Selasa, 31 Mei 2016

Pendekatan Pas-Amanah

CABARAN PENDEKATAN BARU POLITIK MALAYSIA: DARI SARAWAK KE KUALA KANGSAR & SUNGAI BESAR

Perkembangan baru dalam politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke 13 lebih ditonjolkan dengan perkembangan dalam parti politik tertua, iaitu Pas. Selepas PRU13, Pas digegarkan dengan kemunculan parti serpihan; Parti Amanah Negara (PAN @ Amanah) yang menggabungkan tenaga utama parti yang bahagian besarnya tokoh-tokoh parti yang ditolak dalam pemilihan jawatankuasa kerja pusat Pas tahun lepas. 

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak awal bulan ini dan dua pilihan raya kecil (PRK) bakal berlangsung di kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar bolehlah dijadikan sebagai medan kajian, analisis dan pengalaman bagi Pas dan serpihannya. 

Sungguhpun Sarawak, satu kawasan yang baru diterokai dan pengaruh Pas masih di peringkat awal, serta latar demografi dan sosio-politik yang agak asing bagi Pas, namun sedikit sebanyak beberapa pembolehubah boleh dikumpul untuk dijadikan ukuran dan penganalisaan data dan maklumat. Berbeza dengan suasana di Semenanjung di mana gambaran kawasan pilihan raya dicerminkan oleh komposisi pengundi mengikut kaum: Melayu, Cina, India dan lain kaum. Di Sarawak ianya digambarkan kepada pecahan kaum: Melayu/Melanau, Cina, Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan lain kaum. 

Di Semenanjung, dalam PRU13, dari jumlah 11.194 juta pemilih, 6.635 atau 59.27% adalah pengundi keturunan Melayu, sementara Cina; 3.425 juta pemilih atau 30.60% dan pengundi India berjumlah 0.965 juta atau 8.63%. Di Sarawak; jumlah pemilih dalam PRN11 ialah 1.138 juta, di mana kaum Melayu/Melanau; 310,447 pemilih atau 27.26%, Cina; 354,035 orang atau 31.09%, Iban; 319,580 pemilih atau 28.06%, sementara kaum Bidayuh adalah 7.44% dan Orang Ulu; 3.97%. Jika dikelompokkan Bumiputera bukan Islam, seramai 39.47% adalah dari kumpulan ini. 

Pas yang asasnya parti yang didokongi masyarakat Islam, sejak PRU1, menumpukan kawasan majoriti pengundi Melayu dan luar bandar untuk penglibatan demokrasi kepilihanrayaan. Jika Pas meletakkan calon di kawasan perbandaran atau pinggir bandar, lebih tumpu kepada kawasan campuran dengan pengundi Melayu melebihi 50% pemilih kawasan berkenaan. Cuma setelah persepakatan politik menerusi kerjasama pilihan raya dalam PRU12 bersama PKR dan DAP, Pas diberi peluang bertanding di kawasan campuran di mana pengundi Melayu di bawah 50% tetapi pengundi Melayu masih pemilih teramai berbanding dengan kaum lain. Contohnya, Parlimen Kota Raja, pengundi Melayu cuma 45%. Pendekatan baru Pas, "Pas for all", mengusahakan memperkenal dan memperluaskan pengaruh Pas ke dalam masyarakat berbagai kaum dan agama. 

PRN11 Sarawak baru-baru ini, Pas mengambil pendekatan memasuki kawasan majoriti masyarakat bukan Islam, sama ada di kawasan bandar yang dikuasai oleh kaum Cina atau kawasan luar bandar yang dikuasai masyarakat Iban. Dalam PRN10 Sarawak, 2011, buat pertama kali Pas bertanding secara bersungguh berbanding PRN sebelum dengan meletakkan seorang calon. Dalam PRN10, Pas meletakkan 5 calon di kawasan majoriti Melayu. Pas yang bertanding dalam pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat, dalam saingan satu lawan satu dengan calon-calon PBB mewakili BN, melahirkan pencapaian yang baik walaupun tidak memenangi sebarang kerusi. Semua calonnya tidak hilang wang pertaruhan. Di Beting Maro, kawasan 90% pengundi Melayu, calon Pas perolehi 46.6% undi kalah dengan perbezaan 391 undi sahaja.  

Dalam PRN11, Pas bertanding bersendirian bukan lagi bersama pakatan pembangkang. Serpihan Pas, Amanah mengambil tempat Pas dalam pakatan pembangkang yang longgar, Pakatan Harapan bersama PKR dan DAPPas bertanding di 7 kawasan majoriti Melayu/Melanau, 2 kawasan Iban, 1 kawasan Cina dan 1 kawasan campuran. Pencapaian Pas dengan mengambil pendekatan baru, "Kuasa Ketiga" kurang memberangsangkan berbanding dalam pakatan pembangkang dalam PRU10. Di kawasan majoriti Melayu, Muara Tuang dan Sadong Jaya, calon Pas hilang wang pertaruhan bila cuma perolehi 12.20% dan 9.59% berbanding dalam PRU10, undian Pas ialah 19.5% di Muara Tuang dan 22.5% di Sadong Jaya. Malah di Beting Maro, peratusan undi Pas turun dari 46.6% ke 38.6%

Pas meletakkan calon tunggal di kawasan majoriti Melanau, Jepak yang melibat persaingan 5 penjuru bersama BN, PKR, Star dan calon bebas. Pertandingan adalah antara BN dengan PKR yang menyaksikan calon Pas hilang wang pertaruhan, cuma perolehi 406 undi atau 4.41%.

