Sabtu, 30 Mac 2013

PRU13 Tanpa Serpihan

TIADANYA PARTI SERPIHAN DAN ILHAM TARIKH PRU13


Pengalaman dalam beberapa siri PRU selepas Merdeka, dalam tahun terakhir atau menjelang PRU, ada dua kelaziman: kemunculan parti-parti baru dan penyokong parti pembangkang sertai  Perikatan atau BN.


Kemunculan parti baru yang menjadi tarikan ialah pertama: pembentukan satu parti baru ditaja secara tidak langsung oleh Perikatan atau BN, dianggotai anggota yang keluar parti, yang memberontak atau dipecat, dari parti pembangkang atau parti komponen Perkatan atau BN.
Kedua: parti-parti baru dibentuk hasil ciri-ciri sama tetapi tidak ditaja oleh parti pemerintah dan diwujudkan untuk menyaingi Perikatan atau BN.
Ketiga: sebuah parti baru sebagai alternatif kepada parti yang sedia, parti pemerintah dan parti pembangkang. Ciri ketiga ini diasaskan oleh mereka yang belum pernah menyertai mana-mana parti dan juga yang pernah sertai parti lain; sama ada keluar parti asal atau parti asal dibubarkan.


Menjelang PRU2 (1964), United Democratic Party (UDP) ditubuhkan dalam tahun 1963. Diketuai oleh Dr Lim Chong Eu, Pengerusi MCA Pusat (sekarang Presiden) yang letak jawatan dan keluar parti, hasil tidak puasa hati agihan kerusi dalam Perikatan dalam PRU1. Bersama bekas kepimpinan MCA dan Parti Negara, menggerakkan parti bermula Pilihan Raya Majlis Tempatan 1963.
Penyertaan UDP dalam PRU2, sungguhpun bersifat sebuah parti berbilang kaum, dengan meletakkan calon di bandar dan luar bandar, tetapi lebih menampakkan UDP lebih merupakan sebuah parti serpihan MCA. Di samping itu, lebih bersifat kedaerahan, bila UDP menguasai kerusi-kerusi di bandaraya Pulau Pinang.
Justeru penyertaan UDP lebih menjurus kepada perlawanan tiga atau penjuru; di bandar menentang Perikatan (MCA), Socialist Front dan PPP, serta PAP (dari Singapura), di luar bandar menentang calon Perikatan (UMNO), Pas dan Socialist Front. Penyertaan UDP, memudahkan serta lebih banyak beri advantage kepada Perikatan, undi pembangkang berpecah dua, tiga dan empat di setengah kawasan.

Di luar bandar, Naib YDP UMNO dan Menteri Pertanian, Abdul Aziz Ishak, yang dipecat menubuhkan Parti Perhimpunan Kebangsaan bersama seorang ADUN dari UMNO, Datuk Kampo Radjo Baginda Kayo. Parti ini sebagai serpihan UMNO, bertanding atas nama Socialist Front, bertumpu di Selangor sahaja. Abdul Aziz di samping pertahan kerusi Parlimennya: Kuala Langat, menentang bakal MB Selangor, Harun Idris di kerusi negeri Morib. Semua calon parti ini kalah.

Dalam tahun 1968, sebuah parti baru; Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ditubuhkan hasil pembubaran UDP, pengharaman Partai Buruh Malaya (diharamkan selepas Peristiwa Hartal, 1967) dan tenaga akademik.

Di Seremban, kumpulan kepimpinan Persatuan Guru Sekolah Cina yang kecewa dengan MCA, menubuhkan United Malaysia Chinese Organisation (UMCO) sebagai sebuah serpihan MCA.

PRU3 (1969) menyaksikan penyertaan 3 parti baru di Semenanjung: Gerakan, DAP (ditubuhkan 1966, selepas Pemisahan Singapura, 1965, mengambilalih PAP), dan UMCO. Gerakan dan DAP capai kejayaan cemerlang dalam percubaan sulong, sementara semua calon UMCO kalah teruk, semua hilang wang pertaruhan. Orang Cina yang menyokong MCA dalam dua PRU lepas, mengalaihkan sokongan kepada sama ada Gerakan atau DAP, yang mengadakan persefahaman pilihan raya.

Selepas demokrasi dipulihkan, setelah satu tahun digantung berikutan Peristiwa 13 Mei 1969, dalam tahun 1974, dibentuk BN yang turut disertai Gerakan, Pas, PPP besama UMNO, MCA, MIC. Kesannya berlaku penentangan dalam parti terutamanya Gerakan, Pas dan PPP.

Kesan penyertaan Gerakan ke dalam BN menyebabkan berlakunya pembentukan beberapa kelompok: 1. bekas anggota Partai Buruh Malaya/Socialist Front menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) pimpinan Dr Tan Chee Khoon, V.David, Yeoh Teck Chye, 2. kelompok akademik tidak menyertai mana-mana politik seperti Dr Syed Husin Alattas, Dr Syed Naguib Alattas, Wong Gung-wu, 3. Gerakan lebih dimonopoli oleh bekas penyokong MCA, 4. Satu kumpulan lagi dipimpin Mustapha Hussin menubuhkan Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA) bersama Ahli Parlimen Parit, Hashim Gera, anggota Pas yang dipecat.

Kumpulan pemberontak dalam PPP, menubuhkan Independent PPP, disokong segelintir ahli khususnya di Negeri Sembilan.

Penyokong Pas yang menentang penyertaan Pas ke dalam BN, tidak sempat menubuhkan parti, bertanding dalam PRU4 (1974) sebagai calon bebas yang bergabung dalam Barisan Bebas Bersatu, pimpinan Ahli Parlimen Pasir Mas Hilir, Ahmad Fakhruddin Abdullah.

Prestasi buruk MCA dalam PRU3, menyebabkan semua Ahli Parlimen MCA menolak perlantikan  Kabinet Persekutuan. Kumpulan Young Turks dibarisi Dr Lim Keng Yeik, Alex Lee, Dr Tan Tiong Hong, dipecat atas kritikan dan tentangan kuat kepada kepimpinan MCA; Tan Siew Sen, Lee San Choo, Khoo Khaw Boh. Kumpulan ini menyertai Gerakan.

Partai Rakyat Malaya yang dulunya bertanding atas gabungan Socialist Front, bertanding bersendirian setelah Parti Buruh diharamkan dan parti Perhimpunan Kebangsaan dibubarkan, berlaku krisis kepimpinan parti menjelang  PRU3. Bekas Ketua Umum, Ahmad Boestamam, keluar parti menubuhkan Partai Marhaen.

Partai Rakyat Malaya di bawah kepimpinan Kassim Ahmad memperkenalkan ideologi sosialisme saintifik. Parti ditukar kepada Partai Sosialis Rakyat Malaya, menjelang PRU4. Partai Marhean bertanding atas nama Pekemas.

BN mendapat laluan mudah dalam PRU4 kerana BN ditentang  parti pembangkang: DAP, PSRM  dan Sarawak National Party (SNAP) serta parti-parti baru yang merupakan serpihan dari komponen BN, yang menghasilkan pembangkang. Parti-parti yang berbagai bertanding dalam tiga penjuru. Ada setengahnya empat dan lima penjuru. Memberikan kelebihan kepada BN menang besar.

Kesan hubungan kurang mesra kerajaan United Sabah National Organisation (USNO) pimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun dalam tahun awal 1970an, mendorong beberapa pemimpin keluar parti dan membentuk sebuah parti serpihan USNO; Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) dalam tahun 1975. Berjaya dipimpin Tun Donald Stephents @ Mohd Fuad Stephents dan Harris Mohd Salleh, bekas anggota kabinet negeri Sabah. Peranan kepimpinan Kuala Lumpur tidak dapat dinafikan dalam membantu penubuhan dan pendaftaran Berjaya.

Kekalahan calon-calon Berjaya termasuk Harris Mohd Salleh kepada USNO dalam 2 pilihan raya kecil, Disember 1975, menyakinkan USNO membubarkan Dewan Undangan Negeri, untuk pilihan raya negeri, April 1976.

Dalam pilihan raya negeri tersebut, Berjaya, sebagai serpihan USNO melakukan satu upset, mengalahkan USNO, yang mewakili BN. Berjaya memenangi 28 kerusi, sementara USNO, 20 kerusi. Calon-calon USNO cuma menang di kawasan-kawasan Bumiputera Islam.

Selepas pemecatan Joseph Pairin Kitingan, seorang pemimpin kanan Berjaya dalam tahun 1985, menghasilkan sebuah serpihan parti Berjaya; Parti Bersatu Sabah (PBS). Pilihan raya negeri, 1985, Sabah mencipta satu lagi episod bersejarah, sebuah parti serpihan berjaya mengalahkan parti asal. PBS berjaya menguasai kerajaan selepas memenangi 25 kerusi berbanding 6 kerusi Berjaya yang bertanding atas nama BN. USNO, pembangkang di peringkat negeri dan anggota komponen BN di peringkat pusat, memenangi 16 kerusi. Usaha USNO membentuk kerajaan bersama BN (Berjaya) gagal.

Di Sarawak, dalam tahun 1983 tertubuhnya Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pimpinan Leo Moggie dan Dunstan Endawie selepas berlaku krisis dalam parti SNAP. PBDS, serpihan SNAP bergabung pakatan pilihan raya bersama, Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (Permas) serpihan Parti Bumiputera Bersatu, dalam pilihan raya negeri Sarawak, 1987. Kerjasama dua serpihan parti komponen BN ini memberikan cabaran yang cukup sengit menghasilkan pakatan PBDS-Permas: 20 kerusi dan BN (PBB-SUPP-SNAP) 28 kerusi. Pilihan raya negeri Sarawak yang paling sengit, selepas Peristiwa Ming Court.


Dalam PRU5 (1978), pembentukan serpihan Pas, Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) yang menyumbangkan kejatuhan kerajaan Pas Kelantan, memberi kesan besar, kemerosotan prestasi Pas yang bertanding sebagai parti pembangkang setelah dipecat dari BN. 

Sebahagian besar kepimpinan Berjasa, adalah mereka yang terlibat dalam gerakan Barisan Bebas Bersatu, dalam PRU4. Di samping itu, sekumpulan pendokong Barisan Bebas Bersatu, terlibat dengan penubuhan sebuah serpihan Pas; Ikatan Muslimin Insaf Malaysia (IMAM) di bawah kepimpinan Hassan Mat Leh. IMAM gagal dalam pendaftaran dan ahlinya bertanding sebagai calon-calon bebas. Penglibatan kumpulan ini tidak menampakkan satu political force yang berkesan, yang boleh mengkucar-kacirkan parti asal mereka; Pas.  

Yeap Ghim Guan, antara pengasas DAP, bekas ADUN Pulau Pinang, pendebat terkemuka,   keluar DAP dalam tahun 1978 setelah berkrisis dengan keimpinan DAP yang dikepalai Lim Kit Siang. Beliau menubuhkan Social Democratic Party (SDP).

SDP sebagai serpihan DAP gagal menunjukkan prestasi baik dalam PRU5, sekadar meletakkan DAP di tempat yang sama seperti PRU4 dan membantu BN menang besar. Undi calon-calon SDP yang bertanding di 3 kerusi Parlimen dan 10 kerusi negeri, di mana 8 orang calonnya hilang wang pertaruhan.

Kegagalan Pas menyerlahkan prestasi dalam PRU5 dan PRU6, kepimpinan menghadapi cebaran getir dari kelompok muda dalam parti, mengakibatkan Dato' Mohd Asri Haji Muda bersama pengikutnya keluar parti dalam tahun 1983. Beliau menubuhkan Hizbul Muslimin (Hamim), sebuah lagi sepihan Pas.

Menjelang PRU7 (1986), Hamim diterima sebagai anggota komponen BN. Hamim diberikan 2 kerusi Parlimen dan 4 kerusi DUN. Berjasa menarik diri menyertai PRU, membantah kemasukan Hamim ke dalam BN. 

Dalam tahun 1988, selepas UMNO diharamkan dan UMNO (Baru)ditubuhkan, Hamim memanggil muktamar khas untuk membubar parti dan menyerapkan semua ahlu ke dalam UMNO (Baru). Muktamar gagal beri mandat kepada pembubaran, menyebabkan kumpulan Dato' Asri keluar parti dan kemudiannya sertai embloc UMNO (Baru). Hamim dipimpin Dato' Sudin Wahab dan Dato' Nik Man Nik Mohamad. 

Dalam PRU8 (1990), parti-parti serpihan Pas bertaut kembali bersama Parti Semangat 46, serpihan UMNO, dalam Angkatan Perpaduan Ummah, yang memberikan semua calon BN kalah di semua kerusi di Kelantan (13 Parlimen dan 39 kerusi DUN).

Menjelang PRU10 (1999) sebuah parti baru: Parti Keadilan Nasional (Keadilan) ditubuhkan, yang merupakan hasil gabungan tenaga penyokong gerakan Reformasi 1998, pemecatan DS Anwar Ibrahim dari UMNO. Keadilan adalah gabungan tenaga serpihan UMNO pro Anwar, serta bekas aktivis NGO Islam: ABIM dan JIM dan NGO-NGO lain; Suaram, Adil, Gerak dll. Kegagalan serta kelewatan untuk mendaftar diri untuk membolehkannya bertanding dalam PRU, Keadilan mengambilalih parti yang sudah wujud dan kurang aktif, Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan), menukarkan nama Ikatan kepada Keadilan.

Ikatan adalah parti serpihan Pas di Terengganu, yang ditubuhkan dalam tahun 1991, oleh Abdul Wahab Yunus, bekas Ahli Parlimen Dungun. Ikatan tidak pernah menyertai sebarang PRU.

Selepas penubuhan Ikatan, sebuah lagi parti serpihan Pas, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) ditubuhkan dalam tahun 1964, oleh Musa Salleh, pemimpin Pas Pasir Puteh. AKIM yang menyertai PRU10 dan PRU11, tidak ada pengaruh dan pungutan undinya amat rendah serta gagal untuk mengurangkan atau mengganggu Pas dalam menghadapi UMNO/BN.

Kumpulan yang tersingkir dari DAP, menubuhkan Malaysian Democratic Party (MDP) yang dikepalai Wee Choo Keong, bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang, dalam tahun 1999. Dalam PRU10, MDP yang meletakkan 11 calon Parlimen gagal menggugat DAP yang menentang BN dan prestasi undi yang tersangat rendah. Kehadiran MDP tidak memberi apa-apa impaks, sama ada kepada DAP atau BN. Semua calon MDP hilang wang pertaruhan.

Dalam siri-siri pilihan raya sama ada PRU atau pilihan raya negeri Sabah dan Sarawak, sebelum 2000, kemeriahan pilihan raya diterjemahkan lantaran banyak parti menyertai sesuatu pilihan raya. Kepelbagaian parti politik yang mewakili kepelbagaian ideologi mencerminkan ruang disediakan oleh sistem demokrasi kepilihanrayaan, senagai menghormatikan hak rakyat bersuara tanpa sekatan. Pilihan raya sebagai satu peristiwa atau bolehkan disifatkan satu perayaan tanpa batasan ras, agama dan sempadan gegrafis, yang menggambarkan homogenitinya rakyat Malaysia.

Kepelbagaian tersebut telah memberikan satu keuntungan dan advantage kepada parti pemerintah, Perikatan, kemudiannya BN, meneruskan kelangsungan pemerintahannya, tanpa digugat. Politik berbilang parti memudahkan pihak pemerintah meneruskan serta memudahkan memenangi setiap PRU, hasil "pecah dan perintah". Undi dan sokongan kepada parti-parti pembangkang yang berbagai dan undi anti-establishment yang berpecah, memudahkan parti pemerintah (Perikatan/BN) terus menguasai pemerintahan.

Bermula PRU10, yang diadakan 32 hari sebelum bermulanya fajar 2000, pakatan pembangkang atas nama persefahaman pilihan raya, merintis jalan kepada sistem dua parti, memberikan khalayak pengundi dua pilihan sahaja: sokong BN atau sokong pakatan pembangkang.

Rintisan 1999 ini, lebih menjadi dalam PRU12, menghasilkan 5 buah negeri jatuh ke tangan pakatan pembangkang dan BN gagal kuasai majoriti dua pertiga di Parlimen. PRU12 bersih dari gangguan parti-parti serpihan kepada prestasi parti asal.

Peranan parti serpihan menjatuhkan kerajaan pimpinan parti asal serta peranan parti serpihan mengacau parti asal demi mempastikan parti pemerintahn terus kukuh di puncak kuasa, menjadi satu faktor dominan keputusan pilihan raya di negara kita.

Parti-parti serpihan: Berjaya, PBS, Berjasa, dan Semangat 46 telah membuktikan peranan mereka menentukan nasib sesebuah kerajaan. Sejarah kejatuhan kerajaan USNO di Sabah (1976), kerajaan Berjaya di Sabah (1985), kerajaan Pas Kelantan (1978) dan kerajaan UMNO/BN Kelantan (1990).

Kejatuhan kerajaan BN di Terengganu (1999), Pulau Pinang (2008), Perak (2008), Kedah (2008), Selangor (2008), bukan lagi atas asas peranan parti serpihan. Fenomena kejatuhan atau perubahan pemerintahan di negara kita sudah bertukar kepada realiti sistem dua parti. Dengan lain perkataan, realiti persefakatan pilihan raya di kalangan kepelbagaian parti. Satu kelompok parti-parti bergabung atas nama BN, sementara satu lagi kelompok atas nama pakatan pembangkang atas prinsip tujuan yang sama atau tahaluf siyasi. Realiti ini menjurus ke arah sistem dua parti. Khalayak pengundi cuma dihidangkan dua alternatif: A atau B.

Pas yang sudah berusia 61 tahun, paling banyak menghasilkan serpihan: Berjasa, Hamim, Akim, Ikatan, Imam (tak sempat didaftar). Hayat parti-parti serpihan ini tidak panjang, yang berakhir kepada dua pilihan: kembali ke parti asal atau masuk parti lawan (UMNO). SDP dan MDP, gagal menandingi parti asal, DAP.

PBDS tidak panjang hayat diganti dengan Parti Rakyat Sarawak (PRS). Tahun lepas, wujud pula serpihan dari PRS; Sarawak Worker's Party. SNAP sebagai parti asal, yang ditubuh dalam tahun 1961, masih beroperasi. Dalam tahun 2006, muncul serpihan SNAP: Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) yang menjadi komponen BN Sarawak, selepas SNAP keluar BN.

SNAP sebuah parti disegani sejak zaman pimpinan Stephent Kalong Ningkan, yang pernah mengetuai kerajaan negeri Sarawak, kesan rentetan penubuhan berbagai parti serpihan sejak 1983, meletakannya di serambi politik Sarawak, semakin diketepikan oleh pengundi. Inilah antara kejayaan "pecah dan perintah" mainan komponen utama BN.

Begitu juga di Sabah, kekalahan PBS, 1994 menghasilkan beberapa serpihan Berjaya: PBS, Parti Rakyat Sabah (Ongkili), Parti Rakyat Bersatu Sabah (Joseph Kurup), Parti Bersatu Rakyat Sabah (Jeffrey Kitingan), Sabah Progressive Party(Yong Teck Lee) dan Parti Demokratik Sabah (Dompok).

PBS, suatu masa dulu berjaya menghantar 14 orang Ahli Parlimen, kini hanya diwakili oleh 3 orang MP sahaja, kesan "pecah dan perintah" menerusi akses penubuhan parti-parti serpihan. Secara langsung, meranapkan pengaruh PBS, yang pernah menguasai kerajaan negeri.

PRU13 dijangka tidak diwarnai oleh parti-parti serpihan, sama ada untuk mengacau mana-mana parti komponen BN atau 3 parti utama dalam Pakatan Rakyat: PKR, Pas dan DAP. Yang ada cuma di Sarawak, kesan krisis dalam Parti Rakyat Sarawak, memunculkan Sarawak Worker's Party (SWP) pimpinan Larry Sng. Di kawasan BN meletakkan calon PRS, akan berlaku pertandingan 3 penjuru antara PRS/BN, SWP dan salah satu anggota Pakatan Rakyat. Dalam PRU12, 6 kerusi Parlimen diperuntukan oleh BN untuk PRS pimpinan Dr James Jemut Masing.

Kemunculan parti-parti baru seperti Parti Cinta Malaysia (PCM) tidak menggambar sebuah serpihan kerana disokong dan dianggota parti-parti asal yang berlainan. Kemunculan PCM dalam percubaan awal dalam pilihan raya negeri Sarawak, 2010, tidak menghasilkan yang boleh dibanggakan.

Dijangka PRU13, amat mendebarkan, kerana realiti sistem dua parti yang akan membuka ruang kepada satu lawan satu, pilihan hanya satu dari dua tawaran, cuma hitam atau putih sahaja, tiada alternatif dan citarasa lain.

Kegagalan perancang BN mencetuskan penubuhan serpihan dari parti-parti dalam Pakatan Rakyat, mungkin inilah yang menjadikan tarikh PRU13 belum diumumkan, sungguhpun sebuah DUN sudah terbubar secara otomatik.

 Ketiadaan parti serpihan yang bertujuan untuk memecahkan undi parti pembangkang demi memudahkan kerja-kerja BN, adalah faktor kukuh mengapa tarikh PRU13 melepas tempoh 5 tahun selepas hari mengundi PRU12. Faktor ini jugalah yang menenggelamkan ilham kepada sang penguasa untuk mengisytiharkan bilakah PRU13.



  

  



Sabtu, 23 Mac 2013

Sistem Dua Parti

DEMOKRASI KITA MENUJU SISTEM DUA PARTI

"Sistem dua parti tak boleh pakai" demikian tajuk sebuah berita Berita Harian 15/03/13 di halaman 16, sebagai merumus sidang media bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas satu syarahannya di Universiti Malaya. 

Beliau berkata; sistem dua parti boleh merumuskan ketidakstabilan politik dengan kemungkinan berlakunya wakil rakyat yang akan melompat parti. Sistem dua parti di negara ini bermula sejak Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12) dan majoriti yang kecil menyumbang kepada kejatuhan parti yang dipilih rakyat.

Bagaimanapun beliau yakin sistem berkenaan diterima di negara ini dengan syarat parti yang menang mendapat majoriti yang kukuh.

Keaktifan negarawan selaku bekas PM sejak tiga bulan terakhir ini menampakkan kebimbangan mata petaka yang akan menimpa BN dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Ini dapat dirasai selepas PRU12, dituruti 16 siri pilihan raya kecil seluruh negara, yang mempertontonkan walaupun berkedudukan 8:8, BN dan Pakatan Rakyat, bukanlah satu keseimbangan.

Sebagai parti pemerintah, sepatutnya BN mengatasi Pakatan Rakyat. Sebagai parti pemerintah, BN menguasai jentera kerajaan, menyalahgunakan kepentingan awam. Yang paling teruk ialah parti menguasai perkhidmatan awan khususnya UMNO. Hinggakan Pengarah Hospital Besar Kuala Lumpur mengeluarkan arahan tidak membenarkan sebarang kenderaan yang melekatkan logo parti pembangkang memasuki perkarangan hospital. Sepatutnya, sebarang pelekat mana-mana parti politik.

Bila mantan Presiden parti yang pernah dipecat sebagai ahli dan pernah keluar parti, aktif semula mengatasi sang Presiden, memaparkan betapa gelabah dan tingginya tahap kebimbangan menjelang PRU.

Tun Dr Mahathir cuba memperkukuhkan idea "pecah dan perintah" bila beliau melahirkan kebimbangan khalayak pengundi berkecenderungan impikan "sistem dua parti". Setelah 55 tahun Merdeka, pembaharuan ke arah realiti keadilan sosial serta memertabatkan suara majoriti, adalah sesuatu yang tidak dapat dielekkan, sesuatu yang inevitable.

Di awal pengenalan demokrasi menerusi pilihan raya, menyediakan ruang sesiapa saja berhak atas kapasiti hak yang dijamin oleh prinsip asas demokrasi: hak untuk bersuara, hak untuk berpesatuan, hak untuk memilih, hak menentukan pemerintahan. PRU pertama (PRU 1959) menyaksikan perpecahan undi kerana bilangan calon yang bertanding tiga atau empat orang dan lebih di satu-satu kerusi atau kawasan pilihan raya.

Di atas asas "the first past the post", menyaksikan calon yang menang perolehi undi yang bukan mewakili suara majoriti. Di kawasan luar bandar, persaingan adalah antara Perikatan (diwakili UMNO), Socialist Front (Partai Rakyat), Pas dan Parti Negara. Sementara di bandar, agak lebih menepati "the wining majority" kerana Perikatan (sama ada MCA atau MIC) ditentang Socialist Front (Partai Buruh Malaya) dan People's Progressive Party (yang menguasai Lembah Kinta).

Keadaan ini berlanjutan dalam PRU2 (1964), dengan penyertaan Parti Perhimpunan Kebangsaan (pimpinan bekas Naib YDP UMNO, Abdul Aziz Ishak) yang bertanding atas nama Socialist Front dan United Democratic Party (pimpinan bekas YDP MCA, Dr Lim Chong Eu).

Pertandingan multi-party, memberi keuntungan dan kelebihan kepada Perikatan yang menguasai kerajaan. Ini memudahkan merealisasikan "pecah dan perintah" demi mempertahankan kelangsungan pemerintahan Perikatan (UMNO-MCA-MIC).

Berbeda dengan PRU3 (1969) yang secara tidak langsung merintis kepada "sistem dua parti" bila mana di kebanyak kawasan pilihan khususnya di Semenanjung, menyaksikan perlawanan dua penjuru.

 Di kawasan luar bandar, Perikatan berdepan satu lawan satu dengan Pas, di kebanyakan kawasan. Di samping itu, Partai Rakyat bertanding bersendirian bukan lagi atas nama SF, setelah Partai Buruh diharamkan dalam tahun 1967. Tanpa penyertaan Parti Negara, membolehkan khalayak pengundi hanya ada dua pilihan: kekal Perikatan atau ubah.

Di samping mengekalkan Kelantan, Pas hampir menguasai kerajaan negeri Terengganu, dengan Pas 11, Perikatan 13, sungguhpun begitu undi popular Pas melebihi angka 50 peratus, mengatasi Perikatan. Pas mula meluaskan pengaruh ke negeri utara: Kedah, Perlis dan Perak.

Parti Rakyat yang menang di kerusi Melayu: Ulu Kuantan dan Balik Pulau, adalah satu lawan satu dengan calon UMNO.

Di kawasan bandar, persefahaman pilihan raya, membolehkan Gerakan, DAP dan PPP bertanding satu lawan satu dengan calon-calon MCA dan MIC mewakili Perikatan. Bukan sahaja Perikatan kehilangan kerajaan negeri Pulau Pinang kepada Gerakan, dan hampir hilang kerajaan negeri Selangor dan Perak, bila kedudukan di Selangor, Perikatan dan Pembangkang 14:14, sementara di Perak 19:21. Kesan paling besarnya, Perikatan gagal kuasai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Berbeza dengan PRU4 (1974), di mana persaingan multi-party sebagaimana PRU1 dan PRU2, berulang kembali. Pas, Gerakan dan PPP menyertai BN bersama UMNO, MCA dan MIC di Semenanjung, membolehkan BN bersaingan parti-parti pembangkang: DAP, Pekemas, KITA, PSRM, dalam tiga atau empat penjuru dan lebih. Hasilnya, BN menang besar.


Dengan persefahaman pilihan raya yang lebih mantap di kalangan pakatan pembangkang berbanding PRU12, dijangkakan PRU13 akan memperkukuhkan "sistem dua parti". Adalah tidak menepati naluri kemanusiaan andainya kemenangan berasaskan kepada "the first past the post", kerana ianya berkecendungan mewujudkan "the minority rules the majority".

Kes-kes demikian kita dapat kutip ramai calon yang menang, perolehi sekitar 30 hingga 40 peratus sahaja, menafikan suara 60 hingga 70 peratus pengundi lain, yang berpecah kepada dua atau tiga calon lain. Kes begini, amat ketara dalam PRU1 (PRU 1959), dan Pilihan Raya Negeri Sarawak 1970. Kes seumpama ini juga boleh disaksikan kepada keputusan PRU2 (PRU 1964) dan PRU4 (PRU 1974), terutamanya kerusi DUN.

Adalah lebih adil dan rasional, amalan multi-party ini, mengamalkan sistem pilihan raya dua pusingan, yang popular akhir-akhir ini. Sistem ini mensyaratkan, calon yang menang mewakili suara majoriti secara hakiki dan secara mutlak. Jika calon menang perolehi undi kurang 50 peratus, maka dua calon undian tertinggi akan berentap dalam pusingan kedua; satu lawan satu.

Akhir-akhir ini, negara-negara yang melakukan reformasi demokrasi mengambil sistem ini, di samping setengah negara memilih sistem demokrasi berasaskan undi popular. Dia sistem ini yang cukup popular hari ini dalam merealisasikan asas demokrasi yang menghormati suara majoriti. Meletakkan keburukan "sistem dua parti", sekadar mengeluh kebimbangan rakyat Malaysia akan ada dua pilihan: pertahan kerajaan yang ada atau lakukan perubahan.

Kemungkinan ke arah sistem dua parti adalah sesuatu yang pasti dan bukanlah sesuatu yang menakutkan. Sistem ini adalah satu pembaharuan dalam rangka multi-party mencari ketepatan prinsip demokrasi, pihak majoriti berhak memperolehi kuasa. The minority rules the majority" sudah tak relevan, bertentangan dengan asas demokrasi yang memberi hak kepada pihak yang ramai.



Khamis, 14 Mac 2013

Perwakilan Proportional

PERWAKILAN PROPORTIONAL MEREALISASIKAN ROH DEMOKRASI KEPILIHANRAYAAN

Pandangan Setiausaha Agung Pas, Dato' Mustafa Ali dalam International Conference on the 13th Malaysian General Elections pada 5/3/13 lalu, mengenai sistem pilihanraya berasaskan sistem proportional representatives, satu pernyataan yang amat menarik. Sistem ini adalah antara cadangan reformasi demokrasi seandainya pentadbiran Putrajaya berubah dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) nanti.

Pandangan beliau ini bukan perkara baru, beliau pernah bangkitkan semasa membahas rang undang-undang persempadanan kawasan pilihan raya , di Dewan Rakyat dalam tahun 2002. Masa itu, beliau adalah Ahli Parlimen Dungun.

Sistem perwakilan berasaskan peratus undi yang diperolehi oleh sesuatu parti yang akan menentukan berapakah jumlah kerusi yang akan diperuntukan kepada parti berkenaan. Amalan ini diterima pakai dalam pengurusan pilihan raya nasional di beberapa negara. Negara yang menjadi model sistem ini ialah Jerman Barat. Selain asas peruntukan kerusi berpandukan peratusan jumlah undi, amalan Jerman Barat, meletakkan syarat, sesuatu parti perlu perolehi tidak kurang dari 5 peratus undi keseluruhan. Bermula 1998, dalam pembaharuan demokrasi di Indonesia, amalan perwakilan berasaskan nisbah ini digunakan. 

Sistem ini memberi hak sepenuhnya kuasa kepada pengundi dan suara rakyat dihormati. Contohnya, jika parti A memperolehi 20 peratus undi bermakna parti berkenaan diperuntukkan 20 peratus kerusi. Parti menentukan siapakah anggota parti yang akan mengisi kuota demikian. Suara 20 peratus pengundi diberi hak menduduki badan lagislatif. 

Sistem amalan negara kita adalah berpandukan kepada model sistem pilihan raya Great Britain, iaitu berasaskan perwakilan mengikut kawasan atau constituency representatives. Calon yang dapat undi tertinggi akan diistiharkan menang walaupun beza undinya satu undi mengatasi calon kedua undi tertinggi, apa yang disebut sebagai the first past the post.

Sistem yang diamalkan di kebanyakan negara Commonwelath ini yang lebih dikenali sebagai Westminster Abbey menafikan suara majoriti. Contohnya dalam Pilihan Raya Umum ke 3 (PRU3) atau PRU 1969, di mana kerusi-kerusi bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak diadakan dalam bulan Jun 1970, kerana ditangguhkan lantaran peristiharan darurat selepas 13 Mei 1969, di negeri Sarawak yang menawarkan 24 kerusi Parlimen, di 20 kerusi tersebut, undi bagi calon yang menang di bawah 50 peratus. Kawasan tersebut menyaksikan perlawanan lebih 3 penjuru. Sementara bagi kerusi Council Negeri (DUN Sarawak), 28 dari 48 kerusi, menghasilkan keputusan yang sama; calon yang menang dapat undi bawah 50 peratus.

Di kerusi Parlimen Batang Lupar, calon yang menang, Edwin anak Tangkun (SNAP) memperolehi 4,751 undi atau 38.0 peratus dari jumlah undi sah, mengatasi 3 calon laon: Hollis anak Tini (SUPP) 3,247 undi, Yaman Mohamad Tahir (Parti Pesaka) 3,142 undi dan Abang Haji Hamid Salam (Parti Bumiputera) 1,800 undi. Ketiga-tiga calon yang kalah tidak hilang wang pertaruhan, kerana perolehi undi di atas 12.5 peratus atau satu perlapan undi sah. Kebiasaannya, jika dalam persaingan 3, 4 atau 5 penjuru, calon yang menduduki tempat ketiga dan selebihnya hilang wang pertaruhan. Keadaan yang sama berlaku di hampir semua 19 kerusi Parlimen yang lain.

Sistem amalan perwakilan berasaskan kawasan ini, menafikan suara majoriti, 62 peratus pengundi Batang Lupar tidak mengundi calon SNAP. Bermakna, wakil rakyat yang dipilih bukan mewakili majoriti pengundi.

Kes kerusi DUN Terengganu, Langkap (1959), di mana calon Parti Negara yang menang cuma dapat 32.5 peratus undi sahaja, sementara baki 67.5 peratus mengundi Pas dan Perikatan. Begitu juga kes Kuala Besut (1959), Ulu Kelantan Barat (1959) dan Tumpat Barat (1959), suara lebih 60 peratus pengundi telah dinafikan hak mereka dalam menentukan pembentukan sebuah kerajaan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke 11 (PRU 2004) yang memberikan pencapaian paling cemerlang untuk BN. Di peringkat Parlimen, BN telah memenangi 199 dari 219 kerusi. Bermakna BN telah membolot 90.8 peratus kerusi Parlimen. BN bertanding di semua 219 kerusi. Dari segi undi popular, BN memungut 4,472,648 undi atau 63.81 peratus.

Kalau ikut sistem perwakilan proportional, BN sepatutnya dapat 64 peratus dari jumlah 219 kerusi iaitu 140 kerusi sahaja. Sementara bakinya 79 kerusi akan dikongsi oleh Pas, DAP dan Keadilan, berbanding 20 kerusi sebagaimana mereka perolehi dalam PRU tersebut.

Pas yang bertanding di 86 kerusi cuma menang 6 kerusi sahaja (termasuk Pasir Puteh, yang kemudiannya diserahkan oleh mahkamah kepada BN) dengan 1,103,289 undi atau 15.74 peratus undi popular. Angka 15.74 peratus ini memberikan sebanyak 34 kerusi Parlimen kepada Pas, ikut sistem proportional.

DAP yang bertanding di 44 kerusi Parlimen perolehi 708,173 undi atau 10.10 peratus sepatutnya diperuntukkan 22 kerusi Parlimen, bukan 12 kerusi sebagaimana dicapainya dalam PRU tersebut. Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang bertanding di 59 kerusi Parlimen, cuma menang 1 kerusi sahaja, dan memungut 578,481 undi atau 8.25 peratus undi popular. Sepatutnya dapat 18 kerusi Parlimen kalau ikut sistem perwakilan proportional.

Kalau amalan proportional representation, Pas sepatutnya menjadi pembangkang utama di Parlimen dan BN gagal perolehi suara majoriti dua pertiga, walaupun PRU11 adalah pencapaian BN paling cemerlang dalam 11 siri PRU selepas Merdeka.

Dalam PRU12 (PRU 2008) yang merupakan pencapaian BN paling rendah, di mana BN yang bertanding di semua 222 kerusi Parlimen, memperolehi 140 kerusi dengan 4,081,115 undi atau 51.4 peratus undi popular.

Sementara pakatan pembangkang: PKR dapat 1,529,250 undi menerusi 97 orang calon Parlimen (menang 31) atau 19.2 peratus undi popular, Pas yang menang 23 kerusi dari 66 calon perolehi 1,140,598 undi atau 14.4 peratus, DAP yang bertanding di 47 kerusi Parlimen (menang 28 kerusi), dapat 1,097,752 undi  atau 13.8 peratus jumlah undi sah kawasan Parlimen seluruh negara.

Ikut sistem perwakilan proportional, BN sepatutnya dapat 115 kerusi Parlimen. Sementara baki 107 kerusi untuk pakatan pembangkang: PKR (44) Pas (32) dan DAP (31). Bermakna BN cuma mampu bentuk kerajaan dengan majoriti tipis, yang mungkin akan tumbang bila 4 atau 5 orang wakil rakyatnya belot, letak jawatan atau meninggal dunia.

BN menguasai Parlimen dengan mandat majoriti dua pertiga sejak Merdeka setiap kali PRU, kecuali PRU3 (PRU 1969) dan PRU12, bila menguasai lebih 66 peratus jumlah kerusi Parlimen. Dalam PRU3, Perikatan perolehi 67 kerusi dari jumlah 104 kerusi Parlimen di Semenanjung atau 64.4 peratus. Pengundian di Sabah dan Sarawak ditangguhkan. Sementara dalam PRU12, BN yang kuasai 140 kerusi adalah 63.0 peratus atau kurang 8 kerusi untuk dapat majoriti dua pertiga.

Sungguhpun begitu, jika diimplementasikan sistem undi popular atau perwakilan secara proportional, BN perolehi kerusi Parlimen kurang dari dua pertiga: PRU5 (PRU 1978) undi BN adalah 57.2 peratus, PRU6, 1982 adalah 60.54 peratus, PRU7 (PRU 1986) undi BN adalah 57.28 peratus, PRU8, 1990 (53.38 peratus), PRU9, 1995 (65.15 peratus), PRU10, 1999 (56.53 peratus), PRU11, 2004 (63.81 peratus), PRU12, 2008 (51.40 peratus).

Perbandingan fakta berdata di atas memaparkan bahawa andainya sistem pilihan raya kita ditransformasikan kepada perwakilan proportional atau atas asas undi popular, BN walaupun mempertahankan rekod cemerlang, kerajaan paling demokratik paling lama berkuasa tetapi ianya tak sekuat mana. Mandat rakyat pun hanya di peringkat majoriti kecil. Ini bermakna BN tidak mendapat sokongan kelompok besar masyarakat.

Amalan demokrasi kepilihanrayaan menerusi sistem constituency  representatives menyerlahkan ruang untuk parti pemerintah mengambil kesempatan merancang untuk mengekalkan kuasa. Sungguhpun pembentukan sesebuah constituency atau kawasan pilihan raya digariskan dengan asas yang berkaitan dengan perundangan dan peraturan pilihan raya, tetapi ruang parti pemerintah memanipulasi tetap wujud.

Amalan tidak tersurat dan kelaziman, apabila rang undang-undang diluluskan di Parlimen memperuntukkan kerja-kerja persempadanan kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), perlu diendosekan oleh UMNO Bahagian. Lakaran persempadana dibuat oleh SPR, akan dipinda oleh UMNO Bahagian bagi mempastikan persempadanan atau pengwujudan kawasan pilihan raya baru, memberi advantage kepada UMNO dan BN. Amalan ini amat ketara bila dilihat kepada persempadanan kawasan pilihan raya 1973, 1983, 1993 dan 2003.

Persempadanan kawasan pilihan raya yang dilaksanakan di Malaysia, bukan fokus kepada nisbah penduduk sahaja, tetapi juga mengambil faktor ruang. Nisbah jumlah pemilih bagi satu kawasan pilihan raya di bandar berbeda dengan nisbah bilangan pemilih di kawasan luar bandar dan pedalaman. Faktor akses kepada kemudahan asas juga diambilkira. Tetapi realitinya, kuasa pemerintah membelakangi aspek peraturan ini, demi kepentingan politik dalam jangka pendek.

Dalam persempadanan tahun 2003, ambil contoh kerusi Parlimen Baling. Jumlah pemilih Baling dalam PRU12 ialah 79,102 orang merangkumi 3 kerusi DUN: Bayu, Kupang dan Kuala Ketil. Sebelum persempadanan, Kuala Ketil, berada dalam Parlimen Padang Serai. Oleh kerana kerusi Baling dimenangi pembangkang dalam PRU10, kedua-dua kerusi DUN Bayu dan Kupang mempunyai lebih 90 peratus pengundi Melayu, maka kerusi DUN Kuala Ketil yang mempunyai 80 peratus Melayu dimasukkan ke dalam Parlimen Baling, untuk mengurangkan pengundi Melayu dalam Parlimen Padang Serai. Umum mengetahui PRU10, BN hilang banyak undi Melayu dan kemenangan BN banyak dibantu undi bukan Melayu.

Komposisi pengundi di Parlimen Baling dan Padang Serai berubah. Sebelum persempadanan, Baling memiliki lebih 90 peratus pengundi Melayu dan Padang Serai mempunyai lebih 60 peratus Melayu. Selepas persempadanan, pengundi Melayu di Parlimen Padang Serai cuma 54 peratus. Fokus persempadanan 2003, berfokus pembentukan lebih banyak kawasan pengundi campuran, kerana kemerosotan sokongan UMNO/BN di kawasan Melayu dalam PRU10.

Baling dengan pengundi yang paling besar di Kedah, 79,000 orang, menampakkan keganjilan yang amat nyata kerana Baling adalah kawasan pedalaman. Sebagai kawasan pedalaman, dengan pengundi sebesar itu, menggambarkan sebuah kawasan pilihan raya yang luas. Sementara kawasan Parlimen Gerik, juga pedalaman cuma mempunyai 26,229 pengundi sahaja dan Parlimen Lenggong cuma 23,223 pemilih.

Berbanding dengan Baling, kawasan Parlimen Kuala Kangsar, satu kawasan bandar, Bandar Di Raja Perak, cuma mempunyai 28,325 pemilih sahaja. Begitu juga, kawasan Parlimen Padang Rengas dengan 24,397 pengundi, satu kawasan pekan kecil dikelilingi kampung tradisional, amatlah dangkal hendak dibandingkan dengan Baling. Perbezaannya demi kepentingan politik di pihak yang sedang berkuasa, asas bandar dan luar bandar serta akses prasarana dipinggir dalam membuat keputusan menggariskan persempadanan kawasan pilihan raya. Wajaran bilangan pemilih dan keluasan kawasan telah diketepikan.

Bagi kawasan luar bandar, jumlah pemilih Parlimen Baling tidak setara bila dibanding dengan kawasan bandar seperti Parlimen Alor Star, pemilihnya 58,597 dalam PRU12. Kerusi DUN Kota Darul Aman, satu kawasan kecil di tengah bandaraya Alor Star, cuma mengandungi 15,087 pemilih berbanding jumlah pemilih di kerusi Bayu (juga kerusi DUN) 29,197 pemilih. Kawasan Bayu jauh lebih luas, kawasan yang bersempadan dengan Thailand.

Berbalik kepada asas demokrasi, "all members have an equal right to have a say and to make their opinion count".
Amatlah wajar, demi menghormati hak dan kebebasan individu membuat keputusan dan bersuara, sistem pilihan raya berasakan perwakilan proportional sebagai prinsip merealitikan demokrasi. Ambil kes Langkap (1959), dan lain-lain keputusan pilihan raya seumpamanya, adalah tidak menepati semangat dan definisi demokrasi itu sendiri, kerana suara 60 peratus pengundi, tidak ambil kira atau diwakili dalam badan legislatif.

Setelah lebih separuh abad, demokrasi kepilihanrayaan sistem constituency reprentatives yang memiliki beberapa kelemahan dari paparan di atas, ditransformasikan demi keadilan sosial.

Gagasan unity government yang disarankan untuk membawa Pas bekerjasama dengan UMNO, yang menjadi berita besar dalam pilihan raya kecil Manik Urai 2009, 4 tahun lalu, memungkinkan pembentukannya yang lebih  wajar setelah sistem perwakilan proportional dilaksanakan. Model Dewan Pemesyuaratan Rakyat Indonesia (Parlimen), yang membentuk kerajaan perpaduan atau unity government diselaraskan dengan sistem perwakilan proportional amalan negara itu. Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyomo (SBY) bukanlah parti yang dapat kerusi terbanyak dari Pemilihan Umum (Pemilu) terakhir. Mungkin inilah anggapan setengah pihak calon dari DAP akan jadi PM Malaysia. Kalau berdasarkan undi popular dalam PRU12, DAP menduduki tempat keempat selepas BN, PKR dan Pas. Parti Demokrat pimpinan SBY juga berada di tempat keempat dalam Pemilu Indonesia. Di Malaysia pun bukan aneh, Pas yang menduduki tempat keempat dalam bilangan kerusi dalam DUN Perak, diberi kerusi MB.

Selepas PRU12, pihak kerajaan popular dengan program transformasi, pihak pembangkang dengan idealisme reformasi, ada pula pihak berminat kepada unity government, maka wajarlah sistem pilihan raya kita juga diubah kepada undi popular atau proportional represantatives, untuk melengkapkan pembaharuan-pembaharuan tersebut.























 


Isnin, 11 Mac 2013

Pecah dan perintah

AMALAN PECAH DAN PERINTAH DEMI SURVIVAL POLITIK

Ketua Penerangan UMNO(Baru) Datuk Ahmad Maslan sewaktu berucap di kawasan Parlimennya di Pontian, bulan lepas menyifatkan Pas melaksanakan amalan pecah dan perintah demi survival politiknya. Alasannya, Pas telah memecah-belahkan orang Melayu, di atas doktrin agama. Pas memisahkan orang Melayu dengan menggunakan kafir mengkafir, untuk memudahkan Pas menguasai pemikiran dan pegangan politik.

Sementara Timbalan Presiden UMNO(Baru), TS Muhyiddin Mohd Yassin dalam satu majlis juga di Johor, minggu lepas,  melabelkan pemimpin Pakatan Rakyat, pemimpin yang tiada pendirian dan menipu rakyat. Di bandar cakap lain, di desa lain cakap. Di kalangan orang Melayu bercakap lain, kepada orang Cina lain pula cakapannya.

Dua senario di atas, dengan kata lain; cuba menggambarkan Pakatan Rakyat mentadbir dan mengurus rakyat menerusi manhaj " pecah dan perintah". Pendekatan ini demi mempastikan mengizinkan wujud berbagai kelompok dan menafikan kesatuan ummah, untuk mengukuhkan kuasa serta meneruskan penguasaan.

 Amat berbeza antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional. Contohnya dalam pilihan raya kecil Manik Urai (2009), Lim Guan Eng dari DAP antara penceramah utama dalam ceramah Pas di peti undi Chuchuh Puteri dan Laloh, yang seratus peratus pengundi Melayu dan kawasan pedalaman. Isu yang dibawanya bersifat nasional, bukan berfokus kepada kelompok desa atau bandar. Ini jauh sekali bezanya kursus kenegaraan Biro Tatanegara di bawah kerajaan Persekutuan yang amat rasis.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman masyarakat Malaysia sejak 55 tahun pasca merdeka, kenyataan di atas adalah terbalik. Yang mengamalkan "pecah dan perintah" itu adalah pihak yang menguasaian kerajaan Persekutuan sejak 55 tahun lalu. Kuasa yang dominan adalah kuasa Persekutuan, kerana kuasa kerajaan negeri amat terhad dan terlalu kecil.

Pembentukan komponen Barisan Nasional, di mana Parti Perikatan (UMNO-MCA-MIC) berjaya menghimpunkan parti-parti pembangkang yang dominan dalam tahun 1960an: Pas, Gerakan  dan PPP di Semenanjung, serta SUPP dari Sarawak, di samping USNO, SCA dan PBB dalam tahun 1974. Impaks Peristiwa 13 Mei telah memberikan sumbangan yang besar ke arah gabungan parti-parti utama menerusi BN.

Dua peristiwa penting dijadikan bahan untuk melonjak sokongan rakyat dan imej gabungan BN menjelang Pilihan Raya Umum 1974 (PRU4); Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan lawatan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussien ke Republik Rakyat China.

Peristiwa pertama, berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati di kalangan negara-negara Islam. Perpaduan UMNO-Pas menerusi BN bukan sekadar menyakinkan orang Islam dalam negara, tetapi juga di peringkat internasional. Ini telah memberikan kredit yang cukup besar, keyakinan rakyat orang Melayu khususnya, yang mendiami sektor desa, memberi sokongan kepada BN.

Justeru itu, di kawasan luar bandar, poster Tun Razak bersongkok dijadikan bahan utama kempen pilihan raya.

Sementara di bandar, gambar Tun Razak berjabat tangan dengan Pengerusi Mao (Mao Tse-tung) adalah bahan kempen utama di billboard dan banner. Kunjungan Tun ke RRC menggambarkan gabungan BN bukan bersifat kepada perpaduan Melayu, tetapi juga memberi fokus yang tidak kurang penting kepada orang Cina selaku pengundi majoriti di kawasan bandar. Kunjungan Tun serta sambutan kepimpinan utama Partai Komunis China, terutamanya Mao Tse-tung (Pengerusi Parti Komunis China) dan Chou En-Lai (Perdana Menteri RRC) mentafsirkan penghormatan dan keyakinan mereka terhadap kepimpinan negara menerusi BN.

Dua peristiwa besar ini untuk menarik sokongan  rakyat bahawa kepimpinan negara menerusi BN dihormati oleh negara-negara Islam dan kepimpinan Cina seberang laut.

Pendekatan "pecah dan perintah" dengan pengundi Melayu dan pengundi luar bandar disogokkan dengan Persidangan OIC, sementara pengundi Cina yang menguasai sekor kota dengan kunjungan Tun Razak ke RRC, memberikan kemenangan cemerlangan BN dalam PRU4. Kecemerlangan ini memaparkan kejayaan BN menyatukan semua kaum dalam sebuah organ politik demi kestabilan, perpaduan dan keharmonian antara kaum.

Ruang menduduki kuasa pemerintahan nasional menerusi BN telah menjadikan Pas lebih nasional sifat dan penyebaran pengaruhnya. Beberapa tempat dalam badan berkanun dan agensi kerajaan diberikan kepada kepimpinan Pas dan individu yang ditunjukkan oleh Pas. Pengaruh Pas menembusi kawasan eksklusif UMNO, seperti penempatan Felda. Ini menjadi satu ancaman kepada UMNO.

Lantaran itu, dianalisiskan timbulnya krisis Kelantan 1977 adalah ekoran campurtangan UMNO dalam rumahtangga Pas. Kesempatan diambil oleh kepimpinan kerajaan Persekutuan yang dikepalai UMNO, untuk memecahkan Pas. Pecah dan perintah ini, menyediakan ruang pembentukan sebuah parti politik, sebagai serpihan Pas; Barisan Jemaah Islamiyah SeMalaysia (Berjasa). Ruang disediakan oleh kerajaan Persekutuan, memudahkan proses penubuhan dan pendaftaran. Berjasa didaftarkan dalam sekelip mata, ambil masa yang amat singkat.

Perintah darurat di Kelantan hanya 3 bulan sahaja. Pada 10 Februari 1978, ditarik balik undang-undang darurat. Ini membolehkan pilihan khas bagi Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 11 Mac 1978. Pilihan raya ini menghasilkan: BN 23 kerusi, Berjasa 11 dan Pas 2 kerusi.

Berjasa sebagai serpihan Pas berjaya memecahkan undi Pas untuk membolehkan UMNO/BN menawan Kelantan. Berjasa bertanding di 25 kawasan untuk memberikan 11 kawasan perlawanan satu lawan satu BN dan Pas. BN pula bertanding di 24 kawasan dengan memberikan 12 kawasan saingan satu lawan satu antara Berjasa dan Pas. Sementara Pas bertanding di semua 36 kerusi.

Di 12 kerusi saingan satu lawan satu Berjasa-Pas, Berjasa kalah di satu kerusi sahaja iaitu Sering (sekarang Panchor). Di kawasan melibatkan perlawanan 3 penjuru BN-Berjasa-Pas atau 4 penjuru bila terlibat dengan calon Bebas (10 calon Bebas bertanding), semuanya dimenangi BN. Di kerusi berkenaan, undi calon Berjasa mengatasi undi calon Pas: Bandar Pasir Mas (sekarang Pengkalan Pasir), Telipot (sekarang Bunut Payong), Gual Ipoh dan Bandar Machang (sekarang Kemuning).

Justeru itu, kemenangan Berjasa bukanlah lantaran saguhati BN, untuk membolehkan Berjasa menentang Pas secara satu lawan satu, tetapi di 4 kerusi dimenangi BN, undi Berjasa mengatasi undi Pas.

Di samping itu, di kawasan saingan 3 atau 4 penjuru, calon Berjasa hilang wang pertaruhan di 6 kawasan. BN kalah satu kerusi, perlawanan satu lawan satu dengan Pas: Manik Urai. Kesimpulannya faktor utama kekalahan teruk Pas lantaran kemunculan Berjasa yang memecahkan undi Pas dan undi anti-astalishment.


Pengalaman bagaimana usaha pimpinan Persekutuan memecahkan USNO lantaran hubungan yang tidak begitu baik zaman Tun Datu Mustapha Datu Harun dengan pimpinan pusat di awal 1970an. Bagaimana seorang anggota kabinet Tun Mustapha, Datuk Harris Mohd Salleh, menubuhkan Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) untuk memecahkan sokongan USNO yang berkuasa di Sabah masa itu.

Tanpa sokongan walaupun tidak secara terbuka dari Kuala Lumpur, tidaklah berani Datuk Harris letak jawatan menteri dan wakil rakyat, untuk membolehkan satu pilihan raya kecil diadakan. Datuk Harris bertanding atas nama parti barunya, Berjaya kalah dalam pilihan kecil DUN Sabah di akhir 1975, bersama seorang lagi wakil rakyat yang letak jawatan.

Kegagalan Berjaya ini, membolehkan kerajaan USNO pimpinan Tun Mustapha memanggil pilihan DUN Sabah, dalam bulan April 1976. Hasilnya, beliau hilang kuasa dan bermulalah pemerintahan Berjaya pimpinan Tun Fuad Stephents dan Harris Salleh. Dalam pilihan raya itu: Berjaya dapat 28 kerusi, sementara USNO 20 kerusi.
Kes Kelantan (1978) adalah menyamai pengalaman Sabah (1976).

Teknik pecah dan perintah ini dikembangkan ke Sarawak, yang membawa kepada penubuhan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) sebagai serpihan Sarawak National Party (SNAP) dalam tahun 1983. PBDS jadi pembangkang dalam DUN Sarawak dan anggota komponen BN di peringkat Persekutuan. Begitulah munculnya Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Sarawak Progressive Democratic Party (SPDS), parti-parti yang didaftarkan dalam tempoh terlalu singkat, hasil dari serpihan parti asal, demi memperkukuhkan amalan pecah dan perintah, yang menjadi tradisi pemerintah Kuala Lumpur menangani parti-parti dominant di peingkat negeri atau wilayah tertentu.

Sejarah dan latar belakang penubuhan Sabah Progressive Party (SAPP) pimpinan Yong Teck Lee, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pimpinan Joseph Kurup, Parti Rakyat Sabah Bersatu (PRBS) pimpinan Dr Jeffrey Kitingan dan Parti Demokratik Sabah (PDS) pimpinan Bernard Dompok, semuanya serpihan dari Parti Bersatu Sabah (PBS). Proses penubuhan dan pendaftaran yang amat mudah serta cepat tanpa karenah birokrasi, semuanya lantaran mendapat restu dan akses dari pimpinan Persekutuan.

Doktrin dan amalan pecah dan perintah ini dalam konteks negara kita selepas Merdeka adalah pendekatan parti yang menguasai kerajaan Persekutuan sama ada Perikatan atau BN. Berdasarkan beberapa kutipan peristiwa di atas, amatlah sukar dan amatlah tidak adil, menuduh parti-parti atau pihak yang tidak pernah menguasai kerajaan Persekutuan melaksanakan pecah dan perintah.