Sabtu, 23 September 2023

Peruntukan Ahli Parlimen

 MENGAPA KERAJAAN MADANI TAK BAGI PERUNTUKAN UNTUK AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG

Menarik juga bila beberapa orang Ahli Parlimen dari blok pembangkang membangkitkan peruntukan untuk mereka dinafikan berbanding dengan layanan beberapa kerajaan negeri tadbiran Perikatan Nasional (PN) meraikan peruntukan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang. Tindakan kerajaan Madani yang mentadbir kerajaan Persekutuan memberikan alasan kegagalan 74 orang Ahli Parlimen PN yang mendominasi blok pembangkang memenuhi syarat berunding dengan pihak kerajaan, sebagai alasan peruntukan belum diturunkan hingga kini. 

ADUN Pembangkang dari PH dan UMNO diberikan peruntukan tahunan  oleh kerajaan-kerajaan negeri di bawah tadbiran PN; Perlis, Kedah dan Kelantan. Tiada peruntukan di Terengganu, lantaran kemenangan PN 32-0. Di negeri Johor, peruntukan RM200,00.00 untuk semua ADUN termasuk pembangkang yang mula diperkenalkan zaman pentadbiran Dato' Hasni Mohamad diteruskan oleh pentadbiran hari ini. Di Perak, peruntukan lebih besar diberikan kepada ADUN termasuk pembangkang; RM100,000.00 berupa outright grant, RM200,000.00 untuk projek-projek kecil untuk masyarakat dan RM84,000.00 untuk pengurusan Pusat Khidmat ADUN. 

Setiap Ahli Parlimen diberi peruntukan dalam jumlah tertentu oleh kerajaan Persekutuan untuk digunakan di kawasan masing-masing. 

Seseorang Ahli Parlimen boleh memohon peruntukan untuk pembangunan di kawasan mereka seperti pembinaan dewan komuniti yang baru, 

Mereka juga boleh memohon peruntukan dalam bentuk geran atau sumbangan kepada NGO atau pertubuhan lain di kawasan mereka. 

Dalam amalan di negara kita, peruntukan ini berubah mengikut masa lantaran perubahan nilai harga barangan dan kos hidup. Asalnya dari jumlah peruntukan RM100,000.00, naik ke RM500,000.00, terus ke RM1,000,000.00 semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), sehingga Parlimen penggal 13, berakhir Mei 2018. Semasa pentadbiran BN, peruntukan Ahli Parlimen disalurkan ke Ahli Parlimen BN atau penyokong kerajaan sahaja, sementara di kawasan tidak diwakili oleh wakil rakyat BN atau kawasan BN kalah, diuruskan oleh Ketua UMNO Bahagian di kawasan berkenaan. 

Setelah pucuk kepimpinan negara bertukar lantaran kekalahan BN dalam PRU14, di bawah pentadbiran 22 bulan kerajaan Pakatan Rakyat (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, peruntukan diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang, sebagaimana jadual di bawah.  Tan Sri Mahyuddin Mohd Yassin dan DS Ismail Sabri Yaacob meneruskan agihan peruntukan yang diinsiatif oleh kerajaan 22 bulan.

 Jadual 1

PERUNTUKAN SEORANG AHLI PARLIMEN 2020


PENYOKONG KERAJAAN

PEMBANGKANG


Pembangunan

RM2,000,000.00

RM100,000.00

Geran & sumbangan

RM1,500,000.00

Tambahan (Malaysia Timur sahaja)

RM500,000.00

tiada

Pusat Khidmat

RM300,000.00

tiada

 Sebaliknya kerajaan baru hasil PRU15 hingga hari ini (23/09/2023) masih tidak memberi peruntukan kepada anggota pembangkang, dengan peruntukan RM3.8 juta untuk penyokong kerajaan dan RM0 untuk penghuni blok pembangkang. Malah negeri-negeri miskin seperti Kelantan dan Perlis mengambil langkah bertentangan dengan kerajaan Persekutuan, bersama negeri-negeri yang lebih maju, Johor, Perak dan Kedah, memberikan peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat. 

Peruntukan untuk Ahli Parlimen terkandung dalam Belajawan Negara. Soalnya, ke mana salurannya ianya diperturunkan untuk dibelanjakan kepada rakyat yang membayar cukai. Mungkinkah instrument yang sama dibelanjakan menerusi pihak yang tidak dipilih oleh rakyat atau pihak yang kalah dalam pilihanraya, sebagaimana amalan zaman pemerintahan BN dulu. Sungguhpun setiap orang Ahli Parlimen menerima elaun asas sebanyak RM16,000.00 sebulan, bayangkanlah mereka terpaksa menggunakannya untuk urusan pusat khidmat, ziarah kematian, ziarah rakyat ditimpa musibah dan majlis kahwin di samping sumbangan untuk rakyat yang terdesak dan terhimpit kehidupan. Perbelanjaan tersebut tidak disenaraikan sebagai antara elaun dan kemudahan dimiliki seseorang Ahli Parlimen. Antara kemudahan lain; elaun hadir sidang Parlimen, elaun sertai mesyuarat dan bengkel agensi kerajaan, elaun keraian, elaun perjalanan (termasuk bayaran tol dan petrol), elaun pemandu, elaun telefon, elaun pakaian majlis.





Rabu, 20 September 2023

Polarisasi Kaum 2

 PRN 6 NEGERI MENGESAHKAN POLARISASI KAUM MENDOMINASI PEMILIH MEMBUAT PILIHAN.

 bahagian 2 

Pilihan Raya Umum ke 15  (PRU15) bagi 6 negeri bulan lepas jelas menyimpulkan pengukuhan satu bentuk kecenderungan menebalkan bentuk perkauman khususnya di kawasan bandar. PRU15 memuktamadkan dua parti: DAP dan Pas sebagai parti dominan dalam politik Malaysia. DAP bukan sahaja mendominasi kawasan bandar yang mencerminkan perwakilan monopoli pengundi bukan Melayu. Kejayaan DAP menguasai 46 daripada 47 kerusi yang ditandingi atau penguasaan 97.87%, mengesahkan DAP sebagai parti yang paling dominan. Sungguhpun pencapaian 97.87% di negeri-negeri tertentu, tetapi pencapaian bilangan penguasaan kerusi terbanyak di kalangan parti-parti di peringkat Parlimen yang membentuk kerajaan Madani, mengukuhkan kedudukan dan peranan DAP. 

Kerusi tunggal, Derga yang gagal dimenangi DAP, adalah kawasan 60% pengundi Melayu. Kawasan pilihanraya Derga, diwujudkan selepas persempadanan kawasan tahun 1983 dan mula beroperasi dalam PRU7 (PRU 1986), iaitu kawasan pinggiran bandaraya Alor Setar. Barisan Nasional (BN) menguasai kerusi ini semenjak PRU7, dengan memperuntukan kepada UMNO, selamat 2 penggal dan diberikan kepada MCA bermula PRU9 (PRU 1995). Dalam PRU13 (PRU 2013), setelah 6 penggal diwakili oleh BN, kerusi ini direbut oleh calon DAP. DAP mempertahankan kerusi ini dalam PRU14. 

Dari jumlah 46 kerusi dimenangi DAP, 41 kerusi kawasan majoriti bukan Melayu, di samping 5 kerusi campuran. 5 kerusi tersebut; Sekinchan (56% bukan Melayu), Kuala Kubu Baharu (57% bukan Melayu), Kota Kemuning (59% bukan Melayu), Sungai Pelek (51% Melayu) semuanya di Selangor dan Chennah (55% bukan Melayu), sebuah kerusi DUN Negeri Sembilan. Kemenangan Pakatan Harapan (PH) menerusi DAP menggambarkan penguasaan total kawasan atau kerusi majoriti bukan Melayu, di mana 89% kerusi milikan DAP diperolehi dari kawasan majoriti bukan Melayu. 

PRU15 bagi 6 negeri melibatkan 245 kerusi DUN: 175 kawasan majoriti Melayu, 51 kawasan majoriti bukan Melayu dan 19 kerusi campuran (10 kerusi pengundi Melayu kurang dari 50% dan 9 kerusi pengundi Melayu lebih 50%). 245 kerusi tersebut meliputi DUN Kedah (36), Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36). 

Kemenangan gabungan calon-calon PH; DAP (46 kerusi), PKR (26) dan Amanah (8) lebih bersifat penguasaan kawasan bandar dan pinggir bandar. Kesemua kerusi bandar dan majoriti pengundi bukan Melayu dimenangi oleh DAP (41) dan PKR (10). Bagi kerusi campuran, 15 kerusi dikuasai oleh gabungan PH-BN; PKR (8), DAP (5) dan UMNO (2), sementara baki 4 kerusi campuran oleh PN; Bersatu (2), Pas (1) dan Gerakan (1). Semua kerusi campuran dimenangi oleh PN adalah kerusi-keruai campuran di Kedah. 

Umumnya PRU15 bagi 6 negeri masih mengekalkan persembahan semua parti yang bertanding dalam PRU15 Parlimen akhir tahun lepas, yang meletakkan Pas dan DAP adalah parti dominant dalam politik Malaysia. Pas mengetahui blok pembangkang dan DAP menguasai blok kerajaan. 

Pas bersama parti gabungannya; Bersatu dan Gerakan menguasai kawasan majoriti Melayu, dengan lain perkataan sebagai parti yang mendominasi kecenderungan orang Melayu menguasai politik tanah air. Kegagalan calon-calon PN yang diwakili oleh Gerakan menggambarkan kegagalan PN menguasai pengundi berbilang kaum. Calon-calon Gerakan di kawasan bandar dan kawasan majoriti bukan Melayu, bersama segelintir calon-calon bukan Melayu sebagai calon Bersekutu Bersatu dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (sayap penyokong Pas dari bukan Melayu), telah ditolak secara total oleh pengundi, bahagian besarnya hilang wang pertaruhan. Semakin besar peratusan pengundi bukan Melayu, semakin kecil peratusan undi unruk calon-calon PN. 

PRU15 6 negeri bulan lepas, mengubah landskap politik yang lebih telah menganjak penguasaan politik Melayu. Lebih 60 tahun, penguasaan politik Melayu sinonim dengan UMNO, sebagai wadah dan gambaran kecenderungan pengundi Melayu secara total, telah terarah kepada perubahan menjadikan Pas sebagai suara dan juara politik Melayu, dengan dibantu oleh Bersatu, untuk mengambil alih penguasaan UMNO. 

Kegagalan UMNO yang bertanding atas nama BN gagal memenangi sebarang kerusi di negeri Kedah dan Terengganu, serta hanya mampu menang satu kerusi di Kelantan, dan masing-masing dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor, memperlihatkan peminggiran orang Melayu dari UMNO diperkukuhkan lagi setelah kemurungan dalam PRU15 Parlimen. Dalam PRU15 Parlimen, UMNO bersama rakan komponen BN gagal hantar wakil ke Parlimen dari negeri-negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka. Di Melaka, UMNO bersama rakan komponen MCA dan MIC berjaya mengembalikan kuasa melalui PRN Melaka, akhir 2022. Kemenangan UMNO dalam PRN Melaka sekadar kehendak orang Melaka yang serik dengan pentadbiran PH selepas PRU14. Semasa PRU15, lantaran untuk  membentuk kerajaan di Persekutuan, orang Melaka tidak mengharapkan UMNO mewakili mereka. 

Kemenangan UMNO dalam PRU15 Negeri, kemenangan calon BN yang ditawarkan oleh UMNO lebih banyak bergantung kepada sokongan pengundi bukan Melayu. Kejayaan memenangi kerusi Galas (Kelantan), Sungai Acheh (Pulau Pinang) dan Dusun Tua (Selangor), walaupun kawasan majoriti Melayu tetapi peratusan pengundi bukan Melayu yang mampu membantu kemenangan. 37% pengundi di Galas, 32% di Sungai Acheh dan 38% di Dusun Tua adalah pemilih bukan Melayu, keseluruhannya di seluruh negara sama ada semasa PRU15 Parlimen atau Negeri, tidak kurang 90% daripada mereka menyokong PH. Walaupun majoriti pemilih Melayu memihak kepada PN, pengundi bukan Melayu dalam peratusan berkenaan bersama minoriti pengundi Melayu sudah cukup untuk memenangkan calon UMNO, apabila rasminya PH bersama BN bertanding sebagai satu calon tunggal melawan PN. Kemenangan sebenar UMNO mewakili orang Melayu hanya berlaku di kerusi Bertam (Pulau Pinang) dan Sungai Air Tawar (Selangor), kawasan majoriti pengundi Melayu, melebihi 80% pengundi. 

PN yang asas kekuatannya yang banyak bergantung kepada kekuatan dan jentera Pas, lantaran keberadaan Bersatu sebenarnya belum teruji. Kemenangan Bersatu dalam PRU14 tidak boleh dianggap sebagai kekuatan Bersatu, kerana sebagai parti dalam gabungan pakatan pembangkang, yang pastinya mengumpul kekuatan dan pengaruh DAP, PKR dan Amanah, membantu kemenangan pakatan pembangkang yang bertanding menggunakan logo PKR. Berbeza dengan Pas, yang mewakili blok ketiga dalam PRU14, atas nama Gagasan Sejahtera bersama beberapa parti kecil; Ikatan dan Berjasa, bertanding atas kekuatan sendiri, berfokus kepada kawasan majoriti Melayu. Dalam PRU15 Negeri, bermodalkan kemenangan satu kerusi DUN di Pulau Pinang dan Selangor dan tanpa sebarang kerusi di Negeri Sembilan, mampu membantu PN menang 11 kerusi di Pulau Pinang, 22 kerusi di Selangor dan 5 kerusi di Negeri Sembilan. Keseluruhannya PN memenangi 142 dari 175 kerusi atau 81%  kerusi majoriti Melayu di 6 negeri. 

Penguasaan 100% kerusi majoriti bukan Melayu oleh PH yang dikepalai oleh DAP, di satu pihak dan 81% kerusi majoriti Melayu milik PN yang dikepalai oleh Pas, meletakkan satu panorama dua kontradiks mewarnai medan politik tanahair. Kerangka politik ini meletakkan pengukuhan satu polarisasi kaum antara Melayu sebagai penduduk majoriti dengan etnik bukan Melayu, peratusan utamanya penduduk Cina, sebagai kumpulan minoriti. Natijahnya, hasil PRU15 di semua peringkat menoktahkan satu mercu tanda kegagalan mana-mana parti atau gabungan parti-parti sebagai wadah mewakili semua kaum serta batasan geografis. Secara langsung tergambar, barisan kerajaan dan pembangkang yang tidak seimbang antara kaum dan perwakilan.   Justeru itu, persempadanan semula kawasan pilihan raya di semua peringkat yang sepatutnya diadakan setiap 8 tahun, yang tertangguh lantaran ketidakcukupan suara majoriti dua pertiga di Parlimen, sejak 2011, sewajarnya diadakan yang boleh memecahkan polarisasi kaum dalam konteks politik Malaysia.





 


 

Isnin, 11 September 2023

PRK Pulai

 GAMBARAN PERSEPADUAN SOKONGAN KERAJAAN MADANI MEMPERTAHANKAN STATUS QUO

Kejayaan gabungan pendokong kerajaan Madani yang memperturunkan calon dari Parti Amanah Negara (Amanah) dalam pilihan raya kecil (PRK) kelmarin mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan kerusi negeri Simpang Jeram, perlu dilihat daripada beberapa petunjuk angkubah untuk mengukur pencapaian.  

Di kerusi Parlimen Pulai, calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat membolot 48,283 undi atau 61.54% daripada jumlah undi sah. Calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu, Zulkifli Jaafar memperolehi 29,642 undi atau 37.78% undi, sementara calon bebas, Samsuddin Muhamad Fauzi hanya mampu pungut 528 undi dan hilang wang peraturan. Seramai 78,816 pemilih atau 47.33 peratus daripada 166,653 pemilih telah keluar membuang undi. 

Dalam PRU15 Parlimen tahun lepas, calon PH, DS Salahuddin Ayub memperolehi 64,900 undi atau 55.33% undi dalam saingan tiga penjuru menentang calon BN daripada UMNO, yang perolehi 31,726 undi atau 27.05% dan calon PN daripada Gerakan, yang dapat 20,677 undi atau 13.63%, di kala 118,066 pemilih atau 71.46% keluar mengundi. 

Justeru calon PH bertanding mewakili kerajaan semasa, kerajaan Madani yang turut disertai BN membantu PH, sewajarnya pencapaian PRK, sewajarnya dilihat perbandingan pencapaian calon PH dengan gabungan pencapaian PH dan BN dalam PRU15. PRU15 Parlimen menjumlahkan undi gabungan PH-BN  sebanyak 64,900 tambah 31,726 iaitu 96,626 undi iaitu 82.83%. Mengambil kira kesungguhan kepimpinan UMNO dan jentera pilihanraya bertungkus-lumus mempastikan semua pengundi UMNO dan penyokong BN mengundi calon PH, atas semangat kebersamaan berada dalam kerajaan Madani, sewajarnya undi gabungan ini dipertaruhkan sebagai petunjuk keiltizaman keberadaan dalam sebuah kerajaan. Sepatutnya undi dipungut oleh calon PH adalah 82.83% dari jumlah undi sah iaitu 78,453 (jumlah keluar mengundi tolak undi rosak sebanyak 363) iaitu 64,983 undi.

Undi dikumpul oleh calon PH dalam PRK Parlimen Pulai; 48,283 atau 61.54% kekurangan 16,700 undi berpandukan 47.33% keseluruhan keluar mengundi. 

Undi diperolehi oleh calon PN dalam PRK ini lebih tinggi berbanding undi diperolehi PN dalam PRU15. Dalam PRU15, undi PN ialah 20,677 undi atau 13.63% meningkatkan kepada 29,642 atau 37.78% undi sah dalam PRK. Pertambahan undi PN sebanyak 8,965 undi atau peningkatan 43.36%, dari calon berbangsa Cina kepada calon Melayu. Komposisi pengundi di Parlimen Pulai; Melayu 44.5%, bukan Melayu 55.5%. 

Analisis awal pemerhati menjangkakan PH tiada masalah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pulai, yang harus diberi perhatian dari sudut kemerosotan undi gabungan PH-BN, sebaliknya berlaku peningkatan undi PN, dalam situasi peratus keluar mengundi yang jauh berbeza; 71.46% menurun ke 47.33%, dari 118,066 pemilih dalam PRU15 ke 78,816 pemilih dalam PRK. Apakah benar ramalan awal, pengundi bukan Melayu akan boikot PRK atau tidak lagi mengundi PH dan pengundi Melayu khususnya UMNO, sama ada pulau PRk atau beralih menyokong PN. 

Dalam PRN Negeri pada awal tahun lepas, di kerusi Simpang Jeram, calon PH dari Amanah, DS Salahuddin Ayub mengunguli 8,749 undi atau 40.94% undi, calon PN mewakili Pas, dapat 6,350 undi atau 29.72% undi, sementara calon BN dari UMNO perolehi 6,062 undi atau 28.37%. Seramai 21,756 pemilih atau 54.37% keluar membuang undi. 

Kerusi campuran Simpang Jeram dengan komposisi pemilih; 53.42% Melayu dan 46.49% bukan Melayu, dimenangi calon Amanah, DS Salahuddin Ayub dalam PRU14 (PRU 2018) dengan majoriti 7,687 undi. Dalam PRU12 (PRU 2008) dan PRU13 (PRU 2013), kerusi ini dulunya nama Sungai Abong, dimenangi calon Pas, Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh.

Dalam PRK semalam, calon PH dari Amanah, Nazri Abdul Rahman memperolehi 13,844 undi atau 56.54% dari jumlah undi sah. Calon PN dari Pas, Dr Mazri Yajya mengaut 10,330 undi atau 42.19%, sementara calon bebas Jeghanathan s/o Subramaniam, cuma dapat 311 undi dan hilang wang pertaruhan. Seramai 24,559 pemilih atau 60.82% telah keluar membuang undi. 

Calon PH mendapat tambahan undi sebanyak  5,095 undi, sementara undi calon PN bertambaj sebanyak 3,950 undi, sementara pertambahan keluar mengundi bertambah sebanyak 2,803 pengundi. Undi BN tambah undi PN adalah 9,045 undi, memungkinkan datangnya dari undi BN dalam PRU15 lalu tambah dengan tambahan pengundi keluar mengundi yang berjumlah 8,865 undi. 

Ramalan awal, saingan di Simpang Jeram dijangka sengit, lantaran tinjauan awam mendapati sukar bagi pengundi UMNO memberikan undi kepada PH, dan akan beralih ke PN dalam PRK ini. Majoriti undi yang diperolehi oleh PH dalam PRU15. sebanyak 2,399 meletakkan peluang PN mengatasi PH lebih terbuka dan ada kemungkinan. Tambahan pula, lebih jelas kerja-kerja pemasangan bendera PN di beberapa lokasi banyak dibantu oleh penyokong UMNO. 

Jentera PN terjejas di saat akhir kempen setelah Presiden UMNO dilepaskan tanpa bebas dalam kes mahkamah, memberi ruang membantu jentera UMNO menarik penyokong UMNO memberikan undi kepada calon kerajaan perpaduan. Pertambahan undi kepada kedua-dua calon, tidak lain datangnya dari pengundi UMNO serta keputusan oleh pengundi yang tidak keluar mengundi dalam PRU15 tetapi keluar mengundi dalam PRK. 

Justeru itu, saingan di Simpang Jeram lebih kepada perebutan undi dalam kalangan pengundi tersebut, yang memberikan kelebihan kepada calon PH untuk mengekalkan kemenangan dengan tambahan undi majoriti 1,115 undi. Sebenarnya, jarang berlaku dalam mana-mana pilihan raya kecil, undi semua calon yang bertanding akan bertambah, yang lazimnya undi satu pihak bertambah dan undi pihak yang satu lagi berkurang. Kerja keras jentera parti dalam PRK ini memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi, sungguhpun peratusan keluar mengundi lebih tinggi; 60.82%, dalam mana-mana PRK angka ini angka normal dan standard. Cuma, perbandingan dengan PRU15 DUN Johor, awal tahun lepas secara berasingan,      memberikan peratusan keluar mengundi yang rendah di Simpang Jeram, 54.37%. 

Keseluruhannya hasil PRK ini walaupun calon-calon PH berjaya mempertahankan kerusi tetapi peratusan keluar mengundi yang rendah di Pulai, telah gagal memberi keadilan kepada konsep demokrasi, yang memberikan tak sampai separuh pengundi terlibat. Seolah-olah satu mesej ketidakselesaan dan ketidaksenangan hati nurani rakyat kepada kerajaan hari ini. 

Beberapa pilihanraya kecil selepas PRU14, pertukaran kerajaan dan kejatuhan kerajaan BN, 2018, memperlihatkan pengundi tidak berminat keluar mengundi, kerana PRK sekadar mencari wakil rakyat baru bukan satu ruang menyatakan sokongan atau protes kepada pemerintah semasa. PRK yang diadakan beberapa bulan selepas PRU14, menzahirkan peratusan keluar mengundi yang rendah; PRK Sungai Kandis pada 08.08.2018 mencatat 49.36%, catatan terendah keluar mengundi 42.93% dalam PRK Balakong pada 08.09.2018 dan 44.09% di Seri Setia, pada tarikh yang sama. Balakong adalah kubu kuat DAP, berjaya mengumpul 85% undi, menjadi penyebab kurang tarikan untuk keluar mengundi. Dalam PRK Penanti, kubu kuat PKR dan pertandingan hanya berlaku calon PKR menentang 3 orang calon bebas yang kurang popular, hanya mencatat peratusan keluar mengundi 46.15%.

Impaks jelas dalam dua PRK kelihatan di Simpang Jeram sokongan jelas dari UMNO sebagai parti gabungan mempastikan kerjasama erat PH-BN, sebagai ujian awal keberkesanan membentuk kerajaan perpaduan di selatan tanah air. Peratusan keluar mengundi yang bertambah di Simpang Jeram mampu membantu kerajaan Madani menandingi kebangkitan gelombang hijau.


Khamis, 7 September 2023

Polarisasi Kaum 1

 PRN 6 NEGERI MENGESAHKAN POLARISASI KAUM MENDOMINASI PEMILIH MEMBUAT PILIHAN.

bahagian 1

Corak pengundian yang dipamerkan dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) bagi 6 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12.08.2023 lalu meletakkan satu garisan pemilihan yang cenderung kepada pembentukan polarisasi kaum dalam politik Malaysia. Mengambil kecenderungan pengundi di kawasan dominasi tegar kumpulan kaum iaitu pengundi Melayu dan bukan Melayu, memperlihatkan penguasaan pengaruh atau sokongan sesebuah parti. 

Sejumlah 245 kerusi DUN dari 6 negeri dipertandingkan melibatkan pecahan: 174 kerusi boleh digolongkan sebagai kawasan majoriti pengundi Melayu, melibatkan 110 kerusi mengandungi lebih 80 peratus pengundi Melayu, dan 64 kerusi memiliki antara 60 hingga 79 peratus pengundi Melayu. 

Di negeri Kedah, 29 dari jumlah 36 kerusi DUN tergolong dalam kategori majoriti pengundi Melayu. 3 kerusi campuran dengan pengundi Melayu melebihi 50 peratus. Kesemua 32 kerusi ini dimenangi oleh calon Perikatan Nasional (PN) diwakili oleh 22 calon Pas dan 10 calon Bersatu. 3 kerusi campuran; Bakar Arang dan Sidam dimenangi oleh calon bukan Melayu Pakatan Harapan (PH) mewakili PKR, sementara kerusi Kulim, dimenangi PN menerusi calon Cina dari Gerakan. Kerusi tunggal dengan majoriti pengundi bukan Melayu; Bandar Darul Aman dimenangi PH melalui calon Cina dari DAP. 

Penguasaan undi Melayu lebih terserlah oleh PN di kawasan kubu tradisi Pas: Tokai (dulunya Bukit Raya), Sungai Limau (dulunya Sala) dan Bukit Pinang (dulu Langgar). Tiga kerusi ini menjadi teras kemenangan Pas di Kedah, sebelum Pilihan Raya Umum 1999. 3 kerusi ini kerapkali mewakili Pas di DUN Kedah, dalam tahun 1970an hingga 1999. Ada kalanya, Pas pernah menang hanya satu kerusi iaitu Bukit Raya. Dalam PRU15 DUN, di kerusi Tokai, PN perolehi 84.43% undi dari jumlah undi sah, 84.88% undi di Sungai Limau dan 82.35% di Bukit Pinang. 

 Dalam PRU 1999, Pas melebarkan pengaruhnya menguasai 8 kerusi Parlimen dan 12 gabungankerusi DUN. Pas memenangi kerusi tambahan; Ayer Hitam, Pedu, Kuala Nerang, Bukit Lada, Anak Bukit, Pengkalan Kundor, Belantek, Jeneri, Kupang. Dalam PRU15 DUN, PN menguasai 83.56% undi di Belantek, 82.35% di Kuala Nerang, serta 78 hingga 79% undi di Ayer Hitam, Bukit Lada, Anak Bukit, Jeneri, dan Kupang. Kecuali Pengkalan Kundor, semua kerusi berkenaan memiliki lebih 80% pengundi Melayu. PN menguasai 66.38% undi di Pengkalan Kundor, kawasan pilihan raya yang mengandungi 75% pengundi Melayu. 

Keseluruhannya, undi terkumpul PN yang menang 33 kerusi dari 36 ialah 801,387 undi atau 68.93% dari jumlah undi sah, sementara  PH-BN menang 3 kerusi memungut 350,954 undi atau 30.11%. Persaingan satu lawan satu PRU15 DUN menghasilkan kelebihan kepada PN berbanding pencapaian dalam saingan 3 penjuru dalam PRU15 Parlimen: PN lawan PH lawan BN. Dalam PRU15 Parlimen, PH perolehi 281,443 undi atau 23.27%, sementara BN pungut 235,353 undi atau 19.46%, digabungkan undi PH-BN menjumlahkan 516,796 undi atau 42.73%. Undi keseluruhan PN dalam PRU Parlimen di negeri Kedah; 664,720 undi atau 54.96% membolehkan PN memenangi 14 dari 15 kerusi Parlimen di Kedah.. Perbandingan pencapaian undi PN dan kemerosotan mendadak gabungan PH-BN antara dua pilihan raya berkenaan agak mengejutkan dengan propaganda dan serangan bertubi kerajaan Madani di Pusat ke atas kerajaan negeri yang dikepalai oleh Pas. 