Di kawasan Iban, Pas bertanding di Kakus (pengundi Iban, 11,000 orang atau 85.4%, pengundi Islam cuma 500 orang saja), calon Pas, seorang Iban menganut Kristian, cuma pungut 482 undi saja atau 5.14% dalam persaingan 3 penjuru bersama calon BN dari PRS dan PKR. Di kerusi Samalaju, Pas bersama DAP menentang calon PRS/BN. Calon Pas cuma perolehi 5.03% undi sahaja.

Percubaan di kawasan majoriti Cina, calon Pas ketinggalan dengan perolehan undi 3.03% sahaja di kubu kuat DAP, iaitu di kerusi Pujut, dalam persaingan 4 penjuru bersama BN dan seorang calon bebas menentang calon DAP. 

Pas mencuba di kawasan campuran, kerusi Lambir yang mengandungi 35% pemilih Islam (majoritinya kaum Kedayan), 32.8% Iban dan 25.6% Cina, di samping 4.2% Bumiputera bukan Islam yang lain. Calon Pas cuma perolehi 7.59% undi atau 829 undi, di mana pertandingan sebenar adalah antara calon BN dengan PKR. Semua calon adalah Bumiputera Islam dari kaum Kedayan. 

Keseluruhannya undian calon Pas hanya bertumpu di kawasan majoriti Melayu sahaja, dengan semua calon Pas di kawasan Melanau dan Kedayan, serta bukan Islam: Iban dan Pujut hilang wang pertaruhan dan gagal menandingi bukan saja calon BN bahkan calon dari parti-parti dalam Pakatan Harapan. 

Serpihan Pas, parti Amanah hanya bertanding di kawasan majoriti pengundi Islam iaitu 8 kawasan Melayu dan 5 kawasan Melanau. Amanah selaku komponen Pakatan Harapan mengambil tempat Pas bertembung dengan Pas di 5 kawasan. Semuanya di kawasan majoriti Melayu. Kesemua 5 calon Amanah hilang wang pertaruhan dalam pertandingan 3 penjuru bersama PBB/BN dan Pas.  Di kerusi Beting Maro, kerusi tumpuan Pas, calon cuma perolehi 103 undi atau 1.30% sahaja berbanding undi Pas sebanyak 3,051 undi atau 38.56%. Di Sebuyau, calon Amanah dapat 164 undi atau 2.53% berbanding undi calon Pas; 1,789 undi atau 27.59%. Di Samariang (90.4% pemilih adalah Islam), calon Amanah dapat 389 undi atau 3.18%, sementara calon Pas; 2,035 undi atau 16.65%. 

Di kawasan majoriti Melayu, calon Amanah hanya tidak hilang deposit di kerusi Gedong (13.55% undi) dan Kabong (22.65% undi) kerana saingan dua penjuru di Kabong dan 3 penjuru bersama calon bebas yang kurang mengancam di Gedong. Di kawasan majoriti Melanau, 4 calon Amanah bertanding satu lawan satu dengan calon PBB/BN. Cuma selamat wang pertaruhan di 2 kerusi sahaja: Balingian (22.82%) dan Semop (14.23%), sementara di kerusi Jemoreng, calon Amanah hanya perolehi 2.82% undi, di mana saingan sebenar adalan calon BN dengan calon bebas. 

Sungguhpun ada 2 calon Amanah selamat wang pertaruhan, itupun dibantu oleh tiada calon lain yang lebih mencabar untuk menentang calon BN. Kekalahan dengan ramai hilang pertaruhan oleh calon-calon Amanah di kawasan majoriti pengundi Melayu/Melanau, bacaan awalnya kegagalan Amanah mencabar parti asalnya, Pas. 

Apa yang disimpulkan dari PRN11 Sarawak ialah kegagalan Pas main peranan sebagai kuasa ketiga serta kegagalan Pas memikat pengundi bukan Islam menerusi "Pas for all". Bagi Amanah, kegagalannya untuk mengambil alih tempat Pas dalam pakatan pembangkang. Kedua-dua Pas dan Amanah bersaing di medan yang begitu asing, yang tidak dapat memberi gambaran sebenar penerimaan khalayak pengundi, lantaran dataran Sarawak yang kukuh sebagai kubu BN dengan komposisi pemilih yang berbeza dengan gelangang asal Pas iaitu di Semenanjung.

PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, yang memiliki komposisi pemilih yang hampir sama serta pengalaman dan pencapaian Pas yang agak seimbang akan memberikan senario sebenar sejauhmana lontaran idea kuasa ketiga Pas serta peranan Amanah dalam medan politik nasional.  Lantaran rekod prestasi dan keupayaan Pas di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, walaupun belum pernah menang mana-mana kerusi di kedua-dua kawasan, saingan dalam PRK nanti dijangka menarik. Tambahan pula, suasana semasa yang berbeza dengan era sebelum PRU13, pastinya PRK ini akan melengkapkan hipothesis dan andaian untuk masa depan politik demokrasi negara kita.   
 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan