Khamis, 29 Mei 2014

Teluk Intan 3 : ke 1Malaysia

PRK P076: MEMBENTUK REALITI 1MALAYSIA

Pilihan Raya Kecil Teluk Intan bagi Barisan Nasional   lebih berfokus kepada  penentuan hidup mati Parti Gerakan yang meletakkan Presidennya, yang telah menang dua kali dan kalah dua kali di kerusi Parlimen Teluk Intan. PRK ini sekadar mengesahkan penerimaan kepimpinan baru Gerakan di samping mencapai agenda peribadi Presiden parti, Datuk Mah Siew Keong. Hari ini, PM umumkan, Mah akan dilantik Menteri, kiranya menang. 

Diberi sindiran, orang India dan Cina yang tak mengundi BN adalah tidak mengenang jasa dan budi. Malah diberi amaran, supaya mereka yang tidak menyokong BN diminta meninggalkan Malaysia. Justeru lebih 60 peratus pengundi di Teluk Intan adalah bukan Melayu dan diistilahkan puak pendatang, faktor kemenangan BN bergantung kepada undi dari puak tersebut. Tekanan jentera BN lebih difokuskan untuk mendapatkan undi BN menerusi ugutan, bangkit asal usul dan berbagai kenyataan rasis yang penuh dengan keegoan. 

 Sebaliknya, DAP sebagai penyandang yang menang bergaya di kawasan campuran dalam PRU13 mengambil tindakan berani demi merealisasikan politik baru, politik tidak berasaskan kaum. Calon Melayu mengalahkan calon Cina atau India di kawasan campuran dan kawasan majoriti Cina dalam PRU13; Parlimen Kota Raja, Parlimen Bukit Bendera, Parlimen Raub, Parlimen Bandar Tun Razak, membuktikan politik perkauman semakin terhakis dalam politik tanah air. 

PRK Teluk Intan menggambarkan aliran ke arah tuntutan politik baru yang menekankan isu-isu ketelusan dalam birokrasi, pentadbiran awam yang cekap dan beretika, tidak rasuah, kesamarataan, keadilan sosial. Isu-isu perkauman yang tebal, kepentingan puak, perasmian dan pelancaran berbagai projek prasarana, sudah lapok dan semakin tidak dipedulikan oleh pengundi hari ini. 

Politik perkauman tajaan UMNO yang mengetuai BN mengelirukan pengundi di Teluk Intan. UMNO yang terlalu perkauman dan fanatik assobiyah berdepan dengan soalan calon mana yang harus diundi. Logiknya, penyokong UMNO perlu mengundi calon Melayu, yang bercanggah dengan pembohongan UMNO bahawa DAP adalah parti rasis, perkauman Cina dan komunis. Ini kerana calon Gerakan, adalah Cina, kafir dan gambaran dalam minda Melayu, Cina adalah komunis dan komunis adalah Cina. Sebenarnya PRK P076 ini menjerat UMNO. Dilema UMNO ialah calon BN ialah Cina dan calon DAP yang dituduh komunis pula Melayu. 

UMNO menuduh calon DAP, Dyana Sofya menjadi alat DAP, alat menggambarkan DAP tidak anti Melayu, DAP parti berbagai kaum, DAP tidak komunis. Logik ahli UMNO tegal dan fanatik, walaupun DAP meletakkan calon Melayu di kawasan Melayu minoriti, gambaran sebuah parti cauvinis Cina tidak dapat dikikis. 

Hakikinya, UMNO menjadi alat oleh Parti Gerakan dalam PRK ini, demi survival parti yang secara total ditolak dalam dua PRU terakhir. Parti Gerakan yang hilang kuasa di Pulau Pinang, hari ini mampu ada perwakilan di Parlimen dan DUN, hasil dari kemenangan menerusi BN di kawasan majoriti Melayu seperti Parlimen Renggam, kerusi DUN Pemanis di Johor, di samping kerusi DUN Sabah.  

Sekiranya Dyana Sofya menjadi pilihan pengundi Teluk Intan, menepati hasrat gagasan 1Malaysia, Malaysia sebuah negara berbilang bangsa dan sama-sama kita memaju, mencari rezeki, dan membina masyarakat yang adil, aman, harmoni dan dinamik. Andainya, Mah yang menang, adalah satu status quo, mengekalkan tradisi Teluk Intan diwakili oleh Ahli Parlimen dari kaum Cina. Ini akan mengekalkan pengenalan perwakilan di Parlimen berasaskan komposisi kaum yang menguasai kawasan berkenaan, seolah-olah mengekalkan polarisasi kaum. 

Pujian harus diberikan kepada Dyana Sofya di atas keberanian menerima sebagai calon kerana: muda, wanita, Melayu dan bukan anak tempatan untuk menentang Mah: berpengalaman, dari kaum majoriti di P076 serta anak tempatan dan nama yang sudah established di Teluk Intan. Keberanian Dyana, menyamai keberanian Datuk Harris Salleh, bertanding di kawasan Tenom, kawasan majoriti Bukan Islam, semasa memimpin Berjaya menumpaskan USNO yang menguasai kerajaan Sabah dalam tahun 1976. Kesanggupan Datuk Abdul Ghani Othman bertanding di kawasan Gelang Patah, kawasan 65 peratus pengundi Bukan Melayu dalam PRU13, harus menjadi inspirasi Dyana walaupun platform berbeza. 

Kepada 60,349 pemilih yang akan keluar mengundi pada 31/05/14 akan menentukan masa depan dan hala tuju negara. Apakah garisan perkauman akan mewarnai gelagat pemilihan pengundi atau ideolgi politik akan mengatasi perkauman. Selamat membuang undi untuk pemilih PRK P076 Teluk Intan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan