Selasa, 13 Mei 2014

PRK Bukit Gelugor 1: kecewa tanpa BN

TIDAK SEWAJARNYA BARISAN NASIONAL TIDAK MENYERTAI PRK BUKIT GELUGOR

Tindakan MCA yang tradisinya diperuntukan kerusi P51, Bukit Gelugor mewakili Barisan Nasional adalah satu tindakan yang mengejutkan dan amat tidak wajar. Sebagai parti yang menguasai Kerajaan Persekutuan, amat malang BN tidak menyertai dalam persaingan mana-mana kerusi Parlimen, bila pilihan raya diadakan. 

Kes PRK Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, bagi kerusi Penanti dalam tahun 2009 berlainan. BN mempunyai 2 alasan munasabah dan kukuh, tidak sertai PRK Penanti. Pertama; BN melihat tidak perlu sertai satu PRK akibat perletakan jawatan seorang ADUN parti lawan. PRK Penanti sekadar untuk memenuhi keperluan parti lawan, PKR mengisi kekosongan. BN mempunyai alasan mengelak diri terlibat agenda lawan mengisi sebuah kekosongan yang disengajakan.

Kedua; BN sebagai partai pembangkang di negeri Pulau Pinang mempunyai pilihan sama ada perlu bertanding atau tidak. BN sertai PRK sekadar melengkapkan tujuan demokrasi kepilihanrayaan. Kekalahan besar dialami  calon UMNO mewakili BN bagi kerusi Penanti dalam PRU 2008, menghilangkan semangat untuk bertanding.

Dalam kes P51, sebagai parti yang menguasai kerajaan sepatutnya bertanding, sama ada kubu musuh atau kawasan seimbang. Kegagalan BN meletakkan calon, atas apa alasan sekalipun demi pengaturcaraan strategi atau sebaliknya, sekali imbas memberi implikasi tidak sihat kepada BN, MCA khususnya yang dipertanggungjawabkan bagi kerusi P51. MCA dan BN digambarkan sebagai cuma berani di luar gelanggang. 

Tindakan MCA ini berlainan dengan tindakannya tidak meletakkan calon dalam PRK Parlimen Menglembu 1975, bila Ahli Parlimen dari DAP, Fan Yew Teng dilucutkan jawatan setelah dijatuhkan hukuman mahkamah. BN awal lagi sudah jangka PRK Menglembu tidak sepatutnya berlaku. Untuk mengelakkan dimalukan, BN ambil keputusan tidak sertai PRK berkenaan. Memang PRK Menglembu dibatalkan setelah rayuan di mahkamah memihak kepada Fan Yew Teng. 

Kegagalan MCA mewakili BN dalam PRK P51 menyaksikan MCA masih dibelenggu penolakan masyarakat kota terhadap parti-parti komponen BN sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak. Kemenangan parti-parti komponen selain UMNO, banyak dibantu pengundi Melayu di pinggir bandar. P51 sebagai kawasan bandar dengan cuma 14.48 peratus pengundinya terdiri dari orang Melayu, pengukur sebenar penerimaan masyarakat kota kepada peranan MCA dan BN dalam merencana agenda masa depan negara.

MCA yang paling lantang menentang cadangan bil persendirian bakal dibawa ahli perundangan Pas dalam sidang Parlimen untuk membolehkan pelaksaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (hukum hudud) dilaksanakan di kawasan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan. Sungguhpun UMNO menerusi ahli-ahli Parlimennya akan memberi laluan dan akan menyokong cadangan tersebut, MCA mengatasi kelantangan DAP dan PKR menentang pelaksanaan hukum hudud tersebut.

MCA mengambil aspek keadilan dan kesamarataan setiap individu, di mana Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan: semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang. Membataskan pelaksanaan ke atas orang Islam sahaja adalah mendiskriminasi individu, itulah tafsiran MCA sebuah parti yang memperjuangkan perkauman Cina. Apa perkaitan kepentingan masyarakat Cina dengan hukuman dikenakan ke atas orang Islam sahaja.

MCA sengaja tidak meletakkan calon kerana tidak yakin tentangan kuatnya terhadap enakmen hudud membolehkannya jadi juara politik membela semua kaum mengatasi DAP dan PKR. Andainya undinya kurang berbanding PRU13, di mana calonnya memperolehi 14,061 undi atau 20.11 peratus undi sah, akan menonjolkan hakikat sebenar penerimaan pengundi terhadap MCA/BN. Kemelut yang timbul dari ketakutan dan kegerunan menerima hakikat prestasi undi ini, mempamirkan ketidakyakinan MCA terhadap tentangannya dalam isu hudud.

Justeru PRK P51 tidak akan memberikan keputusan yang boleh mempengaruhi kepentingan kuasa dan kedudukan politik nasional dan tempatan, dijangka peratusan keluar mengundi akan menurun. Dalam PRU13, seramai 85.35 peratus pengundi P51 menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih. Peratusan keluar mengundi yang agak tinggi berbanding dengan purata keluar mengundi sebelum ini, ada kaitan dengan penentuan kuasa pemerintahan serta gelombang kebangkitan rakyat inginkan perubahan politik lanjutan tsunami politik 2008. Dengan peratusan keluar mengundi yang rendah, bukan undi DAP yang pertahan kerusi akan menurun, undi MCA/BN akan turun, tanpa melihat kepada peratusan untuk perbandingan, akan mempamirkan kemerosotan sokongan. Kebimbangan ini, memungkinkan MCA mengambil keputusan mengelakkan bertanding lantaran MCA sedang dalam proses pembinaan imej.

Tanpa penyertaan BN dalam PRK ini, menjadikan PRK P51 satu PRK yang tidak menarik, terdesak dan mencabar. Secara langsung, memberi sumbangan kepada peratusan keluar mengundi yang rendah, di mana pada anggapan pengundi, status quo akan berlaku, DAP akan mengekalkan kerusi ini. 

Dalam PRK DUN Penanti pada 31/05/2009, walaupun calon PKR,  menang besar setelah perolehi 86.53 peratus undi menumpaskan 3 calon bebas, undinya sebanyak 6,052 undi adalah merosot jika dibanding dengan perolehan dalam PRU12, iaitu 7,346 undi. Dari segi peratusan undi, melonjak tinggi kerana saingan berbeza di mana dalam PRK cuma 46.15 peratus sahaja keluar mengundi. Dalam PRK DUN Shahbandaraya, Selangor 28/05/1994, peratusan keluar mengundi cuma 48.21 peratus, bila calon BN ditentang oleh calon-calon Bebas. BN menang besar setelah memungut 77.85 peratus undi sah. Jika peratus keluar mengundi rendah kerana parti penyandang ditentang oleh calon-calon Bebas dan parti kurang pengaruh, Parti Cinta Malaysia, calon DAP walaupun akan menang besar, tetapi undinya akan berkurang dari 55,839 undi yang dipungut oleh Karpal Singh dalam PRU tahun lepas.

Tindakan MCA/BN tersebut akan melambatkan usahanya melakukan penambahbaikan dan mengenalpasti kelemahan, untuk membina wajah baru untuk ditawarkan kepada khalayak pengundi menjelang PRU14.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan