Sabtu, 31 Ogos 2019

Merdeka Era Malaysia Baru

SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN DI ERA MALAYSIA BARU

Tahun ini negara akan menyambut ulangtahun kemerdekaan kali ke 62.  Tahun ini, adalah tahun kedua sambutan kemerdekaan di bawah pemerintahan Malaysia Baru. Tahun lepas, penulis tidak merasai sambutan kemerdekaan buat pertama kali di bawah pemerintahan baru, lantaran penulis berada di tanah suci untuk menunai rukun Islam yang kelima. 

Majlis sambutan ulangtahun kemerdekaan tanahair atau Hari Kebangsaan yang berlangsung hari ini menampakkan beberapa perubahan dan pembaharuan. Mengambil pendekatan Malaysia Baru, gambaran kasar sambutan menampakkan usaha pemerintah merealisasikan hasrat, agenda dan tumpuan serta matlamat dasar kerajaan baru. Penekanan kepada aspek anti-rasuah, perpaduan kaum, intergrasi nasional serta meletakkan semula menjadikan Malaysia satu kuasa ekonomi yang digeruni di rantau Asia.

Sambutan tahun ini lebih bererti kerana pemerintahan baru sudah memasuki tahun kedua pemerintahan. Dalam tempoh setahun kita berada di bawah Malaysia Baru, beberapa perubahan walaupun secara perlahan yang menampakkan perbezaan zaman Malaysia di bawah Perikatan/Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun berbanding Malaysia di bawah Pakatan Harapan (PH). 

Usaha untuk merungkai dan merombak ikatan dan perjanjian berbagai kaum pra-kemerdekaan sudah dapat dikesan. Empat perkara asas yang menjamin perpaduan kaum dan kesetiaan pemerintahan menjadi tonggak kestabilan politik dan sosial mampu dipertahankan selama 60 tahun. Panduan Perlembagaan Persekutuan menjadi asas kestabilan sosial masyarakat berbilang kaum. Kontrak sosial yang diikat untuk mempastikan British mengurniakan kemederkaan ialah orang Melayu menerima pemberian taraf kewarganegaraan kepada orang Cina dan India, dengan menjamin;

i.   Kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua negara;
ii.  Hak Keistimewaan Orang Melayu dan penduduk asal;
iii. Islam adalah agama Persekutuan;
iv. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Terdapat di kalangan orang politik sudah mempersoalkan institusi kesultanan. Sultan disebut sebagai syaitan. Mempersoalkan elaun dan imbuhan diterima oleh Sultan dan keluarga diraja. Persoalan Sultan dibawa dalam perbahasan dan soalan di dewan legislatif. 

Tidak menghormati Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Menghina Nabi Muhammad s.a.w. menerusi media sosial serta mempertikaikan hak kebebasan beragama khususnya bagi warganegara di bawah umur 18 tahun menukar agama kepada Islam. Bagaimana penganut agama Hindu berkhemah di luar pagar masjid membantah majlis korban Aidiladha serta mempersoalkan amalan menyembeleh lembu dalam menunaikan tuntutan ibadat korban.  

Penggunaan tulisan Cina dalam urusan rasmi pentadbiran awam memperlihatkan tiada rasa hormat kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa untuk urusan rasmi. Ada pihak berkuasa tempatan (PBT) meletakkan tulisan jalan pada papan tanda nama jalan. 

Tuntutan yang lebih berani dipertontonkan dalam era pemerintahan kerajaan Malaysia Baru, yang lebih cenderung kepada tuntutan dan kenyataan rasis, yang membawa kepada beberapa laporan polis. Antaranya; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy yang dikaitkan mempunyai hubungan dengan pemimpin pengganas Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE), Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran yang menuduh orang Melayu sebagai pendatang, Ahli Exco Selangor, V. Ganabatirau menuduh kumpulan Muslim menyerang Kuil Sri Mariamman, Subang Jaya. 

Isu kematian Mohamad Adib, anggota bomba, menjadi satu perkara yang banyak dipersoalkan. Isu ini membawa kepada satu pendakwaan terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas, yang menggambarkan ketidakyakinan masyarakat terhadap institusi perundangan serta ketelusan birokrasi dan pentadbiran. 

Harapan dari khalayak masyarakat awam, semoga kerajaan Malaysia Baru dapat menghakis tindakan-tindakan birokratik dan pengurusan yang membawa kepada ancaman perpaduan antara kaum dan penganut berbilang agama. Tindakan rasis yang boleh melupuskan semangat kemerdekaan yang dipamerkan dalam sambutan Hari Kebangsaan pagi tadi. Janganlah semangat seluruh warga berpadu tenaga demi masa depan negara pagi tadi sekadar sebuah lakonan atau sekadar memenuhi aturcara tradisi.

Rakyat mengharapkan Malaysia Baru yang adil untuk semua, memberi jaminan kesaksamaan sosial, menghakis unsur-unsur rasis dan anti-keharmonian agama. Janganlah atas sentimen kepartian, rasis dan anti-Islam mendorong tidak tertunai tuntutan bayaran royalti petroleum kepada Kelantan yang didiami lebih 95% orang Melayu dan Islam. Ini meninggalkan tuntutan kemerdekaan, yang mengekang pemikiran, sikap dan jatidiri. 

Salam kemerdekaan

31 Ogos 2019





  

Sabtu, 24 Ogos 2019

Zakir Naik 2

KONFLIKS KEHADIRAN DR ZAKIR NAIK


Kehadiran Dr Zakir Naik yang telah diberi taraf pemastautin tetap, akhir-akhir ini menjadi isu semasa yang menenggelami isu pertikaian dalaman kerajaan Malaysia Baru di bawah Pakatan Harapan (PH). Kenyataan-kenyataan dipungut dari pelbagai pihak; kerajaan dan pembangkang mengenai tempoh jawatan Perdana Menteri  dipegang Tun Mahathir Mohamad sekarang. Sama ada Tun M perlu lepaskan dalam terdekat atau tarikh tertentu, hilang sekejap lantaran kontroversi isu ceramah Dr Zakir di Kota Bharu tempoh hari.

Kegagalan menangkis dan membidas balik hujah dan fakta dilontarkan Zakir, khususnya dari kalangan non-Muslim, mengheret kepada mempersoalkan  keperluan mengekstradiksi beliau ke India, untuk memenuhi tuntutan India mahu membicarakan beliau atas kes penggubalan wang haram. 

Zakir menetap di Malaysia mulai 2017, setelah diberi taraf permanent resident (PR) sejak 2012. Beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia dalam tahun 2013, di samping pernah mendapat King Faisal Award dalam tahun 2015. Anugerah tersebut di atas jasa dan peranan menyampaikan dakwah khususnya dakwah kepada non-Muslim. Beliau memilih Malaysia sebagai tempat bermastautin. Siri jelajah Malaysia dalam tahun 2016, mendapat sambutan hangat di mana saja majlis diadakan di Persekutuan Tanah Melayu. 

Kekecuhan pidato Zahir yang menyentuh keturunan India dan Cina sebagai membela diri atas desakan dan kecaman terhadapnya, diambil kesempatan setengah kumpulan memperteguhkan tuntutan mereka untuk menghalau Zakir dari negara ini. Menyingkirkan Zakir dari negara ini akan dapat meredakan krisis racialisme. Dakwaan demikian secara langsung menutup lompang kebisingan terhadap beberapa kegagalan kerajaan Malaysia Baru; gagal menyelesaikan manifesto PRU14, gagal mengatasi kelemahan dan kelembaban ekonomi, gagal menutup isu hutang negara yang meningkat sejak PH memerintah. 

Di samping itu, isu Zakir dapat mengetengahkan persepsi awam bahawa DAP sebagai parti yang mendominasi kuasa penentu keputusan  dalam PH, yang menggambarkan kuasa kerajaan hari ini dalam tangan orang Cina, apabila lebih 90% undi kawasan bandar, mewakili pengundi Cina diberikan kepada calon DAP dan calon bukan Melayu dari PKR. Isu Zakir juga menjelaskan agenda tolak Islam, pobia kepada gerakan dan tamadun Islam, yang membawa kepada penolakan pengenalan khat Jawi dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Pihak yang mencabar Zakir yang terdiri dari kalangan bijak pandai dan akademik sepatutnya duduk sepentas berwacana secara akademik khususnya konsep, falsafah dan  doktrin pegangan kepercayaan Hindu atau Kristian bersama Zakir. Zakir tidak memperlekeh ajaran Hindu dan Kristian, tetapi beliau membuat perbandingan ajaran agama berkenaan berasaskan kitab utama masing-masing Veda dan Injil serta Al Quran. Dalam pidato beliau di Kota Bharu, minggu lepas, diberikan peluang untuk bersoal jawab. Seorang pemimpin kanan DAP diberi penghormatan sebagai dhif tetapi tidak memenuhi peluang yang diberi. 

Perkembangan politik di India selepas pilihan raya umum baru ini yang memberi kemenangan besar kepada parti Bharatiya Janata Party (BJP) dan sekutunya dalam National Democratic Alliance,yang memberi kesan menafikan kuasa penganut Islam. Pemahsuhan Perkara 370 Perlembagaan India yang membatalkan kuasa kerajaan bersendiri bagi negeri Jammu dan Kashmir yang didiami penduduk Islam dan kuasa pemerintahan diletakkan terus di bawah kerajaan Persekutuan. Cara kerajaan Persekutuan India menangani bantahan penduduk Jammu dan Kashmir cukup tragis, mengerikan dan memilukan.

Seorang menteri Persekutuan, M.Kulasegaran mendakwa bahawa orang Melayu adalah pendatang, tahun lepas, kemudiannya beliau mohon maaf. Isu tidak berpanjangan setelah permohonan maaf tersebut. Seorang warga Tionghua, Lee Kim Yew dengan sengaja mengibarkan bendera di premisnya dengan menghitamkan warna putih pada bendera rasmi negara. Lee mohon maaf setelah banyak terima teguran dan rasa tak puas hati orangramai, akhirnya isu selesai. Jutawan Koon Yew Yin dengan sinis memperli angkatan bersenjata negara yang "makan tidur" dan mengesyorkan dihantar membantu kerja-kerja ladang di rancangan tanah FELDA. Koon akhirnya mohon maaf setelah kenyataannya menjadi tatapan seluruh negara, dan isu Koon sama seperti isu Kulasegaran dan isu Lee, tidak berpanjangan setelah mereka mohon maaf setelah dipanggil ke balai polis untuk diambil makluman siasatan awal, setelah lapotan polis dibuat orangramai.

Berbeza dengan isu Zakir, setelah banyak laporan polis dibuat hasil pidato beliau menyentuh orang India dan Cina di Kota Bharu dan beliau mohon maaf, tetapi kecaman dan desakan menhantar beliau ke India berterusan. Beliau tidak dibenarkan mengadakan pidato atau kuliah di beberapa negeri. PM Tun Dr Mahathir menegaskan bahawa keputusan tidak memenuhi permintaan India tidak berubah, tiada keperluan untuk Zakir dihantar pulang. Tambahan pula, situasi di India di bawah pemerintahan BJP kini, tidak menjamin Zakir mendapat keadilan yang sepatutnya. 

Kita tunggu perkembangan terdekat, apakah berterusan episod menteri mencabar keputusan PM, kadang-kadang kena u-turn keputusan. PM membuat jaminan, bayaran royalti petroleum kepada negeri Kelantan, tetapi diketepikan pelaksanaannya oleh menteri yang bertanggungjawab kepada kewangan.

Ahad, 18 Ogos 2019

Pengaruh DAP

KERAJAAN PAKATAN HARAPAN MENTERJEMAHKAN KECELARUAN MENGUASAI SEBUAH KERAJAAN

Kerajaan Pakatan Harapan  walaupun sebuah pengkongsian kuasa lima parti; PKR, DAP, PPBM (Bersatu), Amanah dan Warisan, dalam tempoh setahun lebih menampakkan sebuah pengkongsian kuasa menghala kepada satu pihak dominan. Ianya tidak jauh beza dengan pengkongsian kuasa gabungan parti-parti dalam Barisan Nasional (BN) yang memberikan kuasa dominan kepada UMNO, yang secara langsung meletakkan kepentingan orang Melayu di hadapan. 


