Selasa, 12 Julai 2016

PRU14: peluang UMNO & DAP

PRU14: PELUANG MEMIHAK KEPADA UMNO & DAP

Pilihan Raya ke 14 (PRU14) akan mengulangi apa yang dicapai dalam PRU13, iaitu memperkukuhkan kedudukan UMNO dan DAP sebagai dua parti dominan: sebelah kerajaan dan sebelah pembangkang. PRU13 memberikan prestasi yang lebih baik buat UMNO dan DAP berbanding PRU12, berbanding parti-parti lain sama ada komponen Barisan Nasional (BN) ataupun parti-parti pembangkang utama; PKR dan Pas. 

Perkembangan yang berlaku selepas PRU13 lebih banyak memihak kepada BN berbanding tempoh sama selepas PRU12. Selepas PRU12, sebanyak 16 pilihan raya kecil (PRK) dan satu pilihan raya negeri iaitu PRN Sarawak ke 10, telah diadakan. BN dan pakatan pembangkang, masing-masing memenangi 8 PRK. BN dan pakatan pembangkang menerusi Pakatan Rakyat berjaya pertahan 6 kerusi dan hilang 2 kerusi. BN hilang dua kerusi iaitu Parlimen Kuala Terengganu dan Parlimen Sibu, sementara pakatan pembangkang gagal pertahan kerusi Parlimen Hulu Selangor dan kerusi negeri, Galas di Kelantan. BN mempersembahkan prestasi terburuk dalam mempertahankan kerajaan negeri dalam PRN Sarawak (2011).

Fenomena sebelum PRU13 menghasilkan pencapaian BN semakin menurun sebaliknya sokongan untuk pakatan pembangkang meningkat. Kejayaan BN mempertahankan kerajaan dalam prestasi yang menurun diselamatkan oleh prestasi BN menerusi calon-calon UMNO yang berjaya merampas beberapa kawasan dari pakatan pembangkang, khususnya kawasan majoriti Melayu dan luar bandar. Sungguhpun prestasi Pas dan PKR yang mendatar, pencapaian pembangkang banyak dibantu oleh kejayaan calon-calon DAP merampas kerusi BN di kawasan bandar. 

Kejayaan UMNO dan DAP menambahkan perwakilan di dewan-dewan perundangan secara langsung menjadikan kedua-dua parti ini sebagai pemenang sebenar dalam PRU13. Kedua-dua parti ini mendominasi atau sebagai parti utama dalam pakatan masing-masing, berasaskan bilangan perwakilan atau kerusi dimenangi. 

Dari sejumlah 12 PRK dan PRN Sarawak, selepas PRU13, keseluruhannya memperlihatkan pencapaian BN lebih baik berbanding PRU13, sungguhpun BN membelakangi tradisi bila tidak mempertaruhkan calon di kubu pembangkang iaitu Parlimen Bukit Gelugor dan kerusi DUN Cempaka. Malah BN berjaya merampas kerusi Parlimen Teluk Intan. 

Di samping itu, perpecahan dalam pakatan pembangkang apabila terbubarnya Pakatan Rakyat yang menjurus kepada peranan Pas sebagai blok ketiga, akan memperkukuhkan kedudukan UMNO sebagai parti dominan. Apa yang dipertontonkan oleh PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, yang lebih memudahkan saluran UMNO mengungguli dominasi BN dalam PRU14. 

Perkembangan terbaru, dengan pendakwaan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang dalam isu rasuah lebih memungkinkan cetusan gelombang baru dalam politik masyarakat Cina. Sungguhpun pengundi Cina sudah mula beralih ke BN bermula dari PRK Teluk Intan, membawa ke PRN Sarawak dan PRK Kuala kangsar dan Sungai Besar, arus ini dijangka tidak kekal lama, melihat kepada respons dan reaksi sokongan kepada Lim Guan Eng. Dalam masa singkat sejumlah RM1.8 juta berjaya didermakan untuk ikat jamin Guan Eng. 

Apakah simpati kepada Guan Eng akan mengimbasi kebangkitan rakyat tanda simpati kepada DS Anwar Ibrahim yang berjaya mengubah landskap politik 1998/1999. Ledakan persepsi dakwaan ke atas Guan Eng sebagai bermotif politik yang boleh mengubah haluan pengundi Cina khususnya untuk kembali ke pembangkang, akan mengganggu prestasi BN dalam PRU14.  

Media massa elektronik dan cetak lebih banyak memberikan ruang memaparkan provokasi kes Guan Eng. Secara tak langsung membantu menyebarluas populariti Guan Eng, demi menarik khalayak awam bersimpati. Dakwaan ke atas pemimpin pembangkang lebih bersifat agenda politik sebagaimana beberapa kes dakwaan serta tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa ke atas Allahyarham Menteri Besar Kelantan. Pagi buat repot polis, tak sampai 24 jam, terus buat siasatan, berbanding dakwaan ke atas pemimpin lain, diiktiarkan untuk menghilangkan dakwaan dengan mengambil masa yang panjang. 

Usaha memaparkan serta membesarkan isu Guan Eng lebih banyak memberi ruang publisiti percuma untuk DAP, dan melenyapkan usaha menjadikan Guan Eng tidak popular. Deretan berita mengenai isu Guan Eng lebih banyak memberi ruang menjadikannya lebih popular berbanding usaha untuk membunuh dan menghancurkan kerjaya politiknya. 

Sekiranya kes pendakwaan Guan Eng ini tidak diselesaikan menjelang PRU14, ianya boleh menarik lebih banyak simpatian dan tanggapan tidak baik kepada BN. Tambahan pula, kemunculan DAP sebagai parti kedua terbesar di Parlimen, memanglah usaha perlaku dilakukan untuk membunuh karier politik, demi menyediakan laluan mudah BN dalam PRU14. Menjelang PRU13, usaha mengkucarkacirkan DAP dilakukan oleh birokrasi untuk menggagalkan DAP meletak calon. Bila DAP terima tawaran gunakan lambang Pas di Semenanjung, usaha menghalang DAP bertanding ditarik balik. Isu ini memberi bonus kepada DAP kerana dapatan simpatian khalayak pengundi 

Ruang DAP untuk terus menjadi parti dominan serta menyekat pengundi bandar beralih angin ke BN nampaknya lebih cerah berikutan kes Guan Eng. Setakat mana besarnya peluang DAP menguasai pengundi Cina dan pengundi bandar serta pengundi yang memahani dan menyedari agenda politik mengatasi agenda keadilan, ianya banyak bergantung kepada perkembangan kes pendakwaan dan peranan propaganda dan provokasi media.       

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan