Sabtu, 25 Ogos 2012

Cabaran Faktor Johor

CABARAN FAKTOR JOHOR SEBAGAI KUBU KUAT BN DALAM PRU13

Johor yang sudah terbina sebagai faktor utama kemenangan Barisan Nasional dalam 12 siri pilihan raya umum sejak merdeka dijangka akan hadapi kesukaran mempertahankan legendanya dalam PRU13 nanti. Bekalan fixed deposit dikhuatiri terjejas demi menyumbangkan kemenangan BN di peringkat nasional.

Andaian ini tercetus, kesan petunjuk dari PRU12, 2008 lalu yang mencetuskan satu perubahan mengekekori gelombangan nasional yang mula menafikan status quo yang terbentuk sejak merdeka. Status quonya mengekalkan kerajaan yang ada di sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Demokrasi dijadikan peluang untuk mengabsahkan perlanjutan kuasa pmerintah yang ada, atau satu proses legitimacy, secara tersiratnya penyambungan kontrak pemerintahan lima tahun seterusnya. Amalan demokrasi menerusi pilihan raya sebagai saluran pengukuhan kuasa yang sedia terbina, atau untuk memperkukuhkan roh pemerintah yang dipilih oleh rakyat terbanyak.

Roh demokrasi inilah yang membolehkan beberapa pemerintah saperti Husni Mubarak  boleh bertahan lama, di mana setiap kali pilihan raya, undi kepada pemerintah melebihi 95 peratus. Justeru masa mendewasakan dan mematangkan kesedaran politik rakyat, undi 95 peratus rakyat tidak menjamin satu sokongan yang kuat kepada pemerintah.

PRU 2008 meneroka satu perubahan kesan kedewasaan politik rakyat; status quo mula dicabar. 5 buah negeri jatuh ke tangan pakatan parti-parti pembangkang. Buat kali pertamanya, Johor gagal membuktikan kekebalan sokongan kepada UMNO/BN selaku peneraju kerajaan pusat.

Sebagai tapak asas penubuhan UMNO serta negeri yang sentiasa menyumbangkan beberapa kerusi kemenangan tanpa bertanding kepada Perikatan dan BN sejak PRU 1959. Kekuatan dan kekukuhan pengaruh BN menerusi UMNO khususnya, menjadi medan selamat pemimpin-pemimpin MCA, MIC dan Gerakan, menduduki kerusi Parlimen. Pemimpin-pemimpin parti-parti komponen dibawa bertanding di Johor, sebagai kawasan selamat dan terjamin, sejak sekian lama.

Perubahan besar perpindahan undi dari parti kerajaan, BN, kepada pembangkang selepas PRU 1969 ialah dalam PRU 1990, 1999 dan 2008. Dalam PRU 1990, perpindahan undi lebih menonjol di kawasan luar bandar di Pantai Timur dan Selatan Semenajung, kesan dari krisis UMNO 1988. Kesannya UMNO kehilangan kuasa di Kelantan, kalah semua kerusi. Di Terengganu, UMNO hilang beberapa kerusi. Sungguhpun ada sedikit kesan di Johor, tetapi tidaklah besar. UMNO Johor hilang satu kerusi di Parit Bakar kepada Parti Semangat 46, serpihan UMNO.

Dalam PRU 1999, gelombang reformasi ekoran pemecatan DS Anwar Ibrahim, menyebabkan UMNO hilang banyak kerusi dan kemerosotan undi di seluruh Semenanjung, kecuali Johor. Di samping Kelantan, UMNO gagal pertahan kuasa di Terengganu. Di Kedah, Pas berjaya mengalahkan UMNO di 8 kerusi Parlimen dari jumlah 15 kerusi. Buat pertama kalinya, Pas berjaya memenangi kerusi di Selangor dan Pahang.

UMNO Johor boleh berbangga kerana undi BN masih meningkat, sementara di negeri lain, termasuk Melaka dan Negri Sembilan, undi BN merundum.

Justeru itu, dalam persempadanan kawasan pilihan raya 2003, sebagai ganjaran sumbangan BN Johor, maka Johor diperuntukan tambahan 6 kerusi Parlimen baru dan Sabah 5 kerusi, sementara negeri-negeri lain diberi 1 atau 2 kerusi Parlimen tambahan. Negeri-negeri di mana undi UMNO merosot: Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, tidak ditambah sebarang kerusi Parlimen. Bahkan di Kedah, disempadankan semula kawasan tanpa tambahan kerusi, yang mengwujudkan ketidakseimbangan jumlah pengundi yang amat ketara, terutama kawasan luar bandar.

Fokus tambahan kerusi Parlimen kepada pengwujudan kawasan campuran kerana perolehan undi BN banyak bergantung kepada undi bandar dan pinggiran bandar, dalam PRU 1999. Tambahan pula, pencapaian pembangkang utama mewakili masyarakat kota, DAP, menunjukkan prestasi terburuk.

Di Johor, 6 kawasan baru kawasan pilihan raya Parlimen: 2 kawasan majoriti Melayu - Pengerang dan Sekijang, 4 kawasan campuran - Tanjong Piau, Simpang Renggam, Sembrong dan Pasir Gudang. Pengerang, Sembrong dan Sekijang diberikan kepada UMNO, Tanjong Piau, kepada MCA dan Simpang Renggam kepada Gerakan. Pasir Gudang diberikan kepada UMNO, sementara Tebrau yang dulunya kerusi UMNO dilepaskan kepada MCA.

Kerusi Parlimen di Johor bertambah dari 20 kepada 26, sementara kerusi DUN, bertambah sebanyak 16 kerusi, dari kerusi asal 40 ke 56. Pertembahan kerusi dan kawasan pilihanraya terbesar di seluruh negara, di samping Sabah.

Tambahan kerusi ini seolah-olah memperkukuhkan negeri-negeri simpanan tetap BN: Johor, Sabah dan Sarawak. Persempadanan tidak dilaksanakan di Sarawak, kerana sudah dilakukan dalam tahun 1999/2000.

Kawasan Parlimen Sungai Benut majoriti Melayu, yang secara tradisinya diperuntukan kepada UMNO, dimansuhkan, untuk membolehkan pengwujudan  kawasan baru;  Simpang Renggam, untuk membolehkan tambahan kerusi selamat untuk  Gerakan. Kerusi Simpang Renggam memiliki 54 peratus pengundi Melayu dalam PRU12.

Dalam PRU11, 2004, BN menang besar kerana sokongan padu semua kawasan: bandar dan luar bandar. Persempadanan kawasan pilihan raya 2003, memberi kesan cukup cemerlang buat BN.

Dalam PRU12, kemerosotan undi BN berlaku di semua negeri di Semenanjung, kecuali Terengganu dan Perlis. Undi BN lebih menonjol kemerosotan di kawasan bandar dan pinggir bandar. Kemenangan BN dengan 85 kerusi mengatasi pakatan pembangkang yang membolot 80 kerusi di Semenanjung, banyak dibantu oleh kawasan luar bandar, yang ditandingi UMNO.

Memetik  inti berita dari portal Free Malaysia Today, 23/08/12,: Johore MB expects at least 9 parliamentary and 16 state seats are going to fall,  cabaran Johor sebagai kubu kuat serta simpanan tetap BN di Semenanjung menjadi satu isu yang amat menarik diperbicangkan. Dalam PRU12, berlaku swing 14 peratus undi BN ke pembangkang. Analisis dalam tempoh 4 tahun mendapati BN boleh tarik balik 5 peratus sahaja.

Dengan baki ayungan 9 peratus berserta senario di seluruh negara hasil 16 siri pilihan raya kecil selepas PRU12 yang menyimpulkan antara 80 hingga 85 pengundi Cina bersama pakatan pembangkang. BN menguasai antara 60 hingga 65 peratus pengundi Melayu. Sementara pengundi India, yang 65 peratus menyokong pembangkang sudah menurun ke 45 hingga 50 peratus.

Dengan  purata 40 peratus pengundi Melayu, 80 peratus pengundi Cina dan 50 peratus pengundi India mengundi pembangkang, selebihnya 60 peratus pengundi Melayu setia dengan BN bersama baki 20 peratus pengundi Cina, di seluruh Semenanjung kecuali Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis; kenyataan MB Johor itu munasabah dan rasionalitinya besar kemungkinannya.

Andainya komposisi kaum dan peratusannya sama di setiap kawasan pilihanraya sebagaimana PRU12 lalu, di samping Bakri, yang dimenangi DAP, ada 11 lagi kerusi Parlimen yang berpotensi untuk dimenangi oleh pakatan pembangkang; PKR, DAP dan Pas.

Kawasan Parlimen Segamat, kawasan selamat yang pernah dimenangi Pengerusi MCA Pusat (sekarang Presiden) Tun Lee San Choon, kemudian diperuntukkan kepada MIC untuk membolehkan beberapa pemimpin MIC Pusat menikmati kerusi tersebut, sejak PRU1, berpotensi untuk BN kalah kali ini. Kawasan yang memiliki 41.25 peratus pengundi Melayu, 47.65 peratus Cina serta 11.0 peratus India, satu kawasan tak selamat andainya 80 peratus pengundi Cina tetap menyokong pakatan pembangkang. Kalau ikut formula PRU12, calon MIC akan berdepan DAP. Kerusi DUN Jementah, pernah dimenangi calon DAP dalam PRU 1990. Dalam PRU12, calon DAP beri saingan sengit, dan dalam PRU13, calon DAP punyai harapan cerah untuk menang. Kawasan Jementah memiliki 65 peratus pengundi bukan Melayu.

Kerusi Parlimen Labis, dulunya kawasan majoriti Melayu, yang pernah dimenangi oleh Tun Musa Hitam semasa menjawab Timbalan Perdana Menteri. Tun Ling Liong Sik semasa jadi Presiden MCA bertanding di Labis untuk beberapa penggal. Selepas persempadan kawasan pilihan raya 2003, sebahagian kawasan ini dipindahkan ke kawasan Parlimen baru, Sekijang, menjadikan Labis satu kerusi campuran dengan lebih 60 peratus pengundi bukan Melayu. Sebuah kerusi negeri dalam kawasan ini, Bekok pernah dimenangi calon DAP dalam PRU 1990. Dengan 80 peratus pengundi Cina bersama pembangkang, Parlimen Labis berkemungkinan dirampas calon DAP.

Kerusi Parlimen Ledang, kerusi tradisi UMNO, yang dikenali Muar Utara sebelum persempadanan 1973, disebut-sebut  antara kerusi UMNO yang akan tewas di negeri benteng terakhir UMNO. Dengan komposisi pengundi 53 peratus Melayu dan 43 peratus Cina berserta trend sokongan semasa, berkemungkinan calon UMNO akan tewas kepada calon PKR. Kerusi DUN, Tangkak, calon DAP cuma tewas tipis, 295 undi dalam PRU lepas.

Di kerusi Batu Pahat, sungguhpun  BN menang selesa 12,704 undi dalam PRU lepas, dengan jumlah pengundi Melayu seramai 53 peratus dan Cina 46 peratus, dengan fenomena 60 peratus pengundi Melayu sokong calon BN dan 80 peratus pengundi Cina memilih calon pembangkang, berkemungkinan besar calon UMNO/BN akan tewas kepada PKR. Tambahan pula, calon MCA/BN cuma menang 575 undi sahaja di kerusi negeri Penggaram dalam PRU12. Undi calon Pas di kerusi Sanggarang, walaupun tewas, tetapi cukup memberangsangkan.

DAP dijangka menang mudah di kerusi Parlimen Kluang, bila cuma kalah 3,781 undi dalam PRU12, di kawasan 60 peratus pengundi bukan Melayu. DAP sudah menang selesai di kerusi negeri Mengkibol. Pengundi Kluang memilih calon pembangkang sejak PRU1 lagi. Dalam PRU1, calon Socialist Front menang di kerusi Gunong Lambak (nama kerusi Mengkibol dulu). Dalam PRU2, calon SF walaupun tewas, tetapi tewas dengan majoriti kecil 238 undi. Tokoh DAP, Lee Kaw memenangi kerusi berkenaan 3 kali berturut-turut PRU3, PRU4 dan PRU5 (masa itu, dinamakan Bandar Kluang). Lee Kaw juga menang kerusi Parlimen Kluang dalam PRU5 (PRU 1978).

Kerusi Parlimen Tebrau, satu kawasan campuran: Melayu 49 peratus, Cina 37 peratus dan India 13 peratus, dengan agihan sokongan Melayu, Cina dan India dengan kadar untuk BN 60:20:50 dan pembangkang 40:80:50, akan memberikan kemenangan mudah untuk pakatan pembangkang. Dalam PRU12, calon MCA ditentang calon Pas.

Begitu juga kawasan Parlimen Pasir Gudang yang merupakan sebahagian kawasan Parlimen Tebrau sebelum persempadanan 2003, dijangka menghadapi senario yang sama seperti Tebrau. Pengundi di Pasir Gudang: 48 peratus Melayu, 40 peratus Cina dan 11 peratus India. Kemungkinan calon PKR menumpaskan calon UMNO, bukanlah satu andaian liar.

Parlimen Johor Bahru dengan komposisi pengundi; 48 peratus Melayu, 41 peratus Cina dan 10 peratus India, dijangkakan tanpa penglibatan Datuk Shahrir Samad, Ahli Parlimen semasa, peluang UMNO/BN untuk mempertahankan kerusi ini agak samar. Shahrir Samad ada strong connections dan good factor dengan masyarakat JB. Beliau pernah mengalahkan calon pilihan UMNO, bila bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan kecil Parlimen Johor Bahru, 1988, dengan majoriti melebihi 6,000 undi. Di samping itu, orang JB pernah memilih calon Socialist Front untuk kerusi Tanjung Puteri (Pusat bandar JB) dalam PRU1. Abdul Razak Ahmad (Allahyarham), tokoh Partai Rakyat (PRM) hampir memenangi pilihan kecil Tanjung Puteri 1988, setelah tewas 35 undi saja kepada calon UMNO. Tidak mustahil orang JB buat perubahan dalam PRU13.

Kerusi Parlimen Gelang Patah, dengan 33.5 peratus Melayu serta 66 peratus bukan Melayu, tambahan pula calon DAP menang besar di kerusi Skudai, menjadikan kerusi ini, adalah prioriti utama kemenangan pakatan pembangkang selepas kerusi parlimen Bakri.

Kerusi Parlimen Kulai, calon BN cuma menang 742 undi sahaja mengatasi calon DAP. Itu pun, Presiden MCA, Datuk Ong Ka Ting yang bertanding. Undi atas kapasiti pemimpin utama masyarakat Cina beri kelebihan kepada BN, di kawasan 59 peratus pengundi adalah Cina, 32 peratus Melayu. Calon DAP menang selesa di kerusi negeri Senai. Dijangka calon Cina mewakili pembangkang akan boleh kejayaan di Kulai.

Satu lagi kerusi Parlimen yang dalam bahaya ialah Tanjung Piau, walaupun pengundi Melayu 50 peratus dan Cina 49 peratus, dengan kadar 40:80:20 untuk pembangkang, sudah cukup untuk mengayungkan undi berpihak ke p[akatan pembangkang. Dalam PRU lepas calon MCA melawan calon DAP.

Berdasarkan kepada kadar 60:20:50 untuk BN dan 40:80:50 untuk pakatan pembangkang berasaskan kepada senario selepas PRU12, ada analisis memasukkan 2 lagi kerusi Parlimen untuk diperhatikan: Simpang Renggam dan Pulai.

Semua 9 kawasan yang dijangka oleh MB Johor, terkandung dalam senarai 14 kawasan Parlimen yang disebut di atas.

Kebimbangan MB Johor tersebut di mana BN akan kehilangan 9 kerusi Parlimen dan 16 kerusi DUN ada asasnya selain senario nasional dengan trend peralihan sokongan pengundi terutamanya first time voters dan pengundi bawah 40an, juga hasil  kajian sikap pengundi tempatan.

Di samping itu, dengan perubahan sokongan dan sikap pengundi Johor akhir-akhir ini kepada parti-parti pembangkang menerusi majlis-majlis anjuran parti berkenaan, memperkukuhkan kemungkinan sebahagian kerusi pilihan raya di negeri kubu UMNO/BN paling kuat di Semenjanjung akan berpindah ke pakatan pembangkang.

Apakah natijahnya kesan dari kehilangan kerusi-kerusi Parlimen di Johor kepada politik negara. Kehilangan kerusi di Johor kesannya tidak sama kehilangan kerusi di negeri lain, kerana pengundi akan melihat apa yang berlaku di benteng terakhir. Kalau benteng terakhir berjaya dirobek, ianya menghilangkan keyakinan kepada pengundi di negeri lain.

Sokongan kuat kepada serpihan UMNO dalam PRU 1990, iaitu Parti Semangat 46, yang memberi keuntungan kepada kebangkitan Pas, atas keyakinan hasil kejayaan calon bebas Shahrir Samad memenangi PRK Johor Bahru. Jika tidak isu tengkolok Kadazan, kemungkinan satu keputusan mengejutkan berlaku dalam PRU 1990. Isu itu bijak ditempis di Kelantan, menyebabkan isu tengkolok gagal mempengaruhi khalayak pengundi.

















Tiada ulasan:

Catat Ulasan