Hasil PRU14, gabungan kerjasama PKR (47 kerusi), DAP (42 kerusi), PPBM (Bersatu) (13 kerusi) dan Amanah (11 kerusi) menguasai 113 kerusi, dengan sokongan 8 ahli Warisan dan 3 orang calon Bebas, berjaya membentuk kerajaan dengan kekuatan 124 Ahli Parlimen. Blok kerajaan di Parlimen terdiri dari 57 orang Ahli Parlimen Melayu/Bumiputera Islam atau 45.9% sahaja. Ahli Parlimen bukan Melayu/bukan Islam dalam blok kerajaan seramai 67 orang.
Justeru, perwakilan Melayu dalam blok kerajaan mengatasi perwakilan bukan Melayu/Islam di Dewan Rakyat lantaran lompatan parti selepas PRU14, tetapi kerajaan Pakatan Harapan tidak jelas memperlihatkan penguasaan suara Melayu dalam pemerintahan. Pertambahan keanggotaan PPBM seramai 13 orang bekas ahli UMNO, 12 orang keturunan Melayu/Islam dan seorang Bumiputera bukan Islam, meningkatkan suara Melayu/Islam dalam blok kerajaan, hakikinya tidak mengubah pengaruh atau kekuatan. Seorang bekas ahli UMNO sertai Warisan, menjadikan jumlah Ahli Parlimen Melayu/Islam  terkini adalah 70 orang berbanding Ahli Parlimen bukan Melayu/bukan Islam seramai 68 orang. 

Gambaran dalam pemerintahan PH hari ini, walaupun suara Melayu/Islam telah menguasai 70 kerusi atau 50.7%, tidak menampakkan pengurangan dominasi bukan Melayu sebagaimana sebelum bermulanya proses lompat-melompat oleh Ahli-ahli Parlimen yang memenangi kerusi atas tiket BN dalam PRU14. Suara-suara menuntut hak kesamarataan, demi mengurangkan dominasi Melayu/Islam dalam pemerintahan dapat dikesan dalam pelbagai tindakan dan dasar. 

Cadangan Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), walaupun ditangguhkan, merintis jalan ke arah persamaan hak serta mengurangkan keistimewaan kepada orang Melayu selaku penduduk asal yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Secara langsung akan mengurangkan dominasi kuasa Melayu/Islam, serta memberi peluang yang sama kepada semua warga negara walaupun bukan penduduk asal negara ini. Cadangan ratifikasi yang jelas bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan yang memperakukan ketua negara melindungi kedudukan isitmewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan asasi kaum lain.

Cubaan untuk menandatangani Statut Rom oleh kerajaan Malaysia di bawah PH, dibaca umum oleh rakyat sebagai usaha untuk menghalang kerajaan melindungi warga yang dikehendaki oleh mahkamah antarabangsa. Statut Rom adalah satu treati (perjanjian) rasmi antara negara-negara dalam mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada negara pihak (state party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa.  Krisis keyakinan ini berakhir setelah kerajaan menarik diri menandatangi perjanjian berkenaan.

Seorang pemimpin kerajaan Malaysia Baru mempersoalkan kedudukan orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini, orang Melayu juga adalah pendatang. Didakwanya, orang India lebih lama menghuni negara ini berasaskan penemuan serta kesan sejarah penempatan tamadun Hindu di Lembah Bujang, tanpa membuktikan apakah kaum yang menganut Hindu.

Peruntukan kepada institusi pendidikan swasta Cina yang belum pernah diamalkan oleh kerajaan terdahulu, menjelaskan kecenderungan berpihak kerajaan PH untuk kaum tertentu. Tambahan pula, peruntukan berkenaan tidak dibentangkan dalam anggaran Perbelanjaan negara.

Usaha mempersoalkan status penduduk tetap pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik, yang asalnya berakarumbi Islamic phobia, secara langsung berkaitan dengan usaha kebimbangan pengaruh dakwah yang boleh mengancam penganut agama lain khususnya Hindu dan Kristian. Kini ditambah dengan kenyataan Zakir Naik mengenai kaum India dan Cina, membuka peluang yang lebih besar, kalangan tertentu untuk mengusir beliau keluar. Tambahan pula, kegagalan untuk mematahkan hujah akademik beliau dalam pegangan kepercayaan. 

Apabila Kementerian Pendidikan hendak memperkenalkan seni tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang wajid dipelajari di sekolah-sekolah vernakular, tentangan kuat pelaksanaannya. Alasan tentangan atas kebimbangan langkah kementerian ini sebagai satu proses Islamisasi dalam pendidikan peringkat sekolah. Tentangan paling lantang datang dari Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong). Perdana Menteri pernah menyebut Dong Zong adalah rasis.

Sebagai sebuah kerajaan baru, tahun pertama adalah tahun suaikenal, dan tahun kedua sekarang adalah tempo untuk mengukuhkan pentadbiran dan dasar. Dalam era demikian, apa yang berlaku dalam kerajaan Malaysia Baru lebih mempertontonkan ketidakseratian antara kepimpinan dengan pengikut. Banyak berlaku percanggahan pendapat, keputusan dan arahan dari Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan, memperolehi respons yang tidak sekata dan celaru, khususnya dalam kes-kes di atas dan kes-kes lain yang melibatkan pelaksanaan undang-undang dan keputusan dasar. 

Sungguhpun DAP menguasai satu pertiga keanggotaan Parlimen tetapi lebih memainkan peranan yang dominan yang urusan pentadbiran dan keputusan pelaksanaan dasar. Seolah-olah DAP mewakili kerajaan di mana jumlah Ahli Parlimen bukan Melayu (42 DAP, 24 PKR) mampu mendominasi penguasaan dalam kerajaan. Pandangan Perdana Menteri dalam beberapa isu sebagai contoh; ICERD, Status Rom, Zakir Naik, tulisan khas, disambut dengan reaksi yang tidak senada dan selari, antara Perdana Menteri dengan menteri-menterinya. Bukan rahsia lagi bahawa wujud kata-kata atau keputusan dibuat ketua kerajaan memberikan tindakbalas tidak menyenangkan. Rational juga cadangan pembangkang; menteri yang gagal menyokong Perdana Menteri lebih baik letak jawatan untuk melicinkan pentadbiran dan pemerintahan.











 


Selasa, 6 Ogos 2019

Kuasa Politik Melayu

MAMPUKAH PENDAFTARAN PEMILIH AUTOMATIK MEREDAKAN KEBIMBANGAN HAKISAN KUASA POLITIK MELAYU

Melihat kepada angka pemilih yang begitu besar di kawasan dimenangi sokongan bukan Melayu serta lebih 3 juta warga tidak mendaftar sebagai pemilih dengan majoritinya orang Melayu, satu trend kebimbangan wujud selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Kehilangan kuasa Barisan Nasional yang dikepalai UMNO yang menggambarkan sebuah kerajaan didominasi orang Melayu, dan digantikan dengan sebuah pemerintahan di mana suara perwakilan bukan Melayu mengatasi perwakilan Melayu, membina sebuah kebimbangan dalam politik Malaysia.

Terdapat 31 bahagian pilihan raya Parlimen dari jumlah 165 kawasan di Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) mempunyai pemilih melebihi 100,000 pemilih dalam PRU14.  Pakatan Harapan menguasai 26 kerusi, Pas 4 kerusi dan BN kuasai satu kerusi bagi kerusi kelompok pengundi demikian. Tujuh kawasan pengundi paling ramai berada dalam negeri Selangor; Bangi (178,790 pengundi dengan 43% Melayu), Damansara (164,322 pengundi, 13.8% Melayu), Klang (149,348 pemilih, 33.26% Melayu), Kota Raja (149,021 pemilih, 45.4% Melayu), Subang (146,422 pemilih, 37.3% Melayu), Gombak (141,112 pemilih, 75.3% Melayu) dan Petaling Jaya (140,920 pemilih, 42.8% Melayu). 

Dalam kelompok kawasan melebihi 100,000 pengundi, terdapat 4 kawasan mengandungi lebih 90% pengundi Melayu; Tumpat, Kemaman, Kuala Terengganu dan Marang. Semuanya dimenangi oleh Pas. Parlimen Baling (88% pengundi Melayu), kerusi tunggal dalam kategori berkenaan dimenangi BN. Selain Damansara (kawasan majoriti pengundi Cina) dan Gombak (majoriti Melayu), sebahagian besar baki 24 kerusi dimenangi Pakatan Harapan adalah kawasan campuran.

Sementara 33 bahagian pilihan raya Parlimen mempunyai kurang 50,000 pengundi, dengan Bukit Bintang (majoriti Cina), Labis dan Cameron Highlands (campuran), bakinya adalah kawasan majoriti Melayu. Kawasan pengundi bawah 50,000 pengundi ini dimenangi oleh BN: 26, PH: 6 dan Pas: 1.  8 kawasan Parlimen dengan bilangan pengundi paling sedikit, iaitu bawah 40,000 pengundi, semuanya dimenangi oleh BN; Putrajaya, Lenggong, Padang Rengas, Cameron Highlands, Kuala Kangsar, Lipis, Gerik, Parit. 

Kesimpulannya, kerusi Parlimen di Malaya yang mempunyai pengundi besar, terangkum dalam kawasan campuran, menjadi milikan PH, sementara kawasan dengan bilangan pemilih yang kecil adalah kawasan majoriti Melayu, dikuasai oleh BN. Baki 101 kerusi Parlimen berada dalam jumlah pengundi dalam lingkungan 50,000 ke 99,000, yang merupakan kawasan majoriti Cina, kawasan campuran dan kawasan majoriti Melayu menjadi medan pertarungan PH, BN dan Pas. Semua kerusi majoriti Cina selain Damansara, menjadi kubu kuat PH. Kerusi campuran membantu PH, sementara Pas dan BN hanya mampu kuasa kawasan majoriti Melayu. 

Suara-suara kegelisahan kehilangan kuasa Melayu lebih lantang pasca PRU14.  Ditonjolkankan peratusan besar warga yang cukup umur tetapi masih belum didaftarkan sebagai pemilih didominasi oleh orang Melayu. Kesan ketidakpekaaan mendaftar sebagai pemilih, lebih terasa bila dibandingkan angka pemilih dengan angka penduduk mengikut kaum. 

Data pemilih negeri Selangor dalam PRU14 menunjukkan pengundi Melayu hanya 50.04% dan Bumiputera lain; 1.08% dari jumlah 1.56 juta pengundi, ianya tidak setara dengan jumlah penduduk Selangor; 57.1% Melayu dan Bumiputera dari jumlah 5.4 juta orang. Berdasarkan angka berkenaan jika peratusan pendaftaran yang tinggi sebagai pengundi di kalangan orang Melayu, senario Selangor sebagai satu ancaman kuasa politik Melayu, kurang cabarannya.

Walaupun kerajaan PH tidak mampu meminda Perlembagaan Persekutuan kerana kekurangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, tetapi persempadanan semula kawasan pilihan raya boleh dilakukan tanpa menambah bilangan bahagian pilihan raya atau kawasan pilihan raya. Apa yang boleh dilaksanakan ialah memecahkan kawasan pengundi yang besar dan mencantumkan kawasan bilangan pengundi yang kecil. Kerusi Parlimen seperti Bangi, Damansara, Klang, Gombak, Kota Raja, Subang atau Petaling Jaya boleh dipecahkan. Sementara kerusi Parlimen Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjung Karang  yang mempunyai pengundi kurang 50,000 orang dicantumkan membentuk satu atau dua kerusi sahaja. Bilangan kerusi Parlimen di Selangor tetap kekal dengan 22 kerusi, cuma taburan pengundi yang lebih seimbang antara kawasan. 

Di negeri Perak, pengundi Melayu adalah 50.67% dan Bumiputera lain 2.36% dari jumlah pengundi seramai 1.19 juta dalam PRU14, sedangkan orang Melayu dan Bumiputera merupakan 57.0% dari jumlah 2.26 juta penduduk.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, orang Melayu adalah 38.07% dan Bumiputera lain pula 1.75% dari jumlah pengundi 687,449 orang pengundi. Data penduduk Kuala Lumpur menunjukkan jumlah penduduknya seramai 1.63 juta orang, dengan 45.9% Melayu dan Bumiputera. 

Pengundi Melayu adalah 34.41% dan Bumiputera lain 0.39% dari jumlah 709,282 pemilih di Pulau Pinang dalam PRU14. Data penduduk memperlihatkan penduduk Melayu dan Bumiputera adalah 43.6% dari jumlah 1.52 juta penduduk Pulau Pinang. 

Keseluruhan pengundi di 165 kawasan pilihan raya Parlimen Malaya  berjumlah 12,521,421 orang dengan 60.4% adalah pengundi Melayu. Lantaran peratusan warga Melayu di semua negeri lebih tinggi berbanding peratusan pemilih Melayu, orang Melayu mempunyai kedudukan yang lebih kukuh menguasai politik Malaysia di masa hadapan, di mana 68.8% penduduk Malaysia semasa adalah dari Melayu dan Bumiputera. 

Pengukuhan tersebut diperkuatkan dengan tindakan berani amalan politik sejahtera kerjasama kerajaan dan pembangkang meluluskan Rang Undang-undang Pindahaan Perlembagaan (2019) dengan maksud menurunkan kelayakan umur pengundi serta pendaftaran secara automatik.  Cadangan asal kerajaan adalah menurunkan umur kelayakan pemilih dari 21 tahun ke 18 tahun sukar diluluskan lantaran kerajaan PH tidak mempunyai suara dua pertiga. Desakan dan syarat pembangkang pelaksanaan pendaftaran automatik membolehkan rang undang-undang ini diluluskan tanpa bangkang. Melalui pendaftaran automatik akan dapat selesaikan masalah warga yang tidak mendaftar dengan majoritinya orang Melayu. Secara logiknya, bila terlaksana kelak, dijangka dalam tahun 2021 selepas selesai operasi mekanisme perundangan dan pengurusan, peratusan warga yang layak sebagai pemilih selari dengan peratusan penduduk. 

Tambahan pula, mengikut kadar pertumbuhan rakyat Malaysia dalam tahun 2017 ialah 1.94%. Mengikut dapatan dari bancian penduduk 2010, 2.4 orang anak setiap wanita Melayu dan Bumiputera, berbanding 1.4 anak setiap wanita Cina dan 1.8 anak setiap wanita India. Kadar kesuburan wanita Melayu adalah 40% lebih tinggi berbanding wanita India dan 56% berbanding wanita Cina. Peratusan penduduk Cina jatuh mendadak walaupun jumlahnya meningkat, dalam tahun 1957, penduduk Cina adalah seramai 2.4 juta bertambah kepada 6.6 juta dalam tahun 2017. Bila negara Merdeka, orang Cina adalah 40% penduduk, 60 tahun kemudian hanya 23.2%. Penduduk Melayu bertambah dari 3.1 juta dalam tahun 1957, meningkat kepada 15.5 juta dalam tahun 2017. 

Faktor utama pengukuhan kuasa politik Melayu selepas perubahan peraturan pendaftaran pemilih ialah pendidikan politik di kalangan anak-anak Melayu, yang banyak bergantung kepada peratusan keluar mengundi. Dalam beberapa pilihan raya lepas sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, peratusan keluar mengundi yang rendah berlaku di saluran mengundi anak muda. Parti-parti politik khususnya yang berakar umbi dalam kelompok Melayu harus menjadikan agenda mendekati anak muda sebagai keutamaan.