Khamis, 22 Jun 2023

Sekadar Tambah Kerusi

 HASRAT BN TAMBAH KERUSI DI KELANTAN

UMNO Kelantan memasang  menambah kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di samping mengekalkan 8 kerusi yag dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Utusan Malaysia (14/06/2023) melaporkan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman mengeluarkan kenyataan hasrat dan harapan BN dalam PRN tahun ini. 

Kenyataan ini agak ada kelainan, biasanya selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU), kepimpinan parti mengeluarkan kenyataan-kenyataan dengan gagasan besar; hasrat untuk rampas Kelantan. Lazimnya, balik dari PAU, kepimpinan Wanita dan Pemuda dengan semangat baru lantang tanpa berlapik kepada realiti dan data, BN cukup yakin akan buat kejutan di Kelantan, dengan tawaran-tawaran lunak menyakinkan pengundi Kelantan. 

Kiranya usaha menambah kerusi sebagai wawasan Barisan Nasional (BN) dalam PRN, walaupun agak janggal, satu hakikat berpijak di bumi nyata. Pencapaian sama ada BN atau Pakatan  Harapan (PH)  dalam PRU15 akhir tahun lepas, mengendurkan momentun kerajaan Madani dalam PRK Kelantan kelak. Analisis statistikal yang menceritakan pola pilihan rakyat menjadi asas dalam memasang strategi pilihanraya walaupun terdapat kebarangkalian perubahan citarasa pengundi kesan perubahan situasi dan sentimen.

Jadual 1 

PERBANDINGAN BILANGAN PEMILIH NEGERI KELANTAN PRU14 & PRU15


Bilangan Pemilih


PRU14

PRU15

Tambahan

Peratus

TUMPAT

110924

149371

38447

34.66

PENGKALAN CHEPA

75384

106982

31598

41.92

KOTA BHARU

88708

115450

26742

30.15

PASIR MAS

71222

94544

23322

32.75

RANTAU PANJANG

66115

93248

27133

41.04

 KUBANG KERIAN

82018

113640

31622

38.55

BACHOK

92606

123183

30577

33.02

KETEREH

65238

85281

20043

30.72

TANAH MERAH

73172

98782

25610

35.00

PASIR PUTEH

85411

113070

27659

32.38

MACHANG

68387

88285

19898

29.10

JELI

47470

59798

12328

25.97

KUALA KRAI

70348

92335

21987

31.25

GUA MUSANG

52524

70254

17730

33.76

Jumlah

1049527

1404223

354696

33.80

 

Jadual 2

PEROLEHAN UNDI BARISAN NASIONAL BAHAGIAN PILIHAN RAYA PARLIMEN NEGERI KELANTAN PRU14 & PRU15







Undi Barisan Nasional


PRU14

PRU15

Tambahan

Peratus

TUMPAT

29541

30633

1092

3.70

PENGKALAN CHEPA

19360

15663

-3697

-19.10

KOTA BHARU

16256

16168

-88

-0.54

PASIR MAS

15005

13727

-1278

-8.52

RANTAU PANJANG

18431

17123

-1308

-7.10

 KUBANG KERIAN

16251

14807

-1444

-8.89

BACHOK

32896

27229

-5667

-17.23

KETEREH

25467

17435

-8032

-31.54

TANAH MERAH

28152

9781

-18371

-65.26

PASIR PUTEH

30947

23828

-7119

-23.00

MACHANG

26076

25449

-627

-2.40

JELI

21665

14608

-7057

-32.57

KUALA KRAI

20911

17552

-3359

-16.06

GUA MUSANG

19426

21663

2237

11.52

Jumlah

320384

265666

-54718

-17.08

Jadual 2 mempamerkan kemerosotan undi yang sangat ketara dipungut oleh calon-calon BN (semuanya UMNO) di 14 kawasan pilihanraya Parlimen dalam PRU15 berbanding PRU14. Undi BN hanya positif di Tumpat dan Gua Musang, dengan tambahan kecil yang jauh di bawah paras pertambahan bilangan pemilih sebagaimana ditunjukkan oleh Jadual 1. Di Tumpat, pemilih bertambah 34.66%, sedangkan undi BN hanya naik 3.70%. Sementara di Gua Musang pertambahan undi BN 11.52%, tidak seimbang dengan kenaikan bilangan pemilih 33.76%.

Keseluruhannya undi BN telah merosot sebanyak 54,718 undi atau 17.08% berbanding peningkatan jumlah pengundi Kelantan dalam PRU15, 354,696 orang atau 33.80%. Kerusi-kerusi yang dipertahankan oleh BN, selain Gua Musang dan Machang, telah memperlihatkan penurunan undi yang besar berbanding kawasan yang dipertahankan oleh Pas. Tanah Merah, Jeli dan Ketereh, kubu-kubu UMNO sekian lama, menyaksikan peralihan undi yang tinggi kepada Perikatan Nasional (PN) yang bertanding atas nama Pas. 

