincang isu rasis dan perkauman serta agama, lebih menumpukan nilai-nilai realiti  global: ketelusan, keikhlasan, amanah (thrushworthy), siddiq (honesty), kesamarataan dan keadilan sosial. Pendekatan lebih mengadaptasi dengan keperluan dan pemikiran terbuka pengundi muda.
Perubahan mood pengundi, idealisme dan realiti politik semasa serta inspirasi dan kehendak first time voters serta pengundi bawah umur 40 tahun, yang menguasai 39.8 peratus pemilih memungkinkan berbagai kemungkinan. Senario dan gelombang serta trend pengundian orang bukan Melayu, juga dapat membantu pengundi baru ini membuat keputusan.

Apa jadi, jika trend pemikiran bukan Melayu kekal dan tak ubah menjelang PRU13, pengundi Melayu akan turut sama ikuti trend ini, demi mengwujudkan sebagai kerajaan perpaduan, berbilang kaum dan mewakili setiap kelompok, akan mengwujudkan swinging undi dari BN. Andainya, berlaku swinging antara 5 hingga 7 peratus perolehan undi BN dari PRU12, BN akan hilang 9 kerusi majoriti Melayu: Arau, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Jerantut, Jerlun, Larut, Sabak Bernam, Kuala Kangsar dan Temerloh. Jika pembahagian kerusi sama seperti PRU12, 7 akan jatuh ke Pas, dan 2 kepada PKR.

Ini akan menambahkan lagi, pungutan kerusi Pakatan Rakyat jika dicampurkan andaian apa akan berlaku di kawasan campuran dan kawasan majoriti bukan Melayu di bandar. Pengundi yang rasional dan pragmatik, tidak dipengaruhi idealisme rasis dan kepuakan sempit, akan melihat negara kita diperintah oleh kerajaan berbilang kaum, memenuhi tuntutan dan realiti komposisi penduduk. Mereka berfikiran sedikian, tidak mahu negara ditadbir oleh satu kaum atau puak, sementara pembangkang pula oleh kaum lain.

PRU13 sangat istimewa dan mendebarkan kepada semua pihak. Awal lagi beberapa kepimpinan dan mantan kepimpinan negara sependapat PRU13 amat mencabar dan paling sengit. Pengerusi SPR pun keluar kenyataan yang sama. Bagi Pakatan Rakyat, PRU13 peluang untuk mengembangkan pengaruh dan menguasai medan perdana politik negara.

Rabu, 18 April 2012

Kawasan Campuran

KAWASAN CAMPURAN JADI TARUHAN

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusoff memberitahu BERNAMA dan RTM, di Wisma Radio, Angkasapuri, semalam, Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) dijangka saingan lebih mencabar. Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, buat kenyataan 3 hari lepas, sekarang adalah masa yang sesuai diadakan PRU13, dengan kelebihan berada di pihak Barisan Nasional (BN).

Telahan tarikh PRU13, semakin menepati ramalan, sebagaimana disebutkan ramai di sekitar bulan Jun ini. Tarikh pilihan raya umum, yang biasanya mengejutkan, sejak beberapa siri PRU, adalah sesuatu yang amat menarik tentang amalan demokrasi ala Malaysia, yang lebih berfokus kepada bagaimana nak kekal kerusi, yang kadang-kadang mengotorkan nilai-nilai murni demoktasi itu sendiri.

Walau apa pun, PRU13 sudah dijangkakan banyak pihak amat berlainan dengan 12 PRU yang lalu. Manifestasi dari gelagat pengundi dalam PRU12, serta kutipan hasil dari 18 siri pilihan raya kecil serta pilihan raya DUN Sarawak, setahun yang lalu, menunggu PRU13, seperti menanti mimpi buruk bagi setengah orang dan kabar gembira bagi setengah pihak lain. Satu perubahan sikap yang radikal hasil tuntutan realiti politik semasa, beberapa andaian dan ramalan terdedah untuk diketengahkan kepada khalayak pengundi.

Yang paling menarik untuk diperhatikan ialah corak pengundian di kawasan campuran, kerana trend pengundi di Malaysia, pengalaman PRU12 dan 16 siri pilihan raya kecil, berbeza mengikut ras atau kaum. Tsunami atau perubahan besar PRU12 ialah perubahan sokongan masyarakat India, di mana sebelum ini, mereka adalah hardcore penyokong BN. Antara 60 hingga 65 peratus pengundi India mengundi calon-calon pembangkang utama: PKR, DAP dan Pas, yang mengadakan persefahaman pilihan raya, untuk satu lawan satu dengan BN. Di samping sedikit ayungan undi Cina dan Melayu dari BN ke pakatan pembangkang, khususnya di Semenanjung.

Di Semenanjung, terdapat 46 kawasan pilihan raya (constituency) Parlimen yang boleh dianggap sebagai kawasan campuran: 27 kawasan dengan pengundi Melayu 50 hingga 59 peratus dan 19 kawasan, pengundi Melayu 40 hingga 49 peratus. Dengan lain perkataan , kawasan yang tidak didominasi oleh satu kaum tertentu. Dari 27 kawasan kelompok, pengundi Melayu 50-59 peratus, BN menang 16, pakatan pembangkang: 11. Sementara, kawasan pengundi Melayu 40-49 peratus, BN dapat 8, pembangkang 11. Dari 46 kawasan Parlimen campuran: BN menang 24 dan pembangkang 22 kerusi.

Dengan keseluruhan analisis gelagat pengundian dalam pilihan raya kecil selepas PRU12, di mana 80 peratus pengundi Cina tidak memihak BN, walaupun peratusan pengundi India sudah naik dari 35 peratus kepada 50 peratus dan pengundi Melayu meningkat ke 60 peratus, dengan andaian kadar yang sama berlalu di seluruh negara, BN akan hilang semua 24 kerusi berkenaan.

Sementara 30 kawasan Parlimen, pengundi bukan Melayu menguasai lebih 60 peratus pengundi, dalam PRU12, DAP menang 24, PKR 1 dan BN 5. BN juga akan hilang semua 5 kerusi berkenaan iaitu Kampar, Labis, Keluang, Gelang Patah, dan Kulai. Kampar merupakan kawasan pengundi Melayu paling rendah (26.87%) yang dimenangi BN, sementara yang lain adalah lebih 30 peratus pengundi Melayu: Keluang (37.8%), Gelang Patah (33.55%), Kulai (31.54%) dan Labis (36.62%), semuanya di Johor. Mengetepikan kes ganjil di Kampar, bolehlah disimpulkan, undi BN bergantung kepada undi Melayu. Kampar, satu masa dulu, satu kawasan tradisi pembangkang, yang pernah menghantar Mendiang Fan Yew Teng ke Parlimen, seorang MP DAP yang lantang dan kritis.


Berbalik ke kawasan campuran di mana peratus pengundi Melayu, di antara 50 hingga 59 peratus, BN menang di 16 kawasan menerusi: UMNO 11, MCA 4, Gerakan 1. BN tewas di 11 kawasan yang ditandingan oleh UMNO 6, MCA 3, MIC 2. Perubahan mood pengundi India, menggagalkan MIC mengekalkan Hulu Selangor dan Kapar.


Dari 16 kerusi dimenangi BN, 12 adalah dari negeri-negeri selatan: Jempol (57.8% pengundi Melayu), Alor Gajah (57.81), Bukit Katil (53.16), Sekijang (54.96), Ledang (52.92), Ayer Hitam (56.39), Batu Pahat (52.78), Simpang Renggam (54.51), Sembrong (54.09), Johor Bahru (51.03), Pulau (50.08), dan Tanjong Piau (50.16). Di samping Bagan Datoh (56.97), Tanjong Malim (51.23), Sepang (58.70), dan Setiawangsa (56.45).


11 kerusi tradisi BN hilang kepada PKR di 10 kawasan: Sungai Petani, Padang Serai, Kuantan, Hulu Selangor, Ampang, Kapar, Kuala Langat, Wangsa Maju, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak,  dan 1 kawasan kepada Pas: Hulu Langat.


Bagi kawasan pengundi Melayu di antara 40 hingga 49 peratus, BN menang di 8 dari 19 kawasan, melalui MCA di 5 kawasan: Lumut (48.77 peratus pengundi Melayu), Raub (49.12), Bentong (43.06), Pandan (49.34), dan Tebrau (49.34), dan 3 MIC: Tapah (47.27), Cameron Highlands (43.12) dan Segamat (41.25).


BN gagal pertahan kerusi yang dimenanginya dalam PRU10 (1999) dan PRU11 (2004) di 11 kawasan campuran dalam kelompok yang sama, bila calon-calon MCA, MIC dan Gerakan, gagal meraih undi bukan Melayu, kecuali di Nibong Tebal yang ditandingi calon UMNO. PKR menang 7: Nibong Tebal (45.2% pengundi Melayu), Gopeng (42.53), Selayang (44.79), Kelana Jaya (41.88), Subang (49.96), Batu (44.27) dan Teluk Kemang (40.60), DAP menang 3: Puchong (43.58), Seremban (41.82) dan Bakri (43.40), sementara Pas menang 1 kerusi minoriti Melayu: Kota Raja (47.73% pengundi Melayu).


Dianalisis berdasarkan angka di atas, senario dalam tempoh 4 tahun selepas PRU12, di kalangan pengundi Melayu: 60 peratus menyokong BN, penngundi, Cina pula 80 peratus condong ke parti-parti dalam Pakatan Rakyat, pengundi India, sudah mengubah sokongan dari 35 peratus ke 50 peratus kepada BN, BN akan hilang semua kerusi yang dimenanginya di kawasan pengundi Melayu kurang dari 60 peratus.


Andaian Pakatan Rakyat dapat kekalkan semua 80 kerusi yang dimenanginya di Semenanjung tambah 24 kerusi campuran dan 5 kerusi dari kawasan majoriti bukan Melayu, menjadikan Pakatan Rakyat akan menang 109 kerusi Parlimen di Semenanjung. Dari corak pengundian dalam Pilihan Raya DUN Sarawak tahun lepas, jika tak berubah, DAP mengatasi BN jika dijumlahkan undi kerusi negeri dalam setiap kawasan Parlimen, di 7 kerusi Parlimen. Tambahan kepada 1 kerusi Parlimen DAP di Sabah, menjadikan 109 + 7 +1, berjumlah 117. Sudah cukup gabungan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan, dengan simple majoriti.


Secara tidak langsung, kewujudan lebih banyak kawasan pilihanraya campuran, tidak lagi menjadi faktor dominant membolehkan BN memanggil PRU13 dengan bergaya dan selesa. Faktor Johor, faktor Sabah dan Sarawak, faktor simpanan tetap, faktor kubu tradisi, dijangka tidak relevan untuk PRU13.  Dari 12 PRU lepas, Parlimen dibubarkan bila pihak kerajaan dalam nafas yang lega serta mempunyai keyakinan yang cukup tinggi. Mungkin, berdasarkan dilema inilah Pengerusi SPR yang sepatutnya berkecuali tidak mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan pihak parti pemerintah akan berdepan dengan PRU yang paling sengit dalam sejarah.



Selasa, 10 April 2012

DAP TERAJUI KERAJAAN

MELAYU KALAH DAP AKAN PERINTAH MALAYSIA

Ungkapan yang paling popular: pemimpin UMNO beritahu orang Melayu kalau mereka kalah DAP akan memerintah Malaysia. Ingatan ini menjadi penyataan yang amat popular dilontarkan oleh pemimpin dan penyokong UMNO, selepas PRU12. Ingatan yang lebih bersifat politik akan menambahkan kegusaran di kalangan orang Melayu yang menjadikan media arus perdana dan majlis rasmi kerajaan, sebagai sumber rujukan utama serta menjadikan sumber maklumat tanpa prejudis.

Diinterpretasikankan penguasaan DAP bererti penguasaan orang Cina, DAP cuma menang di kawasan yang majoritinya pengundi Cina. Secara tidak langsung, DAP kuasai pengundi sektor bandar yang dikuasai oleh pengundi Cina, sama ada di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak.

Sebenarnya, komposisi kaum mengikut 222 kerusi di seluruh negara semasa; ada 30 kawasan Parlimen di Semenanjung di mana 60 peratus pengundi adalah Cina, 6 di Sarawak dan 2 di Sabah. Jumlahnya 38, kawasan majoriti Cina, berdasarkan angka 60 peratus. Di Semenajung, ada 19 kawasan Parlimen campuran, di mana pengundi Melayu antara 40 hingga 50 peratus. Di samping itu 116 kerusi Parlimen di Semenanjung atau 70.3 peratus, merupakan kawasan majoriti Melayu: 42 kerusi (lebih 80 peratus Melayu), 47 kerusi (60 - 80 peratus Melayu) dan 27 (50 - 60 peratus Melayu).

Di Sabah, dari 25 kerusi Parlimen, 12 kerusi adalah mengandungi pengundi Bumiputera Islam melebihi 60 peratus. Sementara di Sarawak, 8 dari jumlah 31 kerusi Parlimen, adalah melebihi 60 peratus pengundinya dari kelompok Bumiputera Islam. Dari 222 kerusi Parlimen; 107 atau 48.2 peratus mengandungi pengundi Melayu dan Bumiputera Islam.

Dalam PRU12, DAP bertanding di 47 kawasan Parlimen, dalam kesefahaman pembahagian kerusi, untuk memboleh perlawanan satu lawan satu di seluruh negara. Maklumat terkini dari sumber Pakatan Rakyat, formula agihan kerusi PRU12, tak banyak berubah, terutamanya di Semenanjung. Jika faktor ini dijadikan asas analisis, kerusi yang akan ditandingi oleh DAP dalam PRU13, tak banyak berubah, kalau berubah pun tak lah sampai 60 kerusi, itupun diandaikan DAP akan bertanding di kawasan campuran. 

Di seluruh negara terdapat 17 kerusi Parlimen, mempunyai lebih 80 peratus pengundi Cina: 15 di Semenajung, 1 di Sabah dan 1 di Sarawak. Semuanya dimenangi oleh calon DAP dalam PRU12. Semuanya kawasan bandar. Di samping itu terdapat 21 kawasan Parlimen, di mana pengundi Cina antara 60 - 80 peratus dari jumlah pemilih: 15 Semenanjung, 1 Sabah dan 5 Sarawak, DAP menang 10 kerusi, semuanya di Semenanjung.   

Adalah amat nakal menyatakan, DAP akan perintah Malaysia. Kalau DAP menang semua kerusi yang ditandinginya, masih tidak melayakkan DAP mengepalai kerajaan, walaupun Perlembagaan tidak mensyaratkan: Melayu, Islam dan Bermazhab Shafie, sebagaimana syarat untuk Menteri Besar  di negeri-negeri yang diketuai oleh Raja Melayu.

Mungkin maksud pencacai UMNO berpegang kepada kenyataan di atas di samping memperlembukan rakyat, kerusi milikan orang Melayu di Parlimen akan berpecah. Dari 128 kerusi, orang Melayu dan Bumiputera Islam adalah melebihi 60 peratus di Semenanjung dan Sabah (Sarawak dikecualikan kerana UMNO tidak bertanding di negeri itu), kalau andaikan UMNO kalah separuh, yang separuh lagi tu, calon Melayu dan Bumiputera Islam dari Pas dan PKR. DAP masih lagi minoriti.

Ini berbeza dengan kes Perak selepas PRU12, sebab hakikatnya UMNO tidak kalah secara total. UMNO kehilangan beberapa kerusi sahaja. Yang kalah ialah MCA, Gerakan dan MIC. Situasinya keanggotaan penyokong kerajaan dengan pembangkang tak seimbang: kerajaan 31, pembangkang 28: Kerajaan: Melayu 9 : Bukan Melayu 22,  Pembangkan: Melayu 27 : Bukan Melayu 1. Kerajaan akan lebih stabil andainya Pas dan PKR menang lebih banyak kerusi dari DAP. Sepatutnya, pengundi Melayu lebih adil, jika orang bukan Melayu beralih ke DAP, mereka sepatutnya memberikan lebih kerusi kepada Pas berbanding UMNO.

Pengundi Melayu dan luar bandar, sepatutnya melihat kecenderungan dan ayungan pengundi bukan Melayu, khususnya orang Cina, untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil, adil dan memenuhi inspirasi realiti politik semasa. Politik adalah percubaan dan andaian serta hipotesis menerusi pelbagai infrastruktur yang disediakan, utamanya instrumen pilihan raya. Berfikirlah demi masa depan negara dan ummah, bukan kerana kepentingan peribadi, yang lebih bersifat sementara. Berhujjahlah berdasarkan facts and figures. Galilah seberapa banyak maklumat, sumber dan asas fakta. Hindarilah pemikiran serta mentaliti dunia ketiga yang semakin kendur.

Sekadar renungan dari pandangan peribadi.

Ahad, 8 April 2012

TEMPOH KEMPEN

TEMPOH KEMPEN PILIHANRAYA DI TAHAP LAMA

Salah satu tuntutan dalam Jawatankuasa Pilihan Parliamen (PSC) Mengenai Penambahbaikan Pilihan Raya ialah tempoh berkempen ditetapkan kepada 21 hari. Ini untuk cadangan penambahbaikan kepada tempoh kempen amalan Suruhanjaya Pilihan Raya dalam menjalankan pilihan raya di Malaysia semasa ialah tidak kurang dari 9 hari. Tempoh 9 hari dianggap sebagai tidak praktikal dan terlalu singkat, khususnya bagi parti-parti kecil dan parti di luar Barisan Nasional, kerana tarikh pilihan raya tidak dimaklumkan awal.

Tarikh pembubaran dewan perundangan sama ada Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat serta tempoh berkempen, adalah tarikh yang terdedah kepada spekulasi, kadang-kadang misteri, khususnya selepas Peristiwa 13 Mei 1969. Pilihan Raya Umum ke 3 (PRU3) pada 10 Mei 1969 memberikan tempoh berkempen yang paling panjang, 40 hari. Hari penamaan calon pada 30 Mac dan hari buang undi 10 Mei. Kesannya, prestasi parti pemerintah, Perikatan, masa itu, amat buruk, selepas merdeka.

Justeru itu, bermula dari PRU4 (1974) tempoh berkempen dipendekkan kepada 16 hari (penamaan calon: 8 Ogos dan mengundi: 24 Ogos), PRU5 (1978): 17 hari dan PRU6 (1982): 15 hari. Bermula dari PRU7 (1986) tempoh berkempen cuma 9 hari (penamaan calon 24 Julai dan mengundi 3 Ogos), menghasilkan keputusan yang amat cemerlang bagi Barisan Nasional di kawasan luar bandar, di mana BN cuma kalah 1 kerusi luar sahaja di Semenajung, iaitu di Pengkalan Chepa. Kesan jarak akses maklumat yang amat terhad dan pergerakan jentera kempen parti lawan di kawasan luar bandar yang serba terbatas oleh faktor geografis, menafikan keberkesanan jentera kempen parti lawan. Sebaliknya, tidak menjejaskan jentera kempen parti lawan di kawasan bandar, sebab itu Parti Tindakan Demokratik (DAP) mencatat sejarah prestasi cemerlang, menang 24 kerusi Parlimen, paling banyak, sejak parti itu ditubuhkan dalam tahun 1966.

Krisis dalaman UMNO yang membawa kepada pengharaman UMNO 1988, yang memberi kesan kepada sokongan masyarakat Melayu kepada UMNO. Kekalahan calon UMNO/BN, Haji Mas'ud Abdul Rahman dalam Pilihan Raya kecil Parlimen Johor Bahru kepada calon Bebas (bekas UMNO) Dato' Shahrir Abdul Samad dengan majoriti besar, melebihi 6,000 undi. Di samping kemenangan tipis calon UMNO/BN, Dato' Yunus Sulaiman dengan 35 undi, mengatasi calon PSRM, Abdul Razak Ahmad, dalam pilihan raya kecil Tanjong Puteri dan kemenangan tipis calon UMNO/BN, Yassin Kumari dalam pilihan raya kecil Parit Raja, kubu kuat UMNO, yang beberapa kali menang tak bertanding, mengalahkan calon Bebas (bekas UMNO) Hamdan Yahya, dengan majoriti 450 undi saja.

Di luar kubu Johor, UMNO hilang kerusi dalam pilihan raya kecil Telok Pasu, Terengganu kepada Pas. Sungguhpun calon UMNO menang dalam beberapa siri pilihan raya kecil selepas itu: Tambatan (Johor), Sungai Besar (Selangor) dan Pantai Merdeka (Kedah), tetapi undi perolehan adalah merosot berbanding pencapaian di kerusi berkenaan dalam PRU7 (1986).

Senario yang merobek rekod UMNO Johor sebagai kubu kuat UMNO, yang sentiasa menghasilkan beberapa kerusi menang tak bertanding sejak PRU2 (1964), menantikan PRU8, sesuatu yang mendebarkan. Justeru itu, UMNO berhdapan ancaman dan krisis keyakinan, apabila sebahagian anggota UMNO menyertai Parti Semangat 46, setelah kegagalan menubuhkan UMNO 46 kerana telah dipintas oleh UMNO (Baru), mereka bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah bersama Pas, Berjasa dan Hamin, serta Gagasan Rakyat bersama DAP dan PBS.

Parlimen dan dewan-dewan perundangan negeri dibubarkan pada 4 Oktober 1990 dan dalam tempoh 7 hari diadakan hari penamaan calon. Tempoh yang paling pendek dalam sejarah dan 10 hari masa berkempen, bila hari mengundinya 21 Oktober 1990. Sungguhpun tempoh masa pembubaran Parlimen dengan hari penamaan calon dan hari mengundi, paling pendek, tetapi kesannya tidak memihak kepada parti pemerintah. Krisis kepimpinan UMNO, sejak 3 tahun bermula 1987, memindahkan pengundi luar bandar ke pihak pembangkang, di samping sektor bandar. UMNO hilang semua kerusi di Kelantan. UMNO gagal pertahan 14 kerusi Parlimen. DAP masih menguasai kerusi sektor bandar dengan 20 kerusi Parlimen, Projek Tanjong 2 hampir capai sasaran bila DAP dapat 14 kerusi negeri berbanding 19 BN. Sementara PBS perkukuh kedudukan di Sabah bila kuasai 14 kerusi Parlimen.

Tempoh kempen yang pendek 9 hari digunakan dalam PRU10; hari penamaan calon 20 November 1999 dan mengundi 29 November  1999. Parlimen dibubarkan pada 10 November 1999. Ledakan gelombang reformasi bermula September 1998, berjaya mencapai sasaran ke masyarakat massa di luar bandar. Pas yang memperolehi sokongan terasnya di luar bandar yang kurang terdedah akses maklmat media baru, berjaya menghantar perwakilan paling ramai ke Parlimen sejak menyertai pilihan raya di Malaysia, bila menguasai 27 kerusi Parlimen. Di samping itu, berjaya kuasai 2 kerajaan negeri serta berjaya memenagi beberapa kerusi buat kali pertama di beberapa negeri seperti Pahang dan Selangor(kecuali semasa Pas dalam BN dalam PRU4 dulu). Di samping kehilangan 27 kerusi UMNO kepada Pas, UMNO juga hilang 5 kerusi Parlimen kepada Parti Keadilan Nasional (KeAdilan).

Gelombang 1998-1999 kurang menonjol  di sektor bandar, prestasi BN tidak terjejas, cuma kalah 9 kerusi kepada DAP, yang mewakili undi masyarakat bukan Melayu. Hasil PRU10, menampakkan kejayaan BN menguasai kerajaan banyak bergantung kepada pengundi bukan Melayu, yang menghasilkan kejayaan cemerlang calon-calon MCA, Gerakan dan MIC. 

Tempoh kempen bagi PRU12, adalah paling panjang dalam tempoh 20 tahun, 12 hari. Penamaan calon 24 Februari 2008 dan mengundi 8 Mac 2008, sementara Parlimen dibubarkan pada 13 Februari 2008, jarak 11 hari dengan penamaan calon. Perubahan tempoh kempen ini, tidak memberi natijah yang positif kepada BN. Walaupun tempoh kempen itu masih dalam lingkungan pendek, berikutan akses maklumat lebih merata dan lebih cepat ke sasaran, mencipta sejarah bila pembangkang berjaya menafikan kuasa majoriti 2/3 BN di Parlimen serta paling banyak kerajaan negeri jatuh ke tangan pembangkang. Sesuatu yang di luar jangkaan orang awam kerana isu nasional tidaklah sehebat suasana era 1988-1990 dan gelombang 1998-1999.

Dari pembentangan laporan PSC di Parlimen 3 April 2012 lepas, tempoh kempen ditetapkan minima 10 hari berbanding 9 hari peraturan asal SPR. Tempoh minima 21 ditolak dengan alasan melibatkan kos yang besar. Tuntutan Himpunan Bersih 2.0 tempoh kempen 21 hari antara 8 tuntutan dikemukakan ke PSC ditolak bersama 7 tuntutan lain, kecuali penggunaan dakwat kekal. Soalnya, sseorang calon yang bertanding sama ada pilihan raya negeri atau Parlimen, sudah dihadkan pebelanjaan pilihanraya mengikut Seksyen 23 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954. Tempoh kempen sama 9 hari atau 21 hari, tidak mengubah had perbelanjaan pilihan raya seseorang calon.

Apa yang penting, lebih adil dan telus ialah peluang sama rata kepada calon mengakses maklmat, calon sempat mngunjungi setiap peti undi atau lokaliti, khusunya di kawasan luar bandar yang garisan geografisnya lebih besar. Lainlah, jika tarikh pilihan raya sudah ditetapkan awal dan tempoh yang panjang, seperti amalan negara-negara maju atau negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina. Hari mengundi sudah ditetapkan dalam Perlembagaan bagi pilihan raya Amerika Syarikat yang setiap 4 tahun itu, begitu juga hari mengundi bagi pilihan raya Dewan Orang Ramai (House of Commons) Great Britain. Tidakkah impian PM hendak menjadikan Malaysia negara Islam pertama capai status negara maju (kenyataan PM di Perhimpunan Perdana Warga Agama dan Kariah Wilayah Persekutuan, Jumaat 6 April 2012).

Ahad, 1 April 2012

TARIKH PILIHAN RAYA

DI SEBALIK RAMALAN TARIKH PILIHAN RAYA

Hari buang undi atau tarikh pilihanraya adalah suatu perkara yang cukup sensitif dalam bicara harian masyarakat Malaysia. Ramalan tarikh pilihanraya merupakan salah satu agenda utama organ politik mengatur serta merancang strategi, kerana fokusnya lebih bertumpu kepada pilihanraya.

Di negara kita, teka teki atau andaian bila tarikh pilihanraya, menjadi satu strategik utama parti pemerintah yang menguasai kerajaan, malah dikatakan menguasai badan eksekutif berkairan pilihanraya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sepatutnya sebagai sebuah suruhanjaya, terletak secara langsung tanggungjawab kepada Yang Dipertuan Agung, tetapi lebih bersifat sebagai satu agensi perkhidmatan awam yang langsung di bawah Ketua Kerajaan atau Perdana Menteri.

Pemiilihan jawatan tertinggi dalam parti UMNO, dari jawatan di peringkat pusat hingga ke paling bawah; peringkat cawangan, boleh disesuaikan dengan tarikh pilihan raya. Perhimpunan Agung parti, Mesyuarat Agung Bahagian dan Mesyuarat Agung Cawangan, boleh ditangguhkan sehingga 18 bulan, untuk mengelak dari tarikh pilihan raya.

Perhimpunan atau mesyuarat agung UMNO semua peringkat sepatutnya melibatkan pemilihan penjawat parti dalam tahun 2010 telah ditunda kepada tempoh tidak melebihi 18 bulan, untuk beri laluan kepada PRU13. Tujuan utamanya, jentera parti difokus kepada PRU13 bagi mengelakkan risiko kesan pertandingan merebut jawatan parti kepada jentera pilihanraya parti.

Paling awal disebut, Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), diramal dalam bulan April atau Mei 2011, setelah genap 36 bulan persidangan pertama penggal ke 12, Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat. Lepas itu, diramalkan tarikh 11.11.11, kerana PM gemar angka 11 dan pembentangan bajet 2012, yang disifatkan bajet mesra rakyat. Lepas itu, dijangka dalam musim cuti persekolahan bulan Mac 2012, di tengah-tengah kekalutan agihan BR1M RM500. Ini tak menjadi, ditambah faktor skim gaji perkhidmatan awam; SBPA, yang banyak dipolimekkan.

Tekaan semasa ialah pada musim persekolahan akhir Mei hingga awal Jun 2012, mengambil kira habis tempoh 18 bulan penangguhan pemilihan UMNO. Walau bagaimanapun UMNO boleh pinda perlembagaan parti bagi melanjutkan tempoh penangguhan pemilihan parti. Lebih mudah difahami, penentuan hari pilihan raya umum di Malaysia bergantung di atas persiapan, kesediaan dan keyakinan UMNO. Walaupun tidak bercanggah dengan undang-undang pilihan raya dan perlembagaan negara, kepentingan UMNO mengtasai segala-galanya, mencaturkan bila pilihan raya patut diadakan atau bila dewan perundangan perlu dibubarkan.

Tempoh usia dewan perundangan sama ada Dewan Undangan Negeri (selain DUN Sarawak) dan Dewan Rakyat (Parlimen) ialah April 2013, iaitu 5 tahun selepas pembentukan dewan-dewan legislatif selepas PRU12. Pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh tidak melebihi 60 hari di negeri-negeri Semenanjung dan 90 hari di Sabah dan Sarawak, selepas dewan legislatif dibubarkan. Tempoh usia 5 tahun ini cuma berlaku di zaman pentadbiran Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Abdul Razak Hussien. Pilihan raya umum yang diadakan selepas kematian Tun Razak, diadakan dalam tempoh kurang 5 tahun dan kadang-kadang di luar jangkaan, berfokus kepada peluang yang memihak kepada parti pemerintah, khususnya UMNO.

Apabila parti-parti pembangkang utama berjaya menguasai beberapa kerajaan negeri dalam PRU12, cadangan dari parti-parti berkenaan supaya tarikh pilihanraya dipersetujui bersama semua parti yang menguasai kerajaan negeri dan persekutuan, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, membantah dan menjelaskan bahawa tarikh pilihan raya adalah hak istimewa kerajaan pusat. Justeru itulah, takwin pilihan raya dijadualkan supaya tidak mengganggu pengurusan UMNO, mesyuarat agung pemilihan maksudnya.

Zaman Tunku dan zaman Tun, PRU1 ialah pada 19 Ogos 1959, PRU2: 25 April 1964, PRU3: 10 Mei 1969 dan PRU4: 24 Ogos 1974 (24 Ogos hingga 14 September 1974 bagi Sabah dan Sarawak). Tempoh masa antara PRU yang seragam; setiap 5 tahun.

Berbanding dengan pilihan raya selepas Tun Razak:
PRU5:    8 Julai 1978
PRU6:  22 April 1982
PRU7:    3 Ogos 1986
PRU8:   21 Oktober 1990
PRU9:   24 April 1995
PRU10: 29 November 1999
PRU11: 24 Mac 2004
PRU12:   8 Mac 2008

Kesemua 8 PRU tersebut diadakan jarak yang jauh menggenapi 5 tahun. Paling jauh ialah 4 tahun 7 bulan, iaitu Parlimen Penggal Kesembilan.

Di zaman Tunku dan Tun Razak, tempoh masa pemakluman tarikh pilihan raya diberi ruang yang memberi keadilan dan ruang secukupnya parti-parti atau calon bebas, waima pihak pembangkang, buat persedian dan menjalankan kempen. Itu zaman SPR di bawah Dato' Mustapha Albakri dan zaman Tan Sri Ahmad Perang. Dalam PRU3 (1969), hari penamaan calon pada 30 Mac dan mengundi pada 10 Mei, iaitu tempoh berkempen selama 40 hari. Semua parti diberi ruang untuk bersiaran udara menerusi Radio Malaysia Rangkaian Nasional.

Adakah kesan keputusan pilihan raya tahun itu yang memerosotkan pencapaian parti pemerintah, maka tempoh berkempen, bagi PRU selanjutnya dipendekkan. PRU4 (1974) cuma masa berkempen 16 hari: penamaan calon 8 Ogos dan buang undi 24 Ogos. Dalam tahun 1978, Parlimen dibubarkan tak sampai penggal 4 tahun, pada 11 Jun. Dalam masa 10 hari diadakan penamaan calon 21 Jun dan mengundi dalam tempoh 17 hari pada 8 Julai bagi PRU5.

Usia Parlimen ke 5, cuma 3 tahun 9 bulan sahaja, bila Dr Mahathir yang mengambil alih jawatan PM dalam tahun 1981, membubarkan Parlimen pada 21 Mac, untuk membolehkan PRU6, di mana penamaan calon pada 7 April dan pilihan raya pada 22 April, atau tempoh berkempen 15 hari.

Dalam tahun 1986, Parlimen dibubarkan pada 18 Julai, 16 hari kemudian, pada 24 Julai diadakan hari penamaan calon untuk PRU7. Tempoh berkempen semakin pendek, dalam masa 9 hari, diadakan hari mengundi. PRU8 (1990) memakan masa 1 minggu saja, jarak Parlimen dibubarkan dengan hari penamaan calon: 4 dan 11 Oktober. PRU8 dilangsungkan pada 21 Oktober, menghasilkan kekalahan teruk UMNO/BN di Kelantan, bila kalah di semua kerusi dengan majoriti besar.

4 PRU seterusnya, semuanya diadakan dalam tempoh yang pendek antara hari pembubaran Parlimen dengan hari penamaan calon dan hari penamaan calon dengan hari membuang undi: antara 9 hingga 12 hari.

Kelainan amalan demokrasi di negara kita dengan negara-negara jiran saperti Indonesia, Thailand dan Filipina ialah notis dan makluman tarikh pilihan raya. Di negara kita dan Singapura, pilihan raya diadakan secara mengejut, tarikh pilihanraya menjadi rahsia dan dispekulasikan. Jadi teka teki dan ramalan dengan berbagai andaian. Di negara jiran, selain Singapura, tarikh pilihanraya diumumkan tidak kurang dari 6 bulan. Setengahnya 1 tahun! Tarikh pilihan raya di negara kita dan Singapura, adalah satu rahsia yang penuh dengan strategis parti pemerintah, sebagaimana kenyataan mantan PM di atas.

Sepatutnya pilihan raya speaking: should not be a cat and mouse game. Tak patut dirahsiakan dan boleh diacah-acah begitu saja. Hormatilah nilai-nilai demokratik sejagat, ada tarikh yang tepat dan diketahui umum. Setiap rakyat yang menentukan kerajaan boleh mengakses bila pilihan raya umum akan diadakan, dalam jangka masa yang panjang.

Negara-negara Norway, Switzerland dan Canada adalah tarikh tetap hari pilihan raya umum. Akta Parlimen Great Britain, menetapkan pilihan raya umum hendaklah diadakan pada hari Khamis pertama dalam bulan Mei, setiap 5 tahun. Begitu juga pilihan raya Parlimen Eropah, dalam bulan Jun, setiap 5 tahun.

Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, sejak lepas Perang Dunia Kedua, setiap 4 tahun pada hari Selasa pertama selepas Isnin pertama dalam bulan November. Sama ada parti Republican yang menang dan mempertahankan kerajaan atau giliran Democrat yang menguasai kerajaan, ketetapan hari pilihan raya terus dipertahankan.

Sampai bila kaedah a cat and mouse game ini menjadi amalan demokrasi berperlimen di Malaysia, sedangkan kita sedang mengorak langkah ke arah negara maju. Bila masanya minda dunia pertama dapat diasimilasikan dalam ragam pemikiran pembuat dasar, dan masyarakat terbanyak, atau akan terus bertahan dengan apa yang ada walaupun tidak menepati kehendak demokrasi yang hakiki.