Selasa, 22 Oktober 2013

Pemilihan UMNO

PEMILIHAN UMNO:  PERLANJUTAN KELOMPOK ELIT KUASAI SUARA RAMAI

Pemilihan UMNO 2013 bagi penggal 2013/2016 yang berakhir 19 Oktober lepas merupakan satu episod baru dalam kedewasaan UMNO (Baru) yang ditubuhkan dalam tahun 1988. Agenda transformasi pengurusan dan pentadbiran parti, hasil dari prestasi parti yang semakin merosot diterjemahkan menerusi beberapa pilihan raya umum (PRU) terakhir.

Pengenalan kepada undi popular, demi menyuburkan demokrasi serta penglibatan yang lebih besar di kalangan ahli secara tersuratnya adalah satu pengakuan keperluan kepada inspirasi realiti kehendak semasa. Keperluan semasa yang menuntut keadilan, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Seramai 146,500 orang perwakilan dari 21,056 cawangan seluruh negara secara langsung terlibat dalam memilih kepimpinan parti, iaitu keanggotaan Majlis Tertinggi, termasuk Presiden. Berbanding, cuma 2,500 perwakilan mewakili 191 bahagian, dalam pemilihan sebelum ini. Dalam pemilihan terdahulu, 3 hingga 5 orang perwakilan mewakili cawangan untuk pemilihan peringkat bahagian dan tidak terlibat dalam memilih kepimpinan tertinggi. Peraturan baru, sesebuah cawangan boleh diwakili sehingga 15 orang perwakilan, untuk memilih kepimpinan bahagian serta terlibat secara langsung mengundi untuk kepimpinan tertinggi parti.

Dengan 146,500 terlibat memilih pemimpin parti, cuma 4.0 peratus sahaja dari jumlah keahlian UMNO (Baru) terkini, 3.3 juta orang. Secara demokratiknya, tidaklah menggambarkan penglibatan secara berkesan dan menyeluruh. Empat peratus ahli mewakili keahlian penuh, masih menampakkan penguasaan segelintir kecil ahli di puncak dalam hiraki organisasi parti. 

Disebutkan pemilihan UMNO tahun ini menggabungkan sistem pilihan raya popular amalan Amerika Syarikat dan Great Britain. Diwarwarkan media, pemilihan UMNO mengambil amalan sistem pilihan raya Amerika Syarikat: electoral college. Sistem ini memberikan undi satu kawasan atau bahagian UMNO kepada mana-mana calon yang dapat undi terbanyak. Jika di bahagian A, calon yang bertanding dapat undi terbanyak dari perwakilan cawangan, maka satu undi, undi mewakili bahagian berkenaan diberikan kepada calon berkenaan. Dalam sistem electoral college, undi untuk satu kawasan bukan satu undi, tetapi bergantung kepada kapasiti pengundi. Kawasan yang lebih ramai pengundi, diberi undi electoral college yang lebih banyak, bukan satu undi, sama rata semua bahagian UMNO seluruh negara. UMNO Bahagian Kemaman dengan keahlian seramai 42,455 orang (mengikut rekod Disember 2010), tidak sewajarnya diberi satu undi kepada calon yang dapat undi terbanyak.

Satu undi untuk satu kawasan adalah mengikut amalan pilihan raya Great Britain: calon yang dapat undi terbanyak dapat kerusi berkenaan atau satu undi mewakili kawasan berkenaan. Amalannya undi popular mewakili bahagian, berasaskan constituency representation.

Undian ala pilihan raya Westminster Abbey amalan Britain tersebut membantu DS Hishammuddin Hussien memenangi kerusi Naib Presiden untuk mengatasi Datuk Mukhriz Mahathir. Hishammuddin dapat 101 undi bahagian, dengan 56,604 undi popular, sedang Mukhriz yang dapat 57,189 undi perwakilan tapi 93 undi bahagian. Jika ikut pengundian popular sebagaimana dalam pemilihan MIC dan PKR,  Mukhriz sepatutnya memenangi kerusi Naib Presiden. 

Begitu juga trend pengundian dalam jawatan lain sama ada untuk ahli Majlis Tertinggi, ahli Jawatankuasa Pusat Pergerakan Wanita atau Pemuda. Contoh calon kerusi ahli Majlis Tertinggi; DS Ahmad Shabery Chik, dengan 181 undi, memperolehi 85,820 undi, sementara Datuk Abdul Rahman Dahlan; juga 181 undi bahagian, 76,031 undi popular, dan DS Shahidan Kassim; 166 undi bahagian, 76,992 undi popular. Menggambarkan ketaksamaan peruntukan undi bahagian, di mana bahagian yang memiliki ahli yang ramai tidak diberi advantage, seumpama kaedah electoral college di Amerika Syarikat.

Penglibatan segelintir ahli, kelompok elit dalam sesebuah cawangan, dengan cuma 4 peratus sahaja, walaupun lebih ramai berbanding amalan sedia ada, masih lagi menggambarkan kegagalan parti merealisasikan penglibatan langsung ahli dalam proses demokrasi peringkat parti. Kelompok teratas dalam hiraki parti peringkat cawangan masih mempamirkan kumpulan kecil menguasai suara ramai.

Satu undi untuk satu bahagian UMNO, tidak menepati realiti sebenar electoral college. Bahagian yang mempunyai ahli yang ramai, sudah semestinya kubu kuat parti tidak dilayani dan diraikan dengan sepatutnya. Nisbah undi sepatutnya diamalkan untuk menghargai sumbangan ahli yang memperkasa parti.

Dari sudut untuk menghakis label UMNO sebagai pembekal utama "politik wang" yang disinonimkan dengan organisasi politik yang semakin hilang roh perjuangan untuk masa depan bangsa kerana tertimbus oleh kemewahan kebendaan, amalan pemilihan kepimpinan yang baru ini adalah asas perubahan.

Keperluan kepada perubahan sistem pemilihan ini, memulakan tranformasi UMNO (Baru) untuk melangkah dengan lebih yakin dan bergaya menghadapi arena politik tanah air selanjutnya. Proses transformasi ini diharap menjadi UMNO (Baru) yang ditubuhkan dalam tahun 1988 itu, lebih terkedepan menyaingi parti-parti yang lebih lama usianya; MIC (1946), MCA (1949), Pas (1951), DAP (1966) dan Gerakan (1968).

Selasa, 8 Oktober 2013

Tiru idea musuh

BUDAYA SUKA MEMINJAM IDEA: ADAPTASI ATAU AGENDA

Bila Chin Peng , Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan, meninggal dunia pada hari Ulang Tahun ke 50, Hari Malaysia lepas, isu  status persemadian mayat sengaja diperbesarkan demi keuntungan politik pihak tertentu. Isu taraf kewarganegaraan, keganasan anggota PKM,   abu mayat Chin Peng, antara  isu dibangkitkan untuk mencemuh dan memberi gambaran negatif perjuangan komunis di negara kita. 

Lantaran kebangkitan sokongan rakyat kepada DAP, secara langsung merundumkan peranan MCA dan Gerakan dalam politik arus perdana, kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP digelar sebagai sebuah kerajaan komunis. Amalan dan pendekatan kesederhaan dan mesra rakyat kerajaan negeri disifatkan sebagai mirip dan cenderung kepada komunisme. 

Untuk mengurangkan sokongan rakyat kepada DAP, label komunis ditonjolkan seolah-olah satu aliran fahaman yang perlu dijauhkan dan tidak perlu ada hubungan dalam apa bentuk: perdagangan, urusniaga, persahabatan dan kebudayaan. Dalam tahun 1970an, komunis diistiharkan musuh negara nombor satu. Hari ini, label komunis dibangkitkan semula, khususnya selepas tsunami PRU12, menggelarkan DAP sebagai komunis. 