Kemerosotan undi gabungan PH-BN dalam saingan satu lawan satu tidak sepadan dengan gabungan tenaga sebuah kerajaan Persekutuan bersaing dengan sebuah kerajaan negeri. Kejayaan PN di Kedah lebih mempamerkan sokongan pengundi Melayu yang merupakan 76.8% pengundi keseluruhan. Malah kerusi campuran: Derga, Gurun dan Bukit Selambau yang biasanya dikuasai oleh calon-calon bukan Melayu oleh PH atau BN (kecuali dalam PRU14, PH menurunkan calon Melayu di Gurun), memberikan undi yang bergaya ke calon Melayu PN, 61.37% di Gurun, 60.13% di Bukit Selambau dan 56.72% di Derga. 

Kelantan dengan komposisi pengundinya 94.86% adalah orang Melayu, pengundi Cina seramai 3.36%, sementara India 0.28% dan baki 1.51% adalah lain-lain etnik, dengan bahagian besarnya Orang Asal dan Kaum Thai, memberikan 43 kerusi dengan komposisi pengundinya lebih 80% pengundi Melayu, dan 2 kerusi , pengundi Melayu sebanyak 63-65% dari jumlah pemilih. Justeru itu, wajarlah disimpulkan semua kerusi DUN Kelantan adalah kerusi majoriti Melayu. 

Kejayaan PN menguasai 43 kerusi dan gagal di 2 kerusi sinonim dengan bentuk komposisi etnik. 2 kerusi yang gagal dikuasai oleh PN adalah kerusi Kota Lama, kawasan bandar yang dipopulasi oleh 65% pengundi Melayu dan bakinya dimonopoli oleh etnik Cina, sementara Galas, sebuah kawasan luar bandar, mempunyai 63% pengundi Melayu, 14% Cina dan 20% Orang Asal. 

Kota Lama dimenangi oleh calon Pakatan Harapan yang mengaut 49.98% undi, sementara calon Pas, 48.94%, dengan perbezaan 202 undi. Di Galas, calon BN membolot 59.19% undi, Pas 40.81%, membolehkan BN menang dengan majoriti 3,337 undi. 

Kegagalan Pas di Kota Lama dan Galas bukanlah satu kejutan, berdasarkan kepada pencapaian undi semasa PRU15 Parlimen. Di Kota Lama, jumlah undi gabungan PH-BN mengatasi jumlah undi Pas, sebanyak 3,000 undi. Di Galas, jumlah undi BN mengatasi undi Pas, 2,000 undi, jika ditambah dengan undi PH, menjumlahkan undi gabungan PH-BN mengatasi Pas dengan lebih 5,000 undi. Berpandukan pencapaian semasa PRU15 Parlimen, sepatutnya gabungan PH-BN menang melebihi 3,000 undi di Kota Lama, bukan 202 undi. Sementara di Galas, gabungan PH-BN boleh menang melebihi 5,000 undi, bukan merosot ke 3,337 undi.

Berbeza dengan Kedah, pencapaian PN di Kelantan, sebagai kubu kuat Pas sejak 30 tahun serta peratusan pengundi Melayu yang tinggi, tidak ada pencapaian Pas melebihi 80% undi di sesebuah kerusi. Walau bagaimanapun, PN menerusi calon-calon Pas berjaya memperolehi lebih 75% undi di 13 kerusi, termasuk beberapa kerusi marginal dalam beberapa pilihan raya lepas. Pas berjaya perolehi 77.20% undi di Kemuning. Latar belakangnya, Pas hanya menang kelebihan 2 undi dalam PRU11 (PRU 2004), menang di bawah 1,000 undi dalam PRU12 (PRU 2008). Dalam PRU15 Parlimen, jumlah undi Pas hanya berbeza 1,100 undi sahaja dengan cantuman undi gabungan PH-BN. Berbekalkan 77.20% undi, calon Pas berjaya menang dengan majoriti besar, 5,687 undi atau 27.54% di Kemuning.

Bagi kerusi Manek Urai, calon Pas menguasai 78.64% undi. Pas pernah kalah di kerusi Manek Urai dalam PRU11. Dalam PRK Manek Urai, dalam tahun 2009, Pas hanya menang dengan majoriti 65 undi sahaja mengatasi BN. Dalam PRU15 Parlimen, undi Pas mengatasi undi BN 6,000 undi, tetapi dengan 78.64% undi dalam PRU15 Negeri, Pas berjaya menang dengan majoriti lebih besar, 7,490 undi atau  56.6%. 

Pas pernah kalah di kerusi Mengkebang dalam PRU11. Sebelum itu, kerusi ini diperuntukan kepada Parti Semangat 46, dalam PRU8 dan PRU9. Dalam PRU15 Parlimen, jumlah undi Pas mengatasi undi gabungan PH-BN dengan 7,000 undi, dalam PRU15 Negeri, calon Pas membolot 78.64% undi, untuk membolehkan menang selesa majoriti 9,127 undi atau 57.28% undi. 

Baki 10 kerusi yang memperlihatkan undi Pas melebihi 75%: Tawang (79.22%), Bukit Panau (79.14%), Kemahang (77.20%)Pasir Tumboh (76.62%), Meranti (76.36%), Kadok (75.95%). Pasir Pekan (75.88%), Kijang (75.81%), Demit (75.39%), Chempaka (75.24%), kubu Pas yang terbina sejak tahun 1990, setelah kembali menguasai Kelantan. 

UMNO gagal pertahan 7 kerusi yang dimenangi dalam PRU14, yang merupakan kubu UMNO sejak PRU11. Calon PN mampu menang besar di Kok Lanas dengan majoriti 8,219 undi atau 36.53%, Gual Ipoh dengan majoriti 5,952 undi atau 40.52%. Calon PN berjaya atasi undi calon BN di Air Lanas dengan 5,009 undi atau 35.62%.

Dalam PRU15 Parlimen, BN perolehi 265,666 undi atau 26.78% dari jumlah undi sah. PH dapat 87,293 undi atau 8.80% undi. Dicantumkan undi PH-BN menjumlahkan 352,959 undi atau 35.58%. PN yang menggunakan logo Pas, mengungguli dengan 631,201 undi atau 63.62% undim untuk menyapu bersih semua 14 kerusi Parlimen di Kelantan. 

Dalam PRU15 Negeri di Kelantan, gabungan PH-BN yang meletakkan 31 calon UMNO, 7 calon PKR fn 7 calon Amanah, memungut 260,089 undi atau 30.44% undi. Sementara PN menerusi 39 calon Pas dan 6 calon Bersatu membolot 589,632 undi atau 69.25%. Undi PH-BN merosot sebanyak 92,870 undi dan PN merosot 41,569 undi antara dua PRU15 tidak menjejaskan kemenangan PN 43-2, lantaran kemerosotan peratusan keluar mengundi keseluruhan negeri Kelantan dari 71.50% kepada 60.90%. 

Di Terengganu, calon UMNO tidak diturunkan di kawasan kubu kuat Pas. Calon-calon Pas memperolehi undi besar mengatasi calon-calon PKR dan Amanah yang bertanding atas nama PH.  Calon Pas perolehi 85.90% undi di Manir, 85.73% di Wakaf Mempelam, 85.18% di Rhu Rendang, 83.06% di Sura dan 79.60% di Batu Burok. 

Di pihak kem PN, meletakkan calon-calon Bersatu di kubu kuat UMNO: Hulu Besut, Permaisuri, Seberang Takir, Telemong dan Kijal, dengan mencapai undi yang memberangsangkan, kecuali Telemong. Di Permaisuri, undi calon PN mencapai 67.03%, dengan majoriti 7,538 undi atau 34.05%. PN mampu menang di Telemong dengan majoriti 295 undi, sedangkan dalam PRU15 Parlimen, jumlah BN mengatasi undi PN di kerusi berkenaan. 

Kemenangan PN di Terengganu dengan 32-0, dengan komposisi pemilih Terengganu keseluruhannya 96.28% Melayu, 3.14% Cina, 0.48% India, dengan 31 kerusi mempunyai pengundi Melayu melebihi 80%, dan satu kerusi, pengundi Melayu di bawah 80%: Bandar, 64.13% Melayu, 34.55% Cina. Calon PN menerusi Pas mampu perolehi 56.69% undi dengan majoriti 2,364 mengatasi calon UMNO. 

Pulau Pinang dengan kompisisi pengundinya; 38.06% Melayu, 49.27% Cina, 11.82% India, daripada jumlah 1.22 juta pengundi, terkumpul dalam 40 kawasan pilihanraya negeri. 40 kerusi DUN Pulau Pinang terdiri dari; 3 kawasan 80% pengundi Melayu,  12 kawasan 60-79% pengundi Melayu, 2 kawasan campuran, 10 kawasan mempunyai 60-79% pengundi bukan Melayu dan 14 kawasan 80% pengundi bukan Melayu. Umumnya, 15 kawasan majoriti Melayu, 23 kawasan majoriti bukan Melayu dan 2 campuran telah memberi kemenangan ke PH (27), BN (2) dan PN (11).

11 kerusi majoriti Melayu dimenangi oleh calon PN ( 7 Pas, 4 Bersatu), sementara baki 4 kerusi majoriti Melayu dimenangi oleh UMNO 2 kerusi, PH 2 kerusi (PKR (1), Amanah (1). Kemenangan PN dengan 11 kerusi adalah satu peningkatan yang cukup besar berasaskan Pas hanya menang satu kerusi sahaja dalam PRU14. Walaupun Bersatu memiliki 2 kerusi hasil PRU14, tetapi asasnya kerusi yang dimenangi hasil sokongan semua parti dokongan PH, bukan kekuatan sebenar Bersatu. 

Di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu, semuanya dibolot oleh calon-calon PH menerusi DAP dan PKR. dengan pungutan undi yang besar melebihi 90% undi. Di Pengkalan Kota, calon PH membolot 94.64% undi dari jumlah undi sah. Di samping itu, kemenangan besar di Berapit (94.44%), Batu Lanchang (92.12%), Paya Terubong (91.55%), Kebun Bunga (87.83%), Padang Kota (87.83%), menyaksikan calon-calon PN hilang wang pertaruhan, kerana gagal perolehi tidak kurang dari 12.5% undi. PN mempertaruhkan bahagian besar calon di kawasan majoriti bukan Melayu menerusi calon Gerakan, di samping beberapa calon Bersekutu Bersatu dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP). 

Keseluruhannya, berbanding dengan pencapaian parti-parti bertanding di Pulai Pinang ada perubahan besar antara PRU15 Parlimen dengan PRU15 Negeri. Dalam PRU15 Parlimen akhir tahun lepas, jumlah undi BN ialah 143,398 undi atau 15.19%, PH perolehi 566,237 undi atau 59.99%. Jika digabungkan undi PH-BN menjumlahkan 709,635 undi iaitu 75.18% daripada jumlah undi sah. Dalam PRU15 Negeri bulan lepas, undi PH-BN berjumlah 591,609 undi atau 65.89%.

Di pihak PN, dalam PRU15 Parlimen, terkumpul 226,170 undi atau 23.96%, sementara dalam PRU15 Negeri, undi PN meningkat kepada 299,525 undi atau 33.36% dari jumlah undi sah.  Keseluruhannya, peratus keluar mengundi dalam PRU15 Parlimen di Pulau Pinang ialah 77.76%, menurun kepada 73.25% dalam PRU15 Negeri. 

Analisis data-data ini merumuskan bahawa berlaku kemerosotan sokongan kepada PH dan BN, kerana undi gabungan menurun sebanyak 118,026 undi atau 16.63%, sebaliknya undi PN telah meningkat sebanyak  73,355 undi atau 32.43%, di kala peratusan keluar mengundi berkurangan. Sehubungan itu, tidaklah mengejutkan kejayaan PN menambah keanggotaan ADUN dari seorang ke 11 orang. 

Di Selangor, sama seperti di Pulau Pinang, Pas hanya menang satu kerusi dalam PRU14 telah bangkit atas perpaduan PN. Bagaimana PN berjaya menghilangkan 21 kerusi milik gabungan PH-BN. Selangor memiliki 34 kerusi majoriti Melayu, iaitu pengundi Melayu melebihi 60% pengundi di setiap kerusi, 8 kerusi campuran dan 14 kerusi mempunyai lebih 60% pengundi bukan Melayu. Keseluruhannya pengundi negeri Selangor; Melayu 50.77%, 31.37% Cina, 14.07% India, 7.0% lain etnik. 

Di kawasan komposisi pengundi bukan Melayu melebihi 80%, iaitu di 8 kerusi, calon-calon PH dari DAP dan PKR telah mengungguli dengan undi yang besar: Kampung Tunku (90.90%), Sri Kembangan (89.30%), Padamaran (86.75%), Bukit Gasing (85.87%),  Bandar Utama (85.25%), yang telah memberikan calon-calon PN dari Gerakan dan Bersekutu Bersatu hilang wang pertaruhan. Semua kerusi majoriti bukan Melayu dan campuran iaitu 22 kerusi telah dimenangi oleh calon-calon PH, dengan pungutan undi yang besar dan paling rendah 58.80% di kerusi Kota Kemuning. 

Berbanding kawasan majoriti bukan Melayu, persaingan lebih rancak dan lebih sengit di kawasan majoriti Melayu yang menyaksikan PN kuasa 22 kerusi (12 Bersatu, 10 Pas) dan baki 12 milik gabungan PH-BN (5 PKR, 5 Amanah, 2 UMNO). Di kawasan majoriti Melayu, calon yang menang hanya perolehi sekitar 50 - 59% undi, kecuali 2 kerusi dimenenangi melepas 60%; Sijangkang (72.73% undi) dan Sungai Burong (64.22% undi), kedua-dua menerusi calon Pas mewakili PN.  

Dalam PRU15 Parlimen tahun lepas, BN memperolehi 478,705 undi atau 17.15% dari jumlah undi sah, sementara PH merangkul 1,491,121 undi atau 53.43%, dijumlahkan undi gabungan PH-BN sebanyak 1,969,886 undi atau 70.58%. PN memungut 759,592 undi atau 27.22%. 

Dalam PRU15 Negeri, undi gabungan PH-BN berkurangan kepada 1,598,309 undi atau 60.22%, sebaliknya PN telah meningkatkan undinya kepada 1,014,143 atau 38.21% dari jumlah undi sah. Penurunan undi gabungan PH-BN bolehlah diberi alasan seiringan lantaran kejatuhan peratusan keluar mengundi dari 80.19% dalam PRU15 Parlimen ke 71.23% dalam PRU15 Negeri. Bolehkah dikatakan kejatuhan undi PH-BN kerana kurangnya pengundi bukan Melayu yang rata-ratanya menyokong PH tidak keluar mengundi atau penyokong UMNO tidak keluar mengundi sebagai protes kebersamaan dengan PH. Sebaliknya undi PN meningkat membolehkan menafikan suara dua pertima di DUN Selangor, peranan pengundi Melayu beralih ke PN bersama undi protes UMNO menolak gabungan PH-BN.

Di Negeri Sembilan, undi BN dalam PRU15 Parlimen ialah 212,167 undi atau 32.17%, dan undi PH pula sebanyak 295,449 atau 44.80% dari jumlah undi sah. Jika digabungan undi PH-BN mejumlahkan 507,616 undi atau 76.97%. Dalam PRU15 Negeri bulan lepas,  undi gabungan PH-BN adalah 354,702 atau 60.90%, satu penurunan yang sangat ketara, 152,914 undi.

Di pihak PN, undinya semasa PRU15 Parlimen ialah 144,835 undi atau 21.96%, sementara dalam PRU15 Negeri telah meningkat ke 219,303 undi atau 37.65%. Peratusan keluar mengundi di Negeri Sembilan bagi PRU15 Parlimen ialah 78.28% telah menurun kepada 68.22% dalam PRU15 Negeri. Perbandingan angka-angka ini mempamerkan kemerosotan sokongan kepada gabungan PH-BN serta perubahan mendadak sokongan kepada PN yang tidak memenangi sebarang kerusi dalam PRU14 dan PRU15 Parlimen, membolehkan PN menguasai 5 kerusi, serta memberikan cabaran sengit di kawasan majoriti Melayu, dengan PH-BN menang di 11 kerusi dengan peratusan undi marginal sekitar 50-54%. Sama seperti di Pulau Pinang dan Selangor, calon PH menang besar di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu di 10 kerusi (2 kerusi pengundi bukan Melayu melebihi 80% dan 8 kerusi, pengundi bukan Melayu antara 60 hingga 79% pengundi. 

bersambung