Kemerosotan undi BN sebanyak 18,371 undi  atau 65.26% di Tanah Merah, membantu calon PN menambah 29,043 undi atau 115.14% berbanding undi calon Pas dalam PRU14. Di Jeli, undi BN terjunan 7,057 undi atau penurunan 32.57%, membantu meningkatkan undi PN, 12,054 undi atau 80.26%. Calon BN di Ketereh gagal pertahan prestasi di Ketereh, merosot 8,032 undi atau 31.54%, memudahkan PN menambah undi Pas PRU14 sebanyak 19,701 undi atau peningkatan 94.53%. Semua lima kerusi Parlimen ini ditandingi oleh calon Bersatu. 

Berdasarkan kepada Jadual 4, kubu-kubu UMNO telah memberikan sumbangan besar kepada undi PN/Pas, yang menggambarkan berlaku  pergerakkan yang besar mengalihkan undi BN ke PN/Pas dalam PRU15. Secara langsung menggambarkan peralihan sokongan penyokong UMNO kepada serpihan UMNO, Bersatu serta Pas, gelombangan pengundi baru yang lebih memihak ke PN/Pas serta penolakan pengundi tidak berparti atau pengundi atas pagar dari memilih BN, di samping penyokong BN yang sudah hilang keyakinan kepada parti dan kepimpinan. 

Jadual 1 menjelaskan perubahan besar jumlah pemilih di seluruh negara, berbanding pertambahan pengundi setiap kali pilihanraya umum, sejak PRU Pertama, 1959. Lonjakan angka pemilih dalam PRU15 lantaran dua faktor: penurunan umur pemilih bermula 18 tahun, dan pendaftaran automatik. Jika dibaca Jadual 1 bersama Jadual 2, Jadual 3 dan Jadual 4, menghasilkan satu dapatan kegagalan BN dan PH mengambil kesempatan tambahan mendadak bilangan pemilih untuk menarik undi, membiarkan gelombang besar terarah kepada PN.  Di kala pengundi bertambah, perolehan undi oleh calon-calon BN dan PH semakin merosot berbanding calon-calon Pas berjaya mengimbangani pertambahan pengundi dengan pertambahan undi, yang menjelaskan kegagalan BN dan PH menghalang kehilangan penyokong setia, di kala Pas dan PN berjaya mengaut undi pengundi baru.

Jadual 3

PEROLEHAN UNDI PAKATAN HARAPAN BAHAGIAN PILIHAN RAYA PARLIMEN NEGERI KELANTAN PRU14 & PRU15







Undi Pakatan Harapan


PRU14

PRU15

Tambahan

Peratus

TUMPAT

10003

7762

-2241

-22.40

PENGKALAN CHEPA

7435

7356

-79

-1.06

KOTA BHARU

22422

19256

-3166

-14.12

PASIR MAS

5093

6439

1346

26.43

RANTAU PANJANG

5361

4256

-1105

-20.61

 KUBANG KERIAN

11557

10236

-1321

-11.43

BACHOK

4880

4366

-514

-10.53

KETEREH

6799

4662

-2137

-31.43

TANAH MERAH

4747

5357

610

12.85

PASIR PUTEH

4896

3864

-1032

-21.08

MACHANG

5695

3934

-1761

-30.92

JELI

2078

1140

-938

-45.14

KUALA KRAI

5173

4148

-1025

-19.81

GUA MUSANG

4997

4517

-480

-9.61

Jumlah

101136

87293

-13843

-13.69

 Prestasi yang ditunjukkan oleh PH sama seperti rakannya dalam kerajaan Madani, BN. Jadual 3 memperlihatkan keseluruhannya undi calon PH merosot, kecuali di kerusi Parlimen Pasir Mas dan Parlimen Tanah Merah. Dari Jadual 2 dan Jadual 3, kegagalan BN dan PH mempertahankan undi dari penyokong mereka membantu kebanjiran undi ke dalam bakul PN. Undi dan kerusi BN dan PH bukan sahaja merosot sokongan di negeri Kelantan, ianya sebagai lanjutan kemerosotan di peringkat Persekutuan. Dalam PRU14, di awal pagi malam pengiraan undi, PH sudah dapat majoriti untuk membentuk kerajaan, sementara BN muncul sebagai pembangkang terkuat, tapi dalam PRU15, mereka saling lengkap melengkapi membentuk kerajaan, dengan meminggirkan slogan pilihanraya masing-masing.

Jadual 4

PEROLEHAN UNDI PAS BAHAGIAN PILIHAN RAYA PARLIMEN NEGERI KELANTAN PRU14 & PRU15 







Undi Pas


PRU14

PRU15

Tambahan

Peratus

TUMPAT

47041

65426

18385

39.08

PENGKALAN CHEPA

32592

53933

21341

65.48

KOTA BHARU

28291

41869

13578

47.99

PASIR MAS

28080

44444

16364

58.28

RANTAU PANJANG

24581

37759

13178

53.61

 KUBANG KERIAN

35620

55654

20034

56.24

BACHOK

36188

57130

20942

57.87

KETEREH

20841

40542

19701

94.53

TANAH MERAH

25223

54266

29043

115.14

PASIR PUTEH

32307

52937

20630

63.86

MACHANG

23252

35603

12351

53.12

JELI

15018

27072

12054

80.26

KUALA KRAI

28903

42740

13837

47.87

GUA MUSANG

15513

21826

6313

40.69

Jumlah

393450

631201

237751

60.43

 

Tulisan saya dalam blog ini, ''Faktor Pengundi Muda Membentuk Pola Pemilihan PRU15" (29/01/2023) telah mengetengahkan satu fakta bahawa peratusan keluar mengundi yang tinggi berlaku di saluran mengundi pengundi muda yang telah memberikan undi yang tinggi kepada PN. Kebiasaannya, pengundi berusia yang berada di saluran satu, memberikan peratusan undi yang tinggi kepada BN beserta peratusan keluar mengundi yang tinggi. Dalam PRU15, di beberapa tempat pola pengundian masih kekal dengan kelebihan kepada BN, tetapi peratusan keluar mengundi yang relatif rendah. Rata-ratanya peratusan keluar mengundi di sekitar 70% berbanding 90% dalam beberapa PRU sebelum, menepati rumusan dari BN, kemerosotan undi BN didorong oleh faktor peratusan penyokong BN yang tidak keluar mengundi adalah besar. 

Berpandukan kepada dapatan dari scoresheet keseluruhan  semua bahagian pilihanraya PRU15 bagi negeri Kelantan, walaupun PN menang bergaya 14-0 mengatasi BN dan PH, jika diperincikan kepada jumlah undi mengikut kawasan pilihanraya negeri, undi calon BN mengatasi undi calon PN lebih 2,000 undi di Galas. Jika diterjemahkan undi PRU15 dalam bentuk kerusi DUN, PN mengatasi BN dengan 44-1. 

BN ketinggalan di 7 kerusi DUN yang dimenanginya dalam PRU14: Kok Lanas, Gual Ipoh, Bukit Bunga, Air Lanas, Kuala Balah, Nenggiri dan Paloh. Di Kok Lanas, PN mengatasi BN dengan lebih 8,000 undi, lebih 9,000 undi di Gual Ipoh, 5,000 undi di Air Lanas, 4,000 undi di Bukit Bunga.

BN hanya mampu memberi saingan di Kuala Balah, dengan ketinggalan lebih 2,000 undi kepada PN di Kuala Balah,  kurang 1,000 undi di Nenggiri dan sekitar 1,500 undi di Paloh.

Justeru, sudah ada pakatan agihan kerusi antara BN dengan PH, ada sedikit kelebihan kepada gabungan parti-parti kerajaan Madani. Bila dicampurkan undi BN dan undi PH, jarak undi antara PN lebih mengecil di semua 45 bahagian pilihanraya negeri. Kesan campuran undi BN-PH, lebih ketara di beberapa bahagian pilihanraya negeri dalam bahagian Parlimen Gua Musang, Kota Bharu dan Machang. 

Penguasaan undi BN di bahagian pilihanraya negeri Galas dibantu oleh PH yang agak berpengaruh memberikan gabungan kerajaan Madani mengatasi undi calon PN melebihi 12,000 undi. Di Nenggiri beza undi PN dengan gabungan BN-PH dalam puluhan undi sahaja, sementara di Paloh, undi PN mengatasi gabungan undi BN-PH sekitar 1,000 undi sahaja. 

Di bahagian pilihanraya negeri Tanjong Mas, Kota Lama dan Bunut Payong, undi PH lebih memberangkan berbanding kerusi DUN yang lain. Saingan lebih kepada PN lawan PH. Di Kota Lama, gabungan undi PH-BN mampu mengatasi undi PN, hampir 3,000 undi. 

Di bahagian pilihanraya negeri Kemuning, jika dicantumkan undi BN-PH, mampu mencabar kekuatan PN, apabila undi gabungan BN-PH, hanya ditinggalkan PN dalam 1,000 undi sahaja. 

Beberapa contoh di atas sekadar mengandaikan keseluruhan pengundi tidak membuat perubahan atau bertukar parti dan patuh kepada arahan kepimpinan supaya pengundi UMNO akan mengundi calon sahabat, dari PH sama calon dari PKR atau DAP atau Amanah. Faktor ini diandaikan dakwaan jentera BN, bahawa kekalahan besar dalam PRU15, lantaran peratusan keluar mengundi yang rendah, sebahagiannya disumbangkan oleh pemboikotan oleh penyokong BN khususnya pengundi dewasa. 

Tempoh 7 bulan selepas pembentukan kerajaan Madani yang memungkinkan memberi kelebihan kepada BN dan PH yang menguasai kerajaan Persekutuan, yang ada kecenderungan perubahan pilihan pengundi. Faktor ini berupaya berlaku tarikan pilihan pengundi kepada BN dan PH, akan mengurangkan jumlah undi yang dipungut oleh PN dalam PRU15. Dalam PRU15, PN yang didokongi oleh Bersatu dan Pas menguasai kerajaan Persekutuan, dalam tempoh zaman pentadbiran TS Muhyiddin  Yassin dan DS Ismail Sabri Yaacob, mendedahkan sumbangan besar dalam bentuk bantuan kebajikan kepada rakyat Kelantan tanpa batasan politik khususnya zaman PKP mampu meletakkan PN pilihan terbaik berbanding BN yang pernah memegang teraju kerajaan Persekutuan lebih 60 tahun dan pengalaman semasa PH memerintah selama 22 bulan.

Andainya berlaku 10% pengundi PN dalam PRU15 berubah angin dengan perkembangan  semasa selepas Pas dan Bersatu tidak lagi dalam kerajaan Persekutuan memungkinkan keputusan PRN Kelantan berlainan dengan pencapaian parti-parti bertanding dalam PRU15. Alihan 10% undi PN kepada gabungan BN-PH, akan menyaksikan saingan di beberapa kerusi. Kerusi Kota Lama memungkinkan berlaku alihan kerusi yang dipertahankan Pas kepada gabungan BN-PH, di mana Pas ketinggalan lebih 4,000 undi. Sementara kerusi Tanjong Mas dan Bunut Payong akan dipertahankan Pas dengan majoriti bawah 2,000 undi.

Gabungan BN-PH akan menyapu bersih semua kerusi dalam bahagian Parlimen Gua Musang; Nenggiri, Paloh dan Galas, berbanding hanya kerusi Galas sahaja BN mengatasi undi PN dalam PRU15.

Alihan 10% undi Pas ke gabungan BN-PH, memberikan cabaran besar kepada kedua-dua pihak di kawasan Parlimen Machang; Pulai Chondong, Temangan dan Kemuning. Pas akan hilang kerusi Kemuning dengan majoriti lebih 1,000 undi. Saingan sengit di Pulai Chondong dan Temangan, dalam situasi peluang seimbang antara PN dengan BN-PH, yang akan memberikan mana-mana parti yang menang dengan undi di bawah 500 undi. Mungkinkah situasi di Machang akan mengulangi PRU11 (2004) apabila Pas menang dengan majoriti kecil di semua kerusi: Kemuning (2 undi), Temangan (75 undi), Pulai Chondong (105 undi). 

Peralihan undi 10% juga memberi kesan kepada beberapa kerusi yang disandang Pas di kawasan lain. Kerusi DUN Wakaf Baru  akan mengecilkan peluang Pas mempertahannya. Situasi sama mungkin berlaku di kerusi Dabong. 

Walaupun berlaku alihan undi 10% dari Pas ke BN-PH, tidak cukup untuk BN mempertahankan kerusi Kok Lanas, Gual Ipoh, Bukit Bunga, Air Lanas dan Kuala Balah. Lonjakan undi yang lebih besar diperlukan oleh gabungan BN-PN untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Analisis undi setiap saluran tempat mengundi dalam PRU15, keseluruhannya menyukarkan harapan BN-PH untuk meruntuhkan kerajaan negeri yang dikuasai Pas, yang tidak memungkinkan berlaku perubahan besar kecenderungan pengundian dalam masa pendek. Cuma tunggu dan lihat, apa yang dilakukan dalam tempoh pemerintahan kerajaan Madani selama satu penggal atau empat atau lima tahun lagi, andainya keperluan kepada perubahan masa itu.

PRN Kelantan kali ini, hanya sekadar untuk melihat sejauhmana UMNO dan BN boleh pulih dalam tempoh tujuh bulan dan melihat sejauhmana penerimaan rakyat khususnya penyokong UMNO dan PH peringkat akar umbi meraikan kerajaan Madani. Sejauhmana kemampuan UMNO mempertahankan kerusi serta mengutip beberapa kerusi tambahan hasil sokongan dan kerjasama penyokong PH.






 


 

kkkkk