Tuduhan ke atas kaitan DAP dengan komunisme berasaskan struktur eksekutif parti, di mana tugasan dan bidang kuasa Setiausaha Agung parti: DAP dan semua Parti Komunis yang menguasai kerajaan. 

Sistem commune yang diamalkan di negara Komunis China, menerusi Revolusi Merah di bawah kepimpinan Pengerusi Mao (Mao Tsetung) dalam tahun 1958 menerusi reformasi pengstrukturan sosio-ekonomi masyarakat tani. Tanah diagihkan sama rata kepada rakyat dari segi keluasan, dalam bentuk penempatan bersepadu dan terancang. Petani yang menghasilkan pengeluaran terlibat dalam perkhidmatan susulan, dengan memberikan agihan pendapatan yang sama rata. Setiap pengeluaran dan perkhidmatan terlibat dengan urusniaga, dalam membentuk pembangunan berdikari. 

Sistem commune  amalan atau idea pentadbiran komunis di negara China mengatur keadilan sosial dan kesamarataan ini memberi ilham kepada pembentukan pembangunan tanah menerusi Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) yang bermula di Lembah Bilut, dalam tahun 1961. Sungguhpun tiada pengakuan meniru dan mengambil ilham dari penyusunan sosio-ekonomi sistem commune.  Kalimah commune, yang didokongi oleh communist untuk merealisasikan communism dalam kehidupan community; isitilah-isitilah berkenaan sengaja dipinggirkan lantaran sensitiviti iklim sosio-politik tempatan. Hakikinya, pembangunan tanah menerusi Felda, saling tak tumpah pembangunan tanah di bawah commune system.

Isitlah bureau mula popular di negara kita, setelah kita mula mengadakan hubungan diplomatik dengan Soviet Russia dalam tahun 1966. Politbureau adalah unit induk dalam pengurusan Parti Komunis Soviet dan banyak keputusan pentadbiran rasmi kerajaan Soviet disebut sebagai keputusan Politbureau. Di negara kita, sumber popular maklumat dan berita, dimuatkan dalam makalah mingguan "Berita Soviet", diterbitkan oleh Kedutaan Besar Soviet di Kuala Lumpur. 

Hari ini, banyak agensi rasmi, parti politik dan NGO, menggunakan isitilah biro (versi bureau dalam Bahasa Melayu), menggantikan isitilah jabatan atau jawatankuasa kecil. Sebelum merdeka dan selepas merdeka, parti-parti politik atau pertubuhan lain, biasanya menggunakan istilah jabatan, section, jawatankuasa kecil dan panitia, bagi unit-unit pengurusan atau pentadbiran. 

Pas, menggunakan isitilah panitia dan hari ini menggunakan istilah lajnah. Berbeza dengan pertubuhan lain, setelah tamatnya zaman Revolusi Merah di China, keruntuhan komunisme Russia dalam tahun 1991, tidak kekok dan tidak takut menggunakan istilah biro. Malah dalam pengurusan masjid, modul yang dirangka oleh Majlis Agama Islam Negeri, menggunakan istilah biro dalam carta organisasi pentadbiran. Apakah rasionaliti agenda pengurusan masjid tidak menggunakan istilah lajnah, dan lebih gemar guna istilah biro. 

Dari segi singkatan gabungan kata seperi menlu (menteri luas), dubes (duta besar), berdikari (berdiri atas kaki sendiri), Bernama (Perbadanan Berita Nasional Malaysia), adalah tiruan pembinaan kata dalam Bahasa Russia. Singkatan gabungan kata ditiru dari pembentukan kata dalam Bahasa Indonesia, di mana pembentukan kata berkenaan mengambil bentuk Bahasa Russia. Indonesia, sebelum Gestapo 30 September 1965, mempunyai hubungan akrab dengan negara-negara blok Timur yang dikepalai Soviet Russia. Hubungan ini merangkumi kepelbagaian bidang termasuk kebudayaan dan pendidikan. Hubungan bilateral ini turut mempengaruhi perkembangan bahasa dan persuratan, secara langsung terbina nilai-nilai dan unsur-unsur baru dalam bahasa itu sendiri.

Unsur, nilai dan konsep yang dibina oleh pendokong komunisme sama ada dari China atau Soviet Russia, sudah lama diterimapakai dan diassimilasikan dalam masyarakat kita. Ianya sudah sebati. Tidak ada komunisme bentuk lama atau bentuk baru, konsepnya tetap sama. Amatlah tidak wajar melemparkan tuduhan atau melabelkan pihak tertentu komunis hari ini, sebab ianya adalah nilai universal dan sudah lama diterimapakai dalam pentadiran, pendidikan, persuratan dan pembangunan kemasyarakatan. Malah delegasi Partai Komunis China, pernah menjadi tetamu Perhimpunan Agung UMNO (Baru),  beberapa tahun lalu. Apa beza Partai Komunis China dengan fahaman komunisme?




Selasa, 1 Oktober 2013

Kerajaan Perpaduan

KEPERLUAN KERAJAAN PERPADUAN DALAM REALITI POLITIK MALAYSIA

Cetusan gagasan kerajaan perpaduan atau unity government (UG) yang  popular selepas PRU12 dulu, kedengaran semula dan antara isu menarik dalam masa terdekat. Sejauh mana agenda ini dapat direalitikan dalam konteks amalan demokrasi kepilihanrayaan negara kita, dapat disempurnakan.

Idea ini dicetuskan oleh kepimpinan utama UMNO atas alasan demi perpaduan Melayu dalam memperkukuhkan kerajaan yang sedia ada. Kebimbangan tergugatnya kuasa pemerintah sedia ada, seolah-olah satu ancaman yang akan merencatkan kedudukan orang Melayu. Sasaran ditumpukan kepada Pas supaya menyertai kerajaan atas nama kerajaan perpaduan.

Kerajaan perpaduan (UG) lebih popular dalam amalan demokrasi kepilihanrayaan berasaskan undi popular. Perolehan kerusi di dewan legaslatif sesebuah parti diperuntukan berasaskan peratusan undi keseluruhan, sama ada di badan legislatif peringkat nasional, wilayah atau tempatan. Sistem ini amat popular dengan model Jerman Barat. Model Jerman meletakkan, sesebuah parti yang perolehi lebih 5 peratus undi popular keseluruah, layak untuk mendapat perwakilan di dewan legislatif. 

Keanggotaan dewan legislatif tertinggi atau parlimen Indonesia, Majlis Pemesyuaratan Rakyat (MPR) mengambil model di atas, dalam memperuntukan kerusi. Model ini adalah satu persaingan terbuka antara parti, di mana pengundi memilih parti. Sistem berbilang parti (multiparties) ini, mengemukakan senarai calon pilihan parti masing-masing. Jika satu parti perolehi 30 peratus undi popular, parti berkenaan layak mendapat 30 peratus kerusi dan calon dalam senarai parti di kedudukan 30 peratus teratas layak menjadi perwakilan dalam dewan legislatif. 

Inilah model sebenar pembentukan sebuah kerajaan perpaduan kerana komposisi perwakilan setiap parti adalah berasaskan kepada komposisi peratusan undi yang dipungut oleh parti itu. Andainya model ini diterimapakai dalam membentuk kerajaan perpaduan di Malaysia, berpandukan kepada keputusan PRU13 yang lalu, Barisan Nasional yang memperolehi 5.23 juta undi bahagian pilihan raya parlimen, adalah 46.48 peratus dari keseluruhan 84.84 peratus keluar mengundi dari jumlah 13.26 juta pengundi, boleh diperuntukan 106 kerusi di Parlimen, berbanding 133 kerusi dalam PRU13. 

Pakatan pembangkang sepatutnya berhak mendapat 116 kerusi. PKR yang dapat 2.25 juta undi adalah 20.00 peratus, menyamai 46 kerusi (berbanding 30 kerusi dalam PRU13). DAP, dengan perolehan 1.73 juta undi adalah 15.37 peratus, layak diperuntukan 36 kerusi, berbanding 38 kerusi dalam PRU13. Pas, yang dapat 1.63 juta undi adalah 14.48 peratus undi parlimen, patut diberi 34 kerusi parlimen (berbanding 21 kerusi hasil PRU13).

Kalau ikut model sebenar amalan kerajaan perpaduan, PKR dan Pas mendapat lebih banyak kerusi di Parlimen, berbanding dengan amalan demokrasi parlimen Westminster yang berasaskan perwakilan berkawasan "the first past the post". BN dan DAP lebih bermanfaat dengan amalan model Britain. 

Amalan demokrasi pilihanraya yang berasaskan perwakilan kawasan (constituency represantation) yang berlainan dengan model Britain, model yang dipopularkan oleh Peranchis. Model Peranchis yang mempastikan, parti atau calon yang menang adalah mewakili majoriti pengundi di sesuatu kawasan. Calon yang menang perlu perolehi lebih 50 peratus undi, jika gagal diadakan pilihan raya pusingan kedua, dengan memberi peluang kepada 2 calon undian tertinggi berentap secara satu lawan satu. Model Peranchis menggalakan persaingan berbilang parti, sementara model Britain, mirip kepada sistem dua parti, di mana model Peranchis lebih adil dan menepati "the first past the post". Justeru itu, amalan demokrasi ala Peranchis ini lebih popular hari ini dan dijadikan rujukan bagi negara-negara yang baru memperkenalkan kerajaan yang dipilih rakyat.

Hasil keputusan PRU13 lepas menerusi model demokrasi berparlimen Britain, menghasilkan pembentukan kerajaan Persekutuan tidak mewakili taburan penduduk yang sebenar, majoriti kerusi dikuasai oleh BN menerusi UMNO, yang mewakili pengundi Melayu. Kaum Cina, kaum kedua terbesar tidak diwakili dalam kerajaan Persekutuan, lantaran kekalahan besar parti-parti komponen BN; MCA, Gerakan dan SUPP. Perwakilan sebenar dalam parlimen yang mewakili kaum ini yang menguasai pengundian di sektor bandar, adalah diwakili oleh DAP, menerusi 38 Ahli Parlimen. 

Amatlah wajar, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen model Britain, kerajaan perpaduan yang harus dibentuk di peringkat kerajaan Persekutuan, melibatkan BN dan DAP.  Penyertaan DAP, akan memberikan maksud sebenar "perpaduan" kerana DAP adalah parti kedua penguasaan kerusi selepas BN, dan semua kepentingan mewakili kepelbagaian kaum dapat dipertontonkan. 

Kerajaan perpaduan dengan BN menjemput penyertaan Pas, sebenarnya sebuah persepakatan yang menebalkan polarisasi kaum. Kerajaan perpaduan jenis ini meletakkan satu kaum utama di satu pihak dan satu kaum utama lagi di pihak yang bertentangan: kerajaan dan pembangkang. Tambahan pula, Pas masih gagal mempamirkan pengaruh merentasi sempadan demi intergrasi nasional, lantaran kegagalan Pas di Sabah dan Sarawak. UMNO dan DAP lebih terkedepan dalam menepati tafsiran ini,

Sebuah kerajaan yang menggabungkan sebuah parti yang menaja "satu Malaysia" dengan kelompok yang memperjuangkan "Malaysian Malaysia" sekian lama, akan dapat memperkukuhkan perpaduan kaum dan intergrasi nasional. Wajah-wajah rasialisme, ragionalisme dan pemikiran politik sempit akan terpinggir secara perlahan-lahan, seandainya kerajaan perpaduan menjadi kenyataan di negara kita, di peringkat kerajaan Persekutuan khususnya.