Jumaat, 19 Oktober 2012

Kuasa Kerajaan Negeri

KUASA KERAJAAN NEGERI MEMERLUKAN JAMINAN SEMANGAT PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Berdasarkan kepada analisis dari laporan Ketua Audit Negara 2011 mempertontonkan satu hakikat perbandingan yang jelas menunjukkan urus tadbir kewangan kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat lebih baik berbanding dengan urus tadbir di bawah Barisan Nasional. Secara tidak langsung, membuka ruang kepada khalayak rakyat membuat penilaian kemampuan Pakatan Rakyat mengurus pentadbiran negeri sebagai tapak asas menuju kepada pertukaran kerajaan Persekutuan, dalam pilihan raya umum akan datang.

Kejayaan pemerintahan BN melebihi separuh abad membangunkan negara membolehkan rakyat menikmati serta mengecap nikmat kemerdekaan dengan kepesatan pembangunan fizikal, harus diberi pujian dan dihargai. Namun tanggungjawab memenuhi mandat yang diberi setiap kali pilihan raya umum sejak merdeka, adalah kerja routine setiap kerajaan. Pengalaman mana-mana negara selepas mencapai kemerdekaan, akan mengambil amalan menerusi beberapa tahap dengan matlamatnya ke arah yang lebih baik untuk negara dan rakyat. Tahap awal selepas merdeka ialah mengisi kemerdekaan dengan aspirasi nasional dengan pembentukan negara bangsa. Inspirasi ke arah pembinaan jatidiri bangsa lebih diutamakan dan dibanggakan ialah mengambil alih jentera ekskutif. Tahap ini diringi dengan pembangunan fizikal dengan kesejahteraan rakyat serta melambangkan keupayaan bekerajaan sendiri.

Dua tahap pasca-merdeka sudah kita lalui. PRU12, memaparkan tahap awal kepada tahap seterusnya. Tahap pembangunan fizikal yang dipaparkan "Ini Satu Lagi Projek Barisan Nasional", sudah dimamah usia dan ketinggalan zaman. Tahap mengurniakan rakyat secara material seperti bantuan KR1M, bantuan zink, mangkuk tandas, kerek perigi, dan lain-lain bantuan wang off, telah menjadi satu tugasan ekskutif, tanggungjawab ekskutif yang dibayar gaji melalui sumbangan setiap orang selaku pembayar cukai langsung dan cukai tak langsung. Tahap kedua pasca-merdeka, yang diterjemahkan sebagai mentaliti Dunia Ketiga, sudah menjadi satu satu normal dan lazim, yang bukan lagi dianggap satu keistimewaan.

PRU12 adalah zaman transisi dari tahap dua ke tahap tiga. Tahap tiga ialah keinginan dan impian khalayak masyarakat selaku pembayar cukai dan pengundi berdaftar; impikan sebuah urus tadbir negara yang dapat memenuhi ciri-ciri tetelusan, kecekapan dan intergriti. Kita mengambil jangka masa yang agak panjang menuju ke tahap ini. Ini ekoran, kepentingan politik parti pemerintah, sengaja mewujudkan kelompok serta elemen tertentu, supaya rakyat senang digula-gulakan dengan bantuan materialistik demi kesinambungan kuasa parti yang memegang kuasa. Justeru itu, dulu dikenalipasti konsep "kemiskinan terancang". Satu keadaan yang sengaja diwujudkan untuk memudahkan parti tertentu menyalurkan bantuan, demi membuktikan kepekaan, kecaknaan serta kebajikan pemeintah terhadap golongan tertentu, walaupun bantuan berkenaan adalah sumber dari khazanah negara, hasil kutipan cukai dari rakyat, bukan dari tabung parti sumbangan dema ahli.

Hari ini masyarakat sivil mempersoalkan berapa banyak wang rakyat dibazirkan, banyak perbelanjaan rasmi kerajaan yang ditiriskan, mengapa hutang individu tertentu dihapuskira, mengapa peruntukan dari dana awam tidak sampai ke sasaran, mengapa perlu ada tender runding terus, mengapa perlu ada "cable" dalam urus tadbir khidmat awam.

Dalam tahap awal pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad,  beberapa dasar dan pendekatan memurnikan perkhidmatan awam diperkenalkan. Antaranya; Dasar Pandang Ke Timur, Penerapan Nilai-nilai Islam, Belilah Barangan Buatan Malaysia. Ini diperkukuhkan lagi dengan slogan pentadbirannya "Bersih, Cekap, Amanah" (BCA). Selepas 30 tahun BCA diperkenalkan, sebahagian pengundi di Malaysia mempersoalkan kegagalan BCA menangani ketirisan, rasuah, nepotisme dan kronisme, telah menzahirkan respons mereka menerusi peti undi dalam PRU12 lalu.

