Ahad, 31 Ogos 2014

Pengkalan Kubor 1: pengundi dinamik

POLA PENGUNDIAN DI PENGKALAN KUBOR YANG DINAMIK

Satu pilihan raya kecil bagi kerusi N.01 Pengkalan Kubor akan diadakan mengisi kekosongan kerana kematian ADUN kerusi berkenaan, Datuk Noor Zahidi Omar pada 20/08/14 lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh pengundian pada 25/09/14, kiranya memerlukan pertandingan berdasarkan pencalonan pada hari penamaan calon pada 13/09/14 nanti.

Sejarah 13 kali pilihan raya umum (PRU) campur satu pilihan raya melibatkan Dun Pengkalan Kubor (dulunya Tumpat Barat, kemudian Simpangan, lepas itu Geting) menyaksikan satu dinamik pengundian penduduknya. Pengundi di sini mengikis jenama statik sebagai kubu kuat untuk meletakkan kawasan pilihan raya ini memainkan peranan sebagai sifat dinamik atau pengundian berasaskan suasana dan keadaan. 

Tumpat Barat adalah kubu Pas terkuat dalam kawasan Parlimen Tumpat fasa awal pasca kemerdekaan. Sungguhpun Pas berjaya menguasai tiga kerusi Dun dalam kawasan Parlimen Tumpat; Tumpat Barat, Tumpat Tengah dan Tumpat Timor dalam PRU1 (PRU 1959), tetapi Tumpat Tengah dan Tumpat Timor dikuasai UMNO/Perikatan dalam PRU2 (PRU 1964). Dalam PRU3 (PRU 1969) UMNO berjaya mengekalkan kedua-dua kerusi Tumpat Tengah dan Tumpat Timor, di samping merampas kerusi Parlimen Tumpat. 

Satu pilihan raya kecil untuk kerusi Tumpat Barat dalam tahun 1972 kerana kematian ADUNnya, Wan Abdullah Wan Salleh. Pas mengekalkan kerusi ini menerusi Che Wil Che Ali.   Sebelum Wan Abdullah, ADUN Tumpat Barat ialah Tuan Guru Haji Daud Yusof, untuk dua penggal. 

Persempadanan kawasan pilihan raya 1973, mewujudkan kerusi Simpangan menggantikan Tumpat Barat. Dalam PRU4 (PRU 1974) semasa Pas dalam BN, kerusi ini dikekalkan untuk Pas, menjadikannya kerusi tunggal Pas dalam kawasan Parlimen Tumpat. Hussin Abdullah memenangi kerusi ini. Justeru itu, kerusi ini tumpuan Pas meletakkan tokohnya dalam beberapa pilihan raya berikutnya.

Keempat ADUN Tumpat Barat/Simpangan bukan anak jadi kawasan ini. Tuan Guru Haji Daud dari Meranti, Wan Abdullah dari Pasir Pekan, Che Wil dari Ketereh. 

Bila Pas disingkir dari BN, ujian pertamanya ialah pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan khas, berasingan dengan negeri lain dalam tahun 1978. Di pihak BN dan proksinya Berjasa mengagihkan calon mengikut kategori kawasan. kawasan DUN kubu kuat Pas, BN memberikan Berjasa lawan Pas secara satu lawan satu. Terdapat 12 kerusi seumpama ini. Simpangan adalah termasuk dalam kelompok ini. Berjasa menang semua kerusi kecuali Sering.

Kawasan potensi kuat untuk UMNO/BN menang, diberikan BN lawan Pas secara satu lawan satu, iaitu di 11 kawasan. BN kalah di Manik Urai sahaja. Sementara kerusi kelabu bagi BN, diwujudkan persaingan tiga penjuru BN, Pas dan Berjasa diberi peranan memecahkan undi Pas. 13 kawasan dalam kelompok ini, semuanya dimenangi BN. 

Bermula PRU5, menyaksikan kawasan pilihan raya Simpangan bukan lagi kubu kuat Pas. PRU5 juga memperlihatkan benteng terakhir Pas di kawasan Parlimen Tumpat mulai ranap. 

Dalam PRU6 (PRU 1982) Berjasa yang menyertai BN, bertanding atas lambang BN, cuma berjaya pertahan 5 kerusi sahaja dari 11 yang dimenanginya dulu. Simpangan adalah satu dari 5 kerusi berkenaan. Tahir Aziz berjaya mempertahankan kerusi kuota Berjasa ini. Pas memenangi 8 kerusi (tidak termasuk yang menang tanpa bertanding) dalam PRU5, iaitu merampas 7 kerusi Berjasa dan 1 kerusi UMNO/BN.

Persempadanan kawasan pilihan raya 1983, menggantikan Simpangan kepada kerusi Geting. Daerah mengundi dan lokaliti tidak banyak berubah. Dalam PRU7 (PRU 1986), BN memberikan kerusi kuota Berjasa ini kepada UMNO, setelah Berjasa mengambil keputusan tidak terlibat dengan pilihan raya, sebagai membantah kelulusan BN menerima permohonan Hamim, sebuah parti serpihan Pas sebagai anngota komponen. BN menang menerusi Mat Nawawi Mat Jusoh.

Gelombang kebangkitan rakyat pertama selepas 13 Mei ialah kesan dari krisis kepimpinan UMNO 1987. Usaha untuk menumbangkan UMNO/BN menerusi kerjasama pilihan raya melalui Pas bersama Parti Semangat 46 serta Berjasa dan Hamim, di samping persefahaman Parti Semangat 46 dengan DAP, PBS dan PRM, dalam PRU8 (1990).

Persefahaman Pas dengan Semangat 46, Berjasa dan Hamim di Kelantan menggunakan formula agihan kerusi 50:50. Semua kerusi dalam Parlimen Pengkalan Chepa (1 kerusi Parlimen dan 3 kerusi DUN) diberikan kepada Pas, sementara semua kerusi dalam Parlimen Gua Musang (1 Parlimen & 3 DUN) diagihkan kepada Semangat 46. Kawasan Parlimen lain: 1 kerusi Parlimen & 1 kerusi negeri untuk Pas dan 2 kerusi negeri kepada Semangat 46-Berjasa-Hamim, atau sebaliknya. 

Di samping agihan 50:50, disyaratkan mana-mana kerusi yang dimenangi oleh Pas dalam PRU7 (1986) iaitu 10 kerusi dikekalkan kepada Pas, sementara kerusi-kerusi DUN di mana Pas kalah kepada BN di bawah 500 undi diberikan kepada Pas. Terdapat 8 kerusi DUN, Pas kalah dibawah 500 undi; Geting, Wakaf Baharu, Meranti, Bukit Tuku, Peringat, Gaal, Selising dan Banggol Judah. Tetapi, kerusi Geting diberikan kepada Semangat 46, diganti kerusi Parlimen Tumpat kepada Pas. Atas kaedah tersebut, Semangat 46 memberikan kerusi ini untuk kuota calon Hamim. Dalam PRU8 itu, Hamim yang bertanding atas lambang Semangat 46 menangi kerusi Geting, menerusi Timbalan Presidennya, Dato' Nik Man Nik Mohamad (bekas Menteri Besar Kelantan).

Persempadanan kawasan pilihan raya 1993 menyaksikan perubahan sempadan kawasan pilihan raya negeri Geting. Daerah-daerah mengundi dalam kawasan ini dikurangkan dalam membentuk kawasan pilihan raya baru, Pengkalan Kubor, serta pengecilan kawasan Parlimen Tumpat. Kerusi DUN Wakaf Baharu dikeluarkan dari Parlimen Tumpat dan dimasukkan ke Parlimen Pasir Mas. Justeru itu dibentuk kerusi negeri baru, Pasir Pekan, hasil dari cantuman sebahagian daerah mengundi dalam kawasan pilihan raya Sungai Pinang dan Wakaf Baharu. Persempadanan baru ini menjadikan Parlimen Tumpat dibentuk dari 3 kerusi negeri; Pengkalan Kubor, Kelaboran dan Pasir Pekan. 

Daerah mengundi Jubakar Pantai, Kg Baru Nelayan, Terbak, Kg Periok, dan Kelaboran dimasukkan ke dalam kawasan pilihan raya negeri Kelaboran. Daerah-daerah mengundi selebihnya dalam kerusi Geting, membentuk kawasan pilihan raya Pengkalan Kubor. 

Perubahan sempadan ini memberikan keuntungan kepada BN, di mana dalam PRU9 (1995) kerusi Pengkalan Kubor dirampas oleh calon UMNO/BN, mengalahkan calon Hamim yang bertanding atas tiket Semangat 46, dengan majoriti  1,298 undi. 

Dalam PRU10 (1999) zaman kebangkitan rakyat kali kedua, kesan dari gelombangan Reformasi 1998, kerusi ini ditandingi calon Pas, selepas kerjasama Pas dengan Semangat 46 dan sekutu, terhenti selepas pembubaran Semangat 46 untuk sertai UMNO. Calon Pas menang, menerusi Wan Hussin Wan Ahmad, Imam Mukim Kg Ketil. Beliau gagal pertahan kerusi ini dalam PRU11 (2004) setelah ditewaskan oleh calon BN, Nor Zahidi Omar. 

Tradisi bertukar tangan di kalangan parti komponen atau parti dalam pakatan pilihan raya di kerusi Simpangan, kemudian Geting, kemudiannya Pengkalan Kubor berlaku dalam PRU12 (2008), di mana Pas melepaskan kerusi ini kepada PKR. Calon PKR cuma kalah 100 undi sahaja kepada penyandang, Nor Zahidi Omar.  Tetapi dalam PRU13 yang lalu, kerusi yang diberikan kepada PKR, tewas dengan majoriti yang lebih besar, 1,736 undi. Majoriti paling tinggi bagi kerusi ini, yang pernah dicapai mana-mana pemenang kerusi ini sejak 50 tahun.

Kerusi ini yang awalnya adalah kubu terkuat Pas di kawasan Tumpat tetapi selepas penyingkiran Pas dari BN dalam tahun 1977, ianya menjadi satu kerusi pilihan raya yang terdedah kepada banyak ketidaktentuan sama ada kepada Pas dan sekutunya atau UMNO dan sekutunya. Biasanya kawasan pilihan raya di Kelantan menjadi perebutan antara Pas dan UMNO, tetapi berlainan di kerusi ini yang asalnya adalah kerusi Tumpat Barat, melibatkan parti-parti serpihan Pas atau serpihan UMNO. Faktor ini menjadikan pengundian di kerusi ini dalam tempoh 50 tahun, tidak menggambarkan senario seterotaip politik Kelantan secara amnya. Kelainan ini menjadikan pemerhatian keputusan pemilih adalah satu perkara yang amat menarik dan keistimewaan tersendiri.






Selasa, 26 Ogos 2014

Kerajaan Khalid Ibrahim 4

TINDAKAN NON-KONFRONTASI  TANGANI KERAJAAN KHALID IBRAHIM

Keputusan diambil oleh Istana Selangor menangani isu kerajaan minoriti TS Khalid Ibrahim hari ini, bolehlah disifatkan satu tindakan terpuji dan menghormati roh demokrasi berparlimen. Kerajaan TS Khalid yang dibina dengan kekuatan 4 orang anggota Exco, sekadar memenuhi syarat minima anggota pentadbir sebuah kerajaan negeri. 

Harapannya berlaku perpecahan, pergolakan dan krisis di kalangan anggota Pakatan Rakyat yang membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, tersasar. UMNO/BN sebagai pembangkang yang gagal menafikan suara majoriti dua pertiga dalam dewan perundangan, amat mengharapkan isu kerajaan Selangor berakhir dengan sebuah pilihan raya khas peringkat negeri. Telahan beberapa ahli akademik yang mengharapkan BN akan mengambil balik kerajaan Selangor menerusi pilihan raya negeri (PRN) tidak menjadi. 

Era kerajaan Selangor di bawah pimpinan TS Khalid Ibrahim 2008-2013 digambarkan sebuah kerajaan yang lemah, tidak popular, tidak berdisiplin serta banyak janji manifesto PRU 2008 tidak terlaksana. Ada manifesto yang tidak disempurnakan dibawa ke mahkamah, walaupun tidak mempunyai asas kukuh; janji pilihan raya adalah satu kesalahan moral atau jenayah. 

Kekalahan calon Pakatan Rakyat dalam PRK Hulu Selangor dan perbalahan dalam Exco negeri; Dr Hassan Ali-Ronnie Liu yang membawa kepada penyingkiran Hassan Ali dari kerajaan negeri, disusuli propaganda BN menerusi berbagai media kawalan Kerajaan Persekutuan memberi kesan negatif kepada kerajaan Pakatan Rakyat. Pendaftaran pengundi baru serta bantahan besar-besaran di Selangor serta perlantikan Perdana Menteri mengetuai UMNO negeri, menambahkan keyakinan propaganda bahawa tempoh kerajaan Selangor akan berakhir dalam PRU13. 

Sebaliknya keputusan PRU13 memperkukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat, dengan pertambahan kerusi dan undi popular. Bermulanya krisis jawatan Menteri Besar sebulan lalu, propaganda, ulasan dan pandangan media arus perdana memperlihatkan ayungan sokongan rakyat mulai berlaih ke BN. 

Krisis MB di Kelantan 1977 membawa kepada pembubaran DUN dan satu PRN diadakan, yang memberi advantage kepada UMNO/BN. Krisis Sarawak 1966, Ketua Menteri dipecat, DUN tidak dibubarkan kerana DUN atau Council Negeri Sarawak adalah dilantik bukan dipilih menerusi satu pilihan raya. Pilihan raya pertama di Sarawak hanya dalam tahun 1969. Krisis Perak 2009, MB dipecat tanpa usul undi tak percaya atau pembubaran DUN. Dengan bahasa mudah yang tersirat, pembubaran DUN berlaku di Kelantan 1977 kerana BN ada potensi untuk merampas kerajaan secara demokrasi. DUN tidak dibubarkan di Perak 2009 kerana keyakinan BN boleh menguasai kerajaan menerusi pembubaran DUN amatlah diragui. Apakah tiada langkah pembubaran DUN Selangor untuk atasi kemelut, serupa dengan kes Perak 2009 dulu. UMNO/BN tidak yakin  boleh merampas balik kerajaan Selangor.

Keputusan Istana Selangor petang tadi, mengekalkan kerajaan Khalid Ibrahim sehingga Pakatan Rakyat selesai melantik seorang Menteri Besar yang baru, satu tindakan sesuai dengan roh demokrasi berparlimen. Sungguhpun tiada ada peruntukan perundangan tempoh minima bagi sesebuah dewan legislatif, sebelum satu pilihan raya boleh diadakan untuk membentuk sebuah pentadbiran baru. Apapun syabas kepada Istana Selangor, khususnya penasihat-penasihatnya mengambil keputusan tidak membazirkan duit rakyat semata-mata demi menukar seorang ketua pentadbir yang bermasalah dengan parti yang mengangkatnya. Satu tindakan mengheret rakyat untuk menyelesaikan sebuah krisis dalaman sebuah parti, tidaklah mengatur himpunan rakyat di seluruh pelusuk negeri untuk acara bakar tayar kereta, acara menipu dan memperbodohkan rakyat demi menyingkir seorang pemimpin.

 


Rabu, 20 Ogos 2014

Kerajaan Khalid Ibrahim 3

MANA ADA U-TURN

Pas telah buat keputusan dengan mengekalkan 4 orang exco untuk sama-sama mentadbir Selangor bersama TS Khalid Ibrahim. Keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, tiga hari lalu mencipta satu tindakan menarik dalam senario politik menuju ke Wawasan 2020. Keputusan yang memberikan beberapa implikasi menarik kepada UMNO dan pakatan pembangkang, menyaksikan beberapa gambaran kesan.

Menjelang 17/08/2014, berbagai pihak mengandaikan harapan demi survival politik dan kepentingan berbagai pihak. Justeru keputusan Pas 17/08, mengekalkan bersama pakatan pembangkang yang dibina atas asas kerjasama pilihan raya menjelang Pilihan Raya Umum ke 12, 2008 (PRU12) menzahirkan sambutan kekecewaan, kepada sekurang-kurangnya 2 puak. Pertama, satu kumpulan dalam Pas yang memberi reaksi negatif " Langkah Kajang" dan mengharapkan pembentukan kerajaan Selangor seterusnya dikepalai TS Khalid Ibrahim tanpa penyertaan PKR dan DAP. Setengah pihak menggelarkan kumpulan ini penggerak ke arah pembentukan sebuah kerajaan perpaduan atau unity government (UG). Kekecewaan amat ketara dengan beberapa ulasan dan kenyataan jurucakap kumpulan ini.

Kumpulan kedua ialah pihak di luar Pas, UMNO dibantu oleh media arus perdana dan academicians pro-UMNO. Timbalan Presiden UMNO melahirkan ulasan emosional dan kecewa semasa merasmikan mesyuarat agung KIMMA, sebuah parti politik yang tak pernah masuk pilihan raya tetapi mesra BN, pada hari yang sama. Mantan Presiden UMNO mengumumkan tarikan balik sokongan kepada kepimpinan parti dan kerajaan, pada hari yang sama. Media arus perdana serta beberapa ahli akademik mengulang-ulang melahirkan kekecewaan mengkritik Pas ambil keputusan U-turn. Mana ada u-turn, Pas bersama membentuk kerajaan dengan mengekalkan ADUNnya menjadi exco, sejak TS Khalid dipecat dari PKR dan selepas keputusan 17/08. Sementelahan pula, kerajaan TS Khalid belum pasti bila akan berakhir. 

Beberapa ahli akademik yang popular dengan ulasan-ulasan untuk berat sebelah ketika mengulas beberapa isu nasional sebelum ini, begitu yakin dan amat mengharapkan DUN Selangor dibubarkan untuk membolehkan rakyat memberikan mandat baru menerusi satu pilihan raya peringkat negeri (PRN). Kemelut yang berlaku di Selangor bukanlah satu isu yang perlu diselesaikan menerusi satu PRN sebagai jalan penyelesaian, yang melibatkan kos sekitar RM50 juta sebagaimana pandangan Pengerusi SPR.
Dua hari lepas yang tunjuk perasaan depan pejabat SUK Selangor, cuma 8 orang saja. Kumpulan yang menyerahkan memorandum kepada Istana Negeri, petang tadi, cuma kumpulan kecil, tak sampai 20 orang. Jauh beza dengan demonstrasi massa diisi pidato-pidato berapi-api yang membawa kepada penggantungan DUN Kelantan 1977, disertai pembakaran tayar-tayar buruk untuk menggambarkan beberapa siri rusuhan di seluruh negeri.

Keputusan 17/08 diambil oleh Pas, bukanlah satu kejutan jika kita tidak mengikuti siaran dan tulisan media arus perdana. Amat mustahil sebuah pakatan kerjasama pilihan raya yang baru dibina dalam 2 PRU lepas telah berjaya menafikan majoriti dua pertiga kerajaan Persekutuan dan di kebanyakan negeri yang dikuasai BN, menumbangkan beberapa kerajaan negeri BN dan menjadikan BN menguasai sebuah kerajaan minoriti sokongan 47% rakyat, diruntuhkan di pertengahan perjalanan. Kerajaan ini jauh lebih berjaya berbanding kerjasama pembangkang dalam PRU 1990 dan PRU 1999. Keputusan 17/08 memang diduga demi kelangsungan menuju sistem dua parti yang lebih menyuburkan demokrasi sebagai asas negara maju dalam tempoh semakin menghampiri sasaran Wawasan 2020.




 

Sabtu, 16 Ogos 2014

Kerajaan Khalid Ibrahim 2

MENUNGGU HARI ESOK

Kerajaan kontroversi pimpinan TS Abdul Khalid Ibrahim sedang menunggu nasib hayatnya,  besok, Ahad 17/08/2014, Jawatankuasa Pusat Pas akan mengadakan mesyuarat khas, setelah dua kali tertangguh selepas pemecatan TS Khalid dari partinya, PKR. Kerajaan pertama di atas bumi Malaysia, dipimpin oleh seorang anggota dewan legislatif tanpa parti dan dibantu anggota dari sebuah parti politik untuk memenuhi syarat minima anggota pentadbiran mengikut perundangan, menunggu penuh debar untung rugi nasib malang. 

 Kerajaan yang didokongi oleh bilangan jemaah pentadbiran legislatif atau Majlis Kerja Kerajaan Negeri (exco)  dengan 4 orang ahli dari Pas, walaupun dapat membantu kerajaan pimpinan TS Khalid berfungsi, dalam dilema sejauh mana kemampuan untuk bertahan lama. Dalam DUN yang dianggotai 56 ADUN dengan 15 Pas, 15 DAP, 13 PKR, 12 BN dan seorang Bebas (bekas PKR), tidak dijelaskan kekuatan sokongan ahli sebenar kepada kerajaan. Seramai 30 ADUN mengemukakan akaun bersumpah menyokong ADUN Kajang membentuk kerajaan: 15 DAP, 13 PKR dan 2 Pas. 

Kerajaan pimpinan TS Khalid hingga kini disokong baki ADUN Pas seramai 13 orang. BN menerusi Timbalan Presidennya menyatakan akan sokong kerajaan yang ada. Ini bermakna cuma 26 ADUN sahaja secara tidak rasmi menjadi penyokong kerajaan, menyokong sebuah kerajaan minoriti yang terdedah kepada berbagai kemungkinan dari sudut perundangan, pentadbiran dan moral. 

Jika keadaan ini kekal hasil keputusan Pas besok, akan terdedah kepada: TS Khalid mentadbir sebuah kerajaan minoriti, kerajaan sedia ada akan ditumbangkan menerusi undi tidak percaya, pembubaran DUN untuk mendapat mandat baru, lakonan huru-hara olok-olok menerusi demonstrasi massa atau rusuhan bikinan untuk membolehkan kerajaan Selangor ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan menerusi undang-undang darurat. 

Alasan Pas mengekalkan 4 orang ADUNnya dalam majlis exco untuk mengelakkan TS Khalid minta kerjasama ADUN UMNO menyertai exco untuk mengekalkan kerajaan pimpinannya. Beliau memaklumkan kepada Istana Negeri, beliau mendapat sokongan majoriti ADUN walaupun beliau tidak lagi mewakili salah satu parti dalam pakatan parti-parti kerajaan Selangor. Pas mengorbankan dirinya walaupun terpaksa tidak bersama rakan-rakan dalam pakatan parti-parti, mempastikan kerajaan Selangor dapat bertahan tanpa sokongan dan penyertaan BN, parti minoriti dalam DUN Selangor.

Pas mengambil masa lama tidak seperti rakan-rakannya DAP dan PKR, untuk menentukan kedudukan dan peranan dalam DUN. Kelambatan Pas ini ada hikmahnya. Dari sirah nabawiyah, Allah menurunkan firmannya tiga bulan untuk membersihkan Aisyah dari satu tuduhan fitnah. Tempoh tersebut, sebagai satu ujian sejauh mana kesabaran, penghemahan dan ketelitian membuat keputusan. Apa lagi satu keputusan ummah, untuk dijadikan rujuan dan panduan tindakan politik dan ketamadunan. 

Tindakan 2 orang ADUN mengambil langkah persendirian tanpa merujuk keputusan pimpinan dan jemaah, menyokong ADUN Kajang, mempunyai pendirian sendiri: tidak puas hati kelewatan keputusan pimpinan, atau satu agenda menggambarkan Pas tidak mahu mengasingkan diri dari rakan-rakan dalam pakatan pembangkang utama. Bagaimana pun sedikit sebanyak mengganggu intergirti parti di kaca khalayak pengundi. 

Apapun keputusan besok dijangka tidak akan memisahkan Pas dari agenda perdana pakatan pembangkang. Ini disebabkan, adalah mustahil Pas yang bersusahpayah membentuk pakatan pembangkang dalam usia yang masih muda, akan menghentikan perjalanan sebelum sampai ke kemuncak yang dalam pembikinan. Adalah satu tindakan yang luar biasa dan mundur ke belakang, keputusan Pas besok akan membantu sebuah kerajaan minoriti 47 peratus yang sedang menguasai Putrajaya menerusi PRU13 lalu. 

Sungguhpun keputusan ini amat pahit ditelan atas roh persahabatan yang boleh menamatkan kerajaan TS Khalid Ibrahim dalam hayat yang singkat. Keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pas besok sama ada kerajaan Bebas campur Pas akan menjadi kerajaan yang paling pendek usianya, lebih singkat berbanding kerajaan Pas Terengganu, 1961, ataupun sebaliknya. 

Harapannya keputusan yang akan diambil oleh Pas ini, tidak akan menggangu ketenteraman awam, keharmonian antara kaum dan perpaduan yang sedia terjalan demi kesejahteraan ummah dan ekonomi nasional. Inspirasi dari roh dan semangat ulang tahun kemerdekaan negara yang bakal menjelang, pentadbiran dan pemerintahan,  dan jika ada transisi peralihan kuasa, semuanya  berjalan lancar.

 

 

 

 

 

Selasa, 12 Ogos 2014

Kerajaan Khalid Ibrahim 1

KERAJAAN TS KHALID IBRAHIM MEMULAKAN EPISOD

Episod pertama sebuah kerajaan di bawah seorang ADUN Bebas bermula hari ini. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipertanggungjawabkan oleh pakatan parti-parti PKR-Pas-DAP mengetuai sebuah kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12), dan diberikan sekali lagi tugasan selepas PRU13, telah dipecat oleh partinya PKR, dua hari lepas. Ekoran pemecatan itu, menjadikan beliau seorang ADUN Bebas dan kekal sebagai Menteri Besar. Hakikinya, pemecatan tersebut sebagai satu keputusan dan rahan parti agar beliau berundur. 

Keengganan beliau meletak jawatan atas alasan mendapat sokongan majoriti ADUN sebagaimana dimaklumkan kepada Tuanku Sultan kelmarin, beliau diminta meneruskan tugasannya. Penerusan jawatannya, mencipta satu frasa baru atau satu episod baru dalam sejarah politik demokrasi kepilihanrayaan, apabila seorang anggota legislatif dari kumpulan minoriti dipilih mengetuai sebuah kerajaan dengan disokong kelompok majoriti. Di Malaysia, inilah buat julung kali seorang ADUN Bebas tunggal dalam dewan perundangan mengetuai sebuah kerajaan. Dari sudut perundangan, mana-mana ahli yang dapat sokongan sama ada bertulis atau lisan majoriti mudah (simple majority) ahli, selayaknya mengetuai pembentukan kerajaan. 

Bila Gerakan yang mengetuai kerajaan negeri Pulau Pinang sejak PRU3 (PRU 1969), kehilangan banyak kerusi dalam PRU8 (PRU 1990), kerusi Ketua Menteri dikekalkan kepada Gerakan sungguhpun UMNO memiliki bilangan kerusi yang lebih banyak dalam DUN. Peter Lo dari parti SCA, walaupun SCA cuma miliki 3 kerusi DUN Sabah sahaja, berbanding USNO yang jauh lebih banyak kerusi, diberi tanggungjawab sebagai Ketua Menteri Sabah, zaman Perikatan memerintah Sabah sebelum jatuh ke parti Berjaya dalam PRN 1976. 

Tetapi kes di Selangor ini berlainan kerana kes di Pulau Pinang dan Sabah tersebut, penyandang ketua kerajaan serta penyokongnya adalah dari gabungan parti-parti menerusi BN. Kes di Selangor, pembentukan kerajaan  hari ini dibentuk  bukan hasil dari ketidaksepakatan dibentuk dalam pilihan raya. Ianya lebih merupakan pembentukan sebuah kerajaan perpaduan (unity government), yang biasanya dibentuk di negara-negara yang mengamalkan sistem pilihan raya perwakilan undi popular. Calon-calon yang bertanding antara satu sama lain dalam pilihan raya, kemudian yang menang berpakat membentuk kerajaan.

Petang tadi TS Khalid membentuk barisan exco  baru, memecat atau mengugurkan 5 exco: 2 PKR dan 3 DAP serta mengekalkan 4 exco dari Pas dan melantik 3 exco baru: 2 Pas dan 1 PKR. Seorang exco dari PKR tidak dapat dihubungi kerana berada di luar negeri dan dikekalkan. Beliau juga melantik 2 ADUN Pas untuk kerusi Speaker dan Timbalan Speaker DUN, yang dulunya disandang oleh ADUN DAP dan PKR.

Soalnya, ikut amalannya, Sultan yang berkuasa memecat dan melantik anggota exco. Sultan memilih mana-mana ADUN yang dapat sokongan majoriti ADUN untuk membentuk kerajaan atau sebagai Menteri Besar dan tugas Menteri Besar mencadangkan nama ADUN untuk dilantik exco oleh Sultan. Di Selangor, TS Khalid pecat dan lantik exco. Dalam kes Perak (2009) Sultan panggil setiap ADUN pihak mana yang dapat sokongan majoriti untuk diberi tugas membentuk kerajaan. Di Selangor, Sultan hanya diyakini oleh MB, dia mendapat sokongan majoriti. 

6 exco dari PKR dan DAP memaklumkan hari ini, mereka diarah parti tidak meletak jawatan dan mereka akan memasuki premis dan menjalankan tugas seperti biasa besok (13/08/2014). Kabinet baru atau exco yang diumumkan oleh TS Khalid petang tadi, tidak dimaklum bila mereka akan angkat sumpah memegang jawatan.

Esok hari Rabu, adalah hari mesyuarat mingguan exco. Exco mana yang akan memasuki bilik mesyuarat besok, 13/08/2014. Apakah akan berlaku berebut pintu atau berebut kerusi besok. Harapnya tiadalah mesyuarat exco dua puak; satu puak dalam bilik dan satu puak di bawah pokok. Janganlah adanya jika ditakdirkan DUN adakan mesyuarat khas dalam masa terdekat, ada upacara mengusung "Tuan Speaker".  Amatlah tidak elok dalam iklim politik Malaysia yang menuju kedewasaan, YB Bangi berebut kerusi dengan seorang wanita YB Subang Jaya menduduki kerusi Speaker DUN.   

 



Isnin, 11 Ogos 2014

Abdul Razak Ahmad

KENANGAN ALLAHYARHAM  ABDUL RAZAK AHMAD

Hari ini 12 Ogos, genap 7 tahun, Allahyarham Saudara Abdul Razak Ahmad meninggalkan kita. Peribadinya saya amat menjanjungi komitmen, ketegasan dan prinsip perjuangan beliau sepanjang saya berkawan dan mengenali beliau, satu masa dahulu.

Jarang kita jumpai seorang aktivis gerakan pelajar mengekalkan gaya hidup, prinsip perjuangan dan komitmen peribadi semasa di bangku pusat pengajian tinggi, meneruskannya dalam kehidupan sampai penghujung hayat. Kelazimannya akan bertukar warna perjuangan demi memenuhi tuntutan kehidupan semasa atau keperluan kehidupan pasca alam pelajar.  

Dalam satu forum di Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1975 yang sempat saya hadir, Dr Syed Hussien Alattas yang baru saja menghasilkan tulisannya popularnya: The Sociology of Corruption, menyebut seorang aktivis pelajar yang kritis, bila keluar pusat pengajian dan sertai dunia kerjaya akan menjadi buaya, jika tidak akan dimakan buaya. Berlainan dengan Razak Ahmad yang memilih untuk tidak menjadi buaya, meneruskan prinsip perjuangan sama seperti semasa di alam aktivitisme pelajar, sungguhpun sudah berkerluarga, serta memiliki kedudukan yang kukuh dalam pentadbiran awam. 

Saya mula mengenali dari dekat Razak Ahmad, semasa saya memimpin sebuah gerakan pelajar di sebuah maktab perguruan di Johor Bahru dalam tahun 1974. Masa itu, Razak mula mencebur diri dalam dunia politik dan diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Partai  Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) merangkap Bendahari PSRM Pusat. 

Saya mengambil inisiatif menganjurkan satu forum bertajuk " Peranan Gerakan Pelajar Memenuhi Tuntutan Masyarakat". Ahli panelnya terdiri dari Razak Ahmad, Tengku Kamaruzaman Tengku Abdul Hamid, AJK Pas Pusat, Mohd Yunus Sulaiman, Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Alauddin Jeffrey, Setiausaha ABIM Johor Bahru. Forum dipengerusikan oleh Hj Hamzah Tahir, Setiausaha Agung Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ).

Tengku Kamaruzaman berasal dari Pahang, bertugas dengan syarikat Shell di Johor Bahru, di mana saya selalu kunjungi beliau di penginapannya di Jalan Yahya Awal. Masa itu, Pas berada dalam BN tetapi di Johor, Pas seolah terpinggir dalam kelompok BN. Alauddin Jeffrey dan Hj Hamzah, rakan dan kenalan dalam gerakan pelajar di Johor Baharu di mana kami sering menganjurkan aktiviti bersama termasuk usrah berkala. 

Semasa saya mengunjungi Pejabat Menteri Besar, Mohd Yunus Sulaiman, kakitangan di situ kemudian sebagai Setiausaha Politik MB (Tan Sri Othman Saat MB masa itu), bila diberitahu salah seorang ahli panel ialah Razak Ahmad, beliau menawarkan diri mewakili UMNO. 

Forum ini boleh dikira amat berjaya, dengan sambutan serta kehadiran penonton yang menggalakan dari berbagai kelompok khususnya masyarakat. Forum ini menjadi satu medan membantu mempopularkan Razak Ahmad, bekas Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor dan bekas Penasihat Undang-undang FELDA. Lebih popular masa alam mahasiswanya, beliau tidak dibenarkan memasuki Singapura untuk mengambil peperiksaan akhir pengajian undang-undang dari Univerisity of Singapore. Memaksa beliau mengambil peperiksaan secara di luar kampus. Tindakan ke atas beliau kerana kelantangan kritikannya sebagai pemimpin pelajar kepada kerajaan Singapura pimpinan Lim Kuan Yew.

Saya kagum dengan komitmen beliau yang tidak berubah sama ada di dunia kemahasiswaan dengan alam kerjaya sebagai birokrat. Beliau tidak menjadi buaya walaupun berada dalam dunia birokrasi yang penuh eksklusif dengan beberapa keistimewaan. Kerendahan diri seorang peguam dan bekas birokrat yang suka ambil berat nasib rakyat tertindas amatlah disanjungi. Saya sering dipelawa ke kediamannya di Jalan Straits View, untuk bersembang.

Sungguhpun beliau tidak pernah memenangi sebarang pilihan raya sejak menyertai buat kali pertama dalam PRU 1974. Paling berjaya ialah dalam PRK Tanjong Puteri 1988, beliau kalah dengan 35 undi sahaja, setelah kemenangan calon BN, Yunus Sulaiman dalam PRU 1986 dengan 506 undi dibatalkan menerusi satu petisyen pilihan raya. Pernah ditahan di bawah ISA, selama 2 tahun dalam tahun 1975, kemudiannya dikenakan tahanan kediaman terhadap juga 2 tahun. Mengikut sumber dari aktivis Parti Semangat 46 Johor, sebenarnya PRK tersebut dimenangi oleh Razak dan beliau ditewaskan oleh satu manipulasi pengiraan undi.

Seorang yang terlalu simple, mudah dihubungi dan senang minta bantuan dan nasihat, negara kita amat kekurangan manusia politik seperti Razak Ahmad, yang mengakhiri tugasan politiknya di akhir hayat sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, PKR Johor. Alfatihah buat Allahyarham Razak Ahmad, pejuang keadilan dan kesamarataan yang tidak mementingkan pangkat dan kemewahan dunia.

Masa menginap di Taman Sri Puteri, Skudai, semalam,
memberi ilham kenangan bersama arwah