Pentadbiran Pas di Kelantan memperkenalkan 3 teras dasar pentadbiran negeri menerusi motto "Membangunan Bersama Islam": ubudiah, mas'uliah dan itqan, dalam membentuk jatidiri berasaskan tugasan sebagai satu tanggungjawab bukan sekadar menenuhi tuntutan pekeliling pentadbiran tetapi merangkumi pengabdian kepada Ilahi yang menjadi tanggungjawab di dunia dan hari pembalasan. Setelah melebihi 20 tahun, belum ada seorang pun anggota pentadbiran negeri sama ada legislatif atau ekskutif, dibawa ke muka pengadilan. Satu rekod sebuah kerajaan. Sebaik saja, dakwaan atau tuduhan ke atas mana-mana penjawat awam atau lantikan politik dibawa ke SPRM, siasatan berjalan dengan pantas. Report hari ini, besok SPRM dan PDRM buat siasatan. Tambahan pula kedua-dua SPRM dan PDRM agensi dikawal langsung oleh kerajaan Persekutuan dan berada dalam Senarai A (bidang kuasa Persekutuan) Perlembagaan Persekutuan.  Amat jauh berbeza dengan pentadbiran kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri BN di seluruh negara, mengambil masa yang lama dan kadang-kadang sunyi senyap begitu saja. 

Bajet kerajaan negeri Kelantan 2013, yang dibentangkan minggu lepas dijangka alami lebihan RM45.83 juta. Berbanding bajet kerajaan Persekutuan yang dibentangkan pada 28 September lalu,  alami belanjawan kurang atau defisit , sejak 16 tahun lalu. Belanjawan defisit berlaku apabila perbelanjaan melebihi pendapatan, di mana akan diimbangi dengan pinjaman sama ada dalam negeri atau luar negeri.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dikeluarkan selepas pembentangan Bajet Kerajaan Persekutuan 2012, memperlihatkan keupayaan pengurusan jabatan dan agensi kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat dengan peningkatan ketelusan serta peningkatan hasil, serta mendapat perakuan serta pujian prestasi serta pengurangan teguran auditan serta prestasi 4 negeri ini berada di kedudukan empat teratas berbanding negeri-negeri lain.

Kutipan hasil yang diperolehi kerajaan Selangor meningkat sebanyak RM62.5 juta berbanding tahun 2010. Hasil sebenar yang dikutip pula melebihi anggaran iaitu RM204 juta atau 114.3 peratus, berbanding tahun 2010, RM141.5 juta.

Hasil kerajaan negeri disumbangkan melalui premium geran tanah, cukai tanah dan pemberian geran jalan. Peningkatan hasil membolehkan kerajaan Selangor mengakhiri tahun kewangan 2011 dengan lebihan RM180.50 juta berbanding tahun 2010, juga lebihan iaitu sebanyak RM124.24 juta.

Kedudukan Kumpulan Wang Disatukan bagi negeri Kelantan meningkat kepada RM234.47 juta dalam tahun 2011 berbanding RM148.30 juta tahun 2010, peningkatan RM86.17 juta atau 58.1 peratus. Laporan itu juga mengatakan pelaburan di Kelantan telah meningkat dari RM16.33 juta tahun 2010 kepada RM111.33 juta tahun 2011. Peningkatan hampir 600 peratus.

Sebanyak 2,455 projek atau 98.6 peratus daripada 2,489 projek yang dirancangkan oleh kerajaan Pulau Pinang dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetap. Sejumlah RM557.25 juta diperuntukan untuk melaksanakan 2,489 projek berkenaan dalam tempoh lima tahun.

Kedudukan dan pengurusan kewangan kerajaan Kedah secara keseluruhannya memuaskan, mengikut laporan berkenaan.

Setiap Ahli Parlimen (Ahli Dewan Rakyat), dulu diberi peruntukan RM500,000.00 setahun, kini telah dinaikkan ke RM1 juta. Peruntukan Ahli Parlimen dari parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah diperuntukkan kepada Ketua UMNO Bahagian, di kawasan Parlimen masing-masing. Penafian hak Ahli Parlimen ini, sedikit sebanyak menjejaskan reputasi amanah dan akauntabiliti urus tadbir di bawah BN, yang akan menghambat sokongan pengundi atas pagar dan pengundi muda serta pengundi yang cintakan keadilan, kesaksamaan dan kesamarataan.

Penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di negeri-negeri pemerintahan Pakatan Rakyat seolah-olah mencabar semangat dan roh Perlembagaan Persekutuan dalam hubungan dengan kerajaan negeri. Penyaluran peruntukan di bawah Senarai C (kuasa bersama Persekutan dan kerajaan negeri), menafikan hak dan bidang kuasa kerajaan negeri. Penubuhan JPP telah meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan, intergriti dan keikhlasan kerajaan Persekutuan membantu rakyat di seluruh negara.

Elemen-elemen ini merancakkan usaha amalan "pecah dan perintah" kerajaan Persekutuan yang dikuasai UMNO/BN, untuk mengekalkan kuasa. Iltizam neo-kolonialisme menerusi amalan pecah dan perintah ini, memperlambatkan usaha membina jatidiri bangsa sebagaimana tuntutan dan inspirasi tahap keempat pasca-merdeka.

Semua ini, akan menyumbangkan kepada krisis keyakinan terhadap kerajaan BN hari ini dalam bentuk; hubungan antara Persekutuan-negeri, hubungan antara kaum (Melayu dianggap mewakili kerajaan dan bukan Melayu dilabelkan pro-pembangkang), hubungan antara kelas (aristokrat dan birokrasi diangap mewakili kerajaan BN dan kelas marhaen dikatakan kelompok pembangkang), hubungan penghuni sektor bandar (pro-pembangkang) dengan sektor desa (penyokong tegar kerajaan).

Krisis keyakinan ini akan berkembang biak dan membengkak yang memperlahankan pembinaan sebuah masyarakat madani yang melambangkan rupabentuk jatidiri bangsa Malaysia, memperlengkapkan bangsa yang merdeka. Penyelesaiannya, di tangan khalayak masyarakat pemilih dalam PRU13, yang akan tiba bila-bila masa saja. Kembali kepada semangat Perlembagaan Persekutuan, akan mengendurkan krisis keyakinan.

Kerala, sebuah negeri dalam kerajaan Persekutuan India, terkenal dengan kemiskinan dan kemundurannya. Dalam pilihan raya Dewan Perwakilan (Lok Sabha) Kerala 1996, Parti Kongres yang berkuasa 3 penggal (1984-1996) gagal pertahan kuasa bila cuma dapat 37 kerusi dari jumlah 140 kerusi. Parti Komunis India - Marxist dapat 40 kerusi, bergabung dengan beberapa parti aliran kiri, dalam gabungan United Front, menjumlahkan 72 kerusi, membentuk kerajaan.

Roh perlembagaan Persekutuan tidak dicabul, JPP tidak diwujudkan di Kerala oleh kerajaan Pusat yang dikuasai Parti Kongres, United Front berjaya membuktikan kejayaan urus tadbir sebuah kerajaan negeri yang miskin. United Front yang dikepalai oleh sebuah parti aliran komunisme, melancarkan pelan pembangunan rakyat berpusat, di mana 900 majlis pemesyuaratan peringkat tempatan (kampung) diberi kuasa merancang serta melaksanakan pelan pembangunan setempat, memakan 40 peratus peruntukan bajet kerajaan negeri. Cadangan dari majlis kampung, yang melibatkan seluruh warga kampung (bukan keahlian terpilih seperti JKKK), diangkat ke majlis tempatan, di mana ahlinya dipilih menerusi pilihan raya tempatan, untuk mendapat pandangan dan kelulusan. Kesannya, strategi pembangunan ini berjaya mengagihkan pembangunan seimbang seluruh negeri dan meningkatkan agihan pendapatan yang sama rata di kalangan rakyat.

Model Kerala ini mampu dilaksanakan dengan mencerminkan keupayaan pembinaan jatidiri bangsa setelah dalam urustadbir bebas dari ketirisan, kepartian dan kepuakan, serta menguncupnya polarisasi kaum. Hak setiap individu, kelompok atau entiti diberikan sepenuhnya sebagaimana jaminan Perlembagaan Persekutuan. Justeru itu, kuasa kerajaan negeri usahlah dinafikan. Keadilan hendklah disamaratakan demi keberkesanan intergriti dan akauntabiliti.

Jaminan pemberian 20 peratus hasil petroleum kepada negeri-negeri yang berkaitan oleh Pakatan Rakyat andainya berjaya mengambil kuasa kerajaan Persekutuan, akan memberi usaha yang lebih oleh kerajaan negeri-negeri berkenaan, yang kebetulan menduduk kelompok negeri miskin, melaksanakan perancangan berdikari. Cadangan Pakatan Rakyat, menubuhkan perbadanan negeri berhubung petroleum, adalah usaha proaktif, memperkukuhkan negeri-negeri berkenaan berdikari, agar dapat keluar dari garisan negeri miskin.

Harapannya tahap realiti politik baru yang menuntut elemen-elemen ketelusan, intergriti, akauntabiliti,  kebertanggungjawapan serta keberhasilan tataurus yang menyakinkan, semua kerajaan sama ada Persekutuan dan negeri, akan dijelmakan untuk masa depan negara kita. Medan untuk menentukannya ialah di tangan para pemilih dalam PRU13 nanti. Ekorannya, diharapkan akan terbina generasi jatidiri bangsa Malaysia yang dapat dipaparkan menerusi amalan hidup harian.

Apakah rakyat Malaysia, generasi selepas PRU13, bukan sekadar mengubah kerajaan tetapi mengubah kehidupan sosial dengan mengamalkan budaya baru: tidak merokok di tempat awam, tiada yang buang masa di kedai kopi, pantang melibat sampah, menepati waktu jam? Kita sudah serik dizalimi, dinafikan hak, dan dipermainkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan